Showing posts with label Buku. Show all posts
Showing posts with label Buku. Show all posts

Friday, June 15, 2012

Bedah Buku "Islam & Melayu"

Dengan rasa rendah hati, Gptd Unisel menjemput saudara-saudari ke Diskusi Bedah Buku pada 18 Jun 2012, Isnin | 9.00 - 10.00 mlm bertempat di Surau, Fsktm, Unisel.  Penyertaan terbuka dan percuma kepada semua. Buku yang akan dibedah pada kali ini adalah 
ISLAM DAN MELAYU | Martabat Umat dan Daulat Rakyat

Maklumat lanjut sila hubungi 013.391.7122 Shakilah 

Friday, June 8, 2012

Diskusi Bedah Buku : Islam Dalam Sejarah Dan Kebudayaan Melayu


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Gptd Unisel dengan rasa rendah hati menjemput warga Universiti Selangor menghadiri Diskusi Bedah Buku yang akan mengulas karya Syed Muhammad Naquib Al-Attas yang berjudul Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu. Diskusi ini akan berlangsung seperti berikut : Tarikh : 11 Jun 2012, Isnin Tempat : Surau Fsktm, Unisel BJ Masa : 9.00-10.00 mlm Info lanjut sila hubungi Shakilah 013.391.7122

Wednesday, January 19, 2011

Bedah Buku : Kemi cinta kebebasan yang tersesat

Judul : KEMI Cinta Kebebasan yang Tersesat
Pengarang : Dr. Adian Husaini (INSIST)
Penerbit : Gema Insani Press (GIP)
Cetakan : Pertama Oktober 2010
ISBN : 978-979-077-220-5
Mukasurat : 316 Halaman

Novel ini mengisahkan seorang santri (pelajar pondok) bernama Kemi di Pesantren Minhajul Abidin, Madiun Jawa Timur yang dipimpin oleh Kyai Aminuddin Rois (lebih dikenali sebagai Kyai Rois). Kemi merupakan pelajar yang pintar, kuat beribadah & pelajar kepercayaan Kyai Rois. Malah Kemi dijadikan tenaga pengajar santrinya.

Kisah ini bermula apabila Kemi membuat keputusan meninggalkan pesantren setelah diajak oleh senior beliau, Farsan ke Kota Jakarta untuk mengikuti pengajian di Universitas Damai Sentosa dengan diberikan biasiswa. Di sinilah Kemi terjerumus di dalam faham Liberalisme, Pluralisme, multikulturalisme & kesetaraan Gender dan terlibat dalam Jaringan Islam Liberal (JIL).

Ketika ini Kemi sudah jarang solat, solat yang terpenting adalah solat sosial (mengajak manusia untuk bersilaturahmi untuk memahami faham JIL). Menjalankan projek-projek liberal dengan mengadakan pelatihan untuk menyebarkan faham-faham yang diyakininya. Inilah ajaran agama yang diyakininya, menyamaratakan semua agama yang sangat keliru. Kemi yang yakin dengan faham yang menurutnya semua agama itu sama, sama ada Islam, Kristian, Hindu, Budha, Yahudi dan lain-lain lagi. Tuhan semua agama itu sama, hanya berbeda dari cara menusia meyakini dan menyembahnya sahaja.

Rahmat yang merupakan teman Kemi juga seorang santri kepercayaan Kyai Rois telah perasan perubahan sikap & pemikiran Kemi semasa berkunjung ke Jakarta. Maka Rahmat memaklumkan kepada Kyai Rois tentang perkembangan terkini Kemi. Rahmat anak muda yang tampan, gagah, hebat dalam bidang persilatan dan memiliki kecerdasan pemikiran yang luar biasa. Rahmat juga dipercayai menjadi tenaga pengajar di pesantren Kyai. Akhirnya Kyai Rois mengambil keputusan membenarkan misi membawa kembali Kemi ke pangkal jalan dengan cara Rahmat mengikuti pengajian bersama Kemi. Itu pun selepas Kyai Rois memberikan pelatihan khusus kepada Rahmat.

Di kuliah pertama Rahmat di Universitas Damai Sentosa adalah bersama Rektor, Prof Abdul Malikan. Prof Abdul Malikan dalam kuliah beliau menyatakan tentang kesalahan metod dalam pengajian agama-agama selama manusia beragama. Penganut melihat agama dari kacamata subjektif dari sudut pandang agama sendiri. Akhirnya ada agama yang dipandang salah & sesat. Metod ini harus diubah supaya melahirkan pandangan yang adil terhadap semua agama. Selesai syarahan kuliah, hujah profesor telah dibidas oleh Rahmat dengan hebat sekali sehinggakan Prof Abdul Malikan mati kutu.

Rahmat dalam perdebatan bersama Prof Abdul Malikan menyatakan sebagai muslim perlu melihat agama yang lain dalam sudut pandang Islam secara konsisten. Bukan menerima kebenaran Nabi Isa tidak disalib menurut Islam dan juga menerima Isa telah disalib menurut Kristian. Ini pandangan yang neutral yang keliru. Pandangan yang menggunakan teori logik John Hick. Malah menurut Rahmat, melihat agama pada sisi yang neutral juga adalah satu ideologi iaitu agama baru. Teori ini tidak menyelesaikan konflik antara agama malah menambah konflik baru.

Bidasan yang paling pedas apabila Rahmat berhujah atas faham Prof Abdul Malikan itu sendiri yang agama itu semuanya sama tidak boleh diungguli oleh satu-satu agama. Rahmat mempersoalkan Prof Abdul Malikan yang menyalahkan metod dalam memahami agama-agama kerana itu telah menunjukkan hanya faham Pluralisme Agama sahaja yang benar dan yang lain salah. Golongan liberal yang mengaku atas nama teologi inklusif-pluralis di saran agar bersikap tawaduk, jangan merasa benar & jangan salahkan orang lain tetapi mereka sendiri menyalahkan orang lain yang tidak sama pemikiran dengannya.

Rahmat menguatkan logik hujahnya dengan menyatakan orang yang menyakini agama sendiri yang benar seharusnya dihormati bukan disalahkan, Menyakini sesuatu adalah menjadi haknya. Bila ia menyakini dengan 'A' maka yang bertentangan dengan 'A' adalah salah. Tetapi jika ia menerima kedua-duanya itu sudah salah dan tidak logik.

Perdebatan tersebut mendapat perhatian teman-teman kuliah Rahmat yang baru dan tersebar seluruh kampus. Siti yang baru dikenali melalui Kemi juga mendapat tahu tentang perdebatan tersebut. Akhirnya Siti membuka rahsianya kepada Rahmat, kerana telah terperangkap dalam konspirasi disebalik agenda liberalisme. Siti akhirnya tersedar jerat yang dihadapinya dan dalam masa yang sama Siti jatuh hati pada Rahmat yang berani mempertahankan pemikiran yang murni dan sebagai titik perubahan dalam kehidupannya selain ancaman yang telah diberikan oleh Roman.

Keberanian Rahmat diteruskan dalam Diskusi Pluralisme & Gender yang pembicaranya adalah Kyai Dulpikir dari Jawa Barat. Diskusi itu mendapat liputan daripada stesen penyiaran dan media cetak. Kyai Dulpikir mengutip surah al-Baqarah ayat 62 dalam mendokong gagasan pluralisme agama dengan mengatakan, "Ayat ini membuktikan Islam adalah agama yang sangat mendukung faham pluralisme. Ayat ini membuktikan kaum Yahudi, Nasrani, Muslim dan agaman apa pun, asal percaya kepada Tuhan dan berbuat baik pada sesama manusia, yakni beramal baik, maka ia dapat pahala dari Allah SWT."

Rahmat membidas hujah Kyai Dulpikir dengan menerangkan tafsiran surah al-Baqarah ayat 62 dan al-Maa'idah ayat 69 membicarakan keselamatan Ahlul Kitab yang dakwah nabi (Islam) tidak sampai menurut yang sebenarnya dan kebenaran agama tidak nampak bagi mereka. Rahmat menambah lagi hujahnya berdasarkan surah Ali Imran ayat 199 berdasarkan tafsiran Rasyid Ridha yang menetapkan lima syarat keselamatan kepada Yahudi dan Nasrani adalah

1. beriman kepada Allah dengan iman sebenar iaitu tidak musyrikan Allah.
2. beriman kepada al-Quran yang diwahyukan oleh Nabi Muhammad SAW.
3. beriman kepada kitab-kitab yang diwahyukan bagi mereka.
4. rendah hati serta melakukan perbuatan yang dituntut oleh iman.
5. tidak menjual ayat-ayat Allah dengan kesenangan dunia.

Hujah Rahmat mengajak hadirin yang hadir dalam diskusi tersebut berfikir tentang rasional sudut pandang barat yang menganggap orang yang suka menolong adalah baik walaupun ia telanjang atau pun suka berzina kerana pada pandangan mereka zina bukanlah perkara yang buruk atas faham humanisme. Sedangkan sebagai muslim melalui syahadah seseorang perlu mengakui Allah adalah satu-satunya Tuhan dan Muhammad adalah utusan Nya.
tambah dalam soal

Selesai diskusi tersebut Kyai Dulpikir mengaku kesilapan dalam soal pemikiran liberal beliau. dan akui kehebatan Rahmat dalam berhujah. Kyai Dulpikir menitiskan air mata kerana di usia setua beliau Allah masih memberi peringatan kepadanya. Hujah Rahmat dan saran supaya bertaubat kepada Dullpikir, mengingatkan kembali nasihat anak beliau yang juga pernah mengingatkan tentang kesesatan pemikiran liberal ini. Itulah komentar terakhir beliau kepada Kemi dan kmudian beliau ditakdirkan meninggal dunia atas asbab sakit jantung.

Di hujung kisah ini, Kemi yang mendapat tahu kejahatan sebenar Roman telah meminta untuk keluar daripada kemelut tersebut dengan secara baik. Namun telah dibantah oleh Roman dan Kemi dibelasah dengan teruk sehingga dimasukkan ke hospital. Kemi tidak dapat diselamatkan kerana kecederaan yang serius. Siti bertaubat dan meminta maaf kepada bapanya atas keterlanjuran pemikirannya selama ini. Siti berazam akan membangunkan pesantren bapanya dan mengajar di sana.

Begawan Sastrawa Indonesia, Taufiq Ismail berkomentar di kulit buku tersebut : “Setelah wajah pesantren dicoreng-moreng dalam film Perempuan Berkalung Sorban, novel Adian Husaini ini berhasil menampilkan wajah pesantren sebagai lembaga pendidikan Islam yang ideal dan tokoh-tokoh pesantren yang berwawasan luas, sekaligus gigih dalam membendung gelombang liberalisme.”

-Unit Kajian



Monday, July 6, 2009

Kebangkitan Generasi Salahuddin dan Kembalinya Al-Aqsa ke Pangkuan Islam



Buku Kebangkitan Generasi Salahuddin dan Kembalinya Al-Aqsa ke Pangkuan Islam karya Dr. Majid Irsan al-Kaylani bukanlah sebuah buku yang mengisahkan tentang biografi tokoh popular dalam Perang Salib iaitu Salahuddin Al-Ayyubi semata-mata, tetapi ia lebih dari itu. Ia bermakna buku ini memaparkan fenomena gerakan kebangkitan umat Islam secara menyeluruh selama 50 tahun sehingga mampu melahirkan tokoh yang berwibawa itu. Tidak ada di kalangan ahli sejarah yang menolak bahawa kekalahan kaum Muslimin dalam Perang Salib yang berlaku pada akhir tahun ke 5 Hijrah, merupakan satu tragedi besar yang melanda umat Islam. Namun demikian, kita tidak sekadar untuk menangisi tragedi tersebut.

Sebaliknya, kita perlu merenung dan melihat kembali secara kritis, apakah faktor yang menyebabkan umat yang terbaik (khaira ummah) ini tewas, bahkan gagal untuk menghalang tentera Salib untuk mengalahkan kerajaan Islam pada waktu itu. Kesimpulannya, mungkin ada sesuatu yang 'tidak kena' dengan umat Islam pada zaman tersebut. Kemungkinan terdapatnya penyelewengan atau berkurangnya penghayatan Islam yang dilakukan oleh generasi Islam ada waktu itu.

Pengabaian agama yang mungkin dilakukan oleh pemerintah, ulama, golongan bangsawan ataupun rakyat biasa. Namun demikian, sejarah juga telah mencatatkan bahawa 90 tahun kemudian muncul Salahuddin yang memimpin tentera Islam telah berjaya merebut Hiththin yang sekali gus sebagai pembuka jalan untuk merebut kembali Palestin. Apakah sebenarnya yang terjadi? Apakah Salahuddin al-Ayyubi seorang yang diutus oleh Allah sebagai seorang pahlawan yang berjuang secara bersendirian? Jawapannya adalah tidak. Ini kerana Salahuddin juga manusia biasa yang telah dididik oleh Nuruddin Zanki pada waktu itu yang ternyata telah mempunyai visi dan misi untuk menyelamatkan Masjid al-Aqsa pada satu hari nanti. Di pihak yang lain, sejarah tentunya tidak melupakan peranan dan sumbangan ramai tokoh dan ulama yang hidup pada zaman itu seperti al-Ghazali, Abdul Qadir Jailani, Ibnu Qudamah al-Maqdisi dan sejumlah nama-nama ulama besar lain, yang telah berjaya mendidik dan melakukan perubahan dalam bentuk revolusi mental ke arah paradigma pemikiran dan pendidikan umat.

Tokoh-tokoh ulama dan pemerintah pada waktu itu telah berjaya mengikis sifat-sifat buruk umat, mengekang berlakunya perpecahan di kalangan umat dalam pelbagai bentuk seperti aliran kebatinan, mazhab, perbezaan aliran fikah ataupun tasauf. Segala perbezaan yang besar dan boleh memecahbelahkan umat telah berjaya diketepikan demi membentuk umat yang bersatu dan menghayati nilai-nilai Islam dan boleh membawa kemenangan Islam dan untuk mengalahkan musuh Islam. Sesungguhnya pengarang buku ini telah membicarakan tentang Salahuddin al-Ayubbi yang merupakan 'salah seorang' tokoh dari satu generasi yang telah mengalami proses pendidikan dan perubahan. Satu generasi yang lahir bagi mengubati kesilapan lampau yang telah dilakukan oleh umat sebelumnya.

Sehubungan itu, siapakah lagi tokoh-tokoh yang turut menyumbang dalam proses pengukuhan umat yang ternyata berjaya mengembalikan kegemilangan umat? Dari manakah perubahan itu dimulakan? Bagaimanakah cara mereka menghalang merebaknya penyakit-penyakit umat yang tersebar melalui fanatik mazhab, sufisme pasif, tasawuf, kebatinan dan juga penyimpangan pengajaran dari tokoh-tokoh ulama yang berwibawa? Bagaimanakah mereka berjaya membina penyatuan amal dan fikir sehingga melahirkan perpaduan yang kukuh dan mantap dalam segenap generasi dan mengubahnya ke arah kekuatan yang terbilang?

Ini adalah di antara perkara-perkara yang dibincangkan dalam buku ini dan ternyata jawapan-jawapan yang dihuraikan oleh pengarang boleh dilakukan oleh kita. Sesungguhnya buku ini adalah buku wajib oleh setiap Muslim sekali gus juga sebagai buku awal yang perlu dibaca untuk mengerakkan tindakan ke arah 'berubah atau rebah' seperti mana yang disebutkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, baru-baru ini.

''Pengarang buku ini telah membicarakan tentang Salahuddin al-Ayubbi yang merupakan 'salah seorang' tokoh dari satu generasi yang telah mengalami proses pendidikan dan perubahan. Satu generasi yang lahir bagi mengubati kesilapan lampau yang telah dilakukan oleh umat sebelumnya"

Sumber : http://www.mindamadani.my/

Jom ke Pesta Buku Selangor 2009


Related Posts with Thumbnails