Wednesday, August 18, 2010

Apa Khabar Umat Islam Itali?

Ketibaan di Lapangan Terbang Torino disambut dengan penuh mesra oleh Irfan Azri Riccardo Perlo dan isterinya Azreen Perlo. Irfan baru beberapa bulan memeluk Islam sekaligus menikahi gadis pilihan hatinya yang merupakan seorang rakyat Malaysia yang juga merupakan sahabat baik saya ketika sama-sama menyertai program pertukaran belia satu ketika dahulu.

Seperti kelaziman, pengembaraan saya ke negara-negara tertentu bukan sekadar melihat pemandangan dan kesan-kesan sejarah tetapi yang paling penting adalah menjejaki kehidupan dan perjuangan umat Islam agar dapat diselami dengan penuh kesedaran dan keinsafan seterusnya dikongsi cerita-ceritanya bersama rakan-rakan seagama dengan mereka di Malaysia.

Kembara ke bandar Torino atau Turin juga sama halnya, bukan sekadar untuk mencari Alfa Romeo atau Fiat atau Kappa atau Prada mahupun Pasukan Bolasepak Juventus, akan tetapi menyambung tali persaudaraan sejagat umat antara Malaysia dengan Itali. Dengan semangat dan nilai “Ummatisme” inilah yang saya dididik oleh sifu saya Encik Ahmad Azam Abdul Rahman agar berjiwa besar dan peduli akan nasib umat di mana sahaja mereka berada. Kita amat yakini bahawa sempadan umat Islam bukan dibatasi dengan sempadan geografi tetapi ia dibatasi dengan sempadan Aqidah Tauhid.

Kehadiran saya di bumi utara Itali ini banyak dibantu oleh kemurahan dan ketinggian budi saudara Irfan dan isteri menjadi hos membawa saya menikmati panorama bumi Turin yang dikelilingi oleh peninggalan warisan empayar Roman serta menjejaki komuniti Islam Turin.

Irfan merupakan anak jati kelahiran bumi Turin yang datang daripada keluarga beragama Katolik. “Siapa sangka cucu seorang paderi Katolik masuk Islam”, kongsi Irfan kepada saya semasa kami asyik berbual tentang latar belakang beliau dan juga sejarah kemasukan nur hidayah Islam ke dalam hati beliau. Irfan merupakan seorang ahli geologi yang sekarang bertugas dengan syarikat pembinaan terowong berpengkalan di Turin. Beliau juga pernah menetap selama dua tahun di Taiping ketika ditugaskan oleh syarikatnya untuk melaksanakan projek di situ.

Bertitik tolak daripada situ, membawa beliau kepada perkenalan dengan seorang gadis yang akhirnya menjadi permaisuri hatinya yang banyak membimbing beliau untuk hidup sebagai Muslim. Dalam beberapa sujud saya, saya tidak putus mendoakan kesejahteraan pasangan ini kerana mereka ini bagi pandangan saya, merupakan aset agama yang amat berharga kepada umat Islam Itali untuk menjadi nukleus menarik lebih ramai ‘orang putih’ Itali ke dalam Agama Allah ini.

Kehidupan umat Islam di Itali juga tidak terlepas daripada pihak yang kurang sedang dengan kehadiran serta pertambahan jumlah bilangan mereka. Archbishop Kardinal Giacomo Biffi, and Ketua Parti Pembangkang Northern League, Umberto Bossi umpamanya antara pihak yang lantang menentang pemberian hak asasi secara sewenang-wenangnya kepada umat Islam terutamanya imigran Muslim yang kebanyakkan datang dari negara Maghribi. Mereka berhijrah ke Itali semenjak 1970an atas faktor ekonomi.

Golongan seperti Biffi dan Bossi ini bertegas bahawa hak dan taraf kerakyatan harus diberikan keutamaan kepada imigran Katolik yang datang dari Filipina dan negara Amerika Latin. Namun begitu, sikap ‘xenophobic’ ini bukan sahaja kurang disenangi oleh umat Islam malahan di kalangan aktivis Katolik kerana sikap ini lebih cenderung kepada pendirian golongan ‘far right’ atau lebih menyerupai fahaman fasisme yang dipelopori Mossoulini satu ketika dahulu yang amat benci kepada pendatang asing dan imigran.

Menurut sumber Islam Online, dengan jumlah umat Islam di Itali mencecah 500 000 orang, Islam menjadi agama kedua terbesar selepas Katolik mengalahkan mazhab-mazhab lain dalam Kristian. Bilangan masjid-masjid dan pusat kebudayaan Islam di seluruh Itali semakin berkembang dan bertambah. Manakala masjid pertama di Rom, ibu kota Itali dibuka pada 1995 selepas dana pembinaannya ditampung oleh 23 negara Islam dari Algeria sehingga ke Yaman.

Hari terakhir sebelum keberangkatan pulang, dengan bantuan Irfan, sekali lagi Allah memberikan saat berharga kepada saya apabila berpeluang bertemu dan bersilaturahmi bersama Imam dan jawatankuasa Masjid Tayyibah. Sheikh Said Ait El Jide, Imam Besar Masjid Tayyibah menyambut kehadiran kami berdua. Saya sempat bertukar-tukar alamat perhubungan bersama Imam dan bertanyakan perkembangan dan perjalanan aktiviti Masjid. Menurut Sheikh Said, Masjid Tayyibah mampu menampung kehadiran 1500 jemaah pada waktu puncak Solat Jumaat.

Masjid Tayyibah merupakan masjid terbesar di Kota Turin ini dan terletak di celah-celah kawasan perumahan. Di sebelah masjid juga terletaknya pejabat Persatuan Islamiyyah al-Alb. Walaupun lawatan yang amat singkat kerana kesuntukan masa, namun ia amat bermanfaat dan berharga sebagai pertemuan mahabbah dan ukhuwwah.

Islam pernah bertapak kukuh di Kepulauan Sicily, di bahagian selatan Itali selama hampir lebih 200 tahun iaitu pada 827 sehingga 1061 masihi dan 116 tahun selepas Islam membuka Andalus. Namun umat Islam kurang berjaya menembusi Semenanjung Itali untuk penyebaran dakwah Islamiyyah.

Setelah 4 hari berada di Turin, saya meninggalkan kota yang dikhususkan sebagai International Training Capital of the United Nation System dengan penuh kenangan dan berharap dapat kembali semula untuk meneruskan jejak umat di kota-kota lain di Itali seperti Rome, Milan dan Catania Sicily yang menempatkan antara tiga masjid terbesar di Eropah.

Sumber : GPTD Spain

No comments:

Post a Comment


Related Posts with Thumbnails