Saturday, April 30, 2011

MAHASISWA TURUN KE SEKOLAH

TANJUNG KARANG,1 Mei 2011 – Seramai lebih kurang 30 orang peserta yang diwakili oleh beberapa buah sekolah menengah sekitar Kuala Selangor telah menghadiri Kursus Kepimpinan Remaja Islam Kuala Selangor yang telah dianjurkan oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang terdiri daripada SMK Dato Harun, SAM Tanjung Karang, SAM Pasir Panjang, dan SAM Jeram. Kursus Kepimpinan Remaja Islam ini berlangsung selama dua hari mulai 30 April 2011 hingga 1 Mei 2011 dan bertempat di SAM Tanjung Karang.

Kursus ini dijayakan oleh Grup Pengkaji Tamadun Dunia Unisel (GPTD UNISEL) dan Persatuan Penggerak Mahasiswa Unisel (PPMU). Objektif utama menganjurkan kursus ini adalah membolehkan para peserta memahami apakah makna sebenar kepimpinan dari sudut pandangan Islam serta perkaitannya dengan konsep khalifah dan hamba, mengetahui peranan dan kepentingan penglibatan remaja dalam urusan kepimpinan serta kesannya pada masa hadapan serta membina jaringan dan persefahaman antara pelbagai pihak yang terlibat bagi bersama-sama menggembleng tenaga dalam mendepani isu-isu gejala sosial di Daerah Kuala Selangor.

 “ Program ini amat memberi manfaat kepada pelajar seperti kami dan saya berharap program ini dapat dianjurkan lagi pada masa akan datang ” kata adik Nurfatin Afika dari SMK Dato’ Harun. Para peserta dilatih dalam aktiviti berkumpulan agar dapat  menambahkan ukhuwah antara peserta. Pelbagai aktiviti santai yang berfaedah dan ilmiah diadakan. Aktiviti ini dapat menguji dan mengasah permikiran kreatif dan kritis remaja. “Program seperti ini bagus untuk remaja disamping melatih kami sebagai mahasiswa/i lebih dekat dengan golongan remaja mahupun penduduk sekitar kerana seorang pemimpin yang berjaya bukannya lahir daripada bilik kuliah sahaja, namun pemimpin yang berjaya lahir dipadang masyarakat“, kata Saudari Hafizah selaku fasilitator program.

Kursus ini dirasmikan oleh Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia iaitu Dr. Muhamad Razak Bin Idris. Presiden ABIM dalam ucapan Perasmian Penutupan Kursus Kepimpinan Remaja Islam Kuala Selangor di sini menegaskan bahawa pentingnya perhimpunan bersama kaum dewasa dan remaja dalam membentuk sebuah generasi yang mantap.

No comments:

Post a Comment


Related Posts with Thumbnails