Tuesday, August 17, 2010

Kes buang bayi meningkat


Kuala Lumpur, 16 Ogos 2010 - Kes buang bayi di negara ini semakin serius apabila ia meningkat mendadak lebih 54 peratus sejak Januari sehingga hari ini berbanding lapan bulan pertama tahun lalu.

Statistik terbaru dikeluarkan oleh Ibu Pejabat Polis Bukit Aman menunjukkan, terdapat 65 kes buang bayi dilaporkan di seluruh negara sejak awal tahun ini berbanding hanya 42 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin berkata, pihaknya bimbang dengan trend peningkatan kes pembuangan bayi itu.

Sehubungan itu, beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempertimbangkan untuk menyiasat kes pembuangan bayi di bawah Seksyen 302 dan 307 Kanun Keseksaan.

"Jika kita lihat ada trend peningkatan (kes pembuangan bayi). Saya nampak dalam akhbar-akhbar banyak kes yang dilaporkan, malah Peguam Negara sudah membuat kenyataan berkaitan isu ini.

"Ketua Polis Negara telah kata laksanakan (Seksyen 302 dan 307 Kanun Keseksaan) kalau itu boleh selesaikan kes-kes pembuangan bayi," katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman di sini hari ini.

Pada 12 Ogos lalu, Kabinet mengarahkan mana-mana individu yang terlibat dalam kes buang bayi disiasat mengikut Kanun Keseksaan iaitu perbuatan membunuh atau percubaan membunuh.

Mohd. Bakri menjelaskan, sejak tahun 2005 sehingga kini, terdapat 472 kes buang bayi dilaporkan di seluruh negara.

Beliau berkata, daripada jumlah tersebut, 214 bayi yang ditemui masih hidup manakala 258 lagi sudah meninggal dunia.

"Sepanjang tahun lalu, 79 kes pembuangan bayi dilaporkan iaitu 25 kes membabitkan bayi lelaki, 29 bayi perempuan dan 25 kes lagi tidak dapat dipastikan jantinanya kerana dibuang masih janin.

"Jumlah kes meningkat mendadak sejak Januari sehingga hari ini, apabila sudah ada 65 kes dilaporkan iaitu 26 kes membabitkan bayi lelaki, 25 perempuan dan 14 kes janin," katanya.

Dalam tempoh sama, kata Mohd. Bakri, 21 individu terdiri daripada remaja berusia di bawah 18 tahun ditangkap kerana terbabit dalam kes pembuangan bayi.

Beliau berkata, enam daripada mereka sudah didakwa di mahkamah manakala dua lagi dijatuhi hukuman.

Mohd. Bakri berkata, polis menghadapi masalah mengesan individu bertanggungjawab membuang bayi terbabit kerana masyarakat kurang bekerjasama memberikan maklumat.

"Kita minta orang ramai kalau mengetahui individu tertentu melakukan perbuatan demikian (buang bayi) supaya maklumkan kepada polis," ujarnya.

Ditanya punca peningkatan kes terbabit, Mohd. Bakri berkata, ia mempunyai kaitan dengan teknologi maklumat yang semakin canggih iaitu apabila bahan-bahan lucah di Internet semakin mudah disebar dan diakses oleh orang ramai termasuk golongan remaja.

Selain itu, katanya, kerapuhan institusi keluarga akibat kesibukan ibu bapa bekerja untuk mencari sumber kewangan juga menyumbang kepada masalah tersebut.

Sumber : Utusan

No comments:

Post a Comment


Related Posts with Thumbnails