Polis menahan seorang suspek etnik Uighur di tempat kejadian di bandar Aksu, barat daya Xinjiang pada pagi ini, kata seorang jurucakap kerajaan Xinjiang, Hou Hanmin.
"Suspek dan kebanyakan mangsa adalah etnik Uighur. Dia memandu sebuah kenderaan roda tiga mengangkut bahan letupan ke arah orang ramai di satu persimpangan jalan di pinggir Aksu," katanya.
Aksu terletak dekat sempadan dengan Kyrgyzstan dan kira-kira 650 kilometer dari ibu kota wilayah, Urumqi.
Xinjiang sejak beberapa tahun lalu menjadi medan konflik etnik, termasuk rusuhan yang tercetus pada Julai tahun lepas apabila ketegangan sekian lama antara penduduk Islam etnik Uighur dengan kaum Han membawa kepada keganasan terbuka di Urumqi.
Sejumlah 197 orang dilaporkan terbunuh, beratus-ratus lagi ditangkap, kira-kira 24 orang yang kebanyakannya etnik Uighur dikenakan hukuman mati manakala nasib ramai lagi anggota etnik itu tidak diketahui dan dipercayai berada dalam tahanan.
Pada sidang media hari ini sebelum letupan itu dilaporkan, Gabenor Xinjiang, Nur Bekri berkata, kerajaan sedang giat memerangi puak pemisah di wilayah ini.
"Saya percaya kita menghadapi perjuangan yang lama, getir dan sangat rumit. Gerakan pemisah di Xinjiang mempunyai sejarah yang sangat lama, ia berlaku pada masa lalu, masih berlaku sekarang dan akan berterusan pada masa depan," kata Nur Bekri.
Beliau menganggap rusuhan yang berlaku pada 5 Julai 2009 bukanlah konflik etnik atau isu agama.
"Insiden ganas itu berpunca daripada 'tiga kuasa'," katanya dengan merujuk kepada istilah yang digunakan oleh pegawai China untuk memberi maksud keganasan, fahaman pelampau agama dan gerakan pemisah. - AP
No comments:
Post a Comment