Showing posts with label Ibn Battutah. Show all posts
Showing posts with label Ibn Battutah. Show all posts

Monday, October 29, 2012

Travelog Ekspedisi Generasi Muda


Oleh Wan Ritini Wan Ismail, Aktivis Grup Ibn Battutah GPTD

25 April 2008 (Jumaat)

Usai solat Subuh, aku masih termangu-mangu. Antara percaya dan tidak, antara yakin dan tidak..harinya telah tiba. Hari yang sepatutnya kami berempat, anggota X-GEM akan berangkat ke Aceh. Jujur kukatakan, saat-saat akhir begini bisikan syaitan amat kuat. Bermacam-macam benda yang terlintas di fikiranku. Lantas, jalan paling selamat yang kupilih adalah berdiam diri. Cuba memotivasikan diri dengan hal-hal yang positif.

Sesampainya di Anjung Rahmat, perasaan di dada semakin membuak-buak. Teringat kata-kata ibuku, “Setiap apa yang kita buat, kita mesti yakin. Ingat, apa yang Allah takdirkan untuk kita..adalah yang terbaik untuk kita. Mungkin kebaikan tu kita tak nampak sekarang, tapi pasti ada.”

Kawan sekelasku semasa di Tahun Asas, Zaidi turut datang ke sini untuk mengucapkan selamat jalan. Dia adalah antara pengasas Biro al-Rihlah. Namun, entah kenapa dia syahid di tengah jalan. Mungkin terikat dengan komitmen yang lebih penting. Dia benar-benar terkejut apabila mendapat tahu kumpulan kami akan ke Aceh. Perasaan sedikit menyesal mungkin terlintas di fikirannya.

Sebelum bertolak ke LCCT, kami diberi amanat terakhir oleh Abg Din. Misi Rahmatan Lil Alamin ini memerlukan keikhlasan dan kekuatan mental yang tinggi. Bersama dalam satu kumpulan mestilah sentiasa berbincang, bertolak ansur, dan memahami antara satu sama lain. Andai timbul sebarang pertelingkahan, wajar diselesaikan dengan segera sebelum merebak dan boleh menjejaskan prestasi kumpulan.

Kami bertolak ke LCCT dengan menaiki van yang dipandu oleh Hakim. Tiba-tiba sesuatu yang tidak dijangka telah terjadi. Kami tertinggal laptop! Perasaanku pada waktu itu memang tak keruan. Terpaksa kami berpatah balik ke Anjung Rahmat. Semua berdiam diri bagaikan pesalah yang akan dihukum gantung. Aku rasa bersalah kerana tidak peka dengan barang sendiri. Memang kami sudah sepakat menyerahkan tanggungjawab untuk menjaga laptop itu kepada Fendi, tetapi sebagai tuan punya laptop..aku cuai!

Kami tiba di LCCT pada pukul 10.50 pagi.   Kami agak kelam-kabut di sana kerana masing-masing tiada pengalaman berlepas ke luar negara. Alhamdulillah, kami berjaya melepasi prosedur yang telah ditetapkan.Deringan telefon bimbit mematikan langkahku. Nama abang yang tertera. Tapi kutahu, suara ibu yang bakal kudengar. Tepat sekali. Perasaan sebak tiba-tiba hadir. Aku benar-benar perlukan sokongan ibu di saat ini. Aku membayangkan alangkah indahnya andai ibu yang bakal melambai-lambaikan tangan di sini. Sepertiku, ibu juga begitu. Suaranya tertahan-tahan kerana menangis. Pesanannya supaya aku menjaga solat, makan, adab dan tingkah laku semasa berada di sana nanti. Aku terlalu payah untuk menangis. Tapi bila mendengar esakan ibu, hatiku runtun. “Misi ni bukan setakat membawa nama kumpulan kamu, tapi juga nama negara dan agama.”

Pengalaman pertama menaiki pesawat amat menyeronokkan. Apa yang lebih menyeronokkan, penumpang di sebelah kananku adalah orang Aceh. Perjalanan selama 1 jam 25 minit itu telah membibitkan sebuah perkenalan antara kami. Namanya Kak Nur Asmah, dari Lhokseumawe. Dia amat senang hati bila aku bercakap dalam bahasa Aceh. Sebaris dua ayat cuma. Banyak cerita daripadanya yang boleh kutitip sepanjang berada di sana nanti.

Setibanya kami di Bandar Udara Sultan Iskandar Muda, sekali lagi kami berdepan dengan masalah. Kami terpaksa mengisi borang penumpang luar negara. Kamilah antara orang yang terakhir yang keluar daripada lapangan terbang itu.

Langkah kaki seakan kaku apabila melihat keadaan di lapangan terbang di sini. Bagaikan ada suatu renjatan elektrik, hati bagai dipalu-palu. Benarkah apa yang kulihat? Lapangan terbang di sini seperti stesen kereta api daerah di Malaysia. Orang-orang di sini mula memandang kami dengan pandangan yang luar biasa. Abg Faisal yang sepatutnya datang menjemput kami telah ke masjid terlebih dahulu untuk solat Jumaat. Kami menunggu di situ. Beberapa orang lelaki datang menawarkan perkhidmatan kereta sewa. Aku mulai rasa kurang selesa dengan keadaan itu. Bukan memburukkan mereka, tapi wajah-wajah penduduk yang kami lihat di sini amat menakutkan. Imaginasiku mula melayang memikirkan hal yang pelik-pelik. Doaku semoga Abg Faisal akan cepat sampai.

Alhamdulillah, tak lama kemudian Abg Faisal tiba dengan menaiki kenderaan yang bernama Kijang. Kami menyusuri jalan-jalan di Banda Aceh untuk ke Sekretariat Global Peace Malaysia (GPM), di Pagar Air.

Pada pengamatanku, suasana di sini tidak jauh bezanya dengan tempat kelahiranku, Kelantan. Keadaan persekitaran, gaya hidup penduduk, struktur bangunan dan kediaman mirip sekali. Kebetulan, sewaktu kami melalui jalan-jalan di sini, beberapa buah masjid baru sahaja selesai solat Jumaat dan kami dapat melihat orang ramai berpusu-pusu meninggalkan masjid. Hal ini terus mengingatkan aku kepada tanah air tercinta.

Setibanya kami di Sekretariat GPM, kami disambut oleh isteri Abg Faisal, Kak Nila dan anak mereka, Fatih. Wah, ada bendera Malaysia yang berkibar di bumi Aceh!
Kami solat jamak taqdim dan makan tengahari. Sedikit mesyuarat ringkas telah kami adakan bersama Abg Faisal. Ini bagi melicinkan perjalanan misi kami nanti.

Muzium Provinsi Nanggroe Aceh Darussalam adalah tempat pertama kami kunjungi bagi memulakan rencana kami di sini. Di sini ada replika Makam Ratu Nahrisyah, beberapa keping lempengan emas yang ditemui di makam Sultan Iskandar Thani, surat-surat Raja Samudera Pasai (Sultan Zainal Abidin V kepada Alfonso de Albuquerque). Di bahagian atas muzium ini pula terdapat pakaian dan perhiasan tradisional orang Aceh. Kami turut mengunjungi Rumah Aceh yang terletak di hadapan muzium ini.

Kami ke Masjid Raya Baiturrahman untuk menjemput Abg Murdani, wakil dari Dewan Dakwah Islam Indonesia (DDII).Kami difahamkan, Abg Murdani yang akan menemani kami menjalankan misi sepanjang berada di sini.

Selepas itu, kami ke makam Syeikh Abdul Rauf bin Ali AlFansuri AlSingkili. Kawasan makam ini masih dalam proses pembaikan semula selepas dilanda tsunami. Di sekitar kawasan ini juga terdapat rumah-rumah yang baru dibina. Syukur tak terhingga kerana walaupun tragedi yang menimpa penduduk di sini telah berlaku 4 tahun yang lalu, kami akhirnya sampai juga di sini. Kami berjalan-jalan di kawasan pantai yang terletak di hadapan makam tersebut. Apabila memandang air laut yang berombak tenang, aku terfikir tsunami yang berlaku dahulu. Betapa besarnya kuasa Allah s.w.t. Dengan sekelip mata sahaja, air yang tenang bisa mengorbankan beribu-ribu nyawa dan meruntuhkan bangunan yang berdiri teguh. Subhanallah!

Kami juga dibawa melawat kesan tsunami yang lain. Kapal yang mendarat di atas 3 buah rumah. Menurut Abg Faisal, kapal ini diperbaiki dan akan dijadikan suatu tempat lawatan sejarah untuk kunjungan orang ramai.  

Seterusnya, kami dibawa melawat pejabat DDII. Di sini, kami diberi penerangan ringkas mengenai badan dakwah ini. Kami juga berbincang mengenai perjalanan program kami sepanjang berada di sini. Aku pelik..sepanjang perbincangan kami itu, Abg Murdani seolah-olah hanya bercakap dengan Fendi dan Hafiz. Terasa bagaikan terpinggir. Syafa juga turut merasai hal yang sama. Akalku terus berfikir, bagaimana kami ingin berkomunikasi dengannya selama seminggu di sini? Hom!

Kami kembali ke Sekretariat GPM sekitar jam 6.30 petang. Teringat seketika..jika di Malaysia sekarang sudah jam 7..30 malam. Cintaku tertinggal di Malaysia..

Selepas solat jamak taqdim secara berjemaah, kami mengadakan mesyuarat. Muhasabah mengenai perjalanan kami pada hari ini dan perancangan untuk esok. Selepas makan malam, kami menyiapkan tugasan masing-masing. Bahagianku adalah menyiapkan laporan untuk dihantar ke Malaysia malam ini. Suatu kejadian yang tak diduga berlaku. Fendi memarahi Hafiz. Aku cuma berdiam diri. Api yang  sedang bernyala tak wajar diusik. Nanti makin merebak.

Apabila Fendi keluar ke Warnet (Warung Internet) untuk menghantar laporan kepada Abg Su, aku memanggil Hafiz. Aku perlu “membasuh” pemikirannya sekarang. Memang telah kuketahui, dia sedang kecewa dengan apa yang terjadi dalam hidupnya sebelum ke sini, tetapi bila sudah dicampur-adukkan dengan kerja, aku harus bertindak. Jika tidak, kami mungkin bergaduh dengan lebih dahsyat. Selepas sesi “basuhan” itu, kami berehat dan menyiapkan barang-barang untuk dibawa esok.

26 April 2008 (Sabtu)

Hari kedua kami di Banda Aceh. Selepas solat Subuh berjemaah dan rehat seketika, aku berjalan-jalan di sekitar sekretariat. Melihat anak-anak kecil yang bermain di halaman rumah membuatkan hatiku terdetik, bagaimana masa depan mereka nanti seandainya kemiskinan terus membelenggu? Kanak-kanak di negara kita disuap dengan pelbagai kemewahan walaupun ada segelintir yang merana, tapi di sini apa yang kuamati kebanyakan kanak-kanak hidup dalam serba kekurangan.

Kami bersiap-siap untuk ke terminal bas. Seorang gadis manis mengunjungi kami. Menurut Kak Nila, dia adalah anak angkat kepada Ummi Sharifah, rakyat Malaysia yang berkhidmat dengan GPM, namanya Iras. Sepanjang perjalanan menuju ke terminal bas, kami berbual panjang dengannya. Dia juga pernah ke Malaysia mengikut ibu angkatnya. Kami singgah di Masjid Raya Baiturrahman untuk menjemput Abg Murdani. Setibanya di terminal bas, kami terus membeli tiket ke Lhokseumawe. Ada gambar angsa di dinding bas itu. Apa yang menarik perhatian kami, ada dua ekor angsa dibawa naik ke dalam bas itu. Terlintas di fikiran ketika itu, mungkin simbolik kepada bas. Telahanku silap, rupa-rupanya angsa itu adalah milik salah seorang penumpang. Saat itu aku hampir tergelak kerana tekaanku yang merapu tanpa bertanya terlebih dahulu. Benarlah kata Abg Murdani “Malu bertanya,jalan-jalan”.

Sementara menanti bas bertolak, kami duduk di tempat yang disediakan. Mataku melilau ke kawasan persekitaran. Di sini, kanak-kanak berpakaian compang-camping dan kotor, lelaki dewasa tanpa arah tuju, dan orang tua yang tidur di tempat duduk di situ. Perasaanku bercampur-baur. Di mana nilai kemanusiaan kita?

Sudah tiba masanya kami bertolak. Pengalaman pertama menaiki bas di negara orang tidak dapat dilupakan. Sedang enak menikmati pemandangan di sekeliling, aku terhidu bau asap rokok. Hampir terkejut apabila terpandang pemandu bas yang merokok di dalam bas yang berhawa dingin. Hatiku menggelegak. Orang di sini merokok dengan sewenang-wenangnya tanpa mengira tempat awam atau bukan. Terpaksalah kami menahan apatah lagi berada di tempat duduk paling hadapan. Rupa-rupanya, bukan dia seorang yang berbuat demikian. Ada juga penumpang lain yang turut merokok.

Setiap kali bas berhenti, akan ada pengemis menaiki bas untuk meminta wang dan penjual makanan yang menjual pelbagai jenis makanan kepada penumpang. Perjalanan jauh yang memakan masa itu kurasakan seperti rentetan perjalanan kehidupan masyarakat di sini. Bas berhenti di hadapan sebuah kedai makan. Bab makan di tempat lain selain daripada rumah, amat menyeksa batinku. Namun kutahu, aku harus hadapi keadaan ini apatah lagi apabila berada di sini.
Jalan menuju ke Kota Lhokseumawe agak mencabar kerana terdapat curam, bukit, dan bermacam kerosakan jalan yang lain. Namun, kehebatan pemandu di sini apatah lagi pemandu bas yang kami naiki memang tidak dapat dipertikaikan lagi. Perjalanan yang memakan masa lebih kurang 7 jam 15 minit itu akhirnya tamat. Hari sudah gelap. Turun sahaja dari bas, kami menanti di perhentian bas yang disediakan. Ada dua orang gadis dan seorang kanak-kanak perempuan melintas jalan dan menuju ke arah kami. Fikirku, mungkin mereka adalah orang yang bakal menyediakan tempat tumpangan untuk kami. Sapaan mereka meyakinkan kami. Mereka adalah Kak Asniah dan Mulyani bersama sepupu mereka,  Pipit. Di seberang jalan Mamak (panggilan bagi ibu) mereka menanti bersama Reza, anak lelakinya. Mereka berempat adalah keluarga Kak Nila, Kami dibawa ke rumah mereka yang letaknya lebih kurang 0.4 km dari perhentian bas tadi.

Suasana kampung mulai terasa. Ingatan sekali lagi terbias ke kampung halaman di Malaysia. Sebuah rumah yang sederhana. Bagi lelaki, mereka ditempatkan di pesantren yang terletak berdekatan dengan rumah ini.

Sewaktu ingin membuka pili, ternyata tidak keluar air. Panik seketika dengan keadaan itu. Melalui Mamak, aku kini mengetahui bahawa mereka tidak mendapat bekalan air apabila malam menjelang. Air untuk mandi dan kegunaan lain telah disimpan di dalam besen-besen.

Selepas makan malam, kami mengunjungi ketua kampung yang dipanggil Geucik di sini. Ini adalah adat apabila berkunjung ke tempat orang, apatah lagi kami yang berlainan negara. Beliau berasa bangga dan bertuah kerana mendapat kunjungan dari kami, orang Malaysia. Seperti yang kulihat di dalam bas, Geucik juga merokok. Malahan, lelaki muda di sebelah beliau (anak Abi, ketua pesantren) juga merokok. Apabila kutanyakan hal ini kepada Mamak, dia mengatakan majoriti lelaki Aceh merokok tak kira usia tua atau muda. Di situ, aku membuat satu kesimpulan kecil bahawa mereka kurang mementingkan aspek kesihatan.

Kunjungan kami seterusnya adalah rumah Abi, ketua pesantren. Adat menumpang di tempat orang, memang sewajarnya kami sebagai tetamu memulakan pertemuan. Di pesantren yang diuruskan oleh beliaulah, Abg Murdani, Fendi, dan Hafiz akan menginap.
Pulang sahaja dari melawat ketua kampung dan ketua pesantren, kami memulakan diskusi dan perancangan untuk esok. Kami terus mempersiapkan laporan dan memindahkan gambar ke laptop.

Tidurku pada malam itu agak terganggu dengan nyamuk-nyamuk yang menggigit seluruh badan. Tapi, dek kerana kepenatan aku terpaksa menderma darah kepada serangga-serangga itu. 


27 April 2008 (Ahad)

Seawal jam 5.00 pagi aku terjaga. Seluruh badan bengkak-bengkak digigit nyamuk. Dengan mata yang berat, aku melangkah ke tandas. Teringat kata-kata Abg Faisal semalam “Orang Islam sekarang kuat-kuat. Kerja angkat batu, angkat besi. Tapi mahu angkat selimut dan buka mata untuk solat Subuh susah sekali.” Serta-merta mataku membulat. Agak pedas peringatan itu. Langkah kaki terhenti apabila Kak As memberitahu kami tiada air.

Kami perlu ke rumah jiran sebelah untuk menimba air dari perigi. Seingatku, kali terakhir aku menimba air dari perigi adalah beberapa tahun yang lepas. Itupun kerana rumah kami di kampung terputus bekalan elektrik. Selepas itu, kami cuma perlu membuka paip sahaja. Tidak perlu bersusah-payah menimba lagi. Di sini, aku mengulangi kenangan itu kembali. Menjelang jam 7.00 pagi, air belum lagi keluar. Aku dan Syafa mula memikirkan yang kami tidak akan mandi pada hari ini. Agak sedih waktu itu. Tapi, inilah namanya pengorbanan. Kita perlu mengorbankan sesuatu untuk mendapatkan sesuatu yang lain. Syukur alhamdulillah, air mulai keluar pada jam 7.30 pagi. Kami bersiap dan menikmati sarapan pagi sebeleum bertolak ke destinasi yang dituju.

Pengalaman pertama menaiki labi-labi amat menyeronokkan. Kenderaan ini boleh memuatkan 12 orang penumpang. Perasaan kagum mulai kurasakan kerana setiap penumpang akan membayar kepada pemandu atau kelindan yang berada di bahagian depan. Aku terfikir, adakah semuanya jujur? Turun dari bahagian penumpang dan terus ke pemandu untuk membayar tambang. Bermacam-macam gaya orang dapat kulihat apabila berada di dalam labi-labi ini.

Setibanya di Kota Lhokseumawe, kami berjalan menuju ke pejabat Persatuan Pelajar Islam (PII). Jarak pejabat yang jauh dari jalan utama memakan masa yang agak lama. Setibanya kami di sana, kami dijemput ke ruang mesyuarat mereka yang terletak di bahagian atas bangunan tersebut. Tergamam seketika apabila menjengah ke ruang ini. Kosong tanpa sebarang kelengkapan. Kerusi disusun sebaik sahaja kami masuk. Perjumpaan dengan pelajar-pelajar itu amat menarik. Rupa-rupanya mereka masih menuntut dalam menengah tinggi. Namun, kepetahan berbicara tak dapat disangkal lagi. Sebagai setiausaha, tugasku kali ini agak mencabar. Mana tidaknya, percakapan mereka agak cepat dan bahasa Indonesia + Aceh menyukarkanku untuk mencatat setiap isi percakapan mereka.

Selepas pertemuan itu, kami meneruskan perjalanan ke tempat yang seterusnya iaitu rumah salah seorang pimpinan Himpunan Mahasiswa Islam (HMI). Sungguh menakjubkan apabila mereka yang kami temui seakan-akan bukan mahasiswa. Lagak dan gaya mereka seperti pemuda jalanan. Bukan merendahkan martabat mereka apatah lagi memperlekehkan kredibiliti mereka sebagai pemimpin persatuan, tetapi hakikatnya begitu. Mata tidak akan menipu. Aku dikejutkan dengan huluran tangan daripada salah seorang wakil HMI yang ingin bersalaman. Cepat-cepat tolak dengan senyuman dan tunduk hormat. Harapanku semoga dia akan faham. Perkenalan dan perbincangan kami pada waktu itu berjalan lancar. Banyak perkara yang dibangkitkan mengenai hubungan dua negara jiran ini. Mereka juga mencadangkan kami buku untuk membantu kajian kami nanti iaitu Peradaban Aceh karya Muhammad Umar.

Kami solat di Masjid Darussalam. Aku begitu tertarik dengan cara hidup orang di sini. Mereka akan cepat-cepat ke masjid sebaik sahaja azan dilaungkan. Kuperhatikan, saf jemaah lelaki hampir 4 baris. Struktur, rupa bentuk masjid di sini agak berbeza dengan masjid di Malaysia. Konsep open air bagi setiap masjid yang kami lihat di sini amat menarik perhatian kami. Mana tidaknya,selain daripada menjimatkan tenaga elektrik (kipas), kita juga dapat menghirup udara segar. Begitu juga dengan tempat mengambil air sembahyang.

Di sini, tempat mengambil air sembahyang tidak terletak berdekatan dengan tempat solat. Bagi kaum wanita, kami terpaksa mengambil wudhuk dan bersiap-siap di tempat tersebut dan terus ke dewan solat. Selain itu, tiada masjid yang dibina dua tingkat. Satu paras dan tiada tirai antara lelaki dan wanita. Jadi, setiap orang mesti menjaga aurat dan batas kerana dewan solat masjid ibarat suatu kawasan lapang yang akan dipenuhi dengan manusia apabila waktu solat menjelang.

Kesatuan Aksi Mahasiswa Muslim Indonesia (KAMMI) adalah badan ketiga yang kami temui dan bertempat di masjid ini. Sekali lagi aku diuji. Bahasa dan percakapan mereka yang cepat menyukarkan aku mencatat. Keadaan agak bercelaru seketika apabila Fendi diminta menjawab soalan yang diajukan oleh salah seorang muslimah. Mereka tidak memahaminya lantas suasana tidak terkawal serta-merta.

Jalan terbaik, aku dan Syafa mendekati mereka menerangkan satu persatu. Begitu juga dengan kaum lelaki. Tugas Fendi dan Hafiz untuk menjawab setiap persoalan yang mereka timbulkan.

Kami ke kedai makan yang berdekatan untuk makan tengahari sebelum bertolak ke Makam Sultan Malikussaleh. Kami ke sana dengan menaiki labi-labi. Suasana menjadi meriah apabila lawatan itu bukan setakat kami, tetapi juga ditemani oleh teman-teman dari PII, HMI, dan KAMMI. Pada waktu itu, aku mengagumi sikap mereka yang mudah mesra dengan kami sehingga sanggup menemani kami mengunjungi tempat-tempat yang kami lewati.
Sedang asyik aku megumpulkan maklumat dari penjaga makam di Makam Ratu Nahrisyah, Syafa datang. Dia agak terasa hati dengan apa yang telah Fendi katakan padanya. Aku cuba mengambil jalan tengah kerana tidak ingin hal ini menjadi semakin parah. Namun, Syafa tetap dengan keputusannya. Dia bertegas mengatakan dia benar-benar mendengar perkataan itu keluar dari mulut Fendi. Aku tidak berada di tempat mereka bercakap tadi, jadi sama ada hal itu benar atau tidak…entahlah.

Pulang dari lawatan-lawatan tersebut, kami mempersiapkan diri. Sewaktu ke tandas, kudapati paip tidak berfungsi. Air tidak keluar. Bukan setakat itu, apa yang lebih membuatkan aku rasa seperti ingin menangis adalah apabila terdapat dua ekor katak yang berlainan saiz berada di sekitar tandas. Tanpa menghiraukan perasaan malu, aku bertempik sekuat hati. Mamak datang. Untuk seketika, dia tergelak. Ditambah pula dengan kehadiran Kak As dan Mul. Teruk aku diketawakan. Namun, Mul menemaniku sehingga selesai aku mandi. Perasaan malu yang teramat sangat memang ada. Tetapi demi ‘menyelamatkan’ diri daripada katak-katak itu, terpaksa kutebalkan muka. Peristiwa ini mengingatkanku kepada sejarah silam yang pernah kualami.

Sepanjang malam mereka mentertawakanku. Selepas makan malam, kami bersiap-siap untuk keluar bagi memenuhi undangan wakil dari HMI. Pada malam itu, mereka meraikan kami bagaikan seorang raja. Tiba-tiba fikiranku terlintas kepada salah satu bab dalam Kitab Ibn Battutah. Dalam bab di mana Ibn Battutah singgah di Samudera-Pasai, beliau dilayan dengan baik sekali kerana adat orang di situ yang memuliakan tetamu. Wah, kami kini merasai apa yang pelayar Islam itu rasa. Biarpun berbeza zaman, namun adat mereka masih lagi kukuh dipegang.

Satu peristiwa yang amat berbekas di hatiku pada malam itu adalah apabila sesi post-mortem yang mana terjadinya scene yang agak tegang apabila Syafa dan Fendi masing-masing mempertahankan hak masing-masing. Aku cuba menjadi orang tengah kerana kerja berpasukan amat penting. Usai mesyuarat itu dalam keadaaan yang kurang baik. Cuba berdiplomasi dengan Syafa ibarat menarik benang di dalam tepung. Tepung tidak berselerak dan benag tidak putus.

Tetapi Syafa tetap Syafa. Dipertahankannya juga kebenaran dirinya. Tidurku malam itu bukan setakat terganggu dengan nyamuk, ditambah pula dengan masalah baru yang menimpa kumpulan ini. Agak susah apabila masing-masing tidak ingin menjatuhkan ego. Entah kenapa aku terasa seperti aku dipertanggungjawabkan untuk meleraikan perselisihan ini.



28 April 2008 (Isnin)

Sarapan kami pada pagi ini agak suram. Tiada gelak tawa, usik-mengusik apatah lagi bertegur sapa. Perjalanan kami ke Kota Lhokseumawe terasa bagaikan terlalu jauh. Masing-masing membuat hal sendiri. Aku agak tertekan dengan situasi ini. Apalah salahnya andai salah seorang mengalah. Seperti biasa, Hafiz seolah-olah merasakan tiada apa yang berlaku. Keanak-anakan!

Kami tiba di Kantor Perpustakaan dengan satu misi-mencari seberapa banyak bahan bacaan yang boleh didapati untuk kajian ilmiah kami. Ternyata tidak banyak buku yang berkaitan, cuma kami mendapat dua buah buku yang boleh difotostat. “Wan Ritini, tolong mintak duit dengan perbendaharaan.” Fendi di sebelah kananku dan Syafa di kiriku. Aku mengeluh kecil. “Mintak sendiri” luahku. Apabila terpandangkan muka kesian Fendi, aku mengalah. Aku ingin melihat selama mana mereka boleh bertahan dengan situasi begini.

Selepas itu, kami ke DISPUDPARPORA. Pertemuan dengan Pak Munawwar banyak menjelaskan kami tentang keadaan sebenar Aceh yang seolah-olah dianak tirikan oleh pihak pemerintah Indonesia. Beliau banyak memberikan pandangan terhadap bahan-bahan sejarah yang semakin dilupakan oleh masyarakat.

Sewaktu kami ingin meninggalkan pejabat itu, Pak Munawwar menghulurkan tangan ingin bersalaman denganku. Kaget seketika dengan situasi itu. Sepanjang berada di sini, beberapa kali adegan ini berlaku padaku. Aku menundukkan kepala sedikit, tanda aku tidak akan menerima huluran tangan itu dan sebagai menghormati beliau. Namun, Pak Munawwar tidak memahami tindakanku itu. Hal ini berterusan selama beberapa minit. Akhirnya beliau menyedari keadaaan itu. Katanya “Maaf ya, agama kita sama. Namun syiar Islam kita beda-beda.” Aku kurang mengerti akan pernyataan yang keluar dari mulutnya.

Kami berjalan kaki ke Masjid Darussalam. Sepanjang perjalanan itu, masing-masing mendiamkan diri.Kebetulan, pada waktu itu sesi persekolahan baru sahaja tamat. Berpusu-pusu kanak-kanak yang keluar dari sekolah. Jalan yang kami lalui itu berdekatan dengan sekolah dasar yang ada di kota tersebut. Semua kelihatan ceria. Suasana begitu sibuk sekali. Kebingitan itu ditambah lagi dengan bunyi hon-hon kenderaan yang bersimpang-siur memenuhi jalan-jalan di situ. Satu tabiat pemandu di sini yang kuperhatikan adalah mereka suka membunyikan hon kenderaan, tidak kira dalam apa jua situasi. Meriah dan bising. Sepanjang berada di Aceh, aku belum pernah melihat keadaan jalan yang bersesak-sesak di jalan walaupun terdapat banyak sekali kenderaan. Semuanya berjalan lancar dan seolah-olah lampu trafik tidak berfungsi.
Kali kedua kami singgah di Masjid Darussalam. Aku kagum dengan sikap masyarakat di sini yang meletakkan ajaran Islam sebagai suatu asas yang kukuh dalam kehidupan mereka. Namun apabila timbul isu kebersihan, mereka nampaknya kurang peka. Menghairankan kerana agama Islam sendiri menekankan konsep kebersihan dalam kehidupan setiap penganutnya. Bukan mengaibkan mereka, tapi keadaan tandas mereka agak kurang dijaga kebersihannya.

Entah kenapa, doaku padaNya amat bersungguh-sungguh kali ini. Pohonku, pintaku semoga hubungan Fendi dan Syafa akan pulih semula dan semoga hubungan kami berempat tidak akan tergugat dengan masalah-masalah kecil. Runtuhkanlah benteng ego yang membatasi antara kami.

Pertemuan dengan wakil-wakil dari KAMMI pada petang itu agak menarik. Isu-isu panas yang ditimbulkan. Ayat-ayat disusun dengan baik bimbang andai mengguris hati mana-mana pihak. Subhanallah, keadaan yang tegang kerana diajukan dengan pelbagai soalan ini sebenarnya terselindung satu rahmat. Fendi menegur Syafa dan akulah orang yang berada di antara mereka, yang menjadi saksi bahawa perang ‘adik-beradik’ sudah berakhir. Alhamdulillah, doaku dimakbulkan Allah.

Selepas makan tengahari, kami meneruskan perjalanan ke Pusat Studi Islam dan Perpustakaan Tgk Muhammad Hasbi Al Shiddieqy. Di sini tidak terdapat buku-buku yang kami inginkan. Walaupun agak hampa dengan keadaan itu, namun aku yakin pencarian ini tidak akan berakhir dan pasti akan menemui jalan penyelesaian.

Kami menaiki labi-labi menuju ke tempat penginapan. Aku jatuh hati dengan kenderaan ini. Mungkin kerana keunikan perkhidmatannya dan fungsinya yang menyumbang kepada keselesaan pengangkutan masyarakat. Apabila tiba di destinasi, aku seakan-akan tidak mahu turun daripada kenderaan ini. Seperti anak kecil!

Setibanya kami di Kampung Bayu, kami tidak terus pulang ke rumah, tetapi berjalan beberapa langkah menyusuri jalan raya. Kami tiba di Tugu Cot Plieng. Tugu ini dibina bagi memperingati jasa Cot Plieng, seorang wira yang mempertahankan negara ketika serangan Jepun. Apa yang menyedihkan, tugu ini seolah-olah tak terjaga. Keadaannya yang agak daif di tepi jalan itu seolah-olah tidak membawa apa-apa makna kepada masyarakat. Semak-samun memenuhi sekeliling tugu itu. Kesian!

Kesempatan masa pada petang itu memberikan kami peluang untuk menghirup udara di kampung ini. Melihat kanak-kanak bermain mengingatkanku kepada anak-anak buah di Malaysia. Kerinduan itu datang tiba-tiba.
Kami mengemaskan barang-barang. Kami dijangka akan menaiki bas pada pukul 9.00 malam nanti untuk pulang ke Banda Aceh. Mamak memandangku. Mungkin hatinya sayu mengenangkan pertemuan singkat ini. Apabila aku mengambil tuala untuk mandi, Mamak mengekoriku. Aku pelik… Segan tiba-tiba. Kenapa? Rupa-rupanya dia ingin menemaniku mandi. Aku hampir tergelak, namun kupendam bimbang andai mengguris hatinya. “Yalah, Tini takut katak kan. Mamak mau temani.” Apabila Mul datang, barulah dia beredar. Malu tiba-tiba. Aku telah menyusahkan Mamak dan Mul. Namun, bagi mereka lain pula ceritanya. Aku dikatakanya melucukan. Entah apa yang lucu tidak kuketahui.

Makan malam kami pada malam itu terasa meriahnya. Semua makan bersama kecuali Reza, anak Makcik yang agak terasing sepanjang kami di sini. Dia hanya akan bercakap denganku apabila aku yang menegurnya.

Kami menziarahi Geuchik dan Abi. Sewaktu kami ke rumah Geuchik, mereka sedang membuat persiapan untuk menyambut Maulid Nabi pada kekesokan harinya. Kaum perempuan menyiapkan bersa pulut dan kelapa goreng dan dibungkus dengan daun pisang. Geuchik meminta kami menunda keberangkatan kami pada malam itu supaya dapat meraikan Maulid Nabi bersama mereka. Namun, pelawaan itu terpaksa kami tolak kerana tuntutan tanggungjawab dan masa lebih utama.

Kami menunggu bas di tepi jalan untuk pulang ke Banda Aceh. Aku berbual-bual dengan Mamak. Banyak rahsia dan kisah hidupnya telah kudengar. Aku kagum dengan semangat wanita berusia 48 tahun ini. Kecekalannya menyara dan membesarkan anak-anak tanpa seorang suami telah menyuntik semangat anak-anaknya untuk belajar. Walaupun kehidupan di sini menuntut mereka untuk berusaha dengan gigih, namun kesepakatan dan kasih sayang antara ahli keluarga telah menjadikan mereka tabah. Aku banyak belajar dari kisah-kisahnya itu.

Bas tiba dan kami terpaksa berangkat meninggalkan Kampung Bayu dengan hati yang berat. Teringat pesan Mamak “Jangan lupakan kami. Ada waktu, ada kesempatan, datang ke sini lagi.”

Bas yang kami naiki akhirnya bertolak meninggalkan kampung itu. Seperti 2 hari yang lepas, keadaan di dalam bas tidak berubah. Setiap kali bas berhenti, ada saja penjual makanan dan peminta sedekah yang naik ke dalam bas.   


29 April 2008 (Selasa)    

Kami tiba di Banda Aceh pada pukul 4.10 pagi. Dengan berjalan kaki, kami pulang ke sekretariat GPM. Sedikit muhasabah dilakukan untuk aktiviti-aktiviti yang dijalankan di Lhokseumawe. Beberapa penambahbaikan dilakukan. Perancangan juga dilakukan dengan rapi untuk aktiviti di Banda Aceh ini. Seperti biasa, tugasku untuk menyiapkan laporan harian. Dua laporan harian mesti kusiapkan kerana tiada kesempatan semasa berada di Kota Lhokseumawe.Agak sulit untukku menyiapkan kedua-dua laporan tersebut.Selesai noktah terakhir, maklumat kusimpan sebagai 27 & 28 April 2008.

Tiba-tiba aku teringat yang aku tertinggal 1 fakta untuk laporan 27hb. Folder tersebut kubuka. Masya Allah, Cuma tinggal beberapa baris sahaja. Ke mana yang lainnya? Kalut seketika dengan keadaan tersebut kerana aku bukanlah seorang manusia yang suka membuat kerja yang sama berulang kali. Ingin kukhabarkan kepada yang lain, tetapi kupendamkan. Biarlah dulu. Kutinggalkan kerja-kerja tersebut dan menunaikan solat. Hampir menangis waktu aku menadah tangan memohon doa kepada Yang Esa. Berada di sini membuatkan aku merasakan hubunganku dengan Allah sw.t. terasa begitu dekat. Mungkin kerana segala yang kupendamkan tidak dapat kuceritakan kepada ibu, apatah lagi sahabatku. Membayangkan yang aku terpaksa membuat laporan harian sekali lagi. Haru!

Selesai solat, sekali lagi aku membuka folder tersebut dengan harapan supaya apa yang kusimpan tadi akan ada. Hampa! Kusedar, aku terpaksa memberitahu Syafa. Kekalutan suasana pada waktu itu amat melucukan. Akhirnya semua penghuni rumah sekretariat itu mengetahui akan apa yang terjadi. Dengan bantuan Abang Faisal, akhirnya semua data yang kusimpan kembali ditemui. Hahaha.

Lawatan kami pada hari ini bermula dengan mengunjungi makam Sultan Iskandar Muda. Makam ini agak berlainan dengan makam-makam yang kami lihat sebelum ini kerana makam ini dicat dengan cat hijau dan kuning.

Kami seterusnya melawat kapal PLTD APUNG 1, sebuah kapal yang mendarat ketika tsunami. Semasa kami tiba di sana, bahagian atas kapal tersebut tidak dapat dinaiki kerana telah masuk solat waktu Asar. Kami cuma berjalan-jalan di sekeliling kapal tersebut. Dalam fikiran, terlintas akan betapa banyaknya mayat yang terhimpit di bawah kapal ini. Tidak diketahui sesiapa.

Kunjungan kami yang seterusnya adalah Kuburan Massal. Di sinilah yang menjadi saksi mangsa-mangsa tsunami yang ditanam beramai-ramai pada tahun 2004. Sebanyak 14,264 mayat yang dketahui dan tidak diketahui siapa ditanam di sini. Suasana kelihatan suram tiba-tiba apabila masing-masing mengenangkan peristiwa tersebut. Sekarang, kuburan tersebut telah dipenuhi dengan rumput-rumput yang menghijau.

Abg Faisal membawa kami ke Universitas Syiah Kuala. Di sana, kami telah melawat kuburan para ulama’ yang telah datang ke sini mengembangkan ajaran agama Islam.
Sebelum pulang, kami singgah di WarKop (Warung Kopi). Di sini, kami diberi minuman yang bernama ‘bandrek’.

Rasanya seperti teh halia tetapi lebih pedas dan menyengat lidah. Bagaimana harus kuhabiskan minuman ini? Melihat Syafa dan Hafiz yang tidak boleh minum hati aku tercuit. Lucu. Betapa susahnya ingin menelan seteguk demi seteguk air itu. Abg Faisal dan Abg Murdani biasa sahaja. Mana tidaknya, mereka yang memesan air ini. Aku memang tabik dengan Fendi. Air-air bandrek kami dihabiskannya dengan senang hati.


30 April 2008 (Rabu)

Hari ini kami telah mengunjungi Badan Perpustakaan Banda Aceh. Di perpustakaan ini, kami telah berkenalan dengan Pn. Nurmala Dewi, staf di sini. Beliau telah bermurah hati untuk meminjamkan buku ‘Aceh Sepanjang Abad’ kepada kami. Perpustakaan ini dipenuhi dengan para pelajar yang ingin menelaah dan menggunakan buku di sini sebagai rujukan. Mataku terpandang akan seorang staf lelaki yang berada di hujung meja panjang yang kami duduki. Dia dengan bersahaja telah menghisap rokok tanpa menghiraukan orang sekeliling. Perpustakaan ini dilengkapi dengan penghawa dingin tetapi tidak dijaga keadaan udaranya.

Kami ke kedai buku Dunia Muslim. Di kedai buku ini, kami telah membeli beberapa buah buku. Karya Habiburrahman El Shirazy sememangnya tidak kutinggalkan.
Dengan menaiki labi-labi, kenderaan yang kusuka sepanjang berada di sini, kami telah ke Gedung Perpustakaan Iain ar-Raniry. Buku-buku mengenai para ulama’ Aceh tidak kami temui. Terpaksalah kami berlalu dengan perasaan yang hampa.

Kami pulang ke Banda Aceh dengan menaiki damri (bas pendek). Kami berhenti di hadapan Masjid Raya Baiturrahman untuk solat dan rehat sementara menanti Kak Nila.
Kami meneruskan penjelajahan ini ke Pasar Atjeh dan kedai Souvenir Aceh Putra. Di kedai-kedai ini kami membeli sedikit cenderamata untuk dibawa pulang ke Malaysia sebaga tanda kenang-kenangan.

Abg Faisal dan Kak Nila telah menanti kami di Masjid Raya Baiturrahman. Keadaan di masjid ini memang meriah apabila petang menjelma. Kanak-kanak yang baru selesai mengaji di masjid, ibu bapa yang menanti di halaman, para penjual makanan, dan banyak lagi dapat kami temui di sini. Pelbagai ragam manusia dapat dilihat.

Janji dengan Puan Nurmala untuk ke rumahnya bagi mengambil buku telah kami tunaikan lewat petang itu. Kami pulang dengan hati yang lapang.


01 Mei 2008 (Khamis)

Hari ini kami ke Rumah Asuh The Habibie Center. Rumah asuh ini terdapat 2 bahagian iaitu Rumah Asuh Beung Cala untuk penghuni lelaki dan Rumah Asuh Darussalam untuk penghuni perempuan. Pada hari ini, semua penghuni berkumpul di sini untuk meraikan Maulid Nabi Besar Muhammad s.a.w.Sewaktu kami tiba, para penghuni rumah asuh ini sedang memperdengarkan nasyid kepada para hadirin yang datang ke majlis tersebut. Kami agak teruja kerana inilah kali pertama kami mengikuti sambutan Maulidur Rasul di negara orang. Pelbagai acara diadakan bagi memeriahkan sambutan ini.

Kesempatan untuk berkenalan dengan para pengasuh dan penghuni di sini tidak kami lepaskan. Perbualan bersama mereka amat menarik dan kami banyak berkongsi cerita mengenai pelbagai isu. Kami bersembang dan menyanyi bersama. Mereka mudah menyesuaikan diri dengan kami. Salah seorang daripada mereka, namanya Dini. Nama dan wajahnya kuingati kerana kepetahannya berkata-kata berbanding dengan temannya yana lain. Dia gembira apabila mengetahui namanya mirip dengan namaku.

Kami bertolak menuju ke TamanSari Gunongan dan Kandang. Tempat ini merupakan tempat bersenang-senang Puteri Pahang. Beliau adalah permaisuri kepada Sultan Iskandar Muda. Kami berpeluang untuk menaiki gunung tersebut. Keunikan struktur gunung itu menarik perhatian kami.


02 Mei 2008 (Jumaat)

Suasana pagi ini meriah apabila kami bersiap-siap sebelum bertolak ke Malaysia. Masa selama lapan hari di sini bagaikan terlalu pantas. Sarapan kami pada pagi ini istimewa sekali. Kak Nila menyediakan jus avocado. Ia merupakan campuran avocado dengan milo. Pertama kali aku merasa jus ini. Sedap!

Kami tiba di Bandar Udara Sultan Iskandar Muda awal sekali. Waktu itu, perasaan yang aku rasa sebelum bertolak ke sini kurasakan kembali.Selepas check in barang-barang, kami keluar untuk berjumpa dengan Abg Faisal sekeluarga dan Abg Murdani. Nasihat dan pesanan mereka terpahat di ingatan. Masing-masing mendiamkan diri apabila berada di Dewan Menunggu. Mungkin mengingati pengalaman yang telah kami tempuhi sepanjang berada di sini.

Lambaian terakhir sebelum bertolak..penerbangan kami adalah pada pukul 12.45 tengahari. Kami tiba di LCCT pada pukul 2.15 petang waktu Malaysia.
Kami menaiki bas ke KL Sentral. Tiba di sana, Fendi, Hafiz, dan Syafa dijemput oleh Hakim dan Abg Suhail. Dan aku meneruskan perjalanan pulang ke Unisel kerana tuntutan tanggungjawab menanti di sana.

Tuesday, May 15, 2012

Malam Pengenalan GPTD Unisel


Jom kenali Grup Pengkaji Tamadun Dunia Unisel dengan lebih dekat. Program akan dirasmikan oleh Timbalan Presiden GPTD Pusat, Sdr Abdul Hakim Shabuddin. Slot khas akan membawa Perkongsian Pengalaman Jejak Patani yang baru selesai menjalankan misi luar negara pada April 2012.

Monday, April 25, 2011

Ibn Battutah : Pengembara Yang Jujur

Latar Belakang Ibn Battutah:
  • Nama Sebenar : Abu Abdillah Muhammad Ibn Abdillah Ibn Muhammad Ibn Ibrahim al-Lawati al-Tanji
  • Kabilah : Barber dari golongan Muslim Sunni
  • Tempat Asal : Tangier, Maghribi
  • Tarikh Lahir: 24 Februari 1304 / Rejab 704 Hijrah
  • Meninggal dunia : 779 Hijrah / 1372 Masihi

Ringkasan Mengenai Ibn Battutah:

Beliau merupakan seorang cendekiawan, ulama' Mazhab Maliki dan pernah berkhidmat sebagai Qadi. Ibn Battutah terkenal sebagai penjelajah dan pengembara serta menulis mengenai pengembaraannya selama hampir 30 tahun. Beliau adalah perintis pengembaraan dunia yang berjaya merentasi benua Afrika dan Asia serta menghasilkan karya penting dunia Islam yang meliputi daerah Barat Afrika hingga ke Pakistan, India, Maldives, Sri Lanka, Asia Tenggara dan China.

Beliau juga diberi gelaran sebagai Syamsuddin di negeri-negeri timur. Tokoh orientalis, Dozy menggelar beliau sebagai 'Pengembara Yang Jujur'.

Ibn Battutah meninggalkan Tangier pada hari Khamis, 14 Jun 1325 Masihi ketika usianya 21 tahun untuk menunaikan haji di Makkah yang mengambil masa selama 1 ½ tahun.

Pengembaraan beliau mengambil masa 38 tahun meliputi perjalanan sejauh 120,000 kilometer yang merangkumi 44 negara di benua Afrika dan Asia. Sepanjang perjalanan, beliau turut mengunjungi kota besar di Parsi dan Iraq, menemui para sarjana, gabenor dan seorang raja Monggol.

Selama beliau mengembara, Ibn Battutah telah bertemu dengan pelbagai jenis dan ragam raja-raja dari pelbagai negara. Dan selama mengelilingi dunia, Ibn Battutah menyimpulkan bahawa hanya ada 7 raja yang memiliki kelebihan luar biasa, iaitu:

  1. Raja Iraq : berbudi bahasa
  2. Raja Hindustani : sangat peramah
  3. Raja Yaman : berakhlak mulia
  4. Raja Turki :gagah perkasa
  5. Raja Rom : sangat pemaaf
  6. Raja Turkistan :bersifat tolak ansur
  7. Raja Melayu Malik Al-Zahir (Sumatra) : berilmu pengetahuan luas dan mendalam

Ibn Battutah merupakan orang pertama yang menjelajah bumi Afrika dan memberikan maklumat yang amat bernilai tentang negara-negara tersebut.Bagi tempat tertentu seperti Sudan,Asia Kecil,dan Matabar, Kitab Rihlah merupakan catatan saksi sepasang mata bagi peristiwa dan sosio ekonomi ketika itu.

Hari ini,sarjana Sejarah menganggap Kitab Rihlah sebagai sumber maklumat yang cukup berharga khursusnya mengenai ketamadunan dalam dunia Islam pada kurun ke-14.

Sumbangan yang tidak ternilai kepada seluruh masyarakat dunia ialah catatan perjalanan dan pengembaraan beliau. Ibn Battutah akan membuat catatan terperinci mengenai penduduk, pemerintah, ulama’ dan segala peristiwa yang ditempuhinya. Turut diceritakan pengalamannya menempuh pelbagai cabaran seperti diserang penjahat, hampir lemas bersama kapal yang karam dan nyaris dihukum penggal oleh pemerintah yang zalim.

Tetapi malangnya, pencapaian Ibnu Battutah yang luar biasa itu tidak mendapat penghargaan sewajarnya apabila manuskrip catatannya dirampas dan disembunyikan kerajaan Perancis yang menjajah kebanyakan negeri di benua Afrika. Namun begitu, beliau berjaya juga menerbitkan sebuah karya yang lengkap setelah menceritakan semula pengalamannya kepada Muhammad b. Juzay al- Kalbi atau lebih dikenali sebagai Ibn Juzayy (Penulis Dar Ifta’), iaitu seorang penulis Sultan. Ibn Juzayy mengambil masa selama 3 bulan untuk menyelesaikan tugasnya pada 9 Disember 1355M.

Karya ini berperanan penting kerana maklumat-maklumat yang terkandung di dalamnya telah dipetik dalam ratusan karya pengkajian sejarah yang meliputi bukan hanya sejarah dunia Islam tetapi juga sejarah Cina dan Empayar Bynzantin. Di samping itu, Rihlah Ibn Batutah juga satu-satunya sumber maklumat langsung mengenai budaya, adat resam, serta keadaan masyarakat di beberapa kawasan dunia. Dalam konteks sejarah Asia Tenggara pula, karya tersebut merupakan satu-satunya karya pengembaraan Arab yang terbukti kesahihannya.

Para Orientalis dan masyarakat Islam umumnya menganggapnya sebagai The Prince Of Muslim Travellers. Beliau selalu dibandingkan dan disamakan dengan pengembara terkenal Marco Polo yang dikatakan mempunyai pengalaman pengembaraan selama lebih kurang 30 tahun.

[Untuk mengetahui cerita penuh pengembaraan tokoh yang hebat ini, kita telusuri pengalaman beliau dalam Kitab Rihlah Ibn Battutah. Jadi, sertailah Grup Ibn Battutah! (",)]


Ditulis oleh Wan Ritini Wan Ismail

Saturday, September 12, 2009

Iftar & Perkongsian Membara Semangat Aktivis

Bestari Jaya, 11 September 2009 - Semalam aktivis GPTD UNISEL telah menghadiri Majlis Iftar GPTD UNISEL yang diadakan di rumah Penasihat. Acara yang bermula dengan berbuka ringkas dan ringan, kemudian menunaikan solat Maghrib secara berjamaah di Surau RKS bagi lelaki. Manakala perempuan menunaikan di rumah sahaja. Jamuan berbuka diteruskan selepas selesai solat, dengan menggunakan 'talam' bagi meratakan membudayakan semangat ukhwah & perkongsian rezeki. Solat terawih dijalankan di Masjid Unisel bagi meraikan tuan rumah.

Slot kemuncuk iaitu sesi Perkongsian Pengalaman di China oleh Sdr Suhail. Beliau menerangkan secara ringkas Fakta Nombor tentang sejarah awal dan terkini China. Kemudiannya berkongsi mehnah & tribulasi kerja-kerja sekarelawan di sana. Dimaklumkan beliau telah mengislamkan seorang gadis China, Alhamdulillah. Aktivis Grup Ibn Battutah & Grup Cheng Ho juga berkesempatan bertukar soalan dan pandangan tentang kajian yang akan dan boleh dilaksanakan di China.


Monday, July 6, 2009

Potensi Budaya Sosio Aceh


Sebenarnya masyarakat Aceh memiliki karakter nilai-nilai Islam yang sangat kental. Warisan nilai budaya Aceh itu telah bersatu dalam diri dan masyarakatnya sehingga menjadi karakter dan watak dalam perwujudan kehidupan sehari-hari sebagai anggota masyarakat yang beriman, bertaqwa, beramal saleh, berkasih sayang, tolong-menolong, mengutamakan amanah dan kebenaran, memenuhi janji, bertanggungjawab, dan berdisiplin. Masyarakat Aceh sangat mementingkan harga diri dan mereka pantang tersinggung.

POLA KEHIDUPAN MASYARAKAT ACEH

Pola kehidupan masyarakat Aceh diatur oleh hukum adat yang berdasarkan kaidah-kaidah hukum agama Islam. Adapun susunan masyarakat adalah seperti berikut :

Golongan Rakyat Biasa; yang dalam istilah Aceh disebut Ureung Le (orang banyak). Disebut demikian kerana golongan ini merupakan golongan yang paling banyak (mayoritas) dalam masyarakat adat Aceh.

Golongan Hartawan; iaitu golongan yang bekerja keras dalam
mengembangkan ekonomi pribadi. Dari pribadi-pribadi yang sudah berada itulah terbentuknya suatu golongan masyarakat. Karena keberadaannya sehingga mereka menjelma menjadi golongan hartawan. Golongan ini cukup berperanan dalam soal-soal kemasyarakatan khususnya sebagai penyumbang-penyumbang dana.

Golongan ulama/cendikiawan; umumnya mereka berasal dari kalangan rakyat biasa yang memiliki ilmu pengetahuan yang menonjol. Sehingga mereka disebut sebagai orang alim dengan gelaran Teungku. Mereka cukup berperanan dalam masalah-masalah agama dan kemasyarakatan.

Golongan kaum bangsawan; termasuk didalamnya keturunan Sultan Aceh yang bergelar "Tuanku" keturunan "Uleebalang" yang bergelar "Teuku" (bagi laki-laki) dan "Cut" (bagi perempuan).

Selain pembahagian susunan masyarakat tersebut di atas, sistem kesatuan masyarakat Aceh, merupakan perwujudan dari beberapa buah keluarga inti, yang menjadi suatu kelompok masyarakat; yang disebut "Gampong" (Kampung). Sistem sosial pada masyarakat Aceh berpedoman pada keluarga inti. Setiap perbuatan yang dilakukan sebuah keluarga inti akan memberi pengaruh kepada keluarga lainnya. Dengan demikian hubungan antara satu keluarga inti dengan keluarga inti lainnya cuku
p erat.


SOSIOBUDAYA MASYARAKAT ACEH

Menerut dari pemerhatian saya, cara hidup masyarakat Aceh tidak banyak bezanya dengan cara hidup masyarakat Malaysia. Gaya hidup mereka sama juga dengan gaya hidup masyarakat di Malaysia. Cuma apa yang menarik minat saya mengenai mereka adalah mereka sangat menghormati waktu solat. Apabila azan berkumandang, mereka semua akan menghentikan segala aktiviti yang sedang mereka lakukan dan terus pergi menunaikan kewajipan sebagai seorang Muslim. Tidak kira siapa sahaja baik lelaki atau perempuan, tua atau muda semua akan berpusu-pusu ke masjid. Sebagai contoh, sewaktu kami tiba di kapal PLTD APUNG 1 kami tidak dibenarkan masuk kerana pada waktu itu, azan Asar baru sahaja berkumandang. Semua pekerja berhenti rehat untuk menunaikan solat fardhu Asar. Hal ini sangat mengagumkan kami.


Apabila ditanya mengenai peraturan dan undang-undang jalan raya, masyarakat Aceh akan ketawa. Ini kerana mereka sangat degil untuk mematuhi undang-undang jalan raya. Jika menunggang motosikal cukuplah jika salah seorang sahaja yang memakai topi keledar. Di Aceh juga, mereka tidak mamatuhi peraturan lampu isyarat. Pada pandangan kami, mereka memandu secara membabi buta. Tapi, yang menariknya, kecelakan jalan raya jarang sekali berlaku. Mereka juga gemar membunyikan hon secara kuat seolah-olah hanya mereka sahaja yang sedang menggunakan jalan raya ketika itu. Mereka hanya akan mematuhi peraturan jalan raya jika ada polis yang sedang membuat pemeriksaan. Kami pernah merasai pengalaman menunggang motosikal bersama mereka. Kecut perut kami sewaktu mereka memecut motosikal untuk melarikan diri kerana mereka mendapat maklumat bahawa polis sedang melakukan pemeriksaan di jalan yang bakal kami lalui.


Kebanyakan penduduk Aceh bekerja sebagai peniaga. Dari apa yang saya perhatikan selama berada di bumi Aceh ini, kebanyakan dari mereka memilih profesion sebagai seorang peniaga bagi meneruskan kehidupan. Ada juga yang bekerja sebagai pegawai pemerintah, ahli profesional, nelayan dan juga petani. Bagi mereka yang bekerja dengan kerajaan, mereka memakai uniform mengikut warna berdasarkan kepada bahagian masing-masing. Selepas tamat waktu bekerja, kebanyakan masyarakat Aceh akan berkumpul di padang Masjid Besar Baiturrahman bagi menunggu ahli keluarga yang lain untuk pulang ke rumah bersama-sama.


Di Aceh juga terdapat banyak universiti-universiti didirikan bagi keperluan pendidikan anak-anak Aceh. Disini, semua anak-anak Aceh akan diberi peluang untuk belajar tidak kira mereka datang dari golongan kurang berkemampuan ataupun berada. Mahasiswa-mahasiswi di Aceh sangat bergiat aktif di dalam persatuan. Mereka juga sangat prihatin terhadap isu-isu semasa yang melanda negara mereka. Jika mereka tidak berpuas hati terhadap kerajaan, mereka akan melakukan ’aksi’ (demostrasi). Ini adalah salah satu dialog hasil dari temubual kami bersama salah seorang mahasiswi di sini, ”Jika tidak lakukan aksi, para pemerintah akan terus tidur lena tanpa memikirkan nasib rakyat” dan kami terus tersenyum mendengar jawapan dari mereka. Mereka juga sangat berminat untuk mengetahui mengenai sistem pembelajaran di Malaysia. Mereka beranggapan yang sistem pembelajaran di Malaysia lebih tinggi berbanding di Aceh kerana permohonan mereka untuk menyambung pelajaran di Malaysia sering sahaja di tolak. Apa yang menarik perhatian saya adalah mahasiswi di Aceh diwajibkan untuk memakai jilbab kerana ini sudah menjadi undang-undang masyarakat di sini. Bagi mereka, undang-undang ini wajib dipatuhi. Mahasisiwi bukan Islam juga diwajibkan untuk memakai jilbab. Menjadi tanda tanya kepada mereka mengapa umat Islam di Malaysia tidak kesemuanya memakai tudung. Walhal, ini adalah salah satu syariat yang wajib di penuhi bagi setiap wanita Islam.


SOSIOEKONOMI MASYARAKAT ACEH

Walaupun mundur dari segi infrastruktur tetapi keadaan sosioekonomi Aceh tidaklah seburuk yang disangkakan dan masalah sosial tidaklah berleluasa. Ini mugkin kerana bentuk muka buminya yang subur dan kaya sehingga tidak ada orang yang kelaparan dan hidup melarat. Ini adalah apa yang dikatakan oleh sesetengah penduduk.

Tetapi mengikut kepada penelitian kami, masih ada lagi pengemis yang merayau-rayau di bandar mahupun di desa. Ketika di jalanan, masih ada lagi pengemis yang merayau-rayau dari sebuah kereta ke sebuah kereta. Begitu juga di perhentian bas, dari satu stesen ke satu stesen yang lain pasti akan ada pengemis yang akan naik ke dalam bas untuk mengemis sesuap nasi. Hal ini amat memilukan hati bagi setiap mata yang memandang.

Aceh juga kaya dengan tanaman padi. Terdapat banyak sawah padi yang di usahakan di sepanjang jalan dari Bandar Aceh ke Kota Lhokseumawe. Hasil tanaman ini perlu lebih di komersialkan lagi bagi menampung keperluan penduduk dan juga untuk di eksport ke negara-negara luar. Aceh juga kaya dengan buah-buahan contohnya seperti buah evacado yang sangat enak di buat jus. Di Aceh, jus evacado sangat popular. Menurut dari pemerhatian saya, jus ini boleh di komersialkan di Malaysia kerana ianya sangat enak. Selain itu, ia juga mempunyai khasiat yang dipercayai boleh melicinkan kulit.


PUSAT PENGEMBANGAN ISLAM

Aceh sebenarnya merupakan pusat pengembangan Islam yang dikatakan paling awal dan terpenting di Nusantara melalui usaha para ulama dan pemerintah. Sebagai contoh 9 wali songo, 5 daripada mereka berasal daripada Aceh. Ulama-ulama yang terkenal di Aceh ialah Hamzah Fansuri (w. 1630), Shamsuddin as-Sumatrani (w. 1630), Nuruddin al-Raniry (w. 1658) dan Sheikh Abdul Rauf as-Singkili atau Syiah Kuala (w. 1683). Pemerintah Islam yang penting ialah Sultan Alaudin Riayat Syah IV (1589-1604), Sultan Muda Ali Riayat Syah V (1604-1607), Sultan Iskandar Muda (1607-1636), Sultan Iskandar Thani (1636-1641) dan empat orang Ratu atau Sultanah yang berturut-turut memerintah selama 60 tahun (1641-1699), iaitu Sri Ratu Tajul Alam Safiatuddin Syah, Sri Ratu Nur Alam Nakiatuddin Syah, Sri Ratu Inayat Syah Zakiatuddin Syah dan Sri Ratu Kumala Syah. Tokoh-tokoh inilah yang telah memberi sumbangan besar dalam meletakkan Aceh sebagai Serambi Makkah.


Tetapi ada sesuatu yang sering menjadi tanda tanya di benak fikiran saya, mengapa lelaki dan perempuan boleh bersalaman sesama mereka. Apabila ditanya pada mereka yang arif tentang Islam, jawapannya adalah kerana di Aceh terdapat mazhab yang berbeza-beza. Tetapi bukankah ada hadis yang menyebut, ”Daripada kamu menyentuh kulit bukan muhrim, baiklah jika kamu memegang besi panas”. Saya masih tidak dapat menerima cara mereka yang satu ini. Ada juga yang menyatakan jika bersalaman dengan yang bukan muhrim yang sudah tua dan tidak bernafsu lagi dibolehkan. Jika ini saya masih boleh terima tetapi bagi yang muda saya memang tidak boleh menerima. Mereka juga bebas menunggang motosikal bersama dengan yang bukan muhrim. Hal ini juga menjadi tanda tanya dalam fikiran saya dan saya masih lagi tidak dapat menerima cara mereka. Kami juga ada menanyakan persoalan ini kepada salah seorang mahasiswi di Universitas Malikussaleh, beliau memberikan jawapan yang bukan muhrim sama sekali tidak boleh bersentuhan kecuali suami isteri dan muhrim mereka. Jadi, tidak semua masyarakat Aceh berfahaman seperti ini, hanya sebilangan dari mereka sahaja.

Satu lagi budaya mereka yang menarik perhatian kami adalah cara mereka meraikan tetamu. Mahasiswa dan mahasiswi di sini meraikan kedatangan kami dengan mengajak kami berlibur di Kota Lhokseumawe pada malam hari. Jika di Malaysia, hal ini umpama seperti melepak di jalanan. Yang pelik dan menariknya, mereka semua adalah golongan cerdik pandai yang apabila berbicara semua orang akan terdiam dan mereka banyak membincangkan mengenai isu-isu semasa. Kami anggap ini sebagai cara atau budaya mereka meraikan tetamu.


KESIMPULAN

Suasana Islami di bumi Aceh sangat menarik minat kami untuk terus bermastautin disini. Jelas terbukti yang masyarakat Aceh sangat mesra dan ramah melayan tetamu. Mereka sangat berlapang dada menerima kunjungan kami. Mereka juga mudah untuk memberikan kerjasama terhadap kajian yang kami lakukan. Apa yang menariknya, mahasiswa dan mahasiswi di Aceh sendiri tidak mengetahui mengenai sejarah Aceh yang sedalamnya, kajian yang kami lakukan telah membuka mata mereka mengenai sejarah Aceh. Warisan nenek moyang yang seharusnya mereka banggakan dan semat di dalam jiwa masing-masing.


Selain itu, kami juga ada bertemu dengan Ketua Dinas Budaya Parwisata Pemuda dan Olahraga (DISBUDPARPORA), Kabupaten Aceh Utara, Pak Munawwar. Menurut beliau, pihak Dinas Budaya telah membuat perancangan untuk membina satu kawasan yang akan menempatkan semua bahan-bahan bersejarah yang akan dinamakan Monumen Pasai. Permohonan itu telah dibuat oleh pihak beliau kepada Kerajaan Indonesia tetapi setakat ini masih belum mendapat kata putus. Jadi, beliau sangat mengharapkan bantuan dari pihak Malaysia. Bahan-bahan ini sangat berguna sebagai bukti sejarah untuk generasi yang seterusnya.


Nur Syafafwati Bt Mohd Shahimi

Aktivis Grup Ibn Battutah


* Penulis adalah aktivis yang diberi peluang mengikuti Misi Ekspedisi Generasi Muda (X-GEM) ke Aceh untuk menjejak persinggahan Ibn Battutah di Pasai (kini Lhoksemawe). Penulis merupakan mahasiswa UIA bke sana bersama dengan 3 orang mahasiswa Universiti Industri Selangor (UNISEL)


Related Posts with Thumbnails