Monday, June 6, 2011

Sejarah Perkembangan Tulisan Khat

"Seni kaligrafi Islam atau lebih sinonim dengan nama ‘seni khat’ merupakan khazanah tertua di dunia yang masih dimiliki oleh umat Islam dan dikagumi di seluruh pelusuk dunia. Selain penyampai mesej dakwah, khat juga merupakan jalan untuk merehat dan menajamkan minda, di samping sebagai jalan untuk mendapat rezeki.

Sungguhpun begitu, terdapat banyak lagi faedah sehingga pernah dinyatakan oleh seniman Arab bahawa khat sebagai sebuah abstraksi, ilmi, falsafi dan seni.

Memandangkan tulisan-tulisan sebelum kemunculan khat Arab kebanyakannya dalam bentuk segi dan berpetak, sudah tentu khat Arab yang pertama terwaris adalah dari jenis keturunan yang serupa. Oleh itu, khat Arab dalam bentuk pertamanya adalah dari jenis Khat Kuufi Klasik dan Khat Hijaazi.

Sebelum kedatangan Islam, dunia penulisan Arab tidaklah serancak dengan zaman selepasnya kerana ia hanya tertumpu pada keadaan-keadaan tertentu sahaja. Khat kaum Nibti yang diwarisi oleh orang Arab hanya dipecah kepada dua bentuk sahaja iaitu Khat Kuufi dan Khat Jazm (Khat Hijaazi).

Setelah datangnya Islam, tabiat Islam itu sendiri yang sememangnya mengajak manusia kepada cintakan ilmu pengetahuan ditambah pula aktiviti pencatatan Wahyu Ilahi pada masa hayat Baginda S.A.W. telah menyemarakkan perkembangan khat Arab. Daripada khat Kuufi dan Hijaazi, ia terpecah kepada beberapa bentuk, antaranya Kuufi Masyaq, Kuufi Madani, Kuufi Basiit, khat Hijaazi Daarij dan khat Makki Madani. Pada zaman itu, kesemua jenis khat yang ada mempunyai ciri-ciri antaranya tidak bertitik, tidak berbaris dan penyusunan yang tidak teratur.

Pada zaman Khulafa’ al-Rasyidin, khat Arab telah diperkembangkan kepada pelbagai bentuk dalam rumpun Kuufi seperti Kuufi Klasik, Shaami, Basri, Al-Asfaraaani, Al-Mashab, Al-Samni, Al-Qairamuuz dan lain-lain. Khat pada zaman ini lebih teratur walaupun tanpa bertitik dan berbaris.

Apabila Saidina Uthman R.A. mengisytiharkan pembukuan al-Qur’an, baginda memperkemas tanda dan perundangan dalam al-Qur’an yang dikenali sebagai Musyaf Uthmani. Dalam seni musyaf al-Qur’an, tulisan khat penting kerana merakamkan segala ayat Tuhan. Kegagalan menyalin al-Qur’an dengan khat yang baik, jelas, dan tepat bermakna tidak kesampaianlah maksud al-Qur’an dalam erti kata yang luas.

Bentuk tulisan khat ketika itu adalah khat Kuufi Klasik yang tidak bersambung dan mungkin sukar dibaca pada hari ini. Mengikut sejarah, penulisan khat ini dihasilkan di Kufah, Iraq pada kurun ketujuh, hasil ilham mimpi seorang sufi. Ia dinamakan Kuufi, iaitu tulisan yang tidak bercantum dan dinamakan sedemikian sebagai tanda penghargaan kepada bandar Kufah.

Gaya khat Kuufi digunakan selama lebih kurang tiga abad. Ketika ini, yang menguasai seni dalam al-Qur’an adalah kekuatan khatnya dan tidak pada hiasan yang terdapat pada jidar kepala sesuatu lembaran berhias. Lebih kurang pada kurun ke-4 Hijrah, khat Kuufi beransur-ansur digantikan oleh khat Naskh hingga kini. Khat Naskh melahirkan pelbagai gaya tulisan dengan diberi nama yang berlainan. Hal ini tidak pula bermakna bentuk seni khat lain tidak digunakan untuk menyalin ayat al-Qur’an. Antara bentuk khat termasuklah khat Nastaiq di Parsi dan khat Sini di China. Seni khat yang lain seperti Thuluth, Muhaqqa dan Rayhani digunakan pada tajuk surah sahaja. Kini, khat Naskh diterima sebagai bentuk tulisan baku dalam menyalin al-Qur’an. Seseorang yang arif tentang khat akan berasa kagum kerana pelbagai gaya khat dapat digunakan dalam hanya satu musyaf.

Zaman kerajaan Umawiyah telah menyaksikan pembangunan ketara seni khat Arab, antaranya kemunculan dua bentuk khat yang baru selepas Kuufi iaitu Khat Thuluth dan Khat Nasakh. Selain Khat Thuluth, terdapat khat-khat yang lain yang seakan-akan mirip dengan Khat Thuluth seperti Khat Toomar, Tauqi, Muhaqqiq, Thuluthain, Jalil, Musalsal dan sebagainya. Khat Nasakh pula muncul dari cabangan Khat Daarij semasa zaman permulaan Islam. Pada abad ini, seni khat menyaksikan banyak perubahan antaranya ialah peletakan sistem titik dan baris di samping kemunculan ramai pakar-pakar penulis khat, antaranya Imam Hasan al-Basri, Malik bin Dinar dan Ibnu Hasan al-Maliih.

Tulisan khat terus berkembang pada zaman Kerajaan Abbasiyah, Fatimiyah dan Uthmaniyah. Sebagaimana ketiga-tiga zaman ini terkenal sebagai zaman kegemilangan peningkatan taraf ilmu, begitu juga berlaku kepada dunia Khat Arab. Dikatakan lebih daripada 50 cabangan Khat yang terhasil pada zaman ini yang dikembangkan melalui bentuk-bentuk yang lama. Antara bentuk baru yang muncul ialah Khaat Taliq dan Nastaliq, Nasakh Badi, Khat Hazqaaj, pelbagai cabangan Kuufi dan sebagainya.

Pada kurun ke-10, seni khat tersebar ke Parsi dengan gabungan-gabungan huruf yang lebih berseni. Tulisan ini terdiri daripada beberapa jenis, iaitu khat Kuufi, Khat Nasakh, Khat Diwani, Khat Thuluth dan Khat Riqa.

Pada kurun ke-16 dan 17, seni khat pernah menjadi medium komunikasi terpenting dalam menyampaikan mesej diplomatik. Ia diperkenalkan oleh Housam Roumi semasa era Suleyman 1 di wilayah Turki. Kesenian tulisan khat jenis ini terserlah melalui tanda dan tulisan yang menarik. Seni khat yang dikenali dengan nama Diwani ini berkembang seiring dengan variasinya iaitu Diwani al-Jali yang berbingkai.

Mashaf-mashaf Uthmani pada waktu itu muncul dengan pelbagai rupa bentuk khat sementara penulis-penulis khat tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Di antara ketiga-tiga zaman ini, zaman kerajaan Turki Uthmaniyyah adalah zaman yang paling ketara dalam peningkatan seni khat di mana ia telah dieksploitkan sebagai bidang kesenian dan kecantikkan selain daripada penyampai maklumat.

Setelah kejatuhan Kerajaan Uthmaniyyah, warisan seni khat yang kebanyakannya yang berpusat di Turki telah berpecah ke serata Tanah Arab. Akhirnya, tahun demi tahun, bentuk-bentuk khat yang banyak tadi telah dihadkan kepada beberapa bentuk tertentu sahaja. Had ini dibuat bagi menetapkan jenis-jenis khat yang kemas teratur, cantik dan berseni untuk diguna pakai oleh masyarakat umum. Untuk itu, khat-khat yang kekal sehingga sekarang ialah Khat Thuluth, Nasakh, Farsi yang muncul dari cabangan Nastaliq dan Kuufi, Diwaani yang muncul daripada Hazqaaj dan khat baru yang lain seperti khat Riqah, Ijazah dan yang terbaru seperti Khat Moden. Antara tokoh-tokoh khat zaman moden terkenal ialah Sheikh Abd. Aziz Al-Rifaaei (seorang ulama Islam yang faqih dari Turki), Hamid Aamidi (Turki), Mustafa Izzat (Turki), Said Ibrahim (Mesir), Mahmud Shahaat (Mesir), Hashim Muliammad (Baghdad) dan lain-lain.

Nota : Petikan Risalah Program Pertandingan Tulisan Jawi & Khat Sekolah Menengah Teknik Shah Alam pada 7 Julai 2005 anjuran Panitia Pendidikan Islam SMTSA"

No comments:

Post a Comment


Related Posts with Thumbnails