NAMPAKNYA kerajaan menerusi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sedang menggerakkan tenaga bagi melahirkan lebih ramai lulusan ijazah doktor falsafah (Ph.D) melalui program MyBrain15.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata, MyBrain 15 cuba menghasilkan 48,000 pemegang ijazah Ph.D menjelang tahun 2020. Ia adalah sebahagian daripada sasaran asal untuk 60,000 pemegang ijazah Ph.D yang diharap dapat dihasilkan menjelang tahun 2023.
Malaysia kini bersaing dengan negara gergasi lain dalam pendidikan tinggi. Langkah ini akan menjadikan negara kita maju dan berpendapatan tinggi dengan pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan dan inovasi. Sehingga Jun 2009, seramai 10,248 graduan kedoktoran telah dilahirkan oleh pelbagai universiti dalam negara.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dr. Hou Kok Chung ketika menjawab soalan di Parlimen berkata, daripada jumlah itu seramai 8,132 dilahirkan oleh institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan 2,116 yang lain dilahirkan oleh institusi pengajian tinggi swasta (IPTS). Pada 2008, negara telah melahirkan 840 graduan Ph.D, dengan 785 daripadanya dari IPTA dan 55 dari IPTS. Sungguhpun masih jauh berbanding negara lain yang lebih awal bersaing menghasilkan graduan Ph.D, angka ini semakin bertambah pada masa depan.
Program MyBrain15 merupakan salah satu daripada 22 agenda kritikal dalam Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN). Sebagai satu agenda yang akan menjadi indikator perubahan kualiti dan mentaliti modal insan ke tahap yang lebih cemerlang, program MyBrain15 ini telah dirangka dengan beberapa matlamat, antaranya melahirkan graduan berpengetahuan tinggi yang akan menjadi pemacu kepada inovasi dan produktiviti sehingga dapat melonjakkan ekonomi negara kepada tahap lebih tinggi.
Kekuatan program MyBrain15 bukan hanya tertumpu kepada penyertaan staf akademik di institusi pengajian tinggi (IPT) semata-mata, sebaliknya turut sama menarik penglibatan orang awam secara keseluruhan yang ingin menyambung pengajian di peringkat pasca siswazah, khususnya Ph.D.
Dengan melahirkan lebih ramai modal insan yang memiliki tahap pengetahuan yang tinggi, inovatif dan kreatif serta fleksibel sejajar dengan arus perubahan global yang serba pantas, kita akan mendapat momentum yang lebih besar bagi melonjakkan Malaysia di arena antarabangsa dalam kelompok negara-negara maju. Ia supaya suatu masa nanti, kita akan berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara-negara maju tersebut.
Gelombang transformasi yang digerakkan oleh kerajaan akan turut dirasai oleh setiap lapisan masyarakat. Keperluan mendesak untuk meningkatkan tahap ilmu pengetahuan sedia ada akan menjadi keperluan pada setiap individu untuk terus maju ke depan. Dengan persekitaran yang dibina berlandaskan inovasi dan kreativiti secara kondusif, ia akan mampu menghasilkan modal insan yang saling terikat antara satu sama lain dan berdaya tahan untuk bersaing secara sihat.
Suatu perkara yang akan dihadapi kerajaan dalam melaksanakan program ini ialah kekangan kewangan dan keperluan peruntukan yang secukupnya untuk pembiayaan pengajian lanjutan yang pasti akan melibatkan sejumlah dana yang sangat tinggi.
Bagaimanapun, kerajaan khususnya KPT mesti yakin bahawa pelaburan yang dibuat dalam hal ini akan memberi pulangan dan impak yang berlipat kali ganda kepada negara pada masa akan datang.
Justeru, kerajaan telah meluluskan bajet sebanyak RM2.68 bilion untuk menjayakan pelbagai projek pendidikan, antaranya Program Pembiayaan Pengajian Ijazah Sarjana Dalam Negara (MyMaster), Program Pembiayaan Pengajian Ijazah Kedoktoran Dalam Negara (MyPhD) dan Program PhD Industri bagi projek baru, selain Program Skim Latihan Akademik IPTA (SLAI).
Projek MyMaster dan MyPhD jika berjalan lancar akan membantu Malaysia menjayakan hasrat untuk menjadi hab inovasi. Menerusinya, aktiviti penyelidikan dan kajian yang dilakukan berpusat di IPT tempatan, bukan lagi di luar negara. Usaha ini juga akan memberi manfaat kepada pihak industri kerana ia dilihat sebagai satu pendekatan inovatif untuk melebarkan penyertaan, khususnya para profesional dan pengamal industri untuk menyambung pengajian ke peringkat Ph.D melalui mod pengajian bukan konvensional.
Pendekatan dan strategi kerajaan ini bakal memperkasakan lagi hubungan industri dan akademia khususnya melalui penyeliaan bersama, penggunaan kemudahan serta perkongsian kepakaran sesama mereka. Khabarnya sehingga Oktober 2010, terdapat 15 IPT tempatan telah mengemukakan maklum balas mereka untuk bekerjasama menawarkan program ijazah Ph.D industri ini dan jumlahnya bertambah dari semasa ke semasa.
Oleh kerana ini adalah satu projek yang menelan biaya yang besar, maka semua pihak patut mengambil langkah pemantauan rapi agar pembiayaan pengajian ini akan dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin sekali gus memastikan setiap apa yang kerajaan belanjakan akan mendapat pulangan yang setimpal.
Suatu perkara yang perlu disedari, pembiayaan semata-mata bukanlah jaminan kepada kejayaan program seumpama ini, sebaliknya ia turut bergantung kepada faktor-faktor lain, khususnya iltizam dan persediaan daripada mereka yang terlibat. Calon ijazah kedoktoran mestilah memiliki tahap pengetahuan dan pengalaman dalam bidang penyelidikan yang dipilih, sokongan keluarga, disiplin diri, sikap dan integriti mereka itu sendiri.
Universiti yang menempatkan pengajian pelajar kedoktoran mesti memiliki sumber kepakaran untuk menyelia bidang penyelidikan yang berkaitan dan mesti juga mampu mewujudkan suasana dan persekitaran pengajian yang kondusif dan komprehensif. Bukan sahaja makmal dan prasarana penyelidikan harus ditingkatkan, malah pasukan penyelia yang terdiri daripada para profesor yang memang pakar serta berpengalaman luas mestilah disediakan.
Sasaran untuk meramaikan bilangan kemasukan pelajar kedoktoran di universiti semata-mata bukanlah penentu kepada kejayaan pembiayaan ini, sebaliknya keupayaan melahirkan graduan yang berkualiti dan layak dianugerahkan ijazah selepas tamat tempoh pengajian. Mereka ini perlu diberi perhatian khusus ke arah mendukung misi kerajaan dan negara untuk mewujudkan modal insan berpengetahuan tinggi.
Jika semua pihak yang terlibat khususnya universiti dapat memainkan peranan masing-masing dengan berkesan, negara mampu merealisasikan sasaran yang ingin dicapai di bawah projek MyBrain15, seterusnya matlamat untuk meletakkan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi yang memiliki modal insan dengan minda kelas pertama menjelang tahun 2020.
Walau bagaimanapun kita mesti belajar daripada pengalaman negara lain yang lebih awal bergerak dalam perkara ini misalnya di negara maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom, atau di negara berpenduduk tinggi seperti India dan China, atau negara kecil tetapi cergas melahirkan modal insan berharga seperti Jepun, Korea Selatan, dan Taiwan.
Di negara seperti ini, pemantauan terhadap lepasan universiti khususnya lulusan Ph.D sentiasa dilakukan melalui pelbagai penyelidikan bagi menentukan mutu graduan yang dihasilkan serta kepuasan majikan terhadap hasil kerja graduan berijazah Ph.D. Sebuah kajian telah dijalankan di China yang mana sejumlah 1,392 calon ijazah kedoktoran, graduan, profesor dan pekerja telah ditemubual.
Kajian itu mendedahkan kebimbangan majikan terhadap mutu graduan kedoktoran yang ramai dilahirkan di negara itu. Kajian yang diketuai oleh Profesor Zhou Guangli dari Institut Pendidikan Sains di Huazhong University of Science and Technology, mendapati kira-kira 70 peratus majikan mendakwa pemegang ijazah kedoktoran memperlihatkan sedikit inovasi dalam prestasi kerja mereka, berbanding dengan pekerja tanpa kelulusan setinggi itu.
Pengalaman China bukanlah mustahil akan berlaku di negara kita. Aspek inilah yang memerlukan pemantauan KPT.
ROOSFA HASHIM Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Umum Universiti Kebangsaan Malaysia.
Sumber : Utusan
No comments:
Post a Comment