Monday, October 31, 2011

Belajar daripada anak kecil


Dengan kaki kanan aku melangkah diiringi ucapan bismillahirrohmanirrohim..

Lemah longlai kakiku melangkah menuju pintu pagar Asrama Unisel ini. Tidak kecukupan tidur membuatkan badan ini lemah ditambah dengan kekurangan semangat disebabkan kelmarin yang kelam. Semoga bertemu kanak-kanak Taski Abim Kuala Selangor hari ini membuatkan aku bersemangat kembali secara total.

Sampai di Dewan Tunas Harapan bersebelahan dengan Kolej INPENS diadakan Majlis konvokesyen Kanak-kanak Taski Abim
Kuala Selangor. Kami seramai 6 orang ditugaskan datang membantu menguruskan kanak-kanak tersebut.

“Saya abang umur 6 tahun, ini adik saya 5 tahun.”, sapa budak kepadaku tiba-tiba.

Aku terkejut bercampur terharu, kanak-kanak itu rasanya tidak mengenali aku, aku juga tidak kenal dia. Bagaimana dia boleh begitu terus bercerita denganku? Aku belajar sesuatu daripada anak ini. Hilang sedikit lelahku semalam. Aku tersenyum kepadanya.

Sementara menunggu ucapan daripada Pengerusi Majlis, kanak-kanak ini diletakkan di bilik belakang pentas bersama kami. Aku sempat mencuri-curi mengambil gambar yang paling manis seboleh mungkin untuk dijadikan tatapan ketika hari mendung. Tetapi tidak boleh kerana setiap kali aku halakan lensa ini, wajah mereka terus merekah dengan senyuman. Aku dan teman yang lain turut tersenyum dengan adegan itu. Lucu. Cara mereka mengekspresikan kegembiraan itu jelas berbeza dengan kami.

Jelas, badan yang lemah longlai pun bersemangat kembali bergaul dengan mereka. Hati mereka sungguh suci. Kami belajar sesuatu disitu. MengKAYAkan hati. SubhanaAllah. Bagaimana kanak-kanak ini mengkayakan hati ya? Aku jadi tertanya , aku ingin belajar dari mereka. Bersihkan hati melalui mereka. Sungguh, aku ingin sekali.

Entahlah kawan, kadang hidup ini memerlukan cikgu bukan sahaja dari manusia dewasa, alam malah anak kecil juga mampu. Allahuakbar. Ekspresi yang spontan tanpa dibuat-buat yang dipancarkan oleh anak-anak kadang-kadang suatu pengajaran bagi kita kerana hati mereka yang sungguh hening. Mereka mampu memancarkan kasih sayang tanpa berselindung. Ada sesuatu yang perlu kita lakukan untuk anak-anak ini supaya mereka terus begitu. Ada amanah yang perlu kita lakukan supaya senyuman mereka terus bercambah agar mereka tumbuh menjadi anak-anak yang soleh dan seterusnya menjadi generasi Ulul Albab. Amin.

Alhamdulillah Kau pertemukan aku dengan mereka hari ini :)



HDARIYANI KAMPUN
Timbalan Presiden 2
Grup Pengkaji Tamadun Dunia Unisel

Saturday, October 29, 2011

Manila serang MILF

MANILA 24 Oktober 2011 - Tentera udara Filipina hari ini melancarkan serangan udara ke atas sekumpulan pemberontak Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) yang didakwa membunuh 35 orang dalam beberapa serangan di selatan negara ini sejak minggu lalu. Dua pesawat penyerang OV-10 mengebom sebuah kampung terpencil di pinggir bandar Payao, Pulau Mindanao, di mana pemberontak MILF berkubu sejak minggu lepas, kata jurucakap tentera, Mejar Harold Cabunoc.
 
"Pengeboman bermula pada 11.30 pagi ini ke atas kira-kira 100 pemberontak bersenjata yang berlindung di dalam kubu dan parit," katanya. Belum ada laporan mengenai kemalangan jiwa dalam pengeboman itu tetapi tentera berkata, kira-kira 3,000 orang awam sudah pun meninggalkan kawasan itu pada minggu lepas. Jurucakap tentera bagi wilayah Barat Mindanao, Leftenan Kolonel Randolf Cabangbang pula berkata, serangan udara itu ditujukan kepada kedudukan pemberontak diketuai oleh tiga komander MILF yang diburu iaitu Wanning Abdusalam, Putot dan Ogis Jakarta serta sebilangan pengikut mereka yang bersenjata.
Katanya, pengeboman tertumpu kepada kem pemberontak di kampung Labatan, pinggir Payao.

Askar Briged Tentera ke-102 yang diketuai oleh Kolonel Santiago Baluyot semakin menghampiri kem berkubu itu. Penduduk kampung Labatan sebelum ini mencapai kata sepakat untuk meminta bantuan tentera mengusir pemberontak daripada mendirikan kem di kampung mereka. - AFP/Bernama

Thursday, October 27, 2011

Awas Peperiksaan di hadapan


Kepemimpinan GPTD Unisel mengucapkan Selamat Berpesta Peperiksaan bagi semester 1/2011/2012 untuk pelajar arus perdana. Semoga peperiksaan di dewan peperiksaan akan melahir diri menghadapi peperiksaan yang lebih real dan mencabar iaitu peperiksaan dunia sebenar dan akhirat. All the best! Jangan lupa FORMULA Kejayaan= Doa+Usaha+Ikhtiar+Tawakal

Tuesday, October 25, 2011

Induksi GPTD melahirkan sukarelawan adabi

TG KARANG, 23 Oktober 2011 - GPTD Unisel telah menganjurkan Induksi GPTD bagi mempersiapkan faham konsep Aktivisme, Intelektualisme dan Spiritualisme (Rohanisme) di kalangan sukarelawan. Sesuai dengan tujuan penubuhan, sukarelawan harus dibangunkan kefahaman mereka agar perlaksanaan kerja-kerja sukarela akan lebih tuntas dan penuh kesedaran maknawi. Pengenalan GPTD telah disampaikan oleh En Izwan Suhadak Ishak, Naib Presiden GPTD Pusat kepada para sukarelawan. Seramai 10 peserta yang terpilih untuk dilatih secara metod intensif-simulator bagi menghadam input-input penting di dalam konsep kesukarelaan.

Ekspedisi Sawah turut diadakan bagi meninjau kawasan sekitar yang alami. Para peserta diajar bagaimana menangkap makna-makna besar apabila berkomunikai dengan alam di samping koreksi diri tentang faham Hamba & Khalifah. Peserta juga sempat menulis wasiat (nasihat) kepada sahabat, kaum keluarga dan ibu bapa sekiranya panggilan Allah swt lebih awal. "Modul Induksi GPTD ini dirangka khas untuk para sukarelawan GPTD Unisel agar lebih tabah dan faham apabila melakukan kerja-kerja sukarela", kata En Izwan. Turut hadir sebagai penceramah adalah En Wan Ab. Rahman wakil Global Peace Mission (GPM) memberi taklimat perkembangan isu semasa di Selatan Thailand fokus kepada sukarelawan Jejak Pattani II.

"Kami harap selepas induksi ini para peserta dapat mengaplikasikan faham sukarelawan adabi bagi membina generasi  khayra ummah", kata Sdr Hdariyani, Penyelaras program merangkap Timbalan Presiden GPTD Unisel. Acara selesai selepas solat Asar dengan pergerakan beransur-ansur atas keterbatasan pengangkutan.

-Unit Media

Gempa di Turki meragut lebih 270 orang

TURKI, 24 Oktober 2011 - Lebih 270 orang maut dan beratus orang lagi masih hilang serta dikhuatiri terbunuh dalam gempa bumi di timur negara ini semalam. Pekerja perkhidmatan kecemasan dan mereka yang terselamat berusaha memindahkan runtuhan menggunakan penyodok dan tangan selepas bangunan-bangunan dan jalan raya runtuh dalam gempa sekuat 7.2 pada skala Richter itu, sejak kejadian berkenaan berlaku.

Di bandar Ercis, penyelamat cuba mengeluarkan seorang kanak-kanak lelaki berumur 10 tahun yang terperangkap di bawah runtuhan konkrit. ''Sabar, sabar,'' kata mereka kepada budak yang menangis itu. Tangan seorang dewasa yang memakai cincin perkahwinan dapat dilihat beberapa sentimeter dari depan muka kanak-kanak itu. Menteri Dalam Negeri, Idris Naim Sahin berkata, seramai 120 orang maut di bandar ini dan 100 orang lagi terbunuh di bandar Van, kira-kira 100 kilometer selatan Ercis.

Jumlah kematian tersebut dijangka terus meningkat.

Idris kini menyelia usaha mencari dan menyelamat di Ercis berkata, 1,090 orang cedera manakala beratus-ratus lagi masih hilang. Usaha menyelamat terganggu apabila bekalan elektrik terputus ekoran kabel elektrik ke bandar dan kampung di kawasan padang rumput Anatolia berdekatan sempadan Iran rosak dalam kejadian itu. Perdana Menteri, Recep Tayyip Erdogan berkata, jumlah orang yang terperangkap dalam runtuhan bangunan di bandar-bandar yang dilanda gempa bumi itu masih belum diketahui.

Beliau melahirkan kebimbangan keadaan lebih buruk akan berlaku ke atas penduduk yang tinggal di kawasan luar bandar. ''Bangunan di sana diperbuat daripada bata jemur, ia lebih mudah runtuh ekoran gempa bumi. Kemungkinan semua bangunan di sana runtuh dan musnah,'' ujarnya di Van semalam. - Reuters

Sumber : Utusan

Aktivisme GPTD : Pemetaan Komuniti @ Kg Rantau Panjang

Monday, October 24, 2011

Aktivisme GPTD : Imbasan Suatu Ketika

Tinjauan Awal Misi Bantuan Kebakaran kg Rantau Panjang 16 Disember 2010 Slideshow: Gptd’s trip from Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan, Malaysia to Kampong Rantau Panjang (near Subang Jaya, Selangor) was created by TripAdvisor. See another Subang Jaya slideshow. Create your own stunning slideshow with our free photo slideshow maker.

Kelas Bahasa : JOM Kecek Klate

JOM Kecek Klate!

Program ini dianjurankan bersempena persiapan latihan sukarelawan  Jejak Pattani II GPTD yang akan menjayakan pada bulan April 2012 insya Allah. Mengangkat martabat bahasa etnik tempatan.

Tuesday, October 11, 2011

Kunjungan sukarelawan GPTD ke kediaman Tuan Rahim

Ijok, 11 Oktober 2011 - Sukarelawan GPTD Unisel telah  mengadakan kunjungan kali ke-2 bersama Ketua JKKK Kg Rantau Panjang di Ijok bagi membincangkan keputusan akhir berkaitan dengan program Pemetaan Komuniti pada 15 Oktober 2011 (Sabtu) ini. Kunjungan diketuai oleh Sdr Mohd Ridzuan selaku Penyelaras program bersama Sdri Hdariyani dan Sdri. Farahah. Beberapa soalan diajukan kepada pihak Ketua JKKK Kg Rantau Panjang, Tuan Rahim bagi mendapatkan kepastian maklumat dan menyelaraskan gerak kerja di lapangan nanti. Pihak JKKK sedia menyediakan tiga buah bot untuk kegunaan menyusuri sungai. "Terima kasih kerana sudi menganjurkan program di kampung kami", kata Tuan Rahim kepada sukarelawan yang hadir. Turut hadir ialah En Izwan Suhadak, Penasihat GPTD Unisel. "Tahniah dan syabas kepada komitmen sukarelawan terutama penyelaras Sdr Mohd Ridzuan yang bertungkus lumus untuk menjayakan program ini", kata En Izwan.

-Unit Media

Teater Cheng Ho memukau penonton

Serdang, 9 Oktober 2011 - GPTD Unisel telah menghantar wakil, Sdr Hdariyani Kampun selaku Naib Presiden II berkunjung ke Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk menghadiri program Diskusi Intelek Cheng Ho anjuran Kelab Bimbingan Mahasiswa UPM. Teater yang diadakan pada pukul 5.00 petang sangat mengujakan pengunjung dan penonton yang hadir. Teater ini mengisahkan berkenaan kitaran hidup Laksamana Cheng Ho ketika beliau masih kecil, dewasa dan bagaimana bermulanya episod beliau mengembara ke seluruh dunia bersama armadanya.

Kisah yang boleh dijadikan iktibar bagi mahasiswa masa kini yang aktif sebagai aktivis yang sangat jarang kita temui. Semangat Laksamana Cheng Ho juga perlu diambil ketika mengembara dan bagaimana beliau menjadi pemimpin dengan mengendalikan begitu banyak armada. Syabas dan tahniah untuk persatuan Kelab Bimbingan Mahasiswa UPM atas anjuran program berkenaan.

Oleh Hdariyani Kampun, Naib Presiden GPTD Unisel.

Saturday, October 8, 2011

Bedah Buku : Kolonel Jihad

Ayuh bersama kita semua hadir untuk membedah sebuah buku berjudul KOLONEL JIHAD : Antara Mitos dan Realiti yang akan dikongsi sendiri oleh penulisnya, Lt Kol Abdul Manaf Kasmuri.  Beliau merupakan veteran perang Bosnia dan bekas tahanan ISA. Jangan lepaskan peluang ini. Semua dijemput hadir.

Pemetaan Komuniti GPTD @Kg Rantau Panjang

Sukarelawan GPTD akan mendokumentasikan PEMETAAN KOMUNITI di Kg Rantau Panjang bagi mengangkat realiti masyarakat desa semasa. Jika berminat untuk sertai PEMETAAN KOMUNITI sila hubungi/sms wakil GPTD di talian 010.269.3310

Tuesday, October 4, 2011

Ziarah ke kediaman Mujahidis Bosnia




4 Oktober 2011 | Selasa | Selangor : Wakil Grup Pengkaji Tamadun Unisel telah berjumpa dengan penulis buku Kolonel Jihad : Antara Mitos dan Realiti, Lt Kol Abdul Manaf Kasmuri di rumah beliau , Jalan Kebun, Klang, Selangor. Selain untuk mengambil buku untuk diberikan kepada aktvis GPTD Unisel dan mengkhadamkan buku berkenaan, wakil GPTD Unisel juga mengambil peluang untuk berdiskusi sebentar bersama penulis. Ramah orangnya beserta isteri membuatkan  wakil GPTD Unisel tidak kekok untuk bertanya itu dan ini. Setelah berada lebih kurang sejam lebih, maka kami meminta izin beransur pulang. Buku Kolonel Jihad merupakan catatan perjalanan penulis semasa menjadi tentera , semasa membantu rakyat di Bosnia dan pengalaman beliau ketika berada dibawah penahanan ISA ( Akta Keselamatan Dalam Negeri). Beliau berkata " Buku ini saya tulis bertujuan untuk menaikkan semangat anak muda zaman sekarang." Semoga aktivis GPTD Unisel dapat mengkhadam buku tersebut dan mengambil semangat penulis terutamanya aktivis yang akan ke Pattani, Thailand pada  bulan April, 2012.

Unit Media.
Related Posts with Thumbnails