Saturday, October 31, 2009

Istiadat Konvokesyen : Tahniah & Syabas kepada para graduan


Bestari Jaya, 31 Oktober 2009 - Buat kali ke-4 Unisel telah menganjurkan Istiadat Konvokesyen di Dewan Utama Kampus Bestari Jaya untuk meraikan kejayaan pelajar-pelajarnya. Akitivis GPTD UNISEL di minta untuk mengimbangi akademik dan aktiviti organisasi agar elemen inteletual dan kepimpinan seiring sejalan. Ada ramai yang cemerlang akademiknya tetapi lemah dari segi komunikasi dan kepimpinan. Sebagai aktivis masyarakat, keseimbangan tersebut dapat menambah kredibiliti dirinya dan usaha sumbangannya.

Disamping itu juga, diiringi program Festival Konvokesyen Unisel (Feskonisel) berhampiran Bangunan Canselori. Pada awalnya GPTD UNISEL, Grup Al-Fatih dijemput berkongsi tentang kajian tokoh Muhammad Al-Fatih sempena Feskonisel tetapi akhirnya dibatalkan ada sebab-sebab tertentu. Ini amat mengecewakan pihak Grup Al-Fatih dalam usaha menyampaikan mesej keunggulan Al-Fatih. Walau bagaimanapun, Grup Al-Fatih akan terus bergerak turun ke sekolah hingga ke universiti untuk meratakan gagasan dan semangat Al-Fatih.

Pimpinan GPTD UNISEL ingin mengucapkan Tahniah & Syabas kepada pelajar-pelajar yang berjaya menerima segulung kejayaan pada Istiadat Konvokesyen Kali Ke-4 2009 agar teruskan budaya ilmu di alam pekerjaan dan kekeluargaan. Lahirkanlah masyarakat yang cintakan ilmu demi membina tamadun khayra ummah (ummat terbaik).


Nota : Senarai penerima




Friday, October 30, 2009

Ibadah Qorban dari Pulau Kokos, Australia

Pulau Kokos, 30 Oktober 2009 - Penduduk Melayu Islam di Pulau Kokos, Australia berhajat menunaikan ibadah qurban pada tahun ini. Mereka telah menyatakan hajatnya kepada Saudara Mohd Kamarul Arifin Bin Mohd Wafa, Ahli Majlis Tertinggi GPTD Pusat. Beliau merupakan aktivis GPTD yang pernah berkhidmat di Pulau Kokos sebagai imam dan guru di sana. Buat kali pertamanya, hajat tersebut disalurkan kepada pengurusan GPTD UNISEL sebagai wakalah atau wakil kepada penduduk Melayu Islam Pulau Kokos. Insya Allah seekor lembu dan kambing akan ditumbangkan atas tujuan itu. Perbincangan telah pun dilakukan bersama Pengarah Pusat Islam Unisel bagi urusan pelaksanaan penyembelihan yang dijangka dilaksanakan pada hari keempat di Kampus Bestari Jaya.

- Unit Media

Penasihat
Harapnya aktivis GPTD UNISEL dapat turut ke lapangan membantu urusan penyembelihan dan agihan kepada sasaran yang memerlukan. Terima kasih kepada GPTD Pusat kerana memberi kepercayaan kepada kami.



Wednesday, October 28, 2009

Seluar panjang haram di Aceh

Banda Aceh, 28 Oktober 2009 - Akhbar Kosmo melaporkan, wanita Islam di daerah Aceh Barat akan diharamkan memakai seluar panjang ketat dan jean berikutan pelaksanaan undang-undang baru, kata seorang pegawai semalam. Bermula pada tahun depan, wanita yang memakai seluar panjang atau jean yang dianggap terlalu ketat akan diminta menukar kepada skirt labuh yang diberikan oleh kerajaan.

Seluar panjang yang dipakai oleh wanita itu akan digunting menjadi helaian kecil. "Jika didapati ada wanita yang ingkar, seluar mereka akan digunting serta-merta dan digantikan dengan skirt yang disediakan secara percuma oleh pemerintah Aceh Barat," kata ketua daerah itu, Ramli Mansur.

"Peraturan itu bukan sahaja untuk golongan wanita, malah lelaki turut dilarang memakai seluar pendek," tambahnya. Namun, peraturan itu akan dilaksanakan di kawasan yang mempunyai ramai penduduk Islam dan dilaksanakan berdasarkan cadangan daripada ulama. "Kami masih menghormati hak penduduk bukan Islam dan mereka tidak perlu bimbang," kata Ramli.

Menurutnya, seluar panjang boleh dipakai di dalam skirt selagi tidak ada bahagian buku lali yang terdedah. "Kami tidak akan menghalang wanita daripada memakai seluar panjang. Apa yang dilarang ialah seluar panjang ketat dan jean. "Jika mereka terpaksa memakai seluar panjang, ia perlu melindungi buku lali dan dipakai dalam skirt labuh," katanya. - AFP

Sumber : Kosmo

Ulasan Penasihat :
Perhatian kepada Grup Cheng Ho yang merancang untuk pengkajian tokoh Cheng Ho di Aceh harapnya mengambil penting perkara ini. Usaha pemerintah Aceh adalah suatu yang baik dan sesuai dengan busana muslimah yang mengikut syariat. Mungkin daripada sekarang sudah boleh mula untuk dibiasakan. Adakah perkara sebegini juga boleh diusulkan kepada pentadbiran Hal Ehwal Pelajar?


Jufitri Joha dikurnia anak ke-2


Negeri Sembilan, 28 Oktober 2009 - Pengerusi GPTD Pusat, Sdr Jufitri Joha telah dikurniakan cahaya mata putri yang kedua awal pagi tadi. Isteri beliau melahirkan anaknya di Negeri Sembilan tanpa kehadiran suami di sisi. Sdr. Jufitri sedang melanjutkan pengajian sarjananya di Universiti Durham, UK dalam bidang kerja sukarelawan belia. Dijangkakan akan tamat pengajian dalam tempoh setahun, insya Allah. Pimpinan GPTD UNISEL mengucapkan tahniah kepada Sdr Jufitri atas kelahiran anak kedua dan semoga berjaya dalam pengajian akademiknya.

- Unit Media




Tuesday, October 27, 2009

Persediaan XPDC Hamka

Bestari Jaya, 27 Oktober 2009 - Mesyuarat gerak kerja XPDC Hamka telah diadakan di Perpustakaan, UNISEL semalam. Penasihat, Encik Izwan Suhadak juga turut hadir mempengerusikan agenda. Tinggal 63 hari sahaja lagi untuk sampai kepada tanggal 28 Disember 2009. Aktivis akan mengadakan siri pertemuan setiap minggu sebagai persediaan mental, fizikal & spiritual untuk tiga minggu terakhir sebelum peperiksaan akhir. Bedah buku Hamka juga akan dilaksanakan dalam usaha untuk memahami pemikiran Hamka di mana setiap aktivis akan menghadam satu buku daripada karya beliau.

Fasa sekarang adalah mencari dana untuk personal dan grup. Sasaran penajaan kumpulan adalah sebanyak RM5000.00 yang akan disumbangkan kepada 120 pelajar Pesantran Buya Hamka dalam bentuk bantuan makanan. Semoga kesungguhan dari kalangan aktivis dapat menjayakan XPDC Hamka. Pertemuan dengan Global Peace Mission akan diadakan pada minggu berikutnya untuk penyelarasan program yang sesuai dilakukan di sana selepas gempa bumi. Dijangkakan aktiviti lebih bersifat kaunseling, pengurusan stress dan trauma.





Saturday, October 24, 2009

Catatan Laskar Pelangi



Terima kasih kepada mereka yang telah memberikan peluang untuk saya menonton filem yang sungguh berharga ini. Permulaan, klimaks, dan pengakhirannya memang bermanfaat. Tiada ruang untuk saya ke mana-mana sehingga tamatnya lagu Laskar Pelangi nyanyian Nidji.

Ceritanya ringkas. Tetapi olahan dan juga mesej yang cuba disampaikan cukup jelas dan membawa kita menerokai alam kanak-kanak yang masih lagi tercari-cari erti hidup. Dalam keperitan, kemiskinan, dan segala kesusahan yang dihadapi oleh anak-anak Sekolah Dasar Muhammadiyah (SD Muhammadiyah), akhirnya mengajar mereka sebuah kehidupan yang benar-benar bernilai.



Semangat dan kecekalan Pak Harfan dan Buk Muslimah telah membawa mereka mengejar impian yang mampu untuk digapai oleh semua orang, dengan syarat..punyai daya juang yang tinggi dan usaha yang tidak putus-putus. Paling penting adalah berserah sepenuh hati kepada Allah.

Kata-kata Pak Harfan benar-benar melekat di hati saya "Sekolah ini adalah sekolah di mana pendidikan agama, pendidikan budi pekerti, bukan sekadar pelengkap kurikulum."

Pernyataannya tegas. Tetapi penuh berhikmah. Inilah yang wajar diterapkan dalam sukatan pelajaran di sekolah mahupun di universiti. Dalam kita sibuk mempersiapkan murid untuk membina bangunan yang tersergam indah, jangan dilupa pada manusia yang kita bangunkan. Bukan hanya pemikiran..tetapi jiwa dan akidah.

Sahsiah anak-anak perlu dibentuk sedari mereka kecil. Jangan sampai tiba waktu rebung menjadi buluh. Yang ingin kita lahirkan dalam masyarakat adalah manusia yang mempunyai kemantapan dari segi agama dan akhlaknya. Penerapan nilai-nilai agama tidak terbatas hanya di kelas agama semata-mata, malahan semua kuliah boleh menyelitkan unsur-unsur rohani ke dalam jiwa para pelajar. Seperti pagi tadi, bagaimana Dr. Saibah menyebut tentang kadar degupan jantung yang sangat hebat ciptaan Allah dengan salah satu tajuk Project Paper kami semester hadapan. Menarik!

Jelas, proses pengekalan kemerdekaan ini jauh lebih sukar dan jalannya berliku tidak seperti impian semalam. Laskar Pelangi seharusnya menjadi suatu sarwa pandang yang jelas. Permulaannya adalah dengan menyediakan para pemuda-pemudi dengan perkara berunsur ilmiah, bukannya hiburan yang melalaikan sehingga membawa mereka terbang di awangan. Nah,titik tolaknya bermula di alam kampus.

"Kekuatan itu dibentuk oleh iman, bukan jumlah tentera"-Pak Harfan
**Bila agaknya mahu ke kedai buku? Bilakah sebenarnya akan ada masa terluang? Novel Laskar Pelangi dan Sang Pemimpi memanggil-manggil.**


Wan Ritini Wan Ismail

Penulis adalah Setiausaha GPTD UNISEL

Sumber : http://tintapenulis.blogspot.com/


Friday, October 23, 2009

Bajet Harapan Rakyat 2010

GPTD UNISEL menyahut baik Bajet 2010 yang telah disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan rakyat pada hari ini. Antara yang menarik perhatian adalah peruntukkan RM20 juta untuk mempergiatkan aktiviti kesedaran hijau dan amalan mesra alam sekitar. Ini sejajar dengan usaha kita sebelum ini yang telah mengadakan kempen & pameran Selamatkan Dunia Baru di peringkat kampus. Selain itu, kerajaan akan merangka Akta Halal dengan usaha sama Majlis Agama Islam negeri-negeri serta memperbadankan Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) sebagai agensi di bawah Miti. Kerajaan juga akan menyegerakan Pensijilan Halal oleh Jakim menerusi usaha sama dengan institusi antarabanga bagi memperoleh pensijilan standard seperti HACCP dan GMP. Usaha ini akan menyakinkan pengguna muslim terhadap produk makanan selain dapat membantu pembentukkan jiwa yang bersih.

Juga menarik adalah seramai 30 pelajar terbaik berasaskan merit akan diberi biasiswa nasional untuk melanjutkan pelajaran ke univesiti tersohor di dunia; pinjaman PTPTN ditukar kepada biasiswa bagi pelajar ijazah sarjana muda kelas pertama mulai tahun 2010, kad diskaun tambang 50 peratus 1Malaysia untuk pelajar; pakej netbook termasuk perkhidmatan broadband percuma kepada pelajar universiti dengan bayaran RM50 ringgit sebulan untuk 2 tahun. Tindakan ini sangat menepati kehidupan kampus yang sentiasa berhadapan persoalan kewangan, pengangkutan, servis internet & kemudahan komputer untuk menyelesaikan tugasan kuliah.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata peruntukan sebanyak RM3.3 juta yang disediakan itu akan memberi manfaat dan rahmat kepada hampir 4,000 kanak-kanak OKU. Kadar elaun kanak-kanak Orang Kurang Upaya (OKU) di sekolah pendidikan khas kelolaan NGO akan dinaikkan daripada RM50 kepada RM150 sebulan mulai 1 Januari ini. Pelaksanaan ini walaupun tidak cukup tetapi memadai mengurangkan beban sedia ada. RM15 juta lagi diperuntukan kepada Tabung Kebajikan Perubatan malaysia, Majlis Hospis Malaysia, Persatuan Orang Buta bagi membantu pesakit miskin dan membiayai peralatan perubatan.

Semoga perisytiharaan Bajet Harapan Rakyat 2010 dapat diperturunkan dan diratakan pada sasaran rakyat yang telah ditetapkan dengan '0' penyelewengan dan rasuah. Insya Allah!

Thursday, October 22, 2009

Hamka Permata Nusantara

Nama sebenar HAMKA adalah Haji Abdul Malik bin As-Syeikh Karim bin As-Syeikh Muhammad Amrullah. HAMKA dilahirkan pada 13 Muharram 1362H bersamaan 16 Februari 1908, di Desa Tanah Sirah, Sungai Batang, Minangkabau, Meninjau, Sumatera Barat dan kembali ke Rahmatullah pada 24 Julai 1981 pada usia 73 Tahun di Jakarta. Beliau merupakan salah seorang tokoh pendakwah yang disegani dan dihormati di rantau Nusantara, serta seorang yang bijak dan mahir dalam bidang kesusasteraan, penulisan kreatif dan prolifik. Beliau juga adalah seorang pujangga ulung dan ahli fikir Islam yang tersohor.
Justify Full
Keperibadian HAMKA diwarisi daripada As-Syeikh Karim bin As-Syeikh Muhammad Amrullah. Bapa beliau merupakan seorang ulama terkenal yang membawa pembaharuan di Minangkabau. Hamka merupakan seorang manusia yang dikurniakan oleh Allah SWT dengan petah berpidato sehinggakan beliau pernah diberi penghormatan untuk berpidato dalam satu rencana radio Arab Saudi.

Selain itu, Hamka juga mempunyai bakat penulisan dan berjiwa seni. Ini terbukti melalui gaya bahasa dalam penghasilan karya agungnya yang indah dan sering diselitkan rangkap-rangkap pantun dan syair dalam penulisannya

Tambahan itu, beliau merupakan seorang yang BERANI menegakkan kebenaran semasa revolusi penjajahan Belanda di Sumatera, beliau telah mengatur siri pidato untuk membangkitkan semangat umat Islam menentang Belanda.

Melihat kepada PENDIDIKAN HAMKA telah dididik untuk mempelajari Al-Quran dan asas -asas agama daripada bapanya sendiri. Setelah itu, beliau telah mendapat pendidikan rendah di sekolah Desa Padang Panjang dan di sekolah agama Attawalib yang didirikan oleh bapanya sendiri. Beliau juga mengikuti pengajaran di masjid dan di surau yang disampaikan oleh ulama-ulama terkenal seperti Syeikh Ibrahim Musa, Syeikh Ahmad Rasyid, Sutan Mansur dan Kiyai Bagus Hadi Kosuma iaitu ulama terkenal Indonesia. Beliau juga amat suka menghabiskan masa lapang di perpustakaan untuk membaca buku-buku falsafah, kesusasteraan, sejarah dan politik.

Selain itu, beliau juga menggunakan kemahiran bahasa Arabnya untuk menyelidik karya-karya sarjana timur tengah seperti Jurji Zaidan, Abas Mahmud Al-Aqod dan Mustofa Almanfaluti serta karya sarjana barat yang diterjemahkan ke bahasa Arab seperti Carl Marx dan Arnold Tonybee. Melalui pembacaan itu juga, ini telah menjadikan Hamka gigih dalam mengembangkan dakwah Islamiah Di Nusantara.

Sebenarnya Hamka bukanlah seorang insan biasa tetapi dianugerahkan oleh Allah SWT kepada ummah serata alam. Ini kerana, ketika Hamka berumur 17 tahun lagi, beliau telah berdakwah dengan menerbitkan majalah Khatibul Ummah. Tambahan itu, semasa berada di Mekah pada 1927M, beliau telah menubuhkan sebuah persatuan Hindia Timur yang bertujuan untuk memberi pelajaran agama kepada jemaah haji Indonesia. Setelah itu, Hamka juga melibatkan diri dengan pertubuhan Muhammadiah dan mengetuai cawangannya di Padang Panjang. Beliau juga pada tahun 1935M, Hamka telah mengasaskan Kolej Al-Muballighin. Setahun kemudian juga, beliau menerbitkan majalah Pedoman bagi memberi kefahaman kepada masyarakat Islam pada masa itu dan semenjak itu beliau telah menerbitkan majalah berunsurkan dakwah seperti Menara, Merdeka, Pemandangan, Panji Masyarakat dan Gema Islam. Pada tahun 1953M, Hamka dilantik menjadi anggota pimpinan pusat Muhammadiah.

Sumbangan Hamka Dalam bidang Ilmu Dan Pemikiran terlalu banyak untuk diperkatakan. Antaranya, Hamka membawa pembaharuan kepada umat Islam dengan karya-karya agama, kesusasteraan dan falsafah yang menyentuh secara langsung kehidupan umat Islam. Selain itu, Hamka merupakan penerus idea Islah yang dibawa oleh Syed Jamaluddin Al-Afghani dan Syeikh Muhammad Abduh.

Beliau juga menggunakan akhbar dan majalah untuk mengajak umat Islam mengkaji sebahagian kefahaman yang bertentangan dengan Al-Quran dan As-Sunnah. Karya beliau seperti Tafsir A-Azhar telah membuka minda masyarakat Indonesia malah masyarakat antarabangsa amnya.

Untuk menghargai ketokohannya telah membawa kepada penerimaan pelbagai anugerah seperti Doktor Kehormat dari Universiti Al-Azhar, Mesir dan Universiti Kebangsaan Malaysia. Hamka juga tidak menghadkan penulisan dalam soal agama sahaja malah falsafah dan sastera. Hasil-Hasil Karya Hamka antaranya:

Dalam bidang agama

• Tafsir Al-Azhar
• Tasawuf Moden
• Panduan Mubaligh Islam
• Sejarah Umat Islam
• Revolusi Agama

Dalam bidang falsafah

• Falsafah Hidup
• Lembaga Hidup
• Fasafah Ideologi Islam
• Pandangan Hidup Muslim
• Ekspensi Ideologi

Dalam bidang sastera

• Tenggelamnya kapal Van Der Wijck
• Dibawah Lindungan Kaabah
• Laila Majnun
• Mandi Cahaya di Tanah Suci
• Menunggu Beduk Berbunyi
• Arkan Islam

Untuk menyorot perjuangan Hamka, beliau juga mengetuai Front Pertahanan Nasional untuk meyekat kemaraan Belanda di Indonesia. Selain itu, beliau menganggotai Pertubuhan Muhammadiah dan menentang khurafat, bid’ah, dan tarikat kebatinan yang sesat. Hasilnya, beliau menubuhkan Pusat Latihan Dakwah Muhammadiah bagi membendung gejala tersebut.

Hamka menggunakan penulisan dan pidato untuk meyebarkan ajaran Islam yang sebenar dan dengan menggunakan dua medium tersebut, beliau telah mengkritik kepincangan pentadbiran kerajaaan Indonesia dan ini telah menyebabkannya dipecat daripada jawatan ketua umum Majlis Ulama Indonesia (MUI).

Beliau pernah dipenjarakan bersama-sama tokoh-tokoh Majlis Syura Muslim Indonesia (MASYUMI). Namun, beliau menganggap perkara tersebut ada ujian yang menguji ketabahan dan mematangkan pemikirannya.

Penulis ialah Nor Hafiz Razali, pelajar Tahun Akhir Diploma Pengurusan Pentabdiran Unisel dan sedang melakukan Latihan Industri di Pejabat Mara Daerah Jelebu Negeri Sembilan . Merupakan aktivis GPTD yang pernah mengikuti Grup Ibn Battutah menjejak tempat persinggahan Ibn Battutah di Samudra Pasai (kini Lhoksemawe, Aceh) . Terima kasih kepada adik Muizzah atas maklumat Hamka di blog beliau.

Sumber : http://www.norhafiz73.blogspot.com/

Ulasan Penasihat:

Tahniah kepada Hafiz atas tulisan yang santai tetapi berisi. Aktivis Grup Hamka perlu lajukan kayuhan kembara agar jadi laskar pelangi. "Laskar Pelangi" adalah tajuk sebuah filem yang mengisahkan sebuah sekolah milik Muhamadiyyah (Buya Hamka antara perintis) yang dipertahankan oleh guru dan anak murid agar tidak tutup. Walaupun sekolah dalam keadaan daif dan punya 10 orang anak murid sahaja tetapi daya juang mereka menaikkan nama sekolah yang kemudian mendapat tempat dikalangan penduduk sekitarnya. "Filem Wajib Tonton" buat aktivis yang ingin membina jiwa besar!

Wednesday, October 21, 2009

Terbuka kepada ahli GPTD

Tawaran menyertai program anjuran International Movement for a Just World (JUST) kepada mana-mana ahli GPTD yang berminat.

Berikut adalah butiran program:

3rd Inter-civilizational Youth Engagement Program (IYEP3)
Ethics and the Global Economic Crisis: Pointers for the Future 22- 26 November 2009
Kuala Lumpur , MALAYSIA

Program akan disertai oleh belia-belia seluruh dunia. Ahli GPTD yang ingin menyertai program ini mestilah:

- Berumur antara 21 hingga 25 tahun
- Fasih berbahasa Inggeris (semua aktiviti dan perbincangan adalah dalam Bahasa Inggeris)

Kepada yang berminat, sila muat turun borang ini dan isikan butiran diri anda, dan emelkan kepada gptdhq@gmail.com sebelum 30 Oktober 2009.

[ Sila abaikan peraturan yang dipaparkan dalam muka surat 1 kerana GPTD dijemput khas untuk menghantar 2 orang wakil ]




Sunday, October 18, 2009

Salam takziah buat sahabat

Pimpinan GPTD UNISEL ingin mengucapkan Salam Takziah buat Nur Farahin Binti Mispul (Naib Timbalan Presiden Irakan) & Saudari Norliza Bt Mohd Johari (aktivis PPMU) atas pemergian arwah ibunda tercinta pada 17 Oktober 2009. Muga arwah ditempatkan dikalangan orang-orang yang solehah, insya Allah. Buat yang tinggal sama-sama kita doakan dan bacakan surah al-Fatihah buat mereka.

"Wahai sekalian orang-orang Yang beriman! mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah Dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) Dengan bersabar dan Dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana Sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang Yang sabar" (Al-Baqarah 2: 153)

"lalu Kami berikan kepadanya berita Yang mengembirakan, Bahawa ia akan beroleh seorang anak Yang Penyabar." (As-Shafaat 37:101)




Related Posts with Thumbnails