Showing posts with label Pengasas. Show all posts
Showing posts with label Pengasas. Show all posts

Thursday, January 20, 2011

Hamka: Guru, Nasionalis, Humanis dan Penulis

Berikut adalah artikel Fan Yew Teng yang dibentangkan di Seminar HAMKA, di Danau Maninjau pada 23 Julai 2001

Oleh: Fan Yew Teng

Hamka (Haji Abdul Malik Karim Amrullah) merupakan seorang penulis yang produktif mengenai pelbagai cabang kehidupan dan juga seorang aktivis yang sangat komited dalam hal-hal keagamaan, sosial, politikal dan kesusasteraan menjadikan sangat mustahil dan tidak adil untuk memperkecilkannya.

Hamka sudah lama dikenali dan diakui sebagai seorang pendakwah Islam yang dinamik dan hebat, juga penulis dalam Malay Archipelago. Selain daripada fakta-fakta tersebut, saya tidak layak untuk memberi sebarang komen mengenai lain-lain aspek kehidupan Hamka dan juga hasil kerjanya, kecuali mengatakan bahawa bukti-bukti terhadap sumbangannya yang hebat dalam bidang ini memang wujud di sekeliling kita dan semakin berkembang dari hari ke sehari.

Memandangkan konteks pengetahuan saya yang begitu cetek mengenai Hamka, saya akan cuba untuk menyelidiki secara ringkas tugas Hamka sebagai guru, nasionalis, humanis dan penulis.

Perkara pertama yang muncul di fikiran kita apabila memperkatakan tentang kerjaya Hamka ialah Hamka memulakan karier penulisannya dalam usia yang sangat muda iaitu pada tahun 1925, apabila usianya hanya 17 tahun. Bermula daripada itu, Hamka boleh dikatakan terus menghasilkan karya sehingga meninggal dunia pada 24 Julai 1981. Ini merupakan suatu pencapaian hebat bagi seseorang, samada di peringkat serantau mahupun antarabangsa.

Bagi anak kelahiran Sungai Batang, Maninjau, Minangkabau yang bijak ini, senjata utama baginya ialah mata penanya, buat selama lebih daripada setengah abad. Selama lebih setengah abad, Hamka telah melancarkan perang membasmi kemiskinan, kekejaman, penindasan dan penjajahan, terutamanya di atas keganasan orang-orang Belanda terhadap Sumatra dan Indonesia.

Dalam bukunya 'Di Dalam Lembah Kehidupan', himpunan cerita-cerita pendek yang dipetik daripada majalah-majalah yang diterbitkan di Medan antara tahun 1938 hingga 1942, dan yang dikeluarkan oleh Pustaka Antara, Kuala Lumpur pada 1961 (dengan banyak cetakan semula pada tahun-tahun berikutnya), Hamka bukan sahaja telah menunjukkan gaya penulisannya, tetapi dalam masa yang sama melahirkan rasa belas kasihan dan simpatinya terhadap orang-orang miskin, mereka yang tertindas dan sebatang kara serta mereka yang disisihkan.

Bagaimana Orang Miskin Menderita

Dalam cerita pendek bertajuk "Pasar Malam" yang hanya sepanjang tidak lebih dari lima muka surat, Hamka telah berjaya menyampaikan dengan baik mengenai tahap kesukaran hidup buruh-buruh miskin yang sakit bersama isteri dan anak-anak yang masih kecil. Rumah mereka sebenarnya merupakan teratak buruk, seperti kata Hamka: Sebenarnya tempat itu bukan rumah, hanya sebuah pondok buruk yang disewanya serupiah sebulan; kecil dan sempit.

Keadaan lelaki yang sakit dan keluarganya adalah sangat mustahil di mana seluruh keluarga bergantung sepenuhnya terhadap si lelaki. Lelaki yang sakit itu dikatakan sebagai berkata: "Sudah 2 hari aku tak keluar keluar rumah kerana sakit; 3 hari dahulu daripada itu sudah terasa juga demamku, tetapi ku keraskan juga hati pergi bekerja, kerana takut anak-anak tidak ada makan."

Ini mengingatkan kita kepada kata-kata orang tua-tua iaitu ramai orang di dunia ini mempunyai masa untuk mati tetapi tidak ada masa untuk jatuh sakit. Hamka mengingatkan kita bahawa ramai orang-orang miskin sebenarnya menjalani kehidupan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang yang sentiasa dalam kelaparan dan ketidak tentuan.

Apabila doktor akhirnya muncul untuk merawat si lelaki, lelaki tersebut sudahpun meninggal dunia akibat kelaparan. Hamka menyelitkan kontra dalam tragedi ini dengan suatu sindiran tajam iaitu "Dan berapa hari yang lalu ia (si doktor) sudah melihat seorang kaya mati kerana terlalu banyak makan!"

Sekali lagi Hamka menunjukkan rasa simpatinya terhadap si miskin di dalam "Penjual Es Lilin". Dia mendakwa bahawa keadaan hina kemiskinan sering mengakibatkan perpecahan keluarga, kegagalan perkahwinan dan menyekat peluang anak-anak untuk bersekolah. Di sebalik kekurangan harta benda sikuli miskin, mereka yang kaya juga boleh menderita suatu jenis kemiskinan sekiranya tiada keharmonian dalam hidup dan rumahtangganya. Keadaan terdesak mereka yang miskin adalah sangat asli dan sungguh mendesak, sebagaimana Hamka mengakhiri ceritanya.

"Es lilin……! Es lilin…….! Belilah es lilin!

Itulah suffian, yang dicita-citakan oleh ayahnya dahulu akan masuk sekolah sampai kepada tingkat yang tinggi. Ayahnya telah beberapa bulan masuk rumah sakit di Gelugor, ibunya hilang entah ke mana. Suffian tinggal sebatang kara, menumpang di pondok buruk dengan babu tua yang mengasuh dia sejak kecil….

Kesusilaan dan Kejujuran

Dalam satu lagi cerita pendek bertajuk "Anak Yang Hilang", Hamka membayangkan kisah yang berkisar tema kesengsaraan akibat kehilangan cinta dan persoalan tentang kesusilaan dan kejujuran secara peribadi. Pasangan Yamin dan Anisah yang sedang bercinta terpaksa berpisah kerana tuntutan situasi. Entah bagaimana, dengan permainan takdir, Anisah telah diambil sebagai isteri muda oleh ayah Yamin yang menduda tanpa mengetahui mengenai perhubungannya dengan anak lelakinya. Penderitaan pasangan malang ini bertambah pedih dan menyakitkan apabila mereka terpaksa tinggal di bawah satu bumbung sebagai ibu dan anak tiri.

Mereka masih lagi mempunyai perasaan terhadap satu sama lain, tetapi Yamin meneguhkan dirinya daripada sebarang godaan. Dia tidak sekali-kali akan mengkhianati ayahnya dan juga tidak sanggup untuk melakukan dosa terhadap Allah dan agama Islam. Yamin berkorban dengan pergi meninggalkan mereka semua. Di sini Hamka seakan-akan mengingatkan kita bahawa di dalam dunia yang serba kelam kabut ini, masih lagi ada ruang untuk kesusilaan, kejujuran, kesilapan dan kebenaran.

Nasionalis yang Berbangga

Seperti intelektual Indonesia yang lain sewaktu zamannya, Hamka merupakan seorang yang penuh bersemangat dan juga seorang nasionalis yang tidak mudah untuk meminta maaf, sangat mencintai kaumnya serta budayanya iaitu Minangkabau dan jirannya, Acheh, bahagian lain Sumatra, Java dan gugusan kepulauan Indonesia. Hamka juga mempunyai kebencian yang khusus terhadap penjajah Belanda.

Sebagai seorang yang mempunyai kebencian yang kuat terhadap ketidakadilan, Hamka juga tidak dapat bersabar dengan cara pemerintahan kaum pribumi semasa zaman penjajahan. Amati kata-kata Hamka mengenai perkara ini dalam "Outbreak of War", Bahagian III riwayat hidupnya, Kenang-Kenangan Hidup (Pustaka Antara, Kuala Lumpur, 1961):

Raja-raja hidup dengan mewah, dengan kereta bagus, dengan rumah indah, memakai alat radio, hidup secara Belanda, padahal rakyat Acheh sendiri karam dalam kebodohan, kekurangan pendidikan dan kemiskinan. Nama Acheh yang gilang gemilang dalam sejarah, sudah rosak sama sekali.

Sekiranya bukti diperlukan, kata-kata ini sahaja sudah cukup untuk membuktikan keberaniannya terhadap keyakinannya. Hamka merupakan seorang yang berani menyuarakan pendapatnya.

Sewaktu Perang Dunia Kedua, oleh kerana keinginannya yang kuat untuk melihat kemerdekaan Indonesia yang dikenali dengan nama Belanda Timur, Hamka telah bersedia untuk bekerjasama dengan orang-orang Jepun bagi mencapai tujuan itu. Walau bagaimanapun, Hamka tidak menyangka bahawa Jepun yang merupakan pembebas yang mementingkan kesejahteraan orang lain, tunduk kepada negara Asia yang baru dan bebas; dia tahu bahawa mereka mempunyai agenda politik geografi yang mementingkan diri sendiri. Seperti katanya pada waktu itu, "Selagi diperintah bangsa asing, nasib kita belumlah akan berubah. Jika tuan-tuan kesal kepada pemerintah Belanda, maka pemerintahan Jepun tidaklah akan lebih baik daripada pemerintah Belanda. Kalau dia tidak dapat dihambat lagi, apa boleh buat, biarlah dia masuk. Tetapi tangan kita sendiri, bangsa yang ditindas, janganlah turut pula mengorbankan tanah air kita 'dan membuka pintu'."

Hamka mengingatkan kaum sebangsanya agar tidak mudah terpedaya dengan janji-janji manis pihak Jepun, walaupun cara mereka mungkin berbeza dengan para penjajah Belanda yang bongkak. Hamka berkata:

Tetapi cara Jepun lain pula, dia masuk ke rumah kita sambil senyum simpul, Membongkok-bongkok, memberi hormat, mengatakan kita sama sama orang Asia. Lalu dengan lunak lembutnya, dan senyumnya, itu semua korek-api, rokok, Tempat rokok dan tempat abunya itu diambilnya, dan katanya: " ini semua buat saya ya? Kita orang Asia bersaudara!" Mulutnya senantiasa manis, dia senantiasa membongkok-bongkok. Kita tertawan oleh manis budinya. Sesudah dia pergi baru kita tahu, bahawa kita kena lebih besar daripada dikenakan Belanda.

Hamka menyatakan kemudiannya bahawa cara orang-orang Jepun adalah pembuka mata, mengesahkan amaran awalnya. "Hampir setiap hari melihat perlakuan kejam kepada rakyat; orang ditempeleng, sekeras-keras tempeleng. Orang dipijak-pijak di sepatu sejak dari kepalanya, mukanya, dadanya, perutnya…..kakinya, terus tumitnya. Orang diberi minum air sabun satu tin. Tidak peduli siapa orangnya. Pejabat Kempeitai di gedung H.V.A. dan sebuah lagi di gereja; di gereja!."

Sekitar awal tahun 1944, dalam satu mesyuarat di Jakarta bersama Sukarno, Hamka telah bertanya bagaimana reaksi gerakan kemerdekaan sekiranya Jepun tewas dalam peperangan. Hamka tidak begitu yakin terhadap keyakinan optimis Sukarno bahawa Jepun akan membantu mereka mendapatkan kemerdekaan.

Hamka berhujah bahawa," Tidak ada bayang-bayang sedikit juga bahawa Jepun akan memerdekakan kita. Dia hanya meminta tenaga kita banyak-banyak, meminta Romusha, meminta Heiho, meminta Gyu Gun, tapi dia tidak memberi."

Apabila Hamka berkata, "Lihatlah, kehormatan bangsa kita sudah dipermain-mainkan oleh serdadu Jepun. Perempuan-perempuan yang telah dirosakkan kehormatannya, gadis-gadis banyak jadi korban!", Sukarno hanya mampu mejawab "Pemimpin mesti berjiwa besar."

Suara Hamka merupakan suara seseorang yang arif terhadap masalah rakyat dan kesukaran mereka. Menurutnya, "Pada permulaan revolusi, sebahagian negeri-negeri di Minangkabau ditimpa kelaparan dan kemiskinan. Padi dan berasnya sudah dirampas oleh Jepun sebelum dia kalah."

Guru Yang Abadi

Hamka tidak sekali-kali akan merasa malu sekiranya dikatakan berdakwah di dalam tulisannya, kerana dakwah dan tulisannya mempunyai tujuan yang jelas dan tepat: bagaimana kita, manusia harus mengawal diri untuk hidup harmoni bersama sesama manusia, bersama alam sekitar dan juga bersama Allah.

Hakikatnya, Hamka merupakan seorang guru yang abadi dan akan terus wujud, terutamanya melalui hasil penulisannya yang produktif. Mungkin intipati dari pengajarannya dapat dilihat dengan jelas dalam mesej terakhirnya kepada kaum sebangsanya dalam Indonesia yang baru merdeka, sepertimana yang terkandung di dalam riwayat hidupnya. Nasihat Hamka:

Salah satu dari dua akan berjumpa dalam hidupmu ini. Pertama, engkau menjadi orang yang sempit faham, memandang dunia dari segi buruknya, kecil hati, pemarah dan menghukumkan segala sesuatu yang belum engkau kenal haram adanya. Kalau itu terjadi, maka agamamu itu tidaklah akan ada faedahnya bagi orang lain. Cahayamu hanya untuk dirimu sendiri.

Yang kedua, engkau perluas dadamu, perlapang hati, engkau pandang alam dari segala seginya. Engkau ukurukan ke dalam hatimu apa yang dirasai orang lain. Engkau ukur segala sesuatu dengan sebab dan musabab, dan engkau tambah ilmumu.

Di waktu seperti itu sajalah akan berfaedah agamamu bagi dirimu dan bagi orang lain. Di waktu semacam itu pulalah engkau bercahaya dan memberi cahaya.

@ Hakcipta Terpelihara : Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Sumber : Madinah al-Nur

Hari Keluarga GPTD meriah



Kepong, 16hb Januari 2010 - Tahun baru 2011 telah dimulakan dengan penuh semangat dan meriah melalui program Hari Keluarga GPTD yang diadakan pada 16 Januari lalu di Taman Metropolitan Kepong. Seramai lebih 30 orang yang hadir terdiri daripada ahli lama dan baru beserta keluarga mereka.

Program yang bermula jam 9 pagi turut dimeriahkan dengan kehadiran Tuan Ahmad Azam yang sudi meluangkan masa bersama para peserta dan menyampaikan kata-kata aluan beliau.Selain itu, acara utama iaitu “Running GPTD” (explorace) telah menyaksikan kesungguhan dan kerjasama di kalangan para peserta dalam menjayakan tugasan yang diberikan kepada mereka.

Acara penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh sdr. Suhail, Presiden GPTD setelah para peserta menikmati makanan ‘potluck’ yang dibawa oleh mereka. Semoga program Hari Keluarga ini berjaya menaikkan semangat para ahli untuk meneruskan misi Rahmatan lil Alamin pada tahun 2011 ini.

- Unit Media


Friday, October 29, 2010

Inspirasi Pengasas GPTD kepada Grup Wali Songo

Gombak, 29 Oktober 2010 - Pertemuan khas Grup Wali Songo bersama Pengasas GPTD, Tn Hj Ahmad Azam Abdul Rahman di pejabat beliau di Future Global Network (FGN). Semua aktivis yang akan melaksanakan misi XPDC Wali Songo seramai 7 orang pada 1 November ini telah mendapat amanat penting daripada orang yang bertanggungjawab menggagaskan penubuhan GPTD. Kata-kata semangat beliau memberikan inspirasi kepada Grup Wali Songo untuk mengikhlaskan niat masing-masing demi meneladani para wali Allah.

Beliau menyarankan agar ziarah ke Makam Syeikh Ismail di Pulau Besar, Melaka kerana Sunan Gunungjati dan Sunan Giri merupakan salah seorang anak murid Syeikh Ismail. Ini memberi satu gambaran bahawa Melaka merupakan Pusat Dakwah Nusantara selain Samudra Pasai (kini Lhoksemawe Aceh). Projek XPDC Wali Songo ini adalah projek perintis daripada Grup Wali Songo yang baru ditubuhkan di bawah GPTD Unisel. "Tawakal perlu tinggi dan banyakkan zikir kepada Allah agar mendapat rahmat", pesan Tn Hj Ahmad Azam.

Artikel berikut berkaitan tentang Syeikh Ismail

Misteri Pulau Besar, Melaka Terjawab! (Siri 1)

Makam di Roboh dan Dibangunkan Semula (Siri 2)

- Unit Berita

Thursday, August 12, 2010

Politik Berwibawa Merentas Generasi

Tajuk ini amat penting untuk di bicarakan ketika negara semacam ketandusan pemimpin yang berwibawa. Wibawa bermakna ‘credible’ atau telah diterima pakai dalam Bahasa Melayu sebagai kredibel dan kredibiliti. Pemimpin yang berwibawa bermakna seorang pemimpin yang boleh dipercayai kerana pemikirannya, semangat juangnya dan pengorbanannya untuk rakyat dan umat. Sementara pemimpin tidak berwibawa ialah pemimpin yang tidak boleh dipercayai kerana mementingkan diri berbanding umat, rasuah, banyak janji yang tidak ditepati, hidup penuh dengan kepura-puraan.

Mengapa kewibawaan itu penting untuk pemimpin umat dan negara?

Ianya menjadi penting kerana pemikiran, arahan dan kehendaknya mudah dipatuhi oleh rakyat atau pengikutnya. Rakyat akan mudah bersatu di bawah kepemimpinannya. Mereka tidak akan banyak membantah atau mengkritik apalagi menimbulkan masalah kepada pemimpin. Kesetiaan pengikut sangat kental dengan pemimpinnya. Malah mereka sanggup berkorban apa saja untuk mempertahankan pemimpinnya, sekiranya pemimpin tersebut berhadapan dengan apa jua masalah.

Pemimpin berwibawa akan memberi inspirasi dan teladan kepada generasi mendatang. Pengalaman dan pengorbanannya akan menjadi ikutan sepanjang zaman.

Bagaimana seseorang mendapat wibawanya?

Ada banyak cara untuk seseorang mendapat wibawanya. Ada yang mendapatnya melalui keturunan seperti Keturunan Raja, Keturunan Nabi dan Keturunan Pemimpin. Ada yang mendapatnya melalui jawatan yang dipegangnya seperti jawatan Perdana Menteri, Menteri, Mufti, Hakim dan sebagainya. Ada yang mendapatnya melalui ilmu dan pemikirannya seperti Ulama tersohor atau Intelektual tersohor seperti Sheikh Yusuf Qaradhawi dan Professor Syed Muhammad Naquib al-Attas. Seterusnya, ada yang mendapatnya melalui sejarah perjuangan dan pengorbanannya sapert Nelson Mandela, Malcolm X dan Mahatma Gandhi. Diantara banyak cara-cara ini, ada satu cara yang susah untuk dinilai secara objektif, iaitu karisma atau aura seorang pemimpin. Seseorang pemimpin sangat berpengaruh terhadap pengikutnya kerana faktor X. Faktor X inilah yang menjadi misteri sampai sekarang. Bagi umat Islam,ianya adalah suatu anugerah yang hanya Dia sahaja yang mengetahui.

Cabaran utama dunia masa kini ialah untuk melahirkan pemimpin politik berwibawa (credible political leader). Ini amat berkait rapat dengan halatuju sesebuah negara yang amat bergantung kepada kualiti pemimpinnya.

NELSON MANDELA (18 Julai 1918 – sekarang)

Banyak contoh yang boleh dibuat dalam kaitan antara kemajuan sesebuah negara dengan kualiti pemimpinnya. Contoh yang paling nyata ialah Nelson Madela, sebagai pemimpin politik berwibawa di Afrika Selatan. Beliau memperjuangkan hak masyarakat kulit hitam agar diiktiraf hak asasi dan hak demokratik sebagai warganegara yang setaraf dengan masyarakat kulit putih. Akibatnya beliau dipenjara selama 27 tahun. Namun perjuangannya tidak pernah luntur sehinggalah akhirnya beliau dibebaskan dan menjadi Presiden Afrika Selatan yang pertama dipilih secara demokratik selama 5 tahun (1994-1999). Beliau menjadi Presiden ketika berumur 76 tahun. Beliau tidak memimpin lama sebagai Presiden kerana menyedari akan faktor usia yang boleh menjejaskan prestasinya sebagai Presiden. Lantas beliau mengundur diri secara sukarela, hidup sebagai seorang negarawan yang disegani dunia.

Nelson Mandela adalah contoh seorang ahli politik berwibawa, merentasi generasi. Kepimpinannya menjadi inspirasi dan teladan kepada generasi mendatang. Wibawanya hebat kerana nilai perjuangannya yang kental, sanggup menghadapi sebarang risiko peribadi demi perjuangan bangsa tercinta, sanggup bersara politik awal apabila menyedari kepimpinan tidak lagi berkesan lantaran usia tua. Melihatkan pengorbanan Mandela, rasanya tidak ramai pemimpin politik yang sanggup meneladaninya.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, sebagai langkah untuk mengiktiraf sumbangan Mandela dalam perjuangan keadilan sosial telah mengisytiharkan 18 Julai sebagai ’Mandela Day’. Masyarakat dunia diminta pada hari tersebut untuk mengorbankan 67 minit dari kehidupan mereka untuk melakukan sesuatu kebajikan untuk orang lain, sebagai ingatan simbolik 67 tahun pengorbanan dan perjuangannya untuk bangsanya di Afrika Selatan.

MAHATMA GANDHI (1869 – 1948)

Seorang lagi tokoh politik berwibawa yang boleh dijadikan contoh merentasi generasi ialah Mahatma Gandhi (1869-1948). Beliau terkenal dengan perjuangan kemerdekaan India melalui pendekatan ’non-violence’ atau ’ahimsa”. Pengalaman hidup dan bekerja di Afrika Selatan ketika dasar ’apartheid’ atau dasar diskriminasi terhadap masyarkat kulit hitam masih dilaksanakan, membuatkan beliau begitu bersemangat untuk memperjuangkan kemerdekaan India dari penjajahan British.

Dalam perjuangan kemerdekaannya, beliau dipenjara di atas tuduhan menghasut rakyat untuk memberontak oleh penjajah British pada 1922. Akibatnya Parti Politik pimpinannya, Indian National Congres terpecah dua, satu sanggup bergerak di dalam kerangka Perlembagaan British, dan satu lagi menentang.

Sementara itu perpaduan masyarakat Hindu dan Islam di dalam perjuangan kemerdekaan juga retak sehingga akhirnya mengakibatkan Gandhi mati dibunuh oleh seorang pengikutnya yang tidak bersetuju dengan pendekatan berkompromi demi perpaduan dengan masyarakat Islam pada 30 Januari 1948 ketika berumur 78 tahun.

Ada 3 prinsip hidup Gandhi yang menyebabkan beliau diiktiraf sebagai tokoh politik berwibawa iaitu pertama; perjuangan kebenaran atau ‘satya’, kedua; perjuangan melalui pendekatan ‘non-violence’ atau ‘ahimsa’ dan ketiga; menjalani kehidupan yang amat sederhana dan berpakaian dua helai kain hasil tenunan sendiri yang dipanggil ‘dhoti’ di sepanjang hidupnya.

Perjuangan Gandhi telah menjadi ikutan ramai pemimpin-pemimpin dunia, antaranya Nelson Mandela sendiri. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu malah telah mengisytiharkan, 2 Oktober, hari kelahiran Gandhi sebagai ‘International Day of Non-Violence’.

MALCOLM X (19 MAY 1925 – 21 FEBRUARY 1965)

Seorang lagi tokoh berwibawa merentasi generasi yang wajar diteladani ialah Malcolm X (May 19, 1925 – February 21, 1965) atau juga dikenali sebagai El-Hajj Malik El-Shabazz. Beliau adalah seorang aktivis politik yang memperjuangkan hak asasi masyarakat kulit hitam di Amerika Syarikat.

Semangat kental perjuangannya yang tidak langsung takut dengan sebarang risiko terhadap diri dan keluarganya telah mencetuskan kesedaran yang tinggi di kalangan masyarakat kulit hitam untuk memperjuangkan hak asasi mereka.

Beliau menganut Islam versi Nation of Islam oleh pengasasnya Elijah Muhammad ketika berada di dalam penjara di atas kesalahan jenayah. Setelah dibebaskan, beliau menjadi tenaga terpenting Nation of Islam selama 12 tahun. Perjuangan “Black Supremacy” berakhir bila beliau meninggalkan Nation of Islam, dan menganut ajaran Islam mengikut Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Selama setahun beliau terpaksa membetulkan faham ‘Black Supremacy” kepada ajaran Islam sebenar yang menganjurkan kasih sayang, kemanusiaan sejagat dan persaudaraan sesama manusia. Perubahan diri beliau amat ketara setelah menunaikan haji di Makkatul Mukarramah. Beliau melihat sendiri betapa umat Islam tak kira bangsa, sama-sama menunaikan ibadah haji, tanpa memperdulikan pangkat dan keturunan. Ajaran Islam yang murni ini menyebabkan penyokong Nation of Islam memusuhinya, lantas membunuhnya dengan 16 das tembakan dari jarak dekat ketika berucap di Audubon Ballroom, Manhattan, New York.

Kewibawaan kepimpinan Malcolm X ialah kerana keberanian beliau untuk memperjuangkan hak asasi masyarakat tertindas dan keberanian beliau untuk membetulkan semula ajaran salah yang telah dipeloporinya, yang mengakibatkan beliau kehilangan nyawanya.

PRINSIP UNGGUL PEMIMPIN BERWIBAWA

Berdasarkan sejarah hidup 3 tokoh ini, kita boleh membuat beberapa rumusan penting bagi mewujudkan budaya politik berwibawa yang boleh diteladani oleh generasi mendatang.

Pertamanya, prinsip ’BERANI kerana BENAR’. Apa yang dimaksudkan dengan prinsip ini ialah setiap pemimpin harus ada keberanian untuk memperjuangkan sesuatu yang diyakini benar. Seorang pemimpin akan hilang wibawanya sekiranya mengambil sikap lepas tangan dan tidak peduli terhadap permasalahan yang dihadapi oleh pengikutnya.

Mandela, Gandhi dan Malcolm X sanggup menghadapi apa jua rintangan demi perjuangan hak bangsanya.

Keduanya SANGGUP menanggung RISIKO. Wibawa seorang pemimpin hanya menyerlah apabila dia sanggup berkorban demi perjuangannya. Pemimpin yang sentiasa mengambil jalan selamat di dalam perjuangannya tidak akan kekal lama apa lagi untuk dikenang rakyat.

Ketiganya, BUAT bagai di KATA. Maknanya seorang pemimpin akan dinilai berwibawa sekiranya segala tuturkatanya dikota dengan tindakan dan perbuatan. Ramai pemimpin hilang wibawa apabila rakyat mengetahui banyak kenyataan mereka dan janji-janji yang tidak dikota.

Keempat; AKHLAK MULIA, ETIKA DIJAGA. Pemimpin yang sarat dengan skandal, tidak akan diterima rakyat.

Kelima, PEMIMPIN UMMATIK. Pemimpin yang mengutamakan kepentingan umat, mengatasi kepentingan diri. Hatta, sekiranya demi kepentingan umat, pemimpin itu sanggup kehilangan jawatan, asal umat terbela dan terpelihara. Apa yang malang, ramai pemimpin yang sanggup melakukan apa saja, hatta mengadai maruah umat, demi mempertahankan jawatan atau kuasa.

Kesimpulannya, Politik wibawa ialah politik bersifat ummatik, pemimpinnya juga bersifat ummatik, sanggup berkorban segalanya demi perjuangan tercinta. Hanya pemimpin begini yang berwibawa yang bakal dikenang oleh generasi mendatang sebagai sumber inspirasi dan teladan yang perlu dicontohi.



Dibentangkan pada 1 Ogos 2010 di Program Sabah Youth National Forum (SYNF) 2010

bersama ahli-ahli panel berikut:

YBrs. En Azman Ruslan, Ketua Pemuda UMNO Sabah

YB Datuk Jahid Jahim, Ketua Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS)

YB Pang YUK Ming, Naib Presiden, Liberal Democratic Party (LDP)

Sumber : Madinah al-Nur

Related Posts with Thumbnails