Terbaru, seorang bayi perempuan yang masih hidup ditinggalkan berbalut dengan plastik dan kertas surat khabar di kaki lima sebuah bangunan kedai di Taman Cegar, Simpang Ampat di sini hari ini. Seorang peniaga yang tinggal di bangunan itu menemui bayi berkenaan yang masih bertali pusat apabila terdengar tangisannya kira-kira pukul 7.56 pagi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Supritendan Shafien Mamat berkata, bayi berkenaan kemudian dibawa ke Hospital Sungai Bakap untuk pemeriksaan lanjut. "Polis menerima panggilan daripada seorang lelaki memaklumkan dia menemui bayi perempuan yang masih bernyawa dan bertali pusat di kaki lima bangunan rumah kedai.
"Hasil pemeriksaan mendapati, bayi berkenaan yang masih belum diketahui keturunannya seberat 2.58 kilogram dan dilaporkan sihat," katanya di sini hari ini. Menurut Shafien, pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati, tiada objek atau sebarang nota ditinggalkan bersama-sama bayi itu.
Polis katanya, kini menyiasat kes itu di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyembunyikan kelahiran dan sedang mengesan ibu yang melahirkan bayi itu. Beliau menambah, polis turut menjalankan pemeriksaan di semua klinik di sekitar daerah ini dan hospital berhampiran bagi mengesan ibu bayi berkenaan yang mungkin mendapatkan rawatan susulan selepas melahirkan anak.
Shafien turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu supaya menghubungi mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Sumber : Utusan
Ulasan Setiausaha
Kes pembuangan bayi sehingga ke hari ini telah direkod sebanyak 22 kes sejak awal tahun 2010. Ini amat mengecewakan kerana kesedaran terhadap peranan insan sudah hilang punca. Sepatutnya nilai kasih sayang dan murni hati nurani sewajarnya semakin meningkat seiring kemajuan negara. Ini adalah berpunca daripada entiti keluarga dan masyarakat yang tidak lagi mempedulikan kehidupan beragama. Tiada mana-mana agama yang membenarkan perzinaan. Punca utama adalah benteng maruah agama sudah luntur sedangkan kita sudah masuk ke bulan kemerdekaan bagi kali ke - 53 tahun. Jika perkara ini terus menerus adakah pemimpin masa depan akan diterajui oleh anak yang tidak mengenal ayahnya? Harapnya gerakan kesedaran dapat dicetuskan di dalam kampus Bestari Jaya agar mahasiswi khususnya dapat berperanan lebih luas.
Hdariyani Kampun adalah pelajar Sarjana Muda Teknologi Maklumat di Fakulti Industri Teknologi Maklumat merangkap Setiausaha GPTD Unisle
No comments:
Post a Comment