Showing posts with label Peristiwa. Show all posts
Showing posts with label Peristiwa. Show all posts

Tuesday, November 20, 2012

CATATAN WACANA SINAR HARIAN “Peranan Ulama Menasihati Pemimpin”

Kami bertolak dari Dewan Biru Unisel pada 3.00 petang.  Tiga orang wakil daripada GPTD  diketuai oleh Sdr Nor Hafiz Bin Razali, Sdr Muhd harris Fadhilah bin Johari dan Sdri Nur Hazzanina Bt Farizah.  Perjalanan kami ke destinasi  memakan masa yang agak lama akibat daripada kesesakan Jalan Raya pada waktu itu. Kami tiba di pusat Karangkraf Shah Alam  pada 3.40 minit petang.

Tepat 4.00 petang program dimulakan dengan Al-Fatehah oleh pengerusi majlis dan diserahkan kepada moderator untuk menguruskan Majlis Wacana Sinar ‘’Peranan  Ulama Menasihati Pemimpin’’. Dr Maszlee Malik dari UIAM bertindak sebagai moderator dalam menguruskan majlis  tersebut. Seterusnya tetamu jemputan yang di bawa khas untuk  hidangan ilmu kepada kita adalah  bekas Presiden ABIM yang juga Presiden Wardah, Datuk Dr Siddiq Fadzil; bekas Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Exco Pergerakan Pemuda Umno, Syahrin Md Jamaluddin, yang juga Pengerusi Biro Institut Pengajian Tinggi Malaysia. Pada awalnya setiap jemputan diberi masa dua minit untuk memberi hujah atau pandangan dan pengenalan terhadap tajuk utama forum wacana ini. Kemudian pusingan kedua sesi diteruskan sehingga pusingan kedua dan pusingan ketiga. Pada pusingan keempat yang menariknya di sana audien diberi peluang untuk menanyakan soalan. Sebagai penutup jemputan khas untuk wacana diberi peluang  menyimpulkan forum ini.

Sesi pertama dimulakan oleh Datuk Dr. Siddiq Fadzil beliau menceritakan siapakah ulama yang sebenarnya dan definisi seorang pemimpin. Memang sangat menarik setiap hujah yang diberikan. Memetik daripada salah satu hujah dari beliau ketika  teringat pada satu puisi seorang ibu dan ayah yang menasihati anak nya. ‘’apabila besar jadilah orang besar kerana orang besar itu habuannya banyak, orang kecil habuannya kecil, orang kecil jujur dibilang tolol,orang besar tolol dibilang jujur, orang besar bisa berbicara seenaknya, orang kecil paling-paling dibicarakan’’  beliau juga turut mengupas ciri-ciri ulama yang sebenarnya ulama adalah orang yang diangkat oleh masyarakat kerana sifat-sifat yang boleh dicontohi. Seterusnya giliran  Dr. Asri memberi hujah adalah  apakah hubungan pemimpin dengan ulama dan bagaimana ulama menegur pemerintah adakah ulama perlu menegur pemerintah secara terbuka atau tertutup. Persoalan di sini adakah ulama menegur pemerintah dengan berjumpa dengannya, atau mengkritik secara terbuka atau perlu diampu semasa menegur? Giliran ketiga merupakan Exco Pergerakan Pemuda Umno iaitu Shahrin Jamaluddin juga menyetujui pendapat yang diberikan oleh Dr. Asri. 

Dalam sesi kedua pusingan berjalan seperti biasa antara isu yang hangat diutarakan daripada Datuk Dr. Siddiq Fadzil dengan menyokong pendapat beliau berkenaan  ciri-ciri  ulama yang benar-benar ulama. Ulama yang menjadi ulama bukan orang yang mengaku dirinya ulama tetapi diangkat oleh masyarakat berdasarkan pemerhatian dan perwatakannya yang menjadi tauladan. Dengan itu, ulama yang dipilih oleh masyarakat merupakan ulama yang mewarisi sifat-sifat para anbia’ dan ulama itu yang sepatutnya dicontohi. Majlis diteruskan dengan hujah yang diberikan oleh Dr. Asri yang merupakan jemputan khas yang amat berpengalaman dalam membahaskan topik  ini. Dalam penyampaian beliau telah menyentuh tentang isu yang sangat sensitif adalah sekiranya pemimpin itu dipilih dikalangan ulama, bagaimana atau adakah pemimpin itu tidak boleh ditegur? Beliau telah memberi contoh salah satu parti di Malaysia iaitu Parti Pas. Seandainya Pas memimpin negara ini suatu hari nanti adakah pemimpin mereka tidak boleh ditegur, sekiranya hal ini telah disuburkan dalam parti itu sendiri tidak hairanlah di masa akan datang  negara ini dipimpin seperti Ayatollah. Maka, pemerintah harus bersikap terbuka untuk menerima teguran daripada ulama.  

Seterusnya, merupakan giliran Syahrin Md Jamaluddin yang menjawab soalan moderator iaitu  peranan ulama UMNO dalam menegur pemimpin UMNO itu sendiri. Menjawab  pertanyaan tersebut  setiap tahun setiap cawangan pusat akan membuat musyawarah di mana pada ketika itu mereka menegur dan membuat penilaian terhadap setiap ketua-ketua bahagian menurut kata beliau pada sidang wacana tersebut. Sesi yang ketiga diteruskan dengan pandangan yang cukup menarik daripada  Datuk Dr Siddiq Fadzil iaitu pemimpin yang dipilih merupakan orang yang berduit. Hal ini telah disuburkan didalam UMNO itu sendiri, kita dapat melihat bahawa pemimpin yang dipilih merupakan orang yang berduit. Di sini saya suka memetik kata-kata beliau “dalam politik ini  pendapat-pendapat ulama  itu tidak penting, yang penting adalah pendapatan”.  Diteruskan dengan giliran Dr. Asri untuk memberi hujah beliau adalah dengan menyambung dan menyokong  apa yang diutarakan oleh Datuk Dr Siddiq Fadzil dan pandangan beliau pada sesi yang sebelum ini. Beliau menegaskan secara santai Adakah ulama perlu menegur pemerintah secara terbuka atau tertutup? Yang membolehkan ulama menegur secara terbuka adalah jika masalah itu merupakan kepentingan awam maka, ulama harus menegur secara terang-terangan dan beradab sopan. Disebaliknya, jika masalah melibatkan perilaku peribadi harus ditegur secara peribadi dengan berjumpa dengan pemimpin itu dan tegurlah dengan adab kesopanan.

Pada sesi yang ke-empat ini audien diberi peluang tampil untuk melontarkan sebarang pertanyaan. Antara pertanyaan yang menarik minat saya adalah pemimpin  patut dipilih dalam kalangan ulama. Dr. Asri menjawab persoalan ini ulama itu boleh menjadi pemimpin sekiranya dia mempunyai sifat kepimpinan dan bukan semua ulama ada sikap kepimpinan mungkin ulama itu sendiri  ada integriti dan sifatnya diangkat menjadi ulama tidak bermakna dia boleh menjadi pemimpin. Namun sekiranya ulama itu mempunyai sikap kepimpinan maka,boleh dijadikan pemimpin. Dalam sesi membuat kesimpulan, ulasan yang cukup  bagus untuk dikongsi daripada Datuk Dr Siddiq Fadzil ialah kerajaan perlu memberi peluang kepada rakyat untuk mandiri. Beliau mengatakan rakyat terlalu bergantung dengan kerajaan nah, disini kita melihat untuk membuat Majlis Maulidur Rasul pun minta bantuan dari YB seperti yang di ulas oleh Shahrin Md. Jamaluddin. sebagai contoh institusi seperti sekolah rakyat perlu diadakan. 

Pada 6:30 petang acara yang berlangsung selama dua jam selesai. Kami bertolak pulang ke unisel dan selamat tiba tanpa sebarang kesesakan jalanraya. Di sini, kami yang mewakili GPTD mengucapkan terima kasih kepada En. Izwan Suhadak, Penasihat GPTD Unisel kerana memberi peluang untuk menghadiri majlis ini yang amat bermakna kepada kita semua. Majlis yang sangat baik dan patut dirasai budaya perbahasan dan suasana menimba ilmu seperti ini di seluruh kampus di Malaysia.

Nur Hazzanina Bt Farizah merupakan mahasiswa jurusan Diploma TESL di Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial, Universiti Selangor dalam semester dua tahun pertama. Beliau adalah Exco Unit Bahasa di bawah Grup Pengkaji Tamadun Dunia Unisel. Boleh dihubungi melalui Facebook : Erysza Sophea.

Monday, October 29, 2012

Sukarelawan bersilaturahmi semasa Kembara Qurban @Patani

PATANI, 28 Oktober 2012 - Grup Penjejak Tamadun Dunia (GPTD) telah menghantar empat sukarelawan dalam Kembara Qurban @Patani dengan usahasama Global Peace Mission (GPM) Malaysia dan Hayrat Foundation yang menjayakan ibadah qurban di Wilayah Selatan Thailand yang meliputi Narathiwat, Yala dan Patani. Projek ini adalah rentetan daripada Kembara Ramadan @Patani yang dilaksanakan pada bulan puasa yang lepas. Meneruskan misi rahmatan lil alamin untuk mempertautkan ukhuwah umat Melayu di wilayah bergolak di bumi Patani GPTD komited untuk melaksanakan Kembara Qurban @Patani. Selesai pengagihan lembu dan sembelihan serta penyerahan daging qurban, sukarelawan GPTD sempat singgah di Surau Aur di Yaring Patani, binaan surau yang tertua di Asia Tenggara (lebih 500 tahun). 
 
Muhammad Fakhrul Amiruddin telah mengetuai sukarelawan GPTD iaitu Huzaimi, Tengku Farhana dan Ili Akmal. Turut serta dalam delegasi kali ini adalah rakan strategik GPM adalah saudara Soleh daripada Turki dan fasih berbahasa Melayu. Beliau telah ikuti ibadah qurban di Patani buat kali kedua untuk kali ini. "Terima kasih kepada GPTD kerana telah memberi peluang kepada saya untuk mengikuti kembara ini, pengalaman dan ilmu tidak akan saya lupakan", kata saudari Tengku Farhana yang sangat teruja dengan misi kali ini. "Kami tidur bersama keluarga angkat dan rasa sangat mesra seperti sebuah keluarga kandung", kata saudari Ili Akmal yang buat pertama kali menjejakkan kaki ke sini.

-Unit Media

Wednesday, July 18, 2012

Menghayati Ramadan dengan lebih meluas


“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa..” – Al-Baqarah, ayat 183

Alhamdulillah, sekali lagi tetamu mulia bernama Ramadhan menjenguk ke dalam ruang hidup kita. Sesungguhnya hidup ini merupakan satu perjalanan, tiba di destinasinya ia akan terhenti walau apa pun usaha untuk menegahnya daripada berhenti. Syukur kepada Allah SWT, ia masih belum terhenti sehingga ke saat ini untuk membenarkan kita sekali lagi bertemu dengan Ramadhan. Syukur kerana bulan ini ialah bulan yang menjanjikan hidayah dan ganjaran yang besar buat sesiapa yang memburunya.

Ramadhan tidak usah lagi disebut sebagai bulan puasa. Kadang-kadang sebutan bulan puasa lebih terkenal dari sebutan bulan Ramadhan menyebabkan masyarakat hanya akan mengingati Ramadhan sebagai bulan untuk berpuasa. Justeru, ramai yang menganggap puasa sahaja dengan menahan lapar dan dahaga tanpa mengerjakan tuntutan-tuntutannya sudah cukup bererti di dalam menyambut Ramadhan. Ini merupakan satu kesilapan dalam memahami tuntutan Ramadhan.

Alhamdulillah kita dipertemukan kembali dengan bulan penuh rahmat dan keampunan daripada Allah swt. Saya merakamkan ucapan selamat menyambut Ramadan al-Mubarak kepada seluruh warga kampus UNISEL dan umat Islam di seluruh Malaysia. Menjadi kebiasaan kita orang Melayu mengenali Ramadan sebagai bulan puasa. Tanpa disedari sebutan yang sudah lama berakar umbi itu tidak tepat dengan pengertian sebenar Ramadan.

Ramadan bukan sekadar dihiasi dengan ibadat puasa yakni menahan diri daripada makan, minum dan apa sahaja yang membatalkan puasa kerana takrifan sebenarnya lebih luas lagi. Puasa juga sebenarnya boleh dilakukan pada bulan lain, seperti yang menjadi amalan sesetengah daripada kita iaitu bulan Rejab dan Syaaban. Sebab itulah penggunaan istilah Ramadan lebih tepat bagi menggambarkan maksud dalam melaksanakan amal ibadat sepanjang bulan penuh berkat ini.

Ramadan juga membawa maksud bulan kebajikan di mana di dalamnya ada zakat fitrah yang menjadi kewajiban dilaksanakan setiap umat Islam. Umat Islam amat digalakkan bersedekah sebagai melengkapkan amalan ibadat puasa kita di siang hari. Ini kerana di sekeliling kita ada mereka yang kurang bernasib baik. Maka pada kesempatan ini kita hulurkan sedikit sumbangan kepada mereka. Oleh itu saya mengajak umat Islam menggunakan kesempatan Ramadan kali ini bagi menggandakan amal ibadat serta memohonkan keampunan daripada Allah swt.

Akhir kata, selamat menyambut Ramadhan. Semoga Ramadhan tahun ini akan lebih mesra Qalbu bagi diri kita berbanding dengan Ramadhan yang telah berlalu.


Nor Hafiz Bin Razali
Presiden
Grup Pengkaji Tamadun Dunia Unisel

Friday, July 6, 2012

Bedah Buku : Art of Deception

Dengan rasa besar hati, Gptd Unisel menjemput peminat buku dan ilmu ke Diskusi Bedah Buku "Art of Deception" pada 9 Julai 2012, Selasa 9.00-10.00 mlm di Surau Fsktm, Unisel. Maklumat lanjut sila hubungi Shakilah Sanaani Abdullah di talian 013.391.7122.

#Lets join GPTD as a VOLUNTEER~
Sign Up here >> https://t.co/jAankwD

Monday, June 18, 2012

Amanat Sempena Israk Mikraj

Apakah itu Isra’ Mi’raj? Ianya ialah peristiwa dimana diperjalankannya Rasulullah saw. oleh Allah swt di suatu malam bulan Rejab pada tahun ke-11 dari kenabiannya, dari Masjid al Haram di Mekah ke Masjid al Aqsha di Palestin dengan mengenderai Buraq, kemudian naik ke langit yang ke tujuh hingga ke Sidratu al Muntaha, untuk diperlihatkan kepadanya tanda-tanda kebesaran Allah.

 “Tatkala Sidratul Muntaha ditutupi oleh bermacam hal yang melingkupinya, tetapi pandangannya (Rasulullah saw.) tidak sampai menyimpang dan tidak pula melampauinya(Sidratul Muntaha). Sesungguhnya dia (Rasulullah saw.) telah melihat sebahagian tanda-tanda kebesaran Allah Yang Maha Agung” (Q.S Al Najm: 16-18) “Sesungguhnya dia (Muhammad saw.) benar-benar telah melihatnya (jibril) untuk yang kedua kalinya (dalam bentuk aslinya) di dekat Sidratul Muntaha. Di dekatnya terdapat Jannatul Ma’wa” (Q.S Al Najm: 13-15)

 Kesimpulannya, Peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah S.W.T dan takut kepada kekuasaan-Nya.

Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka.

Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah Subhanahu Wataala. Allah Subhanahu Wataala telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam. Dengan kita mendengar dan menghayati kisah dan cerita yang berlaku di dalam peristiwa Israk dan Mikraj kita perlu ambil ikhtibar dan yakin bahawa bumi Baitulmaqdis Palestin yang menjadi tempat bermulanya Mikraj Nabi SAW adalah bumi penuh berkah dan terdapat Masjidil Aqsa (kiblat pertama umat Islam) Baitulmaqdis dan Masjidil Aqsa adalah harta umat Islam yang telah dirampas oleh Zionis Yahudi laknatullah.

Umat Islam perlu berusaha, berkorban dan berdoa semoga tempat suci umat Islam ini dapat dipulangkan kembali kepada pangkuan umat Islam. Peristiwa Israk dan Mikraj akan lebih bermakna apabila umat Islam seluruhnya dapat membantu saudara-saudara kita di Palestin dan dapat memulihkan dan menguasai Baitulmaqdis dan menghalau Yahudi laknatullah daripada menguasai dan membunuh saudara-saudara kita di Palestin. Adakah perubahan kiblat dari Baitul Maqdis di Palestin ke Baitul Haram, Mekah merupakan perancangan Allah untuk umat Islam lebih memahami konteks Israk Miraj ini? Renungkan umat Islam.

Saya juga menyeru untuk umat Islam lebih bersedia untuk menghadapi yang mana beberapa hari lagi kita akan masuk ke dalam bulan Rasulullah s.a.w iaitu bulan Syaaban. Sudahkah banyak amalan sunat sudah kita lakukan semasa bulan Rejab ini. Saya mengajak umat Islam dan diri saya untuk memperbanyakkan lagi amalan-amalan untuk persediaan Ramadan.

*Penulis merupakan pelajar jurusan Ijazah Sarjana Psikologi Industri di Universiti Selangor. Sedang menjalani latihan industri di INTEC,Seksyen 17 Shah Alam. Untuk sebarang perkara yang berurusan persatuan sila berhubung terus dengan Setiausaha Agong GPTD , saudari Ummah.

NOR HAFIZ BIN RAZALI
Presien GPTD UNISEL

Thursday, March 15, 2012

FORLOT - Sistem Demokrasi Pilihanraya dan Generasi Muda


BESTARI JAYA, 12 Mac 2012 – FORLOT, nama singkatan bagi Forum Lorong Tengah yang diadakan bagi membincangkan isu berkaitan demokrasi, FORLOT bertempat di Dewan Biru Unisel. Acara ini diadakan dalam bentuk forum. Program dihadiri seramai hampir 40 orang mahasiswa dan mahasiswi Unisel Bestari Jaya. Para panel dari luar telah diundang bagi menjayakan program FORLOT.  Antara panel yang diundang ialah Ahmad Fahmi wakil PKPIM (Persatuan
Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia), Azan Safar wakil GAMIS (Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia), Fahmi Reza dari Occupy Dataran, dan Firdaus Zolkofli dari Mesin Cetak Diskopi. Program dimulakan dengan bacaan doa oleh Saudara Muhammad Fakhrul Amiruddin bin Hamdan. Forum antara panel dimulakan dan moderator pada malam tersebut ialah Ahmad Fawwaz Afifi bin Jamaludin. Perbincangan para panel begitu rancak dan berakhir pada jam 11.30 malam dan FORLOT berlansung selama 3 jam. Jualan buku-buku ilmiah turut berlansung di dalam dewan sewaktu  FORLOT berlansung. FORLOT diakhiri dengan Tasbih Kafarah dan Suratul ‘Ashr dan sesi berfotografi. Sebelum para panel pulang, mereka dijamu di kafe PKP (Pusat Komuniti Pelajar) Unisel.










Saturday, April 30, 2011

MAHASISWA TURUN KE SEKOLAH

TANJUNG KARANG,1 Mei 2011 – Seramai lebih kurang 30 orang peserta yang diwakili oleh beberapa buah sekolah menengah sekitar Kuala Selangor telah menghadiri Kursus Kepimpinan Remaja Islam Kuala Selangor yang telah dianjurkan oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang terdiri daripada SMK Dato Harun, SAM Tanjung Karang, SAM Pasir Panjang, dan SAM Jeram. Kursus Kepimpinan Remaja Islam ini berlangsung selama dua hari mulai 30 April 2011 hingga 1 Mei 2011 dan bertempat di SAM Tanjung Karang.

Kursus ini dijayakan oleh Grup Pengkaji Tamadun Dunia Unisel (GPTD UNISEL) dan Persatuan Penggerak Mahasiswa Unisel (PPMU). Objektif utama menganjurkan kursus ini adalah membolehkan para peserta memahami apakah makna sebenar kepimpinan dari sudut pandangan Islam serta perkaitannya dengan konsep khalifah dan hamba, mengetahui peranan dan kepentingan penglibatan remaja dalam urusan kepimpinan serta kesannya pada masa hadapan serta membina jaringan dan persefahaman antara pelbagai pihak yang terlibat bagi bersama-sama menggembleng tenaga dalam mendepani isu-isu gejala sosial di Daerah Kuala Selangor.

 “ Program ini amat memberi manfaat kepada pelajar seperti kami dan saya berharap program ini dapat dianjurkan lagi pada masa akan datang ” kata adik Nurfatin Afika dari SMK Dato’ Harun. Para peserta dilatih dalam aktiviti berkumpulan agar dapat  menambahkan ukhuwah antara peserta. Pelbagai aktiviti santai yang berfaedah dan ilmiah diadakan. Aktiviti ini dapat menguji dan mengasah permikiran kreatif dan kritis remaja. “Program seperti ini bagus untuk remaja disamping melatih kami sebagai mahasiswa/i lebih dekat dengan golongan remaja mahupun penduduk sekitar kerana seorang pemimpin yang berjaya bukannya lahir daripada bilik kuliah sahaja, namun pemimpin yang berjaya lahir dipadang masyarakat“, kata Saudari Hafizah selaku fasilitator program.

Kursus ini dirasmikan oleh Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia iaitu Dr. Muhamad Razak Bin Idris. Presiden ABIM dalam ucapan Perasmian Penutupan Kursus Kepimpinan Remaja Islam Kuala Selangor di sini menegaskan bahawa pentingnya perhimpunan bersama kaum dewasa dan remaja dalam membentuk sebuah generasi yang mantap.

Sunday, January 23, 2011

Buku yang dibaca, yang dibakar

Bila saya membaca berita tentang pembakaran buku Interlok, saya tidak terperanjat. Novel Interlok garapan Abdullah Hussain ini telah menjadi berita kerana dikatakan ada unsur rasis dan penghinaan terhadap orang India.

13 mei tunku abdul rahman 121007Sebenarnya, membakar buku di Malaysia ini bukan satu yang baru. Pertama kali saya terbaca berita membakar buku ini ketika di sekolah menengah pada tahun 1970 dahulu.

Buku 13 Mei: Sebelum dan Sesudah telah dibakar di Sudut Pidato di hadapan perpustakaan Universiti Malaya. Saya tidak pasti apakah ini kerja Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya atau pun kerja Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya.

Buku itu adalah garapan Tunku Abdual Rahman, yang pada ketika itu perdana menteri Malaysia. Buku ini dibakar kerana ketika itu anak-anak mahasiswa amat marah terhadap Tunku. Tunku dibenci kerana dikatakan telah mengadaikan kepentingan Melayu dan menjual negara ini kepada tauke Cina.

Agak ironis, tidakan mahasiswa di Universiti Malaya ini disebabkan pada 10 Mei 1933 anak anak mahasiswa Jerman juga telah membakar 25,000 buah buku. Angka besar adalah judul buku yang dianggap tidak 'bersemangat Jerman'. Ini berlaku di zaman Hitler berkempen untuk membakar semangat Aryan yang berkulit putih, bermata biru dan berambut merah bagimeluaskan pengaruh politik Nazi.

Interlok ada menggunakan perkataan 'paria' yang dianggap rasis oleh orang India. Ada juga ayat-ayat lain yang tidak disenangi oleh orang India. Sama ada perkataan paria dalam Interlok ini rasis atau tidak, bukan ini yang ingin saya garap. Saya ingin membuka ke satu rentang yang lebih luas. Saya ingin membuka persejarahan kata, makna dan tanda dalam pembudayaan negara bangsa.

NONEHarus disedari bahawa bunyi kata-kata yang keluar dari mulut kita ini tidak memiliki apa-apa makna. Makna yang kita kahwinkan dengan bunyi itu didatangkan kemudian.

Misalnya bunyi "ke-la-pa". Bunyi ini tidak memiliki apa-apa makna kepada orang Sweden. Tetapi ia memiliki makna untuk orang Malaysia. Makna ini lahir dari alam persekitaran, dari sesuatu budaya bangsa, bukan dari bunyi perkataan itu. Kewujudan pokok yang tinggi menjulai ini melahirkan perkataan ke-la-pa. Benda-benda yang wujud dalam alam inilah yang melahirkan perkataan. Perkataan ini diberi oleh budaya persekitaran.

Baju Cina, baju Keling

Mari kita lihat perkataan "keling", yang pada satu ketika dahulu ada tuntutan di mahkamah agar ia dilupuskan dari Kamus Dewan. Untuk saya, mamat yang menuntut penlupusan perkataan ini tidak memahami sejarah perkembangan tamadun manusia. Pasti mamat ini tidak ada keupyaan untuk membaca 25,000 buku Jerman. Jauh sekali membaca kitab Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu.

indian crowd malaysia 291107Sila baca kitab Sejarah Melayu ini dan lihat bagaimana perkataan keling itu telah digunakan tanpa memiliki unsur-unsur prasangka, penghinaan atau sikap rasisme. Perkataan keling muncul apabila adanya bukan orang Melaka yang datang dari negara atas angin. Lalu mereka diberi nama keling kerana mereka pendatang baru yang dikatakan rakyat Raja Kalinga.

Bunyi, makna dan tanda di sini bukan ilmiah yang berasakan ilmu alam. Ini tidak penting. Lihat bagaimana hingga sekarang manusia Melayu mengunakan perkataan Benggali sebagai kata nama untuk manusia dari wilayah Punjab, walhal Benggali seharusnya kata nama untuk warga dari wilayah Benggal.

Lihat perkataan ini diterima masuk dalam budaya Melayu tanpa prasangka atau niat jahat. Malah ada beribu-ribu perkataan Sanskrit yang telah memperkayakan perbendaharan kata dan pengucapan manusia Melayu.

"Maka Baginda pun perkenan memberi persalinan sepasangan baju Cina dan sepasang baju Keling. Maka apabila anakanda memakai baju Cina maka rupa Cinalah dianya. Apabila anakanda memakai baju Keling maka rupa Kelinglah dianya…"

kugan detainee death morgue scene 220109Di atas adalah ayat dalam buku Sulalatus Salatin yang ditulis 600 tahun dahulu. Satu ketika, lama dahulu konsep prasangka, rasisme dan perkauman ini belum wujud dalam sensibeliti manusia Melayu. Enam ratus tahun dahulu belum wujud perebutan ekonomi yang meruncing. Enam ratus tahun dahulu belum wujud Hindraf atau saham Telekom untuk Maika. Enam ratus tahun dahulu Kugan dan Francis belum lagi ditemui mati dalam rumah pasong.

Malah sensibeliti terhadap perkataan keling atau paria ini datang kemudian dalam budaya Melayu. Ia datang bersama sikap rasisme yang dibawa oleh kolonial British ketika menjajah Tanah Melayu ini. Kolonialisme memerlukan satu idealogi untuk menghalalkan penghisapan tenaga buruh anak-anak tanah jajahan.

Justeru mereka yang dijajah wajib dilihat lebih rendah dari tuan penjajah. Yang perlu dijadikan kuli oleh British di ladang getah di Tanah Melayu ialah warga paria kerana mereka adalah warga dari kasta yang terendah dalam budaya Hindu. Yang menjadi mandur dari kasta yang lain. Yang menjadi pengurus juga dari kasta yang lain. Ini adalah cara penjajah.

Kepala angin tak faham


Amat jelas perkataan tanda dan makna paria ini bukan diwujudkan oleh manusia Melayu. Paria ini lahir dari sistem kasta Hindu itu sendiri. Manusia Melayu tidak memiliki nilai penghinaan apabila bertembung untuk kali pertama dengan perkataan ini. Malah yang membawa masuk ke Tanah Melayu nilai penghinan terhadap perkataan paria ini ialah orang-orang dari India itu sendiri yang kini tinggal di Malaysia tetapi dengan bangganya masih mengamalkan sistem kasta.

Jangan silap faham. Apa yang saya tulis ini bukan untuk menunjukkan bahawa manusia Melayu ini suci dan tidak memiliki prasangka atau sifat benci terhadap orang luar. Sikap benci terhadap "orang lain" ini bukan hanya dimonopoli oleh Hitler, kaum Zionis atau kuam penjajah. Ia wujud dan dimiliki oleh semua budaya dan bangsa. Yang ingin saya paparkan ialah bagaimana perkataan melahirkan konsep, tanda dan makna. Dan bagaimana budaya membudayakan perkataan itu.

azlanJusteru adalah tidak adil untuk menilai novel Interlok dengan sensibeliti hari ini. Ini samalah juga seperti tidak masuk akalnya untuk kita mengubah kitab Sulalatus Salatin kerana ada menggunakan perkataan keling. Atau kita wajib menggantikan nama Tanjung Keling kerana adanya perkataaan keling disebut bersama perkataan tanjung.

Biar saya bawa keluar ke dunia sastera di Amerika Syarikat. Mark Twain (1835 – 1910) adalah penulis yang telah dinobatkan sebagai penulis agung untuk budaya negara bangsa Amerika. Buku Adventures of Huckleberry Finn adalah kitab wajib untuk seluruh warga Amerika.

Buku Adventures of Huckleberry Finn ini ditulis pada tahun 1885 - 165 tahun dahulu. Dalam buku ini ada menggunakan perkataan "nigger". Pada tahun-tahun 60-an lahirnya pejuangan hak asasi manusia di Amerika Syarikat. Maka lahir satu kesedaran dan sensibeliti baru di mana warga berkulit hitam marah kalau dipanggil nigger. Perkataan ini dianggap rasis.

australia media visit 290107 islamic college libraryKetika itu orang berkulit hitam di Amerika tidak marah kalau dipanggil negro. Negro ini bermakna hitam dalam bahasa Sepanyol, seperti aswad dalam bahasa Arab. Kemudian lahir sensibeliti baru di mana perkataaan negro ini juga dilawan dan ditentang. Orang hitam di Amerika Syarikat hari ini mahu mereka dipanggil African America.

Lihat bagaimana berlaku perubahan dan sensibiliti. Ada juga Kepala-kepala angin yang tidak faham tentang sastera dan budaya telah mengkritik buku Mark Twain. Kepala angin di Amerika agak cerah sedikit kerana mereka tahu sadikit sebanyak tentang sejarah dan makna upacara bakar-membakar buku ini. Mereka tidak ingin diasosiasi dengan cucu-cicit Hitler. Hingga ke hari ini buku Mark Twain ini adalah buku wajib untuk sesiapa sahaja yang ingin mengetahui budaya dan sastera Amerika.

Biar saya bawa ke zaman Baitul Hikmah, di zaman pemerintahan Khalifah Harun Ar-Rasyid (763-809) dan di zaman anaknya Al-Makmum (813-833). Ini adalah zaman kegemilangan perkembangan ilmu pengetahun di negara Arab yang berpusat di Baghdad. Di zaman ini buku falsafah dari Greek telah diterjemah ke dalam bahasa Arab oleh para ilmuan.

Kempen politik

Al-Farabi dan Ibu Sina, dua ahli falsafah Arab/Islam bukan sahaja menterjemahkan buku-buku Aristotle malah memberi makna dan pengertian baru. Dalam sejarah falafah kuno dan moden Al-Farabi amat penting sekali sehinggakan dinamakan Aristotle Kedua. Tanpa ahli-ali falsafah di Baitul Hikamh ini, tidak akan terbuka zaman Pencerahan di Eropah.

Ini tidak bermakna buku dan falsafah mereka yang mengajukan rasionalisme tidak ada yang menentangnya. Al-Ghazali (1058–1111) yang datang kemudian telah menentang pandangan dan falsafah Al-farabi dan Ibnu Sina. Tetapi bukan dengan membakar buku-buku yang terawal. Apa yang dilakukkan oleh Al-Ghazali ialah menulis buku Tahafut al-Falasifah (Kerancuan Ahli Falsafah) untuk menjawab buku-buku Al-Farabi dan Ibu Sina. Dengan ini memperkayakan debat keilmuan hingga ke hari ini.

salman rushdie satanic versesMembakar buku untuk menunjukan tentangan adalah senang. Buku Salman Rushdie dibakar. Buku Tunku dibakar dan kini buku Abdullah Hussain pula dibakar. Nyatalah sosok-sosok yang suka membakar buku-buku ini tidak memiliki nilai ilmu pengetahuan dan tidak tahu apa yang seharusnya dilakukan kepada buku. Justeru mereka membakar buku.

Tidak dapat dinafikan bahawa ramai orang India di Malaysia ini merasa diri mereka ditindas. Peratus orang India dalam penjara tinggi berbanding dengan jumlah penduduknya. Ramai anak-anak muda India mati di pelbagai rumah pasong. Ramai orang India tidak memiliki kad pengenalan dan hidup merempat.

Penindasan terhadap orang India ini dilakukan oleh kerajaan yang berpandukan falsafah Ketuanan Melayu. Semua ini betul dan sahih. Tetapi jawapan untuk membebaskan diri dari penindasan ini bukan dengan melupuskan perkataan keling atau menghapuskan konsep paria. Ia memerlukan lebih dari itu.

Untuk membebaskan diri ialah melalui pembacaan. Melalui pembacaan buku-buku, kemungkinan dapat digarap satu pemikiran yang akan membawa harapan dan pembebasan. Membakar buku tidak mendatangkan apa-apa faedah, malah mencemarkan udara. Amat ironis, si pembakar buku tidak mungkin akan akan dilihat berkulit putih, bermata biru dan berambut merah, walaupun membakar Intelok sebagai satu kempen politik untuk membakar semangat kaumnya.

Sumber : Malaysiakini

Friday, May 14, 2010

Memori suram 13 Mei



Ianya bermula apabila keputusan pilihan raya pada 10 Mei 1969 diumumkan pada hari berikutnya. Buat pertama kalinya sejak kemerderkaan, Perikatan hilang penguasaan majoriti dua pertiga di Parlimen dan tumbang di Kelantan dan Pulau Pinang. Dewan undangan negeri Selangor dan Perak pula digantung kerana tiada parti yang mencapai kemenangan majoriti. Bagaimanapun, di Selangor, Perikatan kemudiannya dapat menguasai negeri itu selepas mendapat sokongan calon Bebas tunggal.

Untuk merayakan kemenaangan itu, pembangkang telah mengadakan perarakan kemenangan pada 12 Mei dengan kebenaran pihak polis. Penyokong India dan Cina parti Gerakan yang merupakan parti pembangkang ketika itu, turut menyertai perarakan tersebut yang diketuai oleh ikon Gerakan Dr Tan Chee Khoon dari klinik dan pejabat politiknya, Tan Dispensary, yang terletak di Jalan Batu (sekarang dikenali sebagai Jalan Tunku Abdul Rahman).

Dalam memoirnya 'May 13 Before and After' Perdana Menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman berkata perarakan untuk 1,000 anggota parti itu telah bertukar menjadi perarakan samseng. Beliau menulis bahawa kegilaan ekoran kemenangan itu mencapai kemuncaknya dan orang ramai tidak dapat dikawal lagi. Menurut Tunku lagi pihak komunis mengambil kesempatan dengan membakar emosi mereka.

Perarakan itu kemudian berubah haluan menuju ke Jalan Campbell (sekarang Jalan Dang Wangi) dan Jalan Hale (sekarang Jalan Raja Abdullah) menuju ke kampung majoriti orang Melayu - Kampung Melayu - dan melalui kediaman Menteri Besar ketika itu, Datuk Harun Idris. Menurut seorang saksi yang berusia 18 tahun ketika itu, mereka berarak sambil membawa penyapu, cuba mengatakan bahawa bangsa Melayu akan disapu. Katanya, mereka membawa penyapu untuk menyapu Datuk Harun dari rumahnya itu.

Dalam keghairan untuk menunjukkan siapakah yang berkuasa, mereka melaungkan kata-kata menghina orang Melayu di kawasan itu sambil memperlihatkan pelakuan yang kurang ajar. Pada saat itulah ia membangkitkan kemarahan orang Melayu, katanya. Demonstrasi itu kemudiannya reda, tetapi ia tidak berakhir di situ apabila orang Melayu pula merancang untuk mengadakan perhimpunan pada hari berikutnya.

Rumah menteri besar yang kini merupakan tapak pembinaan kondominium, dijadikan pusat operasi untuk menganjurkan perhimpunan tersebut. Menurut para saksi, orang Melayu dari beberapa kubu kuat di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor, telah berhimpun di rumah Datuk Harun dengan bersenjata seperti batang kayu dan parang. Berita dilaporkan bahawa orang Cina telah menyerang dua orang Melayu di Setapak. Dan pertumpahan darah bermula kira-kira jam 6 petang.


Sumber : Malaysiakini

Related Posts with Thumbnails