Sunday, December 14, 2014

Induksi TURDA 2.0 bermula

Bestari Jaya, 14 Disember 2014 - 6 relawan dari Unisel telah bergerak menuju Kompleks Kebajikan Rukaiyah, Kajang. 4 relawan telah bergerak awal ke Sabah. Selebihnya dari Kolej Dar Al Hikmah, UKM, Kipsas akan berhimpun ke Kajang untuk memantapkan kekuatan rohani, mental dan fizikal. 20 relawan akan memberi khidmat Pendidikan dan kajian sosio budaya di Ranau Sabah.

Monday, December 8, 2014

TURDA 2.0 : Sukeralawan Buat Persiapan Akhir


BESTARI JAYA, 8 Disember 2015 - Grup Pengkaji Tamadun Dunia Unisel (Gptd Unisel) akan menjalankan misi Turun Ke Desa (TURDA) buat kali kedua di Ranau, Sabah. Kali ini melibatkan 20 sukarelawan daripada Unisel Kampus Bestari Jaya, Kolej Dar al-Hikmah, Kipsas dan UKM. Bergabung untuk merealisasikan objektif dan memberi khidmat kepada masyarakat di Pedalaman Sabah. Persiapan telah dibuat setahun awal selepas misi TURDA 1.0 berjaya dilaksanakan. TURDA 2.0 dipimpin oleh Sdri Ummahatul Hamimmah yang merupakan Majlis Tertinggi di dalam Majlis Perwakilan Pelajar Unisel sesi 2014.

Terima kasih kepada semua yang memberi sokongan secara langsung dan tidak langsung. Para penaja daripada individu dan organisasi yang budiman amat membantu untuk menjayakan misi pada kali ini. Banyak cabaran dan rintangan yang dihadapi para sukarelawan sebelum ini. Sukarelawan yang serius dan istiqomah berjaya kekal dalam pasukan dan meneruskan misi rahmatan lil alamin ini. Kami mohon doa daripada anda semua agar TURDA 2.0 dapat capai objektifnya. 

Disediakan oleh Unit Media

Jika berminat untuk serta Gptd Unisel sebagai sukarelawan sila daftar di http://bitly.com/gptdvolunteer

Sunday, October 26, 2014

SUBANG, 25 Oktober 2014 (kemaskini 9.00 pagi) – Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD) telah melaksanakan Induksi Relawan TURDA – Projek Turun Ke Desa yang bermula semalam di Pusat Dakwah IOA Selangor, Subang. 16 relawan yang terdiri daripada Universiti Selangor (UNISEL) yang komited hadir untuk memperkukuhkan objektif dan memperkemas gerak kerja sebelum, semasa dan selepas projek. Para relawan dijangkakan fokus untuk Khidmat Pendidikan dan Kajian Sosio Budaya di Kg Tundangon, Ranau Sabah selama dua minggu bermula 17-31 Disember 2014 bagi meninjau keperluan masyarakat mualaf dari segi pendidikan dan bantuan asas. “Latihan di dalam induksi akan membantu relawan mendapat gambaran jelas melalui simulasi yang dijalankan”, kata Pengarah Projek Turda, Saudari Ummahatul. GPTD mendapat sokongan dan kerjasama daripada NGO Sabah, ABIM, Rumah Putera Harapan dan Universiti Malaysia Sabah dalam menjayakan projek kali ini. Sumbangan boleh disalurkan ke akaun AmIslamic Bank atas nama GRUP PENGKAJI TAMADUN DUNIA UNISEL 124-202-200155-5.

Sunday, October 5, 2014

PERUTUSAN HARI RAYA AIDIL ADHA : MENGAMBIL SEMANGAT PENGORBANAN NABI IBRAHIM

Hari ini seluruh umat Islam memperingati hari raya Idul Adha atau hari raya qurban. Sehari sebelumnya, 9 Dzulhijah 1435 H, jutaan umat Islam yang menunaikan ibadah haji wukuf di Arafah, berkumpul di Arafah dengan memakai ihram putih sebagai lambang kesetaraan derajat manusia di sisi Allah, tidak ada keistimewaan  antara satu bangsa dengan bangsa yang lainnya kecuali takwa kepada Allah.

Allahu Akabar, Allahu Akabar, wa lillaahl hamd,

Hari raya ‘Idul Adha ditandai dengan peristiwa kemanusian dalam sejarah kehidupan manusia yang tidak mampu dilakukan oleh siapapun, hanyalah oleh Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail, iaitu “pengorbanan” yang bermuara pada iman dan taqwa kepada Ilahi Rabbi, Allah semesta alam. Allahu Akabar, Allahu Akabar, wa lillaahil hamd!
Allah berfirman yang bermaksud :       

Artinya:
“Setelah anak itu mencapai umur, Ibrahim bertanya kepadanya, “Hai anakku, kulihat dalam mimpi bahwa aku “menyembelihmu sebagai kurban, bagaimana pendapatmu”? Anaknya menjawab, “Wahai ayahku, kerjakanlah yang diperintahkan kepadamu. Insya Allah ayah akan menemukan aku sabar menerima” [as-shaaffat:37:102].

Seluruh dunia bakal menyaksikan tumbangnya ribuan haiwan yang bakal dikorban kerana Allah. Kita mulakan korban dengan kalimah Allahu akbar dan kasih sayang kerana Allah. Kita sedar bahawa dalam majlis korban, bukanlah daging dan darah yang diinginkan Allah, tetapi keikhlasan dan ketaatan yang tidak berbelah bagi hubungan hamba dan Pencipta. Bagaimana ikhlas mampu menjadi asas pembinaan takwa?

Pertama, korban ditandai dengan kisah Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail. Jika diteliti dengan mata kasar, bukan mudah seorang bapa mahu melaksanakan tugas besar yang sememangnya mencabar iman dan jiwa. Namun atas keimanan dan keikhlasan kepada Allah, baginda reda dengan ketentuan itu.
Seharusnya kita memikirkan bagaimana hendak membina keikhlasan kita dengan Allah melalui semangat korban. Kita mulakan dengan diri iaitu amalan yang paling dekat dan mudah iaitu dengan sedekah untuk memupuk sifat ikhlas dalam diri. Berapa banyak kita berkorban kerana Allah? Apakah kita benar-benar yakin bahawa korban yang dilakukan akan mendatangkan hasil satu hari nanti? Apakah masih wujud prasangka atau was was dalam hati jika kita melakukan sesuatu kita akan mendapat hasilnya suatu masa nanti? Itulah persoalan yang perlu dihuraikan dan jawapannya sudah pasti ada pada diri kita.
Begitulah Islam mendidik jiwa umatnya agar sentiasa ikhlas dalam setiap pekerjaan seharian. Jangan pernah kita lupa bahawa kehidupan kita seharian ini tidak dapat lari dari ujian dan ketetapan Allah S.W.T. Mari kita jadikan semangat Hari Raya Aidil Adha ini sebagai satu motivasi dalam manifestasi kita memahami makna sebuah perjuangan dan pengorbanan. Tiada perjuangan, tanpa pengorbanan dan tiada perjuangan tanpa penat lelah. Semoga kita terus konsistan dan istiqamah dalam meneruskan misi Rahmatan Lil Alamin.


Oleh : MUHAMMAD FAKHRUL AMIRUDDIN BIN HAMDAN
Presiden Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTDU Unisel)

Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Teknologi Industri, Fakulti Sains & Bioteknologi, Universiti Selangor

Sunday, July 27, 2014

PERUTUSAN HARI RAYA AIDILFITRI : MERAIH KEMENANGAN BAGI SEBUAH PERJUANGAN


Bismillahir rahmanir rahim. Assalamu 'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.


Alhamdulilah Syukur ke hadrat ilahi dengan limpah dan kurnia-Nya kita masih dapat merasa nikmat kehidupan serta bernafas di muka bumi Allah s.w.t yang luas ini. Muslimin-muslimat yang dihormati sekelian, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahilhamd. Jika kita meneliti semula, sepanjang perjalanan kita berpuasa sebulan di bulan Ramadhan adalah merupakan satu perjuangan dan jihad bagi umat Islam, kerana berpuasa bukan sahaja bererti menahan diri dari lapar dan dahaga, serta dari perkara-perkara lain yang di larang ketika berpuasa, tetapi juga merupakan peperangan melawan dan mengawal hawa nafsu dengan bersenjatakan iman, taqwa dan ibadat. Perjuangan ini bukan dengan niat dan semangat semata-mata, tetapi dengan amalan, kesungguhan serta disiplin yang begitu tinggi. Ibadat puasa dapat membawa satu perubahan yang besar, iaitu satu kemenangan kepada diri kita, jika diamal dengan tekun dan sabar.


Jihad sepanjang bulan Ramadhan merupakan satu latihan yang berkesan bagi membawa kita melalui satu proses perubahan sebagai seorang Muslim yang sejati. Bukan sahaja kita harus tekun dan sabar menjalankan ibadah puasa, bahkan dalam keadaan di mana kita menjalankan tugas-tugas harian dan tanggungjawab seperti di bulan-bulan yang lain. Di samping itu, di dalam bulan Ramadhan ini kita dilatih dan terlatih untuk memberi kepada yang memerlukan seperti di dalam pembayaran Zakat Fitrah atau Zakat Harta. Umat islam seharusnya mengambil iktibar dalam suasana yang gembira pasti ada Umat yang lainnya masih menderita disebabkan kemiskinan dan penindasan. Justeru itu, kedatangan bulan Syawal iaitu Hari Raya Aidil Fitri merupakan detik kemenangan bagi seluruh Umat Islam. Yang menjadi harapan kita ialah kemenangan yang berterusan di mana kita dapat menghayati nilai-nilai Islam yang menjadi dorongan dan asas kepada segala amalan kita.

Hikmat puasa yang seharusnya membawa perubahan yang besar kepada Umat Islam. Tahun ini merupaka tahun yang menjadi cabaran bagi seluruh rakyat Malaysia dengan peristiwa Tragedi Pesawat MH17 yang ditembak di dalam wilayah konflik antara Russia dan Ukraine. Umat Islam keseluruhannya sekali lagi dikejutkan dengan peristiwa pembedilan dan pembantaian di bulan Ramadhan oleh Rejim Zionis ke atas penduduk Islam di Gaza dan Palestine sehinggakan begitu banyak nyawa yang terkorban dan yang menyedihkan kita, kebanyakan mangsa terdiri dariapada kanak-kanak, wanita dan golongan tua.

Segala peristiwa sedih dan pahit yang menimpa umat Islam adalah pengajaran bagi kita semua. Soalnya ialah apakah kita faham pengajaran yang terdapat dalam peristiwa-peristiwa ini. Penebusan maruah dan wilayah Islam, bukan tanggungjawab mereka yang berada di sana sahaja tetapi adalah tanggungjawab seluruh Umat Islam. Tanggungjawab ini bukan memerlukan suara yang berani dan lantang dari sejauh 4000 batu, tetapi, persiapan dan disiplin, yang memberi kesan mendalam. Untuk membuat persiapan ini kita bukan hanya memerlukan dua tiga hari, atau dua tiga bulan, ataupun dua tiga tahun, tetapi puluhan tahun. Yang penting bukan semangat berkobar-kobar yang seperti kata pepatah melayu 'Hangat-hangat tahi ayam', tetapi dedikasi dan azam yang tinggi dan berterusan. Tidak ada masalah yang tidak boleh diatasi jika kita mempunyai azam yang kuat dan jika kita menggunakan masa dan akal fikiran untuk membuat persiapan. 

Jika kita sanggup mengakui hakikat kebenaran ini. Kita harus bersyukur di atas segala rahmat dan nikmat daripada Allah s.w.t di atas kemenangan kita setelah melalui Universiti Ramadhan dengan mengambil iktibar dan pengajaran buat diri sendiri. Dalam kita menyambut kedatangan Syawal ini, penghayatan terhadap iktibar di bulan Ramadhan seharusnya tidak dilupakan begitu sahaja. Kegembiraan yang di sambut juga tidak berlebihan dengan lambakan pelbagai pembaziran. Keselamatan ketika pulang ke kampung untuk menyambut kedatangan Syawal juga perlu di ambil berat.

Seterusnya, akhir kata, mewakili seluruh barisan kepimpinan Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD Unisel) mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf zahir dan batin dan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada sekelian umat Islam.

ALLAHU AKBAR, ALLAHU AKBAR, ALLAHU AKBAR, WALILLAHILHAMD.

Oleh : MUHAMMAD FAKHRUL AMIRUDDIN BIN HAMDAN
Presiden Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD Unisel)


Tuesday, July 8, 2014

SEJARAH PEMBUKAAN KOTA PERTAHANAN TERKEBAL DI DUNIA

Tanggal 29 Mei 2014 ini genap 561 tahun, seharusnya kita melihat kembali tercatatnya sejarah kemenangan Islam di kubu pertahanan terkebal dunia, Konstantinopel di Turki. Peristiwa penawanan Kota Konstantinopel oleh sepasukan tentera yang terbaik dipimpin oleh seorang Raja yang terbaik. Muhammad dilahirkan ke dunia sebagai seorang anak yang sangat nakal dan pemuda diraja yang panas baran serta gopoh membuat keputusan. Namun demikian, sebagaimana diakui sejarawan Turki, Halil Inalchik, kuasa tarbiyah “medresse” dan usrah dengan para ulama terbaik Usmaniah sejak dari kecil yang telah merubah belia menjadi pemimpin agung Islam. 

Sultan Muhammad al-Fateh sejak di dalam buaian lagi telah diisyaratkan bakal menakluk Kota Konstantinopel iaitu Kota yang paling di geruni. Sultan Muhammad al-Fateh dilahirkan pada 27 Rejab 835 Hijrah bersamaan 29 Mac 1432 H. Sultan Muhammad al-Fateh merupakan anak kepada Sultan Murad II yang mewarisi empayar kerajaan Usmaniah. Baginda ialah khalifah ke 7 pemerintahan kerajaan Usmaniah. Nama sebenar baginda ialah Sultan Muhammad, manakala al-Fateh merujuk gelaran baginda sebagai 'pembuka yang besar' kerana berjaya menakluk Konstantinopel.

Kemenangan menegakkan keadilan Islam di Haghia Sofia oleh Muhammad Al-Fateh perlu dianalisa dengan pembacaan yang lebih meluas sumbernya dan analisa yang lebih tersirat sifatnya dari fakta yang tersurat. Proses pengepungan yang memakan masa hampir 2 bulan hakikatnya suatu proses yang sangat sukar. Ini merupakan percubaan ke 12 tentera Islam yang sebelum ini gagal selepas 800 tahun Nabi mensabdakannya. Misi mustahil jni dihalang oleh Maharaja Constantine XI bersama 40,000 orang komando Byzantine, di ikuti dengan benaan dua benteng kebal yang mencapai ketebalan 10 hingga 15 meter, parit sedalam 10 meter, 3 perairan laut, 7 anak bukit dan 400 matarantai gergasi memagari Tanduk Emas dari dijejaki kapal-kapal Usmaniah.

Pada penelitian yang lebih mendasar Gerakan Mahasiswa Islam seharusnya mengkaji soal pemerkasaan organisasi khususnya dalam aspek produktiviti (pencapaian visi) dan kompetensi ahli-ahli dalam melahirkan generasi Al Fateh yang seterusnya. Hakikat sebenar kombinasi ampuh serta persiapan ilmu dan teknologi (IQ), persiapan moral dan emosional tentera (EQ) dan persiapan kerohanian (SQ) terbaik pernah ditonjolkan oleh tentera Islam. Misi mengibarkan panji Islam di atas tembok Kota Konstantinopel pada 1453 Masihi tersebut ternyata tidak memadai dengan hanya semata doa munajat dan keimanan yang kental pada hadis penawanan Kota Konstantinopel ini, tetapi teknologi yang dihasilkan serta beberapa strategi lain juga memainkan peranan penting dengan membabitkan 4 meriam gergasi Urban dan serangan mortar pertama kali dalam sejarah untuk memecahkan benteng kebanggaan empayar Byzantine dalam misi penaklukan Kota kebal ini.

Sultan Muhammad al-Fateh telah membahagikan tenteranya kepada lima pasukan iaitu setiap pasukan mengandungi 50,000 tentera dengan diketuai oleh seorang ketua. Panglima Tharhan, Panglima Khalil Pasya, Panglima Hamzah Pasya dan Panglima Zaqhanus memimpin tentera laut. Pada hari yang telah ditetapkan maka berangkatlah 250,000 tentera Turki dari Adrianopel menuju ke kota Konstantinopel. Baginda meniru cara pembukaan Kota Mekah oleh Nabi Muhammad SAW, apabila memilih jalan lain yang tidak pernah dilalui oleh sesiapa menyebabkan pergerakan mereka tidak dapat dikesan oleh tentera Rom. Keseimbangan pendidikan ilmu ‘intelectual sciences’ dan ‘spiritual sciences’ sebagaimana direkodkan, pemilihan bulan dan tahun kempen pengepungan pada masa yang paling meresahkan dari segi moral pemerintah dan kepercayaan rakyat Byzantine. Walaupun penggunakan teknologi (meriam gergasi) yang digunakan oleh tentera islam ketika itu, cabaran yang lebih besar adalah tentera Islam berhadpan musuh tradisi Usmaniah yang mempunyai kepakaran luar biasa iaitu Hungary.

Hakikatnya belum memadai tanpa didikan kerohanian yang ketat ke atas Sultan Muhammad sehingga baginda tidak pernah meninggalkan tahajjud sejak dari aqil baligh. Manakala idea ‘brilliant’ sebagaimana diakui oleh sejarawan dunia seperti Runciman, Babinger dan Schumberger iaitu pemindahan 70 buah kapal dari semenanjung Fera di Bhosporus ke Golden Horn melalui jalan bukit sejauh 5 kilometer dalam satu malam tanpa disedari musuh. Jarak pelayaran darat yang perlu ditempuh oleh 70 buah kapal perang melalui jalan darat dengan mendaki bukit Galata ialah kira-kira 30 hingga 40 minit berjalan kaki tanpa bebanan. Bayangkan bagaimana tentera Sultan Muhammad Al Fateh mampu mengangkut 70 buah kapal perang melalui jalan darat dalam tempuh kurang 10 jam.

Dalam keadaan tanah ketika itu tidak mudah untuk dilayarkan kapal, tetapi perencanaan itu mesti tetap diteruskan dengan seberapa segera. Lantas tentera Usmaniah meratakan tanah dalam hanya beberapa jam, dan dibawakan lembaran-lembaran kayu yang telah disapu dengan minyak dan lemak, dan kemudian disediakan sebuah laluan jalan yang besar untuk memudahkan pergerakan kapal-kapal, dan sesungguhnya peristiwa ini benar-benar luar biasa, bahkan keadaan zaman itu dengan teknologi yang telah digunakan jauh mendahului zaman-zaman selepasnya. Jelas menunjukkan kepantasan berfikir Sultan Muhammad dan kepantasan pelaksanaan tenteranya.” 

Oleh : Muhammad Fakhrul Amiruddin Bin Hamdan
Graduan Teknologi Industri, Fakulti Sains & Bioteknologi
Universiti Selangor
Presiden Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTDU Unisel)
Exco Perhubungan Antarabangsa Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM),

Monday, July 7, 2014

SINDROM LESU DI KALANGAN MAHASISWA

Melihat perkembangan di kalangan generasi pelajar yang sudah kurang kepekaannya terhadap sebarang isu berbangkit sama ada yang melibatkan pelajar ataupun masyarakat (ummah). Mereka langsung tidak menunjukkan sebarang reaksi terhadap apa yang berlaku di sekelilingnya.

            Mahasiswa kampus pusat pengajian tinggi pula lebih tertumpu kepada dunia akedemiknya sehingga tiada masa terluang untuk meneliti dan memerhati persoalan masyarakat di sekitarnya. Penumpuan yang berlebih-lebihan terhadap hal-hal yang berkaitan akedemik telah memperbodohkan mahasiswa dan menjerumuskan mahasiswa itu sendiri kepada kejumudan tindakan dan kepasifan pemikiran serta idea untuk diketengahkan kepada masyarakat. Sungguhpun begitu, kita amat menyanjung tinggi sikap segelintir mahasiswa yang mengambil tahu mengenai keadaan sekelilingnya walaupun di belenggu dengan hambatan akedemik tetapi masih mampu dan bersedia untuk bersama-sama dengan masyarakat dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh umat.

            Seterusnya, orientasi peperiksaan dan latihan mental di kampus pusat pengajian tinggi telah meletihkan mahasiswa yang sibuk dengan tutorial, kuliah, esei, peperiksaan dan lain-lain. Kesibukan ini ditambah pula dengan terbentuknya budaya takut (culture of fear) di kalangan mahasiswa akibat daripada Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) walaupun ada beberapa Akta yang dipinda tetapi mahasiswa di kampus masih fobia apabila mendengar perkataan AUKU.

            Kesemuanya amat mempengaruhi pergerakan mahasiswa. Kelesuan dan ketidakupayaan mahasiswa kembali ke tengah masyarakat dan memperjuangkan nasib dan masa depan umat telah meletakkan taraf mahasiswa ke tempat yang rendah sehinggakan masyarakat yang suatu ketika dahulu meletakkan status mahasiswa begitu tinggi kini telah meremehkan kualiti siswazah yang dilahirkan daripada institiusi pengajian tinggi di negara ini. Kampus pusat pengajian tinggi adalah pusat dan gedung berkembangnya segala ilmu. Gerakan mahasiswa yang berkembang dalam suasana keilmuan mestilah merealisasikan fungsi tersebut di dalam masyarakat. Kriteria ini menjadikan mahasiswa sebagai egen  penting dalam menerajui perubahan dalam masyarakat.

            Kini suasana yang kontradik telahpun berlaku. Penentuan arah perjuangan mahasiswa ditentukan dan dipengaruhi oleh suasana luar sehingga menyebabkan gerakan mahasiswa mula hilang kredibiliti dan kewibawaannya. Mereka menjadi boneka kepada parti politik luar. Justifikasinya , kita melihat sendiri siri perpecahan di kalangan mahasiswa dan masyarakat kampus di sebabkan perbezaan parti yang disokong dan wadah yang disokong. Seharusnya, kita mencari titik-titik persamaan sehingga persoalan yang lebih besar, global dan holistik dapat diperjuangkan oleh mahasiswa itu sendiri.

            Suasana mendung ini mesti segera di ubati seterusnya di tangani. Generasi pelajar dan mahasiswa mestilah diberikan pengarahan yang setepatnya kerana mahu tidak mahu mereka merupakan generasi penyusul dan pewaris kepada kepimpinan umat masa hadapan. Justeru itu, generasi pelajar dan mahasiswa seharusnya mendalami dan menghayati matlamat perjuangan supaya pengelibatan dalam gerakan pelajar ini adalah pengelibatan yang penuh pengertian.

PRESIDEN GRUP PENGKAJI TAMADUN DUNIA (GPTD UNISEL)

PERUTUSAN RAMADHAN : MENDIDIK JIWA MEMBANGUN DIRI MERAIH TAQWA

Alhamdulilah Syukur ke hadrat ilahi dengan limpah dan kurnia-Nya kita masih dapat merasa nikmat kehidupan dan yang paling utama adalah nikmat berada di dalam Universiti Ramadhan. Jika menurut pandangan umum tafsiran terhadap Universiti ialah sebuah tempat yang menjadi pusat pengumpulan ilmu pembelajaran dan peradaban maka yang ingin ditekankan ialah berada dibulan Ramadhan ini merupakan suatu anugerah yang tidak ternilai dan antara bulan yang amat bermakna  bagi mereka yang tahu menilai dan menghargai kelebihannya. Ramadhan merupakan masa untuk menguji tahap kesabaran, waktu menunjukkan simpati kepada yang memerlukan ihsan, juga bulan mulia untuk menambah ibadat dan amalan. Merenung kembali peristiwa bersejarah Al Quran diturunkan yang menjadi rujukan Serta panduan Umat Islam.

Firman Allah dalam surah Al Baqarah; 2:185 : (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.

Penekanan yang perlu diambil berat oleh semua Masyarakat Islam dan pembentukan belia remaja yang berkualiti khususnya ialah soal mendidik jiwa yang bersih dari segala anasir-anasir yang tidak sihat dalam kontek pembangunan diri seseorang. Beberapa perkara yang boleh diambil sebagai tip memasuki Universiti Ramadhan iaitu :-
Ramadhan jalan menuju ketaqwaan
Allah berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu puasa sebagaimana diwajibkan atas kaum sebelum kamu, agar kamu bertaqwa”. (Al Baqarah: 183). Ayat di atas menerangkan bahawa puasa adalah sebab yang boleh menimbulkan kesedaran terhadap pelakunya menuju ketaqwaan, kerana puasa mampu meredam syahwat. Ini sesuai dengan salah satu penafsiran yang disebutkan Imam Al Qurthubi, yang berpadukan kepada hadits riwayat Imam Ahmad yang menyebutkan bahawa puasa adalah perisai.

Berpuasa menumbuhkan sifat amanah
Wahbah Zuhaili dalam bukunya Al Fiqh Al Islami berpendapat bahawa puasa mengajarkan rasa amanat dan muraqabah di hadapan Allah Ta’ala, baik dengan amalan yang nampak mahupun yang tersembunyi. Maka tidak ada yang mengawasi seseorang yang berpuasa agar menghindari hal-hal yang dilarang dalam berpuasa kecuali Allah Ta’ala

Puasa Ramadhan melatih diri berdisiplin
Puasa juga melatih diri berdisiplin , Wahbah Zuhaili menjelaskan bahawa seorang yang berpuasa harus makan dan minum dalam waktu yang terbatas. Bahkan dalam berbuka puasa pun harus disegerakan. Displin masa juga dipertekankan dalam soal mengerjakan ibadah solat, bangun sahur, berbuka dan sebagainya. Sejajar dengan tanggungjawab sebagai seorang pelajar seharusnya mempunyai displin ilmu yang mantap serta waktu pembelajarannya harus kolektif dan tersusun.

Bulan Ramadhan menumbuhkan rasa solidariti sesama muslim
Wahbah Zuhali juga menjelaskan bahawa puasa Ramadhan menumbuhkan rasa solidariti di antara sesama muslim. Pada bulan ini semua umat Islam, dari timur hingga barat diwajibkan untuk menjalankan puasa. Mereka berpuasa dan berbuka dalam waktu yang sama, kerana mereka memiliki tuhan yang satu. Seorang yang merasa lapar dan dahaga akhirnya juga boleh turut merasakan kesengsaraan saudara-saudaranya yang kekurangan atau tertimpa bencana. Sehingga tumbuh perasaan kasih sayang terhadap umat Islam yang lain.

Puasa Ramadhan melatih kesabaran
Bulan Ramadhan adalah bulan puasa di mana pada siang hari kita diperintahkan meninggalkan makanan yang asalnya halal. Begitu pula di saat ada seseorang itu mengganggu kita. Rasulullah Saw. bersabda: “Bila seseorang menghina atau mencacinya, hendaknya ia berkata 'Sesungguhnya aku sedang puasa." (HR. Bukhari). Sifat sabar ini merupakan sifat yang jarang dipraktikan dalam kehidupan seharian, malah kita lebih kerap menggunakan hawa nafsu untuk membuat sesuatu keputusan.

Ramadhan bulan ampunan
Bulan Ramadhan adalah bulan ampunan, Rasulullah Saw. bersabda: “Dan siapa yang berpuasa Ramadhan dengan dasar keimanan dan pengharapan redha Allah, diampunkan untuknya dosa yang telah lalu.”(HR. Bukhari). Masa yang terbaik bermunajat kepada Allah s.w.t ialah berada di dalam bulan Ramadhan. Seharusnya kita merebut peluang ini tanpa meninggalkan sedikit ruang sekali pun sebagaimana kita menonton perlawanan bola sepak, pemain penyerangnya sentiasa menggunakan segala peluang yang ada walaupun masa yang tinggal hanya berbaki satu minit. Seterusnya menyedari bahawa kita mungkin tidak dapat merasai nikmat berada di dalam bualn Ramadhan yang akan datang maka jangan pernah tinggalkan peluang dan anugerah yang diberi Allah s.w.t kepada kita.

Keutamaan memberi minum orang yang berpuasa
Allah akan memberi minum kelak di akhirat Rasulullah Saw. bersabda: “Dan barang siapa memberi minuman orang yang berpuasa maka Allah akan memberinya dari telaga minuman yang tidak menghauskan hingga ia masuk ke dalam syurga”. (HR. Ibnu Huzaimah dalam Shahihnya). Dan sebaik-baik sedekah adalah sedekah di bulan Ramadhan. Rasulullah bersabda: “Sebaik-baik sedekah iaitu sedekah di bulan Ramadhan.” (HR.Tirmidzi) 

Doa mustajab di bulan Ramadhan
Diriwatkan dari Abu Umamah R.A, bahawa Rasulullah Saw. bersabda:”, Dan untuk setiap muslim di setiap hari dan petang (dalam bulan Ramadhan) doa yang mustajab (HR. Bazar). Rasulullah juga bersabda:” Tiga golongan yang tidak ditolak doanya iaitu orang yang berpuasa hingga berbuka, imam adil, dan doa orang yang dizalimi”. (HR. Tirmidzi).

Al-Quran diturunkan pada bulan Ramadhan
Allah Ta’ala berfirman: “Bulan Ramadhan yang diturunkan di dalamnya Al-Quran, sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan atas petunjuk itu, serta pemisah antara haq dan batil”. (Al Baqarah: 185). Ibnu Katsir mengatakan bahawa Allah Ta’ala menyanjung bulan Ramadhan atas bulan-bulan yang lain, iaitu dengan memilihnya sebagai bulan dimana Al-Quran diturunkan di dalamnya.

Dengan itu, penghayatan terhadap bulan Ramadhan ini bukan hanya menahan lapar semata tetapi penekanan dan memaknai tujuan sebenar iaitu melatih jiwa sebagai hamba dan khalifah dimuka bumi seterusnya dapat membina perwatakan peribadi muslim sejati pada diri dalam meraih ketaqwaan kepada Allah s.w.t di bulan yang penuh barakah ini. Dalam sisi padang sebagai seorang pelajar dan mahasiswa, pemaknaan terhadap Universiti Ramadhan ini perlu dipraktikkan dalam pembudayaan ilmu yang dipelajari disamping melihat dalam kontek yang realiti penekanan terhadap nilai sebenar Bulan Ramadhan. Mudah-mudahan ramadhan kali ini lebih bermakna dalam meningkatkan ketaqwaan diri serta perubahan secara konsisten. Semoga menjadi insan adabi yang bergraduasi dengan cemerlang dalam Universiti Ramadhan kali ini.

Oleh : MUHAMMAD FAKHRUL AMIRUDDIN BIN HAMDAN
Presiden Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD Unisel)

Tuesday, May 6, 2014

SUKARELAWAN MALAYSIA MENGAJAR ENGLISH DI YALA

YALA 22 April 2014 - Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dengan kerjasama Foundation For Education & Human Resource (FEHRD) telah menjayakan Jejak Patani | Khidmat Pendidikan English Camp di Sekolah Santitham A,Muang J, Yala, Thailand. Turut dibantu oleh sukarelawan Grup Jejak Patani dan Persatuan Pelajar Islam Kelantan (PPIK). Seramai 10 sukarelawan yang mengikuti program ini bermula dari tanggal 18 hingga 22 April 2014. Projek ini bertujuan untuk membimbing seramai 120 pelajar yang terdiri daripada pelajar sekolah rendah dan menengah dalam memantapkan penguasaan bahasa inggerish dalam kalangan peserta. Elemen jati diri dan spritiual diterapkan dalam kalangan peserta seperti aktiviti yang melibatkan permainan diluar bilik darjah. 

"Kami rasa terpanggil untuk mengajar di sini selepas memahami cabaran pertembungan budaya Melayu-Siam yang menyebabkan anak-anak Melayu Muslim merasa rendah diri. Bukan sahaja penguasaan bahasa Inggeris yang lemah malah, menghadapi masalah bertutur dalam bahasa Melayu piawai", kata saudari Tengku Farhanan selaku pengarah projek. Timbalan Gabenor Wilayah Yala sempat berkunjung melihat projek ini dan memuji segala usaha yang telah dilakukan. Projek ini adalah projek tahunan dan akan diteruskan setiap tahun. Grup Jejak Patani adalah entiti di bawah Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD UNISEL). Kami mengalu alukan penyertaan sukarelawan yang serius membantu perjuangan pendidikan dan seterusnya menyumbang kepada perjuangan pendidikan masyarakat Patani. Jika berminat sila daftar di http://bitly.com/gptdvolunteer

Disediakan oleh,
Sukarelawan Grup Jejak Patani

Related Posts with Thumbnails