Tuesday, April 26, 2011

BACALAH KITAB YANG TERBUKA

Sebuah buku terkandung susunan simbol aksara sehingga terbentuk ayat-ayat dan memberi makna kepada jiwa yakni hati dan akal. Boleh jadi juga buku ada terlukis gambaran imej yang pelbagai dan memberi visual kepada akal dan dapat merasakan di dalam hati. Buku yang baik dan halal akan digigit, disiat, dikunyah, ditelan dan dihadamkan sehingga ianya menjadi darah daging. Pasti buku membekal tenaga kepada tubuh pemikiran dan roh spiritual serta mengerakkan fizikal untuk laksanakan apa yang telah dipercayai, diyakini dan dianuti. Itukan makna iman. Iman itu yakin di dalam jiwa, lafazkan dengan lidah dan membenarkan dengan anggota badan. Dari anggota pendengaran, penglihatan, dan hati kena memainkan peranan yang benar. Perbuatan anggota lidah, tangan dan kaki juga tidak tertinggal untuk dipersoalkan dan pasti menjadi saksi serta berbicara yang benar dikemudian hari.

Membaca buku bukan lagi hanya melalui buku fizikal yang punya helaian putih bersih tertaip aksara yang tersusun rapi sahaja. Kini pembaca boleh membaca menggunakan Ipad atau pun smartphone. Teknologi yang membenarkan pelayar meluncur ke laut maklumat dan dasar lautan ilmu melalui capaian kepada internet. Sering juga pelayar yang sesat dan musykil bertanyakan pelbagai persoalan kehidupan kepada Ustaz Google dan Ustazah Yahoo. Adakalanya memang membantu tidak kurang juga ramai yang tersesat dengan hujah mereka. Selain buku, Ipad dan smartphone yang lebih hebat adalah apabila kita mampu untuk membaca mesej penting ayat-ayat Allah SWT melalui alam ciptaannya yang dijelaskan dengan sarat dan maknawi di dalam Kitab Mukjizat Al-Quran Surah Ali Imran : 190-191 di bawah yang bermaksud:

“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang Yang berakal (ulul albab) ; (Iaitu) orang-orang Yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini Dengan sia-sia, Maha suci engkau, maka peliharalah Kami dari azab neraka.”

Ketika ayat ini diturunkan kepada Rasulullah SAW, baginda menangis sepanjang malam (cubalah menangis) kerana tersentak dan terkesan. Menurut tadabur Dr Siddiq Fadzil, Ulul Albab adalah ilmuan mukmin yang mampu melihat yang tersirat di balik yang tersurat, dan dapat menangkap hakikat di balik ayat (tanda-tanda). Manakala Abdullah Yusuf Ali mentafsirkan sebagai men of understanding iaitu golongan yang punya kefahaman yang mendalam. Golongan ini sentiasa mengingati Allah setiap ketika dalam apa-apa keadaan dan kedudukan. Mereka menjadikan ayat (tanda-tanda) sebagai hakikat bahawa alam adalah sebuah al-kitab al-maftuh iaitu buku yang sentiasa terbuka untuk dibaca, difahami dan diinsafi segala kandungannya. Sehinggakan orang Melayu klasik yang budiman menerbitkan madah berhikmah yang berbunyi “yang setitik dijadikan laut, yang sekepal dijadikan gunung; alam terkembang dijadikan guru”. Langit dan bumi, malam dan siang, mentari dan bulan, lautan dan daratan, manusia dan jin, flora dan fauna, bumi dan galaksi semuanya adalah ayat, tanda-tanda kebesaran Allah SWT tiada sia-sia untuk diperhati, dibaca dan difahami. Segala rahsia, mesej dan ilmu yang Allah berikan melalui alam penciptaan-Nya sepatutnya dirasai oleh ilmuan mukmin. Maka bacalah alam sekitarmu.

Alam. Sungguh menyegarkan pandangan alam itu. Seperti tumbuhnya tunas keinsafan selepas hujan. Menyegarkan pohon kefahaman. Jernih air hujan keintektualan yang jatuh ke bumi rausyanfikir meresap dan mengalir dari sungai hingga ke laut dalam. Lalu disejat kembali oleh mentari akli serta naqli terus di bawa ke langit. Awan ilmuan diperankan menghimpun titisan sejatan menjadi awan mendung yang berat. Sekali sekala petir amaran dicetuskan menyambar pohon buruk pengkhianat ilmu yang menyesatkan sehingga akarnya tercabut dan tidak dapat tegak sedikit pun. Nah, sekali lagi air hikmah diturunkan dari langit menyuburkan kehidupan yang gersang keimanan.

“Ting tong...stesen berikutnya Sri Rampai, Next station Sri Rampai”, bunyi siar raya di dalam gerabak LRT. Pesanan tersebut menggerakkan Ijlah Sabirah dari tidurnya. Itulah tabiatnya setiap kali menunggu destinasi tiba. Dikelilingnya penumpang LRT sedang asyik membaca buku. Dia tetap dengan muka selamba seperti tidak ada apa-apa yang berlaku. Seorang tua disebelahnya sempat membisik dengan loghat Perak, “Anak, kuat sangat kamu berdengkur...ganggu orang membaca”. Dia hanya tersengeh. Sebaik melangkah keluar dari gerabak dia berjalan laju dan menjadi orang pertama melepasi laluan keluar. Terus menuju ke Qiosk berhampiran mendapatkan majalah Solusi untuk kiriman adiknya Irsyad Syahmi. Dalam perjalanan pulang Ijlah Sabirah mengimbas kembali sebuah pesanan besar dalam mimpinya tadi sehingga air keinsafan mengalir ke pipinya.

Nukilan:

IZWAN SUHADAK ISHAK
26 April 2011. Bestari Jaya

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails