Saturday, October 23, 2010

Oxbridge amal keilmuan Islam

OXBRIDGE merupakan istilah yang merujuk kepada gabungan dua universiti yang tertua dan terkemuka di United Kingdom iaitu Universiti Oxford dan Universiti Cambridge.

Kedua-duanya merupakan antara tiga Universiti terulung dunia selain daripada Universiti Harvard di Amerika Syarikat. Status tersebut membuatkan kedua-dua Universiti itu kekal berstatus elit sehingga ke hari ini.

Pengalaman singkat kerana mengikuti kursus pendek musim panas di Universiti Cambridge di samping terlibat dengan beberapa program bersama-sama pelajar Malaysia dan juga pelajar antarabangsa di Universiti Oxford digunakan untuk merasai dan mengkaji tradisi kedua-dua universiti tersebut.

Jika universiti di Malaysia adalah berkonsepkan kampus, namun di Oxford dan Cambridge ia berkonsepkan bandar atau dikenali sebagai ‘bandar universiti’.

Universiti Oxford dibina di bandar Oxford manakala Universiti Cambridge dibina di bandar Cambridge. Malah bangunan-bangunan kolej dan kuliah berada dalam bandar. Jika berada di jalanan pula hampir tidak dapat membezakan antara pelajar dan penduduk bandar tersebut. Begitulah hubungan akrab antara universiti dan masyarakat.

Program-program anjuran universiti pula seperti seminar, syarahan, diskusi, perdebatan, persembahan-persembahan seperti teater adalah begitu bebas dan terbuka disertai bukan sahaja oleh para pelajar dan pensyarah tetapi juga oleh masyarakat awam.

Tajuk-tajuk bagi diskusi dan persembahan juga begitu terbuka merangkumi perkara-perkara yang dianggap sebagai sensitif termasuk yang berkaitan dengan politik dan agama.

Salah satu syarahan yang sempat dihadiri ialah yang bertajuk Pencerobohan ke atas Afghanistan dan Iraq oleh pensyarah Universiti Cambridge, John Jackson.

Tajuk itu amat menarik perhatian kerana kita dapat melihat perspektif Barat terhadap isu berkenaan.

Syarahan akademik tersebut nyata tidak menyebelahi Amerika Syarikat dan Britain apabila kebanyakan mereka yang hadir mengkritik tindakan George W. Bush dan Tony Blair sambil menggelar bekas Perdana Menteri Britain itu sebagai anjing yang dicucuk hidung oleh Bush.

Begitu juga dengan isu berkaitan penindasan rejim zionis terhadap negara dan rakyat Palestin. Kebanyakan mereka melihat isu itu dari sudut kemanusiaan. Pembelaan seharusnya diberikan kepada rakyat palestin yang dicerobohi hak mereka, dan dunia seharusnya menghukum Israel atas jenayah yang telah mereka lakukan.

Selain itu, Oxford dan Cambridge juga terkenal dengan tradisi pengajaran yang berbeza berbanding dengan universiti-universiti lain di dunia.

Contohnya, kaedah pengajaran tutorial ialah secara bersemuka antara pensyarah dan pelajar. Kaedah ini sudah menjadi tradisi di Oxbridge sejak awal penubuhannya 800 tahun dahulu.

Kaedah itu sangat berkesan dalam sistem pengajaran. Para pelajar akan mendapat ilmu secara langsung daripada guru.

Segala masalah dan kelemahan pelajar boleh ditegur dan diperbaiki secara langsung oleh guru serta boleh mengelakkan murid daripada mendapat kefahaman yang salah.

Kaedah ini berasal daripada tradisi Islam yang dikenali sebagai kaedah talaqqi. Talaqqi daripada segi bahasa bermaksud pertemuan secara berhadapan atau bersemuka. Daripada segi istilah ia bermaksud pertemuan antara guru dan murid secara bersemuka.

Ini mengingatkan kita kepada peristiwa penurunan wahyu Allah kepada Nabi Muhammad di Gua Hira.

Nabi diajar al-Quran secara bersemuka oleh Jibril a.s di mana Jibril membaca dahulu dan didengar oleh Nabi. Kemudian dibaca semula oleh nabi dan didengar oleh Jibril dan begitulah seterusnya. Di dalam peristiwa ini Jibril bertindak sebagai guru kepada baginda.

Itulah permulaan kaedah talaqqi dan ia adalah tradisi yang dimulakan oleh Islam. Tradisi ini masih diamalkan di madrasah-madrasah di kebanyakan negara Islam termasuk Malaysia. Namun bagi pengajaran di peringkat universiti, hanya di Oxbridge kaedah ini masih dikekalkan

Oleh MOHD KHAIRUL ANWAR ISMAIL

Sumber : Utusan

No comments:

Post a Comment


Related Posts with Thumbnails