Saturday, April 30, 2011

Pembinaan Masjid di Istanbul - Pengukuh Ketamadunan Uthmaniyyah


Rencana NAJMUDDIN MOHD NAWI

[Disiarkan di Utusan pada 16/09/05, tempel di sini sementara nak kirim buah tangan terkini, hehehe....http://http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0916&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm&arc=hive]

MENJEJAKKAN kaki di Istanbul, merupakan pengalaman yang amat bermakna bagi penulis. Bangunan besar dan indah, taman-taman menghijau, bandar yang turut mendapat jolokan `Bandar Menara' itu, benar-benar menggambarkan bahawa ia merupakan pusat pemerintahan kerajaan besar dunia suatu masa dahulu.

Kunjungan penulis ke Istanbul baru-baru ini merupakan sebahagian daripada gerak kerja kajian ketamadunan Turki. Ia merupakan gerak kerja bagi Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD), yang menjadikan Turki sebagai salah satu bidang kajiannya.

Projek yang dinamakan Kembara Turki ini, merupakan anjuran bersama GPTD dengan Global Peace Mission (GPM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

Ia turut mendapat sokongan INMIND & Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YPEIM).

Istanbul digelar Bandar Menara kerana banyaknya menara masjid yang terdapat di sini. Bahkan, apabila berada di sini, arahkanlah pandangan anda ke mana-mana pun, pasti anda akan melihat menara masjid!

Dikatakan setiap 400 meter di Istanbul, ada sebuah masjid. Terdapat kira-kira 3,000 buah masjid di Istanbul.

600 buah daripadanya dibina sewaktu pemerintahan Kerajaan Uthmaniyyah. Kebanyakannya dibina dalam tempoh 50 tahun, iaitu dari 1850 hingga 1900.

Bermula dengan penukaran Hagia Sophia kepada Masjid Aya Sofya, kemudian pembinaan Masjid Eyup Sultan, bercambahlah masjid-masjid di sekitar Istanbul.

Selain memenuhi keperluan orang ramai, pembinaan masjid juga dilihat sebagai usaha memartabatkan syiar Islam di Istanbul.

Apabila kita menyebut mengenai masjid di Istanbul, pastinya nama Mimar Sinan akan terkait sama. Mimar Sinan merupakan seorang arkitek yang termasyhur pada zaman Uthmaniyyah.

Beliau lahir di Anatolia pada 1489 dan meninggal sekitar tahun 1588.

Sepanjang kariernya sebagai arkitek, beliau telah membina beratus-ratus bangunan. Di antaranya: masjid, madrasah, hamam (tempat mandi awam), hospital, istana dan pancur air. Namun masjid merupakan binaannya yang paling masyhur dan berpengaruh.

Binaan lainnya yang masyhur termasuklah Masjid Sultan Salim (Selimiye Jamii) di Edirne dan Masjid Sultan Sulaiman (Suleymeniye Jamii) di Istanbul. Malah, reka bentuk beliau telah menjadi salah satu identiti Kerajaan Uthmaniyyah.

Menurut tradisi Kesultanan Uthmaniyyah, setiap sultan yang memerintah mempunyai masjid yang dibina atas namanya sendiri. Tindakan ini merupakan lambang komitmen para Sultan Uthmaniyyah terhadap perjuangan Islam.

Selepas kemangkatan sultan tersebut, baginda akan disemadikan di masjidnya. Oleh kerana itu, agak mudah melawat makam-makam Sultan Uthmaniyyah di sini, anda hanya perlu tahu nama sultan tersebut, kemudian tambahkan perkataan `jami' di belakangnya (yang bermaksud masjid), insya-Allah, anda pasti akan menemui destinasi anda.

Sebagai contoh, makam Sultan Muhammad II al-Fatih terletak di Fatih Jamii (Masjid Fatih), dan makam Sultan Sulaiman al-Kanuni (digelar Solomon the Magnificent) di Suleymeniye Jamii. Mudah bukan?

Salah sebuah masjid yang penting dalam sejarah Uthmaniyyah, bahkan juga sejarah umat Islam, adalah Masjid Eyup Sultan.

Gelaran

Eyup Sultan merupakan gelaran masyarakat Turki kepada salah seorang sahabat Rasulullah s.a.w., Abu Ayyub al-Ansari r.a.

Nama sebenar beliau ialah Khalid bin Zaid r.a. Ketika berlakunya hijrah Rasulullah s.a.w. ke Madinah, Baginda bermalam di rumah Abu Ayyub al-Ansari setibanya di Madinah.

Manakala tapak yang berhadapan dengan rumah beliau, Rasulullah s.a.w. jadikan sebagai tapak Masjid Nabawi yang ada hingga sekarang.

Abu Ayyub wafat pada tahun 668 Masihi, lebih 800 tahun sebelum peristiwa pembukaan Istanbul.

Sebaik saja Sultan Muhammad II al-Fatih berjaya menguasai Konstantinople, baginda menukar nama wilayah tersebut kepada Istanbul.

Baginda maklum bahawa makam Abu Ayyub al-Ansari berada di sekitar Istanbul tetapi tidak mengetahui lokasinya yang tepat. Lalu baginda mengerahkan agar gerakan mencari makam tersebut dilakukan.

Makam Abu Ayyub r.a. ditemui di luar pinggir kota Istanbul. Lalu Sultan Muhammad II al-Fatih mengarahkan pembinaan Masjid Eyup Sultan yang juga menempatkan makam Abu Ayyub al-Ansari r.a. pada 1485 Masihi.

Kawasan sekitarnya pula dinamakan Eyup Sultan, sebagai memuliakan beliau.

Sultan Muhammad II al-Fatih turut terkenal sebagai Sultan yang menjadi kebanggaan Kerajaan Uthmaniyyah khususnya, dan umat Islam umumnya. Baginda merupakan sultan ketujuh daripada Kerajaan Uthmaniyyah.

Pembinaan masjid pada zamannya bukanlah sekadar tempat ibadat umat Islam, tetapi fungsi masjid telah diangkat sebagai pusat kegiatan masyarakat.

Menurut Prof. Dr. Mehmet Maksudoglu dalam bukunya, Osmanli History 1289-1922, Lord Kinross menerangkan bahawa al-Fatih, setelah menjadikan Hagia Sophia sebagai Masjid Besar Aya Sofya, turut memerintahkan agar dibangun bazar berbumbung bersama ratusan kedai dan gedung, dengan ribuan kedai dan pasar yang ada di jalanan.

Apabila al-Fatih mendirikan masjidnya, iaitu Masjid Fatih, terdapat lapan buah madrasah di sekitarnya yang memuatkan seramai 600 orang pelajar setiap hari.

Selain madrasah tersebut, terdapat juga sekolah untuk kanak-kanak, sebuah perpustakaan, dua hostel untuk musafir, sebuah dewan makan, dapur yang menyediakan makanan untuk orang miskin dan sebuah hospital.

Hospital ini memberi perkhidmatan secara percuma kepada masyarakat. Begitu juga dengan madrasah, pendidikan diberi secara percuma. Selain itu, di kawasan-kawasan sekitar masjid juga dibina hamam. Terdapat juga kuburan di kebanyakan masjid yang dibina sewaktu zaman pemerintahan Uthmaniyyah.

Secara simboliknya, dapat dibaca satu cerminan kehidupan melalui pusat kegiatan masyarakat yang dibina oleh baginda Sultan Muhammad II al-Fatih.

Masjid dilihat sebagai pusat, tempat berhimpunnya semua manusia untuk menyembah Tuhan Yang Maha Esa.

Namun, setiap orang wajib membersihkan diri sebelum bersolat. Oleh itu, didirikan hamam dan tempat wuduk di kawasan sekitar dan berhampiran masjid.

Tetapi, untuk mengetahui kaedah pembersihan, cara berwuduk dan solat yang betul, seseorang itu mestilah belajar terlebih dahulu.

Maka, disediakanlah madrasah dan sekolah untuk membimbing dalam hal-hal ibadat dan ilmu-ilmu lainnya.

Untuk memastikan seseorang itu sentiasa melaksanakan ibadatnya (kerana tujuan manusia dihidupkan hanya untuk beribadat kepada-Nya - al-Quran), dia memerlukan kesihatan tubuh badan.

Oleh kerana itu hospital pula didirikan untuk memenuhi keperluan tersebut. Bagi mereka yang miskin pula, makan percuma diberikan untuk menghindari kebuluran.

Bagi menjamin pula pendidikan dan perkhidmatan perubatan percuma yang diberikan mampu berterusan, disediakan pula bazar dan gedung-gedung perniagaan.

Para peniaga yang berjaya dan tawaduk ini pula akan membayar zakat serta menyalurkannya kepada masjid serta institusi yang lainnya, bagi memastikan masyarakat sentiasa hidup dalam keadaan aman dan makmur serta mendapat rahmat dan keredhaan-Nya.

Dengan menjadikan masjid sebagai pusat kegiatan masyarakat melalui pelaksanaan di atas, tidaklah hairanlah bagaimana kerajaan ini mampu bertahan selama 600 tahun lebih serta mampu membangunkan tamadunnya selaras dengan ajaran Islam.

Namun, pada zaman akhir pemerintahan Kerajaan Uthmaniyyah ini juga menunjukkan betapa benar janji-Nya kepada manusia, apabila manusia itu lalai dan leka serta menjadikan dunia sebagai matlamat utama kehidupan, akan hancurlah manusia.

Demikianlah yang terjadi kepada Kerajaan Uthmaniyyah apabila orientasi kerajaan untuk membina tamadun Islami dan menjaga kebajikan masyarakat bertukar kepada kehidupan pemerintah yang mewah serta melalaikan.

Dalam usaha kita membawa pendekatan Islam hadhari hari ini, amatlah penting untuk masyarakat Muslim hari ini meneladani jatuh-bangunnya Kerajaan Uthmaniyyah, kerajaan yang membangunkan tamadun Islami, selaras dengan keperluan insani.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails