Monday, August 9, 2010

Presiden Pakistan dilempar kasut

Birmingham, 8 Ogos 2010 - Utusan Malaysia Online melaporkan Presiden Pakistan Asif Ali Zardari menerima lemparan kasut ketika mengakhiri lawatannya ke Britain dengan menyampaikan ucapan pada satu perhimpunan politik di sini semalam. Beliau berhadapan kritikan dan penunjuk perasaan kerana meneruskan lawatan ke luar negara ketika Pakistan dilanda banjir teruk yang setakat ini telah mengorbankan lebih 1,500 orang.

Pada perhimpunan itu, seorang lelaki melempar kasut ke arah Asif tetapi tersasar, sementara di luar Pusat Konvensyen Antarabangsa di Birmingham, lokasi beliau berucap, polis mengepung lebih 100 penunjuk perasaan. Asif semalam menyifatkan kunjungannya ke Britain sebagai berjaya dengan berjaya mengumpul beribu-ribu pound Sterling buat mangsa banjir di Pakistan.

Kira-kira 2,000 hadirin berkumpul di pusat konvensyen tersebut bagi mendengar ucapan Presiden itu serta pemimpin-pemimpin lain daripada Parti Rakyat Pakistan (PPP). Kunjungan Asif ke Britain juga penuh ketegangan kerana ia dibuat tidak lama selepas Perdana Menteri Britain David Cameron menuduh Pakistan 'membawa ketakutan'.

Kenyataan Cameron itu membangkitkan kemarahan rakyat Pakistan dan mengakibatkan tercetus perselisihan diplomatik, kerana kenyataan itu dibuat ketika kunjungan Cameron ke India. "Kita mempunyai hubungan baik dengan kerajaan Britain dan masalah yang ada telah diselesaikan dengan bantuan penggubal undang-undang Pakistan," kata Asif semalam pada satu perhimpunan di mana poster isterinya yang mati dibunuh, bekas Perdana Menteri Benazir Bhutto, digantung di dinding.

Beliau diiringi anak perempuannya, Asifa yang memakai selendang berwarna putih. Di luar dewan, sebahagian penunjuk perasaan mengangkat sepanduk tertulis 'Amerika Syarikat (AS) keluar dari Pakistan dan Afghanisan'. Sehari sebelum itu, anak lelaki Asif yang juga pengerusi bersama PPP, Bilawal Bhutto Zardari, merayu bantuan untuk mangsa banjir di Pakistan.

Sementara itu di ISLAMABAD, rakyat Pakistan hari ini bergelut dengan masalah kenaikan harga buah-buahan dan sayur-sayuran yang melambung tinggi, berikutan banjir yang memusnahkan sekurang-kurangnya 570,000 hektar tanaman. Harga barangan keperluan yang melonjak itu menambah lagi derita penduduk negara itu yang sudah pun dibelenggu kemiskinan dan masalah kekurangan makanan sebelum banjir melanda negara ini dua minggu lalu.

Pakistan bekerjasama dengan agensi bantuan antarabangsa untuk menyelamatkan lebih 100,000 penduduk dan menyalurkan bantuan makanan serta tempat perlindungan kepada beribu-ribu yang lain. Namun kerajaan menghadapi kesukaran untuk menangani bencana sebegitu buruk yang dianggarkan telah menjejaskan kehidupan 13 juta penduduk.

Keadaan dijangka bertambah buruk kerana Pakistan dilanda hujan lebat lagi hari ini. "Banjir memusnahkan tanah pertanian dan menghanyutkan tanaman sayur yang sudah sedia untuk dituai. "Hasil tanaman yang dapat diselamatkan tidak dapat dipasarkan kerana jalan musnah dan hubungan komunikasi terputus," kata seorang petani di bandar Multan, tengah negara ini.

Sekurang-kurangnya 570,000 hektar tanaman musnah di wilayah Punjab yang merupakan sumber bahan makanan untuk seluruh Pakistan, lapor Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). - AP


Sumber : Utusan

No comments:

Post a Comment


Related Posts with Thumbnails