Monday, May 31, 2010

Kenyataan Media : Lifeline 4 Gaza



KENYATAAN MEDIA
Isnin 31hb Mei 2010
GESAAN KEPADA KERAJAAN DAN RAKYAT MALAYSIA MENGUTUK SERANGAN ISRAEL KE ATAS FLOTILA MISI BANTUAN KEMANUSIAAN LL4G KE GAZA
Perkembangan terkini flotilla Lifeline4Gaza;
1. Sebagaimana yang dimaklumi 7 buah kapal yang menyertai konvoi bantuan kemanusiaan antarabangsa ke Gaza sedang belayar menuju ke perairan Gaza melalui Laut Mediterranean. Konvoi ini diketuai oleh sebuah NGO daripada Turki iaitu Insani Yardim Vakfi (IHH). Maklumat terkini ialah kapal induk Mavi Marmara telah diserang oleh angkatan laut Israel. Akibat dari tindakan biadap ini 3 orang sukarelawan telah terkorban dan 30 lagi mengalami cedera parah.
2. Seramai 12 orang sukarelawan bersama-sama petugas media daripada Malaysia turut menyertai konvoi bantuan kemanusiaan ini. Mereka berada di atas kapal “Mavi Marmara”. Penyertaan mereka bersama konvoi ini adalah semata-mata atas dasar kemanusiaan.
3. Semua objektif dan pergerakan konvoi ini adalah berpandukan kepada Resolusi 1860 (2009) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan undang-undang maritim lain yang berkaitan. Antara lain, Resolusi 1860 menyebut antara lain
a) menyeru kepada penghantaran bantuan kemanusiaan kepada Gaza termasuk makanan, minyak dan kemudahan perubatan,
b) menggalakkan usaha-usaha membuka laluan dan mekanisma lain bagi tujuan menyampaikan bantuan kemanusiaan yang berterusan,
c) menyeru semua negara untuk menyokong usaha-usaha di peringkat antarabangsa bagi memperbaiki keadaan kemanusiaan dan ekonomi di Gaza, dan
d) mengecam semua bentuk keganasan dan serangan terhadap masyarakat awam dan semua bentuk terorisma.
Semua rakyat Malaysia yang terlibat di dalam konvoi ini berpegang teguh kepada peraturan dan undang-undang antarabangsa dan pekerti mulia sesuai dengan aspirasi negara Malaysia.
4. Konvoi ini membawa kira-kira 10,000 tan barangan bantuan. Seramai lebih 540 orang menaiki kapal Mavi Marmara, termasuk ahli parlimen, ahli akademik, petugas media, ulamak, seorang kanak-kanak berumur kurang daripada satu tahun dan juga seorang warga emas berumur lebih daripada 80 tahun. Tidak ada sebarang bentuk senjata dibawa bersama konvoi ini walaupun untuk tujuan mempertahankan diri. Fakta ini jelas menunjukkan bahawa konvoi ini adalah benar-benar sebuah konvoi bantuan kemanusiaan yang akan disampaikan oleh sukarelawan-sukarelawan dari kalangan masyarakat awam.
5. Berdasarkan kepada fakta-fakta ini jelas Israel secara biadap telah melanggar undang-undang antarabangsa. Apatah lagi serangan ini berlaku di perairan antarabangsa dan dilakukan ke atas sebuah kapal bantuan kemanusiaan yang tidak bersenjata yang bertujuan aman. Tindakan Israel menginjak-injak prinsip kemanusiaan ini wajar mendapat kutukan dari seluruh masyarakat antarabangsa yang cintakan keamanan dan keadilan.
6. Kami dengan ini menyeru supaya kerajaan Malaysia di bawah pimpinan YAB Dato’ Seri Mohd Najid Tun Abd Razak dan juga Datin Seri Paduka Rosmah Mansor sebagai Penaung kepada Tabung Bantuan Kemanusiaan Palestin mengeluarkan kenyataan rasmi mengutuk tindakan biadap dan kejam regim Zionis Israel yang telah bertindak di luar batas kemanusiaan dengan menyerang sebuah flotila kemananan yang bertujuan semata-mata untuk menghulurkan bantuan kepada rakyat Gaza yang teraniaya dan dizalimi sekian lama.
7. Kami juga menyeru PBB supaya mengadakan persidangan tergempar untuk meluluskan resolusi bagi mengambil tindakan paling tegas ke atas Israel, termasuk mengheret pemimpin mereka ke muka pengadilan.
8. Kami juga menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia untuk menyatakan bantahan dan kutukan paling keras ke atas Israel serta bersedia untuk menyokong apa-apa tindakan yang akan disusun seterusnya bagi menangani isu ini.
9. Kami juga menyeru kepada semua pemimpin-pemimpin politik, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan rakyat seluruhnya supaya bergabung tenaga menyatakan sokongan kepada misi penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza dan mengenakan tekanan ke atas Israel yang telah menyerang flotila Gaza sehingga menyebabkan kematian dan kecederaan di kalangan sukarelawan.
10. Kami seterusnya menyeru agar semua peringkat masyarakat dapat meneruskan doa dan solat hajat di masjid, surau, jabatan kerajaan, atau mana-mana tempat lain yang sesuai bagi memohon agar Allah SWT menjayakan misi bantuan ini dan memberikan kekuatan dan kesabaran kepada para sukarelawan.
Zulkifli Mohd Nani
Pengerusi

Pasukan Pengurusan Krisis dan sokongan keluarga misi LL4G Malaysia

Thursday, May 20, 2010

Manfaatkan Masa



Kepemimpinan GPTD Unisel ingin mengambil kesempatan mengucapkan selamat bercuti semester. Manfaatkan masa dengan aktiviti bersama keluarga dan masyarakat. Jangan lupa baca buku yang mencerahkan minda. Jumpa lagi semester hadapan. wassalam.

Sunday, May 16, 2010

Hari Guru 2010 : Terima kasih cikgu



Tarikh 16 Mei dipilih sebagai Hari Guru kerana pada haribulan yang sama dalam tahun 1956 Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai dasar pelajaran bagi negara kita. Dokumen tersebut yang dikenali sebagi Laporan Razak (Razak Report) telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak itu.

Sempenan Hari Guru Peringkat Kebangsaan yang bertemakan Guru Pembina Negara Bangsa, kepemimpinan GPTD Unisel merakam ucapan terima kasih kepada guru, ustaz, mursyid yang telah memberi tunjuk ajar sehingga kami, anak-anak muda berani menegakkan kebenaran dan keadilan atas dasar keilmuan.



MUHAMMAD IZZAT CHIAIRIL ANUAR
Presiden

Saturday, May 15, 2010

Selamat Hari Belia 2010

Kepemimpinan GPTD Unisel ingin mengucapkan Selamat Hari Belia pada 15 Mei 2010. Semoga sambutan ini akan memgobarkan semangat anak muda untuk terus menjadi jurubicara masyarakat. Harapnya lebih ramai lagi yang akan bersama-sama pertubuhan belia dalam mengembangkan potensi diri dan memberi khidmat kepada ummat.



HDARIYANI KAMPUN

Setiausaha
Grup Pengkaji Tamadun Dunia
Universiti Industri Selangor

Friday, May 14, 2010

Masjid Asy-Syakirin destinasi relawan

Kuala Lumpur, 8 Mei 2010 - Aktivis GPTD Unisel telah ke Masjid Asy-Syakirin, KLCC untuk bermesyuarat dengan Kepemimpinan GPTD Pusat bagi membincangkan gerak kerja program Himpunan Relawan 2010 yang dijangkakan diadakan di sini. GPTD Unisel diwakili oleh Sdr Muhammad Izzat, Presiden dan Sdri Nor Aqliah Ariffin, Bendahari. Mereka juga mewakili grup masing-masing. Sdr Izzat adalah ketua Grup Wali Songo yang akan membuat kajian ke Jawa untuk XPDC Menjejak Wali Songo. Manakala Sdri Aqliah pula aktivis Grup Cheng Ho yang akan menjejak kesan dan sumbangan Laksama Cheng Ho di Semarang, Indonesia.

Mesyuarat bermula selepas Zuhur dengan sesi taaruf dan hujan turut renyai. Sdr. Hakim selaku Penolong Setiausaha, GPTD Pusat telah memberikan taklimat ringkas tentang idea Himpunan Relawan 2010. Sdr Presiden GPTD Pusat, Sdr Muhammad Suhail telah memberikan idea asas perlaksanaan program dan objektif yang ingin dicapai. Hasil diskusi, siri pengenalan tokoh akan diedarkan di Masjid Asy-Syakirin untuk 8 kali Jumaat sambil mempromosikan program ini. Sasaran peserta terhad kepada 150 sahaja, maka bagi mereka yang berminat boleh hubungi atau sms talian 0176979914.

Senarai Asia: UM, UKM terus jatuh



Universiti-universiti utama di Malaysia terus jatuh beberapa takuk dalam senarai Kedudukan 200 Universiti Asia yang dijalankan oleh Times Higher Education-QS World University Rankings. Antaranya adalah Universiti Malaya (UM) yang jatuh ke kedudukan 42 berbanding 39 yang didudukinya pada 2009.Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), juga jatuh daripada kedudukan 51 kepada 58 untuk berada di tangga yang sama dengan National Central University, Taiwan dan Universiti Ateneo de Manila dari Filipina.

UM yang satu ketika dianggap universiti terunggul negara adalah antara 100 universiti terbaik di dunia pada senarai 2004 tetapi terkeluar daripada senarai itu pada 2006. Bagaimanapun Universiti Putera Malaysia, berjaya memperbaiki kedudukannya daripada 90 kepada 77, manakala Universiti Islam Antarabangsa (UIA) merosot daripada 156 kepada 201. Universiti Sains Malaysia (USM), yang diberi taraf Universiti Apex pada 2009, kekal pada kedudukan 69 dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) juga kekal pada tangga 82.

Kajian yang berpangkalan di UK itu meletakkan University of Hong Kong ditangga teratas dan diikuti oleh Hong Kong University of Science and Technology. National University of Singapore pula berjaya menduduki tempat ketiga.

Sumber : Malaysiakini

Memori suram 13 Mei



Ianya bermula apabila keputusan pilihan raya pada 10 Mei 1969 diumumkan pada hari berikutnya. Buat pertama kalinya sejak kemerderkaan, Perikatan hilang penguasaan majoriti dua pertiga di Parlimen dan tumbang di Kelantan dan Pulau Pinang. Dewan undangan negeri Selangor dan Perak pula digantung kerana tiada parti yang mencapai kemenangan majoriti. Bagaimanapun, di Selangor, Perikatan kemudiannya dapat menguasai negeri itu selepas mendapat sokongan calon Bebas tunggal.

Untuk merayakan kemenaangan itu, pembangkang telah mengadakan perarakan kemenangan pada 12 Mei dengan kebenaran pihak polis. Penyokong India dan Cina parti Gerakan yang merupakan parti pembangkang ketika itu, turut menyertai perarakan tersebut yang diketuai oleh ikon Gerakan Dr Tan Chee Khoon dari klinik dan pejabat politiknya, Tan Dispensary, yang terletak di Jalan Batu (sekarang dikenali sebagai Jalan Tunku Abdul Rahman).

Dalam memoirnya 'May 13 Before and After' Perdana Menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman berkata perarakan untuk 1,000 anggota parti itu telah bertukar menjadi perarakan samseng. Beliau menulis bahawa kegilaan ekoran kemenangan itu mencapai kemuncaknya dan orang ramai tidak dapat dikawal lagi. Menurut Tunku lagi pihak komunis mengambil kesempatan dengan membakar emosi mereka.

Perarakan itu kemudian berubah haluan menuju ke Jalan Campbell (sekarang Jalan Dang Wangi) dan Jalan Hale (sekarang Jalan Raja Abdullah) menuju ke kampung majoriti orang Melayu - Kampung Melayu - dan melalui kediaman Menteri Besar ketika itu, Datuk Harun Idris. Menurut seorang saksi yang berusia 18 tahun ketika itu, mereka berarak sambil membawa penyapu, cuba mengatakan bahawa bangsa Melayu akan disapu. Katanya, mereka membawa penyapu untuk menyapu Datuk Harun dari rumahnya itu.

Dalam keghairan untuk menunjukkan siapakah yang berkuasa, mereka melaungkan kata-kata menghina orang Melayu di kawasan itu sambil memperlihatkan pelakuan yang kurang ajar. Pada saat itulah ia membangkitkan kemarahan orang Melayu, katanya. Demonstrasi itu kemudiannya reda, tetapi ia tidak berakhir di situ apabila orang Melayu pula merancang untuk mengadakan perhimpunan pada hari berikutnya.

Rumah menteri besar yang kini merupakan tapak pembinaan kondominium, dijadikan pusat operasi untuk menganjurkan perhimpunan tersebut. Menurut para saksi, orang Melayu dari beberapa kubu kuat di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor, telah berhimpun di rumah Datuk Harun dengan bersenjata seperti batang kayu dan parang. Berita dilaporkan bahawa orang Cina telah menyerang dua orang Melayu di Setapak. Dan pertumpahan darah bermula kira-kira jam 6 petang.


Sumber : Malaysiakini

Monday, May 3, 2010

Misi rayuan dana tanah runtuh Maninjau dilancar

Padang, 3 Mei 2010 - Global Peace Mission Malaysia melancarkan Misi Rayuan Dana Tanah Runtuh Maninjau dengan kerjasama Grup Penjejak Tamadun Dunia secara siber. Ini adalah salah cara langkah awal selepas misi tinjauan yang telah dijalankan pada 1 Mei 2010 di kawasan yang ditimpa tanah runtuh. Pandan dan Galapung adalah kawasan yang paling teruk bencananya sehinggakan seluruh kampung terpaksa berpindah di Posko Sg Batang buat sementara. Bagi yang ingin menyumbang boleh masukkan ke akaun di atas nama Global Peace Mission, Bank Islam Malaysia Berhad - No Akaun 14 023 01 002922 4 atau Maybank - No Akaun 564 221 611 602

Sunday, May 2, 2010

Misi terapi trauma bersama anak-anak





Maninjau, 2 Mei 2010
- Susulan Misi Tinjauan, aktivis Global Peace Mission (GPM) Malaysia telah ke Posko Sg Batang bagi menyalurkan bantuan segera sejumlah RM2000.00 untuk 111 keluarga dari 3 lokasi ditimpa bencana iaitu Pandan, Galapung dan Batu Nanggai. GPM dengan kerjasama Aksi Cepat Tanggap (ACT) telah menganjurkan Trauma Terapi bersama anak-anak bagi mengembirakan mereka disamping permainan Islamik buat pendidikan. Jajan / Ole-ole buat anak-anak disampaikan kepada semua sebagai pengubat kesedihan. Aktivis GPM Sdr. Izwan Suhadak & Sdr. Muhammad Suhail akan bertanyakan soalan-soalan asas tentang pengetahuan Islam kepada anak-ana
Publish Post
k, bagi yang berjaya akan diberikan hadiah. Anak-anak berlumba-lumba mengangkat tangan untuk menjawab soalan. Program ini dijalankan di dalam Mussola dan di sini jugalah mereka bertumpu dan tinggal kerana belum ada khemah atau pun rumah sementara disumbangkan kepada mereka. GPM adalah NGO pertama daripada Malaysia menghantar bantuan kemanusiaan ke Maninjau.

Saturday, May 1, 2010

Misi Tinjauan bencana di Maninjau




Maninjau, 1 Mei 2010 - Misi Tinjauan GPM yang pertama telah sampai di Maninjau. Pemerhatian dilapangan agak mengharukan dek kondisi tempat kejadian. Jalan darat terputus antara Pandan dan Galapung. Tanah runtuh kali ini sangat dahsyat buat penduduk Pandan kerana gelongsoran yang besar membawa batu dan tanah dari gunung terus ke dalam danau. Banyak rumah yang musnah ditimpa dan dihanyutkan tanah runtuh. Aktivis GPM, Sdr Muhammad Suhail & Sdr Izwan Suhadak Ishak diiringi Bapak Zainul Ariffin, Pengurus Pondok Pesantren Prof Dr Hamka telah berjalan hampir 3 kilometer untuk melihat secara dekat situasi sebenar di sini. Setakat ini yang jumlah mangsa yang telah didaftarkan seramai 461 orang. 14 orang dilaporkan luka ringan, 5 orang parah, 2 orang meninggal dan satu mangsa masih hilang. Seramai 29 keluarga daripada Galapong, 77 keluarga daripada Pandan dan 3 daripada Batu Nanggai. Rekod daftar dijangka bertambah kerana masih ada ramai lagi terperangkap di Galapong dan Batu Nanggai kerana jalan terputus. Kerja-kerja pembaikan jalan sedang digerakkan oleh pemerintah dan masyarakat. Dijangka mengambil masa kira-kira dua minggu.

Related Posts with Thumbnails