Monday, November 30, 2009

Ibadah Qurban 1430 H di Maninjau, Sumatera Barat

Maninjau 30 November 2009 - Di sebalik kedamaian dan ketenangan Danau Maninjau yang menyimpan seribu satu kenangan dan sejarah yang tidak terungkap, suatu gempa bumi berukuran 7.8 pada skala richter telah berlaku pada 30 September yang lalu. Gegaran yang dirasai oleh kira-kira 4000 ribu orang penduduk di empat kampung di Maninjau pada awal pagi itu telah diikuti dengan tanah gelongsor di 25 tempat apabila hujan turun dengan lebat pada sebelah petang. Jalan masuk untuk ke Pesantren Buya Hamka tidak dapat digunakan. Ada juga rumah-rumah yang dibawa arus tanah hingga ke dalam tasik dan tenggelam sepenuhnya.

Para pelajar Pesantren Buya Hamka bernasib baik kerana sempat menyelamatkan diri di masjid berdekatan. Daripada 45 rumah yang tidak lagi layak dihuni dan lebih 200 buah yang rosak, tidak ada satupun korban nyawa berlaku di Maninjau. Di kawasan bukit bukau di sekeliling tasik kelihatan bekas gelongsoran tanah yang agak ketara. Selain itu, telah berlaku runtuhan di sebuah bukit sepanjang satu kilometer mengakibatkan kemusnahan rumah dan jalanraya. Arus air yang di bawa oleh batu-batu dari atas bukit kini mengalir merentangi beberapa jalan menuju pesantren. Para pelajar Pesantren Buya Hamka kini berjumlah seramai 64 orang terpaksa tinggal di sebuah bangunan dua tingkat separa siap bersebelahan masjid. Pelajar lelaki seramai 30 orang ditempatkan di di bahagian bawah rumah berkeluasan 20 kaki persegi. Pada hari raya kedua, dua ekor lembu telah dikorbankan untuk diagihkan kepada masyarakat. Salah satunya dibuat di Masjid Raya dalam daerah Kukuban dan satu ekor lagi di berdekatan penempatan sementara Pesantren.

Selepas selesai acara Qurban, kami dibawa melihat tapak baru pesantren yang telah diwakafkan oleh masyarakat terletak kira-kira 15 kilometer dari tempat lama. Terletak di Desa Kubugadang, kawasan ini merupakan sebuah perkampungan pada asalnya. Disebabkan kedudukan yang agak jauh di atas bukit serta prasarana yang kurang baik, penduduknya telah berpindah ke kawasan yang lain. Terdapat beberapa buah rumah dan sebuah masjid yang tidak lagi digunakan. Lokasi ini mempunyai pemandangan yang cantik kerana kedudukannya yang menghadap danau. Apa yang diperlukan sekarang adalah akses jalanraya untuk sampai ke kawasan tersebut. Terdapat juga satu lagi kawasan alternatif bagi membangunkan pesantren sementara di daerah lain. Saudara Azhar, wakil dari Surau/Masjid Bukit Jelutong tiba pada tengahari 28 November 2009. Beliau telah mengambil masa hampir dua hari menggunakan jalan darat dan air untuk sampai ke Padang. Beliau akan melaksanakan kerja-kerja dokumentasi untuk baki dua ekor lembu pada hari Ahad.

Pesantren Buya Hamka telah menerima bantuan dari beberapa NGO tempatan. Antaranya Dompet Dhuafa’ Indonesia telah bermurah hati menyumbang 20 lokal darurat untuk dijadikan kelas sementara. Selain itu, Lembaga Manajemen Infaq (LMI) berpusat di Surabaya telah menghulurkan Rp50 juta selain bantuan untuk penternakan ikan yang akan menyusul.

Secara keseluruhan, gempa bumi yang berlaku di Maninjau telah memberi kesan yang mendalam kepada penduduk setempat. Kaum wanita dan kanak-kanak masih lagi tidur di dalam khemah kerana bimbang kejadian yang sama bakal berulang. Jalan-jalan yang terkambus dek runtuhan sudah dibersihkan dan yang terbelah dua disambung menggunakan batang kelapa. Peristiwa mengendong anak dengan berjalan kaki ke tengah danau di malam hari dalam keadaan hujan, perempuan tua yang keseorangan di rumah di samping suaminya yang cedera yang ditemui dua hari sesudah gempa merupakan sekelumit daripada ribuan kisah saksi-saksi musibah yang menggoncang bumi Maninjau dua bulan yang lalu.

MOHD SHAKIR FAHMI BIN FAKHRULRAZI
Sukarelawan GPM / Ahli Majlis Tertinggi GPTD


#GPTD UNISEL akan menghantar misi rasmi ke Maninjau sidikit masa lagi bagi meneruskan misi khidmat sosial sebelum ini dan membantu mangsa gempa bumi.

Sumber : GPTD

Friday, November 27, 2009

Salam Aidil Adha 1430H

Dikesempatan ini, barisan Kepemimpinan GPTD UNISEL ingin merakamkan Salam Aidil Adha 1430H kepada seluruh ummat Islam di seluruh dunia khususnya para aktivis-pemikir GPTD dan mahasiswa UNISEL. Bertakbirlah dalam segenap jiwa dan ragamu. Besarkanlah Ilah mu. Allahu Akbar..Allahu Akbar..Allahu Akbar!

Jadikan ianya zikir harian dan fikir rutinan. Bukan hari raya Aidil Adha sahaja tetapi amali yang diterjemahkan keseluruh pelosok muka bumi. Contohilah ketaatan Nabi Ismail kepada mimpi ayahandanya Nabi Ibrahim yang diilhamkan oleh Ilahi. Pengorbanan seorang anak demi mentaati perintah Allah SWT. Pengorbanan seorang ayah demi menunaikan ketentuan Penciptanya. Walau sukar dan berat hati, tetapi tetap dilaksanakan tanpa was-was. Semangat ini yang perlu dicontohi para aktivis-pemikir GPTD UNISEL dalam melakukan kerja perlu ada keyakinan walau 1000 halangan yang tiba. Misi rahmatan lil alamin akan tetap diteruskan walau ramai yang gugur di tengah perjalanan.

Thursday, November 26, 2009

Temuduga Pengambilan Aktivis GPTD UNISEL


GPTD UNISEL akan mengaktifkan Grup Hamka, Grup Cheng Ho dan Grup Wali Songo. Tujuannya adalah untuk membuat kajian pemikiran dan sumbangan tokoh tersebut kepada dunia. Oleh itu, usaha menjejak mereka di tempat kelahiran dan penjelajahannya akan dilakukan pada tahun 2010. Sehubungan dengan itu, pihak sekretariat ingin mencari aktivis untuk menggerakkan grup terbabit bagi menjayakan projek khas tersebut. Terbuka kepada semua mahasiswa kampus Bestari Jaya & Shah Alam. Jika berminat sila hadir ke temuduga terbuka seperti maklumat di bawah :

Tempat : BT 8, FSP | Masa : 8.00 - 10.00 malam | Tarikh : 2-5 Disember 2009

Maklumat lanjut sila sms / hubungi Wan Ritini di talian +6010.2460.435 atau emel ke gptdunisel@gmail.com





Peperiksaan Akhir bukan yang terakhir

Peperiksaan akan dirujuk kepada ujian yang besar. Kegentaran biasanya lebih terasa apabila berhadapan dengan peperiksaan berbanding ujian. Tetapi hakikatnya kepentingannya tetap sama. Ujian perlu dijawab dengan sebaik mungkin, agar carrymarks mendapat nilaian yang maksima. Peperiksaan akhir hanyalah penentu sama ada calon skor atau tidak. Maka janganlah sesekali abaikan ujian. Dalam kehidupan seharian juga, kita sentiasa berhadapan dengan ujian. Siapa yang menguji kita? "Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun" Surah al-Mulk 67:2. Sesungguhnya yang benar-benar menguji manusia adalah Penciptanya. Untuk dinilai mana yang baik pekerjaannya, mana yang ikhlas melakukannya. Jadi, hadapilah ujian dengan sabar kerana ia adalah sebahagian daripada sunnah perjuangan. Malah Allah SWT juga berfirman dalam surah Muhammad 47:31 yang bermaksud "sesungguhnya Kami benar-benar akan menguji kamu agar Kami mengetahui orang-orang yang berjihad dan bersabar di antara kamu, dan agar Kami menyatakan (baik buruknya) hal ihwalmu.

Peperiksaan besar dalam agama adalah soal-jawab di kubur dan mahkamah akhirat. Oleh itu jangan pula kita mengambil mudah ujian Ilahi di dunia kerana peringkat ujian dunia yang akan memudahkan urusan peperiksaan besar di akhirat kelak. Ujian utama di dunia adalah soal mehnah dan tribulasi dalam perjuangan agama. Sejauh mana kita sanggup sabar dengan ujian harta, tahkta dan wanita? Ianya akan terjawab apabila mereka melaluinya sendiri. Maka bersyukurlah, kerana kita masih diuji oleh Allah SWT kerana ianya adalah tanda kasih sayangnya pada kita. Yang berjaya sabar dan menghadapi dengan penuh pengorbanan dan kesukaran, syabas. Yang putus asa dengan penuh kesenangan, awaslah dia. Pengorbanan adalah suatu perjuangan!

Barisan Kepemimpinan GPTD UNISEL ingin mengucapkan Selamat Menduduki Peperiksaan Akhir buat semua mahasiswa UNISEL semester 1-2009-2010. Semoga dipermudahkan urusan menjawab soalan dan mendapat keputusan yang cemerlang.







Wednesday, November 25, 2009

Jemputan : Seminar Pengukuhan Pandangan Alam Islam



PENDAHULUAN

Dalam menghadapi kegentingan masalah masyarakat Islam dalam pelbagai bidang dewasa ini, satu usaha yang terencana dan teliti bagi merungkai masalah tersebut amat diperlukan. Oleh sebab itu, segala penyelesaian yang ingin dilakukan haruslah bermula dengan usaha memperbetulkan cara berfikir masyarakat Islam terutama yang berhubung dengan unsur-unsur penting yang membentuk alam pemikiran mereka. Bertitik tolak dari kesedaran tentang pentingnya usaha tersebut satu seminar sehari pengukuhan Pandangan Alam Islam akan dianjurkan oleh Himpunan Keilmuan Muda (HAKIM) dengan kerjasama Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Institut Integriti Malaysia.


OBJEKTIF

1. Menekankan keutamaan Pandangan Alam Islam dalam kerangka berfikir masyarakat Islam.
2. Memantapkan kefahaman masyarakat, khasnya generasi muda, tentang Pandangan Alam Islam yang sebenar.
3. Menghuraikan unsur-unsur penting dalam Pandangan Alam Islam.


PENGANJUR

Himpunan Keilmuan Muda (HAKIM)
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

Dengan kerjasama,
Institut Integriti Malaysia (IIM)


PESERTA

Sasaran penyertaan sebanyak 200 orang (bagi Seminar) dan 500 orang (bagi Syarahan Perdana) daripada kalangan ahli akademik, ahli profesional, pelajar dan orang awam.


YURAN

Yuran Seminar dan Syarahan Perdana:
Organisasi : RM100 seorang (kumpulan 5 orang)
Individu : RM150
Pelajar : RM20

Yuran untuk Syarahan Perdana sahaja:
Individu : RM50
Pelajar : RM10


TENTATIF PROGRAM

9.00 – 10.30 pagi Perasmian oleh Tetamu Kehormat

Ucap Utama oleh Prof. Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud, UKM
Tajuk: Pengukuhan Pandangan Alam Islam Di Kalangan Masyarakat Islam Kini: Cabaran dan Harapan


11.00 – 1.00 ptg Sidang Pertama

Pembentang:

1. Dr. Mohd Zaidi Ismail, IKIM
Tajuk: Faham Ilmu Dalam Islam: Satu Pengenalan Ringkas

2. Dr. Mohd Farid Mohd Shahran, UIAM
Tajuk: Makna dan Matlamat Agama dalam Islam


2.00 – 3.30 ptg Sidang Kedua

Pembentang:

1. Dr. Mohd Sani Badron, IKIM
Tajuk: Adab dan Ta’dib sebagai Asas Pendidikan Islam

2. Dr. Adi Setia Mohd Dom, UIAM
Tajuk: Islam dan Falsafah Sains


3.45 - 5.30 ptg Sidang Tiga

Pembentang:

1. Dr. Ahmad Bazli Shafie, UMT
Tajuk: Pandangan Islam terhadap Tradisi dan Kemodenan

2. Dr. Wan Azhar Wan Ahmad, IKIM
Tajuk: Islam dan Cabaran Sekularisasi dan Pembaratan

5.30 - 8.30 Rehat

9.00 – 11.00 mlm Syarahan Perdana ( Dalam Bahasa Inggeris/In English)




Tuesday, November 24, 2009

35 serta bengkel penulisan di BH

Kuala Lumpur, 24 November 2009 - Seramai 35 peserta menyertai Bengkel penulisan berita dan rencana Berita Harian - Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), di Balai Berita, semalam dalam usaha memperkasakan lagi kemahiran dalam bidang penulisan.

Bengkel sehari yang julung kali diadakan oleh Abim dengan kerjasama Berita Harian itu disertai kakitangan, sukarelawan dan aktivis Abim dari seluruh negara serta dirasmikan Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mior Kamarul Shahid.

Presiden Abim, Muhamad Razak Idris berkata, bengkel berkenaan diadakan bertujuan mendapatkan kepakaran daripada Berita Harian untuk melatih kumpulan wartawan Abim yang akan menjadi penggerak untuk penulisan berita dan rencana dalam penerbitan Abim.

“Bengkel yang bermula pada jam 9.30 pagi ini dibahagikan kepada dua aspek pembelajaran iaitu bahagian pertama membabitkan pendedahan mengenai teknik penulisan berita manakala bahagian kedua pula berkaitan teknik dan gaya penulisan rencana.

“Abim melihat penganjuran bengkel ini adalah sebagai kerjasama pintar antara Abim dan Berita Harian membabitkan belia serta dakwah, ” katanya.

Semua peserta mendapat sijil penyertaan yang disampaikan oleh Muhamad Razak.

Sumber : Bharian.com.my

Nota : Tiga orang aktivis GPTD UNISEL turut hadir mengikuti bengkel tersebut bagi tujuan melatih mereka dalam penulisan berita dan rencana.

Thursday, November 19, 2009

D'Muara Marine Resort : Persediaan ke Maninjau

13/11/09

Aku bermula dari UNISEL pukul 5.30p.m selepas kelas math untuk ke d’muara marine resort.

Dalam perjalanan tu ad saja halangan yang aku terima macam moto buat hal. Lepas moto dah seatle aku pun teruskan perjalanan sampai ke masjid untuk solat maghrib. Kat dalam masjid tu aku telah terserempak dengan cikgu lama yang telah berpindah sekolah. Cikgu tu cikgu disiplin yang paling garang di sekolah. Aku sempat bertanya khabar dengannya. Lepas solat maghrib aku pun teruskan perjalanan dan sampai juga d’muara marine resort. Waktu aku sampai dalam pukul 9pm dan waktu tu juga la makan malam. Aku dijemput masuk oleh Abang Kamarul dan disitu jugalah aku berkenalan dengan para fesi yang lain. Lepas makan peserta-peserta masuk ke bilik kuliah. Pada malam tu peserta telah dibahagikan mengikut kumpulan dan sebanyak 8 kumpulan semuanya. Waktu tu Abang Kamarul telah mengajar 2 permainan. Selain permainan Abang Kamarul ada bagi sedikit ceramah dan suai kenal bersama fesi-fesi kepada peserta. Lepas tamat sesi suai kenal peserta waktu munum malam. Lepas minum malam semua peserta pergi ke bilik masing-masig untuk tidur. Para fesi membincangkan aktiviti untuk besok dan fesi pun masuk tidur.

14/11/09

Pagi dalam pukul 4.30am untuk kiamuilail dan solat subuh. Pukul 8am ada sedikit senam robik khas dari kumpulan senam robik. Lepas senam robik waktu sarapan pagi dan pukul 9 am baru bermula aktiviti kumpulan, aku telah ikut Abang Kamarul bagaimana untuk menguruskan LDK. Aku lepas habis LDK waktu makan tengah hari dan solat zohor. Lepas solat zohor para fesi telah membuat soalan mengenai kesucian diri dan solat. Lepas tamat menyoal peserta,semua peserta solat asar. Pada petang itu sepatutnya ada riadah tapi dibatalkan disebabkan hujan. Tetapi program tetap dijalankan di bilik kuliah. Pukul 7pm malam solat maghrib dan solat isyak. Selepas solat masuk semula ke bilik kuliah untuk slot ceramah agama. Selepas habis ceramah semua peserta dan para fesi masuk ke bilik masing-masing untuk tidur.

15/11/09

Pagi dalam pukul 5.30am untuk solat subuh. Pukul 8am ada sedikit senam robik. Lepas senam robik waktu sarapan pagi dan pukul 9am ada sedikit ucapan penutup daripada wakil PPD Kuala Selangor iaitu En Shahidan B. Hj Said serta penyampaian hadiah kepada peserta dan cenderamata kepada guru-guru dan para fesi-fesi. Lepas tamat ucan itu tadi waktu makan tengah hari dan waktu solat zohor. Lepas solat zohor semua peserta ada sedikit pemeriksaan kepada peserta sebelum balik. Sebelum balik Aku telah bersalaman dengan para fesi yang lain dan pihak yang turut serta dalam program “Aku teruna Terhebat “ ini. Dalam perjalanan balik ke UNISEL Aku telah terbayang betapa seronoknya menjadi fesi kepada peserta-peserta sekolah rendah. Mungkin dengan cara aku mengikuti program ni Aku dapat jadikan sebagai pengalaman untuk ke Padang, Indonesia.


Ulasan Penasihat

Tahniah kepada Sdr. Izzat atas iltizam yang tinggi sanggup hadir ke program tersebut demi mengutip pengalaman sebagai fasilitator. Walaupun berhadapan dengan halangan dan cabaran, akhirnya berjaya juga. Itulah sunnah perjuangan, tiada perjuangan tanpa pengorbanan. Pengorbanan telah dilalui cuma perlu istiqamah sahaja. Dari segi tulisan pula ada peningkatan berbanding catatan pengalaman untuk program SAKTI-4. Teruskan untuk menulis, kalau ada kesempatan sila hadir ke Bengkel Penulisan Berita & Kewartawanan pada minggu hadapan.

Jemputan : Bengkel Penulisan Berita & Kewartawanan


Program ini terbuka kepada semua mahasiswa Unisel tetapi di beri keutamaan kepada aktivis GPTD UNISEL. Maklumat lanjut sila sms / hubungi Wan Ritini di talian +6010.2460.435 atau emel ke gptdunisel@gmail.com





Tuesday, November 17, 2009

Akaun AmBank secara rasmi di buka

Bestari Jaya, 17 November 2009 - Setelah naik turun pejabat HEP dan Ambank Cawangan Batang Berjuntai, akhirnya pembukaan akaun AmBank telah berjaya dilaksanakan, alhamdulillah. Sdri. Hafizah (Bendahari) , Sdri. Wan Ritini (Setiausaha) dan En. Izwan Suhadak (Penasihat) telah ke pejabat AmBank untuk selesaikan urusan birokrasi serta menurunkan tandatangan di beberapa dokumen bagi tujuan rekod. "Dengan adanya akaun ini, harapannya urusan mencari dana bagi projek GPTD UNISEL akan lebih mudah sebagaimana yang sering diminta oleh pihak penaja", kata Sdri. Hafizah selaku Bendahari.

Setiausaha pula menambah, "Pembukaan akaun adalah menepati perlembagaan organisasi kerana individu yang telah diberi amanah tidak boleh menyimpan lebih daripada RM15 dalam sesuatu masa. Ini bertujuan mengelakkan berlaku salah sangka dan salah guna." Kepada individu dan syarikat korporat yang ingin menyumbang dana boleh berbuat demikian melalui cek atas nama Grup Pengkaji Tamadun Dunia UNISEL atau terus masukkan ke no. akaun AmBank 124-202-200155-5.

- Unit Media

Sunday, November 15, 2009

Perkongsian Kemahiran aktivis Grup Hamka

Bestari Jaya, 15 November 2009 - Pembentangan modul oleh setiap aktivis Grup Hamka telah diadakan di FITM bagi melihat kesesuaian modul tersebut untuk diimplimentasikan kepada para pelajar Pesantren Buya Hamka. Hdayarni pula telah mendemostrasikan kemahiran menjahit dengan memperkenalkan jenis-jenis jahitan. Ini bertujuan untuk saling bertukar-tukar kemahiran sesama penduduk di sana dan aktivis Grup Hamka. Agar kemahiran ini dapat menjadi sumber pendapatan kepada masyarakat di sekitar Pesantren Buya Hamka. Selain itu, kemahiran bahasa Inggeris dan komputer juga akan diajarkan di sana bergantung kepada kemudahan makmal komputer yang ada.

- Unit Media

Cergas Grup Hamka

Bestari Jaya, 15 November 2009 - Grup Hamka yang akan menjalankan misi XPDC HAMKA di Padang, Indonesia telah mengadakan Cergas Grup Hamka bertujuan untuk merapatkan uhkwah dalam proses persediaan. Selain dapat menjaga kesihatan, modul permainan yang sesuai digunapakai di sana nanti juga dibincangkan. Setiap ahli diminta untuk menghasilkan modul yang tersendiri dan sesuai dengan objektif ke sana pada hujung tahun ini. Simulasi juga diadakan bagi menguji keberkesanan modul tersebut. XPDC HAMKA kini sedang giat mencari dana bagi menampung kos pengangkutan dan sara diri. Seramai 7 orang pelajar Unisel akan menjayakan projek insya Allah.

- Unit Media

Saturday, November 14, 2009

Laporan Wacana Bicara Ummah

HAPUSKAN UNDANG-UNDANG SYARIAH?

(TENTANGAN TERHADAP AD-DEEN SEBAGAI CARA HIDUP)

TARIKH : 14 NOVEMBER 2009

TEMPAT : DEWAN SEMINAR MASJID NEGERI SHAH ALAM

SHAH ALAM, 14 NOVEMBER 2009 – Telah berlangsungnya Program Wacana Bicara Ummah Hapuskan Undang-undang Syariah di Masjid Negeri Shah Alam. Seramai 5 orang ahli GPTD Unisel yang mengikuti Program Wacana tersebut. Perjalanan ke Shah Alam mengambil masa 1 jam untuk sampai ke destinasi.

Pada jam 8.45 pagi, ucapan alu-aluan telah disampaikan oleh pengerusi ABIM. Seterusnya, ucaptama yang bertajuk “Syariah Sebagai Satu Cara Hidup” telah disampaikan oleh Dato Paduka Dr. Zaleha Kamarudin, Timbalan Ketua Pengarah IKIM. Beliau meyampaikan ceramah yang bertajuk Pelaksanaan Undang-Undang Syariah : Tiga Cabaran Kritikal.

Beliau telah menyenaraikan tiga cabaran kritikal dalam pelaksanaan Undang-undang Syariah di Malaysia iaitu rakyat, pemerintah dan pelaksana. Cabaran pertama ialah rakyat. Beliau menegaskan bahawa rakyat mestilah memahami perbezaan antara maklumat dan pengetahuan, kefahaman dan kebijaksanaan. Selain itu, beliau ada juga menyebut tentang punca perbezaan fundamental yang terbahagi kepada tiga iaitu sekularisme, pluralisme dan liberalism tetapi memberi penegasan terhadap secularism.

Cabaran kedua ialah pemerintah. Beliau menyentuh sedikit sebanyak tentang bidangkuasa Pusat dan Negeri (perlembagaan) dan Penyelarasan, Kuasa Sultan sebagai Ketua Agama Negeri, Kedudukan Majlis Agama Islam Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri. Sebagai contoh keputusan yang dibuat oleh Kabinet dalam agama anak selepas pemelukan Ialam.

Selain itu, campurtangan dan imej Islam dalam kes Kartika yang masih tertangguh sehingga kini. Kerjasama dengan pihak polis adalah sangat diperlukan sepertimana jawatan Ketua Polis Negeri sebagai ahli dalam Majlis Agama Islam Negeri.

Seterusnya, cabaran ketiga iaitu penguatkuasa. Beliau menyatakan bahawa kekurangan latihan dalam pendakwaan yang menyebabkan kes-kes yang sukar seperti kes Kahar (rasul Melayu), kes Ayah Pin (kerajaan Langit) dan kes Rufaqa’ tergendala. Pihak-pihak berkuasa mestilah meningkatkan latihan dari segi tangkapan, siasatan, pembuktian dan hubungan dalam pendakwaan.

Pada jam 10.00 pagi hingga 11.15 pagi, program Wacana 1 tentang “Isu Sebatan Kartika:Islam vs Sekular” telah disampaikan oleh dua panel iaitu Prof. Madya Dr. Mohamad Kamil Abd Majid dari Universiti Malaya dan Ustaz Azlan bin Abdul Rahman, Pegawai Jabatan Mufti Pahang.

Apa yang dapat saya simpulkan adalah terdapat tiga bentuk hukuman yang diperuntukkan bagi kesalahan jenayah syariah iaitu penjara, denda dan sebatan. Hukuman penjara biasanya dikenakan kepada pesalah tidak melebihi tiga tahun. Bagi pesalah yang gagal membayar denda juga turut dikenakan hukuman penjara manakala bagi hukuman denda jumlah denda dikenakan di antara seribu ringgit hingga lima ribu ringgit. Hukuman sebat pula dikenakan kepada pesalah yang melakukan jenayah syariah seperti zina, sumbang mahram, liwat, minum arak dan sebagainya.

Kedua-dua ahli panel tidak menyentuh tentang Isu Sebatan Kartika semata-mata tetapi secara menyeluruh di mana mereka menyebut bahawa sebatan ini terbahagi kepada dua jenis sebatan iaitu sebatan syariah dan sebatan sivil. Kedua sebatan ini adalah berbeza. Objektif hukum jenayah Islam ialah sebagai pembalasan dan langkah pencegahan agar penjenayah berasa serik dan insaf seterusnya agar masyarakat gerun untuk melakukan jenayah. Selain itu, ia adalah sekadar untuk pemulihan dan melahirkan keinsafan terhadap pesalah dan masyarakat.

Terdapat beberapa perbezaan antara undang-undang jenayah Islam dan Sivil. Undang-undang Islam bersumberkan wahyu Allah iaitu dari Al-Quran, hadis, ijtihad dan fatwa ulama. Ia mengutamakan aspek pencegahan seperti sebat dan rejam bagi kesalahan zina untuk menggerunkan masyarakat tetapi pensabitannya mestilah ada empat orang saksi. Menekankan konsep amar makruf nahi mungkar dan bersifat Rabbani iaitu mendidik dan mengajar.

Manakala undang-undang sivil adalah ciptaan manusia yang sering berubah-ubah dan tidak berkaitan dengan soal iman dan akidah. Ia lebih bersifat kepada aspek penguatkuasaan undang-undang dan tidak bersifat insaniah (ISA).

Ahli panel yang kedua iaitu Ustaz Azlan ada menyebut tentang kaedah pelaksanaan hukuman sebat. Yang pertama ialah alat sebat. Alat sebatan yang digunakan hendaklah diperbuat dari rotan atau ranting kecil yang tiada ruas atau buku dan panjangnya tidak melebihi 1.22 meter dan tebalnya tidak melebihi 1.25 sentimeter.

Kedua, jika pesalah itu hamil hukuman mestilah dilakukan selepas 2 bulan dia melahirkan anak. Seterusnya, sebatan tidak boleh kena muka, kepala, perut, dada atau bahagian sulit. Pesalah lelaki bisebat berdiri manakal perempuan disebat dalam keadaan duduk. Sebatan hendaklah dijalankan dengan kekuatan sederhana iaitu tukang sebat tidak boleh mengangkat tangannya melebihi kepala supaya tidak melukakan kulit pesalah, Pegawai Perubatan Kesihatan hendaklah memperakukan sama ada pesalah masih boleh menerima sebatan atau ditangguhkan untuk baki sebatan. Selepas itu, tayangan slaid sebatan telah dipertontonkan kepada hadirin yang hadir.

Pada jam 11.15 pagi hingga 12.15 tengahari, program Wacana 2 iaitu “Strategi Ummah Menangani Tentangan”. Antara finalis yang terlibat ialah Tuan Haji Ahmad Zaki bin Arshad, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah, JAIS, Tuan Haji Abdul Halem bin Salihin, Timbalan Setiausaha MAIS, dan Ustazah Hazlina binti Abd Razak.

Antara perkara yang dibahaskan ialah bagaimana masyarakat pada masa kini menangani tentangan yang mencabar. Adakah mengikut landasan-landasan yang betul atau bertindak mengikut nafsu semata-mata. Ceramah yang disampaikan oleh Ustazah Hazlina binti Abd Razak sangat menarik perhatian saya apabila beliau menyatakan perkara-perkara yang dilarang oleh agama dan boleh memudaratkan diri dalam bahasa jawa. Ceramah yang disampaikan sangat berkesan dan boleh dijadikan iktibar dalam kehidupan kita seharian.

Pada jam 12.15 hingga 12.30 tengahari, Pembentangan Resolusi oleh Tuan Haji Ahmad Zaki bin Arshad, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah. Seterusnya pada jam 12.30 hingga 1.00 petang, ucapan perasmian dan penutupan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Setia Haji Mohamad Adzib bin Mohd Isa, Pengerusi MAIS. Beliau menyatakan beberapa cadangan yang membina untuk terus menganjurkan program yang seumpama ini untuk membina generasi ummah yang cemerlang, gemilang dan terbilang di masa hadapan. Beliau juga menyatakan agar golongan-golongan belia mampu dan suka untuk menghadiri majlis agama seperti ini.

Akhir sekali, pada jam 1.00 petang majlis bersurai dan para hadirin yang hadir dijemput untuk menikmati jamuan makan tengahari.

Disediakan oleh,

NOR AQLIAH BINTI ARIFIN,

Aktivis GPTD UNISEL






Friday, November 13, 2009

Risalah Madani Edisi 1

Dengan lafaz Basmalah secara rasminya Risalah Madani dilancarterbitkan secara berkala. Berikut adalah Edisi Pertama yang sarat dengan pengisian yang bermakna buat pembaca budiman. Walaupun tidak sempurna tetapi sekurang-kurang buat ini adalah langkah permulaan dalam usaha membina insan adabi. Insya Allah dengan kemunculan Risalah Madani Edisi 1, harapnya dapat mengisi ruang minda dan nurani semua pembaca. Tidak setakat di Kampus Bestari Jaya, malah edarannya ke seluruh kampus, negeri, negara dan dunia sama ada dalam bentuk digital atau pun bercetak. Jadikan risalah ini sebagai bacaan bacaan wajib buat aktivis GPTD UNISEL yang sentiasa berhadapan dengan mehnah & tribulasi. Kadang-kadang aktivis dipertikai peranan dan dipersoal gerak kerja di kampus, tetapi jangan saudara gusar. Kita buktikan dan respon dengan perkataan-perkataan, ayat-ayat yang bermakna buat mereka semua. Mungkin juga risalah ini boleh dijadikan ole-ole buat pelajar Pesantran Buya Hamka di Maninjau, Padang Indonesia. Syabas & tahniah buat sidang penerbitan yang diketuai oleh Saudari Hdaryani Kampun. Muga usaha murni saudari akan diganjari oleh Allah hendaknya. Amin...

- Penasihat

Sila klik sini untuk muat turun Risalah Madani Edisi 1. Sila masukkan katalaluan : adabi

Thursday, November 12, 2009

1 Bulan 1 Adab : Ucapkanlah Terima Kasih



Terima kasih kepada Allah kerana lahirkan kami dengan keimanan
Terima kasih kepada Rasul kerana memberi sunnah ikutan
Terima kasih kepada al-Quran kerana getarkan hati orang beriman
Terima kasih kepada Malaikat kerana awasi setiap amalan
Terima kasih kepada Ulama kerana mencurah ilmu buat keyakinan
Terima kasih kepada Pemimpin kerana simbol perpaduan
Terima kasih kepada Rakyat kerana menjadi check and balance
Terima kasih kepada Ibu kerana mendidik dalam belaian
Terima kasih kepada Ayah kerana membimbing dengan kesabaran
Terima kasih kepada Guru kerana mengajar faham keilmuan
Terima kasih kepada Sahabat kerana di samping dengan kesetiaan
Terima kasih kepada Teman kerana di sisi menegur kesalahan
Terima kasih kepada Rakan kerana berkongsi erti sebuah kehidupan
Terima kasih kepada Alam kerana menjadi ruang bekalan
Terima kasih kepada Syaitan kerana ada juga musuh untuk dilawan
Terima kasih kepada Umat kerana menjadi faktor keinsafan
Terima kasih kepada SEMUA kerana itulah sebab akibat kebenaran

P/S : Kasih Mu diterima

TAG 1. Jufitri 2. Putri 3. Al-Fatih

Selamat Ulang Tahun Kelahiran

Pimpinan GPTD UNISEL ingin mengucapkan Selamat Ulang Tahun Kelahiran kepada Penasihat kami Encik Izwan Suhadak Ishak buat kali ke-27. Kami doakan usia tuan diberkati Allah dan diberikan kesihatan yang baik untuk terus membimbing dan mendidik kami. Kami akan sentiasa menyokong dan mendokong GPTD UNISEL bersama Tuan Penasihat.


Ikhlas daripada:

Barisan Pimpinan GPTD UNISEL
Sesi 2009/2010

Monday, November 9, 2009

Go Green : Unisel

Bestari Jaya, 9 November 2009 - Penasihat GPTD UNISEL, Encik Izwan Suhadak Ishak telah dijemput oleh V-Tech untuk menyampaikan pengisian berkaitan Go Green at Campus Environment. Penceramah lain adalah Puan Suzana pensyarah daripada FITM dan Encik Ismail wakil daripada industri. Seminar Kesedaran Alam Sekitar tentang teknologi, manusia dan persekitara telah diadakan di LT, FITM pada 10 pagi. Program ini telah dirasmikan oleh Dr Setyawan, Dekan FITM pada Majlis Perasmian Penutupan. Pameran juga turut diadakan untuk memberi kesedaran dan telah disediakan oleh pihak GPTD UNISEL. Turut hadir, wakil MPP Sdr. Merico.



Sunday, November 1, 2009

Menabung Amalan Mulia

“Mula-mula seringgit, lama-lama boleh jadi sejuta”. Biarpun bunyinya kelakar, tetapi berkat menabung sejak dari usia muda, bukan mustahil ia menjadi kenyataan. Malangnya, tabiat menabung di kalangan masyarakat kita masih amat kurang khususnya di kalangan mahasiswa. Kalau ada pun hanyalah ‘hangat-hangat tahi ayam’, atau usaha separuh jalan saja.

Duit biayaan PTPTN mahupun tabungan yang ada sedikit, pelbagai perancangan dibuat untuk menghabiskannya dengan membeli itu dan ini. Semua orang sudah tahu kebaikannya menabung atau menyimpan untuk masa depan. Menabung ini ada banyak jenis.ada yang menyimpan wang tunai ke dalam tabung khas pendidikan, membuka akaun simpanan peribadi atau bersama, membuat pelaburan dengan saham amanah,atau menabung dengan Tabung Haji.

Apa pun tabiat menabung perlu dipupuk sedari awal dan dilakukan beransur-ansur namun berkala. Bagaimana kita hendak menanam sikap gemar menabung kepada mahasiswa kita supaya amalan baik ini diterapkan ke dalam jiwanya sehingga ia melangkah masuk ke alam pekerjaan dan mampu berdikari.

Peringkat awal kita mungkin boleh mencuba membeli sebuah tabung dalam usaha untuk menabung bagi merangsang niat tersebut. Lantaran itu, amalan menabung itu akan demi sedikit timbul dan tidak perlu untuk memasukkan duit yang terlalu banyak, cukup sekadar dengan duit-duit syiling dalam usaha menabung peringkat awal dengan berterusan. Setelah usaha itu, menjadi tabiat, kita ubah dengan menabung dengan memasukkan pula wang yang mempunyai kuantiti lebih besar nilainya.

Pakar psikologi berkata, sesuatu perbuatan berubah menjadi tabiat atau dalam kata lain perbuatan menjadi budaya selepas diamalkan secara selama 21 hari. Oleh itu, anda boleh terus mengajar diri sendiri memasukkan duit ke dalam tabung dalam tempoh itu, dan selepas itu cuba lihat sama ada diri kita akan terbiasa atau tidak.

Apabila tabung sudah penuh, raikannya dengan mengira jumlah wang dalam tabung supaya kita dapat menilai dan melihat sendiri hasil usaha yang dilakukan kita selama ini.
Rangsang jiwa kita dengan kita mendepositkan ke dalam akaun persendiriannya supaya ia boleh dikumpulkan untuk kegunaan pengajian kita.

Anda mungkin tidak dapat melihat faedah menyimpan dalam masa yang singkat tetapi apabila anda melihat jumlah simpanan anda beberapa tahun selepas itu, anda akan lebih bersemangat menyimpan untuk kegunaan anda dan keluarga bagi digunakan ketika keadaan memerlukan.

Bagi yang terbiasa menabung seperti ini, sekiranya berlaku sesuatu yang di luar jangkaaan kepada diri atau semasa belajar anda contohnya biayaan PTPTN diberhentikan secara tiba-tiba (lebih-lebih dalam suasana keputusan peperiksaan ditakdirkan tidak berapa elok) anda boleh menggunakannya menampung kehidupan selama beberapa ketika sebelum berjaya mendapatkan mendapatkan mana-mana bantuan kewangan.

Penulis ialah saudara Nor Hafiz bin Razali aktivitis Ekspedisi Generasi Muda (X-GEM) di bawah Grup Ibn Battutah dan pelajar jurusan Diploma Pengurusan Pentadbiran yang sedang melakukan latihan industri di Pejabat Mara Daerah Jelebu.

Ulasa Penasihat
Budaya menambung sesuai untuk aktivis GPTD yang ingin mengembara menimba ilmu dan menyumbang bakti kepada umat. Teringat sahabat aktivis, Sdr. Kamarul sanggup menjual vespanya demi menjalankan misi rahmatan lil alamin di Pulau Krismas. Mereka telah lakukan, anda bagaimana?



Related Posts with Thumbnails