Saturday, April 9, 2011

Mufti Selangor : Hentikan Fitnah,Dalang Sebar Video Lucah Rendah Moral

Shah Alam, 7 April 2011 - Mufti Selangor Datuk Tamyes Abd Wahid berkata liputan ‘video lucah’ yang memenuhi ruang media arus perdana mutakhir ini sebagai mencerminkan betapa moral orang Islam yang mendalangi laporan-laporan itu semakin rendah dan perkara ini tidak patut dibiarkan berterusan.

Menurut Tamyes, liputan sebegitu membuktikan perbuatan fitnah memfitnah dalam politik semakin menular dan menjadi lumrah dalam kehidupan negara ini dan perkara sedemikian perlu hentikan dengan segera.

Tamyes menyifatkan dalang yang menyebarkan fitnah mengenai video lucah itu sebagai orang yang “moralnya terlalu rendah” dan tidak tahu membezakan fitnah ataupun fakta sebenar.

“Benda yang dikutuk oleh Allah dimain-mainkan. Sebab apa? Orang yang membuat tuduhan tanpa bukti yang kukuh boleh dihukum qazaf. Sekarang ini benda fitnah sudah jadi lumrah,” kata beliau.

Sejak kelmarin, rakaman video seks yang didalangi oleh Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, ahli perniagaan Shazryl Eskay dan Bendahari Perkasa Shuib Lazim dimuatkan dalam YouTube dan beberapa blog pro-Umno.

Mereka menyebarkan fitnah kononnya pelaku dalam rakaman itu adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Pembangkang itu menafikan tuduhan itu dan membuat laporan polis manakala Angkatan Muda Keadilan membuat laporan qazaf terhadap tiga “Datuk T” itu.

Klip di Youtube disunting daripada rakaman asal 21 minit yang dipertontonkan kepada media di Hotel Carcosa Seri Negara dua minggu lalu.

Menurut Tamyes, mereka yang membuat pertuduhan seharusnya membuktikan dakwaan mereka dan bukan sebaliknya.

“Kalau ada bukti yang jelas, lainlah. Ini hanya video,dan video tak boleh dijadikan bukti sebenarnya. Dalam hukum fiqah, bukti (yang harus dibawa) si penuduh adalah Saksi. Benda mati tak boleh jadi saksi. Kemudian orang yang dituduh boleh bersumpah . Ini orang yang menuduh bersumpah, orang yang didakwa (pula) kena cari bukti. Ini dah terbalik,” ulas Tamyes lagi.

Tamyes turut membidas media yang memainkan isu berkenaan bagi kepentingan pihak tertentu dan keuntungan sementara walaupun ia salah dari segi moral dan agama.

“Kita jangan mewar-warkan benda bukan-bukan. Ini boleh menyebabkan ketidakadilan. Perlakuan fitnah haruslah dielakkan,” tegas beliau.

Tamyes berkata media massa tidak harus berfikir untuk melariskan perniagaan semata-mata tetapi harus arif dalam hukum-hakam Islam supaya dosa fitnah tidak terpalit kepada mereka.

“Sebab kita yang mewar-warkan juga dapat ’saham’ dosa,” kata beliau.

Sumber : Selangorkini

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails