Showing posts with label Al-Fatih. Show all posts
Showing posts with label Al-Fatih. Show all posts

Saturday, May 7, 2011

FATİH SULTAN MEHMET

Napoleon Bonaparte pernah berkata, “Kalaulah dunia ini sebuah negara, maka Constantinople adalah yang paling layak menjadi ibu negaranya!”

Constantinople diasaskan oleh Maharaja Byzantine, Constantine I pada 330M dengan menjadikannya ibu kota Empayar Byzantine.

Namun begitu, dikatakan kota ini telah wujud sejak zaman empayar Parsi dan Alexander Agung lagi, iaitu sekitar 667 tahun sebelum Masihi.

Tentera Salib (Crusaders) turut menjadikan Constantinople sebagai tempat berkumpul dan mendapat 'keberkatan' dari Pope, dalam ekspedisi peperangan untuk menjajah dan menindas umat Islam.

İstanbul

Pemerintah yang bertanggungjawab membuka İstanbul kepada Islam ialah Sultan Muhammad II, sultan ke-7 kerajaan Osmaniyah.

Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad, Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud:

“Pasti akan dibukakan kota Constantinople (kepada Islam); sebaik-baik pemimpin ialah pemimpinnya (yang memimpin pembukaan kota itu), dan sebaik-baik tentera ialah tenteranya.”

Pembukaan Constantinople sebagai wilayah Islam merupakan sesuatu yang sangat dinanti-nantikan sejak zaman sahabat Rasulullah S.A.W. lagi.

Hadis ini telah menguatkan lagi keazaman para sahabat dan mujahidin yang mendambakan pembukaan kota itu di tangan mereka.

Dengan izin Allah S.W.T., pada hari Selasa 20 Jamadil Awal 857H bersamaan 29 Mei 1453M, Constantinople jatuh ke tangan tentera Islam.

Sesudah berjaya menundukkan Constantinople, Sultan Muhammad II menukarkan nama kota tersebut İstanbul dan kekal nama tersebut hingga ke hari ini.

Setiap tahun, tarikh 29 Mei disambut secara besar-besaran oleh penduduk İstanbul sebagai meraikan ulangtahun pembukaan kota tersebut.

Pembukaan kota İstanbul melibatkan usaha yang bukan sedikit serta dipersiapkan dengan tentera yang gagah dan sangat berdisiplin.

Dan sudah pasti, ketumbukan tentera yang hebat ini hanya mampu dipimpin oleh raja dan panglima yang hebat, iaitu Sultan Muhammad II al-Fatih.

Fatih

Sultan Muhammad II turut terkenal dengan gelaran ‘Fatih’, yang bermaksud pembuka, kerana kejayaannya membuka İstanbul.

Kekaguman dunia terhadap pembukaan Istanbul ditambah lagi dengan usia Sultan Muhammad yang ketika itu baru mencecah 21 tahun.

Kaedah yang beliau gunakan juga adalah luar biasa, tidak terjangkau dek pemikiran biasa.

Beliau telah mengerahkan agar 70 buah kapal perang ditarik melalui bukit yang tinggi sejauh lebih 3 batu dalam masa hanya satu malam!

Teknik tersebut berjaya melemahkan semangat tentera Byzantine lalu menyebabkan kejatuhan kota tentera tersebut tidak lama kemudian.

Sultan Muhammad II al-Fatih bukan sekadar panglima yang gagah, bahkan beliau merupakan pentadbir yang bijak lagi disayangi.

Keadilannya telah menyebabkan penduduk Islam dan bukan Islam menikmati hak sebagai warganegara dengan adil.

Kebebasan beragama dinikmati semua dan rakyat hidup aman dalam negeri yang makmur.

Beliau turut mewujudkan pendidikan percuma, selain menggalakkan aktiviti ekonomi.

Pusat aktiviti sosial ini berpusat di masjid agar rakyat dapat memahami dan mengamalkan Islam dengan sempurna.

Dapur awam yang terletak berhampiran masjid diarah menyediakan makanan kepada fakir miskin secara percuma.

Kecerdasan pemikiran Sultan Muhammad turut dimaklumi dengan kemampuan beliau menguasai 7 bahasa, selain beliau sendiri merupakan seorang penyair.

Sultan yang agung ini merupakan anak kepada Sultan Murad II dengan isterinya Huma Hatun.

Dilahirkan di Edirne (Adrianople), Sultan Muhammad II telah diasuh oleh ramai ulama’ sejak kecil serta mempelajari selok belok pentadbiran negara.

Selain dari kebijaksanaan yang dikurniakan Allah S.W.T. kepada beliau, Sultan Muhammad II al-Fatih turut dibentuk peribadinya yang hebat oleh murabbi beliau, Syeikh Akşemsettin (Ak-Syamsuddin).

Antara kunci kejayaan baginda membuka kota ini adalah solat. Dilaporkan baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, solat sunat rawatib dan tahajjud semenjak akil baligh.

Selain Istanbul, beliau turut menguasai 10 wilayah lain termasuk Serbia, Bosnia, dan Albania.

Beliau meninggal ketika berusia 49 tahun dan dimakamkan di İstanbul, Türki.

Saturday, April 30, 2011

Pembinaan Masjid di Istanbul - Pengukuh Ketamadunan Uthmaniyyah


Rencana NAJMUDDIN MOHD NAWI

[Disiarkan di Utusan pada 16/09/05, tempel di sini sementara nak kirim buah tangan terkini, hehehe....http://http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0916&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm&arc=hive]

MENJEJAKKAN kaki di Istanbul, merupakan pengalaman yang amat bermakna bagi penulis. Bangunan besar dan indah, taman-taman menghijau, bandar yang turut mendapat jolokan `Bandar Menara' itu, benar-benar menggambarkan bahawa ia merupakan pusat pemerintahan kerajaan besar dunia suatu masa dahulu.

Kunjungan penulis ke Istanbul baru-baru ini merupakan sebahagian daripada gerak kerja kajian ketamadunan Turki. Ia merupakan gerak kerja bagi Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD), yang menjadikan Turki sebagai salah satu bidang kajiannya.

Projek yang dinamakan Kembara Turki ini, merupakan anjuran bersama GPTD dengan Global Peace Mission (GPM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

Ia turut mendapat sokongan INMIND & Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YPEIM).

Istanbul digelar Bandar Menara kerana banyaknya menara masjid yang terdapat di sini. Bahkan, apabila berada di sini, arahkanlah pandangan anda ke mana-mana pun, pasti anda akan melihat menara masjid!

Dikatakan setiap 400 meter di Istanbul, ada sebuah masjid. Terdapat kira-kira 3,000 buah masjid di Istanbul.

600 buah daripadanya dibina sewaktu pemerintahan Kerajaan Uthmaniyyah. Kebanyakannya dibina dalam tempoh 50 tahun, iaitu dari 1850 hingga 1900.

Bermula dengan penukaran Hagia Sophia kepada Masjid Aya Sofya, kemudian pembinaan Masjid Eyup Sultan, bercambahlah masjid-masjid di sekitar Istanbul.

Selain memenuhi keperluan orang ramai, pembinaan masjid juga dilihat sebagai usaha memartabatkan syiar Islam di Istanbul.

Apabila kita menyebut mengenai masjid di Istanbul, pastinya nama Mimar Sinan akan terkait sama. Mimar Sinan merupakan seorang arkitek yang termasyhur pada zaman Uthmaniyyah.

Beliau lahir di Anatolia pada 1489 dan meninggal sekitar tahun 1588.

Sepanjang kariernya sebagai arkitek, beliau telah membina beratus-ratus bangunan. Di antaranya: masjid, madrasah, hamam (tempat mandi awam), hospital, istana dan pancur air. Namun masjid merupakan binaannya yang paling masyhur dan berpengaruh.

Binaan lainnya yang masyhur termasuklah Masjid Sultan Salim (Selimiye Jamii) di Edirne dan Masjid Sultan Sulaiman (Suleymeniye Jamii) di Istanbul. Malah, reka bentuk beliau telah menjadi salah satu identiti Kerajaan Uthmaniyyah.

Menurut tradisi Kesultanan Uthmaniyyah, setiap sultan yang memerintah mempunyai masjid yang dibina atas namanya sendiri. Tindakan ini merupakan lambang komitmen para Sultan Uthmaniyyah terhadap perjuangan Islam.

Selepas kemangkatan sultan tersebut, baginda akan disemadikan di masjidnya. Oleh kerana itu, agak mudah melawat makam-makam Sultan Uthmaniyyah di sini, anda hanya perlu tahu nama sultan tersebut, kemudian tambahkan perkataan `jami' di belakangnya (yang bermaksud masjid), insya-Allah, anda pasti akan menemui destinasi anda.

Sebagai contoh, makam Sultan Muhammad II al-Fatih terletak di Fatih Jamii (Masjid Fatih), dan makam Sultan Sulaiman al-Kanuni (digelar Solomon the Magnificent) di Suleymeniye Jamii. Mudah bukan?

Salah sebuah masjid yang penting dalam sejarah Uthmaniyyah, bahkan juga sejarah umat Islam, adalah Masjid Eyup Sultan.

Gelaran

Eyup Sultan merupakan gelaran masyarakat Turki kepada salah seorang sahabat Rasulullah s.a.w., Abu Ayyub al-Ansari r.a.

Nama sebenar beliau ialah Khalid bin Zaid r.a. Ketika berlakunya hijrah Rasulullah s.a.w. ke Madinah, Baginda bermalam di rumah Abu Ayyub al-Ansari setibanya di Madinah.

Manakala tapak yang berhadapan dengan rumah beliau, Rasulullah s.a.w. jadikan sebagai tapak Masjid Nabawi yang ada hingga sekarang.

Abu Ayyub wafat pada tahun 668 Masihi, lebih 800 tahun sebelum peristiwa pembukaan Istanbul.

Sebaik saja Sultan Muhammad II al-Fatih berjaya menguasai Konstantinople, baginda menukar nama wilayah tersebut kepada Istanbul.

Baginda maklum bahawa makam Abu Ayyub al-Ansari berada di sekitar Istanbul tetapi tidak mengetahui lokasinya yang tepat. Lalu baginda mengerahkan agar gerakan mencari makam tersebut dilakukan.

Makam Abu Ayyub r.a. ditemui di luar pinggir kota Istanbul. Lalu Sultan Muhammad II al-Fatih mengarahkan pembinaan Masjid Eyup Sultan yang juga menempatkan makam Abu Ayyub al-Ansari r.a. pada 1485 Masihi.

Kawasan sekitarnya pula dinamakan Eyup Sultan, sebagai memuliakan beliau.

Sultan Muhammad II al-Fatih turut terkenal sebagai Sultan yang menjadi kebanggaan Kerajaan Uthmaniyyah khususnya, dan umat Islam umumnya. Baginda merupakan sultan ketujuh daripada Kerajaan Uthmaniyyah.

Pembinaan masjid pada zamannya bukanlah sekadar tempat ibadat umat Islam, tetapi fungsi masjid telah diangkat sebagai pusat kegiatan masyarakat.

Menurut Prof. Dr. Mehmet Maksudoglu dalam bukunya, Osmanli History 1289-1922, Lord Kinross menerangkan bahawa al-Fatih, setelah menjadikan Hagia Sophia sebagai Masjid Besar Aya Sofya, turut memerintahkan agar dibangun bazar berbumbung bersama ratusan kedai dan gedung, dengan ribuan kedai dan pasar yang ada di jalanan.

Apabila al-Fatih mendirikan masjidnya, iaitu Masjid Fatih, terdapat lapan buah madrasah di sekitarnya yang memuatkan seramai 600 orang pelajar setiap hari.

Selain madrasah tersebut, terdapat juga sekolah untuk kanak-kanak, sebuah perpustakaan, dua hostel untuk musafir, sebuah dewan makan, dapur yang menyediakan makanan untuk orang miskin dan sebuah hospital.

Hospital ini memberi perkhidmatan secara percuma kepada masyarakat. Begitu juga dengan madrasah, pendidikan diberi secara percuma. Selain itu, di kawasan-kawasan sekitar masjid juga dibina hamam. Terdapat juga kuburan di kebanyakan masjid yang dibina sewaktu zaman pemerintahan Uthmaniyyah.

Secara simboliknya, dapat dibaca satu cerminan kehidupan melalui pusat kegiatan masyarakat yang dibina oleh baginda Sultan Muhammad II al-Fatih.

Masjid dilihat sebagai pusat, tempat berhimpunnya semua manusia untuk menyembah Tuhan Yang Maha Esa.

Namun, setiap orang wajib membersihkan diri sebelum bersolat. Oleh itu, didirikan hamam dan tempat wuduk di kawasan sekitar dan berhampiran masjid.

Tetapi, untuk mengetahui kaedah pembersihan, cara berwuduk dan solat yang betul, seseorang itu mestilah belajar terlebih dahulu.

Maka, disediakanlah madrasah dan sekolah untuk membimbing dalam hal-hal ibadat dan ilmu-ilmu lainnya.

Untuk memastikan seseorang itu sentiasa melaksanakan ibadatnya (kerana tujuan manusia dihidupkan hanya untuk beribadat kepada-Nya - al-Quran), dia memerlukan kesihatan tubuh badan.

Oleh kerana itu hospital pula didirikan untuk memenuhi keperluan tersebut. Bagi mereka yang miskin pula, makan percuma diberikan untuk menghindari kebuluran.

Bagi menjamin pula pendidikan dan perkhidmatan perubatan percuma yang diberikan mampu berterusan, disediakan pula bazar dan gedung-gedung perniagaan.

Para peniaga yang berjaya dan tawaduk ini pula akan membayar zakat serta menyalurkannya kepada masjid serta institusi yang lainnya, bagi memastikan masyarakat sentiasa hidup dalam keadaan aman dan makmur serta mendapat rahmat dan keredhaan-Nya.

Dengan menjadikan masjid sebagai pusat kegiatan masyarakat melalui pelaksanaan di atas, tidaklah hairanlah bagaimana kerajaan ini mampu bertahan selama 600 tahun lebih serta mampu membangunkan tamadunnya selaras dengan ajaran Islam.

Namun, pada zaman akhir pemerintahan Kerajaan Uthmaniyyah ini juga menunjukkan betapa benar janji-Nya kepada manusia, apabila manusia itu lalai dan leka serta menjadikan dunia sebagai matlamat utama kehidupan, akan hancurlah manusia.

Demikianlah yang terjadi kepada Kerajaan Uthmaniyyah apabila orientasi kerajaan untuk membina tamadun Islami dan menjaga kebajikan masyarakat bertukar kepada kehidupan pemerintah yang mewah serta melalaikan.

Dalam usaha kita membawa pendekatan Islam hadhari hari ini, amatlah penting untuk masyarakat Muslim hari ini meneladani jatuh-bangunnya Kerajaan Uthmaniyyah, kerajaan yang membangunkan tamadun Islami, selaras dengan keperluan insani.

Saturday, October 31, 2009

Istiadat Konvokesyen : Tahniah & Syabas kepada para graduan


Bestari Jaya, 31 Oktober 2009 - Buat kali ke-4 Unisel telah menganjurkan Istiadat Konvokesyen di Dewan Utama Kampus Bestari Jaya untuk meraikan kejayaan pelajar-pelajarnya. Akitivis GPTD UNISEL di minta untuk mengimbangi akademik dan aktiviti organisasi agar elemen inteletual dan kepimpinan seiring sejalan. Ada ramai yang cemerlang akademiknya tetapi lemah dari segi komunikasi dan kepimpinan. Sebagai aktivis masyarakat, keseimbangan tersebut dapat menambah kredibiliti dirinya dan usaha sumbangannya.

Disamping itu juga, diiringi program Festival Konvokesyen Unisel (Feskonisel) berhampiran Bangunan Canselori. Pada awalnya GPTD UNISEL, Grup Al-Fatih dijemput berkongsi tentang kajian tokoh Muhammad Al-Fatih sempena Feskonisel tetapi akhirnya dibatalkan ada sebab-sebab tertentu. Ini amat mengecewakan pihak Grup Al-Fatih dalam usaha menyampaikan mesej keunggulan Al-Fatih. Walau bagaimanapun, Grup Al-Fatih akan terus bergerak turun ke sekolah hingga ke universiti untuk meratakan gagasan dan semangat Al-Fatih.

Pimpinan GPTD UNISEL ingin mengucapkan Tahniah & Syabas kepada pelajar-pelajar yang berjaya menerima segulung kejayaan pada Istiadat Konvokesyen Kali Ke-4 2009 agar teruskan budaya ilmu di alam pekerjaan dan kekeluargaan. Lahirkanlah masyarakat yang cintakan ilmu demi membina tamadun khayra ummah (ummat terbaik).


Nota : Senarai penerima




Monday, July 6, 2009

Bagaimana Sultan Muhammad al-Fatih bebaskan Kota Istanbul




Hari ini, 546 tahun yang silam, Muhammad bin Murad melukir satu sejarah dengan menawan kota yang sangat kuat pertahanannya - Konstantinapol. Tulisan ini cuba melihat bagaimana seorang pemimpin seperti Muhamad Murad yang kemudiannya diberikan gelaran Muhammad Al Fatih, telah berjaya dilahirkan. Adakah di sana satu metod tertentu untuk mencetak pemimpin seperti beliau dan bagaimanakah cara untuk berbuat demikian.

Keperibadian Sultan Muhammad Al-fatih

Peribadi dan kepimpinan Muhammad Al Fatih menunjukkan beliau mempunyai ciri berikut;

a. Asuhan dan disiplin Islam yang kuat.
b. Mempunyai matlamat hidup yang ingin dijayakan
c. Kehendak yang kuat
d. Sabar dan ketahanan ruhani yang kuat
e. Pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk misinya, atau mendapatkan bantuan pakar dalam bidang masing-masing bagi tujuan melengkapkan skil berkenaan.
f. Ibadah dan pergantungan yang kuat dengan Pencipta

Teknologi Pertahanan Konstantinople


Sebelum isu ini dikupas lebih lanjut, kita tinjau dulu bentuk pertahanan Kota Konstantinapole itu sendiri yang sangat menakjubkan;

Kota ini berbentuk tiga segi. Dua bahagian kota menghadap laut iaitu Selat Bosporus dan Laut Marmara. Bahagian daratan dilingkungi oleh sebuah benteng yang sangat kukuh;

a. Bahagian luar kota dilingkungi oleh sebuah parit besar. Dalamnya 10 meter dan
lebarnya 60 meter.
b. Ada dua tembok iaitu tembok luar dan tembok dalam. Tembok luar sahaja setinggi
25 kaki dan setebal 10 meter.
c. Tembok dalam pula setinggi 40 kaki tinggi dan 15 meter tebel.
d. Terdapat menara kawalan sepanjang tembok dalam dengan ketinggian 60 meter!
e. Terdapat 400 battalion tentera terlatih mengawal tembok ini sepanjang masa.

Dengan kedudukan pertahanan seperti itu, hampir mustahil untuk tembok ini dicerobohi.

Di bahagian laut pula, terdapat rintangan rantai besi yang kuat di letakkan di Selat Bosporus yang digunakan untuk menghalang kapal-kapal melepasinya. Konstantinapole telah menjadi ibu kota Empayar Bizantin untuk berkurun-kurun dan dikenali sebagai kota yang paling makmur dan terkaya di Eropah. Ia terletak di pertemuan antara Asia dan Eropah dan Laut Mediterranean dan Laut Hitam. Justeru, ia sangat strategik baik dari segi perdagangan mahupun geo politik.

Mesej Rasulullah

Sejak Rasulullah s.a.w mengungkapkan bahawa nanti Kota penting ini akhirnya akan jatuh di tangan seorang pemerentah yang terbaik, memimpin tentera yang terbaik sepanjang zaman, telah banyak percubaan dibuat untuk menawan kota ini, namun tidak berjaya. Sahabat seperti Abu Ayub Al Ansari juga telah berusaha dan mereka telah mengepung kota ini selama tujuh tahun, tetapi masih gagal.

Hanya 800 tahun selepas sabda Nabi yang Mulia itu, sabda yang menakjubkan ini menjadi kenyataan. Sultan Muhammad bin Murad yang kemudian lebih masyhur dengan gelaran Sultan Muhammad Al Fatih telah memulakan pengepungan ke atas Konstantinapole pada hari Khamis, 5 April 1453 dan berjaya membuka kota ini pada 29 Mei 1453, hari tulisan ini dipostkan.

Jangka masa Penaklukan sedari baginda Kanak-Kanak

From Grup Generasi Al-Fatih | GPTD Kelantan

Sungguhpun pengepungan ini berlangsung selama hampir dua bulan sahaja, program penaklukan ini telah berjalan lama!

Ia bermula apabila bapa Sultan Muhammad Al Fatih, Sultan Murad memilih guru-guru yang terpilih untuk mendidik anak raja ini, yang waktu itu, seorang anak yang nakal.

Sejak berumur sembilan tahun, Sultan Muhammad telah mengalami pendidikan disiplin yang ketat. Rasa bebas dan nakal sebagai anak raja yang masih kecil mula berakhir apabila bapa baginda memberikan kebebasan kepada guru-guru beliau untuk membentuk dan mendidik Muhammad.

Rotan turut digunakan oleh gurunya untuk mendisiplinkan anak ini. Dalam satu kejadian, Muhammad telah sengaja dirotan dengan teruknya tanpa sebarang kesalahan yang dilakukan oleh beliau. Tujuan guru beliau berbuat demikian ialah untuk membentuk perasaan belas kasihan dan sikap adil dan saksama dalam jiwa bakal Sultan ini. Supaya nanti baginda dapat mengambil keputusan berpaksikan keadilan dan memahami perasaan orang-orang yang tidak diperlakukan dengan adil!

Sultan Muhammad dibimbing untuk menghafal Al Qur'an. Dilatih untuk sembahyang malam. Dibentuk menjadi wara' dan zuhud. Diasuh mencintai ilmu dan ulama'. Mempunyai budi pekerti yang baik dan perasaan yang halus. Keunggulan pendidikan keruhanian Sultan Muhammad ternyata apabila baginda akan dilantik menggantikan bapanya secara rasmi sebagai pemerentah Kesultanan Uthmaniah, beliau menangis teresak-esak. Gurunya lah yang telah mengarahkan beliau menerima tanggungjawab itu atas hujjah bahawa se orang berkaliber seperti beliau wajib memikul amanah ummah dan itu jihad dan ibadah yang lebih besar.

Pendidikan Sultan Muhammad di istana baginda hampir komprehensif. Sebagai bakal raja dalam persekitaran Eropah dan pusat perdagangan dan diplomatik, baginda dapat berbahasa lebih dari lima bahasa. Sudah tentu baginda fasih dalam bahasa Arab.

Baginda juga diajar matapelajaran sejarah, geografi dan astronomi. Pakar ketenteraan juga diundang untuk memberikan pendedahan ketenteraan kepada beliau.

Strategi Penaklukan

Lama sebelum program pembebasan Konstantinapole dimulakan, Muhammad Al Fateh telah berbincang dengan pakar sejarah dan ketenteraan mengenai sebab-sebab kegagalan ekpedisi penawanan Konstantinapole sebelum ini. Apa rahsia kekuatan pertahanan kota itu dianalisa. Bagaimanakah caranya untuk mengatasi halangan-halangan itu juga dibincangkan.

Dari perbincangan itu, antara lain mereka mengenal pasti hal berikut;

a. Dinding tembok itu terlalu tebal dan pada waktu itu belum ada teknologi yang boleh meruntuhkannya. Sultan Muhammad telah mengarahkan dicari satu teknologi yang boleh meruntuhkan tembok itu.

Tentera baginda akhirnya berjaya mencipta meriam yang paling canggih dengan bantuan seorang pakar senjata bangsa Hungary yang telah diculik dari kurungan dalam penjara Konstantinapol dengan mengorek lubang bawah tanah yang dalam dan panjang!.

From GPTD | Cawangan Kelantan


Berat setiap meriam ciptaan baru ini ialah 700 pauns! Ia perlu ditarik oleh 100 ekor kuda dan seratus orang tentera. Bila diletupkan, bunyinya boleh didengar sejauh 13 batu! Setiap tembakannya akan menyebabkan tembok yang kuat berlubang seluas enam kaki. Nah! Benteng besar itu sekarang telah menemui ruasnya.

b. Rantai besi yang kuat yang dirintangi menghalang laluan kapal. Ia menghalang bantuan dan pergerakan melalui laut.

Sultan Muhammad telah mencipta satu plan luar biasa mengatasi halangan ini. Ia adalah antara rekod sejarah yang menakjubkan dari segi kreativiti dan kekuatan keinginan seorang pemimpin. Baginda mengarahkan pembinaan kapal di daratan. Dibuat pada sebelah malam supaya tidak disedari oleh musuh. Mesti disiapkan dalam masa yang singkat. Kapal ini diluncurkan dari daratan sejauh 5km ke lautan dengan meletakkannya tergelunsur di atas batang-batang kayu yang telah diatur dan telah diminyakkan untuk melicinkan perjalanan kapal-kapal itu.

Pada masa yang telah ditetapkan, kapal-kapal ini dilancarkan dari daratan dan muncul di depan Kota Konstantinapole sebelah lautan dengan melepasi rantai besi yang telah terpasang! Ia memeranjatkan tentera musuh. 400 kapal musuh terbakar dan serangan dari lautan berjalan serentak dengan pengepungan sebelah daratan.

c. Lazimnya bila tentera sampai di pantai menghadap Kota ini, mereka terdedah kepada serangan musuh kerana kawasan yang terbuka dan jika sekiranya satu benteng pertahanan mengelakkan serangan hendak dibina, ia memakan masa selama setahun.

Sultan Muhammad telah mengarahkan benteng pertahanan menghadap tembok kota Konstantinapole itu dibina dalam masa tiga bulan dengan menggunakan segala teknik pembinaan semasa yang canggih. Benteng Rumeli Hissari dibina di tebing sebelah Eropah, lebih kurang 5 batu dari Kota Konstantinople di mana Selat Bosphorus adalah yang paling sempit. Ia dibina bertentangan dengan Benteng Anadolu Hisar di tebing sebelah Asia yang telah dibina oleh Sultan Bayazid Yildirim dahulu.Ia memang berjaya disiapkan seperti direncanakan.

Dari mana kekuatan keinginan seorang pemimpin ini diperolehi oleh Sultan Muhammad? Gurunya bukan sekadar menyuntikkan kekuatan ruhani kepada bakal Sultan in, tetapi juga telah menyuntik sikap terbuka terhadap teknik dan teknologi baru yang diperlukan untuk misi mereka. Mereka juga menyuntik sikap berminda strategik dan kreatif.

Sultan Muhammad dapat menganalisa dengan tepat permasaalahan dan mencari jalan penyelesaian terhadap setiap permasalahan itu secara praktikal sebelum melancarkan misinya.

Visi Misi yang Jelas

Tetapi yang paling penting, sejak kecil lagi guru-guru baginda telah membentuk minda baginda untuk merasakan dirinya lah yang disebutkan oleh Rasulullah s.a.w sebagai raja terbaik yang memimpin tentera terbaik yang akan dapat membebaskan Konstantinbapole. Sasaran, visi dan misi yang jelas, yang disuntikkan ke dalam minda banginda ternyata berkesan. Dari kecil, Sultan Muhammad mengimpikan bagindalah pembebas itu!

Baginda bergerak selari dengan impian ini. Akhirnya, ia adalah sebuah kenyataan.

Dari sudut kepimpinan, bapa baginda seorang yang berpandangan jauh. Sejak umur 14 tahun, Muhammad telah diminta menguruskan empayar dengan alasan, bapanya ingin menumpukan kepada ibadah. Namun, dalam dua keadaan kritikal, bapa baginda pulang semula untuk memimpin Kerajaan Uthmaniah. Selepas ancaman kritikal itu diatasi, Muhammad diberikan peluang untuk menguruskan semula empayar yang sedang berkembang itu.

Melalui pendedahan berbentuk bimbingan ini, Muhammad terlatih menjadi pemimpin yang berkualiti. Ditambah, sepanjang hayat baginda, guru-guru baginda yang menjadi rujukan keruhanian dan kebijaksanaan, sentiasa bersama baginda. Hatta, ketika pengepungan kota itu berlangsung, gurunya mengimamkan solat hajat semua tentera Sultan Muhammad.

Melihat 150,000 tentera Islam berbaris rapi untuk bersolat di luar kota itu, cukup untuk menakutkan musuh yang sedang berkawal dalam kota!

Pada hari pembukaan Kota Kontantinapole yang bersejarah itu, Sultan Muhammad bersujud syukur. Sepanjang kempen, baginda tidak putus-putus mengarahkan tenteranya bertakbir dan melaungkan slogan-slogan bersemangat, termasuk motivasi berasaskan hadis Nabi bahawa Konstantinapole akan dibebaskan oleh tentera yang terbaik dan merekalah tentera terbaik yang dijanjikan oleh Nabi itu.

Pembinaan Karakter berasaskan Solat


Pada kali pertama solat Jumaat hendak didirikan di dalam Kota Konstantinapole yang baru sahaja dibebaskan, timbul pertanyaan siapa yang layak menjadi imam solat Jumaat yang pertama itu. Baginda memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya berdiri dan diikuti pertanyaan:

“Siapa di antara kita sejak baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardhu walau sekali sila duduk!”. Tiada seorang pun yang duduk, kerana tidak seorang pun di antara mereka pernah meninggalkan solat fardhu.

Pertanyaan seterusnya, “Siapa di antara kita yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib sila duduk!”. Sebahagian daripada tenteranya duduk.

Kemudian Baginda bertitah, “Siapa di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam, sila duduk!”.

Kali ini semuanya duduk, kecuali baginda sendiri sahaja yang tetap berdiri! Subhaanallah! Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, Solat Sunat Rawatib dan Solat Tahajjud sejak baligh. Tepatlah janji Rasulullah s.a.w dan kota ini kemudian bertukar nama kepada Instanbul.

Sang Murabbi yang mendidik Muhammad Al-Fatih

Sekarang, marilah kita mengenali secara ringkas guru-guru yang berjasa besar membentuk Sultan Muhammad.

Pertama, Ahmad 'ibn Ismail Al-Kori: Guru istimewa ini menunjukkan role model kepada Sultan Muhammad. Seorang yang wara', tidak menyembah Sultan sama seperti orang lain memberikan tunduk hormat, memanggil nama Sultan dan kerabat mereka dengan nama mereka masing-masing tanpa sebarang panggilan gelaran, Bersalaman dengan mereka tanpa mencium tangan mereka.

Sepanjang Ramadhan, Sultan Muhammad menghadhiri kelas mentafsir ayat-ayat Al Qur'an yang diadakan di istana baginda selepas solat zuhur, dengan guru-guru yang bersilih ganti.

Ahmad ibn Ismail lah yang mengajarkan Al Qur'an, hukum-hukum agama dan kepatuhan padanya. Ia juga membentuk rasa taqwa dalam jiwa Sultan Muhammad dengan berbagai cara, termasuk nasihat-nasihat yang berkaitan dengan tugas pemerentah.

Kedua ialah Sheikh Muhammad bin Hamzah al-Rrouhy,
lebih dikenali sebagai Ba'q Shamsuddin. Beliau meninggalkan kesan yang sangat mendalam terhadap keperibadian Sultan Muhammad. Beliau telah menginspirasikan Sultan MUhammad meningkatn aktiviti dakwah dan keislaman di bawah Empayar Othmaniah sebagai satu cara memperkuatkan empayar tersebut.

Beliaulah yang paling giat meyakinkan Sultan Muhammad bahawa beliau adalah raja terpilih seperti yang dimaksudkan oleh Rasulullah s.a.w dalam sabdanya itu. Selain mengajarkan teras-teras ilmu Islam, Shamsuddin juga bertanggungjawab mengajar sains, matematik, sejarah, strategi perang, astronomi dan lain-lain.

Beliaulah yang telah merotan Muhammad di masa kecil tanpa sebab. Beliaulah yang mententeramkan Sultan Muhammad yang menangis kerana enggan menjadi raja. Beliaulah yang telah ditanya oleh Sultan Muhammad samada beliau boleh bersara selepas lama memerentah kerana ingin menumpukan kepada ibadah tetapi dijawab, ibadah sebagai Sultan yang adil adalah lebih berharga lagi.

Shamsuddin meletakkan insipirasi dalam dada Sultan, memberikan baginda tujuan dan misi pemerentahan yang jelas dan bersama baginda sehingga cita-cita itu tercapai. Kerana itu lah, beliau dikenali sebagai Penakluk Ruhani Konstantinapole. Guru yang merancang lahirnya seorang pemimpin dan terukirnya sebuah sejarah. Insan pada sisi lain Sultan Muhammad Al Fatih.

sumber : Blog Husam Muda | Cetusan Hati


* Datuk Paduka Husam Musa merupakan mantan Ketua Biro Siswazah Muda ABIM Kelantan.


Related Posts with Thumbnails