Wednesday, December 30, 2009

Pertemuan Grup Hamka & PKPMI, UMNO Luar Negara

Padang, 30 Disember 2009 - Ekspedisi Meneladani Pemikiran Hamka (XPDC HAMKA) yang digerakkan oleh Grup Hamka di bawah GPTD UNISEL diteruskan seawal pagi subuh di Islamic Centre bersama mahasiswa yang tinggal di sini. Di sini subuhnya tidak dibacakan doa qunut sebagaimana pengikut Iamm Syafie di Malaysia. Juga menarik adalah KULTUM (Kuliyah Tujuh Minit) diadakan selepas subuh. Dimulakan dengan tilawah al-Quran dan diikuti oleh penyampai KULTUM. Namun kadang-kadang lebih daripada tujuh minit mungkin kerana asyik menyampaikan tazkirah di sebalik rostrum. Kehadiran mahasiswa yang tidak hadir dilaporkan selepas selesai acara KULTUM. Kemudian diumumkan nama pentilawah dan penyampai pada hari esoknya.

Seterusnya XPDC HAMKA berlibur di sekitar Kota Padang dan berkesempatan ke Teluk Bayur dan Jambatan Siti Nurbaya yang sering menjadi persinggah pelancong dan pengembara. Di jambatan sempat bertemubual bersama para pelajar sekolah dasar (sekolah rendah) sambil bertanyakan Hamka kepada mereka. Namun mereka tidak mengenalinya mungkin masih anak-anak kecil lagi. Gru Hamka sempat memyampaikan beberapa buah majalah buat bahan bacaan. Di sebalik Jambatan Siti Nurbaya adalah kisah seorang gadis muda yang dikahwinkan oleh ayahbonda dengan seorang lelaki tua. Kemudiannya Grup Hamka terus ke Universitas Andalas, Fakultas Kedoktoran untuk bertemu mahasiswa Malaysia melalui Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia yang mempunyai 300 orang anggota.

Diskusi dimulaka dengan sesi taaruf dan menyatakan tujuan XPDC HAMKA dianjurkan. Dibicarakan juga soal peranan mahasiswa Malaysia semasa gempa berlaku. Sosio budaya masyarakat Indonesia dan Malaysia di kampus. Dimaklumkan oleh YDP PKPMI (Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia-Indonesia), Saudari Farah Nuruliayana Bt Ahmad Nazri wujud salah tanggap segelintir masyarakat Indonesia terhadap
mahasiswa Malaysia yang ramai pulang selepas gempa berlaku dan sikap hanya berkelompok dikalangan mahasiswa Malaysia. Namun hakikatnya adalah sebaliknya, mahasiswa Malaysia sering turun kelapangan menziarahi dan meraikan anak-anak yatim. Malah sambutan Aidil Adha juga disambut bersama orang kampung dan menyumbang dua ekor lembu untuk qurban. Dana telah ditaja oleh Kelab UMNO Luar Negara.

Di hujung diskusi, Grup Hamka telah mengajak mahasiswa Andalas untuk turut serta XPDC HAMKA di Maninjau. Bentuk kerjasama mungkin kepakaran bidang kuliah masing-masing di lapangan. Nampaknya, respon daripada PKPMI sangat baik dan mereka berminat untuk turut serta. Insya Allah dalam minggu ini atau minggu hadapan mereka akan turun ke Pesantren Buya Hamka. Pada pihak kami sangatlah berbesar hati kerana antara gerakkan akivis Hamka ketika dahulunya adalah dari surau ke surau menyampaikan semangat kebangkitan Republik Indonesia dan ramai yang kemudian mengikut serta dalam pergerakan beliau. Inilah yang cuba dibawa oleh Grup Hamka. Lewat petang terus bergerak ke Bukittinggi bertemu dengan Bapak Iyep pengurus Global Peace Mission di sini.

Tuesday, December 29, 2009

Turun kelapangan bersama PII & Diskusi di Islamic Centre


Sumatera Barat, 29 Disember 2009 – Aktivis Grup Pengkaji Tamadun Dunia Universiti Industri Selangor (GPTD UNISEL) selamat sampai di Bandar Udara Minangkabau, Padang jam 8.00 pagi. Disambut oleh Saudara Fauzan daripada Sekretariat Dewan Da’wah Islamiah Indonesia. Turut hadir adalah Bapak Afdal, Pengurus Islamic Centre di Kota Padang. Lewat petang aktivis terus ke lokasi gempa untuk melihat kesannya kepada masyarakat desa di Pariaman. Kebetulan Pelajar Islam Indonesia sedang menjalankan khemah kerja seminggu di Kg. Sungai Limau untuk bersama masyarakat sekitar. Pertemuan antara Pimpinan PII bersama aktivis GPTD UNISEL telah diatur untuk saling bersilaturahmi dan bertukar-tukar pandangan. Pertemuan tersebut telah menghasilkan persetujuan bersama iaitu untuk mengadakan program usahasama dalam membuat kajian lapangan di Indonesia dan kajian tokoh merentas sempadan. Turut hadir dalam pertemuan tersebut adalah Adel Wahidi yang bertugas sebagai Pengurus Besar Dompet Dhuafa Singgalang telah mencadangkan agar ditubuhkan Pustaka Tokoh Alam Melayu yang mengumpulkan segala karya yang ditulis oleh tokoh terbabit dan buku yang menulis tentang tokoh itu sendiri. Kesempatan yang ada membawa GPTD UNISEL singgah ke kelas pengajian al-Quran yang diuruskan oleh mahasiswa PII. Masa diambil untuk saling beramah mesra dan bertanyakan soalan kuiz kepada pelajar-pelajar yang hadir. Sumbangan dalam bentuk jajan (gula-gula) dan majalah kanak-kanak juga diserahkan kepada PII untuk disampaikan kepada sasaran.

Pada malamnya pula pertemuan mahasiswa Islam yang menginap di Islamic Centre, Padang telah diatur untuk berdiskusi antara Penasihat GPTD UNISEL, Saudara Izwan Suhadak Ishak (Naib Presiden GPTD Induk), dua orang wakil mahasiswa iaitu Saudara Khaidir (Perwakilan Santri Islamic Centre Al-Quds) dan Saudara Lucky Oktaviadi (Ketua Yayasan Amal Saleh Sumatera Barat) sebagai penalis. Diskusi yang dimodurasi oleh saudara Afdinal daripada Dewan Da’wah dimulakan dengan penerangan ringkas tentang GPTD dan organisasi mahasiswa yang wujud di sini. Pusingan kedua Diskusi laluan diberikan kepada mahasiswa bertanyakan soalan kepada panel. Antara hasil diskusinya, semua bersetuju bahawa Malaysia Indonesia adalah satu rumpun. Maka tokoh pemikir seperti Hamka bukanlah milik Republik Indonesia sahaja tetapi seluruh ummat Islam di Asia Tenggara malah dunia. Pengkajian sejarah harus dikembangkan di kalangan anak muda agar semangat perjuangan ummat Islam sentiasa segar dalam jiwa setiap muslim. Faham Islamisasi Ilmu, gagasan Syed Naquib Al-Attas juga disentuh supaya pandangan keras terhadap fahaman-fahaman sekularisme, Pluralisme dan Liberalisme dapat ditanggapi dan diuruskan dengan baik dan bijak. Jaringan GPTD akan terus dijalin dan mengajak mahasiswa Indonesia turut serta dalam usaha menyampaikan misi rahmatan lil alamin.

- Unit Media melaporkan daripada Kota Padang






Tuesday, December 22, 2009

PZS memberi agihan zakat kepada XPDC HAMKA

Bestari Jaya, 22 Disember 2009 - Pusat Zakat Selangor (PZS) telah memberikan agihan zakat kepada projek XPDC HAMKA. Pihak GPTD UNISEL sangat berbesar hati atas kelulusan daripada pihak PZS kerana menyokong projek khidmat pendidikan merentas sempadan lebih-lebih lagi kepada mangsa gempa di sumatera, Indonesia. Walaupun berlaku pergeseran isu antara dua buah negara, tetapi kesengsaraan ummat juga yang diutamakan. Tambahan pula kejadian berlaku di tempat kelahiran Buya Hamka, seorang tokoh ulama nusantara yang dihormati. Semoga aktivis dapat menjalankan amanah ummat (melalui wang zakat) dengan penuh tanggungjawab.

-Unit Media

MH Multitouch menyerahkan sumbangan kepada aktivis

Kuala Selangor, 22 Disember 2009 - Mohd Hasli Bin Ridhal, Pengurus MH Multitouch Resources menyerahkan vest yang telah siap di sulam bagi aktivis XPDC HAMKA. Majlis penyerahan ringkas di pejabat beliau. Penasihat GPTD UNISEL, En Izwan Suhadak telah menjadi wakil penerima. "Terima kasih banyak-banyak kepada pihak MH Multitourch atas sumbangan dan sokongan yang telah diberikan, semoga perniagaan lebih maju pada masa akan datang", kata Izwan ketika ditanya oleh pemberita. "Saya doakan selamat berkhidmat dan berjaya menjalankan misi (XPDC HAMKA) ini", kata Hasli pula.


- Unit Media

Sunday, December 20, 2009

Presiden GPTD selamat diijabkabulkan

Gombak, 20hb Disember 2009 - Presiden GPTD Pusat Saudara Suhail telah diijabkabulkan dengan pasangannya Nur Nadzifa anak kepada pengasas GPTD iaitu Ahmad Azam. Majlis yang dimulakan dengan akad nikah dan diikuti majlis kenduri meraikan saudara mara dan sahabat-sahabat. Ramai tetamu yang hadir dari GPTD sendiri, ABIM, PKPIM dan sebagainya.

Kami semua di GPTD mengucapkan selamat pengantin baru kepada mempelai ini. Semoga berbahagia hingga ke akhir hayat dan menjadikan perkahwinan ini juga sebagai pemangkin untuk terus bekerja menyumbang kepada umat di seluruh alam.

Misi Rahmatan Lil 'Alamin..

Ulasan Penasihat
Tahniah kepada Bapak Presiden atas Majlis Perkahwinan yang penuh keberkatan insya-Allah. Moga kekal hingga ke syurga dan terus melebarkan misi rahmatan lil alamin di bumi China. Amin!


Friday, December 18, 2009

AHLAN WA SAHLAN YA MUHARRAM

Sudahkah kita semua membaca doa akhir tahun dan doa awal tahun? Alhamdulillah, semoga berada dalam keberkatan dan redhaNya. Sambutan tahun baru hijrah sinonim dengan peristiwa hijrah yang telah berlaku semasa zaman Rasulullah s.a.w. Sambutan tahun baru tidak tercatat dalam Al-Quran atau disebut dalam sunnah Rasulullah s.a.w. tetapi ia merupakan perayaan buat umat Islam.

Bagaimana Penghijrahan Rasulullah?

Penghijrahan komuniti Muslim pada zaman Rasulullah SAW berlaku sebanyak tiga kali.

1. Hijrah ke Habsyah pada 615 Masihi

2. Hijrah ke Habsyah pada 617 Masihi

3. Hijrah Rasul SAW ke Yathrib (Madinah) pada 622 Masihi.

Mengenai hijrah ke Madinah, Rasulullah SAW ada menceritakan dalam hadisnya yang bermaksud:
“Aku melihat dalam tidurku aku berhijrah dari Makkah ke satu tanah yang banyak pokok kurma. Pada mulanya aku menyangka Yamamah atau Hajar, rupa-rupanya ia adalah Madinah, iaitu Yathrib.” – (Hadis riwayat Bukhari)

Pada peringkat awal, Rasulullah hanya memperkenalkan Islam kepada sahabat terdekat dan ahli keluarga baginda. Apabila baginda menerima perintah daripada Allah SWT supaya berdakwah secara terbuka, baginda segera akur.Baginda mengumpul beberapa pengikut di Makkah.

Kumpulan kecil Muslim itu terdedah kepada maut berikutan ancaman daripada kaum kafir, terutama bangsa Quraish, yang menyeksa mereka dengan teruk. Bagi mengelakkan ancaman itu, Rasulullah SAW mengarahkan pengikutnya supaya keluar dari Makkah secara senyap-senyap ke Madinah.

Satu hari pada tahun 622M, iaitu kira-kira 12 tahun selepas berdakwah di Makkah, Rasulullah SAW diberitahu orang kafir Makkah merancang membunuh baginda untuk memusnahkan Islam.

Malah penduduk Madinah yang baru memeluk Islam juga gembira dapat bertemu Rasulullah (SAW). Jelaslah, sebelum tibanya Rasulullah di Madinah, Islam semakin kukuh di tempat baru itu, sesuatu yang tidak berlaku ketika berada di Makkah. Maka pada hari Isnin 8 Rabiulawal bersamaan 20 September 622M, Rasulullah (SAW) akhirnya tiba di Quba, sempadan Madinah dan benar-benar masuk ke Kota Madinah pada 12 Rabiulawal, hari Jumaat dan mendirikan solat Jumaat yang pertama di Kampung Bani Amar.

Kaum Muslimin semua keluar untuk menyambut baginda. Bertitik tolak dari itu, Rasulullah (SAW) mula membina sebuah negara Islam yang megah.

Baginda memupukkan persaudaraan di kalangan umat Muslim dan menyeru mereka supaya menegakkan yang hak dan mengikut segala perintah Allah SWT.

Kesan daripada penghijrahan Rasulullah (SAW) dari Makkah ke Madinah adalah satu catatan penting sehingga umat Islam menjadikan tahun peristiwa bersejarah ini sebagai tahun permulaan kalendar Islam.

Bagaimana peristiwa hijrah tersebut diimplementasikan dalam kehidupan kita?

Penghijrahan tidak hanya terletak pada berpindah dari suatu tempat ke tempat yang lain, tetapi juga penghijrahan minda dan pemikiran kita sebagai seorang hamba dan khalifah. Proses mentarbiyah dan berhijrah dari segi pemikiran tidak semudah yang disangka. Ramai yang ingin berubah, tetapi tidak semua yang mampu merubah.

Setiap kali datangnya tahun baru, saban waktu itu kita akan ditanya dan tertanya-tanya tentang azam dan harapan buat tahun tersebut. Apakah akan tercapai atau sekadar bualan kosong bagi mencukupkan rasa? Usahlah dipacak impian di gunung andai usaha masih di bibir pantai. Tidak salah mencipta impian, tetapi yang salahnya bila impian itu sekadar angan-angan.

Kita ambil contoh terdekat, Ekspedisi Meneladani Pemikiran Hamka yang bakal dijalankan tidak berapa lama lagi. Apa yang kita harapkan daripada program tersebut? Apa sumbangan kita yang sebenarnya dalam memastikan program itu berjaya? Yang mampu meletakkan kualiti program dan aktivis berada di tahap mana adalah kita sendiri. Kemampuan dan keupayaan kita dalam mentafsir erti sebuah penghijrahan itulah yang kita dambakan.

Sejauh mana sejarah penghijrahan Rasulullah s.a.w. telah mendidik jiwa kita sebagai seorang hamba, anak, adik-beradik, teman, pelajar, dan yang paling penting…hijrah kita untuk diri sendiri. Jika penghijrahan Rasulullah s.a.w. telah mengajar kita mengenal erti pengorbanan seorang Rasul terhadap umatnya, seharusnya penghijrahan kita membawa nilaian terbesar pada diri dan ummat.

Berhijrah bukan pada nama atau kuasa, tetapi berhijrah atas rasa tanggungjawab dan amanah yang tergalas di pundak sendiri.

Salam Maal Hijrah. Memantapkan Ukhuwwah , Memperkukuh Ummah !


WAN RITINI WAN ISMAIL

Setiausaha





Salam Ma'al Hijrah 1431H

Salam Ma'al Hijrah 1431H buat muslimin dan muslimat khususnya di Kampus Bestari Jaya dan seluruh dunia umumnya. Marilah kita Memantap Ukhwah, Perkukuh Ummah demi kebangkitan Generasi Salahuddin di alaf baru. Rapatkanlah saf kepimpinan mahasiswa dan negara demi mempertahan kedaulatan negara ummat Islam. Kitab lama sudah ditutup, bukalah lembaran kita yang baru dan tuliskan keazaman saudara saudari untuk komitmen berbudaya ilmu dan memperkasa misi rahmatan lil alamin. Insya Allah hari-hari yang mendatang pada tahun baru hijrah ini akan lebih bermakna dengan perjuangan yang berteraskan ta'dib islami. Teruskan usahamu mengajak kepada kebaikan dan memperbetul kejahatan dengan tangan, suara dan hati agar keimanan dapat ditingkatkan dan istiqamah. Saya ucapkan kepada para pimpinan dan aktivis GPTD UNISEL agar bersama melakukan penghijrahan hati, pemikiran dan amal. Salam 1GPTD, Kerja Didahulukan, Komitmen Diutamakan.

-Penasihat

Thursday, December 17, 2009

MH Multitouch Resources sedia menaja XPDC HAMKA

Kuala Selangor, 16 Disember 2009 - Mohd Hasli Bin Ridhal, Pengurus MH Multitouch Resources telah bersetuju untuk menaja sulaman pada vest aktivis XPDC HAMKA. Pertemuan dan perbincangan telah diadakan di Pejabat beliau di Bandar Malawati lewat petang semalam. Persetujuan segera oleh Mohd Hasli agak mengejutkan aktivis Grup Hamka yang hadir kerana kebiasaannya beberapa hari atau minggu akan diambil untuk dipertimbangkan permohonan penajaan. Jumlah sulaman untuk sembilan vest yang akan ditaja adalah bernilai RM300.00.

Pihak GPTD UNISEL mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak pengurusan MH Multitouch Resources atas sumbangan dan sokongan yang dihulurkan. Syarikat ini juga menawarkan perkhidmatan mencetak baju dan tempahan baju korporat dengan harga yang berpatutan. Jika ada yang berminat sila hubungi staf bertugas di talian 03 3281 3568 atau emel ke mh_multitouch@yahoo.com. Boleh juga terus ke pejabat di No. 13, Jalan Malawati 3/19, Bandar Malawati. 45000 Kuala Selangor, Selangor Darul Ehsan.

Wednesday, December 16, 2009

Pak Menteri Sehari suntuk bersama pelajar menuntut Ilmu


Disediakan oleh Muhammad Izzat Chiairil Anuar

Kuala Lumpur, 13 Disember 2009 - Di Institut Integriti Malaysia telah diadakan Seminar Sehari yang bertajuk Pengukuhan Pandangan Alam Islam (Worldview of Islam) dan Syarahan Perdana oleh Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas. Tujuan seminar ini adalah untuk Mengukuhkan Fahaman Mengenai Alam Islam Dikalangan Masyarakat Islam kini.

Dalam Seminar Sehari tersebut, pelbagai tajuk dalam tiga sidang antaranya Faham Ilmu dalam Islam, Makna & Matlamat Agama dalam Islam, Adab & Ta’dib sebagai Asas Pendidikan Islam, Islam & Falsafah Sains dan Pandangan Islam terhadap Tradisi Ddan Kemodenan. Kesemua pembentang sidang-sidang tersebut adalah Bekas Pelajar Prof. Dr. Muhammad Naquib Al-Attas.

Seminar anjuran Himpunan Keilmuan Muda (HAKIM) dab Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) ini telah menarik hampir seramai 400 peserta dari pelbagai Universiti dan termasuk pelajar Antarabangsa. Program ini telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pengajian Malaysia iaitu YB Datuk Saifuddin Abdullah. Menariknya adalah Saifuddin turut serta dalam seminar dan syarahan umum hingga lewat malam.


- Unit Media






Saturday, December 12, 2009

50 Juta galakkan dokumentari tempatan

rais yatimSebanyak RM50 juta diperuntukkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk kegiatan mencipta kandungan tempatan khususnya filem-filem berkaitan dokumentari untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata kementerian berhasrat menonjolkan kemampuan filem dokumentari tempatan memandangkan filem-filem cereka tempatan belum mencapai tahap antarabangsa kerana keterbatasan atau halangan modal.

"Sejak tiga tahun yang lalu, memang telah dibincangkan isu-isu ini dan syukur di bawah pentabdiran SKMM telah diperuntukkan RM50 juta bagi tahun hadapan untuk menjalankan kegiatan mencipta kandungan tempatan.

"Di samping itu, animasi tempatan, dokumentari, drama tempatan termasuk cerita agihan plot termasuk filem di Sabah dan Sarawak akan kita perbanyakkan pada 2010," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Sumber : Malaysiakini

Ulasan Penasihat
Insya-Allah, kita akan dokumentasikan & dokumentari semua projek kita agar masyarakat tahu kerja kita untuk tujuan penajaan dan kempen keahlian merentas kampus. Jika ada kesempatan kita akan anjurkan bengkel dokumentari pada tahun hadapan sebagai persiapan misi Grup Cheng Ho, Grup Ibn Battutah dan Grup Wali Songo.


Friday, December 11, 2009

Bestari Sportwear Centre menaja pakaian aktivis XPDC HAMKA

Bestari Jaya, 10 Disember 2009 - Bestari Sportwear Centre telah menaja pakaian (vest) Aktivis Grup Hamka yang akan melaksanakan XPDC HAMKA beberapa hari lagi. Majlis penyerahan ringkas telah diadakan dengan Penasihat, En Izwan Suhadak Ishak sebagai wakil telah menerima sumbangan 8 helai vest daripada Puan Jeanne (berasal dari Filipina) yang merupakan isteri kepada Pengurus, Encik David Ananthan.

"Terima kasih kepada Untie Jeanne kerana sudi menyumbang dan menyokong projek khidmat sosio pendidikan ini. Saya kira, budaya ini patut dicontohi oleh syarikat yang lain sebagai tanda mendokong tanggungjawab sosial", kata Izwan ketika ditanya oleh pemberita. Puan Jeanne berkata, "Program ini memang bagus, membantu orang yang dalam keadaan kesusahan. Saya harapkan program ini akan berjaya".

Bestari Sportwear Centre adalah merupakan syarikat pembekal alatan sukan dan menerima tempahan aksesori alat tulis dan pakaian. Sesiapa yang berminat untuk boleh berhubung terus di talian 016-3387002 atau emel di bestarisportwear@yahoo.com. Boleh juga ke pejabat di No 22, Jalan 3, Pusat Perniagaan Bestari Jaya, Bestari Jaya.

STOP CAR LITTER




Bersiar-siar ditengah kota
Membeli-belah di pasaraya
Budi bahasa budaya kita
Bersopan santun di jalan raya

Buang sampah merata-rata
merata-rata di atas jalan
Kalau tuan bijak tak terkata
amalkan teladan di perjalanan

Menuntut ilmu hingga ke U
Dapat kerja sebagai Exec
Belajar sampai U
tetapi kurang cerdik sampai Z



Thursday, December 10, 2009

Kenyataan Media : XPDC HAMKA

RAYUAN DANA : MISI XPDC HAMKA KE MANINJAU, PADANG INDONESIA

Grup Pengkaji Tamadun Dunia Universiti Industri Selangor (GPTD UNISEL) akan menjalankan Ekspedisi Meneladani Pemikiran Hamka (XPDC HAMKA) dan misi bantuan kemanusiaan ke Maninjau, Padang Indonesia pada 29 Disember 2009 hingga 12 Januari 2010. Seramai 8 orang aktivis GPTD UNISEL yang melibatkan diri dalam ekspedisi ini. Ekspedisi ini bertujuan untuk mengkaji pengkisahan sejarah kehidupan Buya Hamka serta mengadakan Khidmat Sosio-Pendidikan kepada pelajar Pesantran Buya Hamka dan masyarakat di sekitarnya. Selain daripada itu, XPDC ini juga bertujuan untuk membentuk sukarelawan muda yang bakal melakukan anjakan paradigma serta mendedahkan mereka dengan isu-isu serantau dan global dalam proses penjanaan minda yang positif dan cemerlang.

Antara aktiviti yang akan dijalankan adalah pengajaran bahasa Inggeris, matematik, komputer, dan juga khidmat kaunseling bagi membantu meningkatkan motivasi kepada mangsa gempa berikutan kejadian gempa bumi tempoh hari. Pemilihan kesemua aktivis ini berdasarkan beberapa fasa yang mengambil kira dari sudut kemantapan fizikal, emosi dan rohani. Persediaan untuk ke Maninjau, Padang Indonesia telah dilakukan dengan rapi yang mana semua aktivis diajar beberapa kemahiran dari segi bahasa, menjalankan kajian dan lawatan tokoh sebagai persediaan di Indonesia. Kesemua perbelanjaan XPDC HAMKA memerlukan jumlah sebanyak RM 5000.00 termasuk menyalurkan bantuan makanan, membuat kerja-kerja kajian dan menjalankan aktiviti. Kepada mereka yang ingin memberi sumbangan sama ada dalam bentuk wang atau material bolehlah menyalurkan sumbangan anda kepada :

1) Sumbangan wang tunai/cek:

GRUP PENGKAJI TAMADUN DUNIA UNISEL

Akaun Bank Ambank : 124-202-200155-5

2) Sumbangan material:

Alat tulis (pen, pensil, kertas, buku nota dll)

Untuk maklumat lanjut sila hubungi :

En. Izwan Suhadak Bin Ishak

Penasihat GPTD UNISEL

017-656 0102

Wan Ritini Bt Wan Ismail

Setiausaha

017-985 0942

Junaidah Bte Ismail

Pengarah Projek XPDC HAMKA

019-372 1338

GPTD UNISEL
Pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP)
UNISEL Kampus Bestari Jaya,
45600 Bestari Jaya,
Selangor Darul Ehsan, Malaysia.

· http://gptdunisel.blogspot.com/

· gptdunisel@gmail.com

· 010-246 0435

Related Posts with Thumbnails