7 Ramadhan, 10:08 malam
Pujian tidak terbatas untuk Allah s.w.t, Tuhan sarwa segala alam jagat raya dan limpahan sembah salam serta selawat ke atas baginda rasul dan keluarga baginda, para sahabat dan bagi pejuang Islam sehingga hari kiamat.
Amma Ba'du...
Salam tuan moga diberi kekuatan untuk menempuh hari mencabar di bulan Ramadhan ini dan buat hari-hari yang seterusnya, insya Allah Ta'ala. Saya dahului dengan minta maaf kerana tidak hadir dalam seminar ekonomi yang rakan-rakan kepemimpinan negeri Selangor anjurkan kepada belia 35 tahun ke bawah itu.
Maka, surat ini sebagai gantian terhadap beberapa perkara yang saya ingin cakapkan pada hari itu. Persoalan iktisad, ekonomi dan kewangan termasuk pendidikan memanglah penting.
Sekalung tahniah dan penghargaan lantaran tuan telah melibatkan kami untuk bersama-sama menyumbangkan buah pemikiran ke arah pembangunan negeri Selangor ini.
Sebagai termaklum, surat ini tidak perlu berkhutbah panjang kepada tuan kerana kita datang daripada lulusan madrasah jemaah pergerakan yang lebih kurang sama. Apa-apa yang telah dikuliahkan isinya dalam usrah ada dalam fikiran tuan juga.
Penubuhan 'Pusat Ilmu', Budaya Iqra, Budaya Ilmu dan Sekolah Falsafah Rakyat (Safar)
Bagaimanapun, setiap permulaan bicara perlu dibuat secara rasmi. Maka, saya mulakan dengan Iqra, iaitu hal yang diertikan sebagai Budaya Ilmu, yang merujuk kepada wahyu pertama turun kepada rasul kita.
Di Gua Hira' itulah buat pertama kali pencerahan ilmu tiba kepada baginda. Kemudian, 'pusat ilmu' itu sudah berpindah-pindah dari rumah baginda sendiri.
Akhirnya, 'pusat pengembangan ilmu' itu berpindah ke rumah Arqam bin Abi Arqam sebagai tempat berusrah, menukang fikiran, mendulang wahyu berhubung keimanan dan ketaqwaan.
Rumah Arqam kemudiannya menjadi tempat berbahas, berdebat, saling bertukar-tukar fikiran, tempat orang Islam terawal melagakan pendirian dan pendapatnya sendiri lalu ia menjadi markaz pertemuan, tempat rujukan dan tempat bertanyakan soalan kepada baginda rasul berhubung hal-ehwal yang bersangkutan aqidah dan hal ehwal agama yang lain.
Apakah di negeri Selangor ini ada tempat seumpama itu?
Masjid-masjid kita misalnya tidak beroperasi dalam tempoh 24 jam dan masjid-masjid itu tidaklah dilengkapi dengan pustaka. Di manakah markaz pertemuan belia-belia untuk bertukar-tukar fikiran?
Mereka tidak mempunyai tempat melabuhkan fikiran dengan baik. Sesetengah mereka berlabuh di Restoren Mamak 24 jam. Tetapi, suasana hingar-bingar dan bingit itu tidak menumbuhkan perbahasan yang sihat.
Sebab itu, kita perlukan 'pusat ilmu' yang beroperasi 24 jam. Saya namakan hal ini sebagai Sekolah Falsafah Rakyat (Safar) untuk memudahkan perbincangan buat sementara waktu.
Sebagai termaklum, kita sudah ada Sekolah Agama Rakyat (Sar), jadi Safar ini mungkin tidaklah ada gurunya tapi ia digerakkan sendiri oleh belia-belia yang berminat.
Kekuatan Safar terletak kepada pustakanya
Bahawa kekuatan Safar ini terletak kepada pustakanya seperti mana kekuatan Istac terletak pada pustakanya juga. Istac yang terletak di Jalan Duta itu sudah kehilangan serinya dengan perpindahan orang-orang terawal yang menggeraknya sudah dihentikan dan dipindahkan.
Yang ada di Istac adalah pustakanya yang tidak pernah saya masuk. Sekali peristiwa, saya pernah mendengar usaha Prof Al-Attas dan Dr Zainiy Uthman mendapat Al-Quran bertulisan Latin yang ditulis Matin Luther?
Orang-orang kerajaan tentu tidak suka sebab usaha mendapat sumber ilmu itu menelan belanja yang banyak.
Yang ingin ditegaskan di sini ialah, penyakit nafi ilmu, anti intelektualisme berkembang parah di peringkat atas, sehingga merebak ke peringkat bawahan. Dalam kes penggerak Istac, golongan bawahan yang cintakan ilmu, terpaksa bertarung bermati-matian dengan kepemimpinan yang tidak sukakan pengetahuan baharu.
Hasilnya parah! Mereka tidak berjaya, tetapi golongan cendekiawan ini tidak perlu dipersalahkan. Mereka ini telah berusaha. Tuhan memberi pahala dan anugerah kepada mereka, sesuai dengan kedudukan amalan itu.
Maka, surat ini melayangkan hasrat untuk menubuhkan 'pusat ilmu' Safar dengan kekuatan pustakanya. Belia yang berselerak di perut bumi Selangor ini bukan calang-calang orang. Anak-anak muda reformis yang handal dengan pembacaan dan mutu fikiran tumbuh bagaikan cendawan.
Mereka ini berhimpun di Facebook, Goodreads.com dan mungkin di mana-mana lagi. Saya sekadar hadir sini untuk menyampaikan hasrat penubuhan Safar itu dengan kekuatan pustakanya.
Katakan ada dalam 2, 3 buah kabin di Kelab Sultan Sulaiman, Kg Baru untuk dijadikan markaz Safar dan pustaka mereka maka itu pun sudah cukup sebagai projek awal bagi para belia yang cintakan budaya ilmu ini.
Kami sering bertemu dan berbincang mengenai buku-buku yang perlu - yang wajib, yang sunat, yang makruh dan yang haram (paling lunak, tidak digalakkan membacanya) dibaca.
Pustaka ini boleh kami isi dengan buku-buku yang menarik perhatian kami dan boleh juga kami usahakan bagi menyempurnakan pustaka Safar itu. Sekian buat kali ini. Nanti kita bincang hal lain pula, insya Allah Ta'ala.
11:42 malam, 7 Ramadhan, Sekolah Pemikiran Kg Baru.
No comments:
Post a Comment