Thursday, January 6, 2011

PILOT : Pencerahan Baru Minda

Bestari Jaya, 5 Januari 2011 - Pidato Lorong Tengah (PILOT) memulakan arah pandu pada tahun baru dengan pencerahan minda. Tajuk yang yang diketengahkan adalah Gerakan Sosialisme, Komunisme & Islam : Satu Tinjauan. Pemidato yang dijemput daripada sisi yang berbeda mewakili pandangan alam tersendiri iaitu Sdr Hishamuddin Rais, aktivis sosial & Sdr Yusni Yusoff Pengamal Undang-Undang.

Hadirin disegarkan dengan pemidato pertama Sdr Yusni yang menyentuh perkembangan Gerakan Islam dalam perspektif mahasiswa dan belia berdasarkan pengkajian beliau & pengalaman di dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) & Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM). Sdr Yusni juga merupakan penulis buku sejarah perjuangan gerakan mahasiswa Islam, 5 Darsawarsa PKPIM.

Pemidato kedua, Sdr Hishamuddin Rais membahaskan tentang faham sosialisme & komunisme sebagai sistem ideologi politik & ekonomi yang berbeza prinsip dengan faham kapitalisme. Beliau mengaku kegagalan pemerintah yang berpegang kepada faham sosialisme & komunisme di Tiongkok Merah (China) & Rusia. China akhirnya membuka pasaran ekonomi yang terbuka (kapitalisme) dalam survival sebuah negara selain otoritarian yang menolak demokrasi dalam negara. Sdr Hishamuddin menyinggung tentang faham faham sosialisme & komunisme bukan satu anutan agama serta mendakwa Islam tidak universal.

Ruang soal jawab dan respon daripada hadirin untuk memberi pandangan telah disambut oleh Sdr Izwan Suhadak (Penasihat GPTD Unisel). Beliau tidak bersetujui dengan pandangan Sdr Hishamuddin dalam soal 'Islam tidak universal' kerana negara Madinah adalah contoh penerimaan agama, kaum & bahasa lain diterima dan dibenarkan oleh Rasulullah saw. Kritikan Sdr Hishamuddin tentang murid tidak dibenarkan bersoaljawab/berhujah dengan guru pondoknya juga adalah lemah. Dikalangan ulama muktabar juga ada perdebatan dalam soal ilmu & fekah. Ini menunjukkan keterbukaan berbeda pandangan dikalangan ilmuan Islam malah elemen adab sangat dititikberatkan.

Walaupun tajuk yang dibawa PILOT kali ini agak kontroversi tetapi akhirnya hadirin yang hadir dapat menyaring hujah berdasarkan pandangan hidup muslim yang benar. "Kami harapkan program ini akan membuka pencerahan baru dalam minda mahasiswa untuk terus membaca buku daripada dua sudut pandangan sama ada kanan atau kiri", kata Sdr Izwan Suhadak semasa menyampaikan ucapan aluan kepada hadirin.

Nota - Berminat untuk dapatkan rakaman pidato sila emel ke gptdunisel@gmail.com


- Unit Media

No comments:

Post a Comment


Related Posts with Thumbnails