Monday, August 30, 2010

Hadith : Bertakwalah

"Bertakwalah kamu terhadap perkara-perkara haram nescaya kamu menjadi manusia paling beribadah. Redhalah dengan apa yang ditentukan Allah kepadamu nescaya kamu menjadi manusia paling kaya."

Riwayat Tarmizi

Thursday, August 26, 2010

Konflik Malaysia-Indonesia: Hormati Rukun Muafakat

KENYATAAN MEDIA

PERSATUAN KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA (PKPIM)

24 Ogos 2010/ 14 Ramadhan 1431 H

KONFLIK MALAYSIA-INDONESIA: PKPIM DESAK HORMATI RUKUN MUAFAKAT

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) merujuk kepada tindakan kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat (BENDERA) yang dilaporkan telah melemparkan najis ke dalam perkarangan kedutaan termasuk bendera Malaysia sambil dipijak-pijak dalam satu tunjuk perasaan di kedutaan Malaysia di Jakarta.

PKPIM menggesa agar agar seluruh mahasiswa dan generasi muda Indonesia supaya bertenang dan jangan sama sekali terpengaruh dengan tindakan provokasi murahan yang sengaja diadakan oleh pihak tertentu untuk menjerumuskan umat Islam kedua-dua negara ke dalam konflik yang direncanakan.

Justeru, PKPIM mendesak agar seluruh anak muda khususnya mahasiswa Indonesia agar sama-sama menghormati lima Rukun Muafakat dan pendirian bersama yang dicapai sebagai panduan dan inisiatif untuk mencari titik noktah kepada pertikaian dan persengketaan yang telah berlarutan. Baca seterusnya...

Lima Rukun Muafakat tersebut telah dipersetujui antara pihak Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) yang mewakili seluruh pelajar Malaysia dan Persatuan Pelajar Islam Indonesia (PII) yang mewakili seluruh pelajar Indonesia atas keinsafan berdasarkan hakikat bahawa terdapat usaha untuk memecahbelahkan rumpun Melayu-Islam antara kedua-dua negara.

Lima rukun permuafakatan dan pendirian bersama yang telah ditandatangani pada 11hb September 2009 bersamaan dengan 20 Ramadhan 1430H oleh Presiden kedua-dua persatuan ini telah menegaskan lima perkara yang seharusnya dijadikan sebagai pendirian sikap antara mahasiswa kedua-dua negara.

Kelima-lima Rukun Muafakat berkenaan adalah:

1) Menginsafi nilai persaudaraan Islam dan persamaan rumpun Melayu antara rakyat Malaysia-Indonesia dalam berhadapan dengan pelbagai isu yang melibatkan kedua-dua negara.

2) Memberi keutamaan kepada pendekatan yang bersifat musyawwarah, diplomasi, perbincangan dalam menghadapi sesuatu isu yang melibatkan kepentingan bersama.

3) Menjauhi sebarang tindakan yang bersifat emosi semata-mata di mana akhirnya menjurumus kepada kekerasan dan kebuntuan dalam mencari jalan penyelesaian.

4) Menyeru generasi pelajar kedua-dua negara untuk memupuk persefahaman yang ampuh dan jitu dalam semua aspek termasuk kebudayaan, idealisme, ekonomi, sosial, keselamatan dan sebagainya.

5) Melahirkan generasi pelajar Malaysia- Indonesia sebagai agen penyatu masyarakat kedua-dua negara sekiranya terdapat sebarang konflik terkemudian yang timbul.

Maka, atas rasa tanggungjawab, PKPIM mengharapkan agar lima rukun ini sentiasa dihormati dan disemangati oleh anak muda kedua-dua buah negara memandangkan jalinan pertalian antara kedua-dua negara seringkali dilihat rapuh dan goyah.

Dalam perkembangan berkaitan, PKPIM sentiasa mengalu-alukan medium perbincangan dan rundingan untuk kita bersama-sama tamatkan sebarang bentuk dan usaha provokasi yang sentiasa mahu dinyalakan oleh pihak tertentu.

Sumber : PKPIM

Ulasan Presiden

Kami mengalu-alukan dan bersetuju dengan Rukun Muafakat yang telah dinyatakan oleh PKPIM dan PII yang menyarankan dialog antara kedua buah negara yang latar sejarahnya yang unik dan mirip serumpun. Maka tidak wajarlah perkara tersebut di seret berpanjangan sehingga menjejaskan persahabatan dan semangat serantau. Berdasarkan pengalaman dan hubungan GPTD dengan NGO Islam Indonesia amatlah mengembirakan dengan sambutan dan jalinan yang terbina selama ini. Insya Allah jaringan antara Malaysia-Indonesia akan terus diikat simpul mesra atas nama aqidah yang satu.

Nota : Muhammad Izzat Chiaril Anwar merupakan Presiden Gptd Unisel yang telah mengikuti XPDC Hamka I & II ke Maninjau dan Jakarta.

Wednesday, August 25, 2010

Firman : Ujian takut dan lapar

"Demi sesungguhnya, Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut dan kelaparan, dan kekurangan dari harta denda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar (iaitu) orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. Mereka itu ialah orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikkan dari Tuhan mereka serta rahmatNya."

Surah al-Baqarah: Ayat 155-157

Sunday, August 22, 2010

Ada Batasnya...

Rutin saya setiap malam berubah apabila Miss KB (jiran sebelah) mengajak saya solat terawih di Masjid Negeri. Biasanya, kami akan ke sana berdua. Dalam perjalanan, bermacam-macamlah cerita dan isu yang kami bualkan dan bincangkan.


Satu malam, kami berbicara soal 'kerana mulut badan binasa'. Terlalu biasa di mata umum sehinggakan kita dah terlalu biasa melihat kerosakan moral dek kerana mulut yang satu itu. Bersyukur kerana Allah hadiahkan satu sahaja mulut, jika tidak...betapa ramainya umat manusia yang bakal memenuhi neraka Allah. Nauzubillah..

Cerita ini saya kisahkan secara umum, tiada kaitan dengan sesiapa. Terlebih dahulu, maaf andai terasa. Saya bercerita bukan bertujuan untuk mengaibkan, sekadar perkongsian dan muhasabah diri agar kita menjadi manusia yang tahu S.Y.U.K.U.R itu apa.

Kebangkitan mahasiswa atau kelancangan mulut mahasiswa?

Saya tabik dengan mahasiswa yang bangun menggerakkan nadi perjuangan mahasiswa dalam universiti kerana sejak zaman 70-an lagi mahasiswa dilabelkan sebagai jurubicara masyarakat. Harus diingat, mahasiswa pada waktu itu bukanlah mereka yang angkuh mendabik dada mengatakan 'Akulah yang Hebat' kerana mereka berjuang atas dasar agama dan ummah. Isu kemiskinan, bertudung, pinjaman pelajaran dan banyak lagi yang berkaitan dengan masyarakat & mahasiswa.

Sedihnya, mahasiswa sekarang lebih banyak bercakap tanpa bertindak. Nak bersuara, minta dengan pihak universiti sediakan tempat. Ish, di mana tenaga muda kita? Nak berdakwah, tak perlu tunggu di masjid. Begitulah juga bersuara, tak perlu ada mikrofon, pembesar suara, dan rostrum lagak sang ahli politik. Ish, mahasiswa ini direkrut untuk parti politikkah? Hehe

Berdesing telinga bila 'mahasiswa' bercakap soal hak mahasiswa dalam universiti, pihak pengurusan tak adil lah, tiada kebebasan dan terikat, tidak beragama, dan bermacam-macam lagi...owh, patutlah sering bersuara tidak puas hati, rupanya isu sendiri pun masih tak selesai.

Apa? Betullah kata orang dulu-dulu, 'yang pandai berkata-kata, belum tentu bijak bertindak'. Akur. Kesalahan pihak universiti dicanang-canang, tetapi hal sendiri? Solat masih chipsmore, berdua-duaan dengan buah hati, berabang sayang di Muka Buku..aduyai pemimpin kah?

Tidak salah berbicara, tapi bukan mencari kelemahan orang lain. Jika benar universiti anda masih tidak memenuhi citarasa anda, tegurlah dengan baik. Bukannya dengan mencanang sana-sini.

Renungkanlah..siapa yang akan ambil kita bekerja nanti sekiranya kita dari universiti yang rosak (seperti katanya)?

Siapa yang akan membangunkan universiti sendiri sekiranya pekung di dada telah kita buka?

Adakah orang-orang seperti ini sebenarnya mengalami masalah psikologi yang teruk? Ingatlah...kita adalah wajah universiti kita.

Berhentilah mengutuk tak tentu pasal, tak puas hati tak kena tempat.

Agama sendiri sudah ada garis panduan yang jelas. Jika pihak pengurusan salah, tegurlah dengan cara berhemah, jika masih tidak berubah, gunakan surat dan memorandum, jika masih tidak berubah bertindaklah dengan cara yang berdiplomasi. Bacalah sejarah tokoh-tokoh sebelum ini. Banyakkan membaca daripada bercakap.

Renung-renungkan.


Wan Ritini Wan Ismail adalah mantan Setiausaha Gptd Unisel yang pernah turun kelapangan umat menjejak Ibn Battutah di Lhoksemawe, Aceh Darussalam.

Surat untuk Pak Syeikh

7 Ramadhan, 10:08 malam

Pujian tidak terbatas untuk Allah s.w.t, Tuhan sarwa segala alam jagat raya dan limpahan sembah salam serta selawat ke atas baginda rasul dan keluarga baginda, para sahabat dan bagi pejuang Islam sehingga hari kiamat.

Amma Ba'du...

Salam tuan moga diberi kekuatan untuk menempuh hari mencabar di bulan Ramadhan ini dan buat hari-hari yang seterusnya, insya Allah Ta'ala. Saya dahului dengan minta maaf kerana tidak hadir dalam seminar ekonomi yang rakan-rakan kepemimpinan negeri Selangor anjurkan kepada belia 35 tahun ke bawah itu.
Maka, surat ini sebagai gantian terhadap beberapa perkara yang saya ingin cakapkan pada hari itu. Persoalan iktisad, ekonomi dan kewangan termasuk pendidikan memanglah penting.

Sekalung tahniah dan penghargaan lantaran tuan telah melibatkan kami untuk bersama-sama menyumbangkan buah pemikiran ke arah pembangunan negeri Selangor ini.

Sebagai termaklum, surat ini tidak perlu berkhutbah panjang kepada tuan kerana kita datang daripada lulusan madrasah jemaah pergerakan yang lebih kurang sama. Apa-apa yang telah dikuliahkan isinya dalam usrah ada dalam fikiran tuan juga.

Penubuhan 'Pusat Ilmu', Budaya Iqra, Budaya Ilmu dan Sekolah Falsafah Rakyat (Safar)

Bagaimanapun, setiap permulaan bicara perlu dibuat secara rasmi. Maka, saya mulakan dengan Iqra, iaitu hal yang diertikan sebagai Budaya Ilmu, yang merujuk kepada wahyu pertama turun kepada rasul kita.

Di Gua Hira' itulah buat pertama kali pencerahan ilmu tiba kepada baginda. Kemudian, 'pusat ilmu' itu sudah berpindah-pindah dari rumah baginda sendiri.

Akhirnya, 'pusat pengembangan ilmu' itu berpindah ke rumah Arqam bin Abi Arqam sebagai tempat berusrah, menukang fikiran, mendulang wahyu berhubung keimanan dan ketaqwaan.

Rumah Arqam kemudiannya menjadi tempat berbahas, berdebat, saling bertukar-tukar fikiran, tempat orang Islam terawal melagakan pendirian dan pendapatnya sendiri lalu ia menjadi markaz pertemuan, tempat rujukan dan tempat bertanyakan soalan kepada baginda rasul berhubung hal-ehwal yang bersangkutan aqidah dan hal ehwal agama yang lain.

Apakah di negeri Selangor ini ada tempat seumpama itu?

Masjid-masjid kita misalnya tidak beroperasi dalam tempoh 24 jam dan masjid-masjid itu tidaklah dilengkapi dengan pustaka. Di manakah markaz pertemuan belia-belia untuk bertukar-tukar fikiran?

Mereka tidak mempunyai tempat melabuhkan fikiran dengan baik. Sesetengah mereka berlabuh di Restoren Mamak 24 jam. Tetapi, suasana hingar-bingar dan bingit itu tidak menumbuhkan perbahasan yang sihat.

Sebab itu, kita perlukan 'pusat ilmu' yang beroperasi 24 jam. Saya namakan hal ini sebagai Sekolah Falsafah Rakyat (Safar) untuk memudahkan perbincangan buat sementara waktu.

Sebagai termaklum, kita sudah ada Sekolah Agama Rakyat (Sar), jadi Safar ini mungkin tidaklah ada gurunya tapi ia digerakkan sendiri oleh belia-belia yang berminat.

Kekuatan Safar terletak kepada pustakanya

Bahawa kekuatan Safar ini terletak kepada pustakanya seperti mana kekuatan Istac terletak pada pustakanya juga. Istac yang terletak di Jalan Duta itu sudah kehilangan serinya dengan perpindahan orang-orang terawal yang menggeraknya sudah dihentikan dan dipindahkan.

Yang ada di Istac adalah pustakanya yang tidak pernah saya masuk. Sekali peristiwa, saya pernah mendengar usaha Prof Al-Attas dan Dr Zainiy Uthman mendapat Al-Quran bertulisan Latin yang ditulis Matin Luther?

Orang-orang kerajaan tentu tidak suka sebab usaha mendapat sumber ilmu itu menelan belanja yang banyak.

Yang ingin ditegaskan di sini ialah, penyakit nafi ilmu, anti intelektualisme berkembang parah di peringkat atas, sehingga merebak ke peringkat bawahan. Dalam kes penggerak Istac, golongan bawahan yang cintakan ilmu, terpaksa bertarung bermati-matian dengan kepemimpinan yang tidak sukakan pengetahuan baharu.

Hasilnya parah! Mereka tidak berjaya, tetapi golongan cendekiawan ini tidak perlu dipersalahkan. Mereka ini telah berusaha. Tuhan memberi pahala dan anugerah kepada mereka, sesuai dengan kedudukan amalan itu.

Maka, surat ini melayangkan hasrat untuk menubuhkan 'pusat ilmu' Safar dengan kekuatan pustakanya. Belia yang berselerak di perut bumi Selangor ini bukan calang-calang orang. Anak-anak muda reformis yang handal dengan pembacaan dan mutu fikiran tumbuh bagaikan cendawan.

Mereka ini berhimpun di Facebook, Goodreads.com dan mungkin di mana-mana lagi. Saya sekadar hadir sini untuk menyampaikan hasrat penubuhan Safar itu dengan kekuatan pustakanya.

Katakan ada dalam 2, 3 buah kabin di Kelab Sultan Sulaiman, Kg Baru untuk dijadikan markaz Safar dan pustaka mereka maka itu pun sudah cukup sebagai projek awal bagi para belia yang cintakan budaya ilmu ini.

Kami sering bertemu dan berbincang mengenai buku-buku yang perlu - yang wajib, yang sunat, yang makruh dan yang haram (paling lunak, tidak digalakkan membacanya) dibaca.

Pustaka ini boleh kami isi dengan buku-buku yang menarik perhatian kami dan boleh juga kami usahakan bagi menyempurnakan pustaka Safar itu. Sekian buat kali ini. Nanti kita bincang hal lain pula, insya Allah Ta'ala.

11:42 malam, 7 Ramadhan, Sekolah Pemikiran Kg Baru.

Mengapa harus begini?

Gejala pembuangan bayi semakin menjadi fenomena yg lumrah di mata masyarakat. setiap hari, komuniti Malaysia dihidangkan dengan berita-berita sensasi, berita-berita anak dibuang oleh ibu mereka. tidak kurang daripada 1 kes dlm masa 24 jam, gejala ini semakin menular, seolah-olah tiada lagi titik noktah bagi membendung ia drpd terus merebak.

154% itu adalah statistik terkini yg telah dikeluarkan oleh PDRM mengenai peningkatan kes pembuangan anak (dikatakan statistik kes jnyh tlh brkurang, adakah membuang anak masih belum digazetkan sbg kes jnyh di bwh Kanun Keseksaan?) lupakan statistik, mari kita jenguk ke dlm realiti sbnr. 154%. itu adalah kes yg dilaporkan kpd phk polis. bagaimana pula dgn kes yg tidak dilaporkan? jika melihat kpd realiti ummat ini, saya pasti, angka 154 itu bukanlah angka yg tepat, bahkan ia melebihi peratusan statistik itu. mungkin 200%? atau bisa saja mencecah 300%.

Hedonisme

Jika diteliti, kes-kes pembuangan bayi ini melibatkan majoriti muslim (terutama melayu-islam). menyedihkan. kebenaran itu kadang-kadang pahit, tapi ia perlu ditelan. merujuk kpd kenyataan professor ungku aziz, seperti yg dilaporkan di dalam akhbar utusan (meloya) malaysia pada 14/8/2005, anak-anak melayu pada masa kini lebih cenderung dan berminat kpd gejala hiburan yg melampau. kenyataan yg tidak dapat disangkal lagi. lihat sahaja, bermula dgn bintang kecil shnggalah ke AF,MI,Mentor dll, orang melayu-islam mendominasi program2 ini sbg "bintang yg menyinari industri hbrn tanah air." jadi, janganlah disalahkan kaum lain apabila mereka mendominasi profesion di dlm bdng korporat dan profesional. sbb apa? melayu hny fikirkan hbrn (mintak maaf banyak2). hedonisme telah menjauhkan remaja2 islam drpd kerohanian. hedonisme telah mematikan hati pemuda2 islam. hedonisme telah membutakan mata dan hati syabab2 islam. siapakah yg bertanggungjawab? setiap kali dtg artis dr luar ngr ingin membuat konsert hbrn (hatta konsert itu mlnggr praturan yg ditetapkan krjaan), konsert itu ttp diluluskan oleh pihak berwajib dan berjalan begitu sahaja.pemuda2 islamlah yg "mengimarahkan" konsert2 ini.

Kurang pendidikan agama?

Benarkah hanya mereka yg kurang mendapat pendidikan agama shj yg trlibat di dalam gejala ini?pd pndngn saya, itu bukanlah satu hipotesis yg baik. realiti? mahasiswi pngajian islam universiti dan pljr sekolah menengah agama sndr turut sama "mengambil bhgian" di dalam "aktiviti" ini. mereka ini boleh dikategorikan sbg kurang pndidikan agama kah? saya tidak menafikan bhw jumlah mereka (yg dporkan) bukanlah dari golongan majoriti, tetapi ia tetap ada. dan masih berpotensi utk dilakukan oleh sahabat2 seislam mereka yg lain. tiada @ kurang penghayatan agama. saya kira itulah yg lebih bernas utk di"quote"kan. kerana mempelajari agama utk kepentingan duniawi, bljr agama sekadar utk pekerjaan, bljr agama utk title "ustaz @ ustazah," maka lahirlah golongan2 yg menconteng arang ke muka agama yg suci ini. belajar sekadar utk "exam," bukanlah utk pnghayatan hidup.

Pemuda pemudi?

remaja adalah tonggak bangsa, agama dan negara. kegagalan generasi muda menggambarkan kegagalan negara pada masa hadapan. bagaimanakah utk menjustifikasi remaja kita pada masa kini? telah gagal kah kita? atau masih ada sinar harapan utk memperbetulkan segala kekhilafan ini? kerajaan mengatakan "program2 utk pembangunan remaja penting utk masa dpn negara." lalu dirangka pelbagai program sukan, hiburan, atau dgn kata mudah, bersifat duniawi utk muda-mudi. ikon remaja terdiri drpd mereka yg memenangi anugerah hiburan (contoh:juara AF) atau memenangi acara sukan (contoh:lumba litar). pernahkah kita dengar di peringkat persekutuan, Abdullah Fahmi (juara AQ 1) dijadikan ikon remaja kebangsaan? saya sanggup menjilat ludah saya jika ada. bermula dgn ikon duniawi inilah, smngt remaja semakin berkobar-kobar utk mencari lebih banyak hiburan, dgn harapan "kamilah ikon @ idola remaja seterusnya!" lihat saja realitinya. pelajar universiti sanggup brhnti bljr utk mnjd artis! seorang pekerja sektor awam @ swasta yg telah establish kedudukannya, sanggup memeperjudikan masa depannya utk menjadi artis (dengan alasan mengejar cita-cita yg belum kesampaian)! wahai sahabatku...mengapa harus jadi begini?

Buang bayi...sampai bila?

"mungkin ini adalah bala @ peringatan drpd Allah utk umat Islam di m'sia. kita tidak diturunkan bala secara terus spt yg berlaku di pakistan, tetapi lebih berbentuk masalah sosial spy kita kmbl kpd ajaran Islam yg sebenarnya." itulah pendapat dari seorang pnsyarah saya. saya agak bersetuju dgn pndngn ini. itu merupakan satu analogi yg pada hemat saya ada hujahnya. kejebakan pemimpin2 Islam kita yg enggan mengakui kesyumulan Islam dari segala sudut mula diperlihatkan kesannya. apabila undang2 Islam ditolak, malah diperlekehkan, maka gejala2 sosial yg mengundang murka Allah mula tumbuh umpama cendawan selepas hujan. keengganan mereka meminda undang2 Islam di prngkt persekutuan menimbulkan seribu macam persoalan. apabila datang seorang non-muslim mempertikaikan keberkesanan undang2 Islam, mereka akan berdiri mencerca orang itu, malah dgn segera dipolitikkan isu itu, sedangkan merekalah antara penyebab non-muslim begitu takut dgn undang2 jnyh Islam ini. mereka memomokkan orang2 bukan ISlam dgn analogi yg menakutkan pd undang2 Islam utk meneruskan survival politik mereka. namun apabila dicabar utk digubal undang2 itu, mereka kecut perut (mungkin takut terkena pada diri mereka sendiri). sudahlah ditolak dan dipermain-mainkan undang2 Islam itu, kemudian menjamu lagi anak-anak muda di ngr ini dgn sgl bntuk hiburan. prcayalah (orang pasti akan percaya wlpn tidak diminta), balik saja konsert, rumah tumpangan menjadi tempat bermalam. lebih ekstrem, pondok di taman rekreasi pon jalan...sedihkan? selagi Islam ditolak, selagi itu masalah sosial tidak dapat diatasi. sampai bila? sampai bila perlu kita dijamah dgn berita pembuangan bayi??

Tanggungjawab remaja

sbg remaja, kita menggalas tanggungjawab dan amanah yg berat. tiada pilihan. mati di jalan Allah atau mati spt binatang yg ketuaan. tugas paling asas. dakwah. tetapi jalan ini tidak pernah mudah. perlu ada tekad dan kesabaran. tidak boleh mengharapkan hasil yg segera, jika tidak, kelak kita yg binasa. dakwah terhadap rakan2 terdekat dahulu. kemudian kembangkan usaha itu. insya-Allah. bantulah agama Allah, Allah akan bantu kita. janji Allah itu amatlah benar. sahabat2 di luar perlukan pertolongan, bantuan dan bimbingan. jika tidak mampu bergerak sendirian, satukanlah diri kita bersama jamaah Islam. semoga dengan usaha dakwah itu, akan menjadi titik tolak kpd sebuah permulaan baru ke arah memperbaiki sahsiah sahabat kita (insya-Allah).

wallahua'lam.

Friday, August 20, 2010

Hadith : kifarat

"Tidak ditimpa seseorang muslim itu daripada kepenatan, kesakitan, dukacita, kebimbangan, penderitaan, kesedihan dan tusukan duri sekalipun melainkan dengan perkara tersebut Allah Taala menjadikannya sebagai kifarat terhadap kesalahan-kesalahannya."

Riwayat Bukhari dan Muslim

Kartoon GU #3 : Rahmat+Keampunan+Merdeka


Masjid WTC: Umat Islam bukan mahu berkonfrontasi

New York, 19 Ogos 2010 - Penduduk Islam di Lower Manhattan, New York berkata, mereka bukan mahu berkonfrontasi dengan golongan yang menentang pembinaan sebuah masjid baru dekat tapak runtuhan Pusat Dagangan Dunia (WTC).

Sebaliknya mereka hanya memerlukan tempat ibadat yang selesa kerana selama ini mereka terpaksa bersolat di ruang bawah tanah yang sesak atau di tepi-tepi jalan.

Sebilangan penduduk New York yang masih trauma dengan serangan 11 September, 2001 menentang rancangan untuk membina sebuah pusat kebudayaan Islam dan masjid di tapak yang terletak dua blok dari lokasi runtuhan WTC.

Protes berasingan oleh mereka yang menyokong dan menentang projek tersebut dirancang diadakan pada hari ulang tahun kesembilan serangan itu.

Terperangkap dalam kontroversi itu ialah penduduk Islam yang bekerja di pusat bandar Manhattan dan memerlukan ruang untuk mengerjakan solat.

"Awak tahu berapa ramai umat Islam di kawasan ini? Pada setiap Jumaat, jalan di sini penuh sesak dan kami mendapat kelulusan polis untuk mendirikan sekatan jalan," kata seorang juruperunding, Saad Madaha, 32.

Dia yang berasal dari Ghana itu mengerjakan sembahyang di Masjid Manhattan, berupa ruang bawah tanah yang sempit terletak di bawah sebuah kelab malam.

"Saya ingin melihat sebuah masjid yang nampak seperti masjid. Saya ingin bersolat dengan penuh khusyuk tanpa muzik memekakkan telinga," kata Madaha.

Sesetengah penduduk Islam berkata, mereka faham mengapa projek masjid itu mendapat tentangan daripada golongan tertentu dan mereka menyokong usaha Gabenor New York, David Paterson untuk memindahkannya ke lokasi kurang kontroversi.

Namun yang lainnya seperti Madaha menyifatkan pemindahan sebagai satu penghinaan.

"Jika mereka memindahkannya, bagi saya langkah itu satu tamparan kepada agama," katanya. - Reuters

Wanita Islam saman Disneyland

Los Angeles, 19 Ogos 2010 - Utusan Online melaporkan, seorang wanita Islam memfailkan saman ke atas Disneyland yang didakwa melakukan diskriminasi kerana tidak membenarkannya melayan pelanggan kerana memakai tudung.

Jurucakap kesatuan sekerja UNITE HERE Local 11, Leigh Shelton berkata, Imane Boudlal, 26, beberapa bulan lalu meminta kebenaran majikan di Grand Californian Hotel milik Disneyland untuk memakai tudung semasa bertugas sebagai pelayan.

Jelasnya, disebabkan tiada jawapan diterima, Boudlal memutuskan untuk memakai saja pakaian menutup aurat itu sejak bermulanya Ramadan baru-baru ini.

"Disney memberitahu Boudlal sekiranya dia mahu bekerja sebagai pelayan, hijab tidak boleh dipakai kerana tidak mematuhi cara berpakaian 'Disney Look'.

"Syarikat kemudian menasihatkan Boudlal enggan membuka tudung, dia boleh bekerja di bahagian belakang yang tidak dilihat orang ataupun pulang saja ke rumah," kata Shelton dalam satu kenyataan.

Boudlal tidak mahu menuruti syarat tersebut dan membawa kes itu ke Suruhanjaya Kesamaan Peluang AS, agensi persekutuan yang mengendalikan dakwaan diskriminasi di tempat kerja.

"Tawaran mereka meletakkan saya di bahagian belakang adalah memalukan. Mereka seolah mengatakan oleh kerana saya Arab dari Maghribi dan beragama Islam, mereka tidak mahu melihat saya berada di depan," kata Boudlal dalam satu kenyataan.

Timbalan Pengarah Eksekutifnya, Ameena Mirza Qazi yang juga peguam kumpulan itu berkata, tiada alasan untuk Disney tidak membenarkan Boudlal memakai tudung di tempat kerja. - AFP

Tujuh maut serangan bom di Xinjiang

Urumqi, 19 Ogos 2010 - Utusan Online melaporan tujuh orang maut dan 14 lagi cedera di wilayah Xinjiang, barat China hari ini dalam letupan yang berlaku apabila seorang lelaki memandu sebuah kenderaan roda tiga ke arah orang ramai.

Polis menahan seorang suspek etnik Uighur di tempat kejadian di bandar Aksu, barat daya Xinjiang pada pagi ini, kata seorang jurucakap kerajaan Xinjiang, Hou Hanmin.

"Suspek dan kebanyakan mangsa adalah etnik Uighur. Dia memandu sebuah kenderaan roda tiga mengangkut bahan letupan ke arah orang ramai di satu persimpangan jalan di pinggir Aksu," katanya.

Aksu terletak dekat sempadan dengan Kyrgyzstan dan kira-kira 650 kilometer dari ibu kota wilayah, Urumqi.

Xinjiang sejak beberapa tahun lalu menjadi medan konflik etnik, termasuk rusuhan yang tercetus pada Julai tahun lepas apabila ketegangan sekian lama antara penduduk Islam etnik Uighur dengan kaum Han membawa kepada keganasan terbuka di Urumqi.

Sejumlah 197 orang dilaporkan terbunuh, beratus-ratus lagi ditangkap, kira-kira 24 orang yang kebanyakannya etnik Uighur dikenakan hukuman mati manakala nasib ramai lagi anggota etnik itu tidak diketahui dan dipercayai berada dalam tahanan.

Pada sidang media hari ini sebelum letupan itu dilaporkan, Gabenor Xinjiang, Nur Bekri berkata, kerajaan sedang giat memerangi puak pemisah di wilayah ini.

"Saya percaya kita menghadapi perjuangan yang lama, getir dan sangat rumit. Gerakan pemisah di Xinjiang mempunyai sejarah yang sangat lama, ia berlaku pada masa lalu, masih berlaku sekarang dan akan berterusan pada masa depan," kata Nur Bekri.

Beliau menganggap rusuhan yang berlaku pada 5 Julai 2009 bukanlah konflik etnik atau isu agama.

"Insiden ganas itu berpunca daripada 'tiga kuasa'," katanya dengan merujuk kepada istilah yang digunakan oleh pegawai China untuk memberi maksud keganasan, fahaman pelampau agama dan gerakan pemisah. - AP

Berkawan dengan pemimpin asing

Kuala Lumpur, 19 Ogos 2010 - Utusan Online melaporkan golongan belia yang melanjutkan pelajaran ke luar negara dicabar menjalinkan hubungan setiakawan dengan pakar atau individu yang dirasakan mempunyai potensi untuk menjadi pemimpin masa hadapan di negara tempat mereka menimba ilmu.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, beliau kecewa kerana masih ada pelajar Malaysia di luar negara yang hanya bergaul dalam kelompok rakan senegara sehingga tiada rakan dari negara asing.

"Saya pernah ke Amerika Syarikat (AS) dan mendapati mahasiswa kita hanya tinggal bersama rakan-rakan dari Malaysia. Apabila ditanya berapa jumlah kawan dari negara luar yang rapat dengan mereka, mahasiswa itu kata tiada melainkan rakan-rakan sekuliah mereka.

"Memang budaya mereka berbeza dan mungkin ada antaranya yang agak kasar. Tetapi banyak faedahnya jika anda bercampur dan bergaul rapat dengan mereka terutama apabila memasuki dunia pekerjaan atau perniagaan," katanya.

Ahmad Shabery yang juga Pengerusi Biro Hal Ehwal Luar Negara dan Kelab UMNO Luar Negara berucap merasmikan Program Prapersediaan Mahasiswa Malaysia ke Rusia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Turut hadir Setiausaha Kerja Kelab UMNO Luar Negara, Abdul Shariff Hamid; Pengarah Hospital Sungai Buloh, Dr. Khalid Ibrahim serta 98 mahasiswa yang bakal melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di beberapa universiti di Rusia.

Ahmad Shabery menambah, mahasiswa tempatan yang berada di luar negara juga perlu sedar bahawa mereka sebenarnya memainkan peranan besar untuk menentukan imej negara di mata asing.

"Saya anggap anda semua yang akan ke Rusia ini sebagai duta kecil negara. Jangan terkejut apabila anda tiba di Rusia nanti, mereka bukan sahaja tidak tahu di mana Malaysia malah hendak menyebut Kuala Lumpur pun terkial-kial," ujarnya.

Sumber : Utusan

Ulasan Setiausaha

Setuju dengan pandangan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek tentang pergaulan mahasiswa Malaysia yang terhad semasa mereka sahaja. Ini berdasarkan pengalaman kami semasa mengikuti Grup Hamka ke XPDC HAMKA I di Padang, Indonesia. Aktivis mahasiswa Indonesia ada mengutarakan isu ini. Maka peranan GPTD adalah penting dan besar dalam membina jaringan antarabangsa ke arah pembentukan masyarakat dunia yang madani. Saya sarankan juga mahasiswa Unisel untuk sering berkomunikasi dengan pelajar antarabangsa di sini.

Hdariyani Kampun adalah mahasiswa Sarjana Muda Teknologi Maklumat merangkap setiausaha Gptd Unisel dan Ketua Grup Cheng Ho.

Kartoon GU #2 : Siapakah Dia?



Thursday, August 19, 2010

Malaysian Relief lancar tabung mangsa banjir Pakistan

Kuala Lumpur, 16 Ogos 2010 – Malaysian Relief Agency (MRA) hari ini melancarkan ”Tabung Mangsa Banjir Pakistan” buat berjuta-juta mangsa bencana banjir terburuk yang menimpa negara itu sejak Julai.

Presidennya, Datuk Dr. Abdul Razak Kechik berkata, usaha ini dapat membantu MRA menyediakan dan menyalurkan bantuan kecemasan yang amat diperlukan seperti tempat berteduh (kanvas), selimut, pakaian, makanan, peralatan dapur, kit kebersihan dan ubat-ubatan.

"Dianggarkan enam juta penduduk Pakistan mengalami masalah berkaitan makanan, tempat berteduh dan bekalan air bersih. Keperluan dan bantuan kemanusiaan ini perlu disalurkan dengan segera memandangkan musim sejuk yang hampir tiba dalam dua bulan lagi,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sumbangan untuk tabung ini boleh disalurkan melalui akaun Tabung Mangsa Banjir Pakistan Maybank di nombor 5640-9820-6365.

Menurutnya, sebelum ini kerjasama pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) tempatan Islamic Relief Agency (Isra) dan Pakistan Islamic Medical Association (PIMA) mula membantu mangsa-mangsa banjir di lapangan dengan penghantaran bantuan kecemasan dan perubatan di dua kawasan operasi MRA yang terjejas teruk iaitu Nowshera dan Charsadda di wilayah North West Frontier Province.

Penyelaras Bantuan Kecemasan MRA, Mohd. Shahrulazilan dan Pengarah Perubatan Kecemasan MRA, Shahrizal Azwan akan berlepas ke Pakistan pada Khamis bagi menguruskan penghantaran bantuan dan meninjau lebih dekat keadaan mangsa banjir di sana. – Bernama

Wednesday, August 18, 2010

Kartoon GU #1 : Sukarelawan


Apa Khabar Umat Islam Itali?

Ketibaan di Lapangan Terbang Torino disambut dengan penuh mesra oleh Irfan Azri Riccardo Perlo dan isterinya Azreen Perlo. Irfan baru beberapa bulan memeluk Islam sekaligus menikahi gadis pilihan hatinya yang merupakan seorang rakyat Malaysia yang juga merupakan sahabat baik saya ketika sama-sama menyertai program pertukaran belia satu ketika dahulu.

Seperti kelaziman, pengembaraan saya ke negara-negara tertentu bukan sekadar melihat pemandangan dan kesan-kesan sejarah tetapi yang paling penting adalah menjejaki kehidupan dan perjuangan umat Islam agar dapat diselami dengan penuh kesedaran dan keinsafan seterusnya dikongsi cerita-ceritanya bersama rakan-rakan seagama dengan mereka di Malaysia.

Kembara ke bandar Torino atau Turin juga sama halnya, bukan sekadar untuk mencari Alfa Romeo atau Fiat atau Kappa atau Prada mahupun Pasukan Bolasepak Juventus, akan tetapi menyambung tali persaudaraan sejagat umat antara Malaysia dengan Itali. Dengan semangat dan nilai “Ummatisme” inilah yang saya dididik oleh sifu saya Encik Ahmad Azam Abdul Rahman agar berjiwa besar dan peduli akan nasib umat di mana sahaja mereka berada. Kita amat yakini bahawa sempadan umat Islam bukan dibatasi dengan sempadan geografi tetapi ia dibatasi dengan sempadan Aqidah Tauhid.

Kehadiran saya di bumi utara Itali ini banyak dibantu oleh kemurahan dan ketinggian budi saudara Irfan dan isteri menjadi hos membawa saya menikmati panorama bumi Turin yang dikelilingi oleh peninggalan warisan empayar Roman serta menjejaki komuniti Islam Turin.

Irfan merupakan anak jati kelahiran bumi Turin yang datang daripada keluarga beragama Katolik. “Siapa sangka cucu seorang paderi Katolik masuk Islam”, kongsi Irfan kepada saya semasa kami asyik berbual tentang latar belakang beliau dan juga sejarah kemasukan nur hidayah Islam ke dalam hati beliau. Irfan merupakan seorang ahli geologi yang sekarang bertugas dengan syarikat pembinaan terowong berpengkalan di Turin. Beliau juga pernah menetap selama dua tahun di Taiping ketika ditugaskan oleh syarikatnya untuk melaksanakan projek di situ.

Bertitik tolak daripada situ, membawa beliau kepada perkenalan dengan seorang gadis yang akhirnya menjadi permaisuri hatinya yang banyak membimbing beliau untuk hidup sebagai Muslim. Dalam beberapa sujud saya, saya tidak putus mendoakan kesejahteraan pasangan ini kerana mereka ini bagi pandangan saya, merupakan aset agama yang amat berharga kepada umat Islam Itali untuk menjadi nukleus menarik lebih ramai ‘orang putih’ Itali ke dalam Agama Allah ini.

Kehidupan umat Islam di Itali juga tidak terlepas daripada pihak yang kurang sedang dengan kehadiran serta pertambahan jumlah bilangan mereka. Archbishop Kardinal Giacomo Biffi, and Ketua Parti Pembangkang Northern League, Umberto Bossi umpamanya antara pihak yang lantang menentang pemberian hak asasi secara sewenang-wenangnya kepada umat Islam terutamanya imigran Muslim yang kebanyakkan datang dari negara Maghribi. Mereka berhijrah ke Itali semenjak 1970an atas faktor ekonomi.

Golongan seperti Biffi dan Bossi ini bertegas bahawa hak dan taraf kerakyatan harus diberikan keutamaan kepada imigran Katolik yang datang dari Filipina dan negara Amerika Latin. Namun begitu, sikap ‘xenophobic’ ini bukan sahaja kurang disenangi oleh umat Islam malahan di kalangan aktivis Katolik kerana sikap ini lebih cenderung kepada pendirian golongan ‘far right’ atau lebih menyerupai fahaman fasisme yang dipelopori Mossoulini satu ketika dahulu yang amat benci kepada pendatang asing dan imigran.

Menurut sumber Islam Online, dengan jumlah umat Islam di Itali mencecah 500 000 orang, Islam menjadi agama kedua terbesar selepas Katolik mengalahkan mazhab-mazhab lain dalam Kristian. Bilangan masjid-masjid dan pusat kebudayaan Islam di seluruh Itali semakin berkembang dan bertambah. Manakala masjid pertama di Rom, ibu kota Itali dibuka pada 1995 selepas dana pembinaannya ditampung oleh 23 negara Islam dari Algeria sehingga ke Yaman.

Hari terakhir sebelum keberangkatan pulang, dengan bantuan Irfan, sekali lagi Allah memberikan saat berharga kepada saya apabila berpeluang bertemu dan bersilaturahmi bersama Imam dan jawatankuasa Masjid Tayyibah. Sheikh Said Ait El Jide, Imam Besar Masjid Tayyibah menyambut kehadiran kami berdua. Saya sempat bertukar-tukar alamat perhubungan bersama Imam dan bertanyakan perkembangan dan perjalanan aktiviti Masjid. Menurut Sheikh Said, Masjid Tayyibah mampu menampung kehadiran 1500 jemaah pada waktu puncak Solat Jumaat.

Masjid Tayyibah merupakan masjid terbesar di Kota Turin ini dan terletak di celah-celah kawasan perumahan. Di sebelah masjid juga terletaknya pejabat Persatuan Islamiyyah al-Alb. Walaupun lawatan yang amat singkat kerana kesuntukan masa, namun ia amat bermanfaat dan berharga sebagai pertemuan mahabbah dan ukhuwwah.

Islam pernah bertapak kukuh di Kepulauan Sicily, di bahagian selatan Itali selama hampir lebih 200 tahun iaitu pada 827 sehingga 1061 masihi dan 116 tahun selepas Islam membuka Andalus. Namun umat Islam kurang berjaya menembusi Semenanjung Itali untuk penyebaran dakwah Islamiyyah.

Setelah 4 hari berada di Turin, saya meninggalkan kota yang dikhususkan sebagai International Training Capital of the United Nation System dengan penuh kenangan dan berharap dapat kembali semula untuk meneruskan jejak umat di kota-kota lain di Itali seperti Rome, Milan dan Catania Sicily yang menempatkan antara tiga masjid terbesar di Eropah.

Sumber : GPTD Spain
Related Posts with Thumbnails