Monday, May 2, 2011

BILA AZAM DAN JANJI DIUJI

Hari-hariku berlalu ceria
Semangatku semakin teguh
Azamku semakin menjulang
Mata hatiku digamit sirna harapan
Pemuda pemudi dakwah
Melakar azam menyatu janji
Bahawa cahaya Islam tidak akan mati

Aduhai, cahaya dan semangat ini
Rupanya tidak utuh
Aduhai, azam dan janji ini
Rupanya belum teguh
Sekonyongnya diuji dipentas dakwah
Janji pemuda pemudi ini melentur lemah
Sekonyongnya diuji untuk bersikap dan berprinsip
Azam pemuda pemudi ini melentur layu
Sekonyongnya diuji oleh tiga “ta”
Sirna harapan jatuh merata

Aduhai, kemana perginya cerita “ahsanal qasas”
Yang memberi semangat memperteguh diri
Bahawa dipentas dakwah pasti diuji
Tidak cukupkah tarbiyyah yang diberi
Tidak bermanafaatkah usrah yang dihadiri
Tidak ampuhkah tamrin yang diikuti
Lalu apa mahunya,
Apakah tiga “ta” juga itu tuntutannya.

Hadirmu dipentas dakwah
Bukan atas kehendakmu
Hadirmu dipanggung sejarah dai’
Bukan atas pilihanmu
Segalanya berjalan atas kehendak Ilahi
Kenapa kamu bersifat kecil diri
Kenapa kamu menjauhkan diri
Bukankah tuhan ingin menolongmu
Menyubur amalan dan kebaikan dirimu
Sebagai bekalan dan sandaran ukhrawimu

Justeru, kembalikanlah kesedaranmu
Perteguh azammu
Penuhi janjimu
Bahawa kita adalah pemuda pemudi harapan Ilahi
Membawa Islam ke mercu tinggi

Nukilan Saudaramu,

ABB

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails