Saturday, July 30, 2011

Sekolah Kehidupan



Setibanya aku di tempat kerja, ibu pelajarku bertanya:

"Wan tegur Iffah ya semalam? Pasal kuku dia panjang."

Aku tersengih. Cuak juga sebenarnya kot-kot dia akan memarahiku. Aku sekarang kan sudah 'fobia' dimarahi depan khalayak.

"Ya kak, maafkan saya. Saya tegur sebab saya tengok kuku dia panjang sangat."

"La, kenapa nak minta maaf...akak ok je. Bagus Wan tegur dia. Kalau ada apa yang tak kena, Wan tegur lah."

Aku menarik nafas lega.

Ingatkan ibunya mahu memarahiku. Fuhhh!

Sudah 1 bulan lebih aku mengajar gadis manis itu. Sejujurnya, mengajar anak-anak kecil adalah sesuatu yang menggembirakan hati.

Kadang-kadang aku rasa seperti mendapat emas 500kg apabila muridku faham dan boleh membuat latihan yang kuberi.

Sewaktu mula-mula mengajar secara tidak formal awal tahun ini, aku sudah sematkan dalam diri....aku bukan hanya mengajar subjek di sekolah, tetapi aku juga mesti ajarkan mereka tentang sekolah kehidupan.

Itu yang aku pelajari daripada sekolah tarbiyyahku dalam PKPIM, GPTD, dan ABIM.

Pernah aku khabarkan pada kalian tentang salah seorang guruku sewaktu di sekolah menengah, Cikgu Rusdi Muhammad (guru Sejarah). Dia seorang yang sangat berdisiplin.

Seingatku, setiap minggu dia akan memeriksa kuku kami. Dengan pembaris kayu panjang di tangannya, dia akan berjalan dari satu meja ke satu meja. Memerhatikan satu persatu kuku kami.

Itu rutinnya, tidak pernah gagal.

Dia juga rajin mengajak kami datang usrah. Hari Jumaat, jam 8 pagi. Walaupun awal dan hujung minggu bagi kami, dia tetap bersemangat, dan semangatnya mengalir ke jiwa kami.

Ramai guruku yang bersemangat dalam mendidik kami di sekolah kehidupan. Belajar bukan hanya untuk mendapat A dalam peperiksaan,, bukan untuk mendabik dada pada yang lain mengatakan diri sendiri yang hebat. Itu yang kami belajar.

Termenung seketika.

Berapa ramai cikgu yang mengajar separuh hati? Jenguk-jenguk siapa yang mengajar hanya kerana semata-mata mencari kerja kosong?

Oh, jangan ditanya kenapa ada pelajar kurang ajar kerana guru sendiri masih meraba-raba mencari jalan hidup. Sekolah kehidupan guru-guru masih belum khatam.

Usah pernah berbangga menjadi guru.

Tanggungjawab yang tergalas di pundak wajib dilaksanakan dengan baik.

Jika mahu ajarkan murid berkuku pendek, kita harus potong kuku setiap minggu.

Andai mahu ajarkan murid hormati kita, kita yang perlu menghormati mereka.

Kiranya mahu murid membersihkan kelas, kita terlebih dahulu perlu kemaskan rumah, langsaikan tugasan tugasan kita terhadap rumah.

Kalau mahu murid membuang sampah ke dalam tong sampah, cuba hitung berapa kali kita sendiri buang sampah?

Jangan pernah mengharapkan orang lain berubah andai kita sendiri tidak mampu berubah.

Adakalanya kita adalah guru, pernah juga kita adalah murid. Itulah sekolah kehidupan.

Didikan kita buat hati wajar ditekankan.

Aku adalah guru, kalian juga seorang pendidik.

Kamu belajar? Aku juga masih dalam proses pembelajaran.

Daripada Ali bin Abi Talib r.a., telah bersabda Rasulullah s.a.w:

“Orang yang paling baik itu adalah orang yang alim. Jika ia diperlukan maka ia akan memberi manfaat bagi orang lain. Dan jikalau ia tidak diperlukan, maka mencukupkan dirinya sendiri (tidak menyusahkan orang lain)”

Tepuk dada, tanya iman..

Sumber : Bila Pena Menari

Friday, July 29, 2011

Karnival Ibadah : Ramadan sebagai universiti pendidikan ruhiyyah

Barisan kepemimpinan GPTD Unisel mengucapkan Salam Ramadan 1432H. Semoga kita dirahmati, diampuni dan terlepas daripada azab api neraka.

Wednesday, July 6, 2011

Laporan Jejak Pattani 2011

Pengenalan

Jejak Pattani adalah projek pertama oleh Grup Pengkaji Tamadun Dunia Unisel dengan kerjasama Global Peace Mission Malaysia untuk tinjauan awal di Selatan Thailand. Tumpuan wilayah yang diberi perhatian pada projek ini adalah Pattani, Narathiwat dan Yala. Dalam kesempatan masa dan ruang yang terhad beberapa input telah diperolehi bagi tujuan rujukan dan tindakan pada masa hadapan. 3 orang relawan terlibat iaitu Sdr Izwan Suhadak Ishak, Naib Presiden GPTD Pusat, Muhammad Izzat Bin Chiaril Anwar, Presiden GPTD Unisel dan Khairul Anwar Korai, Exco Majlis Perwakilan Pelajar Unisel. Turut mengiringi Tn Hj Wan Abdul Rahman dan Tn Hj Ishak Othman.

Masjid Aur di Nad Tanjong

Dikatakan telah berusia lebih 500 tahun terbina. Penduduk tempatan memberitahu bahawa masjid tersebut telah dibina oleh Langit Hitam seorang ulama dan penasihat raja. Senibina masjid mirip kepada senibina Melayu Campa terutama pada bahagian atap. Sepenuh binaan dengan bahan berasaskan kayu dan tiada penggunaan paku. Berhampiran dengan Masjid Aur terdapat perkampungan Jawa yang lebih dikenali sebagai Pagar Jawa. Istilah pagar terbit berdasarkan binaan pagar yang dibina mengelilingi perkambungan tersebut.

Masyarakat Jawa pada ketika itu dikatakan sebagai saudagar dari Tanah Jawa berniaga di sini. Masjid Aur pada asalnya berada berhampiran dengan pantai tempat pertemuan para perdagang. Disebabkan berlaku hakisan maka penduduk setempat telah memindahkan masjid ini ke kawasan yang lebuh selamat iaitu di Kg Air. Berdasarkan cerita yang telah disampaikan oleh datuk kepada Penghulu. Ketika mengangkat binaan Masjid Aur beliau terjumpa duit lama di bawah tapat tiang. Tetapi malangnya duit tersebut sudah hilang entah ke mana.

Disekitar masjid terdapat dua biji batu besar dan berat yang didakwa oleh masyarakat setempat. Tujuan batu itu dibawa adalah untuk menunjukkan kekuatan mereka kepada masyarakat umum tentang kekuatan dan kelebihan yang mereka ada. Terdapat sebuah perigi lama dihadapan Masjid Aur yang menjadi sumber air penduduk setempat pada masa tersebut. Beberapa kilometer daripada masjid ada makam Langit Hitam yang berbatu nisan hitam. Tiada tahun dicatatkan pada batu nisan. Kajian lanjut perlu diadakan untuk merungkai kesan sejarah yang terdapat di sini.

Masjid Krisik di Pattani

Ada yang mendakwa bahawa Masjid Kerisik adalah binaan yang tidak siap serta dikaitkan dengan kisah misteri dua beradik berlainan agama (Islam dan Budha). Tetapi jika dilihat dari segi konsep binaannya bata adalah mirip kepada Timur Tengah manakala bentuk gerbang dan tingkap menyerupai konsep moor di Spanyol. Jika ditinjau binaan Masjid Kudus yang dibina oleh Sunan Kudus mirip dengan konsep binaan batu bata tanpa simen.

Malah mereka menggunakan putih telur menggantikan peranan simen bagi menyusun batu batu tersebut. Malah pintu gerbang laluan utama ke Masjid Kudus mirip gerbang Kuil Hindu atau dikenali sebagai Gapura. Maka teori yang mengatakan Masjid Kerisik tidak siap adalah tidak tepat. Dikatakan, ulama di Jawa turut belajar di Champa dan Pattani (Negeri Chermin) selain di Pasai, Aceh. Nama Gresik di Surabaya yang terdapat Makam Syeikh Malik Ibrahim (Wali Songo) juga mirip bunyinya dengan Krisik di Pattani.

Dalam catatan sejarah, Kerisek memang mendapat nama sempena nama Gresik di Surabaya selepas cucu Syed Husein Jamadil Kubra dihantar ke Gresik ketika tentera Siam di bawah pimpinan Boromaraja II telah menyerang Kerajaan Majapahit di wilayah Kelantan. Cucu Syed Husein Jamadil Kubra tersebut adalah Wan Husein, Wan Abu Abdullah ‘Umadatuddin (Wan Bo) dan Wan Alimuddin (Wan Demali) telah membantu dalam gerak kerja dakwah sepupu mereka iaitu Sunan Ampel di Gresik. Mereka merupakan anak kepada Sunan Gunung Jati (Syarif Hidayatullah) kemudian telah diarah untuk menyebarkan dakwah ke wilayah yang lain. Wan Husein dihantar ke Pulau Madura sebagai Khalifah, Wan Bo ke Pasai menggantikan sepupunya Maulana Ishak (sepupu Sunan Ampel) manakala Wan Demali ke Johor-Riau.

Selepas misi selepas mereka kembali ke Patani dan mendapat di kawasan yang tidak jauh dari pelabuhan Patani. Maka dinamakan kawasan baru itu dengan panggilan Gresik sempena nama tempat mereka membesar dan menuntut ilmu. Tetapi pelat tempat memanggil Kerisik. Sama seperti Sungai Golok yang memisahkan wilayah Kelantan dan Selatan Thailand ketika ini. Jika di Thailand mereka melabelkan Sg. Golok sebagai Su Ngai Kolok.

Apa pun teori sejarah yang ditemukan oleh sejarawan adalah sumbangan besar kepada umat Islam di Pattani. Tetapi di Masjid Kerisik juga merakaman suatu sejarah berdarah iaitu Tragedi Pembunuhan di Masjid Kerisik. Kejadian berlaku di semasa waktu Subuh ketika jamaah sedang bersolat. Tentera Thailand dengan kereta kebal telah mengepung Masjid Kerisik. Pihak tentera telah melepaskan tembakan rambang menyebabkan terdapat kesan-kesan tembakan pada bahagian dinding luar masjid sehingga sekarang walaupun telah ditutup kemusnahan itu dengan binaan baru pada bahagian dalam masjid. Menjadi persoalannya adalah jamaah solat yang terkorban terdapat kesan tembakan pada bahagian dahi. Perisiwa yang berlaku pada tahun 2004 terus berlangsung dalam kesempatan dan ruang yang lain. Nasib umat Islam terus teraniaya dan dizalimi.

Masjid Jami’ al-Fathoni

Ziarah dan bersolat Jumaat di Masjid Jami’ al-Fathoni pasti menjadi suatu kenangan indah. Binaannya yang sangat unik dan besar melambangkan Islam di Selatan Thailand masih utuh. Kebetulan pada hari Ahadnya akan berlaku pilihanraya umum Thailand. Maka sebelum khutbah bermula, Gabenor hadir untuk menyampaikan ucapan dan pesanannya agar warga Selatan Thailand dapat membuat keputusan yang tepat dalam menentukan wakil mereka ke Parlimen Thailand. Sistem pilihanraya di Thailand sangat berlainan dengan di Malaysia. Tiada bendera parti yang dikibarkan atau digantung pada tiang-tiang. Hanya billboard kecil di susun di tepi jalan memperkenalkan calon kepada rakyat jelata dengan setiap calon punya nombor mewakili parti masing-maing. Sistem ini juga mirip kepada pelaksanaan kempen pilhanraya di Indonesia.

Khutbah disampaikan dalam bahasa Melayu loghat Kelantan dengan penuh bersemangat mengingatkan kepada umat Islam tentang kelebihan bulan sya’ban. Ramai jamaah yang memakai jubah putih, barangkali mereka mengaji di pondok. Boleh jadi ini sebagai satu pembuktian bahawa Pattani memang serambi Mekah. Maka calon pilihanraya yang menjadi tumpuan di Selatan Thailand adalah adik perempuan Thaksin yang lebih dikenali sebagai Jamilah dek kerana kecantikannya. Jamilah akan memakai tudung ketika berkempen di wilayah ini. Beberapa pendapat masyarakat setempat, antaranya mereka sukakan dasar parti Thaksin kerana membantu fakir miskin dan anak yatim. Malah pada pemerintahan beliau, ramai wakil rakyat Melayu di Parlimen. Cuma pada masa yang sama dasar Thaksin menghukum masyarakat Islam di sini sangat mudah dan zalim. Raja Thailand sudah tua dan waris lelakinya pula sudah teruk menghidap HIV. Kemungkinan Raja Thailand tiada waris lagi. Maka ahli politik sedang menunggu peluang untuk menjadi ‘Raja’ baru di Thailand.

Imbasan Sejarah lampau

Pagar Jawa di Tanjong, Pattani mengimbas suatu sejarah penting. Kemungkinan terbina Pagar Jawa disebabkan berdagang pasti wujud hubungan politik. Ini kerana memang wujud hubungan erat antara Kerajaan Mahajapahit dan Kerajaan Pattani. Suatu ketika dulu Kelantan pernah menjadi wilayah naungan Kerajaan Majapahit di Jawa. Malah teori baru tentang Kesultanan Majapahit ada kebenarannya kerana bantuan yang diberikan untuk mempertahankan wilayah Patani Darussalam.

Malah dalam zaman tertentu seperti contoh Kerajaan Pattani Raya meliputi Campa, Selatan Thailand, Kelantan, Terengganu hingga Pahang. Sejarah juga merakamkan hubungan salsilah dan politik Pahang wujud antara Melaka dan Acheh. Memang Melaka juga pernah ziarah ke China semasa Dinasti Ming untuk mengadukan tentang serangan Siam ke atas wilayah takhluk Melaka. Maka dapat dirumuskan bahawa untuk memahami sejarah penyebaran agama Islam dan politik kesultanan umat Islam di Nusantara ini perlu dilihat dari perspektif menyatu bukan terpisah-pisah mengikut wilayah. Perlu dilihat dari zaman ke zaman kerana pemerintahan kesultanan sering bertukar tangan dari Kerajaan Campa, Kedah Tua, Majapahit, Pasai, Melaka, Pattani, Acheh, Demak, Johor.

Ziarah ke Rumah Anak Yatim

Dua rumah anak yatim yang dapat diziarahi oleh relawan GPTD Unisel adalah Pertubuhan Anak Yatim Tanjong (PEKAIT) yang berpusat di Masjid Jami’ Ul Wustha, Nad Tanjong. Pertemuan bersama Jawatankuasa Pengurusan PEKAIT ini sangat signifikan kerana memang tujuan GPTD Unisel untuk meninjau dan mendapatkan maklumat apa dan bagaimana relawan GPTD Unisel dapat membantu dari segi khidmat pendidikan dan sosial. Alhamdulillah selepas diskusi, peluang khidmat bakti yang boleh dilakukan oleh GPTD adalah pengajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Asas Literasi Komputer. Mungkin modus operandi program Keluarga Angkat juga sesuai bagi tujuan menelusuri jiwa dan pemikiran masyarakat Melayu di sini. Malah berhampiran Masjid Jami’ Ul Wustha terdapat monumen sejarah iaitu Masjid Aur yang bertepatan dengan GPTD Unisel peranan untuk mengkaji ketamadunan selain berbakti. Ini akan menjadi fokus utama GPTD Unisel dan bersetuju untuk melaksanakannya pada bulan April 2012 sesuai pada pihak GPTD Unisel dan PEKAIT.

Badan Kebajikan Anak Yatim Tabal (AYATA) tidak asing bagi GPTD Unisel kerana ketika lawatan sambil belajar anak-anak yatim AYATA di Meru Klang pada tahun lalu Khairul Anwar dan Muhammad Anuar, relawan GPTD Unisel telah berkhidmat sebagai fasilitator mengajar Bahasa Inggeris dan motivasi. Oleh kerana projek pengajaran Bahasa Inggeris dan Motivasi telah dilaksanakan oleh PKPIM maka GPTD Unisel hanya akan membantu dari segi penajaan dalam negara sahaja. Setakat ini relawan GPTD Unisel akan membantu pencarian dana baju raya AYATA. Ini telah digerakkan sebaik sahaja misi Jejak Pattani tamat pada 3 Julai 2011 yang lalu.

GPTD Unisel juga berminat untuk meneroka khidmat latihan fotografi dan videografi kepada AYATA serta PEKAIT bagi merancakkan proses penyebaran maklumat nasib umat Islam dan sejarah Selatan Thailand ianya menjadi agenda masyarakat siber untuk terus menyalurkan bantuan kepada anak yatim. Oleh kerana belum ada kompleks khas untuk menempatkan anak yatim di dalam asrama, maka anak yatim tinggal bersama ibu atau bapa masing-masing. Barangkali program keluarga angkat relawan GPTD Unisel wajar diadakan bagi merasai suasana setempat. Maka relawan juga dapat mengambil peluang untuk mempraktiskan Bahasa Siam yang sewajarnya turut dikuasai oleh relawan.

Jaringan NGO dan wakil rakyat

GPTD Unisel berkesempatan bertemu bersama dengan Young Muslim Association of Thailand (YMAT) Cawangan Narathiwat bagi mendengar taklimat Projek Mikro Kredit usahasama antara Global Peace Mission Malaysia. Setakat ini YMAT berjaya melatih dan membimbing golongan mualaf dalam soal berniaga malah kelas agama juga disediakan bagi menambah kefahaman agama Islam kepada mereka. Berdasarkan rekod, sahabat Mikro Kredit YMAT berjaya membayar semula pinjaman yang dilakukan dan mereka juga tidak pernah terlepas menghadiri kelas agama setiap hujung minggu. Ada beberapa sahabat Mikro Kredit yang gagal atau lewat bayar semula pinjaman, jika dianalisa kembali mereka ini tidak menghadiri kelas agama anjuran YMAT.

GPTD Unisel berminat dan bercadang untuk turut menghantar relawan sebagai anak angkat keluarga mualaf di bawah sahabat Mikro Kredit bagi membantu perniagaan mereka di samping merasai pengalaman kesusahan dan kepayahan mereka seharian. Mungkin sasaran utama pelajar-pelajar jurusan bisnes boleh terlibat serta memberi idea bagi menambah nilai perniagaan keluarga angkat mereka.

Pertemuan dengan Abd. Asis Tade-In, aktivis YMAT yang bertugas memantau isu-isu hak asasi manusia sangat bermakna buat GPTD Unisel, walaupun kesempatan yang ada sangat terhad tetapi insya Allah akan ada ruang dan peluang yang dapat dilakukan bersama bagi memahami isu Selatan Thailand dengan lebih mendasar lagi. Begitu juga pertemuan dengan Isama-ae Bin Haji Abdul Rahman, Pengarah Eksekutif Yayasan Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia. Pada misi akan datang mungkin akan ada kerjasama erat lagi selepas ini.

YB Pak Suwi, Dewan Undangan Negeri Air Kubu Chaerong sempat memberikan kata perangsang buat anak muda di Malaysia agar terus konsisten berbakti kepada umat. Beliau turut meraikan kehadiran rombangan serta bersedia untuk menjayakan program anak angkat pada masa hadapan. Malah tragedi Masjid Al-Furqan yang berlaku pada tahun 2009 juga dikongsikan sedikit.

Kesimpulan

Misi Jejak Pattani 2011 berjaya mencapai objektifnya, dengan kesempatan yang terhadap banyak input yang diperolehi. GPTD Unisel komited untuk menjayakan agenda khidmat pendidikan, sosial dan kajian sejarah serta tokoh untuk misi akan datang. Jejak Pattani 2.0 siap digerakkan sekarang dan dilaksanakan pada April 2012. Kejayaan Jejak Pattani adalah suatu bukti bahawa keselamatan pergi dan pulang relawan GPTD Unisel ke Selatan Thailand dijamin oleh Allah SWT. Berita tentang ancaman bahaya terutama tembakan adalah berita yang sengaja digembar-gembur oleh media agar tiada lagi yang datang berziarah dan membantu pembangunan di wilayah Selatan Thailand.

Dasar ini sama seperti di Selatan Filipina, laporan media antarabangsa sering melaporkan bahaya yang berlaku di sana. Tetapi bahaya kemiskinan dan kemunduran dipinggirkan. Sama juga seperti berita tentang kejadian jenayah merombak dengan penggunaan senjata api tinggi di Johor. Namun rakyat Johor masih setia dinegerinya. Malah ramai dari dalam dan luar negara masih dapat berziarah. Oleh itu nasib umat Islam di Selatan Thailand patut diambil peduli oleh semua umat Islam seluruh dunia bagi membela nyawa, agama, keturunan generasi hadapan. Khususnya anak muda, mahasiswa dan relawan GPTD Unisel harus berani meneruskan misi rahmatan lil alamin.


Menjejak.Meneladani.Memimpin


Disediakan bersama oleh,

IZWAN SUHADAK ISHAK, Naib Presiden GPTD Pusat

MUHAMMAD IZZAT CHIARIL ANWAR, Presiden GPTD Unisel

KHAIRUL ANWAR KORAI, Relawan GPTD Unisel

6 Julai 2011 bersama 6 Sya’ban 1432H

Bestari Jaya, Selangor.

gptdunisel@gmail.com | http://gptdunisel.blogspot.com | http://facebook.com/gptd.unisel


Related Posts with Thumbnails