Friday, July 30, 2010

Mengenal Peribadi Buya Hamka


BEST @Kg Seri Tiram Jaya & Kg Parit Serong

Tanjong Karang, 25 Julai 2010 - Bengkel Asas Sukarelawan (BEST) telah menutupkan tirainya dengan tamatnya sesi perlatihan seramai 33 orang aktivis muda daripada pelbagai disiplin ilmu. BEST berlangsung di Kg Seri Tiram Jaya sebagai Pusat Operasi manakala sebagai praktis teori pula diadakan Kg Parit Serong bersebelahan. Walaupun pada awal perancangannya adalah di Kg Sg Gulang-Gulang, tetapi disebabkan beberapa hal program Keluarga Angkat & Pemetaan Komuniti tidak dapat dilaksanakan. Namun atas perbincangan dan mengambil hikmah atas apa yang berlaku GPTD Unisel meneruskan program kepada seperti yang dirancang cuma tiada keluarga angkat sahaja. Peserta yang hadir sedikit kecewa tetapi selepas beberapa sesi modul mereka dapat menerima keadaan tersebut.

"Kalau mengikut kepada realiti aktivis di lapangan, perkara ini memang dijangka kerana itu kita kena sentiasa bersedia dengan alternatif kedua dan seterusnya." kata Pengarah Program, Sdr Nur Aqliah. Ini berdasarkan kepada pengalaman kami di Maninjau, Indonesia. Antara slot yang terkesan kepada para peserta ketika bacaan wasiat kepada rakan seperjuangan. Ada dikalangan mereka menitiskan air mata kerana sangat terkesan. Selain itu, sesi Pemetaan Komuniti merupakan slot yang dinanti-nantikan untuk turun kelapangan mempraktiskan ilmu yang telah diperolehi. Banyak pengalaman semasa sesi temubual bersama masyarakat kampung, ada yang melucukan para peserta. Keramahan warga Kg Seri Tiram dan Kg Parit Serong kepada peserta seperti sebuah keluarga angkat yang besar.

GPTD Unisel mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pakcik Azahari selaku Ketua JKKK Kg Parit Serong kerana sudi menyambutkan walaupun pada saat-saat akhir. Tidak lupa juga kepada Ust Tohid dan Ust Maarof yang turut bantu menjayakan program ini. Insya Allah, jika ada kesempatan lain kami akan turun untuk program keluarga angkat di sini.

-Unit Media


Travelog : Bengkel Asas Sukarelawan @Kg Seri Tiram Jaya

GPTD Unisel telah mengadakan Program Bengkel Asas Kesukarelawan (BEST) peringkat GPTD Unisel pada 23-25 Julai 2010 bertempat di Kg Tiram Jaya, Tanjung Karang, Selangor. Pada perancangan awalnya program ini akan dijalankan di Kg. Sungai Gulang-Gulang dengan program anak angkat tetapi terpaksa dibatalkan pada saat-saat akhir akibat masalah teknikal daripada pihak kampung Sungai Gulang-Gulang. Kami beralih tempat ke Kg. Tiram Jaya untuk melakukan pemetaan komuniti.

Program BEST ini telah disertai oleh 33 orang mahasiswa Unisel dan kami berangkat ke Kg Tiram Jaya pada pukul 3 petang. Kami sampai di Kg Tiram Jaya pada pukul 3.45 petang. Para peserta diberi penerangan ringkas mengenai tentatif program oleh Hdariyani Kampun. Kehadiran penuh diambil dan peserta dibahagikan mengikut kumpulan. Peserta dibahagika mengikut kumpulan tokoh seperti Cheng Ho, Ibnu Battutah, Wali Songo, Hamka, dan Al-Fateh. Setiap kumpulan dianggotai oleh lima peserta.

Selepas sesi pembahagian kumpulan, peserta mengikuti sesi ice-breaking di dalam kumpulan. Hal ini bertujuan untuk sesi taaruf diantara ahli kumpulan. Pelbagai permainan dimainkan di dalam kumpulan untuk mengeratkan hubungan antara ahli. Selepas itu, peserta solat asar berjemaah dan bersiap untuk minum petang. Sesi pada petang itu diteruskan lagi dengan aktiviti gotong royong membersihkan kawasan surau dan tempat penginapan peserta.

Aktiviti gotong royong berakhir pada pukul 6.45 petang. Para peserta dibenarkan untuk membersihkan diri dan bersiap sedia untuk solat maghrib berjemaah. Selesai sahaja solat Maghrib berjemaah, kuliah maghrib diperdengarkan oleh fasilitator program Hdariyani Kampun. Selepas itu peserta dibenarkan untuk makan malam beramai-ramai dan seterusnya solat Isyak berjemaah dan bersedia untuk slot yang seterusnya.

Slot pada malam itu diteruskan lagi dengan aktiviti bersama kumpulan. Aktiviti pada malam itu berkisahkan cerita si pekak, bisu, buta, kudung kaki dan tangan serta manusia sempurna. Permainannya begini, manusia yang sempurna akan menyamppaikan mesej kepada si kudung dan seterusnya kepada si bisu , si pekak dan akhir sekali kepada si buta. Tujuannya adalah untuk menyatakan mesej yang tepat itu perlu dalam setiap perkara dan ingin peserta merasai sendiri perasaan orang yang kurang upaya dalam menempuh kehidupan. Slot pada malam itu berakhir pada jam 11.00 malam. Para peserta dibenarkan untuk berehat dan menunggu untuk aktiviti keesokan harinya.

Hari kedua, Sabtu 24 Julai 2010 dimulakan dengan solat Subuh berjemaah. Jiwa terasa tenang apabila bersujud pada yang Esa. Kami kemudiannya menghadiri kuliah Subuh sebelum menjamu sarapan. Kuliah Subuh pada pagi itu adalah berkisarkan niat seseorang individu dalam segala hal. Kami kemudiannya beriadah bersama-sama. Permainan Serangan 1 Ummah sangat menarik apabila dimainkan beramai-ramai.

Selepas bersarapan, kami kembali ke dewan untuk mengikuti slot LDK yang seterusnya. Slot LDK pada pagi ini diteruskan apabila para peserta diajar untuk mencari isu dan lebih peka dengan persekitaran. Mereka dikehendaki untuk mencari isu yang biasa terdapat di Unisel dan membuat perbentangan di dalam kumpulan untuk mempertahankan hujah mereka. Slot ini sangat menarik apabila ada respon antara peserta. Pelbagai cadangan dan permasalahan yang diutarakan.

Slot itu dihentikan sementara untuk memberi laluan kepada para peserta untuk minum pagi. Lima belas minit kemudian mereka berkumpul semula di dalam dewan untuk sesi LDK yang seterusnya. LDK seterusnya ialah peserta diberi taklimat untuk menghadapi situasi-situasi yang tidak dijangka. Hal ini adalah untuk memudahkan para aktivis semasa berada di luar Negara kerana tidak semua yang kita rancang akan terjadi.

Seterusnya, setiap kumpulan diberikan situasi yang berbeza dan mereka diminta untuk melakonkan situasi tersebut secara spontan. Antara situasi yang diberi ialah cara untuk menghadapi orang tua yang suka bercakap, situasi di dalam bas di mana terdapat dua remaja yang tidak suka bertolak ansur, cara untuk menghadapi orang yang tidak waras, panduan yang betul untuk menegur pasangan bercinta, dan teguran untuk orang yang suka membuli dan dibuli. Para peserta sangat sporting dalam melakonkan situasi yang diberi. Suasana pada pagi itu gamat dengan sorakan dan gelak ketawa para peserta.

Selepas itu, para peserta dibenarkan untuk menjamu hidangan tengahari dan bersiap sedia untuk solat Zohor berjemaah. Pada pukul 2.00 petang, para peserta dibenarkan keluar daripada kawasan surau untuk melakukan pemetaan komuniti di Kg Sungai Gulang-Gulang. Tujuannya adalah untuk mendapatkan maklumat penduduk di kawasan tersebut. Mereka juga dikehendaki untuk mencari isu atau masalah yang ada untuk diutarakan kepada penghulu kampong. Setiap kumpulan diberi peta dan mereka dibahagikan kepada arah-arah yang berbeza.

Setiap kumpulan perlu melantik ketua, juru pandu, setiausaha, juru lukis peta, dan penunjuk arah. Setiap seorang daripada mereka memegang tanggungjawab yang berbeza-beza. Pemetaan komuniti berakhir pada jam 5.00 petang. Peserta berkumpul semula di Dewan Surau Darul Maaris untuk melakukan catatan akhir iaitu persiapan unuk perbentangan pemetaan komuniti. Sebelum itu, kami sempat solat Asar berjemaah dan minum petang. Para peserta kemudiannya kembali sibuk untuk melakukan kerja-kerja akhir.

Mereka dikehendaki mengumpulkan kembali kertas soal selidik, membuat laporan penuh sepanjang pemetaan komuniti, melukis peta perjalanan, mengemukakan isu, dan membuat persiapan perbentangan kumpulan. Selepas solat Maghrib dan Isyak berjemaah, kami menjamu makan malam dan terus ke dewan untuk slot perbentangan komuniti. Setiap kumpulan memberi penerangan dan persembahan yang memuaskan. Pelbagai isu yang telah berjaya dikupas. Slot pada malam itu berakhir pada jam 11.00 malam. Para peserta kemudiannya beredar ke tempat penginapan untuk berehat.

Hari ketiga, dimulakan dengan memanjatkan kesyukuran kepada Ilahi dengan solat Subuh berjemaah. Selepas itu, para peserta membuat wasiat untuk diserahkan kepada urusetia. Pada pagi ini, aktiviti yang dijalankan cukup santai. LDK pada hari ini lebih kepada pengenalan tokoh. Selepas minum pagi, para peserta dikehendaki membaca wasiat yang telah terpilih untuk dikongsi bersama. Hal ini bertujuan untuk menyedarkan setiap individu akan cabaran seseorang aktivis untuk meneruskan misi Rahmatan Lil Alamin. Kita perlu bersiap sedia jika ditakdirkan meninggal dunia semasa menjalankan misi.

Slot tersebut berakhir pada jam 12 tengahari. Peserta kemudiannya dibenarkan untuk mengemas peralatan masing-masing untuk pulang ke Unisel. Selepas solat Zohor berjemaah, kami makan tengahari dan kembali ke dewan untuk upacara penutup Program bengkel Asas Kesukarelawan (BEST). Tepat jam 2.30 petang, upacara penutup dimulakan dengan ucapan Penasihat GPTD Unisel, En. Izwan Suhadak. Seterusnya ucapan pengarah program , dan diakhiri dengan bacaan ikrar beramai-ramai. Sebelum bertolak pulang ke kampus, kami sempat merakamkan gambar untuk dijadikan kenangan. Pada jam 3.00 petang, kami menaiki bas dan berangkat pulang ke Unisel. Pada jam 3.45 petang, kami tiba di kampus membawa pulang memori dan ilmu sepanjang mengikuti Program Bengkel Asas Sukarelawan (BEST).

Disediakan oleh ,

NOR AQLIAH BINTI ARIFIN

Aktivis GPTD Unisel yang merupakan pelajar Diploma Pra Sekolah di FELS.

[Koleksi Foto]

Thursday, July 29, 2010

Firman : Manusia menyangka

"Alif Lam Mim. Apakah patut manusia menyangka bahawa mereka (hanya) dibiarkan (sahaja) berkata: Kami telah beriman sedangkan mareka belum diuji."

Surah al-Ankabut: Ayat 1-2

Sunday, July 25, 2010

Firman : Ujian susah dan senang

"Dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai dugaan dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan."

Surah al-Anbiya: Ayat 35

Thursday, July 22, 2010

Taklimat Program Anak Angkat & Pemetaan Komuniti

Bestari Jaya, 21 Julai 2010 - Taklimat Program Anak Angkat & Pemetaan Komuniti telah diadakan di BS3 bagi menerangkan peranan aktivis muda GPTD yang perlu dimainkan apabila berapa di lapangan. Sdri Hdariyani Kampun selaku Penyelaras 2 program ini telah menjelaskan garis panduan etika sebagai anak angkat agar pantang larang di tempat orang tidak berlaku. Peserta diwajibkan menutup aurat bagi menghormati suasana kampung yang mementingkan adab dan akhlak.

Tuesday, July 20, 2010

Hadith : Uji tubuh badan

"Apabila Allah telah mendahulukan kedudukan seseorang hamba kepada satu kedudukan yang tidak mampu dicapai dengan ilmunya maka Allah mengujinya pada tubuh badan, keluarga serta harta bendanya, kemudian Allah menjadikannya sabar terhadap ujian yang menimpa sehinggalah dia mencapai kedudukan yang telah disediakan oleh Allah Taala."

Riwayat Abu Daud

Saturday, July 17, 2010

SPIES memantapkan peribadi

Bagan Lalang, 10 Julai 2010 - Unisel telah menghantar pelajar seramai lebih kurang 80 orang termasuk majlis Perwakilan pelajar (MPP) bagi kedua-dua kampus ( kampus Bestari Jaya dan kampus Shah Alam) untuk menghadiri program kepimpinan SPIES yang dianjurkan oleh kerajaan negeri Selangor di Hotel Sri Malaysia. Program ini bertujuan untuk membina masyarakat cemerlang dan sentiasa menjadi warga masyarakat penyumbang kepada pembangunan negeri Selangor. Terdapat 5 asas yang ditekankan dalam program ini iaitu spiritual, physical, intellectual, emotional dan social. Pada hari pertama program tersebut, terdapat 6 sesi yang dihadiri oleh peserta.

Sesi pertama ialah Pemecah bendungan di mana para peserta diminta melakukan beberapa senaman ringan dan melakukan sesi perkenalan sesama peserta. sejam selepas itu sesi kedua dan ketiga dijalankan iaitu pengenanlan umum SPIES dan sesi kenali diri (spiritual). Pada sebelah petang pula pihak penganjur mengadakan sesi keempat dan sesi kelima. Pada sesi keempat yang bertajuk 'apa yang kau semai, itu yang kau tuai ', para peserta diminta untuk membentangkan RMK-10 dan menjadi seperti ahli parlimen untuk membangunkan sesebuah pulau di Malaysia. Selepas itu sesi keenam diadakan yang bertajuk 'hidup bertenaga' ( physical ).

Selepas selesai menunaikan solat Maghrib dan Isyak secara berjemaah , pada sebelah malam sesi keenam telah diperkenalkan yang bertajuk 'kepimpinan holistik' ( spiritual ) . Pada sesi tersebut pihak penceramah menerangkan ciri-ciri seorang pemimpin kepada para peserta. Pada sebelah pagi hari Ahad pula iaitu hari terakhir program, program diteruskan lagi untuk sesi ketujuh dan sesi kelapan yang bertajuk 'mengurus emosi' ( emosi ) dan sesi ' hidup memberi ' (social ). Pada kedua-dua sesi tersebut , pelajar telah diberi pendedahan untuk mangamalkan sikap positif dengan mengambil nilai dari sifat-sifat mahmudah disamping memelihara pergaulan yang sihat. Selepas itu sesi kesembilan iaitu sesi terakhir pun diadakan sebelum majlis penutup dan penyampaian sijil diadakan bagi mengakhiri program tersebut.

Dilaporkan oleh,
Nur Famieza Hidayah bte Mohd Azlan @ mieza

Jenazah Yang Tidak Disolatkan Oleh Rasulullah

Dari Jabir bin Samurah r.a katanya,”Dibawa orang kepada nabi s.a.w jenazah seorang lelaki yang membunuh diri dengan anak panah. Tetapi jenazah itu tidak disolatkan oleh baginda.”

Hadith Riwayat Imam Muslim

Friday, July 16, 2010

Mahasiswa kreatif bantu jayakan pameran Xpdc Hamka

Bestari Jaya, 16 Julai 2010 - Dua orang mahasiswa Multimedia dari Fakulti Industri Teknologi Maklumat telah bersetuju untuk bantu terlibat di dalam Pameran XPDC HAMKA yang akan berlangsung di Perpustakaan Unisel pada 2-20 Ogos 2010. Mahasiswa terbabit adalah Nazrul Niza Bin Ahmad Naseri dan Mohd Ashrani Bin Abu Talib yang ditugaskan sebagai Pereka Grafik merekabentuk bahan pameran dan menyunting dokumentari XPDC HAMKA selama 15 hari di Sumatera Barat, Indonesia pada awal tahun ini.

Perbincangan dan gerak kerja telah bermula dengan pertemuan secara rasmi bersama Setiausaha, Sdri Hdariyani Kampun. Insya Allah suara latar bagi melaporkan dokumentari adalah Sdri Hdariyani sendiri kerana beliau turut terlibat dalam XPDC HAMKA tersebut. Pertemuan bersama Hjh Fauziah, Ketua Perpustakaan akan dilaksanakan pada minggu hadapan bagi membentangkan konsep pameran.

Pertemuan kerjasama GPTD Unisel dan JKKK Kg SGG

Tanjong Karang, 15 Julai 2010 - Aktivis GPTD Unisel, Sdri Hdariyani Kampun bersama Sdri Azliyana Zawani binti Azhar Sani telah menghadiri mesyuarat bersama pihak JKKK Kg Sg Gulang-Gulang (SGG) dan turut hadir Nazir Masjid, Ust. Mukhid Gandek. Pertemuan bermula selepas solat Isya' di Bilik Gerakan JKKK Kg. SGG. Mesyuarat dipengerusikan oleh Tn Hj Maskuri selaku Pengerusi JKKK Kg. SGG.

Agenda yang dibincangkan adalah berkaitan dengan program yang akan berlangsung iaitu Keluarga Angkat & Pemetaan Komuniti sebagai Bengkel Asas Sukarelawan (BEST) Tahap 1 untuk aktivis baru GPTD Unisel. Beberapa persetujuan bersama telah diputuskan dalam memastikan perjalanan program lancar. Program ini akan berlangsung pada 23-25 Julai 2010 dengan kerjasama Abim Tg Karang dan JKKK Kg SGG. Sasaran anak angkat yang dijangkakan adalah seramai 30 orang.

Dalam program Pemetaan Komuniti, aktivis GPTD Unisel akan dipertanggungjawabkan melakukan tinjauan lapangan di sekitar kampung. Dapatan yang diperolehi akan disalurkan kepada pihak masjid, JKKK dan Kerajaan Negeri Selangor agar tindakan lanjut dapat dilaksanakan pada masa hadapan. Pada sisi GPTD Unisel pula akan melihat kepada aspek khidmat pendidikan yang dapat dilakukan berdasarkan kepakaran displin ilmu mahasiswa di Unisel.

Imam Muda popular di Eropah

Frankfurt, 15 Julai 2010 – Media di Jerman dan Switzerland melaporkan secara meluas mengenai program realiti televisyen Malaysia, Imam Muda, terbitan Astro Oasis. Pada saat kebanyakan negara Barat menganjurkan program bakat televisyen bagi memilih bintang, langkah Malaysia menganjurkan program serupa untuk memilih ‘bintang imam’ menarik perhatian beberapa akhbar di kedua-dua negara itu.

Butiran mengenai program Imam Muda dilaporkan secara meluas oleh akhbar harian – daripada Tagesspiegel, Merkur Online menerusi n-tv.de, Bild.de, Sueddeutsche Zeitung sehinggalah kepada akhbar harian Switzerland, Tagesanzeiger – membuatkan pembaca begitu asyik, seperti yang digambarkan dalam komen mereka terhadap laporan berita itu.

Menerusi program Imam Muda, kira-kira lapan anak muda muncul di televisyen Malaysia pada waktu perdana, lengkap berbaju Melayu dan bersongkok.

Tagesanzeiger menyifatkan calon berkenaan sebagai superstar di televisyen Malaysia dan melaporkan bahawa mereka nampaknya telah menjadi pujaan hati ramai wanita muda.

Berbeza dengan program realiti yang lain, apabila peserta lazimnya menyanyi atau menari, calon program Imam Muda memperdengarkan bacaan ayat suci al-Quran, mengikuti latihan menguruskan jenazah untuk dikebumikan dan berikrar melindungi golongan muda Malaysia daripada seks serta dadah.

Program pencarian bakat yang disiarkan setiap minggu itu diketuai oleh seorang ulama terkemuka, Hasan Mahmud.

Beliau mewujudkan sekumpulan imam muda yang dapat dijadikan contoh dan menggunakan bantuan mereka untuk memerangi gejala keruntuhan sosial dan moral.

Calon berusia antara 18 hingga 27 tahun dipilih berdasarkan kriteria personaliti dan pengetahuan agama mereka.

Seperti juga dalam American Idol dan program bakat yang lain, calon disingkirkan setiap minggu apabila mereka gagal melayakkan diri.

Ramai penonton dan pembaca yang terkejut apabila mendapati sepanjang tempoh program, calon-calon diasingkan dan ditempatkan dalam ruang tidur sebuah masjid – tanpa telefon bimbit, Internet, televisyen dan peralatan moden lain – supaya mereka dapat berfikir sendiri dan tidak perlu bergantung harap kepada bantuan atau galakan dari luar.

“Pemenang pertandingan itu berpeluang menunaikan fardu haji di Mekah, bantuan kewangan melanjutkan pelajaran di universiti di Madinah dan bekerja di masjid,” kata pengulas dalam akhbar harian Tagesspiegel yang diterbitkan di Berlin.

Akhbar Jerman itu menegaskan semua peserta yang mengambil bahagian pastinya dikagumi oleh peminat remaja dan bakal ibu mertua.

“Bagi umat Islam, menantu yang ideal ialah bakal imam kerana mereka berpendidikan dan mempunyai pengetahuan mendalam tentang Islam,” akhbar itu memetik Iselan Bazar daripada rangkaian Astro Oasis yang menyiarkan rancangan pencarian bakat agama itu.

Sumber : Utusan

Janji Israel ke atas Palestin

ISRAEL dinisbahkan sebagai bangsa Yahudi yang disebutkan dalam al-Quran, terkenal dalam sejarah sebagai bangsa yang kejam, ganas dan biadab. Mereka banyak membunuh utusan Allah termasuk para anbia-Nya.

Mereka juga telah disumpah Allah sebagai kera yang hina dina dalam kisah tersohor pelanggaran hari Sabat (Sabtu).

Sejak peristiwa tersebut, sehingga menjelang tahun 1948, dengan disokong oleh kuasa-kuasa besar dunia, mereka mulai merampas dan mengganyang bumi Palestin dari pendudukan bangsa Arab sehinggalah sekarang.

Hal ini telah dirakamkan al-Quran yang bermaksud: Orang Yahudi dan Nasarani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka. (al-Baqarah: 120).

Sikap Perdana Menteri Israel dalam isu Palestin

Berikut adalah pernyataan dari para Perdana Menteri Israel sejak dahulu hinggalah ke hari ini, kesinambungan sifat-sifat dan kriteria peribadi mereka.

*DAVID BEN GURION (1948- 1954 dan 1955 -1963).

– Kita harus mengusir orang-orang Arab dan mengambil tempat mereka. (Ben Gurion and the Palestine Arabs, Oxford University Press, 1985).

– Kita harus menggunakan keganasan, pembunuhan, intimidasi, penyitaan tanah, dan penebangan semua layanan sosial untuk membersihkan Ghoyim dari penduduk Arabnya. (Mei 1948, untuk Staf Umum. Dari Ben Gurion, A Biography, oleh Michael Ben Zohor, Declacorte, 1978, New York).

– Ada anti Semitisme, Nazi, Hitler, Auschwitz, tapi apakah itu kesalahan mereka? Mereka melihat tapi satu hal: Kami telah datang dan kita telah mencuri negara mereka. Mengapa mereka menerima itu? (Nahum Goldmann di Le Juif Paradox (The Paradox Yahudi), halaman 121-122).

– Desa Yahudi dibangun di tempat desa-desa Arab. Anda bahkan tidak tahu nama desa-desa Arab, dan saya tidak menyalahkan anda kerana buku-buku geografi tidak ada lagi. Tidak hanya buku-buku Arab yang tidak ada, desa-desa Arab juga tak ada lagi di sana. Nahlal muncul di tempat Mahlul, Kibbutz Gvat di tempat Jibta, Kibbutz Sarid di tempat Huneifis, dan Kefer Yehushua di tempat Tal al-Shuman. Tidak ada satu tempat yang dibangun di negeri ini yang tidak memiliki hubungan dengan pemiliknya, penduduk Arab. (The Jewish Paradox, oleh Nahum Goldmann, Weidenfeld dan Nicolson, 1978, halaman 99).

– Jangan mengabaikan kebenaran di antara kami sendiri, politik kami adalah penyerang dan mereka membela diri. Negara ini milik mereka, kerana mereka tinggal di situ, sementara kami ingin datang ke sini dan hidup nyaman, dan dalam pandangan mereka, kami ingin mengambil negara mereka. (halaman 91-92, Chomsky’s Fateful Triangle, yang dimuat dalam Simha Falapan’s Zionisme dan Palestina, halaman 141-2, mengutip sebuah pidato tahun 1938).

– Kalau saya tahu bahawa sangat mungkin untuk menyelamatkan anak-anak Jerman dengan mengangkut mereka ke Inggeris, dan setengahnya memindahkan mereka ke tanah Israel, saya akan memilih yang terakhir, bukan hanya kerana kebohongan tentang jumlah anak-anak ini, tetapi juga perhitungan sejarawan dari umat Israel. (halaman 855-56, dalam Ben Gurion Shabtai Teveth).

*GOLDA MEIR (1969-1974).

– Tidak ada yang namanya orang Palestin. Ini bukan kerana jika kami datang dan mengusir mereka dan mengambil negeri mereka. Mereka tidak ada. (Laporan The Times, 15 Jun, 1969).

– Bagaimana kita boleh mengembalikan wilayah-wilayah pendudukan? Tak ada seorang pun yang akan memulangkannya kepada mereka sendiri. (8 Mac, 1969).

– Setiap orang yang berbicara untuk membawa kembali para pengungsi Arab juga harus mengatakan bagaimana ia bertanggungjawab untuk itu, jika ia tertarik pada negara Israel. Lebih baik bawa segala sesuatunya dinyatakan secara jelas dan terang : Kami tidak akan membiarkan ini terjadi. (Dalam pidato di Knesset, dilaporkan dalam Ner, Oktober 1961).

– Negara ini ada sebagai pemenuhan janji yang dibuat oleh tuhan sendiri. Akan jadi kurang siuman jika bertanya kepada pemiliknya sendiri. (Le Monde, 15 Oktober, 1971).

*YITZHAK RABIN (1974-1977 dan 1992-1995).

– Kami berjalan keluar, Ben Gurion menyertai kami. Allon mengulangi pertanyaannya: “Apa yang harus dilakukan terhadap penduduk Palestin?” Ben Gurion melambaikan tangannya sebagai isyarat yang mengatakan: “Usir mereka!” (Dari memoir Rabin, New York Times, 23 Oktober, 1979).

– Israel dalam 10 atau 20 tahun ke depan akan memindahkan perkongsian Jalur Gaza dan Tebing Barat ke Jordan. Untuk mencapai ini kami harus mencapai kesepakatan dengan Raja Hussein, dan tidak dengan Yasser Arafat. (David Shipler di York Times, 1983/04).

*MENACHEM BEGIN (1977-1983).

– Orang Palestin adalah binatang buas yang berjalan di atas dua kaki. (Amnon Kepeliouk, Begin and the Beasts, New Statesman, 25 Jun, 1982).

– Pemisahan Palestin adalah tidak sah. Ini tidak akan pernah diakui. Jerusalem akan selama-lamanya menjadi ibu kota kami. Eretz Israel akan dikembalikan kepada orang-orang Israel. Semuanya. Selamanya. (Sehari setelah pemungutan suara PBB untuk memisahkan Palestin).

*YIZHAK SHAMIR (1983-1984 dan 1986-1992).

– Para pemimpin masa lalu kami meninggalkan pesan yang jelas untuk menjaga Eretz Israel dari Laut sampai ke Sungai Jordan untuk generasi yang akan datang, untuk imigrasi Yahudi, dan bagi orang-orang Yahudi, yang semuanya akan dikumpulkan dalam negara ini. (Dinyatakan pada upacara peringatan Tel Aviv untuk mantan pemimpin Likud, November, 1990, Jerussalem Domestic Radio Service).

– Penyelesaian tanah Israel adalah inti dari Zionisme. Tanpa penyelesaian, kami tidak akan memenuhi Zionisme Sederhana. (Maariv, 21 Februari 1997).

– (Orang Palestin) akan hancur seperti belalang, kepala mereka akan hancur menimpa batu dan dinding. (Dalam pidato untuk pemukim Yahudi, New York Times, 1 April, 1988).

*BENJAMIN NETANYAHU (1996-1999 dan 2009-sekarang).

– Israel harus mengeksploitasi penindasan daripada demonstrasi di China, ketika perhatian dunia terfokus pada negara itu, untuk melakukan pengusiran massa antara orang-orang Arab dari wilayah ini. (Berbicara dengan mahasiswa di Universiti Bar Ilan, dari jurnal Israel Hotam, 24 November, 1989).

*ARIEL SHARON (2001-2006).

– Ini adalah tugas para pemimpin Israel untuk menjelaskan kepada pendapat umum, dengan jelas dan berani, dengan sejumlah fakta yang melupakan waktu. Yang pertama adalah bahawa tidak ada Zionisme, penjajahan, atau Negara Yahudi tanpa pengusiran orang Arab dan perampasan tanah mereka. (Agence France Presse, 15 November, 1998).

– Semua orang harus bergerak, berlari dan mengambil sebanyak-banyaknya puncak-puncak bukit milik Palestin untuk memperbesar permukiman Yahudi, kerana segala sesuatu yang kita ambil sekarang akan tetap menjadi milik kita. Segala sesuatu yang tidak kita ambil, akan tetap menjadi milik mereka. (Agence France Presse, 15 November, 1998).

Tidak hairanlah kalau mereka dan para tenteranya bertindak agresif dan ganas merampas tanah milik Palestin, membunuh, memenjarakan rakyat Palestin di bumi Gaza dan lain-lainnya, atas alasan mereka mendirikan negara Israel di bumi Palestin.

Sumber : Utusan

- Unit Kajian

Subsidi Bahan Api dan Gula dikurangkan

Kuala Lumpur, 16 Julai 2010 - Malaysiakini melaporkan harga petrol, diesel, gula dan Petroleum Gas Cecair (LPG) naik berkuatkuasa mulai tengah malam ini.

Petrol RON 95 dan diesel naik 5 sen. RON97 tidak lagi diberikan subsidi. Ia tertakluk kepada apungan secara terkawal, dengan harga ditentukan oleh mekanisme harga automatik, berikutan penyelarasan harga subsidi yang diumumkan kerajaan hari ini.


Tidak jelas berapa kenaikan harga RON 97. Tetapi difahamkan harganya naik 5 sen dan akan diselaraskan seterusnya kemudian.

Manakala harga gula pula naik 25 sen kepada RM1.90, dengan gas LPG naik sebanyak 10 sen sekilogram

Kenaikan harga barangan berkenaan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu pengumuman malam ini.

Menurut perdana menteri, penyelarasan semula harga barangan tersebut akan membolehkan kerajaan mengurangkan perbelanjaannya melebihi RM750 juta untuk tahun ini.

Ia merupakan langkah pertama program rasionalisasi subsidi secara berperingkat-peringkat mulai esok. Bagaimanapun, tambanya, kerajaan masih membelanjakan kira-kira RM7.82 bilion untuk subsidi bahan api dan gula pada 2010. Harga bahan api dan gula di Malaysia, tegas Najib, masih antara yang terendah di rantau ini.

Berikut adalah harga baru:

  • Petrol RON 95 - RM1.85 seliter.
  • Diesel - RM1.75 seliter.
  • Gula - RM1.70 sekilogram
  • Gas LPG - RM1.85 sekilogram

Berikut adalah harga baru gas:

  • Tong 14KG - dari RM24.50 kepada RM25.90 (naik RM1.40)
  • Tong 12KG - dari RM21.00 kepada RM22.20 (naik RM1.20)
  • Tong 10KG - dari RM17.50 kepada RM18.50 (naik RM1.00)

Sementara itu, Berita Harian online memetik Perdana Menteri,Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai berkata, kerajaan perlu mengurangkan subsidi bagi menjimatkn perbelanjaan kerajaan dan mengurangkan defisit fiskal supaya pasaran dunia dan dalaman lebih yakin dengan kekuatan ekonomi negara.

Najib berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno bahagian Kuala Kedah di Alor Star, petang ini. Beliau yang juga menteri kewangan berkata, penjimatan perbelanjaan itu juga akan digunakan untuk pembangunan negara yang akhirnya memberi faedah kepada rakyat.

Beliau turut memberi jaminan pengurangan subsidi akan dibuat secara minimum supaya tidak membebankan rakyat.

Pada 27 Mei lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala dilaporkan berkata, Malaysia akan muflis pada 2019 jika kerajaan tidak memotong subsidi dan bergantung kepada pinjaman. Katanya, hutang Malaysia akan meningkat kepada 100 peratus daripada GDP pada 2019 d- daripada 54 peratus sekarang jika subsidi tidak dipotong.


Ulasan Setiausaha :

GPTD Unisel menyambut baik langkah pemerintah dengan mengurangkan subsidi bahan api dan gula. Namu begitu pemerintah kena bertindak jika ada pengusaha yang mengambil kesempatan terhadap pengguna. Sewajarnya, pengusaha perlu menunjukkan kesetiaan dan berkorban terhadap pengguna kerana selama ini telah mengambil laba yang cukup tinggi. Jika ada pengurangan subsidi pun ianya tidak akan menjejaskan prestasi perniagaan masing-masing. Harapnya tiada pihak politik yang mengambil kesempatan untuk meraih perhatian dan simpati untuk popular.

MUI membetulkan arah kiblat Indonesia

Jakarta, 16 Julai 2010 - Majlis Ulama Indonesia (MUI) mengeluarkan fatwa membetulkan arah kiblat solat bagi umat Islam di Indonesia dari arah barat menjadi arah barat laut mulai Rabu lalu. Ketua Suruhanjaya Fatwa MUI, Anwar Ibrahim berkata, majlis itu tidak memberikan perincian mengenai ukuran darjah perubahannya kerana ia akan bergantung kepada kedudukan wilayah masing-masing di Indonesia.

Dengan pengeluaran fatwa baru ini, MUI meralat fatwanya sendiri yang dikeluarkan 22 Mac tahun ini yang antara lain menetapkan kiblat solat bagi Indonesia ialah arah barat kerana negara ini berada di sebelah timur Mekah. Kiblat bagi umat Islam yang bersolat di Masjidil Haram Mekah ialah mengadap ke bangunan Kaabah (ainul kaabah) sementara kiblat bagi orang bersolat yang tidak dapat melihat Kaabah ialah ke arah Kaabah (jihat al-Kaabah). Beberapa laporan media tempatan menyatakan bahawa setelah perkiraan semula dilakukan oleh ahli Falaq, mereka memutuskan bahawa arah yang selama ini diyakini itu salah kerana ia mengadap ke Afrika, ke arah Somalia, Kenya dan Tanzania.

"Indonesia itu letaknya tidak di timur Kaabah tapi agak ke selatan, jadi arah kiblat kita juga tidak barat tapi agak miring iaitu arah barat laut,” kata Ketua MUI Ma”ruf Amin yang dipetik oleh agensi berita Antara. Namun Ketua MUI itu meminta masyarakat Islam di Indonesia tidak panik dengan perubahan arah kiblat itu. "Tidak mutlak arahnya, kerana yang dituju bukan Kaabah secara fizikal tetapi jihat (arah) Kaabah, dan itu boleh berbeza-beza di setiap tempat,” kata seorang lagi pemimpin MUI Amidhan.

Para pemimpin MUI menyatakan bahawa pembetulan arah kiblat itu tidak harus dibuat dengan merombak kedudukan bangunan masjid, tetapi cukup dengan menyesuaikan garis saf (barisan) solat dengan kiblat yang sebenarnya. Sementara itu sejumlah masjid di Indonesia didapati belum membetulkan arah kiblat masing-masing dengan alasan belum mendapat pemberitahuan rasmi daripada MUI.

Sumber : Malaysiakini
Related Posts with Thumbnails