Showing posts with label FGN. Show all posts
Showing posts with label FGN. Show all posts

Tuesday, November 8, 2011

Pengorbanan Ahli Gereja Mormon sangat tinggi

Hari Khamis lalu, 4 Disember 2008, saya dikunjungi oleh tetamu luar biasa dari Amerika Syarikat. Luar biasa kerana saya kerap dikunjungi oleh umat Islam dari seluruh dunia. Tapi kali ini pemimpin Gereja Mormon atau lebih tepat The Church of JESUS CHRIST of Latter-Day Saints yang berpusat di Salt Lake City, Utah, Amerika Syarikat.
Bila saya dimaklumkan bahawa wakil Gereja Mormon ingin membuat kunjungan dan berkenalan dengan tujuan untuk menjalin hubungan kerjasama kemanusiaan, perkara yang menerpa ke ingatan saya ialah penyanyi The Osmond Brothers yang terkenal di tahun 70an. Selain daripada itu Gereja Mormon terkenal dengan isu kontroversi poligami di kalangan penganut agama Keristian.

Saya dikunjungi oleh Dr.Lowell K.Anderson, isterinya Judith Anderson dan wakilnya di Indonesia, S.Soeryo Poetranto.

Saya mengambil kesempatan menerangkan mengenai kerja-kerja yang dibuat oleh Future Global Network (FGN) khususnya bagi membantu pendidikan anak-anak pelarian Rohingya dan juga masyarakat Bangsa Moro di Selatan Filipina. Di celah-celah perbincangan saya ambil kesempatan untuk tahu sendiri mengenai falsafah perjuangan Gereja Mormon dari Dr.Lowell. Ini peluang terbaik bagi saya, kerana selama ini hanya mendengar cerita dari akhbar sahaja.

ANTARA GEREJA TERKAYA DI DUNIA

Mengikut Time Magazine terbitan 1997, The Church of JESUS CHRIST of the Latter-Day Saints is one of the world’s wealthiest churches per capita mainly from 10% of member’s income and fast offerings.’

Salah satu kekuatan Gereja Mormon ialah kekuatan kewangan hasil sumbangan 10% dari gaji ahlinya yang sudah menjangkau 13 juta orang diseluruh dunia. Bayangkan sekiranya setiap orang membayar RM10 seorang sebulan, jumlahnya sudah mencapai RM130 juta sebulan. Kemudian setiap ahli pula diwajibkan berpuasa pada hari Ahad sebulan sekali dan wang makan dan minum yang dijimatkan itu dimasukkan ke dalam Tabung Kebajikan Seluruh Dunia. Oleh kerana itulah Gereja Mormon atau lebih popular dengan singkatan LDS (Latter-Day Saints) mampu untuk membiayai projek kebajikan berjumlah 3,974 di seluruh dunia. Tahun sudah saja, 2007, LDS menghulur bantuan berjumlah USD104.9 juta.

LDS mempunyai 347 pusat di seluruh dunia yang membiayai 53,000 petugas sepenuh masa dan 3552 petugas untuk projek-projek khas. Pada bulan Jun 2007, LDS telah meraikan petugas sepenuh masa atau missionary yang ke 1,000,000 sejak penubuhannya pada tahun 1830.

PENGORBANAN YANG TINGGI BUKAN ALA KADAR

Salah satu sebab yang menjadikan LDS menjadi Gereja yang paling pesat berkembang berbanding Katholik dan Protestan ialah semangat pengorbanan yang tinggi yang ditanamkan terutama dikalangan remaja.

Setiap ahli yang sudah berumur 19 tahun akan diwajibkan untuk berkhidmat untuk LDS selama 2 tahun dimana jua yang dikehendaki diseluruh dunia. Bagi ahli wanita pula sesudah berumur 21 tahun,belum berumahtangga, tetapi untuk selama 18 bulan. Bagi suami isteri yang dah bersara pula digalakkan berkhidmat diantara 3 bulan ke 3 tahun. Kesemua mereka dikehendaki membiayai sendiri kos perjalanan dan sara hidup kecuali yang benar-benar tak mampu atau yang bertugas sepenuh masa sebagai missionary.

Dr.Lowell dan isterinya masuk kategori misionari bersara yang ditugaskan untuk memantau Hal Ehwal Awam peringkat Asia yang berpejabat di Singapura. Dr.Lowell adalah seorang doktor dibidang Oral and Maxillofacial Surgery.

MORMON BUKAN KATHOLIK MAUPUN PROTESTAN

LDS menganggap ajaran Katholik dan Protestan tidak benar-benar mengikuti ajaran Keristian yang sebenar. Lantas mereka tidak mahu di kaitkan dengan kedua ajaran tersebut. Begitu juga sebaliknya, kedua-dua Gereja Katholik dan Protestan tidak menganggap LDS sebagai sebahagian dari ajaran Keristian yang benar.

MEMENTINGKAN KEUTUHAN KELUARGA, HARAMKAN ARAK, JUDI DAN ZINA

LDS amat menekankan keutuhan keluarga. Malah modul pengukuhan keluarga LDS telah digunapakai dengan jayanya diseluruh dunia, termasuk di Indonesia. Setiap ahli diharamkan dari minum arak, berjudi dan berzina. Oleh kerana nilai-nilai ini begitu kuat diamalkan, maka LDS telah banyak menarik minat di kalangan mereka yang menghadapi masalah rumahtangga dan juga krisis moral dan akhlak yang begitu berleluasa diseluruh dunia.

PENGAJARAN KEPADA GERAKAN DAKWAH

Bila saya menilai apa yang dibuat oleh LDS, timbul perasaan cemburu didalam hati saya. Betapa tingginya nilai pengorbanan mereka terhadap perjuangan mereka sehingga LDS sekarang menjadi sebuah gerakan yang paling pesat berkembang. Apalagi dengan dana yang begitu banyak hasil dari komitmen ahli-ahlinya diseluruh dunia.

Saya menghimbau akan usaha yang saya buat semasa menjadi pimpinan ABIM dulu. Saya perkenalkan skim 5S iaitu Sumbangan Seribu Ringgit Sahaja Seorang Setahun yang mana setiap bulan Ramadan, setiap ahli diwajibkan menyumbang hanya RM 1000 setahun bersamaan dengan RM 83.33 sebulan atau RM2.89 sehari. Andaian saya sekiranya 40,000 ahli dapat menyumbang hanya sekali setahun dibulan Ramadan yang penuh berkat yang pahalanya berlipat kali ganda, maka ABIM akan mempunyai dana operasi berjumlah RM40 juta setahun. Atau sekiranya 5,000 ahli pun, ABIM sudah mempunyai dana RM5 juta setahun. Banyak tu…. ! Kerja dakwah akan lebih hebat daripada yang ada pada hari ini.

Namun realitinya, saya gagal. Ya! Gagal. Kerana apa? Semangat korban yang semakin merosot. Ada di kalangan ahli yang hanya mementingkan diri sendiri. Berbangga menjadi ahli,tapi nak berkorban wang, tenaga, masa terlalu berkira. Mereka hanya datang menolong bila semua kerja peribadi, kerjaya dan keluarga dah beres, barulah nak membantu. Kerja peribadi, kerjaya dan keluarga langsung tak boleh dikorbankan. Hanya sisa–sisa masa, wang dan tenaga untuk dakwah. Contohnya, kehadiran usrah yang hanya seminggu sekali bergantung kalau tiada urusan keluarga atau kerjaya. Kalau ada sikit saja urusan keluarga atau kerjaya kehadiran usrah akan dikorbankan. Macamana dakwah nak berkembang! Dalam bahasa Inggeris, maaf ya, if you give peanuts, you get monkey.

Menariknya, bila memberi komen mengenai perjuangan ABIM, mereka yang paling banyak bersuara seolah-olah mereka lah yang bertungkus lumus selama ini. Yang benar-benar berkorban, jarang yang bercakap kerana tahu terlalu banyak kerja yang nak dibuat.

Saya memaparkan dengan agak terperinci mengenai LDS kerana apa yang mereka buat tidak jauh dari apa yang kita lakukan. Mereka nampaknya begitu berjaya setakat ini, kita pula sampai sekarang masih merintih kerana tak cukup wang untuk membuat kerja dakwah. Di mana silapnya? Tepuk dada, tanyalah selera. Hari raya korban kita rayakan setiap tahun. Apa pengajaran yang kita dapat? Kenyang dengan masakan daging lembu? Atau semangat pengorbanan Habil, Nabi Ibrahim, Nabi Muhammad s.a.w. yang kita cuba contohi.

Selamat Aidil Adha, selamat berkorban untuk Allah, RasulNya,UmatNya.

Friday, October 29, 2010

Inspirasi Pengasas GPTD kepada Grup Wali Songo

Gombak, 29 Oktober 2010 - Pertemuan khas Grup Wali Songo bersama Pengasas GPTD, Tn Hj Ahmad Azam Abdul Rahman di pejabat beliau di Future Global Network (FGN). Semua aktivis yang akan melaksanakan misi XPDC Wali Songo seramai 7 orang pada 1 November ini telah mendapat amanat penting daripada orang yang bertanggungjawab menggagaskan penubuhan GPTD. Kata-kata semangat beliau memberikan inspirasi kepada Grup Wali Songo untuk mengikhlaskan niat masing-masing demi meneladani para wali Allah.

Beliau menyarankan agar ziarah ke Makam Syeikh Ismail di Pulau Besar, Melaka kerana Sunan Gunungjati dan Sunan Giri merupakan salah seorang anak murid Syeikh Ismail. Ini memberi satu gambaran bahawa Melaka merupakan Pusat Dakwah Nusantara selain Samudra Pasai (kini Lhoksemawe Aceh). Projek XPDC Wali Songo ini adalah projek perintis daripada Grup Wali Songo yang baru ditubuhkan di bawah GPTD Unisel. "Tawakal perlu tinggi dan banyakkan zikir kepada Allah agar mendapat rahmat", pesan Tn Hj Ahmad Azam.

Artikel berikut berkaitan tentang Syeikh Ismail

Misteri Pulau Besar, Melaka Terjawab! (Siri 1)

Makam di Roboh dan Dibangunkan Semula (Siri 2)

- Unit Berita

Thursday, August 12, 2010

Politik Berwibawa Merentas Generasi

Tajuk ini amat penting untuk di bicarakan ketika negara semacam ketandusan pemimpin yang berwibawa. Wibawa bermakna ‘credible’ atau telah diterima pakai dalam Bahasa Melayu sebagai kredibel dan kredibiliti. Pemimpin yang berwibawa bermakna seorang pemimpin yang boleh dipercayai kerana pemikirannya, semangat juangnya dan pengorbanannya untuk rakyat dan umat. Sementara pemimpin tidak berwibawa ialah pemimpin yang tidak boleh dipercayai kerana mementingkan diri berbanding umat, rasuah, banyak janji yang tidak ditepati, hidup penuh dengan kepura-puraan.

Mengapa kewibawaan itu penting untuk pemimpin umat dan negara?

Ianya menjadi penting kerana pemikiran, arahan dan kehendaknya mudah dipatuhi oleh rakyat atau pengikutnya. Rakyat akan mudah bersatu di bawah kepemimpinannya. Mereka tidak akan banyak membantah atau mengkritik apalagi menimbulkan masalah kepada pemimpin. Kesetiaan pengikut sangat kental dengan pemimpinnya. Malah mereka sanggup berkorban apa saja untuk mempertahankan pemimpinnya, sekiranya pemimpin tersebut berhadapan dengan apa jua masalah.

Pemimpin berwibawa akan memberi inspirasi dan teladan kepada generasi mendatang. Pengalaman dan pengorbanannya akan menjadi ikutan sepanjang zaman.

Bagaimana seseorang mendapat wibawanya?

Ada banyak cara untuk seseorang mendapat wibawanya. Ada yang mendapatnya melalui keturunan seperti Keturunan Raja, Keturunan Nabi dan Keturunan Pemimpin. Ada yang mendapatnya melalui jawatan yang dipegangnya seperti jawatan Perdana Menteri, Menteri, Mufti, Hakim dan sebagainya. Ada yang mendapatnya melalui ilmu dan pemikirannya seperti Ulama tersohor atau Intelektual tersohor seperti Sheikh Yusuf Qaradhawi dan Professor Syed Muhammad Naquib al-Attas. Seterusnya, ada yang mendapatnya melalui sejarah perjuangan dan pengorbanannya sapert Nelson Mandela, Malcolm X dan Mahatma Gandhi. Diantara banyak cara-cara ini, ada satu cara yang susah untuk dinilai secara objektif, iaitu karisma atau aura seorang pemimpin. Seseorang pemimpin sangat berpengaruh terhadap pengikutnya kerana faktor X. Faktor X inilah yang menjadi misteri sampai sekarang. Bagi umat Islam,ianya adalah suatu anugerah yang hanya Dia sahaja yang mengetahui.

Cabaran utama dunia masa kini ialah untuk melahirkan pemimpin politik berwibawa (credible political leader). Ini amat berkait rapat dengan halatuju sesebuah negara yang amat bergantung kepada kualiti pemimpinnya.

NELSON MANDELA (18 Julai 1918 – sekarang)

Banyak contoh yang boleh dibuat dalam kaitan antara kemajuan sesebuah negara dengan kualiti pemimpinnya. Contoh yang paling nyata ialah Nelson Madela, sebagai pemimpin politik berwibawa di Afrika Selatan. Beliau memperjuangkan hak masyarakat kulit hitam agar diiktiraf hak asasi dan hak demokratik sebagai warganegara yang setaraf dengan masyarakat kulit putih. Akibatnya beliau dipenjara selama 27 tahun. Namun perjuangannya tidak pernah luntur sehinggalah akhirnya beliau dibebaskan dan menjadi Presiden Afrika Selatan yang pertama dipilih secara demokratik selama 5 tahun (1994-1999). Beliau menjadi Presiden ketika berumur 76 tahun. Beliau tidak memimpin lama sebagai Presiden kerana menyedari akan faktor usia yang boleh menjejaskan prestasinya sebagai Presiden. Lantas beliau mengundur diri secara sukarela, hidup sebagai seorang negarawan yang disegani dunia.

Nelson Mandela adalah contoh seorang ahli politik berwibawa, merentasi generasi. Kepimpinannya menjadi inspirasi dan teladan kepada generasi mendatang. Wibawanya hebat kerana nilai perjuangannya yang kental, sanggup menghadapi sebarang risiko peribadi demi perjuangan bangsa tercinta, sanggup bersara politik awal apabila menyedari kepimpinan tidak lagi berkesan lantaran usia tua. Melihatkan pengorbanan Mandela, rasanya tidak ramai pemimpin politik yang sanggup meneladaninya.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, sebagai langkah untuk mengiktiraf sumbangan Mandela dalam perjuangan keadilan sosial telah mengisytiharkan 18 Julai sebagai ’Mandela Day’. Masyarakat dunia diminta pada hari tersebut untuk mengorbankan 67 minit dari kehidupan mereka untuk melakukan sesuatu kebajikan untuk orang lain, sebagai ingatan simbolik 67 tahun pengorbanan dan perjuangannya untuk bangsanya di Afrika Selatan.

MAHATMA GANDHI (1869 – 1948)

Seorang lagi tokoh politik berwibawa yang boleh dijadikan contoh merentasi generasi ialah Mahatma Gandhi (1869-1948). Beliau terkenal dengan perjuangan kemerdekaan India melalui pendekatan ’non-violence’ atau ’ahimsa”. Pengalaman hidup dan bekerja di Afrika Selatan ketika dasar ’apartheid’ atau dasar diskriminasi terhadap masyarkat kulit hitam masih dilaksanakan, membuatkan beliau begitu bersemangat untuk memperjuangkan kemerdekaan India dari penjajahan British.

Dalam perjuangan kemerdekaannya, beliau dipenjara di atas tuduhan menghasut rakyat untuk memberontak oleh penjajah British pada 1922. Akibatnya Parti Politik pimpinannya, Indian National Congres terpecah dua, satu sanggup bergerak di dalam kerangka Perlembagaan British, dan satu lagi menentang.

Sementara itu perpaduan masyarakat Hindu dan Islam di dalam perjuangan kemerdekaan juga retak sehingga akhirnya mengakibatkan Gandhi mati dibunuh oleh seorang pengikutnya yang tidak bersetuju dengan pendekatan berkompromi demi perpaduan dengan masyarakat Islam pada 30 Januari 1948 ketika berumur 78 tahun.

Ada 3 prinsip hidup Gandhi yang menyebabkan beliau diiktiraf sebagai tokoh politik berwibawa iaitu pertama; perjuangan kebenaran atau ‘satya’, kedua; perjuangan melalui pendekatan ‘non-violence’ atau ‘ahimsa’ dan ketiga; menjalani kehidupan yang amat sederhana dan berpakaian dua helai kain hasil tenunan sendiri yang dipanggil ‘dhoti’ di sepanjang hidupnya.

Perjuangan Gandhi telah menjadi ikutan ramai pemimpin-pemimpin dunia, antaranya Nelson Mandela sendiri. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu malah telah mengisytiharkan, 2 Oktober, hari kelahiran Gandhi sebagai ‘International Day of Non-Violence’.

MALCOLM X (19 MAY 1925 – 21 FEBRUARY 1965)

Seorang lagi tokoh berwibawa merentasi generasi yang wajar diteladani ialah Malcolm X (May 19, 1925 – February 21, 1965) atau juga dikenali sebagai El-Hajj Malik El-Shabazz. Beliau adalah seorang aktivis politik yang memperjuangkan hak asasi masyarakat kulit hitam di Amerika Syarikat.

Semangat kental perjuangannya yang tidak langsung takut dengan sebarang risiko terhadap diri dan keluarganya telah mencetuskan kesedaran yang tinggi di kalangan masyarakat kulit hitam untuk memperjuangkan hak asasi mereka.

Beliau menganut Islam versi Nation of Islam oleh pengasasnya Elijah Muhammad ketika berada di dalam penjara di atas kesalahan jenayah. Setelah dibebaskan, beliau menjadi tenaga terpenting Nation of Islam selama 12 tahun. Perjuangan “Black Supremacy” berakhir bila beliau meninggalkan Nation of Islam, dan menganut ajaran Islam mengikut Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Selama setahun beliau terpaksa membetulkan faham ‘Black Supremacy” kepada ajaran Islam sebenar yang menganjurkan kasih sayang, kemanusiaan sejagat dan persaudaraan sesama manusia. Perubahan diri beliau amat ketara setelah menunaikan haji di Makkatul Mukarramah. Beliau melihat sendiri betapa umat Islam tak kira bangsa, sama-sama menunaikan ibadah haji, tanpa memperdulikan pangkat dan keturunan. Ajaran Islam yang murni ini menyebabkan penyokong Nation of Islam memusuhinya, lantas membunuhnya dengan 16 das tembakan dari jarak dekat ketika berucap di Audubon Ballroom, Manhattan, New York.

Kewibawaan kepimpinan Malcolm X ialah kerana keberanian beliau untuk memperjuangkan hak asasi masyarakat tertindas dan keberanian beliau untuk membetulkan semula ajaran salah yang telah dipeloporinya, yang mengakibatkan beliau kehilangan nyawanya.

PRINSIP UNGGUL PEMIMPIN BERWIBAWA

Berdasarkan sejarah hidup 3 tokoh ini, kita boleh membuat beberapa rumusan penting bagi mewujudkan budaya politik berwibawa yang boleh diteladani oleh generasi mendatang.

Pertamanya, prinsip ’BERANI kerana BENAR’. Apa yang dimaksudkan dengan prinsip ini ialah setiap pemimpin harus ada keberanian untuk memperjuangkan sesuatu yang diyakini benar. Seorang pemimpin akan hilang wibawanya sekiranya mengambil sikap lepas tangan dan tidak peduli terhadap permasalahan yang dihadapi oleh pengikutnya.

Mandela, Gandhi dan Malcolm X sanggup menghadapi apa jua rintangan demi perjuangan hak bangsanya.

Keduanya SANGGUP menanggung RISIKO. Wibawa seorang pemimpin hanya menyerlah apabila dia sanggup berkorban demi perjuangannya. Pemimpin yang sentiasa mengambil jalan selamat di dalam perjuangannya tidak akan kekal lama apa lagi untuk dikenang rakyat.

Ketiganya, BUAT bagai di KATA. Maknanya seorang pemimpin akan dinilai berwibawa sekiranya segala tuturkatanya dikota dengan tindakan dan perbuatan. Ramai pemimpin hilang wibawa apabila rakyat mengetahui banyak kenyataan mereka dan janji-janji yang tidak dikota.

Keempat; AKHLAK MULIA, ETIKA DIJAGA. Pemimpin yang sarat dengan skandal, tidak akan diterima rakyat.

Kelima, PEMIMPIN UMMATIK. Pemimpin yang mengutamakan kepentingan umat, mengatasi kepentingan diri. Hatta, sekiranya demi kepentingan umat, pemimpin itu sanggup kehilangan jawatan, asal umat terbela dan terpelihara. Apa yang malang, ramai pemimpin yang sanggup melakukan apa saja, hatta mengadai maruah umat, demi mempertahankan jawatan atau kuasa.

Kesimpulannya, Politik wibawa ialah politik bersifat ummatik, pemimpinnya juga bersifat ummatik, sanggup berkorban segalanya demi perjuangan tercinta. Hanya pemimpin begini yang berwibawa yang bakal dikenang oleh generasi mendatang sebagai sumber inspirasi dan teladan yang perlu dicontohi.



Dibentangkan pada 1 Ogos 2010 di Program Sabah Youth National Forum (SYNF) 2010

bersama ahli-ahli panel berikut:

YBrs. En Azman Ruslan, Ketua Pemuda UMNO Sabah

YB Datuk Jahid Jahim, Ketua Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS)

YB Pang YUK Ming, Naib Presiden, Liberal Democratic Party (LDP)

Sumber : Madinah al-Nur

Related Posts with Thumbnails