Monday, August 9, 2010

Israel, Turki anggotai siasatan

New York, 8 Ogos 2010 – Memetik laporan berita Utusan Malaysia Online, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon melantik dua diplomat veteran dari Israel dan Turki bagi mewakili negara masing-masing dalam suruhanjaya yang akan menyiasat berhubung serangan komando Israel ke atas kapal bantuan kemanusiaan ke Genting Gaza pada 31 Mei lalu.

“Anggota panel dari Israel ialah Joseph Ciechanover manakala Turki akan diwakili Ozdem Sanberk. Kedua-dua mereka mempunyai rekod cemerlang dalam perkhidmatan awam,” kata Ki-moon (gambar) dalam satu kenyataan, semalam.

Ciechanover ialah bekas pegawai kanan di Kementerian Luar Israel, sementara Sanberk ialah diplomat yang pernah memegang beberapa jawatan kanan di Kementerian Luar Turki dan di PBB.

PBB, sebelum ini mengumumkan pembentukan sebuah suruhanjaya siasatan empat anggota yang akan dipengerusikan bekas Perdana Menteri New Zealand, Geoffrey Palmer, manakala bekas Presiden Colombia, Alvaro Uribe sebagai naib pengerusi.

Pengumuman semalam dibuat pada hari terakhir Uribe sebagai Presiden Colombia.

Ki-moon berkata, beliau akan menemui dua anggota baru suruhanjaya tersebut pada Selasa ini apabila mereka akan menyertai anggota panel yang lain.

“Saya berharap panel ini akan menunaikan mandatnya berdasarkan Kenyataan Presiden Majlis Keselamatan dan dengan kerjasama penuh daripada pihak berkuasa berkenaan di kedua-dua negara iaitu Israel dan Turki,” kata Ki-moon.

Israel sejak dua bulan lalu menolak siasatan bebas mengenai serangan ke atas flotila bantuan ke Gaza, tetapi pada Selasa lepas mengumumkan ia akan menyokong siasatan PBB mengenai serangan yang membunuh sembilan aktivis Turki itu.

Perubahan pendirian Israel itu dipercayai sebagai usaha untuk memulihkan hubungannya dengan Turki.

Suruhanjaya tersebut dijadual mengemukakan hasil siasatannya pada pertengahan September ini. – AFP

No comments:

Post a Comment


Related Posts with Thumbnails