Tuesday, January 25, 2011

TPM bincang Program Sukarelawan Amerika

TAN Sri Muhyiddin Yassin akan membincangkan lebih lanjut Program Sukarelawan Amerika Syarikat (American Peace Corps) tajaan negara itu yang begitu popular pada 1960-an bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan masyarakat ASEAN, dalam pertemuannya dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Rodham Clinton, esok.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran berkata, langkah itu penting supaya apa yang dicadangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung program berkenaan ketika pertemuan dengan Presiden Barack Obama September lalu dapat dimulakan pelaksanaannya.

“Setakat ini sambutannya amat baik dan peluang untuk kita mengemukakan cadangan supaya program itu dimulakan adalah cerah,” katanya kepada media Malaysia di sini, semalam.
Muhyiddin yang tiba di sini, Ahad lalu adalah dalam rangka lawatan kerja enam hari ke AS. Turut serta isterinya, Puan Sri Norainee Abdul Rahman.

Ketika menghadiri Mesyuarat ASEAN-AS di New York 25 September lalu, Najib menyarankan Program Sukarelawan AS tajaan negara itu yang begitu popular sekitar 1960-an dilaksanakan semula untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan masyarakat ASEAN.

Obama yang mempengerusikan mesyuarat kedua dihadiri lapan ketua kerajaan ASEAN itu tertarik dengan pandangan Najib menjelaskan bahawa mendiang ibunya, Ann Dunham pernah menjadi guru bahasa Inggeris ketika di Indonesia.

Program Sukarelawan AS mengandungi tiga hasrat menyediakan bantuan teknikal membantu rakyat di luar AS memahami budaya negara itu dan membantu rakyat AS memahami budaya negara lain.
Selain program berkenaan, dalam pertemuan dengan Hillary itu juga, Muhyiddin berkata, beliau akan membincangkan usaha meningkatkan hubungan dua hala perdagangan.

“Kita akan bincang usaha tingkatkan hubungan dua hala dalam perdagangan yang setakat ini pelaburan AS di Malaysia terus meningkat,” katanya.

Dalam hubungan antarabangsa pula, katanya, beliau mungkin berpeluang untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai isu Palestin dan Afghanistan.

“Saya juga akan membincangkan kerjasama pelbagai bidang termasuk pertahanan dan pendidikan membabitkan kedua-dua negara,” katanya.

Sementara itu, dalam lawatan di Washington DC, semalam, Muhyiddin menjadi tetamu kehormat majlis jamuan tengah hari bersama anggota Majlis Perniagaan Amerika-ASEAN dan dijadual melancarkan Program Latihan Khas Keusahawanan Perbadanan Bioteknologi Malaysia (myBeST).

Beliau juga akan menghadiri majlis meraikan pelajar yang menyertai program pertukaran pelajar ‘American Field Service – Youth Exchange & Study’ (AFS-YES).

Program YES adalah program pertukaran pelajar yang ditaja oleh Jabatan Negara AS selepas insiden 9/11 pada 2001 untuk membantu merapatkan hubungan antara warga AS dan negara di seluruh dunia, terutama yang banyak mempunyai penduduk beragama Islam.

Sumber : Bharian

Ulasan Penasihat
GPTD telah lakukannya.

No comments:

Post a Comment


Related Posts with Thumbnails