Wednesday, February 23, 2011

Surat Awal


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih

Kehadapan sahabat-sahabat GPTD,

Semoga dalam naungan rahmat Allah hendaknya. Surat ini ditulis atas dasar menyahut saranan Gurulatih penulisan, Sdr Yusni Yusoff semasa Bengkel Penulisan GPTD pada 20 Februari 2011 (Ahad). Sahaya (saya atau hamba) tersentuh ketika Grulatih menyebut imbasan lalu tentang perdebatan tentang kerelevanan antara surat dan emel. Perdebatan antara beliau dan sahaya. Sahaya tidak menyangka peristiwa itu menjadi satu ingatan buat Gurulatih. Sahaya hampir tidak ingat langsung. Tetapi selepas beberapa ketika kenangan itu terbit kembali di lintasan minda. Sahaya kembali terbayang suasana perdebatan yang panjang di ruang pejabat GPTD di hujung belakang Anjung Rahmat, Gombak.

Kini ketika sahaya menulis, memang dapat dirasai keseronokan & kepuasan menulis huruf demi huruf, perkataan demi perkataan. Terkenang pengalaman menulis karangan tingkatan lima di sekolah dahulu. Antara bacaan yang terkesan kepada sahaya adalah Surat-Surat Perempuan Johor karya Faisal Tehrani. Ini menambah motivasi sahaya untuk kembali menulis dengan jiwa (hati & akal). Lebih terkesan apabila minda sahaya mengimbas kembali firman Allah dalam Surah An Nuur (Cahaya) ayat pertama yang bermaksud :

“Ini adalah satu surat yang Kami turunkan dan Kami wajibkan (menjalankan hukum-hukum yang ada di dalam)nya dan Kami turunkan di dalamnya ayat-ayat yang jelas agar kamu selalu mengingati”

Maka istilah surat lebih maknawi dan mendasar ertinya kepada kehidupan insani jika merujuk kepada ayat tadi. Surat juga sama erti dengan Surah yang menerangkan pesan-pesan besar dalam Al-Quran kepada umat manusia yang membacanya. Barangkali budaya dan etika persuratan mengajak penulis untuk mencatatkan aksara yang punya mesej benar, jelas dan penting. Bukan untuk fitnah atau gosip. Ini harus dicermati dan diteladani berdasarkan tadabur ayat di atas. Mesej yang yang disampaikan oleh seorang penulis kepada pembaca sama ada ibu kepada anak, majikan kepada staf, rakyata kepada pemerintah atau sebaliknya harus diamati dan responsif (tindakan) selepas kandungan surat dibaca dan difahami.

Persuratan sebenarnya mengajak kepada budaya fikir & amal. Tiada makna jika mesej, pesanan atau persoalan yang terkandung di dalam surat tidak diambil endah. Ini bercanggah dengan pesan dan perintah Allah dalam wahyu pertama dalam Surah Al Alaq. Kalimah pertama mengajak manusia IQRA = BACA. Perbahasan baca tidak semata-mata perbuatan membaca tulisan. Tetapi sewajarnya membaca suasana, keadaan, jangkaan, ramalan, sikap, fenomena dan alam. Mungkin rangkuman yang lebuh tepat adalah membaca ayat-ayat Allah. Ayat merujuk juga kepada makna tanda. Maka yang kena dibaca adalah tanda-tanda kebesaran Allah.

Sahaya rasa cukup untuk surat awal sebagai permulaan momentum penulisan.


Asam rumbia dibelah-belah,

Buah Separah dalam raga,

Dunia ikut firman Allah,

Akhirat juga mendapat syurga.

Yang ikhlas,


IZWAN SUHADAK ISHAK

23 Februari 2001/17 Rabiulawwal 1432

Friday, February 18, 2011

Perbarisan Maulidur Rasul : GPTD dapat tempat ke-3

Bestari Jaya, 18 Februari 2011 - Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD) Unisel berjaya mendapat tempat ketiga dalam pertandingan Perbarisan sempena Sambutan Maulidur Rasul 1432H Peringkat Universiti Selangor (Unisel). Ini adalah penglibatan kali kedua buat GPTD dalam perbarisan yang bermula dari Masjid Umar Abd. Aziz ke Dewan Utama. Program anjuran Pusat Islam dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar turut disertai oleh kontinjen dari fakulti, jabatan dan persatuan pelajar. Kontinjen GPTD diketuai sendiri Presiden, Sdr Muhammad Izzat Muhammad Anwar. "Terima kasih kepada pihak penganjur dan syabas kepada aktivis GPTD yang bersemangat wajar semasa perbarisan. Ini adalah sebahagian daripada manifestasi cintai Rasulullah saw. Insya Allah GPTD Unisel akan lebih serius untuk meneladani Rasulullah saw dalam misi rahmatan lil alamin".

-Unit Media

Wednesday, February 16, 2011

Sebuah catatan al-Amin


“Apabila hati hilang cahaya iman, langkahnya hidup bagai hilang pedoman”itu kata Opick.

Saya ingin menulis sesuatu tentang Nabi sempena hari kelahiran baginda.

Semalam kawan bukan islam bertanya “ Esok cuti sempena apa?”Katanya. ”Sempena kelahiran Nabi Muhammad”kata saya. “Cuti ni seluruh Malaysia ke?”Soalnya lagi. “Iya”kataku pendek. Dalam minda bermain-main dengan soalan sebentar tadi. Apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan cuti sempena kelahiran Nabi Muhammad S.A.W.

Kalau dulu pengertian bila menyambut cuti sempena Maulidul Rasul ialah ke masjid dan mendengar ceramah berkenaan Nabi Muhammad dan akan diberikan pulut dan telur. Berarak seluruh pekan itu sambil berselawat kepada Nabi Muhammad dan banyak lagi aktiviti lainnya. Aktiviti sebegitu mejadi rutin setiap tahun bagi menyambut kelahiran Nabi Muhammad S.A.W.

Bukan ingin mengatakan menyambut maulidul rasul adalah salah, tidak sama sekali bahkan itu lebih baik daripada hanya bercuti di rumah. Namun yang ingin ditekankan adalah sejauh mana cinta dan sayang kita kepada Nabi Muhammad selepas menyambutnya. Adakah rindu kita semakin menebal ingin bertemu dengan beliau? Adakah cinta dan sayang kita semakin tinggi dan menjadikan beliau sebagai idola sepanjang zaman? Adakah mendengar ceramah di masjid dan berselawat akan berlarutan?

Nabi Muhammad mempunyai akhlak yang sungguh indah . Beliau tidak sekali-kali mengaku kalah dalam menegakkan perjuangan. Berapa ramai hari ini seperti beliau yang berani menegakkan perjuangan apalagi ketika seorang diri ? Mungkin ada tetapi boleh dibilang dengan jari, hanya sebilangan sahaja. Memang perjuangan itu memerlukan jemaah kerana jika sebatang lidi tidak mungkin dapat membersihkan halaman rumah tetapi perlu kita ingat Nabi dahulunya mula berdakwah seorang diri. Ini kerana itu adalah tanggungjawab yang diberikan oleh Allah kepada beliau bukan kerana nama maka berdakwah itu wajib baginya walaupun pelbagai kendala perlu dilalui.

Pelbagai penderaan fizikal, emosi yang beliau lalui jika dibandingkan dengan kita umat beliau dalam berdakwah . Liku-liku berdakwah itu sememangnya wajib bagi setiap orang yang beriman kerana tidak ada jalan lurus dan senang bagi orang yang ingin mendapat keredhaan Allah. Semuanya perlu dilalui samada pahit ataupun manis. Berbeza pada hari ini, liku-liku perjuangan itu tetap ada tetapi semangat untuk menghadapi liku-liku itu kurang. Diakui kita tidak dapat menandingi perjuangan Nabi namun serapkan sedikit lebih baik jika tidak ada langsung.

Lebih parah lagi anak muda di dalam kampus masa kini mewujudkan “aku aku kau kau” kerana tidak ingin turut serta di dalam berdakwah. Banyak kerja katanya, takut pointer turun katanya, terlalu aktif menyebabkan tiada masa dengan kawan katanya, dan bermacam alasan lagi. Sebenarnya ketika kita berkata sedemikian untuk mengelak Allah akan mengabulkan setiap perkataan yang keluar daripada mulut kita. Menyedihkan kerana semua yang berkata sedemikian yang mengaku adalah islam dan lebih menyedihkan pelajar pengajian islam. Memahami apa ertinya aku sebagai islam sangat-sangat penting bagi mengetahui tujuan sebenar kamu di muka bumi ini.

Ada yang berjuang tetapi perjuangan kadang-kadang bersifat untuk kepentingan diri sendiri sahaja. Ingin menjadi pemimpin kerana pada nama. Kemungkinan orang seperti ini lupa bahawa jika dia naik ke atas mana sekalipun akan ada yang lebih di atas daripadanya. Makanya penting memahami maksud kepimpinan itu sebelum memimpin kerana apabila sudah menjadi pemimpin kelak ditakuti tidak akan dapat belajar lagi makna pemimpin itu.

Alangkah lucu orang-orang ini.

Bagaimana agaknya perasaan Rasulullah ketika Abu Talib, bapa saudara beliau sendiri menolak ajaran yang dibawa baginda. Apa reaksi kita agaknya jika keluarga melakukan hal yang sedemikian, adakah kita lebih memilih keputusan keluarga daripada kewajipan kita ? Keluarga menyuruh kita jangan terlalu aktif di kampus di dalam persatuan dikhuatiri pointer akan turun. Adakah dengan tidak melakukan apa-apa kegiatan di kampus akan menyebabkan keputusan kita lebih tinggi sebelumnya. Dengan yakin saya mengatakan tidak. Semua itu terpulang bagaimana kita menguruskan masa dengan lebih baik. Bimbang dan takut bila pada hari ini tiada lagi sifat mengambil berat sesama saudara islam itu apalagi dikalangan anak muda. Bagaimana pula akan generasi akan datang?

Bukannya tajuk utama artikel ini untuk menggalakkan menyertai ataupun aktif bagi anak muda di dalam kampus tetapi penekanan bahawa kewajipan kita di dalam berdakwah. Menyertai apa-apa persatuan itu tidak ada masalah selagi persatuan itu tidak lari daripada panduan AL-Quran dan As-Sunnah. Kewajipan yang seperti Nabi Muhammad lakukan dahulu ketika berdakwah seorang diri, ditolak ajarannya oleh saudara sendiri ,disiksa dan bermacam lagi kerana rasa kewajipan sebagai hamba Allah yang wajib untuk dipatuhi yang harus dicontohi. Jika dunia ini dipenuhi seperti akhlak dan sifat rasulullah alangkah indahnya dunia namun jika dipenuhi dengan pemuda pemudi yang “aku aku kau kau” maka tunggulah azab Allah ini.

Hdariyani Kampun adalah Setiausaha GPTD Unisel dan merupakan pelajar di Fakulti Industri Teknologi Maklumat, Unisel.

Tuesday, February 15, 2011

GPTD UNISEL: Selepas 2 tahun

Seorang manusia sudah mampu berjalan dengan baik, bercakap, dan sebagainya apabila mencecah usia 2 tahun. Sebuah bangunan juga mampu disiapkan dengan baik dalam tempoh 2 tahun seandainya tenaga kerja dalam pembinaannya bersungguh-sungguh menyiapkan dan kelengkapan materialnya mencukupi.

Pastinya, usia 2 tahun bukanlah suatu jangka masa yang panjang. Begitulah juga dalam sesebuah organisasi. Dalam tempoh 2 tahun, SWOT ANALYSIS organisasi ini sewajarnya dihadam dengan sebaik-baiknya bagi panduan para pimpinan hari ini dan yang akan datang.

Manifestasi daripada tarikh penubuhan GPTD UNISEL , marilah kita sama-sama merenung kembali kewujudan awal GPTD UNISEL. Bagaimana GPTD UNISEL mula menapak di tengah-tengah kemelut hedonisme dalam diri mahasiswa? Merenung sejarah bukanlah bertujuan untuk menjadikan hati kita riak dengan segala apa yang kita raih pada hari ini, tetapi untuk kita muhasabah diri tentang perjalanan GPTD UNISEL yang masih jauh dalam mengimarahkan bumi UNISEL yang kita cintai.

Ada 3 perkara penting yang dilihat sangat kritikal dan penting dalam melahirkan sukarelawan yang benar-benar mantap dan ideal untuk dipersembahkan kepada masyarakat dunia iaitu:

1. Sukarelawan sebagai agen perubah
2. Penerapan konsep budaya ilmu
3. Sukarelawan bukan mereka yang manja

Tarikh 12 Rabiul Awwal 1432H ini seharusnya menjadi suatu tanda kesyukuran dan kerendahan hati kita kerana GPTD UNISEL sudah makin dikenali dalam melahirkan generasi yang aktif melakukan kajian tokoh dan khidmat sosial di pentas antarabangsa.

Kita adalah kelompok mahasiswa yang diamanahkan sebagai pengemban amanah misi transformasi sosial. Istilah ini bermaksud kita sewajarnya sudah tidak bisu dan pekak lagi apabila mendengar dan melihat kemungkaran yang kian berleluasa. Para sukarelawan seharusnya responsif kepada ayat perubahan:
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum, sehingga kaum itu merubah apa yang ada pada dirinya” –Al Ra’d:11

Kita tidak mampu untuk merubah segalanya sekaligus, tetapi kita sangat berkemampuan untuk merubah sedikit demi sedikit apa sudah sebati dalam masyarakat sedangkan hal tersebut bertentangan dengan agama. Contohnya, dalam mendepani politik kampus yang kelihatan agak kebudak-budakkan. Sebagai seorang mahasiswa dan sukarelawan, seharusnya kita mengambil prinsip non partisan sebagai suatu langkah yang baik kerana mahasiswa perlu menyokong yang benar yang membangkang yang batil.

Ambillah iktibar daripada kisah Rasulullah sewaktu mendamaikan pertelingkahan antara ketua-ketua kabilah ketika mereka berebut mahu meletakkan hajaratul aswad di tempat asalnya. Penuh berhikmah dan toleransi.

Konsep budaya ilmu atau istilah memugar budaya ilmu dalam diri setiap mahasiswa sewajarnya sudah dihadam oleh setiap sukarelawan selepas 2 tahun kelahiran GPTD UNISEL. Bagaimana mahu memugar sedangkan kita masih ‘suam-suam kuku’ dalam mencari ilmu?

Seorang Imam Besar ketika dijemput ke istana Khalifah Harun Al-Rasyid untuk mengajar putera-puteranya, beliau menjawab dengan kata-kata yang sarat dengan makna, “Ilmu itu harus didatangi, bukan mendatangi”

Dalam buku Pendidikan Al-Hikmah & Misi Pencerahan, Dr. Siddiq Fadzil mengulas kata-kata Imam Besar ini dengan “Ilmu bukan hanya harus didatangi, malah cara datangnya juga harus dengan semangat dan sikap (merendah) yang sesuai dengan ketinggian martabat ilmu, dan sesuai pula dengan sikap tahu diri bahawa dia memerlukan ilmu, bukan sebaliknya”

Berhentilah menjadi generasi yang hanya tahu ‘menadah’ tanpa usaha. Ilmu itu harus digali dan dicari dengan sebaiknya. Ilmu hidup dan kehidupan.

Seringkali kita berdepan dengan teman-teman yang futur (gugur) di tengah medan perjuangan. Saat itu, mungkin ada yang turut sama futur, ada juga yang mula mengangkat kaki perlahan-lahan meninggalkan legasi kesukarelawanan ini, kehadiran ke diskusi mula ada tenggelam timbulnya, dan segala macam kerenah yang ada kalanya tidak terjangkau dek fikiran untuk diambil kira.

Tidak mahu berpenat, mudah patah hati, kecewa, rendah diri, dan pelbagai reaksi negatif terpamer di wajah-wajah mereka yang mahu berundur. GPTD UNISEL tidak mudah melatah dalam mendepani isu seperti ini. Yang hadir, kita raikan. Yang berundur, kita tidak memaksa. Mungkin jalan yang dipilih berlainan dengan kaedah yang dibawa oleh GPTD UNISEL. Sikap tidak terhegeh-hegeh dalam mengejar ahli menjadikan GPTD UNISEL sebagai sebuah badan yang disegani.

Lantaran itulah, kita cuba bersikap positif dan menganggap itu semua adalah lumrah dalam organisasi. Dalam melahirkan seorang sukarelawan, kita mahukan mereka yang berjiwa besar, bukan mereka yang mudah kecil hati apabila hadirnya krisis atau menjauhkan diri apabila kecewa.

Kerja sukarela banyak menuntut pengorbanan fizikal dan mental. Mana mungkin dunia boleh kita takluk seandainya hati masih seperti anak-anak kecil. Sensitif itu perlu, tapi bertempat.
Jika dikira soal terguris atau kecewa, Rasulullah s.a.w adalah manusia yang paling banyak diuji dengan dugaan sebegini. Andai benar kita mengaku sebagai umat Rasulullah s.a.w., bukakanlah sedikit hati kita untuk menjadi lebih kuat & mantap.

Lahirnya GPTD UNISEL pada 12 Rabiul Awwal 1430H signifikan dengan kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. bukanlah suatu kebetulan yang direka-reka. Ia adalah hikmah yang padat dengan makna, sarat dengan nilai.

Tiada guna jika kita hanya mengenang kelahiran Junjungan besar ini, tetapi ketokohannya tidak kita contohi dan teladani. Jika benar kita sayangkan Baginda, tunjukkan. GPTD UNISEL adalah medan untuk kita mengeksperimen dan mentadabbur akhlak Rasulullah s.a.w.

“Tidak aku diutuskan ke dunia, kecuali untuk menyebarkan rahmat ke sekelian alam” Rasulullah s.a.w.

Ayuh teman, tidak guna hanya berpangku tangan membaca ayat-ayat ini sedangkan diri masih dibuai lena yang asyik, tidak bererti perjuangan Rasulullah s.a.w. kepada kita seandainya kita masih seronok menganyam angan-angan hedonisme yang tak berkesudahan.
Salam Maulidur Rasul!


Wan Ritini Wan Ismail
Mantan Setiausaha GPTD Unisel

Friday, February 11, 2011

Dialog Nabi Hud dengan kaum 'Ad


NABI Hud menggunakan pelbagai cara untuk berdakwah kepada kaumnya. Antara cara yang digunakan ialah berdialog. Nabi Hud selalu mengajak kaum 'Ad untuk berdialog kerana baginda boleh membuat andaian dan penyampaian secara terus kepada mereka.

Tujuan Nabi Hud berdialog juga adalah mendorong mereka ke jalan yang benar dengan menyebutkan segala nikmat yang diberikan Allah selama ini.

"Apakah kamu berasa hairan apabila timbul nasihat dan peringatan daripada Tuhanmu yang disampaikan oleh seseorang daripada kaummu? Orang itu memperingatkan kamu tentang akibat buruk yang disebabkan oleh kesesatan-kesesatan yang kamu lakukan?

"Apakah kamu semua tidak terasa dan lupa sama sekali bahawa Allah menjadikan kalian pewaris-pewaris dunia ini selepas kaum Nuh yang dimusnahkan oleh Allah? Allah telah memberikan kelebihan, kekuatan dan kekuasaan kamu kepada mereka.

"Itu semua adalah nikmat yang Allah berikan kepada kamu supaya kamu beriman dan bersyukur. Namun begitu, kamu tetap tidak mahu bersyukur dan bersikap sombong diri".

Mereka masih ragu-ragu untuk menerima dakwah Nabi Hud. Mereka berasa berat hati untuk menerima perubahan dalam kehidupan dan agama.

Kemudian mereka berkata, "Wahai Hud, engkau belum mengemukakan hujah yang terang kepada kami, bagaimana kami mahu beriman denganmu? Kami sekali-kali tidak akan meninggalkan penyembahan kepada tuhan-tuhan kami. Kami juga tidak akan mengikut ajaran kamu itu. Kami tahu tuhan kami telah menimpakan penyakit gila ke atasmu."

Kata-kata mereka telah disangkal oleh Nabi Hud. Kata baginda, "Aku bersaksi kepada Allah tentang kebenaran ucapanku. Dan sesungguhnya aku bebas daripada kemusyrikan yang kamu amalkan." Kaum 'Ad tetap berdegil dan tidak mahu menurut kata-kata Nabi Hud.

"Kamu semua pasti akan menerima azab Allah. Tunggulah azab Allah itu nanti," kata Nabi Hud lagi.


Sumber : Utusan

Saturday, February 5, 2011

Harun Al-Rasyid

KHALIFAH kelima abbasiyah ialah Harun al-Rasyid (786-809). Di bawah pemerintahannya, Abbasiyah mencapai kemuncak kejayaan dalam bidang ekonomi, perdagangan, wilayah, ilmu dan peradaban Islam. Wilayah kekuasaan Harun terbentang dari daerah Laut Mediterranean di barat hingga India di timur.

Harun juga menghadapi banyak pemberontakan seperti pemberontakan kaum Khawarij. Selain seorang yang dermawan, Harun juga meminati bidang seni sebagai penyair.

Sebagai anggota keluarga istana, sejak zaman mudanya baginda banyak terlibat dalam pelbagai urusan pemerintahan yang menjadi bekalannya kelak semasa menjadi khalifah.

Pergaulannya luas, daripada kalangan ulama, pakar undang-undang, penulis, seniman, hingga kalangan bukan Islam. Baginda kerap kali mengundang mereka ke istana untuk membincangkan pelbagai masalah.

Baginda sangat menghormati setiap orang dan tidak hairanlah jika baginda dikagumi sebagai tokoh legenda.

Al-Amin dan Al-Makmun

Abbasiyah mencapai kemuncak kejayaan ketika dipimpin oleh Harun al-Rasyid, dan selepas itu oleh anaknya al-Amin dan al-Makmun. Pada masa itu Islam berada pada zaman keemasan. Masyarakat Islam hidup makmur. Ekonominya maju, terutama dalam sektor perdagangan dan pertanian.

Ketika itu ibu kota Baghdad menjadi pusat perdagangan terbesar dan paling sibuk di dunia. Pemerintah juga melengkapkan Baghdad dengan bangunan besar sebagai tempat beribadat, pendidikan, kesihatan dan perdagangan.

Baitul Hikmah

Harun al-Rashid memainkan peranan yang sangat penting dalam mengembangkan ilmu pengetahuan dan peradaban Islam. baginda mendirikan Baitul Hikmah sebagai institusi penterjemahan pelbagai bidang ilmu.

Pada zaman al-Makmun, fungsi institusi ini dikembangkan lagi menjadi institusi perguruan tinggi, perpustakaan dan badan penyelidikan. Harun juga menubuhkan majlis penyelidikan agama yang diselenggarakan di rumah, di masjid dan di istana. Baginda juga sangat mengambil berat tentang ilmu perubatan, farmasi, kebudayaan, dan kesusasteraan.

Ahli Ibadat

Harun al-Rasyid juga tergolong sebagai seorang pemimpin yang kuat beribadat. Baginda dikatakan mendirikan solat sunat 100 rakaat setiap hari. Baginda juga pergi menunaikan haji atau umrah sebanyak dua kali setahun dengan berjalan kaki dari Baghdad ke Mekah bersama-sama keluarganya dan ulama.

Jika tidak pergi menunaikan haji, baginda menghantar kira-kira 300 orang menunaikan haji dengan biaya penuh dari istana.

Putera Mahkota

Harun al-Rasyid lahir di Rayy (Iran) pada 149 H/766 M. Ayahnya ialah al-Mahdi bin Abu Jaafar al-Mansur, khalifah ketiga Abbasiyah (755-785). Ibunya bernama Khaizuran yang berasal dari Yaman.

Beliau mendapat pendidikan agama dan ilmu pemerintahan di istana atas bimbingan Yahya bin Khalid. Pada 779-780 dan 781-782 baginda pernah memimpin pasukan tentera untuk menyerang Byzantium.

Pada 163 H/779 M baginda menjadi gabenor al-Saifah dan setahun kemudian (164 H/780 M) menjadi gabenor Maghribi. Pada 166 H/782 M baginda disahkan sebagai putera mahkota yang akan menjadi khalifah.

Pada 786 M baginda menjadi khalifah Abbasiyah kelima. Baginda meninggal dunia di Khurasan pada 193 H/809 M.

Tuesday, February 1, 2011

Kempen #15 : Jadilah Pendengar Yang Baik


GPTD Unisel Berbakti di Perkampungan Orang Asli

Sg Siput, 30 Januari 2011 - Yayasan Al-Khalifah dengan kerjasama GPTD Unisel telah turun ke Perkampungan Orang Asli di Landap bagi mendekati masyarakat di sana. Seramai 20 orang relawan GPTD Unisel berbakti menyumbang tenaga bersama pelajar-pelajar UiTM serta KLMU. Ekspedisi ke Pos Landap/Asap diketuai oleh En. Ahmad relawan dari Yayasan Al-Khalifah manakala Sdr Muhammad Izzat mengetuai relawan GPTD Unisel.

Relawan bertemu dengan Tok Batin, Abdul Latif Muda untuk menyampaikan hasrat program dan bersama Imam Hussin Latif membantu urusan gerak kerja di sana. Pada sebelah malam masyarakat orang asli menyambut para relawan dengan Tarian Sewang sebagai meraikan kehadiran tetamu. Relawan mengambil kesempatan untuk turut serta meraikan acara tersebut bagi tujuan pembinaan silaturahim.

Pada hari kedua, relawan keliling kampung dari satu rumah ke rumah berziarah bagi menjemput warga kampung bergotong royong waktu tengah hari. Relawan dan masyarakat orang asli berkerjasama menyediakan masakan tengah hari dengan cara rutin mereka yang mengunakan buluh untuk memasak lauk. Penggunaan kayu api untuk memasakan sangat unik malah menambah kelazatan menu masakan.

Sebelah petang, relawan ziarah ke rumah yang dikenalpasti untuk disalurkan sedikit sumbangan dapur buat menampung kehidupan mereka yang memerlukan. Relawan juga menghadiahkan pakaian terpakai kepada anak-anak orang asli mengikut saiz badan mereka. Pembahagian gula-gula kepada anak-anak orang asli sangat mengujakan serta terpancar kegembiraan di wajah mereka.

Misi selepas pada lewat petang Ahad diakhiri dengan sesi bacaan doa oleh Imam Hussin Latif yang berpengalaman 10 tahun di perkampungan orang asli dengan penuh sayu. Ibu bapa angkat relawan memberikan ole-ole seperti kayu tas dan tongkat ali kepada para relawan sebagai tanda terima kasih mereka.

- Unit Media

Related Posts with Thumbnails