Showing posts with label Sekretariat. Show all posts
Showing posts with label Sekretariat. Show all posts

Tuesday, November 20, 2012

CATATAN WACANA SINAR HARIAN “Peranan Ulama Menasihati Pemimpin”

Kami bertolak dari Dewan Biru Unisel pada 3.00 petang.  Tiga orang wakil daripada GPTD  diketuai oleh Sdr Nor Hafiz Bin Razali, Sdr Muhd harris Fadhilah bin Johari dan Sdri Nur Hazzanina Bt Farizah.  Perjalanan kami ke destinasi  memakan masa yang agak lama akibat daripada kesesakan Jalan Raya pada waktu itu. Kami tiba di pusat Karangkraf Shah Alam  pada 3.40 minit petang.

Tepat 4.00 petang program dimulakan dengan Al-Fatehah oleh pengerusi majlis dan diserahkan kepada moderator untuk menguruskan Majlis Wacana Sinar ‘’Peranan  Ulama Menasihati Pemimpin’’. Dr Maszlee Malik dari UIAM bertindak sebagai moderator dalam menguruskan majlis  tersebut. Seterusnya tetamu jemputan yang di bawa khas untuk  hidangan ilmu kepada kita adalah  bekas Presiden ABIM yang juga Presiden Wardah, Datuk Dr Siddiq Fadzil; bekas Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Exco Pergerakan Pemuda Umno, Syahrin Md Jamaluddin, yang juga Pengerusi Biro Institut Pengajian Tinggi Malaysia. Pada awalnya setiap jemputan diberi masa dua minit untuk memberi hujah atau pandangan dan pengenalan terhadap tajuk utama forum wacana ini. Kemudian pusingan kedua sesi diteruskan sehingga pusingan kedua dan pusingan ketiga. Pada pusingan keempat yang menariknya di sana audien diberi peluang untuk menanyakan soalan. Sebagai penutup jemputan khas untuk wacana diberi peluang  menyimpulkan forum ini.

Sesi pertama dimulakan oleh Datuk Dr. Siddiq Fadzil beliau menceritakan siapakah ulama yang sebenarnya dan definisi seorang pemimpin. Memang sangat menarik setiap hujah yang diberikan. Memetik daripada salah satu hujah dari beliau ketika  teringat pada satu puisi seorang ibu dan ayah yang menasihati anak nya. ‘’apabila besar jadilah orang besar kerana orang besar itu habuannya banyak, orang kecil habuannya kecil, orang kecil jujur dibilang tolol,orang besar tolol dibilang jujur, orang besar bisa berbicara seenaknya, orang kecil paling-paling dibicarakan’’  beliau juga turut mengupas ciri-ciri ulama yang sebenarnya ulama adalah orang yang diangkat oleh masyarakat kerana sifat-sifat yang boleh dicontohi. Seterusnya giliran  Dr. Asri memberi hujah adalah  apakah hubungan pemimpin dengan ulama dan bagaimana ulama menegur pemerintah adakah ulama perlu menegur pemerintah secara terbuka atau tertutup. Persoalan di sini adakah ulama menegur pemerintah dengan berjumpa dengannya, atau mengkritik secara terbuka atau perlu diampu semasa menegur? Giliran ketiga merupakan Exco Pergerakan Pemuda Umno iaitu Shahrin Jamaluddin juga menyetujui pendapat yang diberikan oleh Dr. Asri. 

Dalam sesi kedua pusingan berjalan seperti biasa antara isu yang hangat diutarakan daripada Datuk Dr. Siddiq Fadzil dengan menyokong pendapat beliau berkenaan  ciri-ciri  ulama yang benar-benar ulama. Ulama yang menjadi ulama bukan orang yang mengaku dirinya ulama tetapi diangkat oleh masyarakat berdasarkan pemerhatian dan perwatakannya yang menjadi tauladan. Dengan itu, ulama yang dipilih oleh masyarakat merupakan ulama yang mewarisi sifat-sifat para anbia’ dan ulama itu yang sepatutnya dicontohi. Majlis diteruskan dengan hujah yang diberikan oleh Dr. Asri yang merupakan jemputan khas yang amat berpengalaman dalam membahaskan topik  ini. Dalam penyampaian beliau telah menyentuh tentang isu yang sangat sensitif adalah sekiranya pemimpin itu dipilih dikalangan ulama, bagaimana atau adakah pemimpin itu tidak boleh ditegur? Beliau telah memberi contoh salah satu parti di Malaysia iaitu Parti Pas. Seandainya Pas memimpin negara ini suatu hari nanti adakah pemimpin mereka tidak boleh ditegur, sekiranya hal ini telah disuburkan dalam parti itu sendiri tidak hairanlah di masa akan datang  negara ini dipimpin seperti Ayatollah. Maka, pemerintah harus bersikap terbuka untuk menerima teguran daripada ulama.  

Seterusnya, merupakan giliran Syahrin Md Jamaluddin yang menjawab soalan moderator iaitu  peranan ulama UMNO dalam menegur pemimpin UMNO itu sendiri. Menjawab  pertanyaan tersebut  setiap tahun setiap cawangan pusat akan membuat musyawarah di mana pada ketika itu mereka menegur dan membuat penilaian terhadap setiap ketua-ketua bahagian menurut kata beliau pada sidang wacana tersebut. Sesi yang ketiga diteruskan dengan pandangan yang cukup menarik daripada  Datuk Dr Siddiq Fadzil iaitu pemimpin yang dipilih merupakan orang yang berduit. Hal ini telah disuburkan didalam UMNO itu sendiri, kita dapat melihat bahawa pemimpin yang dipilih merupakan orang yang berduit. Di sini saya suka memetik kata-kata beliau “dalam politik ini  pendapat-pendapat ulama  itu tidak penting, yang penting adalah pendapatan”.  Diteruskan dengan giliran Dr. Asri untuk memberi hujah beliau adalah dengan menyambung dan menyokong  apa yang diutarakan oleh Datuk Dr Siddiq Fadzil dan pandangan beliau pada sesi yang sebelum ini. Beliau menegaskan secara santai Adakah ulama perlu menegur pemerintah secara terbuka atau tertutup? Yang membolehkan ulama menegur secara terbuka adalah jika masalah itu merupakan kepentingan awam maka, ulama harus menegur secara terang-terangan dan beradab sopan. Disebaliknya, jika masalah melibatkan perilaku peribadi harus ditegur secara peribadi dengan berjumpa dengan pemimpin itu dan tegurlah dengan adab kesopanan.

Pada sesi yang ke-empat ini audien diberi peluang tampil untuk melontarkan sebarang pertanyaan. Antara pertanyaan yang menarik minat saya adalah pemimpin  patut dipilih dalam kalangan ulama. Dr. Asri menjawab persoalan ini ulama itu boleh menjadi pemimpin sekiranya dia mempunyai sifat kepimpinan dan bukan semua ulama ada sikap kepimpinan mungkin ulama itu sendiri  ada integriti dan sifatnya diangkat menjadi ulama tidak bermakna dia boleh menjadi pemimpin. Namun sekiranya ulama itu mempunyai sikap kepimpinan maka,boleh dijadikan pemimpin. Dalam sesi membuat kesimpulan, ulasan yang cukup  bagus untuk dikongsi daripada Datuk Dr Siddiq Fadzil ialah kerajaan perlu memberi peluang kepada rakyat untuk mandiri. Beliau mengatakan rakyat terlalu bergantung dengan kerajaan nah, disini kita melihat untuk membuat Majlis Maulidur Rasul pun minta bantuan dari YB seperti yang di ulas oleh Shahrin Md. Jamaluddin. sebagai contoh institusi seperti sekolah rakyat perlu diadakan. 

Pada 6:30 petang acara yang berlangsung selama dua jam selesai. Kami bertolak pulang ke unisel dan selamat tiba tanpa sebarang kesesakan jalanraya. Di sini, kami yang mewakili GPTD mengucapkan terima kasih kepada En. Izwan Suhadak, Penasihat GPTD Unisel kerana memberi peluang untuk menghadiri majlis ini yang amat bermakna kepada kita semua. Majlis yang sangat baik dan patut dirasai budaya perbahasan dan suasana menimba ilmu seperti ini di seluruh kampus di Malaysia.

Nur Hazzanina Bt Farizah merupakan mahasiswa jurusan Diploma TESL di Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial, Universiti Selangor dalam semester dua tahun pertama. Beliau adalah Exco Unit Bahasa di bawah Grup Pengkaji Tamadun Dunia Unisel. Boleh dihubungi melalui Facebook : Erysza Sophea.

Monday, October 22, 2012

Kuasa Minda & NLP melatih keupayaan otak

BESTARI JAYA, 20 Oktober 2012 - Kuasa Minda dan NLP telah merubah cara dan teknik berfikir para peserta yang hadir. Program yang dianjurkan oleh Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD) Unisel telah dihadiri kurang lebih 100 peserta daripada pelbagai fakulti dari Universiti Selangor Kampus Bestari Jaya. En. Fyrol Ikram Othman daripada Akademi Minda Holistik memberi penerangan terperinci fungsi dan peranan otak kanan dan kiri semasa sesi Kuasa Minda di sebelah pagi. Peserta juga dapat mengenal potensi dan karakter diri berdasarkan kecenderungan otak kanan atau kiri. Rawatan pertimbangan sunnah juga dikongsikan oleh penceramah agar dapat diaplikasikan oleh para hadirin. Beberapa orang peserta yang bertuah sempat meminta En Fyrol untuk melakukan imbas aura untuk mengesan potensi peserta. "Slot Kuasa Minda sangat mengujakan dan potensi otak yang Allah swt kurniakan perlu dimanfaatkan seoptimum mungkin", kata Cik Nurul Farhana Yahya, Pengarah Kuasa Minda.

Pada sesi petang, Bengkel Asas Neuro Linguistic Programming telah disampaikan oleh Faizal Kamal Mohamed daripada Jurulatih Akademi NLP Malaysia. Penceramah membuka slot dengan penuh ceria dan gelak ketawa peserta. Pengisian yang sarat dan padat dengan teori dan pengalaman sangat merangsang perhatian peserta. Pendekatan En Faizal yang menekankan tentang aplikasi NLP dalam kehidupan seharian memang sangat dipuji. Peserta juga telah direprogramkan minda melalui proses hipnosis bagi memberi fokus oleh penceramah. "Semoga program ini dapat memberi manfaat kepada semua peserta", kata Vilaiya Suvannarat selaku Pengarah Bengkel Asas NLP.
 
-Unit Media GU


Thursday, October 11, 2012

Bengkel Kuasa Minda


Dengan penuh rasa sukacitanya, @Gptd Unisel ingin menjemput semua untuk menyertai Bengkel Kuasa Minda pada 20 Oktober 2012 (Sabtu), 9.00 pg - 12.00 tgh di BS3, Fsktm Unisel BJ. {MAKAN&SIJIL disediakan}

Yuran Penyertaan:
RM5.00 sahaja

Anda akan pelajari :
#1. Menerokai anatomi dan fisiologi otak (mengenali bhagian-bahagian otak dan fungsi-fungsi setiap bahagian)

#2. Aqal dalam Pertimbangan Sunnah (peserta juga akan didedahkan dengan kaedah-kaedah ilmuan islam)

#3. Tips-tips belajar (kaedah mengingat, rahsia otak kanan, rahsia mata kiri dan teori tahfiz dalam biologi otak)


Semoga dengan penyertaan ini dapat memberi manfaat kepada saudara/saudari.

Berminat daftar sila taip MINDA NAMA NO KP ke
017.910.6403 (Ana) | 013.391.7122 (Zai)

Untuk menjadi ahli sila daftar di
http://bitly.com/gptdvolunteer
 

Wednesday, August 29, 2012

Anda Gila : Lawatan ke Hospital Bahagia

Dengan penuh rasa sukacitanya, Gptd Unisel ingin menjemput semua untuk menyertai LAWATAN KE Hospital Bahagia Ulu Kinta pada 10 September 2012 (Isnin), 7.00 pg bertolak dari Dewan Biru, Unisel BJ.

Aktiviti :
#1. Meninjau proses terapi mental dan jiwa
#2. Interaksi bersama doktor & pesakit

Semoga dengan penyertaan ini dapat memberi manfaat kepada saudara/saudari.

Untuk pendaftaran Taip GILA NAMA NO. KP NO. TELEFON sms ke 019.374.6553 (Yaya) | 017.246.3276 (Eira) | 019.550.7297 (Muzz).

Untuk menjadi ahli sila daftar di
http://bitly.com/gptdvolunteer.

Friday, August 10, 2012

Memburu Inspirasi Lailatul-Qadr


Apabila masuk fasa ketiga bulan Ramadan, umat Islam akan membincangkan tentang malam kemuliaan atau lebih dikenali sebagai Lailatul-Qadr. Ramai ulama yang telah membahas dengan panjang lebar berdasarkan Al-Quran dan Hadith Rasulullah saw. Surah al-Qadr menegaskan bahawa al-Quran telah diturunkan dari Luh Mahfuz (langit yang tertinggi) ke Baitul Izzah (langit dunia) pada malam Lailatul-Qadr. Ibn Abbas menyatakan bahawa al-Quran diturunkan kesemua sekali pada malam Lailatul-Qadr pada bulan Ramadan ke langit dunia.

Menurut Hamka, Lailatul-Qadr adalah satu titik mula turunnya Al Quran dan bermulalah peranan baginda Muhammad saw memberi petunjuk kepada umatnya. Pada malam itu manusia diberi kemuliaan kerana menerima pokok-pokok tauhid yang bersumberkan Al Quran yang mengeluarkan dari kegelapan kepada nur, cahaya petunjuk Allah.

Malam kemuliaan yang sangat istimewa itulah satu permulaan dan penentuan garis pemisah di antara kufur dengan iman, jahiliyah dengan keilmuan, syirik dengan tauhid. Bertepatan dengan Surah Al-Baqarah 185 yang bermaksud:

“Bulan Ramadhan adalah bulan yang padanyalah diturunkan Al Quran, menjadi petunjuk bagi manusia, dan keterangan-keterangan dari petunjuk itu dan pemisah, di antara yang hak dengan yang batil."

Di dalam Tafsir Al-Azhar, Hamka mencatatkan bahawa Abdullah bin Masud, dan Asy-Sya’bi dan Al-Hasan dan Qatadah berpendapat bahwa malam Lailatul-Qadr itu ialah malam 24 Ramadan. Manakala As-Sayuthi yang kemudian sekali dikuatkan oleh Syaikh Khudhari bahawa ianya berlaku pada 17 Ramadan.

Menurut Ibn Umar, Lailatul-Qadr berlaku pada setiap Ramadhan. Bagaimana pun ayah Hamka, Syeikh Yusuf Amrullah menyatakan pendapatnya yang sama dengan pendapat ulama yang disalinkan oleh Al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Kitab Fathul-Bari bahwa Lailatul-Qadr yang sebenarnya hanya sekali iaitu ketika mula-mula Al Quran diturunkan.

Kita memperkuat ibadat di dalam kerana memperingati dan memuliakan peristiwa malam Al-Quran diturunkan agar kita bertambah yakin memegang segala yang dianugerahkan Allah di dalam Al Quran. Begitulah yang dilakukan oleh baginda Rasulullah saw. Bagaimanapun terdapat juga riwayat yang kuat menyatakan Lailatul-Qadr itu ialah pada malam sepuluh yang akhir dari Ramadhan kerana sejak malam 21 itu nabi s.a.w lebih memperkuat ibadatnya daripada malam-malam yang sebelumnya sampai baginda bangunkan kaum keluarganya yang tertidur.

Apa pun wacananya. Misi terpenting di dalam tarbiyyah Ramadan adalah TAQWA (malah dipesan setiap Jumaat oleh Khatib). Menghayati inspirasi penurunan Al Quran (Iqra'). Meneladani peristiwa Perang Badar dan Futuh Mekah. Memburu Malam Kemuliaan. Hanya yang bertaqwa punya upaya memburu kemuliaan itu. Menepati firman Allah swt yang bermaksud:

"Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa - bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling MULIA diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling TAQWA[#] di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal" (Al Hujuraat: 13)


ABU IRSYAD
Darul Ehsan
21 Ramadan 1433


NOTA:

[#1.]
Rasulullah s.a.w. pernah menjelaskan hakikat taqwa dengan sabda baginda yang bermaksud :
"Mentaati Allah dan tidak mengingkari perintah-Nya, sentiasa mengingati Allah dan tidak melupainya, bersyukur kepada-Nya dan tidak mengkufuri nikmat-Nya".
- Riwayat Imam Bukhari dari Abdullah bin Abbas

[#2.]
Saidina Umar r.a. pernah bertanya kepada seorang sahabat yang lain bernama Ubai bin Ka'ab r.a. makna taqwa. Lalu Ubai bertanya kepada Umar : "Adakah engkau pernah melalui satu jalan yang berduri? Jawab Umar: "Ya". Tanya Ubai lagi: "Apakah yang kamu lakukan untuk melalui jalan tersebut?".

Jawab Umar : "Aku melangkah dengan waspada dan berhati-hati". Balas Ubai : "Itulah yang dikatakan taqwa".

[#3.]
"Al-Muttaqin (yakni orang-orang bertaqwa) ialah orang-orang beriman yang memelihara diri mereka dari mensyirikkan Allah dan beramal menta'atiNya". - Ibnu Abbas

[#4.]
"Orang-orang bertaqwa ialah orang-orang yang memelihara diri dari melakukan perkara yang diharamkan Allah dan mengerjakan apa yang difardhukan Allah ke atas mereka". - Hasan al-Basri

[#5.]
"Orang bertaqwa ialah seorang yang apabila bercakap, ia bercakap kerana Allah dan apabila ia beramal, ia beramal kerana Allah". - Abu Yazid al-Bustami

Wednesday, July 18, 2012

Menghayati Ramadan dengan lebih meluas


“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa..” – Al-Baqarah, ayat 183

Alhamdulillah, sekali lagi tetamu mulia bernama Ramadhan menjenguk ke dalam ruang hidup kita. Sesungguhnya hidup ini merupakan satu perjalanan, tiba di destinasinya ia akan terhenti walau apa pun usaha untuk menegahnya daripada berhenti. Syukur kepada Allah SWT, ia masih belum terhenti sehingga ke saat ini untuk membenarkan kita sekali lagi bertemu dengan Ramadhan. Syukur kerana bulan ini ialah bulan yang menjanjikan hidayah dan ganjaran yang besar buat sesiapa yang memburunya.

Ramadhan tidak usah lagi disebut sebagai bulan puasa. Kadang-kadang sebutan bulan puasa lebih terkenal dari sebutan bulan Ramadhan menyebabkan masyarakat hanya akan mengingati Ramadhan sebagai bulan untuk berpuasa. Justeru, ramai yang menganggap puasa sahaja dengan menahan lapar dan dahaga tanpa mengerjakan tuntutan-tuntutannya sudah cukup bererti di dalam menyambut Ramadhan. Ini merupakan satu kesilapan dalam memahami tuntutan Ramadhan.

Alhamdulillah kita dipertemukan kembali dengan bulan penuh rahmat dan keampunan daripada Allah swt. Saya merakamkan ucapan selamat menyambut Ramadan al-Mubarak kepada seluruh warga kampus UNISEL dan umat Islam di seluruh Malaysia. Menjadi kebiasaan kita orang Melayu mengenali Ramadan sebagai bulan puasa. Tanpa disedari sebutan yang sudah lama berakar umbi itu tidak tepat dengan pengertian sebenar Ramadan.

Ramadan bukan sekadar dihiasi dengan ibadat puasa yakni menahan diri daripada makan, minum dan apa sahaja yang membatalkan puasa kerana takrifan sebenarnya lebih luas lagi. Puasa juga sebenarnya boleh dilakukan pada bulan lain, seperti yang menjadi amalan sesetengah daripada kita iaitu bulan Rejab dan Syaaban. Sebab itulah penggunaan istilah Ramadan lebih tepat bagi menggambarkan maksud dalam melaksanakan amal ibadat sepanjang bulan penuh berkat ini.

Ramadan juga membawa maksud bulan kebajikan di mana di dalamnya ada zakat fitrah yang menjadi kewajiban dilaksanakan setiap umat Islam. Umat Islam amat digalakkan bersedekah sebagai melengkapkan amalan ibadat puasa kita di siang hari. Ini kerana di sekeliling kita ada mereka yang kurang bernasib baik. Maka pada kesempatan ini kita hulurkan sedikit sumbangan kepada mereka. Oleh itu saya mengajak umat Islam menggunakan kesempatan Ramadan kali ini bagi menggandakan amal ibadat serta memohonkan keampunan daripada Allah swt.

Akhir kata, selamat menyambut Ramadhan. Semoga Ramadhan tahun ini akan lebih mesra Qalbu bagi diri kita berbanding dengan Ramadhan yang telah berlalu.


Nor Hafiz Bin Razali
Presiden
Grup Pengkaji Tamadun Dunia Unisel

Friday, July 6, 2012

Bedah Buku : Art of Deception

Dengan rasa besar hati, Gptd Unisel menjemput peminat buku dan ilmu ke Diskusi Bedah Buku "Art of Deception" pada 9 Julai 2012, Selasa 9.00-10.00 mlm di Surau Fsktm, Unisel. Maklumat lanjut sila hubungi Shakilah Sanaani Abdullah di talian 013.391.7122.

#Lets join GPTD as a VOLUNTEER~
Sign Up here >> https://t.co/jAankwD

Friday, June 29, 2012

Bedah Buku : Hadis Satu Penilaian Semula

Dengan rasa rendah hati, Gptd Unisel ingin menjemput saudara dan saudari ke Diskusi Bedah Buku Hadis Satu Penilaian Semula karya Kassim Ahmad yang sangat kontroversi. Usaha ini adalah untuk mengkritik dan menjawab persoalan dan isu yang ada dalam buku ini. Semoga ada manfaat.

Terinspirasi daripada Surah An Nahl 16:125, "Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk"

Friday, June 8, 2012

Kenyataan Media : JANGAN PERJUDIKAN MASA DEPAN MAHASISWA UNISEL




Dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengesahkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) membekukan pinjaman kepada mahasiswa baru Universiti Selangor (Unisel) milik kerajaan Selangor adalah tindakan yang tidak matang dengan menggunakkan alasan bahawa kerajaan Negeri Selangor yang diperintah oleh Pakatan Rakyat untuk membuktikan bahawa mereka mampu memberikan pendidikan percuma di negeri itu.

Nama UNISEL sering dijadikan bahan dalam mendepani isu politik yang berlaku baru-baru ini. Baru-baru ini, timbul pula satu isu apabila Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menggantung pinjaman pendidikan kepada pelajar baru UNISEL. Masalah ini mula dikesan apabila pelajar baru sesi April UNSEL tidak dapat memohon pinjaman daripada Perbadanan Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Adakah yang ini dikatakan adil untuk memberikan pendidikan yang sempurna tanpa menggadaikan isu pendidikan. Dalam kenyataan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata kerajaan persekutuan atau Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tidak berhak membekukan pinjaman
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada pelajar baru Universiti Selangor (Unisel). Perbadanan tersebut bertanggungjawab untuk menyediakan pinjaman kepada semua pelajar seluruh Negara.

Oleh itu, kami dari Grup Pengkaji Tamadun merasa perkara ini merupakan suatu permainan politik yang jelas tidak memikirkan masa depan anak muda yang suatu masa nanti akan menjadi pewaris masa depan. Justeru memandangkan perkara ini memperjudikan masa depan mahasiswa baru yang memasuki Universiti Selangor, kami daripada barisan kepimpinan mahasiswa merasakan perkara yang jelas kurang bijak dari pembuat dasar.

Kami juga merasa terkilan dengan tindakan yang dilakukan oleh pihak kerajaan Negeri Selangor dan pentadbir Universiti Selangor lebih peka dan memahami permasalahan yang berlaku. Ini amat jelas pihak terbabit lambat bertindak dalam usaha meringankan masalah mahasiswa yang menuntut di Universiti Selangor. Keputusan pembekuan ini juga berpunca dari permintaan Pakatan Rakyat itu sendiri yang jelas mahu menwujudkan pendidikan percuma. Kami dari golongan mahasiswa juga menuntut agar keputusan segera untuk menyelesaikan masalah ini dilakukan.

Kami juga mendesak pihak-pihak berkenaan untuk mencari jalan penyelesaian untuk memelihara kebajikan dan masa depan pelajar di masa depan. Mengambil kesempatan ini, GRUP PENGKAJI TAMADUN DUNIA UNISEL (GPTD UNISEL) juga menyeru agar Kerajaan Negeri Selangor agar mengambil langkah sewajarnya untuk menangani isu ini daripada berlarutan, memandangkan ia menyentuh secara langsung imej UNISEL selaku IPT utama di negeri Selangor di samping menyentuh secara langsung kesinambungan masa depan para pelajar.

Nor Hafiz bin Razali
Presiden GPTD UNISEL


Tuesday, May 15, 2012

Malam Pengenalan GPTD Unisel


Jom kenali Grup Pengkaji Tamadun Dunia Unisel dengan lebih dekat. Program akan dirasmikan oleh Timbalan Presiden GPTD Pusat, Sdr Abdul Hakim Shabuddin. Slot khas akan membawa Perkongsian Pengalaman Jejak Patani yang baru selesai menjalankan misi luar negara pada April 2012.

Tuesday, May 1, 2012

Selamat Datang & Tahniah kepada Mahasiswa Baharu Unisel



Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum W.B.T. Dan Salam Sejahtera

Alhamdulillah Bersyukur Kita Ke Hadrat Allah SWT kerana dengan liimpah  kurnianya kemasukan mahasiswa yang baru memasuki Universiti Selangor pada sesi 3/2011-12 telah berada setapak lagi dalam kehidupan. Saya mewakili barisan kepimpinan Grup Pengkaji Tamadun Dunia Universiti Selangor (GPTD Unisel), mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada semua  para mahasiswa/i baru Universiti Selangor  kerana menjadi golongan yang bertuah terpilih melanjutkan pengajian di sini.

Saudara – saudari menjadi  keutamaan kami di Universiti Selangor ini. Untuk makluman Universiti Selangor yang ditubuhkan  pada sekitar 2009 sebagai institut pengajian tinggi yang merupakan salah satu universiti  kerajaan negeri dalam Malaysia. Mahasiswa baru juga perlu berbangga dan bersyukur dengan kemasukan ke UNISEL kerana  universiti ini salah sebuah institut yang mengaplikasikan konsep praktikal serta teori dalam pembelajaran. Oleh itu, segala peluang yang diberikan janganlah disia-siakan dan dihampakan. Tuntutlah ilmu dengan sebaik-baiknya seperti yang disarankan oleh Islam.

"Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang-orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran." (Az-Zumar:9)

Kecemerlangan anda dalam bidang akademik sangat diharapkan dari pihak universiti, ibu bapa dan semua yang berada disekeliling anda. Kecemerlangan anda di sekolah, matrikulasi, diploma, politeknik dan sebagainya perlulah diteruskan di Unisel bagi merealisasikan visi Unisel untuk “MENCORAK MASYARAKAT”.

Mahasiswa yang dikasihi sekalian,

Selain berjaya dengan cemerlang dalam bidang akademik, anda juga mestilah menjadi mahasiswa/yang sentiasa matang, berfikir di luar kotak dan menilai sesuatu setelah meneliti semua sumber pandangan pelbagai pihak selari dengan Visi Universiti Selangor untuk menjadi sebuah universiti yang terkenal yang memupuk profesional dan ilmuan dengan nilai-nilai moral dan etika yang tinggi serta misi Unisel komited untuk menyediakan persekitaran pembelajaran yang sangat baik dan kondusif untuk membangunkan kompeten, dan etika profesional serta ilmuan. Hal ini kerana mahasiswa merupakan agen perubahan bagi menentukan masa depan negara.

Kami (GPTD Unisel) sentiasa mengalu-alukan kedatangan mahasiswa baru ke kampus  ini. GPTD Unisel menawarkan segala bentuk medium yang sesuai dengan jiwa mahasiswa terutamanya dalam akademik dan kebajikan mahasiswa. Salah satu medium latihan GPTD Unisel ialah dengan latihan yang menekankan konsep AIS iaitu berdasarkan aspek penekanan aktivti yang lebih kepada aktivisme, intelektualisme dan spiritualisme serta dihubungjalinkan konsep 3M iaitu menjejak, meneladani dan memimpin.

Mahasiswa yang dikasihi sekalian,
              
Kami di sini rasa terpanggil memberi ruang fikir apabila pernah disebut oleh intelektual terkemuka, Syed Hussein Alatas khuatir akan penguasaan masyarakat sedang membangun oleh orang-orang bebal, iaitu revolusi orang-orang bebal. Antara ciri orang-orang bebal termasuklah ketidakmampuan menganalisis masalah, ketidakmampuan menyelesaikannya jika masalah itu dikemukan kepadanya, ketidakmampuan mempelajari apa yang diperlukan, ketidakmampuan mempelajari seni belajar, dan tidak mengakui kebodohanannya. Justeru, platform GPTD Unisel menawarkan kepada mahasiswa untuk berpartisasi menyerlahkan proses penambahan proses pembelajaran berasaskan pengetahuan, skil kendiri  serta pelbagai proses yang lebih praktikal berdasarkan teori-teori yang lebih ditekankan dalam bilik-bilik kuliah.

Kami meraikan keterujaan anda di kampus dengan tangan terbuka serta menerima anda sebagai ahli keluarga  kami. Ini kerana berada di kampus adalah sangat berbeza dengan suasana sekolah. Anda akan berjauhan daripada ibu bapa, duit biasiswa atau pinjaman akan diberikan dalam 4 angka, pengaruh kawan-kawan dari pelbagai latarbelakang. Oleh itu, kami bersedia bersama anda mengharungi pancaroba, cabaran dan rintangan di kampus untuk memastikan anda tidak hanyut dan tenggelam di dunia kampus.

Akhir kata dari saya mewakili pimpinan GPTD Unisel mengharapkan mahasiswa baharu dapat menempuh dunia kampus dengan jayanya dan prinsip budaya ilmu menjadikan nadi utama untuk anda terarah di kampus. Salam Mahasiswa Pewaris Masa Depan.

Sekian, terima kasih.

“Menjejak,Meneladani dan Memimpin”


NOR HAFIZ BIN RAZALI

Presiden GPTD Unisel


Bertarikh: 8 Jamadil’akhir 1433 H bersamaan 30 April 2012
Kemaskini 1 Mei 2012

Sunday, February 12, 2012

Latihan Memanah


Gptd Unisel akan menganjurkan Latihan Memanah pada 25 Februari 2012 (Sabtu). Terhad kepada 20-25 peserta sahaja. Bayaran RM15 hanya melibatkan kos penggunaan kelengkapan memanah moden serta tunjuk ajar oleh Jurulatih Profesional. Pengangkutan dan jamuan tidak disediakan. Terbuka kepada semua. Info lanjut boleh sms ELDA 010.269.3310 atau ACAP 017.711.5392. tq:)

Thursday, October 27, 2011

Awas Peperiksaan di hadapan


Kepemimpinan GPTD Unisel mengucapkan Selamat Berpesta Peperiksaan bagi semester 1/2011/2012 untuk pelajar arus perdana. Semoga peperiksaan di dewan peperiksaan akan melahir diri menghadapi peperiksaan yang lebih real dan mencabar iaitu peperiksaan dunia sebenar dan akhirat. All the best! Jangan lupa FORMULA Kejayaan= Doa+Usaha+Ikhtiar+Tawakal

Saturday, October 8, 2011

Pemetaan Komuniti GPTD @Kg Rantau Panjang

Sukarelawan GPTD akan mendokumentasikan PEMETAAN KOMUNITI di Kg Rantau Panjang bagi mengangkat realiti masyarakat desa semasa. Jika berminat untuk sertai PEMETAAN KOMUNITI sila hubungi/sms wakil GPTD di talian 010.269.3310

Tuesday, September 20, 2011

Jom sertai GPTD di Festival Kelab & Persatuan

Bestari Jaya, 20 September 2011 - Sempena Festival Kelab & Persatuan anjuran Majlis Perwakilan Pelajar GPTD akan membuka pendaftaran keahliannya. Jangan lepaskan peluang keemasan untuk menjadi sukarelawan GPTD untuk berbakti di dalam dan luar negara. Sukarelawan boleh memilih grup yang diminati mereka seperti Grup Wali Songo, Grup Ibn Battutah, Grup Hamka, Grup Al-Fateh, Grup Said Nursi, Grup Cheng Ho dan Grup Jejak Pattani. Beberapa program yang akan dilaksanakan pada tahun 2012 adalah XPDC Hamka II, XPDC Wali Songo II, XPDC Ibn Battutah dan Jejak Pattani II.  Antara program lain yang pernah dilaksanakan oleh GPTD adalah Bedah Filem Laskar Pelangi, Bedah Buku : Minda Tertawan, Diskumi Al-Amin, Kutipan derma kilat mangsa kebakaran, LAWAT - Lawatan Rumah Ibadah. Bagi mengenali organisasi ini dengan lebih dekat boleh layar Info  dan Foto. Maklumat lanjut sila hubungi 010.269.3320 Hani.

-Unit Media

Related Posts with Thumbnails