Monday, September 28, 2009

Al-Fatihah buat bapa aktivis GPTD

Batu Pahat, 28 September 2009 - Presiden GPTD telah menerima khidmat pesanan ringkas daripada salah seorang aktivis GPTD, Mohd Akhmal Mohd Noor pada jam 1.29 pagi yang memaklumkan pemergian bapanya yang terlibat dalam satu kemalangan jalanraya di Johor.

Sebelum itu, Sdr Akhmal dan isterinya serta anak sulungnya sempat bersama-sama Presiden dan Penolong SUA, Abdul Hakim Shahbuddin menziarahi En Jambri (pegawai Imigresen yang pernah bertugas di Guangzhou, China) di Bukit Tinggi Klang sempena Aidilfitri.

Sdr Akhmal kini masih dalam perjalanan pulang ke rumah ibubapanya di Batu Pahat dan tidak berkesempatan bertemu dengan bapanya sebelum dia meninggal dunia.

Mohon agar semua pembaca blog khususnya ahli-ahli GPTD untuk sedekahkan al-Fatihah buat allahyarham.Moga Allah cucuri rahmatNya ke atas allahyarham dan ditempatkannya di kalangan orang-orang yang soleh.

Tuesday, September 15, 2009

1 GPTD, Kerja Didahulukan, Komitmen Diutamakan

Sebagai sebuah organisasi baru, Grup Pengkaji Tamadun Dunia Universiti Industri Selangor (GPTD UNISEL) sedar segala kekurangan dan kelemahan yang wujud dalam pergerakannya. Namun alhamdulillah beberapa siri pertemuan yang berjaya diadakan dengan komitmen aktivis yang tinggi merupakan suatu yang di luar jangka. Di kala banyak organisasi dalam kampus mendapat kurang sambutan dari kalangan pelajar dan persatuan belia yang malap diperingkat nasional, GPTD UNISEL berani mengorak langkah dengan program pertamanya Kempen & Pameran Selamatkan Dunia Baru. Walaupun tema program ini adalah alam sekitar dan bicara isu bahaya polistrina, tetapi mesej tersirat jelas menggambarkan GPTD UNISEL ingin mengisi ruang yang kosong untuk membangunkan komuniti kampus dengan cara sederhana. Misi Rahmatan Lil Alamin sentiasa (Membawa Kebaikan Ke Seluruh Alam) digenggam oleh setiap aktivisnya untuk membina diri dan orang lain tidak kira di dalam kampus, negeri, negara malah dunia.

Oleh itu, gagasan 1 GPTD merupakan manifestasi aktivis GPTD UNISEL mengukuhkan faham idealisme perjuangan umat. Maknanya kesatuan pemikiran, kesatuan hati dan kesatuan kerja perlu meratakan dikalangan aktivis agar tidak ada yang rasa keseorangan dan putus asa kerana yang pasti Allah SWT sentiasa bersama hambanya. Kerja Didahulukan, Komitmen Diutamakan pula adalah tagline mencerminkan gerak kerja aktivis dalam menjalankan amanah yang telah ditaklifkan. Takrif kerja dimudahkan dengan memahami makna istilah kerja dalam bahasa arab iaitu amal. Setiap amal yang diniatkan kerana Allah SWT akan dikira sebagai ibadah. Jelas gagasan ini mengajak aktivis & simpatisan untuk bersama-sama membina komuniti dalam kapasiti masing-masing dan semata-mata kerana Ilahi. Tidak tamat idea diari minda, tidak habis retorika di lidah tetapi kena dilanjutkan dengan perlaksanaan kerja. Bicara soal kerja tidak terlepas kita kepada tuntutan amanah samada daripada Allah, Rasul, dunia, negara, masyarakat, keluarga dan diri. Kerja pula mesti mengikut kepada fiqh awlawiyyat (fekah keutamaan), agar tiada yang tercicir dipertengahan jalan.

Tiada amal atau kerja yang sempurna tanpa komitmen 100%. Oleh kerana itu sambungan kepada tagline awal ialah komitmen diutamakan dengan merujuk kepada faham jihad. Jihad bermakna bersungguh-sungguh dalam erti kata yang lain komitmen perlu diberikan sepenuh dalam segala kerja atau amal yang telah diamanahkan. Dalam al-Quran menjelaskan yang mafhumnya jihad itu mesti ada 2 elemen iaitu harta dan diri. Segala perlaksanaan komitmen sudah pasti memerlukan pengorbanan harta (kewangan) seperti contoh untuk menjalankan misi luar negara. Kewangan mesti cukup barulah layak untuk menampung sara diri, tiket pengangkutan dan lain-lain. Kemudian, diri perlu dipersiapkan dalam maksud sedia spiritual, intelektual dan fizikal kerana cabaran di luar negara di luar jangkaan. Ketika itulah insuran tawakal kepada Ilahi yang paling penting. 1 GPTD, Kerja Didahulukan, Komitmen Diutamakan merupakan suatu faham yang punya tujuan.

Tujuannya hanya satu iaitu untu melahirkan suatu peradaban unggul dengan masyarakat adabi. Suatu peradaban akan muncul dan kekal jika dan hanya jika masyarakatnya memiliki nilai ta'dib (faham tarbiyyah & adab). Tugas ini tidak mudah, tetapi tidak mustahil untuk digerakkan. Dengan strategi dan iltizam setiap aktivis yang pelbagai latarbelakang tidak menghalang usaha murni ini kerana "Kita mulakan dengan apa yang kita tahu, Kita bina dengan apa yang kita ada". Setiap kekurangan akan kita tampung bersama dan setiap kelebihan akan kita kongsi bersama. Apa yang penting? Kerjasama...& faham ilmu merupakan prasyarat untuk menggerakkan dan menjayakan misi ini.



- Penasihat


Monday, September 14, 2009

Aktivis GPTD UNISEL wajib buat pasport

Pada 13 September 2009, Menteri Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein , mengumumkan tentang Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) Alternatif yang boleh dimiliki dengan harga serendah RM100 untuk 32 muka surat dengan tempoh sah laku dua tahun serta jaminan ciri-ciri keselamatan. Terdapat dua kategori pasport dari aspek kos pemilikan iaitu RM300 untuk 32 muka surat dan RM600 untuk 64 muka surat dengan tempoh sah laku lima tahun. PMA Alternatif adalah sama dengan pasport sekarang, tetapi ia telah dipertimbangkan secara praktikal untuk rakyat yang tidak menggunakannya secara kerap.

Ini merupakan dasar yang bijak daripada kerajaan kerana ia akan membantu lebih rakyat untuk menziarahi kaum keluarga yang jauh diperantauan. Malah usaha ini akan menggiatkan pertemuan antara usahawan dan pelajar meluaskan jaringan antarabangsa. Dialog Persahabatan dapat diadakan bagi menjelaskan isu-isu sensitif di antara dua negara. GPTD UNISEL sangat berterima kasih kepada kerajaan kerana secara tidak langsung usaha menghantar misi luar negara dapat menjimatkan kos serta menggalakkan lagi siri pengembaraan ilmu ke seluruh dunia di kalangan generasi muda.

Nota : Semua aktivis GPTD UNISEL diWAJIBkan membuat pasport selepas sambutan Hari Raya dengan kadar segera.

- Penasihat



Sumbangan Frederic Kanoute kepada Umat

Pagi ini saya mengambil kesempatan membaca berita daripada Berita Harian Online, saya klik pada Keputusan Liga Sepanyol. Sebenarnya saya bukanlah seorang peminat bola sepak. Cuma pada zaman persekolahan rendah saya mewakili pasukan bola sepak Sekolah Taman Sri Rampai. Namun selepas memasuki Sekolah Menengah Tinggi Setapak, saya beralih ke sukan Softball dan berentap hingga ke peringkat negeri. Mungkin sebab itu saya tidak gebitu berminat dengan sukan bola sepak. Tetapi saya tetap sekali sekala mengikut perkembangan sukan ini. Namun yang mengimbau ingatan saya ialah catatan yang dibuat oleh sahabat saya Sdr Jufitri Joha tentang pemain profesional liga Sepanyol yang merupakan seorang muslim. Saya petik catatan beliau :

Bila memperkatakan Liga Primera Sepanyol, pasukan bolasepak yang saya so
kong adalah Seville. Kenapa saya tidak memilih Real Madrid atau Barcelona? Ini adalah kerana Seville memiliki seorang pemain Muslim amat berjasa pada agamanya iaitu Frederic Kanoute. Kanoute merupakan penyerang Seville yang berbisa. Beliau berasal daripada negara Mali dan pernah dinobatkan sebagai pemain terbaik Afrika. Sebelum mewakili Seville, beliau merupakan pemain Kelab Lyon, Perancis. Apa yang menarik tentang beliau ialah, beliau pernah membelanjakan 510860.00 Euro untuk membeli sebuah masjid di Seville daripada ditutup. Inilah pemain yang sepatutnya dicontohi pemain-pemian Muslim yang lain. Beliau juga telah menubuhkan sebuah yayasan di negaranya Mali khususnya untuk membantu kanak-kanak terutamanya anak yatim. Beliau juga pernah dilaporkan enggan memakai jersi pasukan yang tertera lambang arak! Kanoue layak dinobatkan sebagai ikon pemain bolasepak yang beriman, bertanggungjawab pada agama dan pemurah. Sesuatau yang jarang dapat dicari pada zaman ini pemain yang seimbang dunia dan akhirat. Walaupun dua kali berkunjung ke Sepanyol namun saya belum berkesempatan ke Seville. Jika diizinkan Allah sekali lagi ke Sepanyol, saya akan cuba menjejak Masjid Seville yang telah diselamatkan oleh Kanoute tersebut untuk kemudahan Umat Islam Seville.

Begitulah kisah seorang muslim, tidak kira di mana sahaja kita berada tetapi tanggungjawab sosial kepada umat tetap boleh ditunaikan. Kita patut mencontoh beliau dalam kapisiti semasa!

- Penasihat

Sunday, September 13, 2009

Memburu Malam Lailatul Qadar


Alhamdulillah Allah telah memberi peluang kepada kita menikmati Ramadhan tahun ini, bulan keampunan, bulan rahmat dan bulan pelepasan dari neraka. Peluang hanya datang setahun sekali; tahun depan kita belum pasti bertemu Ramadhan lagi. Sayugianya kita mengambil kesempatan dan peluang yang terbuka luas ini bagi merebut tawaran maha hebat yang tidak pernah ditawarkan oleh mana-mana agensi dan syarikat pasaraya di dunia ini.

Nabi Muhammad SAW sekembalinya dari satu peperangan, memberitau para sahabatnya bahawa mereka baru kembali dari satu peperangan yang kecil dan sedang menuju ke satu peperangan yang lebih besar dan lebih sengit. Para sahabat menjadi bingung dan tertanya-tanya adakah peperangan yang lebih hebat daripada itu. Nabi menjelaskan peperangan yang dimaksudkan yang lebih dahsyat ialah berperang degan hawa nafsu.

Berperang dengan nafsu dikatakan jihad yang lebih besar daripada peperangan dengan senjata yang boleh meragut nyawa sendiri. Bagi kebanyakan kita, perkara yang paling kita takuti ialah peperangan dengan senjata kerana kita tahu ia boleh merampas jiwa kita, anak dan keluarga serta apa-apa yang kita sayangi. Kita akan berpisah dengan dunia dan kemanisannya. Rupa-rupanya apa yang kita takuti selama ini bukanlah satu yang benar-benar harus ditakuti. Yang paling ditakuti menurut Islam ialah nafsu yang ada dalam diri kita. Dialah musuh yang paling nyata yang berada bukan di luar diri kita tetapi menjadi sebahagian daripada kita. Dia benar-benar 'musuh dalam selimut' yang boleh merosakkan diri kita bahkan lebih dahsyat menjerumuskan kita ke dalam neraka yang mana azab dan sengsaranya berkekalan dan tidak dapat digambarkan hebatnya penderitaan oleh mana-mana media di dunia ini.

Diri kita bolehlah dianggap sebagai sebuah kerajaan yang mana otak merupakan pemerintah, hati menjadi penasihat menteri atau barisan penyokong kerajaan sementara nafsu bertindak sebagai puak pembangkang yang sangat mahir berdiplomasi dan berpura-pura. Dalam menjalankan mesyuarat kabinet, perdana menteri mesti pandai membuat keputusan demi kesejahteraan negara. Beliau mesti berwibawa serta mampu mengenalpasti atau membezakan mana satu cadangan yang konstruktif dan destruktif. Peranan pembangkang perlu diawasi supaya tidak merosakkan negara keseluruhannya. Dalam usaha mempengaruhi perdana menteri supaya mengikut telunjuknya, barisan pembangkang yang diwakili oleh nafsu menjalankan pelbagai strategi kotor melalui amalan rasuah (wang dan perempuan yang sesuai dengan nafsu) dan ugutan. Jika tidak dapat dengan cara kekerasan, ia menukar taktik dengan cara berlembut. Hanya perdana menteri yang bijak saja selamat dari dakyah dan umpan beracun ini.

Dalam hubungan ini, puasa merupakan satu cara untuk menundukkan nafsu. Bagi kita, perosak terbesar ialah nafsu perut. Disebabkan nafsu inilah datuk dan nenek kita Adam dan Hawa terusir dari negara abadi ke negara yang hina dan miskin ini. Mereka dilarang dari memakan buah khuldi tetapi malang berjaya dikalahkan oleh nafsu perut mereka lalu khuldi dimakan dan sekaligus tersingkap aurat kemaluannya. Terbukti dengan menurut nafsu perut membangkitkan nafsu-nafsu lain seperti nafsu kelamin yang dahsyat dan keras dorongannya. Kemudian diikuti dengan nafsu mencari harta, nafsu mencari pangkat, nafsu mencari kekayaan dan kesemuanya ini menimbulkan pelbagai gejala penyakit lain seperti dengki, hasad, iri hati, permusuhan dan saling membenci antara satu sama lain. Akhirnya dunia akan dipenuhi dengan pelbagai arus dan trend maksiat, kejahatan dan kemungkaran. Pucuk pangkal dari semua ini ialah menurut nafsu perut.

Setiap penyakit ada ubat. Allah menurunkan penyakit dan ubatnya sekali. Ubat bagi penyakit nafsu ialah berpuasa. Kenapa puasa dianggap sebagai ubat/resipe memerangi godaan nafsu? Jawapannya terkandung dalam hadith Nabi SAW:

"Perangilah nafsumu dengan lapar dan dahaga kerana pahala yang demikian menyamai pahala orang yang berperang di jalan Allah."

Berpuasa menyempitkan tempat laluan Iblis. Oleh itu memudahkan diri kita untuk tunduk kepada perintah Allah. Pada masa yang sama tidak mengikut jalan nafsu dan kedurhakaan serta tidak terikut-ikut dengan budaya kemewahan dan mengutamakan dunia dari akhirat.

Dalam satu riwayat ada menceritakan 'orang yang paling tinggi darjatnya di sisi Allah pada hari kiamat ialah mereka yang lama berlapar dan sentiasa merenung kebesaran Allah swt.' Pada riwayat lain, Nabi Muhammad SAW bersabda "Ketuklah selalu pintu syurga supaya dibukakan untukmu. Bila Aisyah bertanya bagaimana, Nabi menerangkan dengan lapar dan dahaga."

Nabi juga ada bersabda "manusia yang paling lama menderita kelaparan pada hari kiamat ialah mereka yang paling lama kenyangnya di dunia."

Baginda Rasulullah saw sendiri belum pernah merasakan kekenyangan malahan pernah tidak merasakan sebarang makanan selama berhari-hari sehinggalah baginda wafat. Di antara kebaikan daripada berpuasa ialah seperti berikut:

• membersihkan hati dan menajam fikiran
• memperhalus jiwa dan rohani sehingga terasa lazat beribadat
• menghilangkan rasa sombong diri
• merasa dan ingat akan ujian dan cobaan Allah
• merobohkan kubu pertahanan nafsu
• mengurangkan rasa ngantuk dan tidur supaya berpeluang beribadat kepada Allah
• membuka peluang seluasnya untuk ibadat
• menyihatkan badan dan sistem jasmani
• menolak pelbagai penyakit berpunca dari banyak makan
• mengurangkan perbelanjaan untuk makan
• membaiki hati dan bersimpati orang miskin dengan sedekah

Nah! sekarang kita berada di penghujung Ramadhan - bulan taubat, bulan berkat, bulan keampunan, bulan jihad, bulan muhasabah dan bulan pelepasan dari api neraka. Hari ini kita masih berkesempatan berpuasa, elok belum tentu lagi... Jadi gunakan kesempatan ini dengan banyak beribadat dan berjuang melawan nafsu. Nafsu jahat perlulah dibanteras. Nafsu perut jangan diturutkan sangat. Nafsu yang ingin melihat perkara yang haram perlu dilawan. Telinga ingin mendengar hiburan dan nyanyian perlu disekat. Naluri seks yang inginkan kepuasan juga dikekang. Pendekata semua indera dan anggota perlu dipuasakan demi menjaga hak berpuasa. Begitu juga mulut yang ingin berceloteh, mengumpat, berbohong dan mencaci mesti dilawan.

Puasa hanya menjadi satu adat dan budaya jika hanya menahan diri dari makan dan minum tanpa disertai dengan kesungguhan berperang dengan nafsu. Tujuan berpuasa mestilah jelas supaya adab-adab berpuasa dapat kita jaga dengan baik. Inilah sebenarnya intipati puasa. Kalaulah tidak masakan nabi mengatakan jihad melawan nafsu lebih berat daripada jihad perang fisabilillah; sedangkan peperangan dengan senjata amat berat dan mempunyai risiko yang amat dahsyat. Mengabaikan aspek ini bermakna kita hanya berpuasa mengikut adat atau secara lahiriah saja tanpa menghayati apa yang tersirat dalam ibadat puasa. Nabi Muhammad SAW. mengingatkan kita bahawa ramai orang yang berpuasa tidak dapat apa-apa kecuali lapar dan dahaga.

Amat wajar sekali bagi mereka yang benar-benar berjuang melawan nafsu sepanjang Ramadhan diberikan ganjaran Lailatul-Qadr - satu malam yang menyamai 1000 bulan. Amat beruntung dan bertuah bagi mereka yang dapat menghidupkan malam Lailatul-Qadr yang jatuhnya pada salah satu malam di antara 10 terakhir Ramadhan. Barangsiapa yang sudah berjuang melawan nafsu pada hari-hari sebelumnya amat mudah melakukannya. Mereka akan berebut dan menunggu saat-saat yang maha berkat ini. Betapa kiranya jika ada orang menawarkan agar beribadat pada sekian malam dan akan diberi berbillion-billion ringgit malahan kekayaan seorang korporat. Sudah tentu semua manusia turut berjaga malam untuk merebut tawaran ini. Tapi sayang seribu kali sayang tawaran Allah ini dipandang sepi oleh sebahagian besar manusia termasuk diri kita, lantaran kurangnya iman kita terhadap Allah. Masa masih ada bagi kita untuk merenung diri dan mengambil peluang yang Allah berikan pada Ramadhan ini.

Sebagaimana orang yang menyambut Ramadhan dengan hati yang gembira diharamkan jasadnya dari api neraka, begitulah juga keadaannya orang yang sangat berat hatinya meningggalkan Ramadhan. Lantaran itu, ramai di antara orang-orang soleh menangis meninggalkan bulan yang penuh dengan keberkatan ini. Mereka sedar tidak ada bulan lain yang menyamai Ramadhan. Awal Syawal mereka berhariraya dan hari keduanya diikuti dengan puasa sunat 6 hari. Mengikut Nabi barangsiapa berpuasa 6 hari dalam bulan Syawal seolah-olah berpuasa sepanjang tahun. 30 hari + 6 hari = 36 hari. Jika setiap kebajikan dibalas dengan 10, maka 36 x 10 = 360 hari atau 1 tahun.

Adakah kita termasuk dalam golongan orang yang dukacita meninggalkan Ramadhan atau sebaliknya? Sementara masih ada hari-hari puasa lagi, sama-samalah kita mempertingkatkan nilai puasa kita semoga dapat kita menikmati kelazatan berpuasa dan menghidupkan malam Lailatul-Qadr. Semoga puasa tahun ini benar-benar memberi kesan yang positif terhadap diri kita, amin.

Selamat berpuasa dan menyambut Hari Raya - merayakan kemenangan kita dalam peperangan dengan nafsu. Janganlah kita berhariraya kerana menyambut kemenangan nafsu atas diri kita ...
Wallahu a'alam..

Sumber : pekdismersing.com



Sebuah Catatan Perjalanan Sakti

14 Ogos 2009 | Jumaat

Hujan renyai-renyai yang turun ke bumi tanda kekuasaan ALLAH s.w.t, kami dari Grup Pengkaji Tamadun Dunia Unisel seramai 17 orang berangkat meninggalkan Unisel pada jam 3.00 petang menuju ke Negeri Sembilan bagi mengikuti Kem Sakti anjuran ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia) & Grup Pengkaji Tamadun Dunia. Perjalanan menuju ke destinasi yang kami tuju mengambil masa kira-kira 2 jam kiranya kerana dalam perjalanan saya tidak melihat jam yang berada di tangan tapi menikmati perjalanan dengan mimpi-mimpi yang indah yakni tidur.

Walaupun tidur menjadi agenda utama saya dalam perjalanan tetapi tidak bagi rakan-rakan yang lain, mereka mengambil peluang ini dengan bercerita antara satu sama lain samaada mengeratkan ukhwah ataupun saling bertukar pendapat.

Setibanya kami di Pusat Dakwah Islamiyyah Negeri Sembilan, ‘besarnya..’ saya yakin pasti rakan yang lain juga mempunyai perasaan yang sama dengan saya melihat betapa besarnya pusat ini.kami telah disambut oleh fasilitator-fasilitator di hadapan surau pusat tersebut. Kami diarah untuk mendaftar di dalam surau dan mengambil kunci bilik. Saya beserta kawan mengambil bilik yang menempatkan 3 orang. Sebelum balik ke bilik masing-masing kami menunaikan kewajipan kepada yang Maha Esa, solat Asar, tenang rasanya apabila selesai menunaikan kewajipan itu.

Terpegun rasanya melihat betapa betapa besar dan elegan ruang dewan makan pusat ini. Selain makanannya yang seperti berada di hotel bertaraf 5 bintang. Namun menuju ke ruang dewan makan ini terselit peristiwa lucu, disebabkan kedengaran lagu keroncong daripada perut kami dan dengan rasa kaki yang tidak sabar melangkah ke ruang dewan makan, kami menuju dengan penuh yakin mencari di mana dewan makan tersebut.

“hmm..rasanya aku boleh cium bau ayam goreng la..”, kataku kepada kawan sebelah, tergelak rakan semua mendengarnya.

Tetapi dah beberapa langkah kaki melangkah, namun tempat tersebut tidak kami temui.

“manalah dewan makan ni..?”, kata kawan seperjuangan. Sesungguhnya pencarian itu memerlukan pengorbanan. Hehehe...

Hinggalah kakak fasi dari jauh melambai kepada kami dengan memberi isyarat bahawa kami berada di arah yang bertentangan.

Hahaha...padan muka...

Selesai makan, aktiviti kami di isi dengan ceramah bertajuk ‘sukarelawan’. Prof. Azimi Hamzah memberi penerangan mengenai aktiviti sukarelawan tersebut.

Beliau dalam ceramahnya berkata iman mempunyai banyak cabang yakni 70 cabang. Selain itu, beliau memberitahu Negara Malaysia mempunyai 56,000 organisasi sukarelawan yang berdaftar.Belia di Amerika dalam perangkaan beliau lebih ramai yang cenderung terhadap aktiviti sukarelawan iaitu 60%.

Sebab berorganisasi yang mana daripada ajakan majikan, rakan, keluarga serta ajakan dari ahli organisasi antara sebab mengapa belia di Malaysia mengikuti aktiviti sukarelawan.

Tiada masa, tiada siapa yang ajak, tidak berminat dan banyak lagi merupakan mengapa ramai yang tidak terlibat dalam aktiviti tersebut serta tidak lagi merasa seronok tidak selari dengan pertumbuhan diri merupakan sebab bagi mereka yang menarik diri, dan banyak lagi pengisian yang diberikan. Selesai memberikan ceramah tersebut, Prof.Azimi memberi ruang selama 3minit kepada kami untuk menanyakan beberapa soalan..

Seminit berlalu...

Dua minit meninggalkan...

Tiga minit akhirnya menjelma...

Ramai peserta menanyakan soalan dan keinginan untuk bertanya pada diri saya juga membuak-buak tapi dikekang oleh rasa malu dan tidak yakin pada diri. Selesai sahaja ceramah tersebut, kami dijamu dengan minum malam dan terus pulang ke bilik untuk merehatkan diri.

15 Ogos 2009 | Sabtu

Kami bangun seawal 5 pagi sememangnya memenatkan dan mata terasa malas sekali untuk bangun di p-agi ini tetapi harus juga saya memaksa diri dan mencapai tuala untuk mandi. Terasa dingin menusuk ke tulang air di pagi subuh ini. Kami bersiap secepat mungkin untuk menunaikan solat subuh berjemaah di surau pusat Dakwah Islamiyyah. Ceramah disampaikan selepas menunaikan solat tersebut.

Kami meneruskan agenda hari ini dengan aktiviti riadah.

Selepas berriadah, kami dijamu dengan sarapan pagi di ruang dewan makan.

Seterusnya kami sekali lagi diberi ceramah oleh Tuan Haji Ahmad Azam Abdul Rahman. Apa yang disampaikan oleh Tuan Haji Ahmad Azam ialah bagaimana seseorang itu harus yakin pada diri dan melihat segalanya dari sudut yang positif sekiranya ingin maju dalam hidup.

Selain itu, seseorang itu perlu serius dalam apa yang dilakukannya dan dalam perbincangan serta mengkaji setiap permasalahan dunia supaya terbit sikap ambil peduli dalam diri kita terhadap masyarakat sekeliling kita sekaligus melahirkan insan yang berguna. Tuan Haji Ahmad Azam juga memberitahu setiap orang yang mengikuti GPTD (Grup Pengkaji Tamadun Dunia) sekurang-kurangnya mesti menguasai 5 bahasa. Ini merupakan salah satu matlamat GPTD ditubuhkan. Nilai-nilai yang perlu ada pada ahli GPTD ialah globalization, ummah iaitu mempunyai niat untuk berusaha mangangkat umat kita di dunia ini. ‘Aktivisme’ bermakna melakukan perubahan dalam diri dan belajar untuk mandiri iaitu tiap apa yang dilakukan dengan sendiri tanpa mengharapkan orang lain salah satu nilai yang perlu ada selain kerohanian dan ilmu.

Ceramah seterusnya disampaikan oleh Tuan Haji Shamsul Azhar B. Yahya yang bertajuk Pembentukan Belia Melalui Kerja-Kerja Sukarela & Pengalaman Ikhwan al-Muslimin Mesir.Sekali lagi kami diperkenalkan makna ‘sukarelawan’ iaitu sukahati tanpa paksaan.

Perspektif agama, kepuasan, suka bantu orang lain, perasaan dan rasa sepunya merupakan dorongan sukarelawan dalam menjalankan aktiviti sukarela antara pengisian dalam ceramah tersebut. Selain memberitahu faktor sukarelawan merosot dalam pekerjaan iaitu perkembangan ekonomi seperti masalah keluarga, pembandaran dan perindustrian, dasar dan sikap pemerintah, masalah dalam sukarela dan nilai dalam masyarakat itu sendiri.

Oleh itu, Tuan Haji Shamsul menekankan bahawa setiap sukarelawan itu perlu menerapkan nilai-nilai yang positif seprti mesra/ceria, komitmen dan menghormati antara satu sama lain.

Hasil daripada cermah tersebut saya dapat memahami dengan lebih dalam bahawa penting sukarelawan dalam mengamalkan nilai-nilai positif dan menerapkan dalam diri.Ini membuat saya berfikir bahawa sebelum membantu orang lain, kita harus membantu diri sendiri dahulu kearah kebaikan.

Ceramah di akhiri dengan memberikan cenderahati kepada Tuan Haji Shamsul Azhar oleh pengerusi GPTD. Aktiviti kemudiannya di isi dengan mengisi perut yang lapar kemudian solat zohor berjemaah.

Kami kemudian disajikan dengan tayangan video dan penerangan ringkas oleh para fasi GPTD mengenai aktiviti yang penah mereka pergi dan lakukan.Namun terdapat video yang paling menarik hati saya iaitu perjalanan Al-Fatih. Video yang sungguh menyentuh hati. Perjalanan dalam merebut kawasan (lupa) kerana Allah s.w.t walaupun diulit seribu rintangan namun semangat yang ada tidak pernah melunturkan semangat baginda. Malah semakin hari semakin tinggi semangat juang yang ada sehingga mereka Berjaya.

Sedikit sebanyak saya tanamkan dalam hati bahawa saya tidah harus cepat berputus asa walaupun beribu rintangan yang datang tapi menjadikan itu sebagai batu loncatan untuk Berjaya kerana sesetengah orang menganggap halangan sebagai penghalang tetapi sesetengah orang menganggap sebaggai batu loncatan untuk berjaya.

Kami kemudian bergerak untuk minum petang sebelum menunaikan solat Asar.

‘Ibu mengandung’, permainan yang unik, seunik namanya. Permainan tersebut diberikan nama tersebut kerana memerlukan kami mengikat satu hujung tali di perut dan satu hujung di botol yang berisi air dan permainan tersebut memerlukan seramai 6 orang. Kami kemudian berjalan ke tempat yang di tuju dengan masing-masing membawa botol yang berisi air seperti lagak seorang ibu yang mengandung. Namun, botol tersebut tidak boleh menyentuh darat.

Senja melabuhkan tirai tanda malam menjelma semula, kami bergegas untuk bersiap sebelum pergi ke ruang makan untuk makan malam, seterusnya menunaikan solat magrib berjemaah.Kami mendengar kuliah magrib dan menunaikan solat Isyak selepas itu.

Kami berjalan menuju ke bilik kuliah untuk mendengar ceramah yang seterusnya iaitu mengenai Rihlah Ibn Battutah oleh Syed Nurulakla Syed Abdullah.

Beliau menerangkan bahawa tokoh agung ini merupakan pengembara agung di dunia. Beliau menceritakan bagaimana tokoh agung ini melalui perjalanannya merentasi dunia dan menghadapi setiap orang yang ditemuinya. India merupakan tempat beliau yang paling lama sejak merantau sehinggakan beliau dilantik menjadi kadi dan menjadi kepercayaan sultan di India. Beliau mula merantau seawal 21 tahun, saya terfikir sejenak bagaimana umur sebegini sangat berani untuk pergi merantau seorang diri sehinggakan mendapat kepercayaan Sultan.

Selain penerangan mengenai tokoh agung tersebut, beliau juga menyelitkan pengalaman beliau dalam menghasilkan buku “Rihlah Ibn Battutah” bagaimana selama 10 tahun beliau menghasilkan sebuah buku dengan menterjemah ke bahasa melayu.

Ilmu yang diberikan tidak terkira rasanya dan saya membandingkan dengan diri saya betapa kurangnya ilmu yang saya ada. Melalui gaya percakapan beliau juga dapat memperlihatkan beliau seorang yang sangat berpengetahuan,sentiasa muncul di benak ini bagaimana agaknya saya akan menjadi seperti beliau tetapi saya yakin dan bersyukur apa yang ada dan mencuba untuk menjadi seperti beliau. Hmm...wujud satu cita-cita insya-Allah dapat saya capai. Amin!

Selepas ceramah tersebut, Kak Tini pula mengambil tempat untuk memberi penerangan ringkas mengenai GPTD yang mana telah pun wujud di UNISEL. Kak Tini menerangkan bagaimana GPTD beroperasi di Unisel, sebagaimana GPTD lain, kami di Unisel juga sentiasa menggerakkan GPTD Unisel. Bagaimana GPTD bergerak adalah melalui gerak kerja yang dilakukan oleh ahli GPTD itu sendiri. Penerangan ringkas itu akhirnya berakhir.

Ucapan seterusnya oleh pengerusi GPTD iaitu Saudara Jufitri Joha. Beliau memberitahu setiap peserta dibahagikan mengikut universiti ataupun kolej masing-masing. Kemudian setiap kumpulan dikehendaki membincangkan perancangan masa hadapan dan membentangkan keesokan harinya. Majlis bersurai tepat 12.30 malam.

16 Ogos 2009 | Ahad

Seawal 6.00 pagi kami telah bangun dan menyiapkan diri untuk menunaikan solat subuh. emudian turun untuk riadah bersama.

Sempena hari terakhir a.k.a hari penutupan majlis maka pembentangan pun dilakukan bagi setiap kumpulan. Kumpulan USIM merupakan pembentang pertama yang mana mereka membahagikan grup mereka kepada 3 grup. Grup pertama akan pergi ke Syria iaitu seramai 5 orang, grup ke dua pula akan, membuat khidmat social dan ketiga membina khidmat jaringan. Kesemuanya memenuhi objektf GPTD yang mana mereka ingin menguasai bahasa.

Seterusnya kami iaitu grup dari Unisel membentangkan kertas kerja yang ingin dibentangkan iaitu berkenaan pengkajian tokoh terkenal di Indonesia (Hamka) dan jaringan antarabangsa. Matlamat kami adalah untuk menguasai bahasa selain dapat mengeratkan ukhwah antara Negara Islam.

Seterusnya Grup Lagenda yang mana mereka ingin ke Nigeria dengan tujuan agar mereka dapat menguasai bahasa selain mengkaji tokoh-tokoh yang agung.

Kemudian ucapan perasmian penutupan oleh Encik Shahril Izabuddin. Maka dengan itu, berakhirlah kem ini yang dihadiri daripada beberapa institut. Sesungguhnya pengalaman yang amat bermakna ini akan sentiasa tersemat di minda dan kekal di hati kerana ilmu yang saya dapati.

Sekian....

Saturday, September 12, 2009

Temubual Bersama Aktivis di China @Berita







Iftar & Perkongsian Membara Semangat Aktivis

Bestari Jaya, 11 September 2009 - Semalam aktivis GPTD UNISEL telah menghadiri Majlis Iftar GPTD UNISEL yang diadakan di rumah Penasihat. Acara yang bermula dengan berbuka ringkas dan ringan, kemudian menunaikan solat Maghrib secara berjamaah di Surau RKS bagi lelaki. Manakala perempuan menunaikan di rumah sahaja. Jamuan berbuka diteruskan selepas selesai solat, dengan menggunakan 'talam' bagi meratakan membudayakan semangat ukhwah & perkongsian rezeki. Solat terawih dijalankan di Masjid Unisel bagi meraikan tuan rumah.

Slot kemuncuk iaitu sesi Perkongsian Pengalaman di China oleh Sdr Suhail. Beliau menerangkan secara ringkas Fakta Nombor tentang sejarah awal dan terkini China. Kemudiannya berkongsi mehnah & tribulasi kerja-kerja sekarelawan di sana. Dimaklumkan beliau telah mengislamkan seorang gadis China, Alhamdulillah. Aktivis Grup Ibn Battutah & Grup Cheng Ho juga berkesempatan bertukar soalan dan pandangan tentang kajian yang akan dan boleh dilaksanakan di China.


Friday, September 11, 2009

Al Kisah kerana Tarian Pendet

Jakarta, 11 September 2009 - Rakyat Malaysia terutama di kalangan pelajar terpaksa menukar penampilan di Jakarta dan pelancong pula terpaksa membatalkan lawatan ke sini atas dasar keselamatan. Di Jakarta telah dilancarkan satu Gerakan 'Sapu Malaysia' oleh sekumpulan ekstremis di Indonesia. Semua berlaku disebabkan isu penggunaan 'Tarian Pendet', sejenis tarian tradisional Kepulauan Bali dalam promosi pelancongan Malaysia. Walaupun telah dijelaskan dan diselesaikan isu tersebut dengan baik oleh kerajaan Malaysia dan kedutaan Indonesia di Malaysia tetapi bantahan tetap berlaku di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif EastQabillah Travel & Tours Sdn Bhd, Fadzil Abdullah, berkata "Kita mula merasai kesannya apabila ada pelanggan membatalkan tempahan atau mengubah destinasi pelancongan yang dianggap lebih selamat seperti Padang dan Medan," katanya dalam laporan Berita Harian.

"Kami tidak lagi berani berjalan seorang diri untuk ke sesuatu tempat, termasuk pusat beli-belah di bandar. Terasa banyak sangat mata memerhati kami dengan pandangan sinis, seolah-olah tidak berpuas hati. Malah, kami turut dimaki hamun dan dilempar pelbagai kata kesat," kata seorang pelajar Malaysia ketika dihubungi di Jakarta, semalam.

Selasa lalu, Kumpulan Anti-Malaysia (KAM) mengadakan sekatan jalan raya dan membawa buluh runcing untuk mengugut rakyat Malaysia di Jalan Diponegoro, Jakarta.

Penyelaras KAM, Muchtar Bonaventura, dilaporkan berkata tindakan itu sebagai amaran kepada Malaysia supaya tidak memberi layanan buruk kepada rakyat Indonesia atau mendakwa elemen budaya republik itu sebagai miliknya.

- Unit Media

Ulasan Penasihat

Kepada Grup Hamka yang akan menjalankan Ekspedisi Meneladani Pemikiran Hamka di Maninjau Indonesia pada bulan Disember ini agar sentiasa mengikuti perkembangan semasa di sana. Jangan lupa untuk berhubung dengan rakan-rakan NGO bagi mendapatkan maklumat tepat berkaitan isu ini agar perjalanan misi ke sana tidak terganggu. Sila buat lawatan ke kedutaan untuk mendapatkan jaminan keselamatan.

Pelajar Malaysia dihamun KAM

Jakarta, 11 September 2009 - Rakyat Malaysia terutama di kalangan pelajar terpaksa menukar penampilan di Jakarta dan pelancong pula terpaksa membatalkan lawatan ke sini atas dasar keselamatan. Di Jakarta telah dilancarkan satu Gerakan 'Sapu Malaysia' oleh sekumpulan ekstremis di Indonesia. Semua berlaku disebabkan isu penggunaan 'Tarian Pendet', sejenis tarian tradisional Kepulauan Bali dalam promosi pelancongan Malaysia. Walaupun telah dijelaskan dan diselesaikan isu tersebut dengan baik oleh kerajaan Malaysia dan kedutaan Indonesia di Malaysia tetapi bantahan tetap berlaku di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif EastQabillah Travel & Tours Sdn Bhd, Fadzil Abdullah, berkata "Kita mula merasai kesannya apabila ada pelanggan membatalkan tempahan atau mengubah destinasi pelancongan yang dianggap lebih selamat seperti Padang dan Medan," katanya dalam laporan Berita Harian.

"Kami tidak lagi berani berjalan seorang diri untuk ke sesuatu tempat, termasuk pusat beli-belah di bandar. Terasa banyak sangat mata memerhati kami dengan pandangan sinis, seolah-olah tidak berpuas hati. Malah, kami turut dimaki hamun dan dilempar pelbagai kata kesat," kata seorang pelajar Malaysia ketika dihubungi di Jakarta, semalam.

Selasa lalu, Kumpulan Anti-Malaysia (KAM) mengadakan sekatan jalan raya dan membawa buluh runcing untuk mengugut rakyat Malaysia di Jalan Diponegoro, Jakarta.

Penyelaras KAM, Muchtar Bonaventura, dilaporkan berkata tindakan itu sebagai amaran kepada Malaysia supaya tidak memberi layanan buruk kepada rakyat Indonesia atau mendakwa elemen budaya republik itu sebagai miliknya.

- Unit Media

Ulasan Tuan Penasihat

Kepada Grup Hamka yang akan menjalankan Ekspedisi Meneladani Pemikiran Hamka di Maninjau Indonesia pada bulan Disember ini agar sentiasa mengikuti perkembangan semasa di sana. Jangan lupa untuk berhubung dengan rakan-rakan NGO bagi mendapatkan maklumat tepat berkaitan isu ini agar perjalanan misi ke sana tidak terganggu. Sila buat lawatan ke kedutaan untuk mendapatkan jaminan keselamatan.

Aktivis Kemanusian dizalimi pihak berkuasa Mesir

Ampang, 11 September 2009 - GPTD UNISEL memandang serius isu seorang aktivis kemanusian yang telah dizalimi oleh pihak berkuasa Mesir. Mejar (B) Azlan Mohamad Sharif merupakan aktivis utama Global Peace Mission (GPM) ditahan ketika ingin menghulurkan bekalan bantuan yang telah disumbangkan oleh seluruh rakyat Malaysia kepada masyarakat Gaza. Rentetan itu usaha GPM telah menyerahkan memorandum kepada kedutaan Mesir di Kuala Lumpur amat di sokong oleh GPTD UNISEL. Kandungan memorandum menuntut pihak berkuasa Mesir, membentuk badan-badan kemanusiaan antarabangsa untuk menghulurkan bantuan yang diperlukan oleh penduduk GAZA menerusi sempadan MESIR-GAZA.

Penyerahan Memorandum ini di Kedutaan Mesir, turut menyaksikan 3 wakil GPM, Tn Hj Ahmad Azam, Tuan Hj Nur Anwar Hashim dan Mejar (B) Azlan sendiri pergi menemui pegawai kedutaan Mesir untuk menyuarakan bantahan secara langsung berhubung isu penahanan Mejar (B) Azlan dan halangan yang di hadapi para petugas kemanusiaan untuk menyalurkan bantuan ke GAZA menerusi sempadan Mesir-GAZA. GPTD UNISEL menasihatkan kepada semua aktivisnya agar tetap kental walaupun menghadapi halangan semasa menabur bakti di luar negara.

- Unit Media

http://www.gpm.com.my/

Thursday, September 10, 2009

Temubual Peserta Bicara Bebas Keranda Putih @Berita





Bicara Bebas Keranda Putih

Bestari Jaya, 10 September 2009 - Bilik Kanak-Kanak, Perpustakaan UNISEL berlangsung Pameran Selamatkan Dunia Baru. Disamping itu telah diadakan satu sesi Bicara Bebas Keranda Putih yang disampaikan oleh Sdr. Izwan Suhadak yang merupakan Penasihat GPTD UNISEL. Beliau menerangkan tentang kesan penggunaan polistrina terhadap kesihatan manusia antaranya leukemia, barah, gangguan sistem pencernaan, darah dan hati. Selain mencemarkan alam sekitar kerana polistrina memerlukan 500 tahun untuk diurai secara semula jadi. Diskusi sesama hadirin telah diadakan dengan persetujuan bersama untuk menjayakan Kempen Tapau Mania di peringkat kampus Bestari Jaya. Kempen mengajak warga kampus untuk menggunakan atau membawa bekas makanan sendiri apabila ingin tapau (bungkus di kedai). Alternatif kedua pula, GPTD UNISEL akan menghantar memorandum kepada pihak pengurusan Unisel agar melihat kembali kontrak/polisi pengusaha kafeteria agar meletakkan syarat tambahan dengan mewajibkan penggunaan ekopak (alternatif polistrina mesra alam) serta kos tambahan sebanyak RM0.20 dikenakan kepada pelanggan. Diakhir slot ceramah tersebut soalan kuiz telah dilontarkan untuk menguji kefahaman hadirin. Rata-ratanya hadirin dapat menjawab dengan tepat.

- Unit Media






Tuesday, September 8, 2009

Jom Selamatkan Dunia Baru



Bestari Jaya, 8 September 2009 - GPTD UNISEL ingin mengajak warga Unisel untuk membudayakan "Tapaw Mania". Idea ini merupakan cetusan alternatif kepada penggunaan polistrina. Tapaw adalah istilah Bahasa Cina yang bermaksud bungkus. Mania pula membawa makna secara meriah. Fakta yang perlu anda ketahui, kesan sampingan penggunaan polistrina akan mengakibatkan kanser. Dari segi alam sekitar pula, polistrina memerlukan 400 tahun untuk dilupuskan. Oleh itu, apa yang perlu dilakukan untuk menjayakan budaya Tapaw Mania adalah dengan membawa bekas makanan sendiri semasa membeli makanan di kafeteria atau gerai. Ini akan bukan sahaja boleh membantu penjagaan alam sekitar malah pengusaha kafeteria dapat menjimatkan kos. Satu lagi alternatif yang boleh dilakukan oleh pihak pengusaha kafeteria adalah dengan menggunakan ecopak (bekas makanan seperti polistrina tetapi mesra alam). Dari segi kos, pihak pengusaha kafeteria boleh mengenakan bayaran tambahan sebanyak RM0.20. Pameran Selamatkan Dunia Baru akan berlangsung selama 4 hari bermula 8 sehingga 11 September 2009.

Monday, September 7, 2009

Falsafah Nuzul Quran

Oleh Ikhwan Nur Hayat

Apakah signifikan Nuzul al-Quran kepada kita? cuti umum, turunnya al-Quran pada bulan Ramadan, semangat penghayatan Quran... Itu adalah antara jawapan yang biasa kita dengar apabila persoalan tersebut timbul. Sebenar di dalam al-Quran telah menjelaskan falsafah disebalik Nuzul al-Quran berdasarkan firman Allah SWT :


"(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang bathil). Karena itu, barangsiapa di antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu, dan barangsiapa sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur."

Jika dilihat kepada ayat di atas jelas memberikan suatu gambaran falsafah kepada kita hamba Allah SWT tentang peranan Al-Quran sebagai hudan yang bermakna petunjuk. Petunjuk inilah yang memandu manusia ke jalan kebenaran dalam perjalanan kehidupan seorang muslim dalam menuju destinasi Ilahi. Perumpamaannya seperti seorang pemandu kenderaan yang telah menetapkan destinasi pilihan untuk dituju. Maka papan tanda jalan yang menunjukkan arah destinasi. Malah ada juga peraturan yang perlu diikuti disamping mengikut arah jalan seperti di lampu trafik di mana kenderaan mesti dihentikan jika lampu merah bernyala. Apabila lampu hijau bernyala maka kenderaan boleh dipacu jika tiada halangan dihadapan. Ini adalah tamsilan kepada keterangan falsafah al-Quran yang kedua iaitu penjelasan kepada petunjuk.

Al-Quran bukan sahaja petunjuk tetapi dijelaskan petunjuk tersebut supaya manusia boleh mengikut aturan Ilahi. Bukan sekadar mengaku mengikut al-Quran tetapi perlaksaannya tidak sejajar dengan nilai falsafah yang terkandung. Ia seperti juga keadaan di mana kita meng
ikut papan tanda destinasi tetapi melanggar seluruh peraturan lalu lintas. Maka ini boleh kita katakan sebagai suatu prinsip songsang iaitu "matlamat menghalalkan cara" atau "destinasi menghalalkan peraturan".

Falsafah ketiga yang terkandung di dalam nuzul quran adalah al-Quran sebagai pembeda, pemutus
atau penentu dalam membuat keputusan. Keputusan yang benar dan adil kena dibuat berdasarkan kepada falsafah pertama & kedua iaitu al-Quran sebagai petunjuk yang perlu di baca serta dirujuk danal-Quran sebagai penjelasan atau peraturan yang perlu dilaksanakan. Nah, jika ini dapat dihayati bukan sahaja sempena sambutan Nuzul Quran tetapi ditadaburkan setiap hari, insya Allah cahaya kebenaran akan pasti menyinsing.

Sunday, September 6, 2009

Persiapan Kempen & Pameran Selamatkan Dunia Baru Lancar

Oleh Mohd Kamarul Zaman

Bestari Jaya, 6 September 2009 - Unit Kajian, Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD) Unisel akan mengadakan Kempen dan Pameran Selamatkan Dunia Baru pada 8-11 September 2009 bertempat di Perpustakaan, Unisel. Temanya ialah "Kehidupan Ini Untuk Semua". Persiapan untuk kempen tersebut berjalan lancar seperti yang diharapkan. Antara persiapan yang telah dilakukan ialah membuat kain rentang, risalah, bahan pameran, soalan kuiz, dan sebagainya. Menurut pengarah program ini iaitu Saudara Mohd Izuwan Azim Bin Kamarulzaman merangkap Ketua Unit Kajian GPTD UNISEL, " Saya berharap agar semua warga kampus unisel ini dapat memberi sokongan dengan mengunjungi kempen dan pameran Selamatkan Dunia Baru agar matlamat tema 'Kehidupan Ini untuk Semua" bersemadi dalam jiwa para mahasiswa dalam menjaga kehidupan kampus kita ini." katanya.

Menurut Saudari Noor Ashiqin Binti Jusoff Albar salah seorang sukarelawan daripada Fakulti Pendidikan & Pengajian Bahasa berkata, "Wake up and smell the coffee. Go green! This is a movement that everyone should consider. It's a 'together' movement. If we don't do it, who will?". Aktiviti di sepanjang penganjuran kempen & pameran seperti Ceramah Kesedaran Polistrina, Kuiz berdasarkan pameran, mengumpul tandatangan sokongan, tayang filem The Day After Tomorrow, yang memaparkan kemusnahan dunia akibat pemanasan global.


- Unit Media

Saturday, September 5, 2009

Laporan Video Kehidupan Ini Milik Semua @Berita




Tinjauan di Bazar Ramadan

Bestari Jaya, 5 September 2009 - Bendahari & Unit Ekonomi, Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD) Unisel sedang dalam peringkat perbincangan untuk menjalankan tinjauan di Bazar Ramadan. Tinjauan ini bertujuan melihat gaya pembelian dikalangan mahasiswa Unisel serta tahap kepuasan perkhidmatan yang disediakan. Selain itu tinjauan dari kalangan penggerai juga dilakukan bagi mendapatkan respon kepuasan pihak penganjur dan pengunjung yang datang.

Kajian tinjauan dijangka dilaksanakan pada minggu hadapan di tiga lokasi berasingan iaitu dua di dalam kampus dan satu lagi di kg Bestari Jaya. Kriteria yang difokuskan berdasarkan kesihatan, kebersihan, perkhidmatan, harga dan etika. Kajian ini diketuai oleh Saudari Hafizah yang merupakan Bendahari GPTD UNISEL dengan dibantu oleh Saudara Izzat sebagai Ketua Unit Ekonomi. Harapan daripada kajian tinjauan ini akan diserahkan kepada pihak yang berkenaan agar pengurusan dan perlaksanaan pada masa akan datang dapat diperbaiki hendaknya.

- Unit Media

Friday, September 4, 2009

Bengkel Weblog Asas

Bestari jaya, 5 September 2009 - Bengkel weblog Asas telah berjaya dilaksanakan dengan baik. Bertempat di GL 209 Fakulti Industri Teknologi Maklumat. Tujuan bengkel diadakan untuk melatih aktivis GPTD UNISEL memanfaatkan ICT sebagai medium dakwah. Insya Allah bengkel tahap pertengahan akan dianjurkan mengikut permintaan ahli.

- Unit Media




Catatan Perjalanan SAKTI

Saya telah pun membuat bacaan catatan yang telah dihasilkan oleh para peserta Kem SAKTI. Tahniah & Syabas kepada semua kerana belajar menulis. Macam-macam ragam penulisan yang dinukilkan bagi menggambarkan pengalaman yang dikutip semasa berada di kem. Ada yang perlu diperbaiki lagi. Tidak kurang juga yang mempunyai bakat penulisan kreatif. Mungkin saudara saudari boleh mencontoh catatan yang dihasilkan oleh Ibn Battutah tokoh pengembara tersohor di dalam karya agung beliau iaitu Pengembaraan Ibn Battutah. Cara yang digunakan oleh beliau sangat menarik dan kreatif untuk dibaca. Pengkisahan pengalaman yang jujur dan saya yakin pembaca akan dapat merasakan seolah-olah mereka berada dalam situasi yang digambarkan oleh beliau. Insya Allah bagi melatih aktivis GPTD UNISEL, pihak sekretariat akan menganjurkan Bengkel Penulisan untuk memantapkan lagi gaya penulisan serta persediaan sebelum menjalankan Misi luar negara. Sekian Wassalam.

Nota : Catatan terbaik akan disiarkan di dalam blog ini.

- Tuan Penasihat

Pertemuan Ukhwah Menjana Gerakan Grup

Bestari Jaya, 4hb September 2009 - Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD) Unisel telah berjaya mengadakan Pertemuan Ukhwah bagi mengukuhkan silaturahim sesama ahli dan gerak kerja organisasi. Acara tersebut berlangsung semalam pada jam 9.30 malam di Bilik Seminar 3, Fakulti Industri Teknologi Maklumat. Para hadiran telah diserapkan ke dalam Unit dan Grup pilihan masing-masing. Insya Allah hujung tahun ini akan ada Misi luar negara yang serentak akan berlaku. Namun, senarai akhir akan diputuskan berdasarkan kepada kesediaan dan kesungguhan para penggerak bagi setipa grup. Misi yang telah pun diluluskan oleh pihak Hal Ehwal Pelajar adalah Ekspedisi Meneladani Pemikiran Hamka (XPDC HAMKA) .

- Unit Media




Thursday, September 3, 2009

Fahaman Komunis Mula Mengancam Umat Islam

Pemerintah Republik China di wilayah Xinjiang di dakwa mengeluarkan notis tidak menggalakkan pekerja Uighur berpuasa di bulan Ramadan. Pemerintah menawarkan makanan tengah hari dan minuman secara percuma khas sempena bulan puasa kepada umat Islam. Ini merupakan langkah awal bagi mengenalpasti siapa yang berpuasa. Dilxat Raxit, jurucakap Kongres Dunia Uighur mendakwa pekerja Parti Komunis Uighur di seluruh Xinjiang dipaksa menandatangani surat aku janji tidak berpuasa atau melaksanakan aktiviti agama lain. Malah jika aturan ini dilanggar makan akan dihukum. Pemerintah Komunis juga buat pertama kali menjalankan operasi terhadap ahli Parti Komunis bersara yang mana mereka akan dilawati untuk menggalakkan mereka tidak berpuasa. Selain itu, pemilik restoran yang menutup perniagaan sempena Ramadan, lesen perniagaan mereka akan dibatalkan.

Segala tindakan yang dilaksanakan oleh Pemerintah Komunis Republik China merupakan suatu tindakan yang bercanggah dengan hak asasi manusia yang bebas mengamalkan kepercayaan agama. Kalau ditinjau dari sudut sejarah, Laksamana Cheng Ho seorang Muslim merupakan Negarawan China yang telah menjayakan misi diplomasi hingga ke seluruh dunia melalui Ekspedisi Kapal Laut. Menurut catatan Ibn Battutah pula, Pemerintah China ketika itu sangat mengalakkan kehadiran Muslim ke kota mereka. Malah komuniti Muslim ketika itu mempunyai kota khas yang diduduki oleh orang Islam. Tiada sengketa yang berlaku dan perdagangan berlaku dengan rancang di kalangan orang Islam. Ramai pembesar China dilantik dari kalangan orang Islam.

Sewajarnya, Pemerintah belajar daripada pengalaman lalu dalam melaksanakan dasar negara. Kini sudah masuk abad ke 21 dengan keadaan dunia tanpa sepadan sepatutnya tiada sebab untuk mengusik sensitiviti umat Islam. Jika dasar ekonomi China sudah menggunakan sistem terbuka sangat tepatlah untuk pemerintah implimentasikan dasar yang sama bagi urusan pemerintahan. Kepada umat Islam di China, cekalkan jiwa untuk meneruskan Ramadan dalam suasana 'Ramadh' yang bermaksud panas.
Related Posts with Thumbnails