Saturday, January 15, 2011

Wikifiqh


KAMI akan menceritakan kepada kalian satu persatu. Kata Saidina Abu Bakar, 'Pada setiap buku terdapat rahsia, dan pada tiap-tiap rahsia itu ada dalam al-Quran dan ia terkandung pada huruf-huruf pembukaan setiap surah.'

Kami akan menceritakan. Supaya kalian dapat pengajaran. Pada suatu malam yang gelita Tuan Presiden didatangi seorang lelaki yang tampak sungguh berwibawa. Ia mengenakan jubah putih santan, dengan serban hitam yang gelap ibarat malam tanpa bintang, di tengkuknya terlilit kain hijau daun pisang. Janggut lelaki tersebut lebat tetapi rapi. Matanya bening berkaca-kaca, menambah mendung pada wajah. Di tangan kanannya memegang al-Quran. Lelaki misteri itu menjelma dalam mimpi Tuan Presiden sambil memesan, "Himpunkan ilmu-ilmu yang ada di dalam kitab suci al-Quran untuk tatapan."

Maka Tuan Presiden pun memanggil sekian ramai bijak pandai, ilmuwan, ahli falsafah, ulama, sarjana, ahli akademik dan pujangga untuk melancarkan sebuah projek yang ia namai: Wikifiqh.

Dalam sidang akhbarnya selepas penubuhan Majlis Penggubalan Wikifiqh tersebut, Tuan Presiden memberitahu, "Kita hidup tidak lama. Kita perlu mewariskan sesuatu yang mega untuk generasi hadapan."

Projek Wikifiqh itu mendapat sambutan seantero dunia. Sungguh ramai ulama dari dunia Islam datang mencebur diri. Mufti al Azhar dan alim Universiti Madinah turut serta. Seluruh sarjana empat mazhab bergotong royong menjayakannya. Dana yang tiba juga mencurah melimpah sehingga setiap ahli Majlis Penggubalan Wikifiqh tersebut kekenyangan. Wikifiqh akan menjadi jawapan buat segala soalan. Sembilan puluh sembilan hari kemudian, Wikifiqh siap. Menanti dirasmikan.

Sekali lagi lelaki yang tampak sungguh berwibawa tampil dalam tidur Tuan Presiden. Kali ini ia mengenakan jubah hitam bukat, dengan serban hitam yang gelap arang, di tengkuknya terlilit kain merah warna darah. Janggut lelaki tersebut lebat dan kerusut. Matanya memerah saga menonjolkan kedukaan pada wajahnya yang berlumur debu. Di tangan kanannya memegang al-Quran. Lelaki misteri itu bersuara, 'Masih ada yang belum lengkap. Perhatikan pada Kaf, Ha, Ya, Ain, Shad di awal surah Maryam.'

Tuan Presiden tidak berani melancarkan projek ilmu Wikifiqh tersebut. Selagi ia tidak menemukan rahsia sebenar Kaf, Ha, Ya, Ain, Shad. Akan tetapi Pengarah Pilihan Raya Parti percaya Tuan Presiden mesti membuka laman tersebut kepada khalayak, kepada rakyat, kepada seluruh dunia. Menurut Pengarah Pilihan Raya, "Sudah tiba masanya dunia mengetahui kebenaran Islam. Bukankah Tuan Presiden mahu membantu barat menghapuskan Islamofobia?"

Tuan Presiden enggan. Akan tetapi Pengarah Pilihan Raya berjaya meyakinkan Tuan Presiden bahawa di tengah-tengah kancah inflasi, kenaikan harga barang, tiada lagi pemberian subsidi, dan kemelut siasah; hanya Wikifiqh sahaja yang akan menjamin Tuan Presiden menang pilihan raya dan terus memerintah. Projek Wikifiqh adalah mercu tanda pemerintahan Tuan Presiden.

Ensiklopedia

Maka demikianlah Wikifiqh dilancarkan. Pada ensiklopedia tersebut rahsia Kaf, Ha, Ya, Ain, Shad dijelaskan sebagai "huruf-huruf Muqaththa'ah". Adalah huruf muqaththa'ah tidak diucap sebagai bunyi huruf yang disyakali. Huruf muqaththa'ah dibaca dengan huruf yang merangkai. Ini kerana ia datang dalam bentuk huruf hijaiyah seperti alif, lam, mîm, shad, ra', kaf, ha', ya', ain, tha', sin, ha', qaf dan nûn dan jumlahnya empat belas yang bererti separuh dari seluruh huruf hijaiyah. Pada bahagian Wikifiqh di awal surah Maryam itu dihuraikan; bahawa huruf muqaththa'ah adalah potongan ayat yang termasuk dalam ayat mutasyabih yakni tidak ada seorang pun mengetahui ertinya. Huruf muqaththa'ah hadir dalam beberapa bentuk dan di banyak tempat pada al-Quran.

Mengapa lelaki misteri itu mesti menekankan lima huruf yang terdapat pada surah Maryam itu? Mengapa misalnya tidak disebutkan pada surah Shad, Qaf, dan al-Qalam. Kenapa tidak dipersoalkan huruf-huruf pembukaan pada surah-surah hawamim iaitu surah-surah yang dimulai dengan huruf ha' dan man iaitu pada surah Ghafir, Fushshilat, Al-Syura, Al-Zukhraf, Al-Dukhan, Al-Jatsiyah, dan Al-Ahqaf? Atau mungkin sahaja huruf Muqaththa'ah pada Al-Baqarah, Ali Imran, Al-'Ankabut, Al-Rum, Luqman, dan Al-Sajadah. Atau pada awal surah Al-A'raf dan surah Al-Ra'd.

Tuan Presiden mendapati lima huruf pada surah Maryam itu muncul pada surah yang menyinggung persoalan penganut agama Kristian. Adakah Kaf, Ha, Ya, Ain, Shad dapat menjadi formula penyelesaian pertembungan peradaban barat iaitu Kristian dan dunia Islam? Tuan Presiden pun mengambil masa satu malam menekuni perenggan Wikifiqh pada surah Maryam tersebut. Ia mendapati semua ahli tafsir menyerah kalah pada rahsia huruf-huruf muqaththa'ah itu. Misalnya kata Ibnu Qutaibah, tidak ada seorang juapun yang mengetahui takwilnya melainkan Allah. Ibnu Katsir mencuba-cuba menafsir, dengan mengatakan huruf-huruf tersebut merupakan nama-nama Allah. Misalnya alif lâm mîm itu bererti ana Allah a'lam (Aku Allah lebih Maha Mengetahui); alif lâm mîm râ yang bererti ana Allah a'lam wa ara (Aku Allah lebih Maha Mengetahui dan Melihat). Akhirnya, setelah sekian himpunan ahli tafsir itu dibaca, Tuan Presiden Wikifiqh merumuskan: Tiada siapa yang memahami Kaf, Ha, Ya, Ain, Shad. Allah yang lebih tahu apa erti huruf-huruf itu.

Suatu malam, lelaki berwibawa kembali tika tidurnya. Ia masih mengenakan jubah hitam, serban hitam seraya melilit kain merah di leher. Lelaki itu bersuara, "Mahukah kau aku dedahkan rahsia di sebalik Kaf, Ha, Ya, Ain, Shad di awal surah Maryam."

Tuan Presiden yang kelu lidahnya cuma berupaya mengangguk.

Lelaki berjambang lebat hebat itu bertanya lagi, "Sebagai muslim apakah sumber rujukanmu?"

Tuan Presiden menjawab yakin, "Al-Quran dan sunah Rasulullah SAW."

Lelaki tersebut masih mengasak, "Setelah ketiadaan Rasulullah SAW siapakah yang dapat menafsirkan al-Quran?"

Tuan Presiden terdiam. Kemudian ia menjawab ragu-ragu, "Para ulama. Mereka pewaris Nabi."

Lelaki tersebut menggeleng. "Sedangkan Kaf, Ha, Ya, Ain, Shad pun mereka gagal menafsirkannya. Pernahkah engkau membaca hadis sahih tentang Saidina Ali, selaku pintu ilmu? Dari Ibnu Abbas yang berkata Rasulullah SAW bersabda 'Aku adalah kota ilmu dan Ali adalah pintunya dan siapa yang hendak memasuki kota itu hendaklah melalui pintunya.' Nah tahukah engkau apa kata Saidina Ali tentang mereka yang mencuba-cuba menafsir al-Quran?"

Tuan Presiden tidak menyahut.

"Kata Saidina Ali, al Mushaf bayna daftay al-kitab la yanthiq, wa innama yantihiqu bihi al-rijal. Iaitu al-Quran itu bisu, ia diberi suara oleh penafsir."

"Jika begitu, jawapanku tadi benar?" Tuan Presiden memberanikan diri berhujah.

"Jawapanmu salah. Kerana itulah al-Quran ditafsir sesuka hati di zamanmu. Kerana itulah kerajaan pimpinanmu tidak dapat mengunggul. Kata engkau tadi, sumber ilmu umat Islam ialah al-Quran dan hadis. Saat aku bertanyakan siapakah yang dapat menafsir al-Quran sesudah ketiadaan Rasulullah SAW engkau tiada dapat menjawab. Ketahuilah al-Quran itu melekat bersama ahlul bait. Daripada Abu Sa'id al-Khudri bahawa Nabi saw telah bersabda pada Haji Wida': "Wahai manusia aku seakan dipanggil (oleh Allah) dan saatnya telah semakin hampir untukku menjawab panggilan, aku tinggalkan kepada kalian dua perkara berat (tsaqalain): Kitab Allah dan itrahku, Ahlul Bait. Sesungguhnya Allah Yang Maha Mengetahui telah memberitahu kepadaku bahawa kedua-duanya tidak akan berpisah sehinggalah menemuiku di telaga. Maka perhatikan apa yang kalian lakukan kepada mereka selepas peninggalanku.' Adakah engkau membuka pintu hatimu?"

Tukang sapu

Tuan Presiden tidak berkelip.

"Yang berhak menafsir al-Quran ialah ahlul bait sesudah ketiadaan Rasulullah SAW. Bukan yang lain. Merekalah yang mengetahui tiap rahsia al-Quran. Mereka pintu ilmu Jika engkau ingin mengetahui rahsia Kaf, Ha, Ya, Ain, Shad, esok siang engkau tanyakan kepada tukang sapu sampah di pejabatmu. Ia lelaki yang putih matanya kerana banyak menangis. Namanya Yaakub." Ujar lelaki berwibawa sebelum berlalu dari mimpi Tuan Presiden.

Keesokan hari, Tuan Presiden membatalkan semua acara yang diatur pembantunya. Ia masuk ke dalam kamar kerja dan memesankan, "Carikan kita seorang tukang sapu bernama Yaakub."

Tidak berapa lama kemudian, tukang sapu buta itu dihadirkan ke pejabat. Tuan Presiden menggeletar. Inilah lelaki yang muncul dalam mimpinya sekian lama. Cuma, cuma ia cacat penglihatan. Cuma, cuma pakaiannya compang-camping dengan tangan kanannya memegang penyapu.

"Apakah rahsia Kaf, Ha, Ya, Ain, Shad?" Soal Tuan Presiden menggigil kepala lutut.

"Ia adalah satu rahsia untuk satu kebenaran. Begini, saat Allah berfirman kepada nabinya Zakaria dari keturunan Yaakub. Bahawa Nabi Zakaria a.s. memohon Allah mengajarkan nama-nama yang dapat memadam kesedihannya ekoran ia tidak punya zuriat. Hadirlah Jibrail mengajarkan nama-nama; Muhammad, Ali, Fatimah, Hasan dan Husin. Setiap kali Zakaria menyebut-nyebut nama Muhammad, Ali, Fatimah, Hasan ia akan sentiasa berasa aman; akan tetapi saat ia menyebut nama Husin, hatinya kembali gundah gulana. Maka Zakaria pun bertanya kepada Tuhannya, 'Apakah sebabnya hatiku ini akan berasa sebak duka dan bertangisan-tangisan tatkala nama Husin disebutkan?' Maka Allah pun menyebutkan huruf-huruf muqaththa'ah Kaf, Ha, Ya, Ain, Shad. Adalah Kaf itu Karbala, Ha itu adalah Halakal 'ithrah iaitu terbantainya keluarga suci Nabi SAW, ia itu Yazid, adapun Ain itu adalah 'Athsyal Husin atau dahaganya al-Husin di Karbala sementara Shad bermaksud Shabruhu iaitu kesabarannya al-Husin. Sebaik mendengar kisah penuh yang menimpa Saidina Husin di Karbala, Nabi Zakaria a.s pun menangis dan meratap'.

'Nabi Zakaria berdoa mengenang musibah yang dihadapi keturunannya Nabi Muhammad SAW, "Ya Allah, apakah makhluk termulia-Mu dan kekasih-Mu, puteranya akan mengalami musibah seperti itu? Apakah musibah seperti ini yang bakal menimpa mereka? Apakah Ali dan Fatimah berduka cita seperti aku ini? Ya Allah, pohonku, kurniakan kepadaku seorang putera yang membahagiakan hatiku di masa tuaku, serta jadikan dia sebagai pewaris dan penggantiku. Setelah Engkau kurniakan anak itu kepadaku, timpakan kepadaku musibah sebagaimana yang dialami oleh kekasih-Mu Muhammad sehubungan dengan puteranya Husin. Maka Allah pun menganugerahinya anak, Nabi Yahya a.s. Duhai, duhai kita pun tahu musibah Yahya disembelih Hirodus. Bahawa kepala suci Yahya diarak dan dilempar-lempar untuk memuaskan hati Herodia. Duhai, duhai petaka menimpa. Demikianlah Zakaria menanggung derita kehilangan anaknya. Demikian ia merasai pedih Nabi Muhammad SAW menanggung pembunuhan Husin di Karbala.

Bercucuranlah, teresak-esak menangis Tuan Presiden mendengar kisah tukang sapu tersebut. Barulah ia mengerti hubungan Kaf, Ha, Ya, Ain, Shad dengan inti surah Maryam tersebut. Barulah serasi huruf-huruf terpenggal, huruf-huruf muqaththa'ah Kaf, Ha, Ya, Ain, Shad tersebut dengan ayat kedua surah Maryam:

'(Ini ialah) perihal limpahan rahmat Tuhanmu (wahai Muhammad), kepada hambaNya Zakaria.' Dan ayat-ayat seterusnya: (Ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Zakaria berdoa kepada tuhannya dengan doa permohonan secara perlahan. Ia merayu dengan berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya telah lemahlah tulang-tulangku, dan telah putih melepaklah uban kepalaku; dan aku - wahai Tuhanku - tidak pernah merasa hampa dengan doa permohonanku kepada-Mu. Dan sesungguhnya aku merasa bimbang akan kecuaian kaum kerabatku menyempurnakan tugas-tugas agama sepeninggalanku; dan isteriku pula adalah seorang yang mandul; oleh itu, kurniakanlah daku dari sisi-Mu seorang anak lelaki. Yang layak mewarisi daku, juga mewarisi keluarga Nabi Yaakub; dan jadikanlah dia - wahai Tuhanku seorang yang diredai serta disukai. (Nabi Zakaria diseru setelah dikabulkan doanya): 'Wahai Zakaria! Sesungguhnya Kami memberikan khabar yang menggembirakanmu dengan mengurniakan seorang anak lelaki bernama Yahya, yang kami tidak pernah jadikan sebelum itu, seorangpun yang senama dengannya".

Ketika itu fahamilah juga Tuan Presiden tali-temali Kaf, Ha, Ya, Ain, Shad tersebut dengan ayat 75 dan 76 surah Maryam juga, iaitu 'Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesiapa yang berada di dalam kesesatan, maka biarlah (Allah) Ar-Rahman melanjutkan baginya satu tempoh yang tertentu, hingga apabila mereka melihat apa yang dijanjikan kepada mereka, - sama ada azab sengsara dunia ataupun azab kiamat, maka (pada saat itu) mereka akan mengetahui siapakah orangnya yang lebih buruk kedudukannya dan lebih lemah penyokong-penyokongnya. Dan Allah akan menambahi hidayah petunjuk bagi orang-orang yang menurut jalan petunjuk; dan amal-amal yang baik yang tetap kekal faedah-faedahnya itu, lebih baik balasan pahalanya di sisi Tuhanmu dan lebih baik kesudahannya'.

Tahulah Tuan Presiden sekarang kebenaran berada dalam rahsia yang tersembunyi. Kebenaran mesti dicari dan dibongkar dengan hati terbuka. Dan kesesatan mungkin sahaja berpanjangan untuk satu tempoh yang entah berapa lama. Sehingga ada hidayah dan petunjuk datang daripada-Nya.

Begitulah, kami sudah menceritakan kepada kalian satu persatu. Tidakkah kalian perhatikan?

Sumber : Utusan


Nota : Sebuah cerpen karya Dr Faisal Tehrani terbitan Utusan. Mendapat kritikan daripada Sdr. Mohd Azmi Hussin.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails