Tuesday, August 17, 2010

Pakistan dibelenggu banjir

Sukkur, Pakistan 16 Ogos 2010 – Hujan lebat terus melanda kawasan pusat pemindahan sementara yang menempatkan mangsa banjir Pakistan hari ini dan pihak berkuasa memberi amaran lebih banyak banjir akan berlaku minggu ini, yang mana bantuan besar-besaran antarabangsa sangat diperlukan segera.

Banjir terburuk Pakistan bermula lebih dua minggu lalu di kawasan pergunungan di barat laut negara ini yang kemudian berlaku di seluruh negara.

Kira-kira 20 juta orang dan kawasan seluas 160,000 kilometer persegi atau bersamaan dengan satu per lima keluasan negara ini terjejas teruk.

Skala bencana menimbulkan kebimbangan yang ia mungkin menggugat kestabilan negara, elemen penting kepada Amerika Syarikat (AS) yang mahu mengalahkan al-Qaeda dan Taliban, mempunyai kerajaan yang lemah dan kurang popular serta ekonomi lemah yang bergantung kepada bantuan antarabangsa.

“Banjir nampaknya berlaku di mana-mana. Allah menurunkan hukuman disebabkan dosa-dosa kita,” kata seorang mangsa banjir, Ali Bakshs Bhaio, 45, ketika hujan menimpa khemahnya yang terletak di tepi lebuh raya utama di Sukkur, wilayah Sindh.

Menteri Pengairan Sindh, Jam Saifullah Dharejo berkata, empangan di Sukkur berdepan ujian kekuatan ketika air banjir memasuki Sungai Indus dan mengalir ke kawasan pertanian tengah Pakistan yang didiami ramai penduduk.

Banjir terbaru semalam melanda kawasan penduduk miskin di sempadan wilayah Sindh dan Baluchistan.

Pegawai tinggi kerajaan di daerah Nasirabad, Sher Khan Bazai berkata, sebanyak 25,000 keluarga kehilangan tempat tinggal apabila air naik setinggi dua setengah meter di beberapa tempat.

Katanya, kira-kira 4,000 perkampungan kecil terputus hubungan atau ditenggelami air. – AP

Sumber : Utusan

No comments:

Post a Comment


Related Posts with Thumbnails