Tuesday, January 26, 2010

Jemputan : Siri Wacana HAKIM


Program jemputan kepada semua ahli GPTD UNISEL dan mahasiswa UNISEL ke Siri Wacana HAKIM di Masjid Al-Ghufran pada 6 Februari 2010 9 pagi hingga 12 tengah hari. Penceramah adalah Prof Dr Wan Mohd Nor Wan Daud, Fellow Utama ATMA, UKM.





Bengkel Asas Fasilitator - Pendaftaran Dibuka Sekarang




GPTD akan menganjurkan program "Bengkel Asas Fasilitator" yang mana kali ini penyertaan adalah sangat terhad kepada 30 orang sahaja. Ini bertujuan memberikan sepenuh perhatian kepada peserta yang bakal menyertai bengkel ini dan melatih mereka bukan sahaja sebagai seorang fasilitator malah mereka akan diberikan latihan secukupnya dalam mendepani program-program antarabangsa yang melibatkan belia.

Oleh itu kepada belia di luar sana penyertaan masih lagi dibuka. Sila daftar segera kepada urusetia seperti poster di atas. Tempat adalah TERHAD!!

Nota : Keutamaan akan diberikan kepada ahli GPTD UNISEL!




Thursday, January 21, 2010

Dr M: Selepas 'Avatar', 9/11 mungkin sandiwara

Selepas pembikinan filem blockbuster fiksyen sains 'Avatar', mantan perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad sangsi berhubung serangan ke atas Pusat Dagangan Dunia pada 2001.

“Saya kini tidak pasti sama ada pengganas Islam yang melancarkan serangan itu. ”Ada bukti kukuh yang serangan itu dirancang. Jika mereka mampu menghasilkan 'Avatar', maka mereka boleh membuat apa sahaja.

“Membunuh orang yang tidak berdosa sebagai alasan untuk berperang bukan sesuatu yang baru kepada Amerika,” kata Mahathir dalam ucapannya ketika sidang untuk meluahkan sokongan kepada Al-Quds di Kuala Lumpur.

Pertubuhan Al-Quds adalah kumpulan pendesak terbaru yang ditubuhkan bagi menuntut tanah warisan rakyat Palestin yang dicerobohi oleh kaum Yahudi dikembalikan.

Pada ucapannya itu, Mahathir juga menyentuh mengenai perspektif sejarah dengan menekankan bahawa Britain bertanggungjawab mewujudkan negara Israel daripada bumi Palestin.

“Yahudi sentiasa menjadi masalah. Walaupun pernah dipulaukan dan dibunuh secara beramai-ramai, mereka masih kekal, berkembang, malah kini menjadi ancaman kepada kerajaan.

“Selepas disembelih oleh tentera Nazi dari Jerman, mereka kekal dan terus menjadi punca kepada masalah dunia. Penyembelihan beramai-ramai itu gagal sebagai penyelesaian,” katanya.

Justeru, tambah Mahathir, pembentukan sebuah negara bagi Yahudi dilihat sebagai penyelesaian yang lebih baik.

Sumber : Malaysiakini

Ulasan Penasihat
Mohon kita tayangkan filem ini di dalam kampus agar lebih ramai yang
mendapat manfaat.

Kajian Kebersihan & Keselamatan


KEBERSIHAN

Saya Hafizah Azizan, salah seorang dari aktivis GPTD UNISEL telah di tugaskan membuat kajian tentang kebersihan dan keselamatan. Kajian ini dilakukan di sekitar Maninjau, Indonesia. Saya memfokuskan kajian ini di sebuah kampung kecil iaitu Kampung Kukuban yang berada di dalam daerah Maninjau. Kampung ini mengambil masa sekitar 2 hingga 3 jam dari Bukit Tinggi. Kampung ini juga bersebelahan dgn danau maninjau atau lebih dikenali Tasik Maninjau. Danau ini juga dikekelingi oleh gunung-ganang dan bukit-bakau. Permandangannya amatlah indah, namun, ada kekurangan dari segi kebersihannya. Bagaimanapun, di sini dapat lihat kebersihan di pinggir tasik di kampung Kukuban ini tidak terjaga dengan baik. Ini menunjukkan masih ada sikap ambil mudah dalam soal kebersihan.

Hal ini amatlah mengecewakan, jika tidak diambil peduli bimbang dikemudian hari, danau tidak seindah semulajadi. Tidak mustahil perusahaan penternakan ikan juga akan terjejas. Budaya gotong royong di kalangan masyarakat minang di Kukuban sangat baik. Malah setiap penduduk Kukuban ada jadual bertugas secara kelompok untuk memastikan jalan ke Kubugadang tidak semak. Tetapi mungkin terlepas pandang dalam soal pengurusan sampah. Seperti di kawasan kampung di Malaysia, sampah akan dibuang dibelakang rumah dengan cara menanam atau membakar. Keadaan itu juga berlaku di sini, tetapi masih ada segelintir yang sambil lewa, dan budaya membuang sampah ke dalam danau di pinggiran. Berdasarkan pemerhatian tandar Musholla (surau) juga tidak dijaga kebersihan. Perkara ini juga terdapat di Malaysia, kadang kala di Masjid besar dan utama.

Faktor ini berlaku kerana :-

*Tiada lori sampah yang datang di sekitar Kampung kukuban,Maninjau.
*Kurangnya aktiviti Gotong royong di sekitar rumah & kawasan Musholla.
*Tiada tempat perbuangan sampah yang khas atau utama.
*Kurang pemantauan daripada pihak berkuasa tempatan.






KESELAMATAN

Dalam soal keselamatan pula dapat dilihat apabila adanya pembinaan-pembinaan rumah atau sekolah, mereka meletak barang mereka seperti paku, kayu tajam, dan alat-alat yang membahayakan orang di merata-rata tempat. Barangkali tiada standard of procedure (SOP) di kawasan luar bandar. Pihak-pihak tertentu haruslah membuat tindakan sepatutnya supaya keselamatan anak-anak mereka dan penduduknya dalam keadaan selamat. Jika dibiarkan ini akan mengancam keselamatan kanak-kanak di Kukuban yang sentiasa aktif bermain di sekitar kampung.

TINDAKAN

Kami telah menganjurkan program gotong royong bersama pelajar Pondok Pesantren Prof Dr Hamka (PPPDH) untuk turun ke padang bersama-sama membersihkan kawasan Kukuban dan bertumpu di
sekitar Musholla (Kawasan sementara PPPDH akibat gempa bumi). Beberapa kelompok di bentuk untuk membersihan Musholla, pinggiran danau, kelas dan pejabat PPPDH, kawasan asrama putera puteri. Alhamdulillah, akhirnya kerjasama yang padu semuanya berjaya dibersihkan.



Tuesday, January 19, 2010

Jemputan : Seminar Serantau Seabad Buya Hamka


Digalakkan kepada aktivis Grup Hamka yang baru pulang dari Maninjau untuk turut serta. Terbuka juga kepada sesiapa yang berminat. Sekian, terima kasih!

Travelog 1: Belajar, Mengajar & Diajar dalam XPDC HAMKA

29/12/2009 | Selasa

Hari ini penulis dan aktivis lain bangun seawal jam 3.00 pagi dan bersiap untuk ke Terminal LCC di Kuala Lumpur. Kami bersesak-sesak menaiki sebuah van dan tiba di sana untuk berlepas ke Padang, Indonesia. Kami check-in barang dan terus menunaikan solat subuh di sana. Kapal terbang berlepas pada jam 7.00 pagi waktu Malaysia. Kami tiba di Bandar Udara Minangkabau, Padang, Indonesia pada jam 9.05 pagi waktu Indonesia Barat. Rombongan kami disambut oleh Abang Fauzan dan Renal dari Dewan Dakwah Islamiah Indonesia. Seterusnya kami dibawa ke Pejabat Dewan Dakwah Islamiah Indonesia dan kami menjamu sarapan pagi di warung berhampiran. Kami menikmati lontong yang berharga Rp 3500.

Selepas menunaikan solat zohor, kami para aktivis telah ke Pariaman untuk meninjau keadaan di sana. Perjalanan mengambil masa selama 1 jam. Dalam perjalanan ke sana, kami sempat memotret foto untuk dijadikan kajian.Sesampainya kami di sana, kami sempat untuk bersama dengan beberapa mahasiswa daripada Persatuan Pelajar Islam Indonesia (PII) untuk mengajar kanak-kanak mangsa gempa. Bagi penulis ini adalah pengalaman baru untuk dijadikan sebagai panduan kelak.

Selepas solat maghrib, kami menikmati makan malam dan seterusnya ada forum diskusi antara mahasiswa Malaysia dan Indonesia. Ucapan alu-aluan telah dimulakan oleh Saudara Renal dan seterusnya majlis diteruskan dengan ucapan pengenalan daripada Encik Izwan Suhadak tentang organisasi penubuhan Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD). Majlis diteruskan lagi dengan ucapan tuan rumah dan forum diskusi dimulakan.

Penulis sendiri kagum dengan cara mahasiswa dari Indonesia membahaskan sesuatu masalah dan mengajak kami mencari resolusi bersama. Antara persoalan yang ditimbulkan ialah pola hidup masyarakat, aspek-aspek masalah pendidikan di Malaysia diselesaikan dan cara pendidik untuk timbulkan rasa cintakan sejarah. Selain itu mereka juga ada menanyakan tentang reaksi mahasiswa Malaysia dengan pemerintah serta berlakukah demonstrasi antara mahasiswa. Alhamdulillah, segala persoalan dapat dijawab dengan baik walaupun agak mencabar pemikiran kami.

Pada jam 10.30 malam waktu Indonesia Barat, forum diskusi tamat dan kami bergerak ke tempat penginapan di LPMP. Kami merehatkan diri dan menunggu untuk agenda seterusnya pada esok pagi.

Nor Aqliah

Penulis adalah aktivis GPTD UNISEL yang mengikuti XPDC HAMKA ke Maninjau, Indonesia




Minoriti Islam Di Sri Lanka Terus Ditindas

Peperangan yang meletus di antara kerajaan Sri Lanka dengan Pejuang Harimau Tamil Eelam (LTTE) yang berakhir pada 19 Mei 2009 tidak memberi sebarang erti kepada penduduk minoriti Islam di negara tersebut. Dengan peratusan sebanyak 8 peratus daripada keseluruhan penduduk, masyarakat Islam Sri Lanka khususnya yang tinggal di bahagian utara dan kawasan pesisir pantai sebelah timur terus kekal dengan status pelarian dalam negara atau IDP (Internally Displaced People) dan masih tinggal di khemah pelarian yang diduduki sejak lebih 20 tahun yang lalu. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang diwakili oleh Setiausaha Agung, saudara Mohamad Raimi Abdul Rahim telah mengadakan pertemuan bersama Koordinator dan Pegawai Media untuk Program Sri Lanka di bawah Minority Rights Group International, Farah Mihlar bagi membincangkan isu minoriti masyarakat Islam Sri Lanka.

Pertemuan yang turut disertai oleh bekas Naib Presiden Antarabangsa, saudara Azril Mohd Amin turut merangka bagaimana isu minoriti Islam di Sri Lanka dapat diketengahkan sebagai isu antarabangsa serta mendapat perhatian negara-negara Islam. Kerjasama yang baik di antara Malaysia dan Sri Lanka cuba dimanfaatkan dengan meminta kerajaan membawa isu ini ke peringkat yang lebih tinggi, iaitu OIC.


Sumber : ABIM Online

Monday, January 18, 2010

Tahniah buat Faisal Tehrani atas penerimaan Hadiah Sastera Perdana

Grup Pengkaji Tamadun Dunia Universiti Industri Selangor (GPTD UNISEL) ingin mengucapkan tahniah & syabas atas kejayaan Saudara Faisal Tehrani atas penerimaan Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2006-2007 bagi 3 Kategori A: Novel ( Bedar Sukma Bisu, DBP, 2007), Kategori B: Esei ('Pengabaian Ilmu dalam Karya Sastera', Dewan Sastera, Jun 2006) dan Kategori C: Novel Remaja (Manikam Kalbu, DBP, 2007). Kami penggerak GPTD UNISEL adalah peminat karya sastera Faisal Tehrani. Malah di UNISEL sendiri ramai mahasiswa yang turut mengikut perkembangan dan pemikiran saudara melalui blog. Suatu ketika dahulu juga UNISEL melalui Persatuan I-Rakan pernah menganjurkan Bengkel Penulisan : Bila Pena Menari yang mana pengarah programnya adalah Sdri Wan Ritini Wan Ismail (kini merupakan Setiausaha GPTD UNISEL). Baru-baru ini GPTD UNISEL telah menjalankan XPDC HAMKA ke Maninjau, Indonesia dan memberikan khidmat sosio pendidikan di Pondok Pesantren Prof Dr Hamka (PPPDH). Kesempatan tersebut kami telah menyampaikan karya sastera Saudara Faisal Tehrani kepada pihak PPPDH untuk dijadikan bahan bacaan pelajar-pelajar di sini yang akan diabadikan di dalam perpustakaan mereka. Semoga kejayaan ini akan terus membangkit kemahuan saudara menghasilkan lebih banyak lagi novel yang mendidik generasi muda pemikir-aktivis untuk terus membangunkan ummah. Sebagaimana Prof Dr Hamka juga telah melakukan transformasi sosial melalui karya novelnya antaranya Di Bawah Lindungan Kaabah, Tenggelamnya Kapal Ven Der Wijck dan lain-lain lagi.


Saf Pimpinan GPTD UNISEL sessi 2009/2010




Thursday, January 14, 2010

Kosova: Permata Islam di bumi Eropah

PENULIS berasa gembira dan bersemangat apabila pertama kali menjejakkan kaki ke bumi Eropah Timur iaitu Kosova. Namun tiba sahaja di Lapangan Terbang Pristina, hati menjadi risau kerana khuatir payah untuk memasuki sebuah negara bekas komunis walaupun mempunyai surat jemputan rasmi dari pihak penganjur mesyuarat iaitu Persatuan Budaya dan Pendidikan (AKEA) Kosova.

Telahan saya meleset apabila mudah sahaja melepasi pintu imigresen kerana rupanya Malaysia amat disanjung oleh rakyat Kosova. Kehadiran saya di bumi Balkan ini adalah mewakili Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menghadiri mesyuarat Union of Ngos in the Islamic World (UNIW) yang beribu pejabat di Turki.

Ketika Bosnia, Macedonia, Montengero, Slovenia, Crotia, sudah merdeka daripada Yugoslavia dan ketika Kosova dinafikan kemerdekaannya oleh bekas penjajahnya Serbia, Malaysia antara negara terawal mengiktiraf kemerdekaan Kosova. Malaysia terpaksa membayar harga pengiktirafan tersebut apabila pejabat kedutaan Malaysia di Kosova 'dihalau' keluar oleh pihak Serbia setahun yang lalu.

Ketika pertemuan ramah mesra bersama Mufti Kosova, Sheikh Naim Ternava, beliau kerap kali menyebut nama Malaysia kerana rasa terhutang budi dengan sumbangan Malaysia terhadap kemerdekaan Kosova. Manakala sewaktu pertemuan dan interaksi dengan ratusan belia Islam Kosova, saya sempat berkenalan dengan Imam Masjid Hamidije, Sheikh Irfankrasn di mana katanya, pembinaan masjid tersebut hasil biayaan dan sumbangan kerajaan Malaysia sepenuhnya. Sebagai rakyat Malaysia, kita sudah tentu berbangga seperti mana yang dilakukan Malaysia di Bosnia satu ketika dahulu.

Negara bekas pengaruh komunis ini kecil sahaja. Bagi saya ia lebih kurang sebesar negeri asal saya iaitu Negeri Sembilan. Saya sempat mengelilingi ke utara di Mitrovica dan selatan di Prizren hanya mengambil masa kurang dari sehari. Namun negara kecil ini mempunyai tekad yang kuat untuk terus menjadi sebuah negara umat Islam merdeka dan berdaulat, walaupun masih diperhatikan oleh Serbia di sebelah utara.

Perjuangan darah dan air mata menjadi kelaziman bagi pejuang kemerdekaan. Kosova juga telah menyaksikan ribuan pejuang kemerdekaan Kosova gugur syahid ketika menghalau Serbia keluar dari bumi mereka. Nama-nama seperti Adam Jashari, Hamzah Jashari, Syaaban Jashari dan Zahir Beyazid menjadi kebanggaan rakyat Kosova kerana mereka inilah yang menggerakkan kebangkitan perjuangan rakyat menentang penindasan dan kezaliman yang akhirnya mereka sendiri gugur bermandikan darah syahid.

Saya sempat bertanya Haydar Mziu, (pelajar Kosova yang belajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang kebetulan balik bercuti) tentang kehidupan zaman kecilnya di bawah cengkaman Serbia, beliau lantas menjawab bahawa kehidupan mereka berada dalam ketakutan dan dinafikan hak sebagai seorang manusia merdeka. Mereka susah bergerak bebas kerana pos kawalan tentera Serbia berada di merata-rata.

Penindasan inilah yang menyebabkan rakyat Kosova bingkas bangun dan melawan kekufuran. Haydar Mziu, merupakan antara belasan pelajar Kosova yang ditaja setiap tahun oleh Yayasan Al Bukhary Malaysia untuk belajar di UIAM. Satu lagi kebanggaan Malaysia.

Serbia akhirnya akur dan keluar dari bumi Kosova ini apabila mereka dibom oleh tentera Perjanjian Pakatan Antlantik Utara (NATO) 10 tahun yang lampau di mana Richard Holbrooke (Bekas Duta Amerika Syarikat ke Balkan) berhujah, "NATO's air attack on the former Yugoslavia a decade ago was "the right thing to do" and had improved the lives of Kosovo Albanians and Serbs." Akhirnyapada Februari 2008, Kosova mengisytiharkan mereka sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat daripada kediktatoran Serbia. Kosova diiktiraf oleh 56 buah negara termasuk Amerika Syarikat dan Malaysia serta 22 dari 27 buah negara ahli Kesatuan Eropah.

Kosova dan negara Balkan lain pernah hidup di bawah keadilan pemerintahan empayar Turki Uthmaniyyah dan kesan pengaruh Turki amat kuat mempengaruhi kehidupan harian masyarakat Kosova. Kesannya boleh dilihat dengan jelas pada seni bina masjidnya yang mirip dan serupa dengan masjid yang ada di Turki. Di Prizren sebagai sebuah fakta, masyarakat di sana bertutur dalam bahasa Turki dengan fasih.

Di Kosova terdapat makam Sultan Murad 1, iaitu Khalifah Turki Uthmaniyyah dan makamnya dipelihara oleh kerajaan Kosova setelah Serbia membiarkan sahaja monumen bersejarah ini. Setengah riwayat menyatakan makam Sultan Murad 1 juga berada di Turki tapi saya dimaklumkan secara tidak pasti kebenarannya, jasad Sultan Murad 1 tanpa isi dalam badan berada di Turki dan di Kosova hanya ada isi dalaman sahaja dikuburkan. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui.

Saya berasa gembira kerana berada di bumi Kosova kerana sebagai seorang umat Islam, kita menghulurkan salam persahabatan dengan umat Islam Kosova khususnya generasi mudanya yang penuh bersemangat. Pimpinan muda belia Kosova fasih berbahasa Arab menggambarkan iltizam mereka mendalami agama dan mengembangkannya di bumi Eropah.

Peluang yang terhidang, diambil oleh saya untuk mengadakan kerjasama erat dan solidariti Belia Islam Malaysia dengan Belia Islam Kosova. Dengan kerjasama ini, bakal menaikkan lagi aroma keharuman nama Malaysia di mata rakyat Kosova. Umat Islam harus optimis dan yakin dengan suasana semasa bahawa Islam akan terus berkembang di bumi Eropah dan tidak mustahil 100 tahun akan datang Eropah akan menjadi Kesatuan Islam Eropah bermula dengan tiga negara asas umat Islam di Eropah Timur iaitu Albania, Bosnia dan Kosova.

Nota : Jufitri bin Joha merupakan penuntut di Durham, United Kingdom EXCO Hubungan Antarabangsa ABIM, PENGERUSI Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD),PENOLONG Setiausaha Agung Briged Bakti Malaysia, NAIB Pengerusi Himpunan Ilmuan Muda (HAKIM) & NAIB YDP ABIM rembau.
Sumber : Utusan




Tuesday, January 12, 2010

Resolusi & Ikrar Kem XPDC Hamka

Dengan penuh rasa rendah diri kami bersetuju untuk mendokong resolusi Kem XPDC HAMKA seperti yang disebut di bawah:

1- Santri akan belajar bersungguh-sungguh demi mengangkat martabat ummat Islam

2- Santri akan menjaga persekitaran Ponpes atas kefahaman rahmatan lil alamin

3- Santri mengikat janji setia untuk menjaga adab & akhlak Islami

4- Santri sedia memberikan kerjasama untuk setiap program yang disusun Ponpes

Semua peserta menyokong penuh dan melafazkan ikrar bersama dengan penuh bersemangat. Bacaan Resolusi dan Ikrar telah diketuai oleh Emon.

Monday, January 11, 2010

Majlis Penutupan Rasmi Kem XPDC Hamka

11 Januari 2010, Maninjau - Grup Pengkaji Tamadun Dunia Unisel melalui XPDC HAMKA telah menyampaikan beberapa naskhah sastera Melayu kepada Pondok Pesantren Prof Dr Hamka (PPPDH) untuk ditempatkan di dalam pustaka. Ini bertujuan untuk mengembangkan lagi sastera melayu diperingkat serantau dengan bermula di Indonesia. Antara karya yang diserahkan buat bacaan pelajar-pelajar pondok adalah karya Faisal Tehrani antaranya Saasatul Ibaad, Nama Beta Sultan Alauddin, Karbala, Bila Tuhan Berbicara, Surat-surat Perempuan Johor, Detektif Indigo, Advencer Si Peniup Ney, Detektif Indigo Kembali, 1511 H (Kombat), 1515, Manikam Kalbu, Bedar Sukma Bisu, Kekasih Sam Po Bo, Ketupat Cinta. Karya ini telah ditaja oleh pihak Ujana Ilmu kedai buku online. Selain itu karya penulisan Prof Dr Rahim Selamat, pensyarah dari Fakulti Pendidikan & Pengajian Bahasa, UNISEL juga diserahkan kepada pondok agar menjadi rujukan dalam proses pembangunan mengikut acuan Sekolah Bestari di Malaysia. Pada masa yang sama Majlis Penutupan Rasmi telah dirasmikan oleh Pimpinan PPPDH, Drs Zainul Ariffin. Acara tamat dengan bacaan Resolusi & Ikrar oleh wakil pelajar, Adik Emon.

- Unit Media

Sunday, January 10, 2010

Hadith : ahli neraka

Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu beliau meriwayatkan bahawa Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam telah bersabda :

"Dua golongan yang termasuk dari kalangan ahli neraka yang tak pernah aku lihat iaitu yang pertama mereka yang memegang cemeti seperti ekor lembu (bentuk cemeti itu seperti ekor lembu yang berbulu-bulu dan berambut-rambut) dan mereka memukul manusia dengan cemeti tersebut. Yang kedua adalah perempuan memakai pakaian tetapi keadaanya umpama telanjang (ketat), dan perempuan ini berjalan sambil berlenggang lenggok dan sanggol rambutnya (ataupun sekarang ikatan rambutnya) umpama bonggol unta.Dan perempuan yang sebegini keadaanya tidak akan mencium bau syurga. Ketahuilah bau syurga sudah boleh diciumi dari jarak begini dan begini."

Riwayat Muslim no. 2128

Kempen#3 : PLEASE FLUSH AFTER USE



Semudah 1,2,3!
Selesai, Flush, Beres
Lakukanlah kerana inilah ibadah

Tag :
1. Ritini
2. Junaidah
3. Nur Hafiz

Saturday, January 9, 2010

KONTROVERSI PEMAKAIAN KALIMAT ALLAH: SUATU PERNYATAAN KEPRIHATINAN


Selama berabad-abad negara Malaysia (dan sebelumnya Tanah Melayu) yang terbentuk daripada gabungan Negeri-Negeri Melayu (Malay States) ini dirujuk sebagai model negara berbilang kaum dan agama yang rukun, harmonis dan penuh tolerasi. Kejayaan mencipta kerukunan hidup antara agama adalah suatu prestasi ketamadunan dan kemanusiaan yang tidak ternilai. Faktor kunci kejayaan ini tidak lain adalah sikap ramah bangsa Melayu-Muslim yang menjadi golongan majoriti dan sekaligus “tuan rumah”. Keramahan luar biasa yang memang menjadi watak bangsa inilah yang memungkinkan penganut pelbagai agama (Kristian, Hindu, Buddha dan lain-lain) di negara ini menikmati kebebasan dan keselesaan mengamalkan agama masing-masing tanpa gangguan. Selama ini kerukunan hidup sedemikian itu dapat dipertahankan kerana adanya sikap menghargai keramahan (Melayu-Muslim) tersebut, di samping adanya rasa hormat terhadap kedudukan istimewa agama Islam sebagai agama Persekutuan, juga kerana adanya kesedaran terhadap realiti kesejarahan dan kebudayaan negara ini. Memang dalam sejarahnya Negeri-Negeri Melayu adalah bahagian daripada warga rumpun besar Dar al-Islam. Kesedaran tentang hakikat-hakikat inilah yang melatari keharmonian hubungan antara kaum dan agama selama ini. Justeru, kesedaran tersebutlah yang membentuk sikap saling memahami dan menghormati batas dan sempadan daerah keagamaan masing-masing. Kaum bukan Muslim umumnya cukup memahami daerah sensitiviti masyarakat Melayu-Muslim, dan demikian pula sebaliknya. Kerana itu hal-hal yang berkaitan dengan kedudukan Melayu dan Islam biasanya tidak diusik atau diganggu.

Ketegangan di sekitar isu pemakaian kalimat Allah ketika ini adalah akibat kegagalan menghayati tradisi menjaga sensitiviti umat Melayu-Islam. Mereka yang berkeras mahu menggunakan kalimat Allah dalam konteks agama Katolik bukan tidak tahu tentang keberatan umat Islam terhadap tuntutan mereka. Sikap tersebut tidak lain adalah gejala hilangnya kepedulian terhadap perasaan dan pendirian orang lain. Seharusnya mereka berusaha untuk cuba memahami keberatan umat Melayu-Muslim terhadap pemakaian nama Allah dalam konteks agama selain Islam.

Bagi umat Islam Allah adalah di atas segala-gala. Demikianlah hakikatnya, Allah selamanya merupakan ultimate concern bagi kaum Muslimin. Syahadat pertama keislaman mereka adalah kesaksian tentang hakikat ketiadaan tuhan selain Allah (Yang Maha Esa). Hanya Dia yang bernama Allah, nama yang dipilih sendiri oleh Allah khusus untuk diri-Nya, tidak siapa pun boleh memakainya selain Allah sendiri. Ia adalah al-Ism al-A`zam, Nama Agung bagi Dhat yang wajib al-wujud. Ia adalah nama yang merujuk Dhat yang meliputi seluruh sifat ketuhanan. Sebagai nama khusus-Nya, ia berbeza daripada nama-nama-Nya yang lain seperti al-Qadir, al-`Alim, al-Rahim yang boleh dipakai oleh yang lain-lain. Kerana kekhususannya itu jugalah nama-nama-Nya yang lain itu dinisbahkan kepada nama Allah lalu disebut asma’u ‘Llah (nama-nama Allah). Al-Sabur, al-Shakur, al-Qadir misalnya disebut sebagai nama-nama Allah, tetapi tidak boleh disebut sebaliknya, Allah adalah nama al-Shakur atau al-Sabur. Demikianlah hakikat kalimat Allah sebagai nama khas (`alam) yang tidak dipakai untuk selain-Nya.

Allah bukan nama am yang siapa sahaja boleh memakainya, dan bukan juga kata umum tanpa makna dan definisi tertentu sehingga siapa sahaja boleh memaknainya. Andainya kalimat Allah dimaknai lain daripada makna dan definisi hakikinya, jelas akan menimbulkan kekacauan semantik yang serius. Bagi umat Melayu-Muslim sejak mula kalimat Allah sudah sedia terpadu dengan definisi yang mantap dan muktamad, definisi yang diungkapkan oleh Allah sendiri dalam surah al-Ikhlas, Katakanlah: Dia-lah Allah, Yang Maha Esa. Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu. Dia tiada beranak dan tiada pula diperanakkan. Dan tidak ada seorangpun yang setara dengan Dia.”. Penurunan surah tersebut dilatari peristiwa kedatangan sekumpulan orang Yahudi meminta Nabi s.`a.w. memberikan pemerian tentang Tuhannya. Kerana itu surah ini bermula dengan kata Qul (Katakan) yang kemudian diikuti dengan ayat-ayat yang mengandungi rumusan definisi tentang Allah. Ternyata Allah adalah nama yang menyebatikan makna tauhidik, nama yang menolak syirik, dan sekaligus nama yang menafikan faham trinity (Tidak beranak dan tidak diperanakkan). Kerana itu surah ini disebut juga dengan nama Suratu ‘t-Tawhid. Memang ia adalah surah yang merumuskan faham tauhid yang semurni dan semutlaknya. Ayat-ayat dalam surah ini juga dengan jelas mengungkapkan makna bahawa Allah adalah “...a Personality”, bukan sekadar suatu konsep falsafi yang abstrak.

Surah al-Ikhlas adalah antara sekian banyak surah dan ayat al-Qur’an yang membawa mesej conceptual correction terhadap pemakaian nama Allah di kalangan masyarakat pra-Islam termasuk sebahagian suku-suku Arab jahiliah dan kaum Nasrani. Mereka memakai nama Allah dalam konteks faham syirik, termasuk faham al-tathlith atau trinity. Ayat-ayat korektif tersebut rata-rata membawakan makna dan nada ketidakrelaan Allah terhadap pemakaian nama-Nya dalam konteks yang menyimpang daripada prinsip kemurnian dan kemutlakan tauhid. Demikianlah kalimat dan nama Allah yang difahami oleh umat Melayu-Muslim umumnya, lalu bagaimana mungkin mereka yang saban hari membaca dan menghayati surah al-Tawhid akan dengan senang merelakan Nama Suci dan Agung ini dipakai dalam konteks faham syirik.

Sikap berkeras mahu menggunakan juga kalimat Allah (sekalipun dengan mengguris perasaan sebahagian besar umat Melayu-Muslim) menimbulkan tanda tanya, ada apa sebenarnya? Selama ini, sejak ratusan tahun, tanpa memakai nama Allah, para penganut Katolitik telah dapat mengamalkan agama mereka dengan leluasa. Ajaran Katolik dapat difahami oleh para penganutnya, malah telah dikembangkan tanpa masalah. Lalu kenapa sekarang isu ini dibangkitkan dan diperjuangkan dengan cara yang begitu provokatif. Mereka bukan tidak tahu betapa sensitif dan eksplosifnya isu ini. Mereka juga bukan tidak tahu bahawa isu ini menyentuh jantung ajaran agama Islam.

Rasanya wajar sekali kita merenung kata-kata Gopal Raj Kumar yang kami petik di bawah ini:-

What Catholics appear to be seeking here is an extension to that form of racism that whatever non Malays and non Muslims wish to do in the name of religion has to be tolerated in the name of a half written constitution. Whilst at the same time arguing against everything that the Malays as a majority in a democracy do as wrong and racist.

Catholics must learn to reciprocate in kind to a people in whose country they have been treated with much reverence, dignity and respect over centuries. Malaysia although fundamentally a Muslim state has, advocated for and advanced Catholic (and other religious causes and purposes) without the let or hindrance of religious intolerance like that imposed on them by the Thais, Burmese, Philippines, Australians, Chinese and more recently the Swiss.

Much of the reason we are able to debate such issues and to read and write about it today it is often argued is the result of a good Catholic education. Wrong! It is equally the result of Malay Muslim generosity in allowing the propagation of the faith, its schools and other institutions to thrive and its tolerance of their values.

It is a pity that in return all that the Catholic church has to offer is an insult to the Malays and Malay Muslims in persuing such a worthless policy of provocation.

In a demonstration of its faith in its own credo of Good Christian Charity and goodwill, the Catholic Church ought to withdraw the ridiculous and provocative demand now legitimised by a flawed decision. It should demonstrate that it ought not to be allowed the sinister use of one Arabic word Allah which is clearly a thorn in the side of its Malay majority hosts.

The church may do so without any embarrassment to itself. On the contrary with one fell act of goodness and respect it would build a bridge of understanding likely to last forever as a monument to its credo, rather than for the blemishes in its record of insults, abuse, its betrayal to the colonials and the undermining of the cultural and religious sensitivities and heritage of Malaysia’s majority (http://takemon.wordpress.com/about/).

Isu ini seharusnya diselesaikan secepat dan sebijaksana mungkin. Semakin lama dipolemikkan, akan semakin panjang rentetan persoalannya. Sikap berkeras mahukan sesuatu yang jelas-jelas tidak dapat diberikan akan menimbulkan dugaan adanya agenda terselubung di balik tuntutan tersebut. Ia akan ditafsirkan sebagai strategi “lulus jarum, lulus kelindan”, selepas kalimat Allah akan banyak lagi istilah-istilah Islam yang dikatolikkan seperti kalimat syahadat, solat, zakat, haji dan lain-lain lagi. Isu ini akan memarakkan spekulasi bahawa ia adalah bahagian daripada agenda besar mendistorsikan Islam dengan memakai istilah-istilah Islam yang dirubah erti dan isinya. Masyarakat Islam akhirnya akan mengalami kekeliruan yang serius dan tidak lagi mengenal Islam yang murni. Lebih jauh lagi isu ini akan membangkitkan semula kenangan pedih masa lalu, zaman awal kedatangan penjajah Barat yang membawa agenda pengkristianan rakyat pribumi Melayu. Arkitek penjajahan Inggeris di rantau ini, S. Raffles tidak datang hanya untuk mengaut kekayaan, tetapi juga datang dengan misi dan cita-cita pengembangan Bible Society. Kegiatan menyebarkan agama Kristian di kalangan pribumi Melayu itu dilakukan atas nama “...cultivating the waste and barren soil of the native mind”. Usaha mengkristiankan orang Melayu telah dilakukan dengan bersungguh-sungguh, termasuk dengan menterjemahkan Bible ke dalam bahasa Melayu. Untuk itu mereka telah mendapatkan khidmat Abdullah Munsyi. Bagaimanapun orang Melayu berpegang kuat dengan Islam. Abdullah Munsyi yang terlibat dalam penterjemahan Bible mendapat gelar ejekan “Abdullah Paderi”.

Catatan tersebut seharusnya sudah menjadi "perkara masa lalu" yang sudah tidak relevan lagi dalam konteks semangat masa kini, era membina kesatuan dalam kepelbagaian. Provokasi-provokasi keagamaan seharusnya dihindari, dan tuntutan yang menjadi keberatan umat Melayu Islam ini harus dihentikan. Apa pun yang berlaku pada pemakaian kalimat Allah di luar Malaysia tidak semestinya relevan dengan masyarakat kita. Isu ini harus dilihat secara kontekstual. Realiti sejarah dan budaya Malaysia memang tidak memungkinkan pemakaian kalimat Allah di luar konteks keislaman. Fiqh kita mengambilkira " uruf ahl al-balad " (budaya warga setempat). Antara yang harus menjadi pertimbangan utama dalam isu ini ialah " mafsadah " atau kesan buruknya yang perlu dihindari.

Dato’ Dr. Siddiq Fadzil

Presiden

Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)

Related Posts with Thumbnails