Showing posts with label Tamadun. Show all posts
Showing posts with label Tamadun. Show all posts

Monday, October 29, 2012

Sukarelawan bersilaturahmi semasa Kembara Qurban @Patani

PATANI, 28 Oktober 2012 - Grup Penjejak Tamadun Dunia (GPTD) telah menghantar empat sukarelawan dalam Kembara Qurban @Patani dengan usahasama Global Peace Mission (GPM) Malaysia dan Hayrat Foundation yang menjayakan ibadah qurban di Wilayah Selatan Thailand yang meliputi Narathiwat, Yala dan Patani. Projek ini adalah rentetan daripada Kembara Ramadan @Patani yang dilaksanakan pada bulan puasa yang lepas. Meneruskan misi rahmatan lil alamin untuk mempertautkan ukhuwah umat Melayu di wilayah bergolak di bumi Patani GPTD komited untuk melaksanakan Kembara Qurban @Patani. Selesai pengagihan lembu dan sembelihan serta penyerahan daging qurban, sukarelawan GPTD sempat singgah di Surau Aur di Yaring Patani, binaan surau yang tertua di Asia Tenggara (lebih 500 tahun). 
 
Muhammad Fakhrul Amiruddin telah mengetuai sukarelawan GPTD iaitu Huzaimi, Tengku Farhana dan Ili Akmal. Turut serta dalam delegasi kali ini adalah rakan strategik GPM adalah saudara Soleh daripada Turki dan fasih berbahasa Melayu. Beliau telah ikuti ibadah qurban di Patani buat kali kedua untuk kali ini. "Terima kasih kepada GPTD kerana telah memberi peluang kepada saya untuk mengikuti kembara ini, pengalaman dan ilmu tidak akan saya lupakan", kata saudari Tengku Farhana yang sangat teruja dengan misi kali ini. "Kami tidur bersama keluarga angkat dan rasa sangat mesra seperti sebuah keluarga kandung", kata saudari Ili Akmal yang buat pertama kali menjejakkan kaki ke sini.

-Unit Media

Thursday, October 11, 2012

Taklimat Kesedaran Isu Kemanusiaan Rohingya @Unisel

Bengkel Kuasa Minda


Dengan penuh rasa sukacitanya, @Gptd Unisel ingin menjemput semua untuk menyertai Bengkel Kuasa Minda pada 20 Oktober 2012 (Sabtu), 9.00 pg - 12.00 tgh di BS3, Fsktm Unisel BJ. {MAKAN&SIJIL disediakan}

Yuran Penyertaan:
RM5.00 sahaja

Anda akan pelajari :
#1. Menerokai anatomi dan fisiologi otak (mengenali bhagian-bahagian otak dan fungsi-fungsi setiap bahagian)

#2. Aqal dalam Pertimbangan Sunnah (peserta juga akan didedahkan dengan kaedah-kaedah ilmuan islam)

#3. Tips-tips belajar (kaedah mengingat, rahsia otak kanan, rahsia mata kiri dan teori tahfiz dalam biologi otak)


Semoga dengan penyertaan ini dapat memberi manfaat kepada saudara/saudari.

Berminat daftar sila taip MINDA NAMA NO KP ke
017.910.6403 (Ana) | 013.391.7122 (Zai)

Untuk menjadi ahli sila daftar di
http://bitly.com/gptdvolunteer
 

Wednesday, October 10, 2012

Bengkel Asas NLP



 Dengan penuh rasa sukacitanya, @Gptd Unisel ingin menjemput semua untuk menyertai Bengkel Asas NLP (Neuro Linguistic Programming) pada 20 Oktober 2012 (Sabtu), 9.00 pg - 12.00 pg di BS Fsktm, Unisel BJ. {MAKAN&SIJIL disediakan}

Yuran Penyertaan:
RM5.00

Anda akan pelajari :
• Kuasa & inspirasi Komunikator
• Skil membaca nahasa badan
• Komunikasi Verbal & non-verbal
• Kesedaran sensitiviti
• Kuasai Emosi & Minda
• Hilangkan ketakutan & fobia
• Pengupayaan & Motivasi diri & orang lain
• Membina hubungan yang mesra
• Mengeluarkan sikap negatif dalam diri & orang lain

Siapa patut hadir:
• Pemimpin pelajar sekolah dan pelajar bermasalah
• Mahasiswa yang kurang keyakinan diri dalam kuliah
• Mahasiswa yang akan menempuh alam pekerjaan
• Pemimpin Mahasiswa yang ingin pengaruhi pengikut
• Guru yang ingin menarik perhatian semasa mengajar
• Staf yang ingin memperbaiki cara berkomunikasi
• Daie yang ingin berdakwah dengan berkesan
• Sukarelawan yang ingin mudah berinteraksi

Kenali penyampai:
Hamka Idris

Semoga dengan penyertaan ini dapat memberi manfaat kepada saudara/saudari.

Untuk pendaftaran Taip NLP NAMA NO. KP NO. TELEFON sms ke019.455.6271 (Elly) | 013.279.2875 (Vee) | 013.391.7122 (Amir)

Untuk menjadi ahli sila daftar di
http://bitly.com/gptdvolunteer

Kembara Alam @Pulau Ketam

Melatih sukarelawan untuk mengenali dan mendekati ALAM. Sukarelawan akan menjalankan Pemetaan Komuniti bagi meninjau permasalahan yang dihadapi oleh penduduk dan sekitarnya. Memberi kesedaran kepentingan menjaga kebersihan dan alam sekitar kepada penduduk setempat. Semoga usaha awal ini akan membuka lembaran baru untuk meneroka ALAM yang terindah.

Friday, July 6, 2012

Bedah Buku : Art of Deception

Dengan rasa besar hati, Gptd Unisel menjemput peminat buku dan ilmu ke Diskusi Bedah Buku "Art of Deception" pada 9 Julai 2012, Selasa 9.00-10.00 mlm di Surau Fsktm, Unisel. Maklumat lanjut sila hubungi Shakilah Sanaani Abdullah di talian 013.391.7122.

#Lets join GPTD as a VOLUNTEER~
Sign Up here >> https://t.co/jAankwD

Wednesday, June 13, 2012

Bedah Buku: Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu


Karya Syed Muhammad Naguib Al-Attas (1972)
Dipersembahkan sebagai syarahan Pengukuhan pelantikan jawatan Professor Bahasa dan Kesusasteraan Melayu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Kuala Lumpur, yang diucapkan pada 24 Januari 1972 di Auditorium  UKM, Kuala Lumpur.

Bab 1
Syed Naguib memulakan syarahan dengan menyebut, Voltaire menyatakan bahwa fakta Sejarah yang bersifat runchitan; yang bermaksud fakta Sejarah yang bersifat mikro tidak perlu dititik beratkan. Hal ini demikian, Syed Naguib menyatakan apabila fakta yang bersifat runchitan diberati, mungkin tiada insan yang mahu mentafsir Sejarah. 

Bab 2
Syed Naguib membuka Sejarah Peradaban Eropah oleh Henri Pirenne.
prosese Sejarah yang memulakan penjelmaan semangat Adab Pertenghan di Eropah bukanlah sebab kedatangan Kaum Biadap, sukubangsa Jerman yang menceroboh dan menakluk Imperaturia Roma. Setalah menakluk Roma, mereka membahagikan Roma kepada beberapa bahagian.Dalam pada itu, Kaum Biadap terpaksa mengakui keindahan dan keistimewaan budaya Romawi sehingga mereka mengamalkan budaya Romawi dan meninggalkan budaya asal mereka, budaya Jerman.
Walaupun Kaum Biadap berjaya menumbangkan pemerintahan Imperaturia Roma dan membahagikan Roma kepada beberapa bahagian, namun mereka gagal memutuskan perpaduan yang terjalin antara Dunia Barat dan Dunia Timur. Walaupun berlaku pelbagai pergolakan apabila negara meraka ditakluk, namun rakyat masih bersatu hati dengan perpaduan yang tejalin.
Golongan Gereja Kristian masih berdiri teguh untuk memperkukuh dan meneruskan pengaruh Romawi. Golongan ini berjaya memaksa Kaum Biadap untuk akui agama Kristian. 
Di Timur Tengah, Tanah Arab, agama Islam tiba dan tersebar luas keseluruh pelusuk dunia. Berikutan tersebarnya agama Islam, perpaduan antara Dunia Barat dan Dunia Timur  terpisah. Maka semangat Adab Pertenghan bermula apabila Islam tersebar yang mengakibatkan Dunia Barat dan Dunia Timur terpisah.

Bab 3 
Bagi memulakan syarahannya, Syed Naguib mensyarahkan berkenaan kedatangan agama Hindu dan Buddha yang tiba lebih awal berbanding agama Islam. Agama Hindu hanya dianuti oleh golongan raja, golongan bangsawan dan golongan pendita. Manakala, rakyat seperti tidak mengambil peduli akan agam Hindu yang dianuti. Hal ini demikian, masyarakat Melayu masih mengamalkan ritual yang terlebih dahulu wujud sebelum kedatangan Agama Hindu. Namun begitu, hanya kesusasteraan yang diminati oleh masyarakat. Kesusasteraan Hindu ini bersifat mitos, sejarah, hikayat, dan cerita-cerita dongeng yang tiada bersangkut paut dengan falsafah. Demikian itu, sastera agama Hindu bersifat berat sebelah kerana memberati dongengan semata-mata. 
Agama Buddha tiba, namun ia seketika kerana agama Buddha hanya terkesan pada seni bina, sebagai contoh Candi Borodudur. Dua orang pengembara Tionghua Fa-Hsien (abad ke-5) dan I-Tsing (abad ke-6), mereka pernah singgah dan ziarah di kepulauan Sumatra dan Jawa. Mereka berdua mempunyai pendapat yang sama dengan menyatakan agama Hindu dan Buddha yang dianuti merupakan agam yang karut. I-Tsing turut menyatakan bahasa yang digunakan di Jawa dan Sumatra ialah bahasa asing, bahasa Sanskrit, bukannya bahsa Melayu.
Syarahan diteruskan dengan kedatangan kolonial Barat sekitar abad ke-19.
Kolonial Barat datang dengan membawa 'zaman moden'. Bidang sastera Melayu turut dimodenkan dengan kedatangan Barat. Sastera 'moden' yang dibawa oleh Barat bukanlah sebuah sastera moden seperti yang dinyatakan. Hal ini demikian kerena, sastera yang dibawa Barat berbentuk 'tragedi' yang telah lama menapak dalam bidang sastera Barat, sebagai contoh karya-karya oleh Shakespear.
Syed Naguib menegaskan hanya bentuk prosa itu sahaja yang moden bukan pengisiannya.

Bab 4 & Bab 5
Boleh dirumuskan dalam kedua-dua bab ini ialah Syed Nagiub mahu masyarakat Kepulauan Melayu-Indonesia sedar dan bangkit memperjuangkan sejarah terrsebarnya agama Islam di Asia Tenggara. Hal in demikian kerana, sejarah yang kita pelajari hari ini datangnya dari Kolonial Barat, maka ada sejarah yang mereka tutupi. Syed Naguib mahu masyarakat Kepulauan Melayu-Indonesia tahu dan sedar akan sejarah agama Islam. Janganlah secara membabi buta menghadam sejarah yang kita pelajari hari ini. Sebagai contoh agama Islam tiba di Asia Tenggara melalui 3 buah tempat,yakni India, Tanah Arab dan China. Namun, Syed Naguib menegaskan bahawasanya Islam hanya datang dari Tanah Arab. India dan China hanya laluan perdagangan yang dilalui oleh para pedagang dari Tanah Arab.

Sedarlah sesungguhnya kita dibesarkan dengan sejarah yang ditutupi oleh Kolonial Barat agar kita lupa dan tidak tahu asal usul kita.  Justeru itu, Syed Naguib bangkit memperjuangkan Islam dan Melayu

Wa'lahu-alam... 

Saturday, April 30, 2011

Pembinaan Masjid di Istanbul - Pengukuh Ketamadunan Uthmaniyyah


Rencana NAJMUDDIN MOHD NAWI

[Disiarkan di Utusan pada 16/09/05, tempel di sini sementara nak kirim buah tangan terkini, hehehe....http://http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0916&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm&arc=hive]

MENJEJAKKAN kaki di Istanbul, merupakan pengalaman yang amat bermakna bagi penulis. Bangunan besar dan indah, taman-taman menghijau, bandar yang turut mendapat jolokan `Bandar Menara' itu, benar-benar menggambarkan bahawa ia merupakan pusat pemerintahan kerajaan besar dunia suatu masa dahulu.

Kunjungan penulis ke Istanbul baru-baru ini merupakan sebahagian daripada gerak kerja kajian ketamadunan Turki. Ia merupakan gerak kerja bagi Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD), yang menjadikan Turki sebagai salah satu bidang kajiannya.

Projek yang dinamakan Kembara Turki ini, merupakan anjuran bersama GPTD dengan Global Peace Mission (GPM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

Ia turut mendapat sokongan INMIND & Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YPEIM).

Istanbul digelar Bandar Menara kerana banyaknya menara masjid yang terdapat di sini. Bahkan, apabila berada di sini, arahkanlah pandangan anda ke mana-mana pun, pasti anda akan melihat menara masjid!

Dikatakan setiap 400 meter di Istanbul, ada sebuah masjid. Terdapat kira-kira 3,000 buah masjid di Istanbul.

600 buah daripadanya dibina sewaktu pemerintahan Kerajaan Uthmaniyyah. Kebanyakannya dibina dalam tempoh 50 tahun, iaitu dari 1850 hingga 1900.

Bermula dengan penukaran Hagia Sophia kepada Masjid Aya Sofya, kemudian pembinaan Masjid Eyup Sultan, bercambahlah masjid-masjid di sekitar Istanbul.

Selain memenuhi keperluan orang ramai, pembinaan masjid juga dilihat sebagai usaha memartabatkan syiar Islam di Istanbul.

Apabila kita menyebut mengenai masjid di Istanbul, pastinya nama Mimar Sinan akan terkait sama. Mimar Sinan merupakan seorang arkitek yang termasyhur pada zaman Uthmaniyyah.

Beliau lahir di Anatolia pada 1489 dan meninggal sekitar tahun 1588.

Sepanjang kariernya sebagai arkitek, beliau telah membina beratus-ratus bangunan. Di antaranya: masjid, madrasah, hamam (tempat mandi awam), hospital, istana dan pancur air. Namun masjid merupakan binaannya yang paling masyhur dan berpengaruh.

Binaan lainnya yang masyhur termasuklah Masjid Sultan Salim (Selimiye Jamii) di Edirne dan Masjid Sultan Sulaiman (Suleymeniye Jamii) di Istanbul. Malah, reka bentuk beliau telah menjadi salah satu identiti Kerajaan Uthmaniyyah.

Menurut tradisi Kesultanan Uthmaniyyah, setiap sultan yang memerintah mempunyai masjid yang dibina atas namanya sendiri. Tindakan ini merupakan lambang komitmen para Sultan Uthmaniyyah terhadap perjuangan Islam.

Selepas kemangkatan sultan tersebut, baginda akan disemadikan di masjidnya. Oleh kerana itu, agak mudah melawat makam-makam Sultan Uthmaniyyah di sini, anda hanya perlu tahu nama sultan tersebut, kemudian tambahkan perkataan `jami' di belakangnya (yang bermaksud masjid), insya-Allah, anda pasti akan menemui destinasi anda.

Sebagai contoh, makam Sultan Muhammad II al-Fatih terletak di Fatih Jamii (Masjid Fatih), dan makam Sultan Sulaiman al-Kanuni (digelar Solomon the Magnificent) di Suleymeniye Jamii. Mudah bukan?

Salah sebuah masjid yang penting dalam sejarah Uthmaniyyah, bahkan juga sejarah umat Islam, adalah Masjid Eyup Sultan.

Gelaran

Eyup Sultan merupakan gelaran masyarakat Turki kepada salah seorang sahabat Rasulullah s.a.w., Abu Ayyub al-Ansari r.a.

Nama sebenar beliau ialah Khalid bin Zaid r.a. Ketika berlakunya hijrah Rasulullah s.a.w. ke Madinah, Baginda bermalam di rumah Abu Ayyub al-Ansari setibanya di Madinah.

Manakala tapak yang berhadapan dengan rumah beliau, Rasulullah s.a.w. jadikan sebagai tapak Masjid Nabawi yang ada hingga sekarang.

Abu Ayyub wafat pada tahun 668 Masihi, lebih 800 tahun sebelum peristiwa pembukaan Istanbul.

Sebaik saja Sultan Muhammad II al-Fatih berjaya menguasai Konstantinople, baginda menukar nama wilayah tersebut kepada Istanbul.

Baginda maklum bahawa makam Abu Ayyub al-Ansari berada di sekitar Istanbul tetapi tidak mengetahui lokasinya yang tepat. Lalu baginda mengerahkan agar gerakan mencari makam tersebut dilakukan.

Makam Abu Ayyub r.a. ditemui di luar pinggir kota Istanbul. Lalu Sultan Muhammad II al-Fatih mengarahkan pembinaan Masjid Eyup Sultan yang juga menempatkan makam Abu Ayyub al-Ansari r.a. pada 1485 Masihi.

Kawasan sekitarnya pula dinamakan Eyup Sultan, sebagai memuliakan beliau.

Sultan Muhammad II al-Fatih turut terkenal sebagai Sultan yang menjadi kebanggaan Kerajaan Uthmaniyyah khususnya, dan umat Islam umumnya. Baginda merupakan sultan ketujuh daripada Kerajaan Uthmaniyyah.

Pembinaan masjid pada zamannya bukanlah sekadar tempat ibadat umat Islam, tetapi fungsi masjid telah diangkat sebagai pusat kegiatan masyarakat.

Menurut Prof. Dr. Mehmet Maksudoglu dalam bukunya, Osmanli History 1289-1922, Lord Kinross menerangkan bahawa al-Fatih, setelah menjadikan Hagia Sophia sebagai Masjid Besar Aya Sofya, turut memerintahkan agar dibangun bazar berbumbung bersama ratusan kedai dan gedung, dengan ribuan kedai dan pasar yang ada di jalanan.

Apabila al-Fatih mendirikan masjidnya, iaitu Masjid Fatih, terdapat lapan buah madrasah di sekitarnya yang memuatkan seramai 600 orang pelajar setiap hari.

Selain madrasah tersebut, terdapat juga sekolah untuk kanak-kanak, sebuah perpustakaan, dua hostel untuk musafir, sebuah dewan makan, dapur yang menyediakan makanan untuk orang miskin dan sebuah hospital.

Hospital ini memberi perkhidmatan secara percuma kepada masyarakat. Begitu juga dengan madrasah, pendidikan diberi secara percuma. Selain itu, di kawasan-kawasan sekitar masjid juga dibina hamam. Terdapat juga kuburan di kebanyakan masjid yang dibina sewaktu zaman pemerintahan Uthmaniyyah.

Secara simboliknya, dapat dibaca satu cerminan kehidupan melalui pusat kegiatan masyarakat yang dibina oleh baginda Sultan Muhammad II al-Fatih.

Masjid dilihat sebagai pusat, tempat berhimpunnya semua manusia untuk menyembah Tuhan Yang Maha Esa.

Namun, setiap orang wajib membersihkan diri sebelum bersolat. Oleh itu, didirikan hamam dan tempat wuduk di kawasan sekitar dan berhampiran masjid.

Tetapi, untuk mengetahui kaedah pembersihan, cara berwuduk dan solat yang betul, seseorang itu mestilah belajar terlebih dahulu.

Maka, disediakanlah madrasah dan sekolah untuk membimbing dalam hal-hal ibadat dan ilmu-ilmu lainnya.

Untuk memastikan seseorang itu sentiasa melaksanakan ibadatnya (kerana tujuan manusia dihidupkan hanya untuk beribadat kepada-Nya - al-Quran), dia memerlukan kesihatan tubuh badan.

Oleh kerana itu hospital pula didirikan untuk memenuhi keperluan tersebut. Bagi mereka yang miskin pula, makan percuma diberikan untuk menghindari kebuluran.

Bagi menjamin pula pendidikan dan perkhidmatan perubatan percuma yang diberikan mampu berterusan, disediakan pula bazar dan gedung-gedung perniagaan.

Para peniaga yang berjaya dan tawaduk ini pula akan membayar zakat serta menyalurkannya kepada masjid serta institusi yang lainnya, bagi memastikan masyarakat sentiasa hidup dalam keadaan aman dan makmur serta mendapat rahmat dan keredhaan-Nya.

Dengan menjadikan masjid sebagai pusat kegiatan masyarakat melalui pelaksanaan di atas, tidaklah hairanlah bagaimana kerajaan ini mampu bertahan selama 600 tahun lebih serta mampu membangunkan tamadunnya selaras dengan ajaran Islam.

Namun, pada zaman akhir pemerintahan Kerajaan Uthmaniyyah ini juga menunjukkan betapa benar janji-Nya kepada manusia, apabila manusia itu lalai dan leka serta menjadikan dunia sebagai matlamat utama kehidupan, akan hancurlah manusia.

Demikianlah yang terjadi kepada Kerajaan Uthmaniyyah apabila orientasi kerajaan untuk membina tamadun Islami dan menjaga kebajikan masyarakat bertukar kepada kehidupan pemerintah yang mewah serta melalaikan.

Dalam usaha kita membawa pendekatan Islam hadhari hari ini, amatlah penting untuk masyarakat Muslim hari ini meneladani jatuh-bangunnya Kerajaan Uthmaniyyah, kerajaan yang membangunkan tamadun Islami, selaras dengan keperluan insani.

Saturday, February 5, 2011

Harun Al-Rasyid

KHALIFAH kelima abbasiyah ialah Harun al-Rasyid (786-809). Di bawah pemerintahannya, Abbasiyah mencapai kemuncak kejayaan dalam bidang ekonomi, perdagangan, wilayah, ilmu dan peradaban Islam. Wilayah kekuasaan Harun terbentang dari daerah Laut Mediterranean di barat hingga India di timur.

Harun juga menghadapi banyak pemberontakan seperti pemberontakan kaum Khawarij. Selain seorang yang dermawan, Harun juga meminati bidang seni sebagai penyair.

Sebagai anggota keluarga istana, sejak zaman mudanya baginda banyak terlibat dalam pelbagai urusan pemerintahan yang menjadi bekalannya kelak semasa menjadi khalifah.

Pergaulannya luas, daripada kalangan ulama, pakar undang-undang, penulis, seniman, hingga kalangan bukan Islam. Baginda kerap kali mengundang mereka ke istana untuk membincangkan pelbagai masalah.

Baginda sangat menghormati setiap orang dan tidak hairanlah jika baginda dikagumi sebagai tokoh legenda.

Al-Amin dan Al-Makmun

Abbasiyah mencapai kemuncak kejayaan ketika dipimpin oleh Harun al-Rasyid, dan selepas itu oleh anaknya al-Amin dan al-Makmun. Pada masa itu Islam berada pada zaman keemasan. Masyarakat Islam hidup makmur. Ekonominya maju, terutama dalam sektor perdagangan dan pertanian.

Ketika itu ibu kota Baghdad menjadi pusat perdagangan terbesar dan paling sibuk di dunia. Pemerintah juga melengkapkan Baghdad dengan bangunan besar sebagai tempat beribadat, pendidikan, kesihatan dan perdagangan.

Baitul Hikmah

Harun al-Rashid memainkan peranan yang sangat penting dalam mengembangkan ilmu pengetahuan dan peradaban Islam. baginda mendirikan Baitul Hikmah sebagai institusi penterjemahan pelbagai bidang ilmu.

Pada zaman al-Makmun, fungsi institusi ini dikembangkan lagi menjadi institusi perguruan tinggi, perpustakaan dan badan penyelidikan. Harun juga menubuhkan majlis penyelidikan agama yang diselenggarakan di rumah, di masjid dan di istana. Baginda juga sangat mengambil berat tentang ilmu perubatan, farmasi, kebudayaan, dan kesusasteraan.

Ahli Ibadat

Harun al-Rasyid juga tergolong sebagai seorang pemimpin yang kuat beribadat. Baginda dikatakan mendirikan solat sunat 100 rakaat setiap hari. Baginda juga pergi menunaikan haji atau umrah sebanyak dua kali setahun dengan berjalan kaki dari Baghdad ke Mekah bersama-sama keluarganya dan ulama.

Jika tidak pergi menunaikan haji, baginda menghantar kira-kira 300 orang menunaikan haji dengan biaya penuh dari istana.

Putera Mahkota

Harun al-Rasyid lahir di Rayy (Iran) pada 149 H/766 M. Ayahnya ialah al-Mahdi bin Abu Jaafar al-Mansur, khalifah ketiga Abbasiyah (755-785). Ibunya bernama Khaizuran yang berasal dari Yaman.

Beliau mendapat pendidikan agama dan ilmu pemerintahan di istana atas bimbingan Yahya bin Khalid. Pada 779-780 dan 781-782 baginda pernah memimpin pasukan tentera untuk menyerang Byzantium.

Pada 163 H/779 M baginda menjadi gabenor al-Saifah dan setahun kemudian (164 H/780 M) menjadi gabenor Maghribi. Pada 166 H/782 M baginda disahkan sebagai putera mahkota yang akan menjadi khalifah.

Pada 786 M baginda menjadi khalifah Abbasiyah kelima. Baginda meninggal dunia di Khurasan pada 193 H/809 M.

Friday, January 14, 2011

Pemalsuan sejarah awal di Georgetown

Pengiktirafan Tapak Warisan Dunia padam warisan Melayu di Pulau Pinang

IMEJ budi dan jiwa Melayu terserlah dan tersebar luas di serata dunia bagaikan menyuluh dalam terang kecuali di Pulau Pinang. Pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) kepada Georgetown sebagai Tapak Warisan Dunia adalah satu pemalsuan sejarah. Ia memadamkan alam Melayu dan Islam itu sendiri di sebuah rantau yang dulunya sebahagian daripada Kesultanan Kedah.

Batu Uban dan Tanjong Tokong juga warisan sejarah Melayu dan negara. Kedua-dua penempatan ini adalah manifestasi sejarah hidup alam Melayu. Kedua-dua penempatan ini memainkan peranan yang kritikal dalam membangunkan Tanjung dan menyumbang kepada warna kehidupan ekonomi dan budaya Georgetown itu sendiri.

Antara mereka yang berasal dari sekitar Batu Uban dan Jelutong (juga sebuah penempatan Melayu awal) ialah Syed Mohamad Alatas. Alatas Mansion yang terletak di Armenian Street memuatkan Muzium Islam Pulau Pinang (muzium haji) pernah dimiliki Syed Mohamad, yang pada lewat abad ke-19 terbabit dalam pergerakan antipenjajahan Belanda dalam alam Melayu.

Seorang lagi yang terkenal di Pulau Pinang pada satu masa dulu ialah Syeikh Aziz Yamani, yang pernah memiliki sebuah rumah warisan di Hutton Lane yang akan menempatkan Muzium Melayu. Syeikh Aziz berasal dari Jelutong, dan Batu Uban. Kedua-dua adalah keturunan Melayu-Islam awal yang menerokai Pulau Pinang sebelum kedatangan Inggeris.

Saya sangsi apakah Unesco dimaklumkan kewujudan alam Melayu Pulau Pinang ketika menilai tapak warisan Lebuh Acheen-Armenia dan kawasan sekitarnya? Ini bukan soal fakta. Fakta dan maklumat sudah wujud. Ini bukan soal bukti. Cuma bukti sejarah itu dipinggirkan. Ini soal representasi – paparan dan bagaimana Melayu ditonjolkan (atau tidak) dalam sejarah Pulau Pinang, sejarah negara dan sejarah dunia.

Orang Melayu awal Pulau Pinang biasanya disebut sebagai gerombolan nelayan yang singgah atau disebut bahawa mereka datang dari Kedah. Paparan itupun salah. Mereka memang orang Kedah. Saya beri satu contoh paparan. Kali ini dalam brosur American Express – Penang Heritage Trail. Rujukan kepada Melayu di pulau ini dibuat di bawah bahagian ‘200 Years of Multicultural History’.

Perenggan pertama ditulis seperti berikut: Penang was part of the Sultanate of Kedah until Captain Francis Light established the British trading post... Light first landed in 1786. He supposedly encouraged the local inhabitants to clear the ironbwood trees by firing coins out of the cannon into the forested swamp.

(Terjemahan: Pulau Pinang adalah sebahagian daripada Kesultanan Kedah sehingga Kapten Francis Light menubuhkan pusat perdagangan British. Light mula mendarat pada 1786. Beliau kononnya menggalakkan penduduk tempatan menebang pokok cengal dengan menembak meriam menggunakan wang syiling ke atas kawasan hutan paya itu).

Daripada petikan itu, kita lihat percanggahan yang amat nyata. Jika sudah ada penduduk tempatan (sumbernya daripada tulisan dan catatan Light sendiri) sebelum datangnya Francis Light, maka sudah tentu pada logik dan pemikiran rasional kita, adanya sejarah dan warisan penduduk tempatan Melayu-Islam juga.

Sejarah Pulau Pinang bermula lebih lama daripada 1786. Apakah Melayu di Pulau Pinang sebelum 1786 disebut sebagai ‘a band of natives’ saja yang tiada sejarah? Jelas, banyak penulisan/catatan seperti itu dan dalam buku ilmiah mempamerkan satu penghinaan kepada Melayu dalam sejarah Pulau Pinang.

Sesi Pengisahan Melayu di Pulau Pinang, sebahagian daripada The Penang Story 2002, serta beberapa kertas kerja menyentuh asal usul Melayu Pulau Pinang amat menyedihkan dan memalukan. Ia mendaifkan dan menafikan satu identiti dan tamadun kepada kedudukan dan kewujudan Melayu di Pulau Pinang. Wacana persejarahan dan wacana popular meminggirkan tamadun awal Melayu di Pulau Pinang.

Sebelum saya melontarkan beberapa cadangan, saya ingin mencatatkan rasa dukacita kepada pihak berwajib kerana membiarkan peminggiran sejarah kedua-dua penempatan awal berkenaan. Kawasan kampung Batu Uban sebagai contoh, wujud pada awal 1700 dalam jalinan perhubungannya dengan Batu Bara di Sumatera dengan sebuah masjid (1734) dan kawasan perkuburan yang menjadi bukti alam Melayu-Islam itu sudah sekian lama dipinggirkan.

Malah keluasan kampung itu pun dengan mengecil kelilingi dengan bangunan tinggi. Mengapa ini dibenarkan pihak berkuasa, termasuk kerajaan tempatan? Saya menyeru Kerajaan Pusat, terutama Kementerian Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan menerusi jabatan dan agensinya mempertahankan kedua-dua kampung berkenaan daripada hilang daripada peta Malaysia dan alam Melayu.

Juga pertubuhan bukan kerajaan yang berkepentingan Melayu perlu tampil ke hadapan dengan perancangan rapi dan berpemikiran jauh. Kita tidak boleh mengharapkan badan warisan tersedia ada. Apakah kita ingin biarkan kubur dan masjid hampir 300 tahun itu dimusnahkan dengan sekelip mata saja?

Beberapa tindakan perlu diwujudkan dalam mengubah dan mengembalikan beberapa nama tempat di Pulau Pinang kepada nama asal Melayu. Banyak nama tempat dan jalan sudah ditukar. Kita khuatir alam Melayu Pulau Pinang kian dilihat seperti ‘ghetto’ akibat pertembungan kemiskinan ekonomi dengan kemiskinan sejarah.

Prof Dr. A. Murad Merican | murad@perdana.org.my
Penulis ialah pengkaji sejarah Melayu Pulau Pinang


Sumber : Bharian

Wednesday, December 15, 2010

Tamadun Melayu & Tamadun China Berwacana


Awang Sariyan
(Inti sari Syarahan Sarjana Pelawat ATMA,Univerisiti Kebangsaan Malaysia, pada 20 Julai 2010 di Bilik Majlis UKM)

LANDASAN BICARA

Keperluan mengkaji tamadun lain dan usaha menjalin persefahaman antara tamadun berkaitan rapat dengan hakikat kejadian manusia yang diciptakan Allah berbangsa-bangsa untuk saling mengenal (al-Hujurat: 13). Erti ‘saling mengenal’ tidak terbatas pada usaha mengenal sifat-sifat asas bangsa dan tamadun lain semata-mata, sebaliknya turut mencakup maksud saling memanfaatkan segi-segi kekuatan bangsa dan tamadun lain, baik dalam soal ilmu, teknologi, ekonomi, budaya dan yang lain. Sisi lain yang penting daripada kerjasama ketamadunan antara pelbagai bangsa ialah pembinaan sikap saling menghormati dan bertolak ansur demi keharmonian sejagat dan terelaknya tindakan mengenakan hegemoni oleh mana-mana bangsa terhadap bangsa lain.

Interaksi antara Tamadun Melayu dengan Tamadun China

1. Sumber sejarah China terawal mencatat hubungan China dengan alam Melayu dalam zaman Dinasti Han sebelum tahun Masihi lagi. Han Shu – Di Li Zhi atau Kepustakaan Dinasti Han – Catatan Geografi memerikan pelayaran utusan Maharaja Wu Di (140 S.M – 87 S.M) ke India yang melalui Semenanjung Tanah Melayu dan sambil itu melakukan perniagaan barter dengan negeri-negeri di Asia Tenggara dan Asia Selatan (Liang Liji, 1996: 13-15).

2. Hubungan China dengan alam Melayu melonjak ke peringkat yang lebih tinggi sesudah munculnya Dinasti Tang (618-907 M) dan Empayar Sriwijaya di alam Melayu pada abad ke-7 (Liang Liji, 1996: 25-26).

3. Zaman gemilang hubungan tamadun Melayu-China berlaku dalam zaman Dinasti Ming pada abad ke-15. Hubungan kedua-dua tamadun dalam zaman itu mencapai puncak hubungan diplomatik yang halus dan teratur, baik dalam hubungan politik antara dua kuasa besar mahupun dalam hubungan perdagangan dan kebudayaan.

4. Melaka di bawah pemerintahan Raja Parameswara (Sultan Iskandar Syah) menjadi destinasi pertama misi Maharaja Ming Cheng Zhu ke alam Melayu pada tahun 1403. Sejarah pembukaan hubungan diplomatik antara China dengan Melaka itu tercatat dalam Ming Shi (Sejarah Dinasti China) (Liang Liji, 1996: 42).

5. Liang Liji (1996) merumuskan tiga perkara penting yang menjadi natijah interaksi dan hubungan antara dua tamadun besar itu:

 Terjalinnya hubungan persahabatan yang saling menghormati, saling memahami dan saling menghargai sehingga tidak berlaku perselisihan dan pertikaian yang dapat menjejaskan hubungan persahabatan dua bangsa itu.

 Wujudnya sikap yang sama dalam memupuk perdamaian dan keadilan, dengan menolak kekerasan dan perseteruan. Hal ini berbeda sama sekali dengan kedatangan armada bangsa Barat yang membawa niat dan misi penjajahan.

 Wujudnya kerjasama ekonomi dalam bentuk perdagangan dua hala melalui tiga sistem pada zaman itu, iaitu perdagangan antara raja (dalam bentuk persembahan ufti dan balasan anugerah pelbagai barang berharga), perdagangan antara kerajaan berdasarkan kontrak penjualan barangan tertentu hanya kepada Kerajaan China dengan harga yang menguntungkan Melaka, dan perdagangan awam dalam kalangan masyarakat umum.

6. Manfaat lain yang tidak kurang pentingnya ialah pengaruh dan peluasan penggunaan bahasa Melayu yang menjadi lingua franca pada zaman Kesultanan Melayu. Dalam zaman Sriwijaya memang telah ada perhatian pendeta Buddha China dalam mempelajari bahasa Melayu kuno; dalam dalam zaman Kesultanan Melayu pula bahasa Melayu dipelajari dan digunakan untuk urusan perdagangan dan kehidupan oleh orang China daripada golongan lain juga, khususnya pedagang.

7. Yang penting juga ialah adanya “perhatian diraja” pada pihak Dinasti Ming dengan penubuhan jawatankuasa jurubahasa (Da Tong Shi) untuk memenuhi kepentingan dan keperluan hubungan luar. Tong Shi atau jurubahasa yang berkhidmat dalam 18 jawatankuasa kecil (Xiao Tong Shi) berjumlah 60 orang, dan dua orang daripadanya khusus untuk bahasa Melayu, iaitu seorang untuk Melaka dan seorang untuk Sumatera.

8. Untuk melatih para jurubahasa, pada tahun 1405 Maharaja Ming Cheng Zhu menubuhkan akademi bahasa yang dikenal sebagai Si Yi Guan (Balai Bahasa Negeri-negeri Asing) di ibu negara Ying Tian Fu (kini Nanjing). Terdapat lapan jabatan di akademi bahasa asing itu. Bahasa Melayu dimasukkan di bawah Hui Hui Guan (Jabatan Islam yang meliputi Parsi, Arab, Melaka, Jawa dan lain-lain). Akademi bahasa asing itu bertahan melebihi 400 tahun, dan dilanjutkan dalam Dinasti Qing yang menggantikan Dinasti Ming walaupun namanya diubah pada 1748 menjadi Hui Tong Si Yi Guan.

9. Pentingnya bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan yang merentas tamadun turut menggerakkan usaha menyusun kamus dwibahasa yang penting untuk kegunaan pedagang dan orang China lainnya dalam interaksi di alam Melayu. Kamus China-Melayu disusun untuk keperluan Kerajaan China dalam Dinasti Ming dalam menjalin hubungan dengan Melaka dan hingga akhir abad ke-16 kamus itu masih menjadi rujukan, termasuk dalam penyusunan buku sejarah China.

10. Man La Jia Guo Yi Yu atau Senarai Perkataan Negeri Melaka meliputi kosa kata dari zaman awal bermulanya hubungan Dinasti Ming dengan Kerajaan Melaka, iaitu pada tahun 1403 hingga tahun jatuhnya Melaka di tangan Portugis pada tahun 1511. Kamus itu terdiri daripada 482 entri kosa kata China yang dianggap penting dan dikategorikan kepada 17 bidang (astronomi, geografi, musim dan masa, tumbuh-tumbuhan, unggas dan haiwan, rumah dan istana, peri kelakuan, tubuh badan, barang emas dan permata, kemasyarakatan dan sejarah, warna, hitungan, dan kata umum. Setiap entri diberi padanan bahasa Melayunya dengan tulisan China.

11. Hubungan Melayu-China yang kurang aktif disebabkan masalah dalaman kerajaan China dan penjajahan Barat di alam Melayu terjalin semula dalam abad 18/19, tetapi dengan pola yang jauh berbeda, kerana kedatangan orang Cina bukan diutus oleh pemerintah Cina atas hubungan diplomasi, melainkan diupayakan oleh penjajah Barat untuk memenuhi keperluan ekonominya, dengan kebanyakan pendatang itu dijadikan buruh di lombong bijih timah dan sebilangan yang lain mencuba nasib dalam perniagaan.

12. Sejarah, akhirnya, memberikan acuan kepada pola demografi dan sistem kemasyarakatan di Persekutuan Tanah Melayu dan kemudian Malaysia, apabila orang Cina dan orang India yang bermastautin diberi taraf kerakyatan pada waktu Persekutan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Kini orang Cina merupakan kira-kira 25 peratus daripada penduduk Malaysia, dan mereka turut mewarnai kepelbagaian kebudayaan di Malaysia melalui cara hidup dalam bidang kesenian, perayaan, makanan, busana, sistem kepercayaan dan yang lain.

13. Sinar baharu dalam hubungan antara alam Melayu dengan Republik Rakyat China muncul pada tahun 1970-an apabila timbul rasa saling memerlukan untuk menjalin hubungan diplomatik bagi kepentingan bersama. Malaysia merupakan negara di Asia Tenggara yang pertama yang menjalin hubungan diplomatik dengan Republik Rakyat China, iaitu pada tahun 1974. Hubungan yang pada mulanya lebih tertumpu pada bidang ekonomi, khusunya perdagangan dua hala, beransur-ansur melebar dalam bidang-bidang lain, seperti pelancongan, pendidikan dan kebudayaan

14. Sejak tahun 1946 bahasa Melayu varian Indonesia telah diajarkan di Institut Bahasa-bahasa Asing di Kota Nanjing dan dipindahkan ke Beijing pada tahun 1949 apabila Republik Rakyat China ditubuhkan. Hingga kini jurusan bahasa atau pengajian Indonesia masih menjadi salah satu fokus pengajian di Universiti Peking dan pada tahun 1961 menjadi salah satu bahasa asing yang diajarkan di Universiti Pengajian Asing Beijing (Beijing Foreign Studies University, atau singkatannya BFSU), sementara di Universiti Pengajian Asing dan Perdagangan Luar Guangdong di Guangzhou pula pada tahun 1970 (Zhao Yue Zhen, 1970).

15. Pada tahun 1961 juga BFSU mula menawarkan kursus bahasa Melayu varian Tanah Melayu dengan Prof. Wu Zong Yu sebagai tenaga perintisnya. Pada tahun 1998 bahasa Melayu mula diajarkan di Institut Bahasa Asing Luoyang dan pada tahun 2001 di Institut Penyiaran Radio Beijing (kini Universiti Komunikasi China). Pada permulaan tahun akademik 2008-2009 pula, iaitu dalam bulan September 2008, Universiti Bangsa-bangsa Peribumi Guangxi (Guangxi University for Nationalities) pula mula menawarkan kursus bahasa Melayu varian Malaysia, sebagai tambahan bagi jurusan bahasa Indonesia yang sedia diajarkan di situ.

16. Pada 20 Jun 1997, ditubuhkan Pusat Pengajaran Bahasa Melayu di BFSU sebagai hasil persetujuan antara kerajaan Malaysia dengan pemerintah Republik Rakyat China, khususnya untuk pengajaran bahasa Melayu di negara China. Pada 1 September 2005 pula ditubuhkan Pusat Pengajian Melayu China, dan dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak yang ketika itu menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia, sebagai pangkalan pengembangan pengajian Melayu di RRC.

18.Dengan peningkatan program pengajaran bahasa Melayu kepada program pengajian Melayu, Pusat Pengajian Melayu China secara rasminya menjadi pangkalan kegiatan ilmiah dan pengembangan pengajian Melayu di Republik Rakyat China, dan turut membantu penubuhan Program Bahasa/Pengajian Melayu di institusi pengajian tinggi yang lain di seluruh negara. Pengarah Pusat Pengajian Melayu China ialah Prof. Wu Zong Yu yang memulakan program pengajaran bahasa Melayu di BFSU sejak tahun 1961 dan terus-menerus menjalin kerjasama dengan negara-negara di dunia Melayu.

19.Satu lagi detik bersejarah dalam hubungan ilmiah dan pendidikan antara dua buah negara ialah penubuhan Kursi Pengajian Melayu Malaysia-Republik Rakyat China yang merupakan jawatan ilmiah kehormat yang ditubuhkan bersama antara kerajaan Malaysia dengan pemerintah Republik Rakyat China, sebagai pengiktirafan kepada peranan Beijing Foreign Studies University dalam menubuhkan dan mengembangkan program pengajian Melayu di Republik Rakyat China sejak tahun 1961.

20. Kursi ini antara lain berperanan memperkenalkan bidang-bidang baru dalam pengajian Melayu (bahasa, sastera, budaya dll), meningkatkan program ilmiah di peringkat ijazah pertama dan ijazah lanjutan, melaksanakan penyelidikan dan penerbitan, menganjurkan seminar serta membantu penubuhan dan peneguhan program bahasa/pengajian Melayu di institusi pengajian tinggi di Republik Rakyat China.

Cadangan Pelan Tindakan

1. Penyelidikan:

a. Hubungan antara Malaysia/alam Melayu dengan Cina dalam pelbagai aspek ketamadunan seperti politik, ekonomi, kebudayaan, bahasa dan falsafah/pemikiran, dari zaman dahulu hingga kini, terutama dengan berdasarkan sumber-sumber Cina dan Melayu sendiri.

Langkah: (i).Sumber-sumber Cina yang ada dalam tradisi istana dinasti-dinasti Cina itu dikumpulkan, diterjemahkan dan dibuat anotasinya, agar dapat diperoleh gambaran yang tuntas tentang sumber-sumber yang dapat dijadikan asas analisis.

(ii)Kemudian dipilih sumber-sumber yang primer untuk dijadikan asas analisis, dengan sokongan sumber-sumber sekunder. Hasil yang dapat dibayangkan ialah sebuah buku besar atau beberapa jilid yang memerikan hubungan ketamadunan Melayu-Cina dalam pelbagai ranah, secara kronologis dari zaman awal hingga zaman mutakhir.

b. Kajian sosiolinguistik dalam konteks persebaran bahasa Melayu di tanah besar Cina, dengan menyedari adanya komuniti yang menggunakan bahasa Melayu.

Yang paling menarik dan penting disegerakan ialah kajian bahasa dalam kalangan komuniti Cina yang lahir di alam Melayu, majoritinya di Indonesia, yang pindah atau lebih tepat pulang ke tanah lelulur mereka pada tahun 1950-an dan 1960-an, di beberapa provinsi seperti di Guangdong, Hainan, Fujian dan malahan di Beijing juga. Diberitakan bahawa mereka, khususnya kalangan yang berusia masih menggunakan bahasa Melayu varian Indonesia, dan malahan masih mengamalkan corak kehidupan di alam Melayu daripada segi makanan, busana, kesenian dan lain-lain. Kajian ini perlu disegerakan kerana generasi tua dalam komuniti itu kian berkurangan disebabkan faktor alamiah.

c. Aspek sosiolinguistik yang lain ialah penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan komuniti Cina di RRC. Antaranya termasuklah:

(i) peniaga yang berinteraksi dengan pelancong dari alam Melayu, baik di kaki Tembok Besar China mahupun di gedung-gedung beli-belah.

(ii) kalangan tenaga pengajar dan pelajar warganegara RRC di jurusan bahasa Melayu dan bahasa Indonesia di beberapa institusi pengajian tinggi di Republik Rakyat China. Di Nanning, provinsi Guangxi, malah ada sekolah rendah yang mengajarkan bahasa Melayu/Indonesia beberapa jam seminggu.

(iii) karyawan di institusi lain seperti di Bahagian Bahasa Melayu dan Bahagian Bahasa Indonesia, China Radio International (CRI).

d. Perkembangan Islam di tanah besar Cina dan kaitannya dengan pengislaman di alam Melayu

Aspek ini penting juga dikaji oleh sebab ada teori yang menyebut peranan pendakwah dari Cina yang turut mengembangkan Islam di alam Melayu. Beberapa orang daripada Wali Songo yang terkenal sebagai ulamak dan pengembang Islam di Indonesia pernah dikaitkan dengan usaha dakwah dari Cina dan ada daripada kalangan mereka yang dikatakan berketurunan Cina.

Selain itu, pengaruh seni bina Cina kepada seni bina masjid di Melaka amat jelas dan hal ini pasti ada kaitannya juga dengan pengaruh pendakwah dari Cina. Apatah lagi Laksamana Zheng He yang menjadi utusan Maharaja Cina ke Melaka merupakan tokoh Islam. Isu adakah Laksamana Zheng He sekadar menjadi utursan Maharaja China, atau sebenarnya berperanan juga dalam dakwah Islam perlu dikaji.

e. Kajian-kajian perbandingan yang berkaitan dengan pelbagai aspek dalam tamadun Cina dan Islam, terutama yang berkaitan dengan Islam di alam Melayu.

Analisis pernah dilakukan, misalnya, oleh Jaffary Awang (2005) tentang perbandingan antara nilai dan amalan budaya niaga Cina dengan nilai dan budaya niaga dalam Islam dan analisis Nasruddin Yunos (2005) menyentuh aspek kerohanian dan kebendaan dalam budaya bekerja masyarakat Cina.

f. Kajian perbandingan falsafah dan pemikiran Cina dengan falsafah dan pemikiran Melayu.

Pusat Dialog Peradaban, Universiti Malaya pernah mengadakan siri seminar perbandingan ketamadunan dan hasil seminar dan kajian yang telah dijalankan dapat menjadi titik tolak untuk diperdalam dan diperluas. Antara yang menarik dan penting termasuklah perbandingan Konfusionisme, yang menjadi salah satu asas tamadun Cina dalam hal pemikiran, dengan Islam yang yang menjadi tunjang tamadun Melayu.

g. Kajian perbandingan pelbagai aspek kebudayaan antara dua tamadun.

Antaranya: sistem nilai, kesantunan, lambang dan imej (objek alam, warna dll), kesenian (antaranya perbandingan wayang kulit Melayu dengan wayang kulit Cina), sastera (antaranya perbandingan antara pantun Melayu dengan puisi Cina yang menyerupai pantun), busana, permainan tradisi dan seni bina.

h. Kajian kontrastif tentang pelbagai aspek sistem bahasa Melayu dan bahasa Cina, seperti aspek fonologi, morfologi, sintaksis dan peribahasa.

Kajian kontrastif aspek fonologi, morfologi dan sintaksis dapat membantu pengajar dan pelajar dalam proses pengajaran dan pemelajaran bahasa Melayu, khususnya bagi pengajaran bahasa Melayu sebagai bahasa asing. Kajian perbandingan peribahasa pula lebih berkaitan dengan falsafah, pemikiran, sistem nilai dan pandangan sarwa masyarakat dan dapat dimanfaatkan untuk peneguhan penguasaan bahasa, terutama dalam aspek dinamis bahasa seperti dalam pidato dan karangan.

2. Penerbitan

a. Kamus dwibahasa bahasa Melayu-bahasa Cina, terutama kamus pelajar, yang menekankan latar budaya yang sesuai dengan keperluan pelajar; kamus yang disusun dengan berasaskan konsep medan makna (kerana kamus seumpama itu dapat membantu pemahaman unsur budaya atau tamadun dengan lebih berkesan); kamus ungkapan (bukan sekadar peribahasa, tetapi meliputi aspek ungkapan yang lebih luas), kerana inilah aspek penggunaan bahasa yang paling mencabar bagi pelajar asing.

b. Kamus di talian (online dictionary) yang memberikan kemudahan kepada pelajar membuat rujukan segera dan entri serta maklumat kamus pun dapat senantiasa dikemaskinikan dari waktu ke waktu, berbanding dengan kamus bercetak yang memerlukan waktu yang panjang untuk memperoleh edisi semakannya.
c. Buku pedagogi bahasa untuk rujukan dan panduan pengajaran bahasa Melayu kepada pelajar asing, secara bermodul. Yang berkaitan dengan buku pedagogi ialah buku tuntunan bahasa yang praktis untuk kegunaan pelajar dalam bentuk yang mesra pengguna (termasuk dalam bentuk komik dan aplikasi bahan tuntunan bahasa dalam realiti kehidupan), yang memperhitungkan latar budaya Melayu dan budaya setempat pelajar asing. Daripada segi bentuknya, buku bercetak memerlukan sokongan bahan terbitan elektronik seperti CD dan DVD.

d. Siri monograf kajian semasa yang memerikan aspek-aspek tertentu tamadun Melayu dan tamadun Cina untuk memupuk pemahaman dan persefahaman dalam kalangan pendukung dua tamadun itu. Dalam konteks ini, Kursi Pengajian Melayu di Pusat Pengajian Melayu China telah memulakan penerbitan siri tersebut. Siri itu dapat dimanfaatkan juga untuk memuat tesis dan disertasi yang dihasilkan oleh sarjana Melayu dan China tentang bidang pengajian Melayu (linguistik, sastera, budaya, sejarah, falsafah dll). Model yang dapat digunakan ialah siri penerbitan yang pada suatu waktu dahulu amat mengesankan, iaitu ILDEP (Indonesian Language for Development Project) yang diusahakan oleh Institut Antarabangsa Pengajian Asia Tenggara (IIAS) di Leiden, Belanda dengan kerjasama Pusat Bahasa Indonesia.

e. Portal atau laman web pengajian Melayu yang berpangkalan di Beijing untuk memuat berita, hasil kajian, penerbitan dan bahan-bahan tuntutan bahasa dll. Sebagai permulaan, Pusat Pengajian Melayu China telah bekerjasama dengan Bahagian Bahasa Melayu, Radio China Antarabangsa dalam pengisian blog yang disediakan oleh Laman Web CRI untuk Kursi Pengajian Melayu.


3. Kegiatan:

Contohnya pertandingan pidato dan penulisan wilayah Asia Timur, persidangan, seminar, kolokium dan siri kunjungan budaya ke lokasi-lokasi di tanah besar China, di alam Melayu dan lain-lain. Program pertukaran pelajar BFSU – UM yang bermula sejak tahun 2007 telah memperlihatkan kesan positif dalam konteks persefahaman antara tamadun melalui pengajian Melayu. Pelajar BFSU, di sisi memperoleh manfaat ilmu bahasa, sastera dan budaya Melayu sepanjang satu semester di Universiti Malaya turut menyertai program perambihan (homestay) di rumah keluarga Melayu, sambil melakukan penelitan dan menyediakan kajian. Pelajar Universiti Malaya pula selama sebulan setengah ditempatkan di BFSU untuk mempelajari bahasa Mandarin dan meninjau aspek-aspek kebudayaan masyarakat Cina di tanah leluhur sahabat-sahabat Cinanya di Malaysia.

4. Prasarana dan Jaringan Kerjasama:

1. Mengaktifkan semula Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) yang telah diluluskan oleh Jemaah Menteri Malaysia pada tahun 1997 dan telah mula digerakkan pada tahun 2000 oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia, tetapi malangnya terhenti sesudah tahun 2004 atas alasan yang tidak jelas kepada anggota-angota MABM yang mewakili benua dan wilayah. MABM, dalam tempoh empat tahun bergerak telah berhasil membentuk rangkaian kerjasama antara negara, wilayah dan benua, sama ada melalui peningkatan program pengajian Melayu/Indonesia di serata dunia, pertukaran pakar dalam bidang bahasa, sastera dan budaya, penjanaan projek kajian, penerbitan jurnal antarabangsa Melayu, siri seminar antarabangsa beserta kunjungan budaya, program perambihan (homestay) pelajar bahasa Melayu/Indonesia antarabangsa di alam Melayu dan beberapa program lain lagi.

2. Pelbagai pusat pengajian Melayu yang ada di seluruh dunia perlu mengadakan jaringan kerjasama yang lebih akrab dan padu, seperti melalui penganjuran projek kajian dan penerbitan bersama (yang dengan sendirinya dapat menghemat kos). Direktori Pengajian Melayu Sedunia perlu diusahakan supaya semua sarjana pengajian Melayu dapat dikenal pasti, baik daripada segi bidang kepakaran, cara perhubungan mahupun pengemaskinian data peribadi.

Related Posts with Thumbnails