GPTD=grup_pengkaji_tamadun_dunia | AIS=aktivisme+intelektualisme+spiritualisme | 3M=menjejak.meneladani.memimpin
Monday, July 7, 2014
SINDROM LESU DI KALANGAN MAHASISWA
Tuesday, May 6, 2014
SUKARELAWAN MALAYSIA MENGAJAR ENGLISH DI YALA
Monday, October 29, 2012
Sukarelawan bersilaturahmi semasa Kembara Qurban @Patani
Muhammad Fakhrul Amiruddin telah mengetuai sukarelawan GPTD iaitu Huzaimi, Tengku Farhana dan Ili Akmal. Turut serta dalam delegasi kali ini adalah rakan strategik GPM adalah saudara Soleh daripada Turki dan fasih berbahasa Melayu. Beliau telah ikuti ibadah qurban di Patani buat kali kedua untuk kali ini. "Terima kasih kepada GPTD kerana telah memberi peluang kepada saya untuk mengikuti kembara ini, pengalaman dan ilmu tidak akan saya lupakan", kata saudari Tengku Farhana yang sangat teruja dengan misi kali ini. "Kami tidur bersama keluarga angkat dan rasa sangat mesra seperti sebuah keluarga kandung", kata saudari Ili Akmal yang buat pertama kali menjejakkan kaki ke sini.Wednesday, October 10, 2012
Kembara Ramadan @Patani (Part 2)
Kembara Ramadan @Patani (Part 1)
Thursday, July 19, 2012
Promo : Kembara Ramadan @Patani
Saturday, November 26, 2011
Salam Maal Hijrah 1433H

Sebagai panduan bagi kita semua antara cara untuk melakukan hijrah diri.
Pertama:
NIAT. Hijrah harus dimulakan dengan niat yang tulus ikhlas semata-mata mengharap keredhaan Allah. Sesungguhnya niat merupakan elemen penting dalam setiap perkara yang kita lakukan kerana niat kita mempengaruhi hasil daripada usaha yang kita lakukan.
“Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin 'Umar ibn al-Katthab r.a.beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dianiatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya.Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya kearah perkara yang ditujuinya itu.
Tips kedua:
TETAPKAN MATLAMAT. Matlamat hijrah kita yang utama pastilah untuk mendapat keredhaan Allah. Matlamat yang disasarkan harus realistic dan mudah dicapai. Jangan meletakkan matlamat yang sukar dijangkau dalam tempoh yang singkat. Mulakan dengan perubahan yang kecil dan mudah tetapi harus konsisten. Matlamat amat penting kerana ia menjadi kayu ukur kepada usaha yang bakal kita laksanakan.
Tips ketiga:
HINDARI PERSEPSI DAN PERKATAAN YANG NEGATIF. Sentiasa berfikiran positif atas usaha yang kita lakukan. Ketahuilah bahawa setiap manusia diberikan peluang oleh Allah untuk berubah selagi mana ajalnya belum tiba dan belum berlakunya hari kiamat. Berlaku adillah pada diri anda. Elakkan perkataan yang negative keluar dari mulut anda. Perdengarkan pula kata-kata positif dan latihlah diri untuk menuturkan kata-kata tersebut agar diri anda seperti menjadi orang yang baru.Tukarlah kata- kata kegagalan kepada nota-nota kejayaan.Lafazkanlah kata-kata “aku ingin berhijrah”, “aku ingin berubah”, “aku pasti boleh berubah” , agar diharapkan ia menjadi suatu doa yang baik.
Tips keempat:
KUATKAN TEKAD DAN SEMANGAT. Untuk berhijrah pengorbanan amat diperlukan. Kerana hijrah itu terjadi atas landasan pengorbanan. Apabila orang melihat sebarang perubahan yang kita lakukan pasti ada yang memuji malah tidak kurang ada yang mengeji. Apa yang penting jangan goyah sebaliknya kuatkan semangat dan tekad anda untuk mencapai matlamat yang dilakar. Jangan mudah luntur semangat hanya kerana omongan kosong orang-orang yang irihati dengan perubahan positif anda.
Tips kelima:
BERDOALAH. Sesungguhnya Allah telah berfirman:
Dan Tuhanmu berfirman: "Berdoalah kepada-Ku, niscaya akan Kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri daripada menyembah-Ku akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina-dina."
(Al-Mu’min 40: 60)
Iringilah setiap usahamu dalam hijrah yang kamu lakukan dengan doa yang tulus dan ikhlas. Yakinlah bahawa Allah pasti membantumu selagi mana kamu berusaha untuk mencapai redhaNYA dan selagimana kamu berada di jalanNYA. Percayalah bahawa kamu tidak akan pernah berseorangan dalam hijrah tersebut kerana DIA sentiasa ada disisimu.
Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sebelum mereka merubah keadaan diri mereka sendiri..." (Surah Ar-Ra'dayat 11).
Disediakan oleh
UMMAHATUL HAMIMAH
Penulis merupakan pelajar Tahun Asas Fakulti Sains & Bioteknologi di Universiti Selangor. Di dalam Grup Penkaji Tamadun Dunia Unisel, penulis adalah Exco Unit Pembina serta Editor Risalah Madani. Penulis juga terlibat sebagai sukarelawan Jejak Pattani yang akan menjalankan khidmat sosio-budaya pada bulan Januari.
Wednesday, November 23, 2011
Ikhlas prasyarat mendapat redha Ilahi
Al- Imam Asy Syahid Hasan Al-Banna berkata :
“Katakanlah olehmu: Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku adalah kerana Allah Tuhan semesta alam. Tidak ada sekutu bagi-Nya dan dengan yang demikian itulah aku diperintahkan.”
Dengan itu akh muslim dapat memahami slogan yang sering dilaungkan :
aha besar, bagi Allah segala pujian.”
Ikhlas ialah melakukan amalan semata-mata mencari keredhaan Allah swt, tanpa dicampuri dengan tujuan dunia. Amalannya tidak dicampuri dengan keinginan dunia, keuntungan, pangkat, harta, kemasyhuran, kedudukan tinggi di kalangan manusia, meminta pujian, lari dari kejian, mengikut hawa nafsu yang tersembunyi atau lain-lain lagi yang boleh dihimpunkan dalam : “Melakukan amalan bukan kerana Allah.”
Ikhlas dengan makna ini adalah buah dari tauhid yang sempurna iaitu mengesakan Allah taala dalam ibadat. Kerana itulah riya’ (menunjuk-nunjuk) yang merupakan lawan kepada ikhlas adalah perbuatan syirik. Syidad bin Aus berkata : “kami mengira riya’ adalah syirik kecil pada zaman Rasulullah saw.”
Rukun Bagi Amalan Yang Diterima
Setiap amal soleh mempunyai dua rukun. Allah swt tidak menerima sesuatu amalan melainkan jika memenuhi dua rukun tersebut iaitu :
pertama : ikhlas
kedua : bertepatan dengan sunnah dan syara’
Dengan rukun yang pertama tercapailah kesahihan batin dan dengan yang kedua tercapailah kesahihan lahir. Berkenaan dengan rukun yang pertama Rasulullah saw telah bersabda yang bermaksud :
“Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat.”
“Sesiapa yang melakukan sesuatu amalan yang tidak ada kena mengena dengan agama kami, maka ia adalah tertolak.”
Allah Taala telah menghimpunkan dua rukun tersebut pada banyak tempat dalam al-Quran. Di antaranya firman Allah swt dalam surah Luqman ayat 22 yang bermaksud :
“Sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah dalam dua keadaan dia berbuat baik, sesungguhnya dia telah berpegang pada ikatan yang teguh.”
Menyerah diri kepada Allah adalah mengikhlaskan niat dan beramal kerana-Nya. Membuat baik pula adalah mengikut sunnah Rasulullah saw. Fudhail bin ‘Iyadh berkata tentang firman Allah taala (al-Mulk : 2) yang bermaksud :
“Supaya dia menguji kamu, siapakah di antara kamu yang baik amalannya.”
“Amalan yang paling baik ialah yang paling ikhlas dan yang paling benar.”Orang bertanya kepada beliau: “Wahai Abu Ali, apakah yang dimaksudkan dengan yang paling ikhlas dan benar itu?” Beliau menjawab : “Sesungguhnya sesuatu amalan itu, jika ia ditunaikan secara ikhlas sahaja tetapi tidak menepati kebenaran, maka ia tidak akan diterima. Begitu juga jika ia menepati kebenaran tetapi jika tiada ikhlas, maka ia juga tidak diterima. Amalan yang diterima ialah yang ikhlas dan menepati kebenaran. Ikhlas adalah semata-mata kerana Allah dan kebenaran adalah mengikut sunnah.”
Kemudian Fudhail membaca firman Allah Taala dalam surah al-Kahfi ayat 110 yang bermaksud :
“Sesiapa yang mengharapkan pertemuan dengan tuhannya, maka ia hendaklah melakukan amalan yang soleh dan tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu yang lain.”
Dari perkara di atas dapatlah kita ketahui bahawa niat yang ikhlas semata-mata tidak memadai supaya amalan diterima selagimana tidak bertepatan dengan sunnah dan syara’. Begitu juga amalan yang menepati syara’ tetapi tidak disertai dengan niat yang ikhlas kepada Allah tidak akan diterima.
Tanda-tanda Ikhlas
Ikhlas mempunyai banyak tanda dan alamatnya yang banyak. Ia terserlah di dalam kehidupan orang yang ikhlas akhlaknya dan pandangannya kepada diri sendiri dan manusia. Di antara tanda dan alamat tersebut ialah :
1. Beliau takutkan kemasyhuran dan sanjungan yang boleh membawa fitnah kepada diri dan agamanya. Lebih-lebih lagi jika beliau seorang yang berkebolehan. Beliau meyakini bahawa Allah menerima sesuatu berdasarkan batin bukannya zahir, jika seseorang manusia itu memiliki kemasyhuran di seluruh pelusuk dunia sekalipun, sedangkan niatnya bercampur-baur, maka ia tidak memberi apa-apa makna.
Inilah yang menjadikan ramai di kalangan ulama’ salafussoleh takut kalau hati-hati mereka ditimpa fitnah kemasyhuran, kemegahan dan sanjungan. Mereka memberi amaran kepada murid-murid mereka tentang perkara tersebut. Ibrahim bin Adham berkata :“Orang yang kasihkan kemasyhuran tidak berlaku adil terhadap Allah.”
Salim bin Hanzalah berkata :
“Ketika kami berjalan mengiringi Ubai bin Kaab, Umar melihat kepada beliau lantas memukulnya dengan cemeti. Ubai berkata : ‘ Lihatlah wahai Amirul Mukminin, apakah yang telah kamu lakukan?’ Umar menjawab : ‘ Ini adalah kehinaan kepada pengikut dan fitnah kepada orang yang diikut.”
Inilah pandangan tajam Saidina Umar yang berharga terhadap apa yang berlaku. Walaupun pada mulanya pada zahir yang remeh, tetapi ia akan memberi kesan yang besar terhadap para pengikut dan ketua yang diikuti.
Al Hassan berkata :
“Pada suatu hari Ibnu Mas’ud keluar dari rumahnya dan beliau diikuti oleh segolongan manusia. Beliau berpaling kepada mereka lantas berkata : ‘Mengapa kamu semua mengikut aku? Demi Allah jika sekiranya kamu mengetahui apa yang berlaku di dalam rumahku, nescaya tidak ada seorang pun di antara kamu yang mengikutiku.”
Al-Hassan berkata :
“Sesungguhnya bunyi sepatu orang-orang yang mengelilingi seorang lelaki boleh menggoncangkan hati orang-orang yang bodoh.” Pada suatu hari Al Hassan keluar lalu beliau diikuti oleh segolongan manusia. Beliau berkata : “Adakah kamu mempunyai hajat? Jika tidak, apakah yang akan menimpa kepada hati mukmin?”
Ayyub As Sakhaitani keluar bermusafir, lalu beliau dikelilingi oleh manusia yang ramai. Beliau berkata :
“Kalau tidak kerana aku mengetahui bahawa Allah swt mengetahui dalam hatiku bahawa aku benci kepada perkara ini, nescaya aku takut kemurkaan Allah swt.”
Ibnu Mas’ud berkata :
“Jadilah kamu sumber ilmu, lampu petunjuk, penunggu setia rumah, pelita di malam hari, hati-hati yang sentiasa baru, berpakaian buruk, kamu dikenal di kalangan ahli langit dan tidak dikenali oleh ahli bumi.”
Al Fudhail bin ‘Iyadh berkata :
“Jika kamu boleh membuatkan kamu tidak dikenali, maka lakukanlah. Apa salahnya jika kamu tidak dikenali? Apa salahnya jika kamu tidak dipuji? Apa salahnya jika kamu dikeji oleh manusia tetapi dipuji di sisi Allah swt?”
Janganlah difahami dari athar-athar di atas bahawa ia menyeru kepada bersembunyi dan mengasingkan diri. Sesungguhnya athar-athar tersebut dari pemimpin-pemimpin para du’at yang soleh dan mempunyai peninggalan yang baik dalam arena da’wah kepada masyarakat.
Tetapi hendaklah difahami secara keseluruhannya bahawa ia adalah kesedaran terhadap bahaya syahwat diri yang tersembunyi dan berwaspada terhadap lubang dan jendela yang mana syaitan dapat menyusup masuk melalui ke dalam hati manusia.
Kemasyhuran pada zatnya bukanlah suatu yang tercela. Tidak ada di sana orang yang lebih masyhur dari para Nabi dan Khulaf Ar Rasyidin. Tetapi jika kemasyhuran itu wujud tanpa berusaha bersungguh-sungguh dan tamak untuk mendapatkannya, maka tidaklah menjadi kesalahan walupun ada keburukannya. Itulah yang disebut oleh Imam Al Ghazali :
“Ia menjadi fitnah kepada orang-orang yang lemah, tidak kepada orang-orang yang kuat.”
2. Orang yang ikhlas sentiasa menganggap dirinya cuai terhadap Allah swt, lalai dalam melaksanakan ibadat, tidak dapat mengawal hati dan dimasuki oleh sifat megah dan taajub dengan diri sendiri. Bahkan beliau merasa takut kalau-kalau dosanya tidak diampunkan oleh Allah atu kebaikannya tidak diterima. Setengah para solehin menangis bersungguh-sungguh di dalam sakitnya. Lalu sebahagian daripada orang yang menziarahinya berkata : Mengapa kamu menangis? Sedangkan kamu telah berpuasa, bersembahyang malam, berjihad, bersedekah, menunaikan haji dan umrah, mengajar dan berzikir? Beliau menjawab : Manalah aku tahu sama ada perkara itu termasuk di dalam timbangan amalanku dan diterima di sisi Tuhanku? Sedangkan Allah berfirman di dalam surah al-Maidah ayat 27 :
“Sesungguhnya Allah hanya menerima dari orang yang bertaqwa.”
At Tirmizi meriwayatkan dalam sebuah hadis bahawa :
“Aisyah, isteri Nabi saw berkata : ‘ aku bertanya Rasulullah saw tentang ayat ini (al Mukminin : 60) yang bermaksud :
“Dan orang-orang yang memberikan apa yang telah mereka berikan, dengan hati yang takut.”
Aisyah berkata : ‘Adakah mereka itu orang yang meminum arak dan mencuri? Rasulullah menjawab : ‘Tidak, wahai anak as Siddiq, tetapi mereka ialah orang-orang yang berpuasa, bersembahyang dan bersedekah dalam keadaan mereka takut kalau-kalau amalan mereka tidak diterima. Merekalah orang-orang yang berlumba-lumba menuju kepada kebaikan.”
3. Beliau lebih suka melakukan amalan kebaikan secara tersembunyi dari amalan yang dipenuhi dengan iklan dan irama paluan kemasyhuran. Di dalam jamaah beliau lebih suka menjadi seperti tunjang pokok. Walaupun tunjang tersembunyi di dalam perut bumi dan tidak dapat dilihat mata, namun ia adalah asas untuk pokok itu tegak dan hidup.
Dari Umar Ibnu al Khattab ra bahawa beliau pergi ke masjid Rasulullah pada suatu hari. Beliau mendapati Mu’az bin Jabal duduk di sisi kubur Rasulullah saw dalam keadaan menangis. Umar bertanya : “Apakah yang membuatkan kamu menangis?” Mu’az menjawab : “Aku menangis kerana telah mendengar Rasulullah saw bersabda : ‘Sesungguhnya riya’ yang sedikit adalah syirik. Sesiapa yang memusuhi wali Allah, sesungguhnya dia telah berperang dengan Allah. Allah mengasihi orang-orang yang baik dan bertaqwa yang tidak dikenali. Apabila mereka hilang, orang tidak mencarinya dan apabila mereka ada, mereka, mereka tidak dipanggil dan dikenali. Hati-hati adalah lampu petunjuk, mereka keluar dari setiap tanah berdebu yang gelap.”
4. Sama sahaja di sisi beliau sebagai pemimpin atau tentera, selagi mana kedua-duanya adalah berkhidmat dengan da’wahnya. Hatinya tidak dapat dikuasai oleh perasaan cinta untuk muncul ke depan, berada di barisan hadapan, mahu menjadi pemimpin dan menjawat bahagian kepemimpinan. Bahkan mungkin beliau lebih mengutamakan untuk menjadi tentera biasa kerana takut berlaku cuai dalam melaksanakan kewajipan dan tugas kepimpinan. Dalam setiap perkara, beliau tidak berusaha untuk menjadi ketua dan tidak memintanya. Tetapi jika beliau dibebankan dengan tugas tersebut, beliau memikulnya dan memohon pertolongan dari Allah swt dalam melaksanakannya. Rasulullah saw menyifatkan golongan ini seraya bersabda yang bermaksud :
“Beruntunglah seorang hamba yang memegang tali kekang kudanya di jalan Allah dalam keadaan rambutnya kusut dan kakinya berdebu. Sekiranya beliau brtugas sebagai pengawal, beliau menjadi pengawal. Dan jika sekiranya beliau berada di belakang, beliau berada di belakang.”
Semoga Allah meredhai Khalid bin al Walid yang dilucutkan dari jawatan panglima tentera sedangkan ketika itu beliau adalah panglima tentera yang sentiasa menang dalam peperangan. Beliau lantas bekerja di bawah pimpinan Abu Ubaidah tanpa merasa gelisah ataupun menyesal.
5. Tidak menghiraukan keredhaan manusia jika disebaliknya adalah kemurkaan Allah swt. Sesungguhnya manusia berbeza-beza dari sudut tabiat, kecenderungan, cara berfikir dan matlamat mereka. Jadi percubaan untuk mendapat keredhaan mereka adalah satu matlamat yang tidak akan tercapai. Orang yang ikhlas tidak menyusahkan dirinya dengan perkara ini. Slogannya bersama Allah swt ialah :
Semoga kamu merasai kemanisan,
sedangkan kehidupan itu penuh kepahitan,
Semoga kamu menjadi redha,
sedangkan manusia marah,
Semoga ada orang memakmurkan,
di antara aku dan kamu,
sedangkan di antara aku dan dunia ada kehancuran,
Jika benarlah kamu mempunyai perasaan kasih,
maka semuanya menjadi mudah,
dan setiap sesuatu yang berada di atas tanah
adalah tanah…
6. Hendaklah cinta dan benci, memberi dan menahan, redha dan marah, semuanya kerana Allah swt dan agamanya, bukan kerana diri dan manfaatnya. Beliau tidak menjadi orang seperti orag-orang yang mengejar manfaat yng terdiri dari golongan munafiq yang dicela Allah di dalam kitabNya ( surah at Taubah : 58 ) yang bermaksud :
“Dan di antara mereka ada yang mencelamu tentng pembahagian zakat. Jika mereka diberi sebahagian daripadanya mereka bersenang hati, dan jika mereka tidak diberi sebahagian daripadaya dengan serta merta mereka menjadi marah.”
Kadang-kadang saudara dapat melihat segelintir manusia yang bekerja di dalam medan da’wah, apabila ditegur oleh salah seorang saudaranya dengan perkataan yang menyakitkan hatinya, atau perasaannya dilukakan dengan perbuatan yang menyinggung jiwanya serta orang yang rapat dengannya atau kaum kerabatnya, beliau cepat marah dan melenting lalu meninggalkan amal dan harakah serta mengasingkan diri dari medan jihad.
Ikhlas kepada matlamat menuntutnya agar terus berada dalam da’wahnya, tetap kekal arah tujuannya walaupun dituduh salah, cuai dan melampau oleh orang lain. Ini adalah kerana beliau beramal kerana Allah swt, bukan kerana dirinya, keluarga atau orang tertentu di kalangan manusia.
Da’wah Allah bukan dimonopoli atau menjadi milik seseorang. Ia adalah da’wah kepada semua manusia. Mukmin tidak boleh meninggalkan da’wah kerana pendirian dan perbuatan-perbuatan tadi.
7. Beliau tidak bersifat malas, lembap atau ketinggalan kerana perjalanan yang jauh, buah yang lambat dapat dipetik, lambat mendapat kejayaan dan penat bekerja dalam menghadapi manusia yang bermacam ragam. Beliau tidak bekerja untuk berjaya atau mencapai kemenangan semata-mata, bahkan semata-mata kerana mencari keredhaan Allah swt dan mematuhi perintahNya.
Sesungguhnya Allah tidak bertanya manusia pada hari kiamat : “Mengapa kamu tidak mencapai kemenangan?” tetapi Dia akan bertanya : “ Mengapa kamu tidak berjuang?” Dia tidak akan bertanya mengapa mereka tidak berjaya, tetapi bertanya kenapa mereka tidak bekerja.
8. Gembira dengan setiap kemunculan orang yang mempunyai kelayakan dalam barisan orang-orang yang bekerja untuk membawa panji-panji, memberi saham kepada amal dan memberi peluang kepada setiap yang berkebolehan menggantikan tempatnya tanpa cuba menyekat dan menghalangnya, atau menghina dan marah kepadanya. Bahkan kita melihat bahawa orang yang ikhlas itu, apabila melihat ada orang yang lebih baik darinya dalam memikul tugas, beliau mengundur diri dalam keadaan redha. Beliau akan mengutamakan orang itu dari dirinya dalam keadaan taat dan bahagia kerana beliau mengundur setapak ke belakang.
Keperluan Ikhlas Dalam Memikul Da’wah
Sesungguhnya bekerja untuk kedaulatan Islam dan mengembalikannya untuk memimpin kehidupan dengan aqidahnya, syariat, akhlak dan tamadunnya merupakan ibadat dan amalan yang mendekatkan diri dengan Allah swt. Mengikhlaskan niat semata-mata kerana Allah swt dalam ibadat adalah satu perkara asasi untuk amalan diterima dan berjaya. Niat yang bercampur-baur merosakkan amalan, mencemarkan jiwa, melemahkan saf dan menghilangkan pahala.
Kerana rahsia inilah Imam al Bukhari memulakan kitabnya ‘ Al Jami’ As Sahih’ dengan hadith yang dianggap oleh sesetengah ulama’ sebagai satu perempat Islam atau satu pertiga darinya yang bermaksud :
“Sesungguhnya setiap amalan itu dengan niat, dan sesungguhnya bagi seseorang itu apa yang diniatkannya. Sesiapa yang hijrahnya itu kerana Allah dan rasulnya, maka hijrahnya itu kepada Allah dan rasulnnya. Sesiapa yang hijrahnya kerana dunia yang akan didapatinya atau kerana perempuan yang akan dikahwininya, maka hijrahnya adalah bergantung kepada tujuan dia berhijrah.”
Diriwayatkan bahawa sebab datangnya hadith ini adalah kerana seorang lelaki yang berhijrah ke Madinah kerana seorang perempuan yang dicintainya yang bernama Ummu Qais. Maka beliau digelar sebagai ‘ penghijrah Ummu Qais’.
Akh Muslim mestilah memeriksa sudut-sudut hatinya terhadap +hakikat niatnya dan faktor pendorongnya. Jika ia mempunyai ruang untuk dunia dan syaitan, beliau berusaha untuk membersihkan hatinya dari perkara tadi dan mentuluskan niatnya kepada Allah swt. Beliau hendaklah memberi peringatan kepada dirinya dalam keadaan membebaskan diri dari menjadi abdi kepada yang lain sebagaimana ucapan isteri Imran (surah Ali Imran : 35) yang bermaksud :
“Wahai tuhanku, sesungguhnya aku telah nazarkan anak yang ada dalam kandunganku untuk memperhambakan diri kepadaMu. Kerana itu terimalah nazar itu daripadaku. Sesungguhnya Engkau Tuhan yang maha mendengar lagi maha mengetahui.”
Kalimah ‘muharraran’ (memperhambakan) yang disebut oleh ibu Maryam ini menunjukkan bahawa sudah menjadi sunnah Allah, Allah tidak menerima mana-mana amalan melainkan ianya ikhlas semata-mata keranaNya, tidak bercampur dengan yang lain dan bebas dari setiap ubudiyh kepada yang lain.
Sesungguhnya kebenaran tidak akan memimpin, kebaikan tidak akan tersebar, keadilan tidak akan tertegak, panji-panji kemuliaan akan jatuh dengan wujudnya orang-orang yang menggadaikan prinsip semata-mata mencari keuntungan duniawi dan orang-orang yang bersifay riya’ yang hanya mahu diri mereka dilihat orang, kata-kata mereka didengar, mereka menjadi buah mulut masyarakat dan boleh mengarahkan orang lain dengan jari telunjuk. Kebenaran, kebaikan dan kemuliaan hanya akan tegak dengan orang-orang yang ikhlas, yang berpegang teguh dengan prinsip, yang boleh mempengaruhi orang lain, bukan dipengaruhi. Mereka adalah orang-orang yang berkorban bukannya mengambil manfaat, memberi bukannya mengambil.
Penyakit-penyakit hati yang bercampu-baur dengan ikhlas dan merosakkan niat lebih bahaya dari penyakit tubuh badan. Ia boleh menggugurkan pahala dan menjauhkan orang dari jalan da’wah yang betul. Ia memang wujud dalam diri kita, tetapi kita boleh membendungnya dengan iman dan taqwa. Perkara ini memerlukan kesedaran dari kita, sentiasa muhasabah niat dan membersihkannya dari bercampur dengan penyakit-penyakit hati.
Disediakan oleh
PUTRI NOR HIDAYU BINTI SHAIKH HUSSIN
noceresayashi@yahoo.com
Penulis adalah mahasiswa Fakulti Sains & Bioteknologi, Unisel dan sukarelawan Jejak Pattani yang akan menjalankan Khidmat Pendidikan & Kajian Sosio-Budaya pada bulan April 2012.
Tuesday, November 1, 2011
Selatan Thailand terus bergolak
Tuesday, October 25, 2011
Induksi GPTD melahirkan sukarelawan adabi
TG KARANG, 23 Oktober 2011 - GPTD Unisel telah menganjurkan Induksi GPTD bagi mempersiapkan faham konsep Aktivisme, Intelektualisme dan Spiritualisme (Rohanisme) di kalangan sukarelawan. Sesuai dengan tujuan penubuhan, sukarelawan harus dibangunkan kefahaman mereka agar perlaksanaan kerja-kerja sukarela akan lebih tuntas dan penuh kesedaran maknawi. Pengenalan GPTD telah disampaikan oleh En Izwan Suhadak Ishak, Naib Presiden GPTD Pusat kepada para sukarelawan. Seramai 10 peserta yang terpilih untuk dilatih secara metod intensif-simulator bagi menghadam input-input penting di dalam konsep kesukarelaan.Monday, October 24, 2011
Kelas Bahasa : JOM Kecek Klate
Saturday, October 8, 2011
Bedah Buku : Kolonel Jihad
Pemetaan Komuniti GPTD @Kg Rantau Panjang
Tuesday, October 4, 2011
Ziarah ke kediaman Mujahidis Bosnia
Wednesday, July 6, 2011
Laporan Jejak Pattani 2011
Jejak Pattani adalah projek pertama oleh Grup Pengkaji Tamadun Dunia Unisel dengan kerjasama Global Peace Mission Malaysia untuk tinjauan awal di Selatan Thailand. Tumpuan wilayah yang diberi perhatian pada projek ini adalah Pattani, Narathiwat dan Yala. Dalam kesempatan masa dan ruang yang terhad beberapa input telah diperolehi bagi tujuan rujukan dan tindakan pada masa hadapan. 3 orang relawan terlibat iaitu Sdr Izwan Suhadak Ishak, Naib Presiden GPTD Pusat, Muhammad Izzat Bin Chiaril Anwar, Presiden GPTD Unisel dan Khairul Anwar Korai, Exco Majlis Perwakilan Pelajar Unisel. Turut mengiringi Tn Hj Wan Abdul Rahman dan Tn Hj Ishak Othman.
Masjid Aur di Nad Tanjong
Dikatakan telah berusia lebih 500 tahun terbina. Penduduk tempatan memberitahu bahawa masjid tersebut telah dibina oleh Langit Hitam seorang ulama dan penasihat raja. Senibina masjid mirip kepada senibina Melayu Campa terutama pada bahagian atap. Sepenuh binaan dengan bahan berasaskan kayu dan tiada penggunaan paku. Berhampiran dengan Masjid Aur terdapat perkampungan Jawa yang lebih dikenali sebagai Pagar Jawa. Istilah pagar terbit berdasarkan binaan pagar yang dibina mengelilingi perkambungan tersebut.
Masyarakat Jawa pada ketika itu dikatakan sebagai saudagar dari Tanah Jawa berniaga di sini. Masjid Aur pada asalnya berada berhampiran dengan pantai tempat pertemuan para perdagang. Disebabkan berlaku hakisan maka penduduk setempat telah memindahkan masjid ini ke kawasan yang lebuh selamat iaitu di Kg Air. Berdasarkan cerita yang telah disampaikan oleh datuk kepada Penghulu. Ketika mengangkat binaan Masjid Aur beliau terjumpa duit lama di bawah tapat tiang. Tetapi malangnya duit tersebut sudah hilang entah ke mana.
Disekitar masjid terdapat dua biji batu besar dan berat yang didakwa oleh masyarakat setempat. Tujuan batu itu dibawa adalah untuk menunjukkan kekuatan mereka kepada masyarakat umum tentang kekuatan dan kelebihan yang mereka ada. Terdapat sebuah perigi lama dihadapan Masjid Aur yang menjadi sumber air penduduk setempat pada masa tersebut. Beberapa kilometer daripada masjid ada makam Langit Hitam yang berbatu nisan hitam. Tiada tahun dicatatkan pada batu nisan. Kajian lanjut perlu diadakan untuk merungkai kesan sejarah yang terdapat di sini.
Masjid Krisik di Pattani
Ada yang mendakwa bahawa Masjid Kerisik adalah binaan yang tidak siap serta dikaitkan dengan kisah misteri dua beradik berlainan agama (Islam dan Budha). Tetapi jika dilihat dari segi konsep binaannya bata adalah mirip kepada Timur Tengah manakala bentuk gerbang dan tingkap menyerupai konsep moor di Spanyol. Jika ditinjau binaan Masjid Kudus yang dibina oleh Sunan Kudus mirip dengan konsep binaan batu bata tanpa simen.
Malah mereka menggunakan putih telur menggantikan peranan simen bagi menyusun batu batu tersebut. Malah pintu gerbang laluan utama ke Masjid Kudus mirip gerbang Kuil Hindu atau dikenali sebagai Gapura. Maka teori yang mengatakan Masjid Kerisik tidak siap adalah tidak tepat. Dikatakan, ulama di Jawa turut belajar di Champa dan Pattani (Negeri Chermin) selain di Pasai, Aceh. Nama Gresik di Surabaya yang terdapat Makam Syeikh Malik Ibrahim (Wali Songo) juga mirip bunyinya dengan Krisik di Pattani.
Dalam catatan sejarah, Kerisek memang mendapat nama sempena nama Gresik di Surabaya selepas cucu Syed Husein Jamadil Kubra dihantar ke Gresik ketika tentera Siam di bawah pimpinan Boromaraja II telah menyerang Kerajaan Majapahit di wilayah Kelantan. Cucu Syed Husein Jamadil Kubra tersebut adalah Wan Husein, Wan Abu Abdullah ‘Umadatuddin (Wan Bo) dan Wan Alimuddin (Wan Demali) telah membantu dalam gerak kerja dakwah sepupu mereka iaitu Sunan Ampel di Gresik. Mereka merupakan anak kepada Sunan Gunung Jati (Syarif Hidayatullah) kemudian telah diarah untuk menyebarkan dakwah ke wilayah yang lain. Wan Husein dihantar ke Pulau Madura sebagai Khalifah, Wan Bo ke Pasai menggantikan sepupunya Maulana Ishak (sepupu Sunan Ampel) manakala Wan Demali ke Johor-Riau.
Selepas misi selepas mereka kembali ke Patani dan mendapat di kawasan yang tidak jauh dari pelabuhan Patani. Maka dinamakan kawasan baru itu dengan panggilan Gresik sempena nama tempat mereka membesar dan menuntut ilmu. Tetapi pelat tempat memanggil Kerisik. Sama seperti Sungai Golok yang memisahkan wilayah Kelantan dan Selatan Thailand ketika ini. Jika di Thailand mereka melabelkan Sg. Golok sebagai Su Ngai Kolok.
Apa pun teori sejarah yang ditemukan oleh sejarawan adalah sumbangan besar kepada umat Islam di Pattani. Tetapi di Masjid Kerisik juga merakaman suatu sejarah berdarah iaitu Tragedi Pembunuhan di Masjid Kerisik. Kejadian berlaku di semasa waktu Subuh ketika jamaah sedang bersolat. Tentera Thailand dengan kereta kebal telah mengepung Masjid Kerisik. Pihak tentera telah melepaskan tembakan rambang menyebabkan terdapat kesan-kesan tembakan pada bahagian dinding luar masjid sehingga sekarang walaupun telah ditutup kemusnahan itu dengan binaan baru pada bahagian dalam masjid. Menjadi persoalannya adalah jamaah solat yang terkorban terdapat kesan tembakan pada bahagian dahi. Perisiwa yang berlaku pada tahun 2004 terus berlangsung dalam kesempatan dan ruang yang lain. Nasib umat Islam terus teraniaya dan dizalimi.
Masjid Jami’ al-Fathoni
Ziarah dan bersolat Jumaat di Masjid Jami’ al-Fathoni pasti menjadi suatu kenangan indah. Binaannya yang sangat unik dan besar melambangkan Islam di Selatan Thailand masih utuh. Kebetulan pada hari Ahadnya akan berlaku pilihanraya umum Thailand. Maka sebelum khutbah bermula, Gabenor hadir untuk menyampaikan ucapan dan pesanannya agar warga Selatan Thailand dapat membuat keputusan yang tepat dalam menentukan wakil mereka ke Parlimen Thailand. Sistem pilihanraya di Thailand sangat berlainan dengan di Malaysia. Tiada bendera parti yang dikibarkan atau digantung pada tiang-tiang. Hanya billboard kecil di susun di tepi jalan memperkenalkan calon kepada rakyat jelata dengan setiap calon punya nombor mewakili parti masing-maing. Sistem ini juga mirip kepada pelaksanaan kempen pilhanraya di Indonesia.
Khutbah disampaikan dalam bahasa Melayu loghat Kelantan dengan penuh bersemangat mengingatkan kepada umat Islam tentang kelebihan bulan sya’ban. Ramai jamaah yang memakai jubah putih, barangkali mereka mengaji di pondok. Boleh jadi ini sebagai satu pembuktian bahawa Pattani memang serambi Mekah. Maka calon pilihanraya yang menjadi tumpuan di Selatan Thailand adalah adik perempuan Thaksin yang lebih dikenali sebagai Jamilah dek kerana kecantikannya. Jamilah akan memakai tudung ketika berkempen di wilayah ini. Beberapa pendapat masyarakat setempat, antaranya mereka sukakan dasar parti Thaksin kerana membantu fakir miskin dan anak yatim. Malah pada pemerintahan beliau, ramai wakil rakyat Melayu di Parlimen. Cuma pada masa yang sama dasar Thaksin menghukum masyarakat Islam di sini sangat mudah dan zalim. Raja Thailand sudah tua dan waris lelakinya pula sudah teruk menghidap HIV. Kemungkinan Raja Thailand tiada waris lagi. Maka ahli politik sedang menunggu peluang untuk menjadi ‘Raja’ baru di Thailand.
Imbasan Sejarah lampau
Pagar Jawa di Tanjong, Pattani mengimbas suatu sejarah penting. Kemungkinan terbina Pagar Jawa disebabkan berdagang pasti wujud hubungan politik. Ini kerana memang wujud hubungan erat antara Kerajaan Mahajapahit dan Kerajaan Pattani. Suatu ketika dulu Kelantan pernah menjadi wilayah naungan Kerajaan Majapahit di Jawa. Malah teori baru tentang Kesultanan Majapahit ada kebenarannya kerana bantuan yang diberikan untuk mempertahankan wilayah Patani Darussalam.
Malah dalam zaman tertentu seperti contoh Kerajaan Pattani Raya meliputi Campa, Selatan Thailand, Kelantan, Terengganu hingga Pahang. Sejarah juga merakamkan hubungan salsilah dan politik Pahang wujud antara Melaka dan Acheh. Memang Melaka juga pernah ziarah ke China semasa Dinasti Ming untuk mengadukan tentang serangan Siam ke atas wilayah takhluk Melaka. Maka dapat dirumuskan bahawa untuk memahami sejarah penyebaran agama Islam dan politik kesultanan umat Islam di Nusantara ini perlu dilihat dari perspektif menyatu bukan terpisah-pisah mengikut wilayah. Perlu dilihat dari zaman ke zaman kerana pemerintahan kesultanan sering bertukar tangan dari Kerajaan Campa, Kedah Tua, Majapahit, Pasai, Melaka, Pattani, Acheh, Demak, Johor.
Ziarah ke Rumah Anak Yatim
Dua rumah anak yatim yang dapat diziarahi oleh relawan GPTD Unisel adalah Pertubuhan Anak Yatim Tanjong (PEKAIT) yang berpusat di Masjid Jami’ Ul Wustha, Nad Tanjong. Pertemuan bersama Jawatankuasa Pengurusan PEKAIT ini sangat signifikan kerana memang tujuan GPTD Unisel untuk meninjau dan mendapatkan maklumat apa dan bagaimana relawan GPTD Unisel dapat membantu dari segi khidmat pendidikan dan sosial. Alhamdulillah selepas diskusi, peluang khidmat bakti yang boleh dilakukan oleh GPTD adalah pengajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Asas Literasi Komputer. Mungkin modus operandi program Keluarga Angkat juga sesuai bagi tujuan menelusuri jiwa dan pemikiran masyarakat Melayu di sini. Malah berhampiran Masjid Jami’ Ul Wustha terdapat monumen sejarah iaitu Masjid Aur yang bertepatan dengan GPTD Unisel peranan untuk mengkaji ketamadunan selain berbakti. Ini akan menjadi fokus utama GPTD Unisel dan bersetuju untuk melaksanakannya pada bulan April 2012 sesuai pada pihak GPTD Unisel dan PEKAIT.
Badan Kebajikan Anak Yatim Tabal (AYATA) tidak asing bagi GPTD Unisel kerana ketika lawatan sambil belajar anak-anak yatim AYATA di Meru Klang pada tahun lalu Khairul Anwar dan Muhammad Anuar, relawan GPTD Unisel telah berkhidmat sebagai fasilitator mengajar Bahasa Inggeris dan motivasi. Oleh kerana projek pengajaran Bahasa Inggeris dan Motivasi telah dilaksanakan oleh PKPIM maka GPTD Unisel hanya akan membantu dari segi penajaan dalam negara sahaja. Setakat ini relawan GPTD Unisel akan membantu pencarian dana baju raya AYATA. Ini telah digerakkan sebaik sahaja misi Jejak Pattani tamat pada 3 Julai 2011 yang lalu.
GPTD Unisel juga berminat untuk meneroka khidmat latihan fotografi dan videografi kepada AYATA serta PEKAIT bagi merancakkan proses penyebaran maklumat nasib umat Islam dan sejarah Selatan Thailand ianya menjadi agenda masyarakat siber untuk terus menyalurkan bantuan kepada anak yatim. Oleh kerana belum ada kompleks khas untuk menempatkan anak yatim di dalam asrama, maka anak yatim tinggal bersama ibu atau bapa masing-masing. Barangkali program keluarga angkat relawan GPTD Unisel wajar diadakan bagi merasai suasana setempat. Maka relawan juga dapat mengambil peluang untuk mempraktiskan Bahasa Siam yang sewajarnya turut dikuasai oleh relawan.
Jaringan NGO dan wakil rakyat
GPTD Unisel berkesempatan bertemu bersama dengan Young Muslim Association of Thailand (YMAT) Cawangan Narathiwat bagi mendengar taklimat Projek Mikro Kredit usahasama antara Global Peace Mission Malaysia. Setakat ini YMAT berjaya melatih dan membimbing golongan mualaf dalam soal berniaga malah kelas agama juga disediakan bagi menambah kefahaman agama Islam kepada mereka. Berdasarkan rekod, sahabat Mikro Kredit YMAT berjaya membayar semula pinjaman yang dilakukan dan mereka juga tidak pernah terlepas menghadiri kelas agama setiap hujung minggu. Ada beberapa sahabat Mikro Kredit yang gagal atau lewat bayar semula pinjaman, jika dianalisa kembali mereka ini tidak menghadiri kelas agama anjuran YMAT.
GPTD Unisel berminat dan bercadang untuk turut menghantar relawan sebagai anak angkat keluarga mualaf di bawah sahabat Mikro Kredit bagi membantu perniagaan mereka di samping merasai pengalaman kesusahan dan kepayahan mereka seharian. Mungkin sasaran utama pelajar-pelajar jurusan bisnes boleh terlibat serta memberi idea bagi menambah nilai perniagaan keluarga angkat mereka.
Pertemuan dengan Abd. Asis Tade-In, aktivis YMAT yang bertugas memantau isu-isu hak asasi manusia sangat bermakna buat GPTD Unisel, walaupun kesempatan yang ada sangat terhad tetapi insya Allah akan ada ruang dan peluang yang dapat dilakukan bersama bagi memahami isu Selatan Thailand dengan lebih mendasar lagi. Begitu juga pertemuan dengan Isama-ae Bin Haji Abdul Rahman, Pengarah Eksekutif Yayasan Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia. Pada misi akan datang mungkin akan ada kerjasama erat lagi selepas ini.
YB Pak Suwi, Dewan Undangan Negeri Air Kubu Chaerong sempat memberikan kata perangsang buat anak muda di Malaysia agar terus konsisten berbakti kepada umat. Beliau turut meraikan kehadiran rombangan serta bersedia untuk menjayakan program anak angkat pada masa hadapan. Malah tragedi Masjid Al-Furqan yang berlaku pada tahun 2009 juga dikongsikan sedikit.
Kesimpulan
Misi Jejak Pattani 2011 berjaya mencapai objektifnya, dengan kesempatan yang terhadap banyak input yang diperolehi. GPTD Unisel komited untuk menjayakan agenda khidmat pendidikan, sosial dan kajian sejarah serta tokoh untuk misi akan datang. Jejak Pattani 2.0 siap digerakkan sekarang dan dilaksanakan pada April 2012. Kejayaan Jejak Pattani adalah suatu bukti bahawa keselamatan pergi dan pulang relawan GPTD Unisel ke Selatan Thailand dijamin oleh Allah SWT. Berita tentang ancaman bahaya terutama tembakan adalah berita yang sengaja digembar-gembur oleh media agar tiada lagi yang datang berziarah dan membantu pembangunan di wilayah Selatan Thailand.
Dasar ini sama seperti di Selatan Filipina, laporan media antarabangsa sering melaporkan bahaya yang berlaku di sana. Tetapi bahaya kemiskinan dan kemunduran dipinggirkan. Sama juga seperti berita tentang kejadian jenayah merombak dengan penggunaan senjata api tinggi di Johor. Namun rakyat Johor masih setia dinegerinya. Malah ramai dari dalam dan luar negara masih dapat berziarah. Oleh itu nasib umat Islam di Selatan Thailand patut diambil peduli oleh semua umat Islam seluruh dunia bagi membela nyawa, agama, keturunan generasi hadapan. Khususnya anak muda, mahasiswa dan relawan GPTD Unisel harus berani meneruskan misi rahmatan lil alamin.
Menjejak.Meneladani.Memimpin
Disediakan bersama oleh,
IZWAN SUHADAK ISHAK, Naib Presiden GPTD Pusat
MUHAMMAD IZZAT CHIARIL ANWAR, Presiden GPTD Unisel
KHAIRUL ANWAR KORAI, Relawan GPTD Unisel
6 Julai 2011 bersama 6 Sya’ban 1432H
Bestari Jaya, Selangor.
gptdunisel@gmail.com | http://gptdunisel.blogspot.com | http://facebook.com/gptd.unisel







