Thursday, August 19, 2010

Malaysian Relief lancar tabung mangsa banjir Pakistan

Kuala Lumpur, 16 Ogos 2010 – Malaysian Relief Agency (MRA) hari ini melancarkan ”Tabung Mangsa Banjir Pakistan” buat berjuta-juta mangsa bencana banjir terburuk yang menimpa negara itu sejak Julai.

Presidennya, Datuk Dr. Abdul Razak Kechik berkata, usaha ini dapat membantu MRA menyediakan dan menyalurkan bantuan kecemasan yang amat diperlukan seperti tempat berteduh (kanvas), selimut, pakaian, makanan, peralatan dapur, kit kebersihan dan ubat-ubatan.

"Dianggarkan enam juta penduduk Pakistan mengalami masalah berkaitan makanan, tempat berteduh dan bekalan air bersih. Keperluan dan bantuan kemanusiaan ini perlu disalurkan dengan segera memandangkan musim sejuk yang hampir tiba dalam dua bulan lagi,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sumbangan untuk tabung ini boleh disalurkan melalui akaun Tabung Mangsa Banjir Pakistan Maybank di nombor 5640-9820-6365.

Menurutnya, sebelum ini kerjasama pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) tempatan Islamic Relief Agency (Isra) dan Pakistan Islamic Medical Association (PIMA) mula membantu mangsa-mangsa banjir di lapangan dengan penghantaran bantuan kecemasan dan perubatan di dua kawasan operasi MRA yang terjejas teruk iaitu Nowshera dan Charsadda di wilayah North West Frontier Province.

Penyelaras Bantuan Kecemasan MRA, Mohd. Shahrulazilan dan Pengarah Perubatan Kecemasan MRA, Shahrizal Azwan akan berlepas ke Pakistan pada Khamis bagi menguruskan penghantaran bantuan dan meninjau lebih dekat keadaan mangsa banjir di sana. – Bernama

No comments:

Post a Comment


Related Posts with Thumbnails