Wednesday, January 5, 2011

Muslim itu bersaudara

“Seorang Muslim adalah saudara kepada seorang Muslim yang lain.” (Maksud Hadis)


UKHUWWAH DALAM GERAKAN ISLAM

Maksud hadis di atas secara jelas menjelaskan bahawa, kita sebagai seorang Muslim merupakan saudara kepada Muslim yang lain dalam erti kata perhubungan, akhlak, kata-kata serta tindakan terhadap mereka. Seorang yang bersaudara, pasti mempunyai tanggungjawab serta peranan di dalam memastikan perhubungan serta silaturrahim itu berkekalan dan berterusan dengan aman dan harmoni. 7 golongan yang diberi perlindungan oleh Allah di akhirat kelak, antaranya ialah seseorang yang mendoakan sahabatnya secara ghaib atau lebih mudahnya difahami sebagai doa yang dirahsiakan dari pengetahuan saudaranya. Suasana pergerakan Islam, jemaah Islam serta ummat Islam hari ini seolah-olah kekeringan doa dan permintaan dari Allah s.w.t. Berdoalah wahai saudaraku, kerana doa adalah senjata ampuh yang dimiliki oleh ummat Islam.

Marilah kita fahami bersama bahawasanya keseluruhan manusia sebenarnya mempunyai pertalian yang sama. Tuhan kita adalah satu serta asal kita semua adalah dari Adam dan Hawa. Kemudian dari mereka, Allah s.w.t. ciptakan manusia itu bermula dengan perbezaan jantinanya, kaum kerabatnya, puaknya yang akhirnya semakin besar dan semakin banyak perbezaan warna kulit, bahasa dan gaya hidup. Maka, Allah s.w.t. telahpun menurunkan perintah kepada ummat manusia agar berkenalan antara satu sama lain dan orang yang paling mulia di kalangan kita (manusia) ini adalah orang yang bertaqwa kepada Allah.

Terdapat satu kisah bagaimana 2 kabilah yang berperang dan saling berbunuhan. Ia berpunca daripada ahli kepada satu kabilah membaling perut unta hasil sembelihan mereka kepada kabilah yang satu lagi yang mana mereka itu sebenarnya tiada unta. Perpecahan ini merupakan perumpamaan di mana manusia hari ini amat bermegah dengan keberadaan mereka sehingga timbul niat untuk memperbesarkan keberadaan mereka dan memperkecilkan pihak yang serba kekurangan.

Ketaksuban kehidupan berpuak ini juga harus dijadikan pengajaran dan benteng kerana ia adalah sikap yang ditunjukkan di zaman jahiliah, iaitu orang-orang berbangsa Arab, mereka tidak mengiktiraf bangsa lain. Mereka sungguh taksub dan berbangga dengan bangsa mereka. Ketaksuban ini menjadikan mereka saling bergaduhan dan bertelingkah semata-mata untuk menunjukkan siapa lebih hebat. Bahkan, apabila sampai musim haji di Mekah, mereka sanggup berkorban dengan niat unutk menunjukkan siapa yang lebih kaya dan lebih banyak korbannya.

Namun, setelah datangnya Islam, maka banyak pengiktirafan yang berlaku sesama berbilang bangsa dan kaum. Ia bukan sahaja berlaku pada zaman perjuangan Baginda Rasulullah s.a.w. bahkan beratus-ratus tahun kemudiannya, Islam masih lagi menjadi agama yang mementingkan ukhuwah dan persaudaraan. Ini jelas sekali diperakui oleh bekas Perdana Menteri India bahawa sejak datangnya Islam di India, banyak membuka pekung yang ada di kalangan orang India khususnya di dalam perkara yang berkaitan dengan puak dan kasta. Bekas pemimpin di India ini juga mengatakan bahawa agama Islam merupakan agama yang membawa kepada demokrasi yang benar.


SUARA AZAN MAMPU MEMBINA UKHUWWAH

Sifat yang pernah ditonjolkan oleh Baginda Rasulullah s.a.w., sekiranya orang berbuat kejahatan kepada Baginda maka itu tidak akan sedikit pun mengurangkan kebaikan yang ada pada Baginda Rasulullah s.a.w. Lagi mereka berkasar kepada baginda, makin berlembut baginda kepada orang itu. Mari kita bersama teladani kisah Rasulullah di Thaif, dan kisah seorang Yahudi yang mencekak baju Rasulullah s.a.w. sambil meminta hutangnya, keadaan itu dilihat oleh Saiyidina Umar Al-Khattab ketika itu lalu disergah oleh Umar.

Para sahabat rasul ini sangat berpegang kepada Al-Qur'an dan hadith sebagaimana yang diajarkan dan yang ditinggalkan oleh Ar-Rasul s.a.w. Mereka juga sangat sayang sesama mereka, tiada sindiran dan meremehkan sesama sahabat. Mereka tidak membuka 'aib sesama sahabat. Bahkan persaudaraan mereka adalah bertunjangkan iman dan taqwa kepada Allah s.w.t. Oleh yang demikian, marilah kita bersama kukuhkan ukhuwwah sesama kita sebagaimana yang dibawa dan diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. Perluaskanlah skop dan medan dakwah kita. Anugerah Allah s.w.t. dengan mata kita, maka lihatlah saudaraku dengan penuh kasih sayang, telinga gunakanlah untuk mendengar perkhabaran mereka yang baik-baik, akal fikirkanlah manfaat untuk mereka, hati suburkanlah dengan deria dakwah yang meninggalkan kesan yang buat diri dan masyarakat.

"Barang siapa yang memutuskan silaturrahim selama lebih daripada 3 hari, maka dosanya tidak diampunkan ketika dia mati." (Maksud Hadis)

"Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menyambung silaturrahim." (Maksud Hadis)

Catatan oleh Kamarul Azami yang dikutip daripada pengisian Kuliah Maghrib oleh Ustaz Mohd Naim Mohd Nor pada 18 & 19 Disember 2010 di Meru, Klang

No comments:

Post a Comment


Related Posts with Thumbnails