Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, beliau kecewa kerana masih ada pelajar Malaysia di luar negara yang hanya bergaul dalam kelompok rakan senegara sehingga tiada rakan dari negara asing.
"Saya pernah ke Amerika Syarikat (AS) dan mendapati mahasiswa kita hanya tinggal bersama rakan-rakan dari Malaysia. Apabila ditanya berapa jumlah kawan dari negara luar yang rapat dengan mereka, mahasiswa itu kata tiada melainkan rakan-rakan sekuliah mereka.
"Memang budaya mereka berbeza dan mungkin ada antaranya yang agak kasar. Tetapi banyak faedahnya jika anda bercampur dan bergaul rapat dengan mereka terutama apabila memasuki dunia pekerjaan atau perniagaan," katanya.
Ahmad Shabery yang juga Pengerusi Biro Hal Ehwal Luar Negara dan Kelab UMNO Luar Negara berucap merasmikan Program Prapersediaan Mahasiswa Malaysia ke Rusia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.
Turut hadir Setiausaha Kerja Kelab UMNO Luar Negara, Abdul Shariff Hamid; Pengarah Hospital Sungai Buloh, Dr. Khalid Ibrahim serta 98 mahasiswa yang bakal melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di beberapa universiti di Rusia.
Ahmad Shabery menambah, mahasiswa tempatan yang berada di luar negara juga perlu sedar bahawa mereka sebenarnya memainkan peranan besar untuk menentukan imej negara di mata asing.
"Saya anggap anda semua yang akan ke Rusia ini sebagai duta kecil negara. Jangan terkejut apabila anda tiba di Rusia nanti, mereka bukan sahaja tidak tahu di mana Malaysia malah hendak menyebut Kuala Lumpur pun terkial-kial," ujarnya.
Sumber : Utusan
Ulasan Setiausaha
Setuju dengan pandangan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek tentang pergaulan mahasiswa Malaysia yang terhad semasa mereka sahaja. Ini berdasarkan pengalaman kami semasa mengikuti Grup Hamka ke XPDC HAMKA I di Padang, Indonesia. Aktivis mahasiswa Indonesia ada mengutarakan isu ini. Maka peranan GPTD adalah penting dan besar dalam membina jaringan antarabangsa ke arah pembentukan masyarakat dunia yang madani. Saya sarankan juga mahasiswa Unisel untuk sering berkomunikasi dengan pelajar antarabangsa di sini.
Hdariyani Kampun adalah mahasiswa Sarjana Muda Teknologi Maklumat merangkap setiausaha Gptd Unisel dan Ketua Grup Cheng Ho.
No comments:
Post a Comment