Antaranya ialah perjumpaan tidak rasmi, perbincangan, konvensyen, kajian dan makmal yang melibatkan perwakilan belia. Melalui langkah-langkah itu, banyak idea telah diluahkan oleh belia.

Sebahagian daripada idea itu telah dilaksanakan dalam bentuk program dan aktiviti yang konkrit. Bagaimanapun, masih banyak yang belum diambil tindakan. Kini, belia menunggu, melihat dan menilai. Adakah kita benar-benar serius dalam merealisasikan idea mereka itu? Atau, kita sekadar mendengar kosong, iaitu untuk menunjukkan yang kononnya kita meraikan mereka, tetapi tidak lebih daripada itu? Umpama melepaskan batuk di tangga sahaja?

Justeru, sementara kita baru sahaja melangkah ke tahun 2011, jika ada perkara pokok yang mesti dilakukan sepanjang tahun ini, maka, pada saya, ia adalah untuk benar-benar memenuhi permintaan belia, terutamanya apa-apa yang telah dikemukakannya melalui pertemuan-pertemuan yang kita aturkan.

Seperti yang selalu saya nyatakan, terdapat “tiga permintaan asas belia”, iaitu belia mahu suaranya didengar, belia mahu peranannya diiktiraf, dan belia mahu isu-isunya ditangani dengan cara yang berorientasikan mereka.

Pada tahun 2010, terdapat beberapa peristiwa penting yang memenuhi permintaan asas itu. Contohnya, ialah pertama, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menerjemahkan beberapa resolusi Makmal Pemuda Barisan Nasional (BN) dalam ucapan Bajet 2011, seperti skim perumahan belia, Dana Belia 1Malaysia dan perbincangan gaji minimum.

Kedua, Universiti Sains Malaysia (USM) menjalankan sidang pertama Parlimen Mahasiswa yang diiktiraf sebagai sebahagian daripada kerangka governans universiti tersebut.

Ketiga, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) menubuhkan Jawatankuasa MQA-Pelajar untuk membincangkan kualiti pendidikan yang ditawarkan IPT tempatan.

Dan keempat, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) mengumumkan akan menawarkan biasiswa kokurikulum yang pertama, iaitu dalam bidang koperasi, kepada pelajar IPT. Ia sama seperti biasiswa sukan yang ditawarkan Majlis Sukan Negara (MSN).

Namun demikian, dalam keadaan yang lain, malangnya, masih wujud penentangan terhadap permintaan asas itu. Contohnya ialah tentang cadangan membenarkan pelajar IPT berpartisipasi dalam politik.

Cadangan itu mendapat banyak sokongan. Contohnya, daripada Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis), Majlis Belia Malaysia (MBM), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Konvensyen Majlis Perwakilan Pelajar IPT 2010, Makmal Pemuda BN dan Makmal Transformasi Pembangunan Belia Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Tetapi, wujud halangan berbentuk mentaliti negatif apabila ada di kalangan kita tidak percaya kepada pelajar IPT, memperlekehkan mereka, menggunakan taktik menakut-nakutkan untuk mengongkong kebebasan mereka, masih terperuk dalam kerangka politik lama yang tidak memahami realiti semasa dan sebagainya.

Di samping itu, terdapat juga sindrom “anti-pemikiran” dan “anti-intelektual” yang menolak atau tidak senang melihat idea-idea, apa lagi idea-idea baru didebatkan, didialogkan dan dihujahkan secara terbuka, rasional dan bijaksana.

Fenomena penentangan terhadap permintaan asas belia berlaku seakan-akan fenomena yang dibicarakan dalam buku tulisan Michael Specter (2010), Denialism. Ia mengisahkan bagaimana pemikiran tidak rasional, iaitu ketidaksediaan untuk menerima realiti yang kompleks, merosakkan kehidupan manusia.

Mujurlah Najib menyatakan yang beliau terbuka untuk membincangkan perkara ini. Kerana itu, belia menaruh harapan yang tinggi menggunung kepadanya.

Pada penghujung 2010, Najib membuat satu kenyataan yang amat penting dalam konteks permintaan belia, iaitu beliau menganggap remaja sebagai “rakan kongsi” kerajaan.

Ini bersesuaian dengan keperluan menghayati hakikat bahawa, di samping sebagai pemimpin masa depan, sebenarnya belia adalah juga pemimpin hari ini, iaitu pemimpin bagi generasi yang lebih muda daripadanya, pemimpin bagi angkatannya, dan rakan kepemimpinan dengan sektor-sektor kerajaan/politik, perniagaan dan masyarakat sivil.

Satu daripada kaedah untuk merealisasikan peranan belia sebagai rakan kepemimpinan ialah dengan melakukan inovasi demokrasi, iaitu dengan meningkatkan dan meluaskan partisipasi belia dalam struktur dan proses membuat keputusan.

Kerana itu, kita perlu memulakan diskusi tentang inisiatif-inisiatif inovasi demokrasi, seperti pendaftaran automatik pemilih, menurunkan umur layak mengundi kepada 18 tahun, melantik wakil belia sebagai Senator dan ahli Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), dan sebagainya.

Dalam konteks pembangunan belia, sebagai penulis Dasar Pembangunan Belia Negara (DPBN) 1997, saya mencadangkan (sejak 2007) supaya ia dikaji semula agar sesuai dengan keadaan dan keperluan semasa.

Di samping itu, Makmal Transformasi Pembangunan Belia (KBS) telah mencadangkan 4 Inisiatif Transformasi, 11 Intervensi Polisi dan 4 Polisi Pemangkin yang amat penting. Antaranya, ialah menubuhkan Dewan Belia Malaysia (Parlimen Belia) dengan mentransformasi Majlis Perundingan Belia Negara yang sedia ada, meningkatkan penglibatan belia dalam kerajaan tempatan, mempromosi keusahawanan sosial dan menyediakan road map bagi sistem 1Sekolah.

Kita perlu merealisasikan permintaan-permintaan tersebut dengan seadanya. Belia hari melihat isu-isu di depan matanya dengan kaca mata hari depan yang segar. Mereka tidak mewarisi beban hari semalam seperti kita. Jadi, berlapang dadalah memenuhi permintaan mereka tanpa banyak tapisan.

Kita juga mesti segera menghapuskan kerenah birokrasi, yang turut berlaku di sesetengah IPT, yang membantutkan usaha-usaha belia dalam memenuhi sendiri permintaannya. Contohnya ialah:

Pelajar dikehendaki menyediakan kertas kerja tebal untuk menganjurkan aktiviti mudah seperti ceramah dan forum.

Pelajar terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan kelulusan aktiviti kerana pegawai bercuti dan sebagainya.

Pelajar dilarang menganjurkan sesuatu aktiviti kerana ia tidak selari dengan minat pegawai. Aktiviti pelajar dikekang oleh kekurangan/ketiadaan peruntukan, tetapi apabila untuk aktiviti lain, maka, ada pula peruntukannya.

Apabila pelajar mencari dana sendiri, mereka disukarkan pula untuk mendapatkannya untuk menyelesaikan urusan pembayaran aktiviti.

Pelajar dimarahi kerana menghubungi Menteri/Timbalan Menteri (yang terbuka dan suka merapati pelajar) secara terus melalui media sosial.

Sebelum ini, sebahagian besar belia menganggap kita tidak mempedulikan permintaan mereka, lalu menolak kita. Apabila kita insaf akan kesilapan itu, lalu mendekati mereka semula, mereka memberi kita peluang kedua. Tetapi, kalau kali ini kita tersilap lagi, kita tidak akan dapat peluang itu sekali lagi.