Tuesday, August 17, 2010

Israel enggan henti bina penempatan haram

Baitulmaqdis, 16 Ogos 2010 - Ketua perunding damai Palestin, Saeb Erakat hari ini menuduh Israel menolak proses damai yang 'serius' kerana keengganannya untuk menghentikan pembinaan kawasan penempatan haram Yahudi di wilayah diduduki.

Beliau membuat kenyataan itu selepas media Israel melaporkan, forum terdiri daripada tujuh menteri kanan Kabinet akan menolak kenyataan yang dijangka dikeluarkan oleh Kuartet Asia Barat bagi menuntut rundingan damai langsung disambung semula dan pembinaan kawasan penempatan Yahudi dibekukan.

"Pengumuman oleh kerajaan Israel untuk menolak kenyataan Kuartet antarabangsa sebelum kenyataan itu dikeluarkan membuktikan Israel terus dengan pendiriannya menolak proses damai yang serius," kata Erakat.

Beliau mendakwa kerajaan Israel mempunyai keutamaan lain selain keamanan dan kestabilan di Asia Barat.

Para pegawai Israel sebelum ini telah menolak sebarang 'prasyarat' untuk mengadakan rundingan damai secara langsung dengan Palestin, termasuk pembekuan seluruh aktiviti pembinaan perumahan haram Yahudi.

Kuartet Asia Barat yang terdiri dari Amerika Syarikat (AS), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kesatuan Eropah (EU) dan Rusia dijangka mengeluarkan kenyataan bagi meminta kedua-dua pihak melancarkan semula rundingan langsung yang digantung pada akhir 2008.

Amerika Syarikat (AS) dipercayai sudah hampir mencapai persetujuan dengan Palestin untuk menghidupkan semula rundingan langsung selepas usaha diplomasi dutanya ke Asia Barat, George Mitchell sejak beberapa bulan lalu gagal meyakinkan pihak Palestin supaya kembali ke meja rundingan tersebut.

Palestin berkata, Kuartet akan mengeluarkan kenyataan serupa seperti yang dikeluarkan di Moscow pada Mac lalu bagi menggesa Israel menghentikan pembinaan kawasan perumahan haram dan supaya rundingan langsung menghasilkan perjanjian damai akhir dalam tempoh dua tahun.

Pemimpin Palestin sebelum ini menolak tekanan AS untuk melancarkan semula rundingan langsung, dengan menuduh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu tidak serius mengenai penubuhan sebuah negara Palestin merdeka.

Pegawai Palestin menemui timbalan Mitchell, David Hale untuk membincangkan draf akhir kenyataan Kuartet, bertujuan memberi sebab untuk Presiden Mahmud Abbas kembali ke meja rundingan.

"Kemajuan sudah dicapai setakat ini, dan pendirian rasmi Palestin akan diumumkan selepas kenyataan Kuartet," kata jurucakap Abbas, Nabil Abu Rudeina selepas rundingan di bandar Ramallah, Tebing Barat lewat semalam. - AFP


Sumber : Utusan

No comments:

Post a Comment


Related Posts with Thumbnails