Thursday, July 15, 2010

Pastikan Cheng Ho bukan dongengan

Melaka, 5 Julai 2010 - Portal berita Utusan melaporkan pengkaji sejarah dan ahli akademik diminta memastikan pengkisahan sejarah mengenai Laksamana Cheng Ho tidak dianggap kisah dongeng dan kepercayaan karut oleh generasi akan datang . Yang Dipertua negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob berkata, setiap resolusi perbincangan dan kertas kertas mengenai sejarah Laksamana Cheng Ho perlu didokumentasi sebagai fakta sejarah yang konkrit.

Katanya, usaha itu perlu dilakukan secara intensif dan berkesan agar sejarah kegemilangan tokoh pelayaran itu terus kekal sebagai sejarah negara. ''Setiap siri perbincangan mengenai sejarah Laksamana Cheng Ho terutama kegemilangan pencapaiannya dalam bidang pelayaran dan kejayaannya menghubungkan Malaysia-China perlu dijadikan satu fakta sejarah dan tidak sesekali dianggap kisah dongeng oleh mana-mana pihak, generasi sekarang atau pun pada masa depan," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap merasmikan Seminar Antarabangsa Cheng Ho: Asia Afrika di sini hari ini. Seramai 60 pembentang kertas kerja dari Amerika Syarikat, China, Australia dan United Kingdom membentangkan perbincangan pelbagai tajuk sepanjang empat hari seminar berlangsung bermula hari ini.

Ia dianjurkan kerajaan negeri melalui Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) dengan kerjasama Jabatan Muzium Malaysia, International Zheng He Society dan Cheng Ho Cultural Muzium. Seminar tersebut diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-605 pelayaran Laksamana Cheng Ho dari China ke Melaka dan meraikan pengiktirafan Melaka sebagai Bandar Warisan Dunia UNESCO bagi tahun kedua Rabu ini.

Cheng Ho, seorang pelayar unggul yang dilahirkan di Yunan, China pada 1371 menjelajahi hampir 30 buah negara sehingga Afrika Barat, Teluk Parsi, Mesir, Sri Lanka, serta beberapa buah negara lain bersama angkatan 100 buah kapal bersama 28,000 kelasi. Mengulas lanjut Mohd. Khalil berkata, pakar sejarah dan akademik yang terlibat dalam seminar tersebut perlu memastikan resolusi yang diperolehi dari penganjuran seminar itu dijadikan satu asas sejarah yang konkrit sebagai sumber rujukan utama pewaris masa depan.

''Saya tidak mahu berlaku keadaan di mana apabila generasi akan datang bertanya tentang sejarah Laksamana Cheng Ho, mereka tidak ada sumber sejarah yang konkrit untuk dirujuk.''Keadaan ini sedikit sebanyak mewujudkan satu persepsi bahawa sejarah mengenainya seperti kepercayaan karut atau cerita dongeng," kata beliau

Sumber : Utusan


Ulasan Penasihat :

Harap Grup Cheng Ho boleh dapatkan bahan kajian daripada Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) untuk koleksi dan kajian akan datang.

No comments:

Post a Comment


Related Posts with Thumbnails