Menteri kanan Israel, Yossi Peled berkata, pihaknya akan menanggung akibat yang buruk jika membenarkan mana-mana kapal bantuan memasuki Gaza tanpa diperiksa terlebih dahulu.
"Israel tidak akan membenarkan kapal berkenaan memasuki Gaza," katanya sehari selepas kapal bantuan berkenaan berlepas dari pelabuhan Lavrio di selatan Athens, Greece.
Sementara itu, Menteri Pertahanan Israel, Ehud Barak pula berkata, cubaan untuk memasuki Gaza, kawasan yang dikenakan sekatan oleh rejim Zionis itu merupakan satu provokasi sia-sia.
Destinasi sebenar kapal bantuan berkenaan masih mengelirukan apabila Kementerian Luar Greece memberi jaminan bahawa ia akan berlayar ke pelabuhan di El-Arish.
Bagaimanapun, penganjurnya, Yayasan Ghadafi yang diketuai Seif al-Islam Ghadafi yang merupakan anak lelaki pemimpin Libya, Muammar Ghadafi berkata, kapal bantuan yang membawa lebih 2,000 tan barang bantuan bersama krew kapal terdiri daripada enam warga Libya, seorang warga Maghribi, Nigeria dan Algeria itu akan meneruskan perjalanan ke Gaza.
Sementara itu di Ramallah, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas berkata, pihaknya tidak akan menyambung perbincangan damai dengan kerajaan rejim Yahudi kerana ia dianggap sebagai satu perbuatan tidak berfaedah.
Ini kerana, katanya, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu akan terus berdegil dan tidak akan bersetuju dengan pelan damai yang diutarakan, seperti yang pernah berlaku sebelum ini.
"Matlamat kami jelas, jika ada perkembangan terbaru dalam usaha damai, kami bersedia untuk menyambung perbincangan.
"Malangnya, sehingga hari ini tidak ada sebarang perkembangan positif yang mampu mengembalikan keamanan di bumi Palestin," katanya. - AFP
No comments:
Post a Comment