Friday, July 30, 2010

Travelog : Bengkel Asas Sukarelawan @Kg Seri Tiram Jaya

GPTD Unisel telah mengadakan Program Bengkel Asas Kesukarelawan (BEST) peringkat GPTD Unisel pada 23-25 Julai 2010 bertempat di Kg Tiram Jaya, Tanjung Karang, Selangor. Pada perancangan awalnya program ini akan dijalankan di Kg. Sungai Gulang-Gulang dengan program anak angkat tetapi terpaksa dibatalkan pada saat-saat akhir akibat masalah teknikal daripada pihak kampung Sungai Gulang-Gulang. Kami beralih tempat ke Kg. Tiram Jaya untuk melakukan pemetaan komuniti.

Program BEST ini telah disertai oleh 33 orang mahasiswa Unisel dan kami berangkat ke Kg Tiram Jaya pada pukul 3 petang. Kami sampai di Kg Tiram Jaya pada pukul 3.45 petang. Para peserta diberi penerangan ringkas mengenai tentatif program oleh Hdariyani Kampun. Kehadiran penuh diambil dan peserta dibahagikan mengikut kumpulan. Peserta dibahagika mengikut kumpulan tokoh seperti Cheng Ho, Ibnu Battutah, Wali Songo, Hamka, dan Al-Fateh. Setiap kumpulan dianggotai oleh lima peserta.

Selepas sesi pembahagian kumpulan, peserta mengikuti sesi ice-breaking di dalam kumpulan. Hal ini bertujuan untuk sesi taaruf diantara ahli kumpulan. Pelbagai permainan dimainkan di dalam kumpulan untuk mengeratkan hubungan antara ahli. Selepas itu, peserta solat asar berjemaah dan bersiap untuk minum petang. Sesi pada petang itu diteruskan lagi dengan aktiviti gotong royong membersihkan kawasan surau dan tempat penginapan peserta.

Aktiviti gotong royong berakhir pada pukul 6.45 petang. Para peserta dibenarkan untuk membersihkan diri dan bersiap sedia untuk solat maghrib berjemaah. Selesai sahaja solat Maghrib berjemaah, kuliah maghrib diperdengarkan oleh fasilitator program Hdariyani Kampun. Selepas itu peserta dibenarkan untuk makan malam beramai-ramai dan seterusnya solat Isyak berjemaah dan bersedia untuk slot yang seterusnya.

Slot pada malam itu diteruskan lagi dengan aktiviti bersama kumpulan. Aktiviti pada malam itu berkisahkan cerita si pekak, bisu, buta, kudung kaki dan tangan serta manusia sempurna. Permainannya begini, manusia yang sempurna akan menyamppaikan mesej kepada si kudung dan seterusnya kepada si bisu , si pekak dan akhir sekali kepada si buta. Tujuannya adalah untuk menyatakan mesej yang tepat itu perlu dalam setiap perkara dan ingin peserta merasai sendiri perasaan orang yang kurang upaya dalam menempuh kehidupan. Slot pada malam itu berakhir pada jam 11.00 malam. Para peserta dibenarkan untuk berehat dan menunggu untuk aktiviti keesokan harinya.

Hari kedua, Sabtu 24 Julai 2010 dimulakan dengan solat Subuh berjemaah. Jiwa terasa tenang apabila bersujud pada yang Esa. Kami kemudiannya menghadiri kuliah Subuh sebelum menjamu sarapan. Kuliah Subuh pada pagi itu adalah berkisarkan niat seseorang individu dalam segala hal. Kami kemudiannya beriadah bersama-sama. Permainan Serangan 1 Ummah sangat menarik apabila dimainkan beramai-ramai.

Selepas bersarapan, kami kembali ke dewan untuk mengikuti slot LDK yang seterusnya. Slot LDK pada pagi ini diteruskan apabila para peserta diajar untuk mencari isu dan lebih peka dengan persekitaran. Mereka dikehendaki untuk mencari isu yang biasa terdapat di Unisel dan membuat perbentangan di dalam kumpulan untuk mempertahankan hujah mereka. Slot ini sangat menarik apabila ada respon antara peserta. Pelbagai cadangan dan permasalahan yang diutarakan.

Slot itu dihentikan sementara untuk memberi laluan kepada para peserta untuk minum pagi. Lima belas minit kemudian mereka berkumpul semula di dalam dewan untuk sesi LDK yang seterusnya. LDK seterusnya ialah peserta diberi taklimat untuk menghadapi situasi-situasi yang tidak dijangka. Hal ini adalah untuk memudahkan para aktivis semasa berada di luar Negara kerana tidak semua yang kita rancang akan terjadi.

Seterusnya, setiap kumpulan diberikan situasi yang berbeza dan mereka diminta untuk melakonkan situasi tersebut secara spontan. Antara situasi yang diberi ialah cara untuk menghadapi orang tua yang suka bercakap, situasi di dalam bas di mana terdapat dua remaja yang tidak suka bertolak ansur, cara untuk menghadapi orang yang tidak waras, panduan yang betul untuk menegur pasangan bercinta, dan teguran untuk orang yang suka membuli dan dibuli. Para peserta sangat sporting dalam melakonkan situasi yang diberi. Suasana pada pagi itu gamat dengan sorakan dan gelak ketawa para peserta.

Selepas itu, para peserta dibenarkan untuk menjamu hidangan tengahari dan bersiap sedia untuk solat Zohor berjemaah. Pada pukul 2.00 petang, para peserta dibenarkan keluar daripada kawasan surau untuk melakukan pemetaan komuniti di Kg Sungai Gulang-Gulang. Tujuannya adalah untuk mendapatkan maklumat penduduk di kawasan tersebut. Mereka juga dikehendaki untuk mencari isu atau masalah yang ada untuk diutarakan kepada penghulu kampong. Setiap kumpulan diberi peta dan mereka dibahagikan kepada arah-arah yang berbeza.

Setiap kumpulan perlu melantik ketua, juru pandu, setiausaha, juru lukis peta, dan penunjuk arah. Setiap seorang daripada mereka memegang tanggungjawab yang berbeza-beza. Pemetaan komuniti berakhir pada jam 5.00 petang. Peserta berkumpul semula di Dewan Surau Darul Maaris untuk melakukan catatan akhir iaitu persiapan unuk perbentangan pemetaan komuniti. Sebelum itu, kami sempat solat Asar berjemaah dan minum petang. Para peserta kemudiannya kembali sibuk untuk melakukan kerja-kerja akhir.

Mereka dikehendaki mengumpulkan kembali kertas soal selidik, membuat laporan penuh sepanjang pemetaan komuniti, melukis peta perjalanan, mengemukakan isu, dan membuat persiapan perbentangan kumpulan. Selepas solat Maghrib dan Isyak berjemaah, kami menjamu makan malam dan terus ke dewan untuk slot perbentangan komuniti. Setiap kumpulan memberi penerangan dan persembahan yang memuaskan. Pelbagai isu yang telah berjaya dikupas. Slot pada malam itu berakhir pada jam 11.00 malam. Para peserta kemudiannya beredar ke tempat penginapan untuk berehat.

Hari ketiga, dimulakan dengan memanjatkan kesyukuran kepada Ilahi dengan solat Subuh berjemaah. Selepas itu, para peserta membuat wasiat untuk diserahkan kepada urusetia. Pada pagi ini, aktiviti yang dijalankan cukup santai. LDK pada hari ini lebih kepada pengenalan tokoh. Selepas minum pagi, para peserta dikehendaki membaca wasiat yang telah terpilih untuk dikongsi bersama. Hal ini bertujuan untuk menyedarkan setiap individu akan cabaran seseorang aktivis untuk meneruskan misi Rahmatan Lil Alamin. Kita perlu bersiap sedia jika ditakdirkan meninggal dunia semasa menjalankan misi.

Slot tersebut berakhir pada jam 12 tengahari. Peserta kemudiannya dibenarkan untuk mengemas peralatan masing-masing untuk pulang ke Unisel. Selepas solat Zohor berjemaah, kami makan tengahari dan kembali ke dewan untuk upacara penutup Program bengkel Asas Kesukarelawan (BEST). Tepat jam 2.30 petang, upacara penutup dimulakan dengan ucapan Penasihat GPTD Unisel, En. Izwan Suhadak. Seterusnya ucapan pengarah program , dan diakhiri dengan bacaan ikrar beramai-ramai. Sebelum bertolak pulang ke kampus, kami sempat merakamkan gambar untuk dijadikan kenangan. Pada jam 3.00 petang, kami menaiki bas dan berangkat pulang ke Unisel. Pada jam 3.45 petang, kami tiba di kampus membawa pulang memori dan ilmu sepanjang mengikuti Program Bengkel Asas Sukarelawan (BEST).

Disediakan oleh ,

NOR AQLIAH BINTI ARIFIN

Aktivis GPTD Unisel yang merupakan pelajar Diploma Pra Sekolah di FELS.

[Koleksi Foto]

No comments:

Post a Comment


Related Posts with Thumbnails