Wednesday, April 28, 2010

Selamat menghadapi peperiksaan



Barisan kepemimpinan GPTD Unisel ingin mengucapkan selamat menduduki peperiksaan akhir dan semoga dipermudahkan oleh Allah SWT dalam segala urusan.

Peranan mahasiswa terhadap Isu kalimah Allah

Bestari Jaya, 27 April 2010 - Pidato Lorong Tengah (Pilot) kali ini telah membawa tajuk Isu Kalimah Allah Satu Penjelasan di LT FELS, Unisel Kampus Bestari Jaya. Pemidato pertama, Sdr Muhammad Faisal, Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) telah menyampaikan pidatonya tentang peranan mahasiswa dalam memahami isu dan respon terhadapnya. "Besar implikasinya jika penggunaan kalimah Allah dibenarkan kepada bukan Islam", kata Faisal. Dalam pidatonya juga diberitahu tentang Lawrence, Editor Herald menyatakan sebab mereka menggunakan kalimah Allah kerana hendak memastikan Islam tidak dilaksanakan di Malaysia. "Jika kedai makan bukan muslim selepas ini."Di Sabah telah ada penamaan gereja kepada Rumah Pondok Allah. Ini akan menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat", tambah Faisal lagi. Oleh kerana itu, mahasiswa perlu terlibat dalam NGO yang berprinsip non-partisan supaya kita dapat memberikan pandangan yang berbeda kepada parti politik dengan berlandaskan ilmu.

Pemidato kedua, Dr Farid Shahran pula merangkumkan dalam 3 aspek iaitu bahasa, dakwah dan akidah. Beliau menerangkan istilah Allah adalah kata nama khas berbeda dengan istilah Tuhan yang merupakan kata nama am. Kata nama khas tidak boleh diterjemahkan kepada bahasa yang lain sebagaimana nama orang. Dalam soal dakwah pula, kristian memang menggunakan pendekatan yang menyuaikan agama kepada kebudayaan sesuatu kaum walaupun bercanggah dengan prinsip asas agama mereka. Dalam Islam, matlamat tidak boleh menghalalkan cara. Kebudayaan yang tidak bercanggah dengan syariat maka ia boleh dikekalkan."Isu ini jika dilihat dalah soal akidah kita boleh rujuk surah Al-Ikhlas sebagai panduan wahyu", jelas Dr Farid dalam pidatonya. "Kalimah Allah yang bukan Islam gunakan tidak sama makna sebenar dalam agama Islam kerana Allah bersifat Esa", tambah Dr Farid.

Beberapa hadirin juga mengambil kesempatan untuk memberi respon dan bertanya soalan kepada pemidato jemputan. Kehadiran kurang lebih 30 kepemimpinan mahasiswa menghangatkan dewan kuliah. Antara yang hadir adalah Mohd Azim Kasim, YDP MPP Unisel dan beberapa barisan exco. Sdr Muhammad Izzat Chiairil Anuar, Presiden GPTD Unisel juga sempat memberikan ucapan dalam penutupan program.

- Unit Media

Monday, April 26, 2010

Makluman tentang buku Isu Kalimah Allah


Bagi memberi gambaran awal tentang Isu Kalimah Allah ada baiknya aktivis dan pencinta ilmu untuk membaca secara ringkas agar pemahaman isu pokok dapat ditanggapi dan boleh dilanjutkan diskusi semasa Pidato Lorong Tengah berlangsung esok. Semoga dokumen ringkas ini dapat memberi manfaat kepada pembaca semua. Sekian, terima kasih

Muat turun Buku Keterangan Isu Kalimah Allah di sini.


-Sekretariat GPTD Unisel

Retreat Pimpinan di pinggir tasik Masjid Unisel

Bestari Jaya, 25 April 2010 - Selepasa Majlis Perhimpunan Agung Tahunan (MPAT) kali ke-2 selesai, kepemimpinan GPTD Unisel yang dinakhodai oleh Sdr. Muhammad Izzat Chiairil Anuar telah mengadakan Retreat Pimpinan di Masjid Unisel berdekatan dengan tasik yang indah. Barisan kepemimpinan merancang segala program & aktitivi sepenggal yang akan dilaksanakan pada dua semester hadapan. Ini penting, sebagaimana yang telah disebut dalam ucapan dasar presiden tentang gerak kerja terancang yang perlu diamalkan oleh aktivis GPTD. Program yang mula seawal jam 8.00 pagi telah selesai sehingga waktu Zuhur. Semoga apa yang telah dirancangkan akan dapat ditunaikan pada masa hadapan.

-Unit Media

Aktivis GPTD hadir ke Seminar Falak

Bestari Jaya, 24 April 2010 - Aktivis GPTD Unisel, Sdr Khairul Anwar telah hadir ke Seminar Falak di Dewan Senat anjuran Jabatan Agama Islam Selangor dengan kerjasama Pusat Islam, Unisel. Program yang bermula pada 9.00 pagi dengan berkongsian ilmu falak oleh cendekiawan muslim. Pelbagai kepentingan ilmu falak kepada umat Islam untuk dipelajari dan kuasai. Jika dilihat ilmuan Islam terdahulu, mereka bukan sahaja pakar dalam bidang aqidah, falsafah, perubatan tetapi juga ilmu falak. Program ini diakhiri dengan cerapan bulan dan bintang dengan menggunakan teropong berteknologi tinggi.

-Unit Media

Sunday, April 25, 2010

Hadith : Kenapa Dunia Islam Menjadi Sasaran Pemusnahan

Daripada Ummul Mu'minin , Zainab binti Jahsy (isteri Rasulullah saw.) ,beliau berkata," (Pada suatu hari) Rasulullah saw. masuk ke dalam rumahnya dengan keadaan cemas sambil bersabda, La ilaha illallah, celaka (binasa) bagi bangsa Arab dari kejahatan (malapetaka) yang sudah hampir menimpa mereka. Pada hari ini telah terbuka dari dinding Ya'juj dan Ma'juj seperti ini", dan Baginda menemukan hujung jari dan hujung jari yang sebelahnya (jari telunjuk) yang dengan itu mengisyaratkan seperti bulatan. Saya (Zainab binti Jahsy) lalu bertanya: "Ya Rasulullah! Apakah kami akan binasa sedangkan dikalangan kami masih ada orang-­orang yang shaleh?" Lalu Nabi saw. bersabda "Ya, jikalau kejahatan sudah terlalu banyak".
H.R. Bukhari Muslim

- Unit Pembina



Saturday, April 24, 2010

Mahasiswa dan Aktiviti Universiti

Dalam susurgalur sebagai kehidupan mahasiswa di universiti, kita dititikberatkan untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang didalam peperiksaan. Dengan keberhasilan untuk memperolehi keputusan yang cemerlang ini, pelajar dikatakan lebih terjamin untuk mudah memperolehi kerja setelah usai pembelajaran mereka nanti. Inilah pendapat yang sering diberitahu kepada para mahasiswa samaada melalui media, ibubapa, guru-guru dan akhirnya telah mengakibatkan segelintir pelajar mengasingkan diri mereka daripada aktiviti di universiti dan hanya menjadikan universiti sebagai tempat untuk menghadiri kuliah, membaca buku, jawab peperiksaan dan sebagainya.

Keengganan mahasiswa untuk melibatkan diri di dalam aktiviti kampus bukanlah sesuatu perkara yang baru. Bayangkan aktiviti di universiti kita sekiranya di dokumentasikan dan kemudian di jilid untuk menjadi bahan bacaan oleh generasi di masa hadapan. Sudah tentu kita akan berasa malu dengan kelesuan kita dalam melakukan aktiviti di kampus. Jauh berbeza dengan universiti di sebuah negara yang maju, aktiviti di universiti kita banyak dilompongi disebabkan keengganan mahasiswa universiti itu sendiri yang berfikir tindakan mereka untuk tidak aktif itu adalah berada di tempat yang betul iaitu demi menjamin keselamatan CGPA.

Tidak berlebihan sekiranya penulis menganggap bahawa keadaan ini adalah “Zaman kegelapan” bagi universiti dan ia berlaku pada zaman kita sekarang. Keadaan yang sama juga berlaku di zaman kegelapan yang terdahulu samaada di barat dan timur. Zaman kegelapan yang bererti bahawa penduduknya berasa bahawa kehidupan harian yang telah dilaluinya adalah dalam keadaan yang benar dan normal, sebaliknya di masa hadapan menyatakan bahawa zaman yang dilaluinya itu berada dalam zaman yang penuh kekeliruan. Zaman kegelapan ini juga bermakna tiada perkembangan idea berlaku berikutan penduduknya itu sendiri yang sudah berpuas hati dengan apa yang diterimanya. Hakikatnya hal ini boleh sahaja disamakan dengan keadaan kita sekarang, bahawa penolakan kita terhadap aktiviti di universiti bererti kita menolak untuk penjanaan kekreatifan minda dan idea dan sebaliknya memilih untuk menjadi statik dengan menjadikan “A” didalam kertas peperiksaan sebagai matlamat pelajar semata-mata.

Kesan yang diterima bukan sahaja berlanjutan selama bertahun-tahun malah boleh berlanjutan sehingga beratusan tahun akibat daripada tindakan yang tidak mahu berbuat apa-apa ini. Ia juga merebak sehinggakan menimbulkan konflik-konflik yang sia-sia seperti pergaduhan, penipuan dan sebagainya. Akibatnya, perjalanan hidup menjadi sia-sia dan sejarah hanya memandang keadaan itu sebagai zaman yang penuh kesuraman. Tidak lebih daripada itu. Malangnya, hal yang sama juga sedang berlaku di universiti kita. Universiti yang sepatutnya menjadi pusat melahirkan tokoh ilmuan dan cendikiawan akhirnya hanya melahirkan manusia untuk menjadi pekerja yang taat kepada majikan. Mahasiswa apabila tamat pembelajaran di universiti bukannya berfikir untuk berkhidmat kepada negara sebaliknya hanya berfikir untuk bagaimana mencari kerja. Ini kerana aktiviti mahasiswa universiti yang sepatutnya saling bertukar idea dan pendapat telah berganti menjadi pembelajaran sehala yang tidak menjana kekreatifan minda.

Berikutan daripada inilah revolusi pemikiran harus dijalankan. Fikrah mahasiswa yang telah dicorakkan untuk memilih menjadi pasif harus diganti supaya mahasiswa itu sendiri menjadi lebih aktif, kreatif dan bertenaga. Seruan untuk menggalakkan mahasiswa kembali aktif harus banyak dijalankan samaada oleh media, kerajaan, pensyarah mahupun ibubapa. Inilah akhirnya yang akan menunjukkan institusi universiti berbeza sama sekali dengan institusi alam persekolahan dan akhirnya berhasil memperlihatkan gahnya sesebuah institusi yang bernama universiti.

Penulis : Reza Aidil bin Mohd Aris, pelajar Fakulti Sains Sosial Pengurusan Industri di dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Psikologi, Unisel.

Tuesday, April 20, 2010

Pidato Lorong Tengah : Isu Kalimah Allah Satu Penjelasan








Hadith : Ilmu Agama Akan Beransur-ansur Hilang

Daripada Abdullah bin Amr bin 'ash r.a. berkata: Aku mendengar Rasulullah saw. bersabda, "Bahawasanya Allah swt. tidak mencabut (menghilangkan) akan ilmu itu dengan sekaligus dari (dada) manusia. Tetapi Allah swt. menghilangkan ilmu itu dengan mematikan alim ulama. Maka apabila sudah ditiadakan alim ulama, orang ramai akan memilih orang-orang yang jahil sebagai pemimpin mereka. Maka apabila pemimpin yang jahil itu ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Mereka sesat dan menyesatkan orang lain."H.R. Muslim

- Unit Pembina

Thursday, April 15, 2010

Hadith : Seluruh Dunia Datang Mengerumuni Dunia Islam

Daripada Tsauban r.a. berkata: Rasulullah saw. bersabda; "Hampir tiba suata masa di mana bangsa-bangsa dun seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang­-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka". Maka salah seorang sahabat bertanya "Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?" Nabi saw. menjawab, "Bahkan kamu pada harti itu banyak sekali, tetapi kanu umpama buih di waktu banjir, dan Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit 'wahan'. Seorang sahabat bertanya, "Apakah wahan itu hai Rasulullah?" Nabi kita nenjawab, "Cinta pada dunia dan takut pada mati".

H.R. Abu Daud

-Unit Pembina



Tuesday, April 13, 2010

Anjing bukan binatang peliharaan

SOALAN:

Apakah kedudukan orang Islam yang menjadikan anjing sebagai binatang peliharaan? Mereka pula bangga dengan perbuatan itu dengan kata rezeki saya makin bertambah sejak saya bela anjing?

Jawapan:

Orang Islam tidak boleh dan tidak dibenarkan memelihara anjing sebagai binatang peliharaan seperti kucing. Ia jelas boleh dipelihara hanya sebagai:

*Anjing perburuan seperti yang disebut dalam al-Quran, surah al-Maidah, ayat 4: Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad): “Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi mereka?” bagi menjawabnya katakanlah: “Dihalalkan bagi kamu (makanan) yang lazat-lazat serta baik, dan (buruan yang ditangkap oleh) binatang-binatang pemburu yang telah kamu ajar (untuk berburu) mengikut cara pelatih-pelatih binatang pemburu. Kamu mengajar serta melatihnya (adab peraturan berburu) sebagaimana yang telah diajarkan Allah kepada kamu. Oleh itu makanlah dari apa yang mereka tangkap untuk kamu dan sebutlah nama Allah padanya (ketika kamu melepaskannya berburu); dan bertakwalah kepada Allah (dengan memelihara diri dari memakan apa yang diharamkan oleh Allah); Sesungguhnya Allah Maha segera hitungan hisab-Nya”.

Haiwan buruan yang ditangkap olehnya tidak perlu disamak kerana ia antara yang dimaafkan (ma’fuwwun ‘anhu).

*Untuk menjaga tanaman

*Untuk menjaga binatang ternakan seperti lembu dan kambing seperti yang kita lihat dalam filem-filem koboi.

Nabi Muhammad SAW bersabda: Sesiapa yang memelihara anjing bukan untuk menjaga tanaman atau berburu maka akan berkurangan daripada pahala amalan hariannya sebanyak satu qirat setiap hari. (riwayat Muslim dari Abu Hurairah dan Ibnu Umar)

Qirat dijelaskan dalam hadis lain riwayat Muslim dari Tsauban: “Qirat itu umpama sebesar bukit Uhud”. Malah dalam hadis lain yang muttafaq ‘alaih (diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim) dari Ibnu Umar: “…sebanyak dua Qirat”.

Jika difikirkan memang logik kerana jika kita memelihara anjing sebagai haiwan peliharaan, sudah pasti tidak dapat mengelakkan diri daripada dijilat oleh anjing tersebut. Sedangkan setiap kali dijilat dikira najis mughallazah (berat).

Jadi, ia akan mengurangkan masa kita untuk melakukan ibadah lain kerana terikat dengan prosedur menyucikan diri dan tempat daripada najis mughallazah khususnya untuk solat lima kali sehari. Atau kita menjadi malas lalu mengabaikan status najis mughallazah yang perlu disucikan dengan tujuh kali air mutlak, yang pertama bercampur tanah yang suci.

Bayangkan rumah-rumah kita pada hari ini – bagaimana untuk mendapatkan tanah yang suci? Akan tetapi jika diabaikan, solat anda tidak sah pula.

Satu hadis yang diriwayatkan oleh Darqutni dan Hakim dinyatakan bahawa Rasulullah SAW pernah menolak jemputan satu kaum yang membela anjing untuk datang ke rumah mereka.

Apabila ditanya, baginda menjawab kerana dalam rumah mereka ada anjing. Sebaliknya baginda menerima jemputan kaum yang membela kucing. Apabila ditanya, baginda menjawab, “kerana kucing itu bukan najis”.

Menolak jemputan

Lalu para sahabat baginda mengambil kesimpulan daripada hadis ini bahawa baginda menolak jemputan mereka yang membela anjing kerana bimbang terkena najis terutamanya air liur daripada jilatannya.

Terdapat juga hadis riwayat Muslim dari Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda: Malaikat tidak akan menemani seseorang yang berada di suatu tempat yang terdapat anjing dan juga loceng.

Dalam hadis lain, Nabi SAW bersabda: Sesungguhnya malaikat tidak akan memasuki rumah yang di dalamnya terdapat anjing atau gambar. (muttafaq ‘alaih- diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim) dari Ali.

Ulama kini pula mengharuskan penggunaan anjing untuk mengesan penjenayah, dadah, bahan letupan seperti bom atau periuk api, mangsa bencana alam seperti gempa bumi atau tsunami, dan sebagainya.

Ia bagi membantu kerja-kerja mencabar pihak pengawal keselamatan, pegawai penjara, pihak polis, dan imigresen terutamanya untuk pengawasan hatta kepada rumah-rumah persendirian yang memerlukan khidmat anjing daripada masalah kecurian atau rompakan.

Begitu juga untuk menolong orang yang cacat sama ada untuk tujuan pengawasan (contohnya daripada dibuli) atau untuk menunjukkan jalan seperti membantu orang buta.

Larangan membela anjing dan statusnya dikategorikan najis mughallazahnya mungkin menjadi tanda tanya. Mungkin satu kajian saintifik veterinar mempunyai jawapannya.

Dapatan kajian menunjukkan anjing biasanya sentiasa terkena jangkitan pelbagai jenis cecacing parasit yang menjadi perumah di dalam tubuhnya dan juga di bahagian luar seperti kulit dan bulunya.

Contoh cacing yang biasa didapati pada anjing ialah Toxocara canis yang membiak di dalam perutnya dan terdapat pada najisnya. Menyentuh dan membelai-belai anjing boleh menyebabkan perpindahan cacing jenis ini kepada manusia.

Seorang doktor haiwan dari Somerset, Ian Wright, melaporkan di dalam Jurnal New Scientist bahawa ia boleh mengakibatkan ‘toxocariasis’ yang boleh mengancam daya penglihatan manusia. Beliau mendapati purata 180 biji telur cacing pada setiap gram bulu anjing. Satu kuantiti yang lebih tinggi daripada jumlah telur cacing yang didapati dalam satu gram tanah.

Ada pun isu mengaitkan kehadiran anjing belaan dengan penambahan rezeki adalah syirik, (nauzubillah). Oleh itu, ia haram dalam Islam kerana Allah sahaja yang berhak menentukan rezeki makhluk-makhluk-Nya.

Tiada sekutu baginya dalam pembahagian rezeki. Wallahu ‘alam.

Sumber : Utusan




Monday, April 12, 2010

Peraturan baru halau penduduk Tebing Barat

Ramallah, 12 April 2010 - Tentera Israel hari ini mengeluarkan beberapa arahan baru yang disifatkan oleh kumpulan-kumpulan hak asasi manusia sebagai berupaya menyebabkan puluhan ribu penduduk dihalau dari Tebing Barat.

Di bawah peraturan yang berkuat kuasa esok itu, sesiapa sahaja yang menetap di Tebing Barat tanpa permit dari Israel boleh diarahkan keluar dari wilayah berkenaan dalam tempoh tiga hari atau dipenjara maksimum tujuh tahun.

Sejumlah 10 kumpulan hak asasi manusia Israel menggesa Menteri Pertahanan, Ehud Barak menarik balik peraturan baru itu yang menurut mereka merupakan cara tentera rejim berkenaan mahu mengosongkan Tebing Barat dengan memindahkan mereka ke Gaza.

Sumber : Utusan


Aktivis turun ke SRK Bangi menabur bakti


Pada hari sabtu yang lepas saya bersama anuar telah mengikuti program Fasilitator di SK Bandar Baru Bangi. Saya dan Anuar telah bertolak awal dari rumah anuar dan menaiki pengangkutan awam KTM. Perjalanan kami agak terlalu lama kerana hujan lebat dirumah Anuar. Sesudah sampai kami telah diambil oleh adik abang Kamarul di KTM Bangi. Kami sampai SK Bandar Baru Bangi pada pukul 11.30. sesudah kami sampai program telah pun berjalan dan kami berjumpa dengan Abang Kam dan Fasilitator yang lain mengenai program sekolah ini.

Saya telah bertanya kepada salah seorang Fasilitator iaitu Anam”diorang ni budak darjah bape dan kategori ape?” Anam pun berkata”diorang ni dari darjah 4,5,6 dan Pengawas Sekolah, Pengawas Pusat Sumber,Briged Siber,Pembimbing Rakan Sebaya dan Ketua dan Penolong Kelas”.Sewaktu program berjalan setiap kumpulan telah pun persembahkan logo mereka dan Fasilitator akan menilainya. Abang Kam telah memberikan kami berdua amanah dengan memanggil ketua kumpulan untuk mengajar mereka satu buah lagu yang telah Abang Kam ajarkan pada kami berdua.

Saya berkata pada Anuar”nua nasib baik kita datang Abang Kam bagi kita aktiviti,kalau x aku pun xtau la”. Selepas itu kami pun berlatih bersama Anuar dahulu supaya kami senang mengajar mereka. Pukul 12.45 makan tengah hari serta Solat Zuhur. Selepas solat murid-murid tadi telah menukar pakaian sukan untuk slot seterusnya. Abang Kam telah memanggil Ketua kumpulan dan ikut kami berdua untuk mengajar mereka lagu. Saya dan Anuar mengajak ketua kumpulan dan cari kelas yang kosong supaya berjauhan dengan dewan tempat mereka bersama Abang Kam.

Sebelum saya mengajar saya telah beri mereka gelak ketawa terlebih dahulu,kerana saya tidak mahu mereka ketawa dengan lagu yang akan kami nyanyikan. Lagu itu bertajuk Lai Chi Kang ia agak kelakar namanya tapi ketua kumpulan agak sukar untuk menyanyikan sambil melakukan gayanya. Proses mengajar mereka agak susah juga kerana ada yang tahu dan tidak tahu. Selepas itu ketua kumpulan kembali kepada kumpulan masing-masing untuk mengajarkan lagu tersebut.

Saya dan Anuar telah lihat mereka berlatih di tempat berasingan. Bermacam kretiviti mereka lakukan untuk persembahan mereka. Selepas itu mereka persembahkan dan para Fasilitator akan menilai dan yang menang akan di beri hadiah gula-gula. Pelbagai gelagat mereka untuk persembahan itu ada yang melompat,ada yang duduk dan macam-macam lagi la. Selepas tamat persembahan para Fasilitator telah mengira markah dan Abang Kam telah mengumumkan kumpulan yang berjaya iailah kumpulan ‘patuh’.

Abang Kam dan para Fasilitator yang lain telah memberi ucapan kepada murid-murid. Selepas itu majlis penutup,ucapan dan penyampaian sijil kepada murid-murid oleh Guru Besar Sekolah iaitu Cikgu Faridah Khalid dan dua guru yang lain. Sesi bersalaman bersama murid-murid dan seorang murid perempuan menyalamku. Saya pun bertanya anuar”nua ni first time aku salam ngan budak bukan muhrim aku”. Abang Kam dan para Fasilitator telah mengemas barang untuk dimasukkan dalam kereta.

Saya dan Anuar menuju ke kantin untuk minum petang. Semasa minum petang saya dan anuar baru nak takruf fasi yang lain. Kami berdua pun menceritakan serba sedikit mengenai GPTD kepada mereka yang lain. Selepas solat asar kami berdua bersalaman dengan Fasilitator lelaki dan Abang Kam telah menghantar kami ke KTM UKM untuk pulang ke Shah Alam….

Disediakan oleh,

Muhammad Izzat Bin Chiairil Anuar
Presiden
GPTD UNISEL
Sesi 2010/2011




Baju Merah cetus korban berdarah

Bangkok, 11 April 2010 - Penunjuk perasaan antikerajaan hari ini mempertahankan kedudukan mereka di serata Bangkok dan menolak rundingan dengan kerajaan, selepas konfrontasi selama sebulan mencetuskan pertempuran yang meragut 21 nyawa dalam keganasan politik terburuk di Thailand sejak hampir dua dekad lalu. Kelongsong peluru, batu dan tompokan darah ditemui di jalan-jalan berhampiran satu kawasan pelancongan utama di mana askar cuba menyuraikan penunjuk perasaan Baju Merah yang menuntut Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva membubarkan Parlimen dan mengatur pilihan raya awal.

Kerajaan-kerajaan asing mengeluarkan amaran kepada rakyat masing-masing supaya menangguhkan lawatan ke negara ini, di mana pelancongan merupakan satu industri utama. Penunjuk perasaan hari ini menunjukkan sejumlah senjata yang mereka rampas daripada askar, termasuk raifal dan peluru mesingan berkaliber besar. Aktivis turut menawan beberapa askar Thai tetapi membebaskan mereka kemudian. Seorang pemimpin Baju Merah, Jatuporn Prompan berkata, tangan Abhisit kini 'berlumuran darah'.

"Tidak ada rundingan lagi kerana Baju Merah tidak akan berunding dengan pembunuh. Sungguhpun jalannya penuh liku, kewajipan kita adalah untuk memuliakan mereka yang terbunuh dengan membawa demokrasi ke negara ini," kata Jatuporn dari pentas yang didirikan sementara. Seorang lagi pemimpin protes, Nattawut Saikua memberitahu wartawan, upacara pengebumian untuk 14 penunjuk perasaan yang terkorban dijadual diadakan malam ini di lokasi mereka gugur, dan mayat mereka akan diarak di serata Bangkok esok. Tiada demonstrasi dirancang untuk hari ini.

Pasukan keselamatan malam tadi memasuki kawasan yang diduduki penunjuk perasaan di sekitar Monumen Demokrasi Bangkok, dekat Khao San Road yang menjadi tumpuan pelancong bajet. Tindakan tersebut sebaliknya mencetuskan pertempuran dan bunyi tembakan dan letupan bom petrol kedengaran selama lebih dua jam. Jurucakap tentera, Kolonel Sansern Kaewkamnerd menuduh penunjuk perasaan membaling bom tangan dan melepaskan tembakan peluru hidup. Seorang jurucakap APTN melihat dua pengawal keselamatan Baju Merah membawa raifal penggempur.

Seorang jurucakap kerajaan pula menafikan askar menggunakan tembakan peluru hidup untuk menyuraikan penunjuk perasaan. "Tidak ada tembakan peluru hidup dilepaskan ke arah penunjuk perasaan," kata Panitan Wattanayagorn pada sidang media yang disiarkan ke seluruh negara. Empat askar dan 17 orang awam termasuk seorang jurukamera Jepun yang bertugas untuk Reuters terbunuh dalam keganasan itu, manakala lebih 800 lagi cedera. - AP/AFP

Sumber : Utusan

Ulasan Penasihat
Adakah demokrasi ini yang ingin dilihat dan dicontohi oleh negara kita? Dua kemungkinan dalam peristiwa tersebut, pertama memang penunjuk yang memulakan kekecohan dengan kelontarkan bom tangan. Kedua, pihak tentera Thailand yang sengaja melakukan provokasi supaya berlaku kekecohan. Peristiwa ala-ala huru-hara di jalanan juga pernah berlaku di Malaysia. Prinsip yang perlu dipegang adalah bersetuju dalam soal kebenaran dan keadilan, membantah dalam soal kebatilan dan kezaliman. Tetapi biar bantahan berlaku di meja rundingan terlebih dahulu. Demonstrasi adalah tindakan akhir setelah meja rundingan gagal.



Catatan Sebuah Pengkisahan : 4 tahun mengenali GPTD

Kisah ini saya tulis sempena tamatnya tempoh perkhidmatan saya secara rasmi sebagai Setiausaha GPTD UNISEL. Mungkin selepas ini, saya tidak akan dilantik sebagai setiausaha dalam mana-mana organisasi setelah hampir 15 tahun menyandang jawatan ini bermula dari darjah 4. Walau bagaimana pun, tugas setiausaha kepada keluarga semestinya disandang untuk seumur hidup. Agak melucukan kerana seringkali saya dilantik untuk jawatan itu sedangkan ada di antara mereka yang belum mengenali saya.

Saya mengenali usrah sewaktu dalam tingkatan 4, naqib kami ketika itu adalah Cikgu Rosdi Muhammad. Potensi & konsistensi saya dalam usrah sering diperhatikan oleh beliau, dan kerana itu saya ditugaskan untuk update papan kenyataan usrah berhadapan tangga pejabat sekolah. Usrah sekali seminggu dan update tazkirah dua kali seminggu. Saya seronok dengan kerja yang dihadiahkan oleh beliau.

Sewaktu di tingkatan 5, saya dilantik sebagai Penghuluwati Pergerakan Puteri Islam. Penasihat persatuan, Pn.Hjh Wan Yusniza Wan Yunus (Teacher Yus) mengadakan usrah untuk pimpinan persatuan. Sistem usrah yang saya ikuti sangat menarik.

Menjejakkan kaki ke UNISEL membuatkan saya rasa sedikit takut. Mungkinkah apa yang dipelajari selama ini akan hilang begitu sahaja sekiranya tiada lagi recharge Iman dalam usrah.

Bermula akhir tahun 2006, saya mengikuti usrah yang dikendalikan oleh Abg. Su. Waktu itu, saya diletakkan dalam Biro Penerbitan i Rakan. Perkenalan dengan beliau dalam kelas C++ membawa saya ke satu alam yang baru. Janji saya untuk tidak terlibat dalam mana-mana persatuan dan hanya menfokuskan pada pelajaran semata-mata tidak dapat saya tunaikan. Haha

Seperti dulu, saya berusaha untuk konsisten dalam usrah. Waktu itu, teman saya Rahmah mengikuti usrah Al Rihlah. Saya tertarik untuk mengikuti usrah tersebut kerana ianya ada ikon yang dijadikan rujukan dalam usrah. Kitab Rihlah Ibn Battutah menarik-narik hati saya.

Manisnya kenangan aturan Yang Kuasa, satu hari Rahmah menghantar mesej kepada saya mengajak saya ke usrah Rihlah. Di situlah bermulanya jatuh cinta saya pada sejarah ketamadunan Islam. Sungguh hebat! Bermula dari hari itu, saya didik hati saya untuk sentiasa istiqamah dalam pengkajian seperti itu.

Dalam perbincangan anggota Rihlah, mereka akan menjelajah ke Aceh, Indonesia. Saya tidak tersenarai waktu itu kerana saya masih lagi dalam Biro Penerbitan. Agak terkilan waktu itu, tapi saya berfikiran positif. Saya masih baru dalam usrah itu, mana mungkin tiba-tiba nama saya melonjak naik. Perasan!

Walaupun ada ketikanya saya keseorangan ke usrah, tapi saya tetap kuatkan hati kerana saya tahu sampai suatu masa nanti saya akan keseorangan juga. Tidak perlulah rasanya saya ceritakan segala apa yang terjadi. Tapi cukuplah sekadar saya katakan saya melihat seorang demi seorang melangkah pergi tanpa kembali dalam usrah. Saya mesti kuat!

Suatu hari kedatangan saya ke usrah mungkin dinanti-natikan oleh mereka. (Perasan itu perlu, tapi sedikit saja.kah3!) Penarikan diri salah seorang ahli Rihlah ke Aceh. Jawatan setiausaha kosong. Dicadangkan saya untuk mengisi kekosongan itu.

Maaf, saya terlupa siapa orang yang memberi cadangan yang bijak bestari tu. Saya terima. Ini peluang saya untuk membuktikan bahawa orang baru juga mampu melakukan yang terbaik. Tugas itu saya jalani dengan bersungguh-sungguh walau terkadang saya yang tersadung.

Saya dilantik sebagai Timbalan Setiausaha Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), UNISEL. Pemilihan dalam kelas kami dan sokongan daripada dekan fakulti waktu itu, Mdm Fridelina Shjahrir. Tanggungjawab yang tergalas di pundak ini harus diteruskan.

Ke Aceh..

Pulang dari Aceh, saya harus mengaktifkan diri dalam MPP. Waktu sangat mencemburui saya. Ada sahaja halnya bila ada usrah. Saya terasing seketika. Menangis kerana gagal mengejar masa. Masa pasti tergelak-gelak memerhatikan saya yang kalah dalam pelarian ini. Saya terpaksa akur. Tinggalkan GPTD (belum tertubuh secara rasmi di UNISEL).

Jujur saya katakan, sepanjang peninggalan saya, saya merasakan suatu kehilangan yang sangat besar. Bodohnya saya kerana sangat lurus dalam hal seperti ini. Khilafnya saya kerana mengabaikan rasa hati semata-mata kerana orang lain. Saya tahu, ahli usrah terkilan dengan keputusan yang saya buat. Tapi, begitulah…maafkan saya!

Tamatnya tempoh perkhidmatan sebagai MPP pada bulan Mac 2009 banyak melegakan hati saya.

Buya Su meminta saya ke ofisnya. Ada perbincangan. Antara 2- terus kukuhkan pangkalan atau tubuhkan GPTD UNISEL. Saya pulang dengan hati yang berbelah bahagi.
Petang itu juga, pertemuan dengan YDP MPP yang baru dilantik menyerabutkan jiwa saya. Lamarannya untuk menjadikan saya sebagai Setiausaha Kerja beliau. Saya termenung. Jawapannya pasti tidak. Tapi akan saya fikirkan ayat terbaik kerana adakalanya terus terang saya telah mengguris banyak hati.

Malam itu saya menerima sekeping mesej. Risikan daripada Presiden Kelab Fasilitator untuk jawatan Bendahari kelab tersebut. Satu demi satu tiba. Bila agaknya rombongan meminang yang sebenar akan tiba? (Berangan tak sudah!)

Dua tawaran berjaya saya tolak dengan baik. Tinggal dua lagi yang masih menagih jawapan. Junaidah yang waktu itu tinggal satu rumah dengan saya banyak mendengar keluh-kesah saya untuk memilih salah satu daripadanya. Pangkalannya sama, Cuma gerak kerjanya sahaja yang berbeza.

Pagi hari ke tiga, satu mesej masuk bertanyakan jawapan. Mantap dan ringkas keputusan saya hantar: Tubuhkan GPTD UNISEL. (Mula terbayang-bayang bunga-bunga berguguran seperti dalam filem Ayat-Ayat Cinta di saat Fahri selesai melafazkan akad nikah.)

Kertas kerja dibuat dan dihantar. Proses kaderisasi berjalan. Seperti biasa, ada pasang dan surutnya. Komitmen ahli yang ditagih.

Alhamdulillah, selepas beberapa bulan menanti pengesahan penubuhan daripada Unit Kelab & Persatuan HEP UNISEL, tertubuhlah GPTD UNISEL secara rasmi.

Setiap organisasi ada masalah tersendiri, begitu juga GPTD UNISEL. Adakalanya saya berjaya menempuh dugaan yang melanda, ada ketikanya saya tersembam, gagal.

Saya yang memilih jalan ini. Tidak adil untuk saya dan semua andai saya mengalah. Setiap apa yang orang perkatakan tidak lagi menjadi kudis bagi saya. Apa yang penting waktu itu adalah kerja tetap saya jalankan.

Kata-kata Tuan Penasihat terlekat dalam kepala saya ‘Sabarlah dan teruskan kesabaran.’

Saya berbahagia dan bertuah kerana mengenali ahli keluarga GPTD UNISEL. Banyak kenangan manis yang telah kita cipta bersama. Yang pahit itu biasalah, seperti juga ubat, walaupun pahit tapi insyaAllah itulah penawar.

Saya tanamkan dalam diri saya yang saya tidak akan mengalah dalam apa jua cabaran yang melanda. Ilmu yang diajar oleh Allah melalui perantaraan GPTD UNISEL sebagai wadahnya sangat terkesan di hati saya.

Abg Su: tunjuk ajar dan nasihat yang buya berikan selama ini banyak mengajar saya erti hidup. Saya belajar untuk memberi sebanyak-banyaknya, bukan menerima sebanyak-banyaknya.

Udin: pernah sekali dugaan menimpa hubungan adik beradik kita. Tapi Alhamdulillah, kita berjaya melepasinya walaupun sangat sukar pada mulanya. Jangan terlalu merendah diri, kuatkan semangat. Jadilah Amir untuk akak dan semua. Ingat, apa yang kita buat bukan kerana jawatan atau nama, tapi kerana Allah.

Nor Hafiz: daripada kurus hinggalah berisi, daripada terkial-kial mahu berkata-kata hinggalah petah berbicara lagak sang pemidato, mata inilah yang melihat perkembanganmu. Banyak kenangan telah kita sulam bersama sebagai adik-beradik. Akak pasti akan sentiasa terbayang-bayang keletahmu dan Kak Syafa kesayanganmu. Moga kamu lebih tabah dalam menjalani hidup. Ingat, dugaan datang kepada orang yang sabar.

Raudhah: adik akak yang manis dan baik, mendengar kata, sangat mudah terusik, tapi rajin dan pantas dalam melakukan kerja. Mengenalimu suatu keindahan.

Jun: teman seperbalahan dan sekepala. Adakalanya badai yang melanda menguatkan kasih antara kita. Kurangkan berahsia!

Izzat: seperti setianya ombak pada pantai, begitulah setianya kamu dalam perjuangan ini. Akak terharu dengan ketabahan ibu, kamu, dan Ishak dalam menjalani kehidupan. Daripada kalian akak belajar erti kasih sayang yang sebenar.

Hani: perkenalan kita sewaktu orientasi kamu membuahkan bibit-bibit kemesraan. Siapa sangka, tanggungjawab fasi on call berjaya menarik hatimu. Sungguh hebat perancangan Allah..dalam 10 orang temanmu, hanya kamu yang bisa kutawan.

Kuya, Amoy, Anuar, dan yang lain: jangan pernah menyerah!

Jujur saya katakan, saya sangat sedih dengan perpisahan ini. 4 tahun bukanlah suatu jangka masa yang pendek buat saya. Banyak perkara telah berlaku. Mana mungkin dapat saya kutip anugerah terindah seperti ini di luar sana.

Bagaimana kehidupan saya di luar nanti? Konsistenkah saya dengan usrah & khidmat sosial dan pengkajian tamadun?



WAN RITINI WAN ISMAIL

Mantan Setiausaha
GPTD UNISEL

Saturday, April 10, 2010

Puisi : Izinkan aku bermimpi






Izinkan aku melakar mimpi bersamamu

Menaip bait-bait lagu indah

Tentang cita dan harapan

Agar kita bisa melakar senyuman

Meninggalkan sejarah ngeri semalam

Kita bangkit menganyam harapan baru

Harapan yang bakal menyaksikan

Detik-detik sejarah dalam mimpi kita

Mimpi kau, aku, dan dunia

Izinkan aku bermimpi....


Nor Aqliah Ismail

XPDC HAMKA
Maninjau, Sumatera Barat, Indonesia
29 Dis 09 - 12 Jan 10
Nota : Dedikasi khas buat santri Pesantren Prof Dr Hamka




Friday, April 9, 2010

MPAT kali ke-2 : 1 GPTD, Kerja didahulukan, Komitmen diutamakan


Bestari Jaya, 8 April 2010 - Grup Pengkaji Tamadun Dunia, Unisel telah melangsungkan Majlis Perhimpunan Agung Tahunan (MPAT) Kali Ke-2 di Bilik Seminar, Fakulti Industri Teknologi Maklumat. MPAT telah dirasmikan oleh Sdr. Muhammad Suhail Ahmad, Presiden GPTD Pusat dan beliau telah menyampaikan Ucaptama bertajuk Cabaran & Perjuangan Kelompok Awal. MPAT kali ini telah memperkenalkan dua anugerah tokoh iaitu Anugerah Tokoh Ibn Battutah dan Anugerah Tokoh Hamka. Majlis Khas GPTD UNISEL telah bersetuju untuk menobatkan anugerah tersebut kepada dua calon iaitu Sdri. Wan Ritini Wan Ismail (Anugerah Tokoh Ibn Battutah 2010) dan Sdri. Junaidah Ismail (Anugerah Tokoh Hamka 2010). Anugerah telah disampaikan oleh tetamu kehormat, Sdr. Muhammad Suhail Ahmad.

Kriteria pemilihan calon bagi anugerah tokoh berdasarkan komitmen semasa menjalankan tanggungjawab terhadap organisasi dan misi luar negara. Selain itu perubahan sikap selepas pulang misi luar negara dan penerapan nilai yang ada pada tokoh tersebut merupakan nilaian paling utama. Sdri Wan Ritini Wan Ismail telah mengikut Ekspedisi Generasi Muda ke Aceh untuk menjejak pengembaraan Ibn Battutah yang pernah singgah ke Samudra Pasai. Sdri. Junaidah Ismail pula merupakan ketua Ekspedisi Meneladani Pemikiran Hamka (XPDC HAMKA) telah memimpin aktivis Grup Hamka ke Maninjau, Sumatera Barat untuk berbakti dan mengkaji pemikiran Buya Hamka.

Ucapan Dasar Presiden telah disampaikan oleh Sdr Nor Hafiz Razali dengan penuh bersemangat dan sesekali lucu. Bertemakan 1 GPTD : Kerja didahulukan, Komitmen diutamakan Sdr Nor Hafiz meninggalkan pesan-pesan buat kepemimpinan masa depan dalam mengharungi cabaran mendatang. Selepas itu, sesi pembentangan dan pengesahan minit mesyuarat, laporan program dan laporan kewangan. Beberapa perwakilan bangkit memberikan usul dalam soal kepemimpinan dan kaderisasi. Sebelum ini perwakilan juga turut membahaskan ucapan dasar presiden dalam menghazam intipati penting hasrat dan harapan presiden.

Pengerusi Tetap, Safaruddin Jhinku (Presiden Persatuan Penggerak Mahasiswa Unisel) kemudian mengumumkan membubarkan kepemimpinan GPTD UNISEL sesi 2009-2010 secara rasminya. Selepas itu, tiba kemuncak MPAT dengan pengumuman pelantikan kepemimpinan yang baru bagi sesi 2010-2011. Sdr. Nor Hafiz Razali dan Wan Ritini Wan Ismail telah diberi peluang memberi ucapan penangguhan. MPAT selesai dengan ucapan presiden baru, Sdr Muhammad Izzat Chiaril Anuar.



-Unit Media



Keadilan & kebenaran teras masyarakat madani

Bestari Jaya, 7 April 2010 - Siri Pilot Grup Pengkaji Tamadun Dunia, Pidato Lorong Tengah dengan tema Membina & Memimpin Masyarakat Madani telah datangkan khas Pemidato pertama, Sdr. Jufitri Joha (Pengerusi GPTD Pusat) yang baru sahaja pulang semalam. Perkongsian ilmu dan pengalaman berdasarkan enam bulan beliau berada di UK menyambung pengajian sarjana dalam bidang Belia dan Khidmat Masyarakat. Idea-idea segar beliau sampaikan kepada hadirin yang hadir sangat mengujakan. Turut di sentuh soal kecelaruan tamadun barat yang menuju keruntuhan sosial ekstrim. "Kelab Gay, Lesbian ditubuhkan di Universiti Durham atas nama kebebasan dan hak asasi", kata beliau dalam pidatonya.

Pemidato kedua Sdr Mustaffa Kamil Ayub (Aktivis Politik & Mantan Presiden PKPIM) telah mengulas sedikit tulisan buku beliau yang bertajuk "Masyarakat Madani & Idealisme Politik" dan menekankan soal peranan mahasiswa turut terlibat dalam pembentukan masyarakat madani yang berprinsipkan keadilan sosial, ketulusan & kebenaran. Ketika menjawab isu yang ditimbulkan oleh mahasiswa tentang AUKU, beliau menjelaskan: "Saya memimpin mahasiswa pada era 80-an, ketika itu sudah ada AUKU tetapi saya fikir itu tidak menjadi halangan kerana saya berjaya menggerakkan aktivisme sehingga beribu mahasiswa diseluruh negara". "Ketika saya menjadi Presiden MPP di UKM saya jemput ahli politik pembangkang (DAP) dan kerajaan (BN) untuk membincangkan isu negara, kemudian kita serahkan kepada mahasiswa fikir mana baik, mana buruk", tambah beliau semasa respon balas persoalan Sdr Nor Hafiz Razali, Exco Majlis Perwakilan Pelajar, Unisel.

Secara keseluruhannya, proses pembentukan masyarakat madani (sivil) perlu berteraskan kepada ketuhanan jika tidak tamadun tersebut akan kembali jatuh sebagaimana yang telah ditegaskan oleh Sdr Jufitri Joha. Di hujung program, persembahan ekspresi puisi diiringi petikan gitar telah disampaikan oleh Sdr Sazni (Puisi Rendra) dan Sdri. Falik (Syair Ibn Battutah).

- Unit Media

Thursday, April 8, 2010

Puisi : Diskusi Al-Amin sebuah perjalanan






Suatu acara untuk manusia bertemu dengan Tuhannya

Membina ukhwah sesama sahabat, teman dan kawan

berbicara tentang firman-firman al-Hakim

Bermula dengan sesi solat berjamaah

Di dalam suasana surau yang sepi

Berzikir al-Mathurat bersama-sama

Sebagai pelindung diri dan dorongan Ilahi

Diikuti bacaan Pembukaan Kalam al-Fatihah

Mengucap syukur dan puji-pujian hanya untuk Mu

Bertilawah kalimat wahyu mukjizat Rasul

Syarah tafsir al-Azhar dikupas teliti

Pesan-pesan buya Hamka menusuk ke hati

Kritik-kritis dilontar agar terkesan dalam diri

Itulah tadabur kefahaman demi pelaksanaan

Kesudahannya adalah terkesan gerakan

dan memberikan kesan pada lingkungan

Benarkan dan tunaikan ayat-ayat itu

Barulah hadir kebenaran ad-Din

Barulah lahir generasi al-Amin

Demi melaksana misi

Rahmatan lil alamin


IZWAN SUHADAK ISHAK

14 Rabiulakhir 1431H/30 Mac 2010

Bestari Jaya, Selangor Darul Ehsan







Related Posts with Thumbnails