Murad hari ini berkata, perunding MILF sudah bersedia untuk menyambung semula rundingan damai dengan Manila selepas berakhir bulan Ramadan pada bulan depan, seperti yang diumumkan sebelum ini oleh Aquino.
"Kami dapat merasakan mereka (kerajaan Aquino) benar-benar mahu menyelesaikan masalah Bangsa Moro (penduduk Islam tempatan).
"Beliau ada enam tahun untuk menyelesaikan masalah ini. Jika beliau betul-betul ikhlas, kita tidak mungkin tersilap dalam menyelesaikan masalah ini semasa penggal pentadbiran beliau," kata Murad kepada wartawan di sebuah kem pemberontak di luar bandar Cotabato, selatan Filipina.
MILF yang mempunyai 12,000 anggota melancarkan pemberontakan untuk menegakkan sebuah negara Islam di pulau Mindanao.
"Kami mahu menamatkan pemberontakan ini semasa hayat kami kerana generasi pejuang akan datang adalah lebih radikal," kata Murad.
Pemberontakan itu sudah meragut lebih 150,000 nyawa dalam tempoh tiga dekad lalu, di samping membantutkan pertumbuhan di wilayah selatan Filipina itu, yang kaya dengan sumber galian.
Gloria Macapagal Arroyo sebelum ini gagal memeterai perjanjian damai dengan MILF sepanjang sembilan tahun beliau menjadi presiden.
Dalam ucapan kepada Kongres pada bulan lepas, Aquino berkata, rundingan dengan MILF akan disambung semula selepas Ramadan ini.
"Kita akan mencapai perdamaian berkekalan hanya sekiranya semua pihak berkepentingan menyertai dialog dengan tulus ikhlas," katanya. - AFP
No comments:
Post a Comment